Monday, March 12, 2012

Saya ditahan dalam keadaan lapar dan dahaga



Mazlan Aliman,12 Mac 2012
Tindakan Kerajaan BN Sabah yang didalangi Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman menghalang saya masuk ke Sabah sebagai angkuh, bongkak dan bacul.

Notis Penolakan Masuk di bawah Seksyen 65(1)(a) Akta Imigresen 1959/63 yang ditandatangani oleh Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Sabah, Addy Rizal bin Jamlidi telah mencabul hak asasi saya sebagai warganegara Malaysia.

Berkali-kali saya mempersoalkan kenapa saya di tahan dan tidak di benarkan masuk ke Sabah?

Apa kesalahan saya; apa jenayah yang saya lakukan? Mereka mengatakan tiada alasan dan sebab melainkan arahan Pihak Berkuasa Negeri!

Saya dikawal ketat, dalam keadaan lapar; bukan sahaja tidak diberi makan; segelas air pun tiada!

Saya telah membuat laporan Polis di Pejabat Imigresen Lapangan Terbang Kota Kinabalu dan di hantar balik melalui penerbangan Air Asia ke Kuala Lumpur sekitar jam 11 malam tadi.

Hampir dua tahun yang lalu, regim Taib Mahmod juga telah memperalatkan Imigresen untuk menghalang saya masuk ke Sarawak.

Saya berkeyakinan ini semua berpunca dari kebimbangan dan ketakutan regim Musa Aman dan Taib Mahmod dari kebangkitan rakyat yang menentang kezaliman Kerajaan BN.

Isu rampasan tanah Adat atau NCR berleluasa dan sangat kritikal. Kuasa Ketua Menteri sangat besar; sewenang-wenangnya tanah yang di duduki dan di usahakan penduduk puluhan tahun di rampas. Kononnya penduduk menceroboh kawasan hutan simpan dan tadahan air.

Ada rumah penduduk yang dibakar, kebun di sodok oleh jentolak, tanaman musnah dicincang lumat oleh anggota penguatkuasa kerajaan negeri seperti Jabatan Hutan dll.

Peliknya; kawasan yang dirampas di beri pula kepada syarikat-syarikat kroni atas nama pembangunan. Rakyat menderita dan hilang pergantungan.

Hatta; menuntut hak di Mahkamah pun di tangkap, dipukul dan di penjarakan seperti yang berlaku di Pensiangan.

Saya mengetuai Lajnah(Biro) Pembangunan Tanah & Wilayah PAS Pusat bersama rakan-rakan berulang alik ke Sabah Sarawak secara konsisten bertahun lamanya. Turun ke kawasan Pedalaman dan menyaksikan penderitaan rakyat.

Kemiskinan tegar, kemunduran melampau, sangat kurangnya kemudahan asas dan tersiksanya rakyat akibat cengkaman regim BN yang menindas rakyat. 20 tahun ke belakang jika dibandingkan Semenanjung.
Bahkan jika di ukur dengan negeri Kelantan pun seperti langit dengan bumi!
Kelantan jauh lebih maju dan membangun daripada Sabah dan Sarawak.

Saya bawa wakil penduduk ke Parlimen bertemu menteri dan pimpinan BN dan Pakatan Rakyat. Kita iringi mereka membuat aduan di Suhakam. Suhakam mengakui isu tanah Sabah dan Sarawak begitu kritikal dan political will pimpinan BN untuk menyelesaikannya sangat menyedihkan. Laporan Polis, serahan memorandum, bawa kes ke Mahkamah dan apa ruang telah kami lakukan.

Himpunan 123

Pagi ini Himpunan 123 Bangkit di adakan di perkarangan Pejabat Ketua Menteri. Ratusan rakyat yang datang dari Tawau, Keningau, Pensiangan, Kudat, Lahad Datu, Sandakan, Sepanggar dll dengan Bas sewa khas serta pengangkutan awam dilayan begitu buruk oleh Musa Aman.

Harapan tinggi rakyat yang sengsara kerana tanah mereka di dirampas untuk mengiringi pimpinan Ngo dan pimpinan etnik kaum menyerah memorandum di anggap remeh Kerajaan BN.

Adakah wajar pegawai rendah di tugaskan menerima memorandum hanya di 'tepi jalan' Wisma Negeri?
Mana pergi Musa Aman atau sekurang2nya Menteri Kanan Sabah? Hina sungguh rakyat jelata diperlaku Kerajaan BN!
Apa salahnya di bawa masuk wakil2 NGO dan penduduk sekurang-kurangnya di ruang tamu Wisma Negeri?
Apa salahnya Kerajaan Negeri mendengar dulu isi hati dan derita rakyat?

Ada penduduk menempuh perjalanan selama 12 jam; hanya mampu makan nasi bungkus sepanjang perjalanan, tayar kereta pancit di tengah jalan dan macam-macam kesukaran yang di alami untuk sampai ke Pejabat Ketua Menteri. Begini kesudahan layanan Musa Aman. Mana slogan ' Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan?

Perjuangan rakyat akan di teruskan. Seperti slogan penduduk Sabah; 'Tanah adalah nyawa kami, tanah adalah kehidupan kami.'

Kami tidak akan putus harapan dan patah semangat. Regim Musa Aman wajib ditumbangkan!
-------------------------------------------
Penulis, AJK PAS Pusat,  telah dihalang memasuki Sabah malam tadi. Beliau ditahan dan dihantar balik kemudiannya ke Semenanjung.

Malek Noor tamatkan zaman bujang

Berita Harian Online | Malek Noor tamatkan zaman bujang:

BEKAS jaguh bina badan negara, Datuk Abdul Malek Noor, 56, dan isterinya, Dr Wan Asma Wan Ismail, 52, sah menjadi suami isteri dengan satu lafaz pada majlis akad nikah di rumah pengantin perempuan di Kelantan Trade Centre (KTC) Kota Bharu, hari ini. - Foto Syamsi Suhaimi



KOTA BHARU: Bekas jaguh bina badan Asia, Datuk Malek Noor, 56, selamat melangsungkan pernikahan dengan seorang doktor pakar kanak-kanak Hospital Pakar Perdana, Dr Wan Asma Wan Ismail, 52, dalam satu majlis sederhana di penthouse Kelantan Trade Center (KTC) di sini, kira-kira jam 11 pagi tadi. 

Majlis akad nikah itu diwalikan bapa kandung Dr Wan Asma sendiri, Wan Ismail Wan Ahmad, 86, dengan mas kahwin senaskah al-Quran di tingkat 18 bangunan KTC berkenaan yang turut disaksikan kira-kira 30 ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak pasangan pengantin itu.

Dr Wan Asma menghantar tujuh dulang hantaran untuk Malek yang dibalas dengan lima dulang hantaran oleh pihak lelaki.
'via Blog this'

Forgive me

44,643 keluarga hidup amat daif

Berita Harian Online | 44,643 keluarga hidup amat daif:


Oleh Hamid Karim
bhnews@bharian.com.my
2012/03/11

Elemen psikologi halangan utama golongan miskin naikkan taraf ekonomi 

KLANG: Sebanyak 44,643 keluarga daripada lebih 100,000 keluarga miskin tegar yang dikenal pasti di negara ini didapati hidup dalam keadaan amat daif kerana tidak mempunyai bekalan makanan harian mencukupi setiap hari.
Bagaimanapun, usaha kerajaan membantu mereka meningkatkan taraf hidup menemui pelbagai kekangan termasuk dari segi psikologi kerana ada segelintir mereka seakan tidak mahu keluar daripada kepompong kemiskinan walaupun beberapa agensi bertanggungjawab turun padang menangani masalah itu hampir sepanjang masa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, berkata jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding angka dicatatkan sebelum ini, apabila kerajaan menerusi transformasi melancarkan pelbagai program menerusi 1Azam bagi memastikan negara bebas kemiskinan menjelang 2020. 

Beliau berkata, sebahagian keluarga miskin tegar itu hidup merempat di beberapa lokasi di bandar utama, termasuk menjadikan tepi jalan di Kuala Lumpur sebagai kediaman. 

Katanya, program 1Azam masih berjalan aktif dan setakat ini sumbangan syarikat swasta dalam menyalurkan bantuan bagi membantu program itu menjadi lebih berkesan, mulai menampakkan hasilnya. 

“Setakat ini, usaha mengurangkan bilangan keluarga miskin di kawasan bandar saja yang dilihat berdepan beberapa halangan. Walaupun banyak program kerajaan gerakkan, golongan terbabit dilihat lebih senang berada dalam kemiskinan. 
“Malah, ada kes apabila kerajaan menawarkan mereka peluang bekerja di syarikat swasta, tidak ramai menerimanya, sebaliknya mereka menyatakan hanya memerlukan bantuan makanan. 

“Ada juga kes mereka yang ditawarkan bekerja hanya bertahan tujuh hari, sebelum berhenti kerja,” katanya pada sidang media selepas merasmikan bangunan Grace Community Services (GSC) di Taman Berkley, di sini semalam. 

Hadir sama, Pengarah Urusan TA Enterprise, Datin Alicia Tiah dan pengasas serta Presiden GSC, Dr Henry K Pillai. 

Idris turut mendedahkan tidak sampai tiga orang sehari mendaftar dengan program membantu golongan miskin mendapat pekerjaan dan ada yang memberi pelbagai alasan tidak munasabah, seperti ketiadaan tempat tinggal walaupun ada syarikat sanggup menyediakan kediaman dan masalah pengangkutan disediakan. 

Katanya, kerajaan melihat elemen psikologi golongan terbabit menjadi antara halangan utama kerana sebahagian besar mereka hanya memerlukan bantuan makanan kerana dipercayai merasakan hidup mereka semakin tidak bernilai. 

“Sebab itu, kerajaan dengan kerjasama syarikat swasta mula memperkenalkan pendekatan psikologi dengan menekankan elemen spiritual kepada golongan itu menerusi kata-kata semangat bahawa walaupun miskin, tetapi mereka juga masih mempunyai harapan dalam kehidupan ini sama seperti orang lain,” katanya. 

Pada masa sama, Idris berkata, kerajaan melalui program transformasinya, berjaya membuka 500,000 peluang pekerjaan hingga tahun lalu dan semakin menghampiri sasaran ditetapkan iaitu 600,000 peluang pekerjaan kepada golongan sasaran. 

“Usaha syarikat swasta seperti TA Enterprise patut dipuji kerana membantu menyediakan empat lot kedai secara percuma kepada GSC bagi memudahkan badan bukan kerajaan itu (NGO) bekerjasama dengan kerajaan membasmi kemiskinan dan membantu mengurangkan masalah sosial di negara ini,” katanya.
'via Blog this'