Saturday, May 22, 2010

Rindu terubat

KUALA LUMPUR: Walaupun hanya dua jam, seorang ibu reda selepas penantiannya selama setahun setengah berakhir apabila berjumpa dengan anak perempuan berusia empat tahun yang sebelum ini di bawah jagaan suami selepas mereka berpisah.
Audrey Amira Goon Abdullah, 33, dapat berjumpa dengan Alya Natasha selepas Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, mengeluarkan perintah terhadap suaminya, Abien Rosmon Hamid, 34, membawa kanak-kanak itu ke mahkamah, semalam.
Sebelum ini, mahkamah yang sama mengeluarkan waran tangkap terhadap Abien selepas lelaki itu yang juga pegawai eksekutif teknologi maklumat, dua kali gagal hadir dalam prosiding membabitkan hak jagaan anak mereka.

Mahkamah yang sama juga pada masa itu meletakkan nama Abien ke dalam senarai hitam bagi membolehkan polis membuat tangkapan sekiranya ditemui berikutan Audrey sendiri gagal menemui lelaki dan anaknya itu.

Dalam prosiding di hadapan Hakim Syarie Mohd Radzi Abdul Latif, semalam, peguam syarie Dorina Abdullah yang mewakili Audrey Amira memohon anak guamnya diberi peluang berjumpa dengan Alya secara bersendirian tanpa ditemani sesiapa.

Hakim Syarie Mohd Radzi memberi peluang kepada Audrey Amira berjumpa dengan Alya selama dua jam dan menasihati Abien bersikap budiman dan adil bagi membolehkan pertemuan dua beranak itu berjalan lancar.

“Bapa mana tidak sayang anak, tetapi dia ibu yang mengandung dan melahirkan anak itu. Berilah peluang kepada ibu seminggu atau dua, kamu boleh pergi sendiri ke rumah Audrey Amira dan lihat sendiri jika benar dia ada cubaan merosakkan akidah anak itu, kemukakan bukti kepada mahkamah.

“Syurga anak di bawah tapak kaki ibu. Berbaik sangka dan berilah kesempatan kepada mereka berdua. Kamu jangan kacau pula pertemuan mereka,” katanya.

Sementara itu, peguam syarie Mohd Nor Md Din yang mewakili Abien memaklumkan kepada mahkamah bahawa Mahkamah Rayuan Syariah mengeluarkan perintah bahawa Mahkamah Tinggi Syariah, terkhilaf dalam keputusan menyerahkan hak jagaan anak kepada Audrey Amira. Mohd Nor berkata, pihaknya sebelum ini mengemukakan permohonan semakan semula terhadap keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang mengeluarkan hak jagaan anak diberikan kepada Audrey Amira.

Kes hak jagaan anak itu diteruskan melalui Majlis Sulh. Bagaimanapun, jika tidak dapat sebarang penyelesaian, perbicaraan akan dijalankan.

Ketagih ganti isteri

KUALA TERENGGANU: Dia bukan saja kemaruk berpoligami hingga memiliki 27 anak hasil 11 perkahwinan, malah turut mengamalkan amalan jijik dengan memaksa isteri minum air kencingnya supaya menuruti segala perintahnya, selain amalan menjadikan anak dara sebagai koleksi terbaru teman hidupnya.
Lebih mengejutkan, lelaki berusia 52 tahun yang didakwa memiliki ilmu memikat wanita itu turut bersikap pelik apabila kerap bertukar isteri ketiga dan keempat seperti menukar baju, malah ada antara mereka hanya seminggu bergelar isteri sebelum diceraikan.
Poligami pelik lelaki itu dibongkar bekas isteri keempat lelaki terbabit yang berpisah pada 2005 lalu selepas bergelar isteri tiga tahun.

“Saya berpisah dengannya hanya kerana kesalahan kecil, tetapi tidak pernah menyesal sebaliknya bersyukur kerana bagaikan terlepas mulut buaya.

“Saya akui sejak bersamanya tiga tahun, zahir dan batin saya terseksa selain didera kerana kesalahan kecil,” katanya yang hanya ingin dikenali sebagai Su berusia 27 tahun.

Dia berkata, selama bersama lelaki terbabit, dia bagaikan dipukau kerana tidak berdaya melawan, menegah atau menegur perlakuan dan perangai bekas suaminya termasuk membawa balik wanita lain ke rumah. Katanya, keadaan itu bukan hanya dia mengalaminya, malah tiga madunya turut berdepan keadaan sama.

“Lebih baik bergelar janda daripada terseksa hidup bersama dia,” katanya.

Su yang kini hidup bahagia bersama suami baru mendakwa selain memiliki ilmu memikat wanita, lelaki terbabit mengamalkan amalan jijik apabila memaksa wanita dikahwininya meminum air kencingnya.

“Dia meminta saya melakukan seks oral dan pada masa sama memaksa saya menelan air kencingnya. Selepas berbuat demikian saya seperti dipukau serta apa saja dilakukannya tanpa sebarang bantahan walaupun ada kalanya timbul perasaan marah dan tidak puas hati dengan setiap perbuatannya,” katanya.

Mengimbau kembali pertemuannya dengan lelaki terbabit, Su berkata, dia mula jatuh cinta dan sukar melupakan lelaki terbabit selepas dihembus asap rokok ketika berkunjung ke rumah keluarganya di Kuala Berang pada 2003.

“Ibu bapa saya sudah lama mengenali dia dan setiap kali berkunjung ke rumah, dia melahirkan hasrat untuk melamar saya, namun saya menolak kerana tidak pernah menyintainya yang ketika itu memiliki tiga isteri.

“Walaupun tahu saya tidak sukakannya, namun dia tetap berusaha dan tidak putus asa memujuk dengan apa cara termasuk menggunakan ilmu memikat wanita menggunakan asap rokok,” katanya.

Menurut Su, dia masih ingat apabila lelaki terbabit mengarahkan dia duduk berlawanan angin ketika bersembang di beranda rumah sebelum menghembuskan asap rokok ke arahnya sambil membaca mantera dipercayai ayat memikat wanita.
Katanya, walaupun dia tidak menyimpan perasaan terhadap lelaki yang layak dipanggil ayah itu, namun dia tidak berdaya menolak setiap arahan lelaki terbabit dan menurut apa saja bagaikan dirinya dipukau.

“Selepas terkena hembusan rokok lelaki terbabit, saya menjadi resah dan tidak senang duduk seolah-olah angau apabila tidak dapat melupakan lelaki terbabit sebelum bersetuju menerima lamarannya tiga hari kemudian,” katanya.

Dia berkata, selepas bergelar isteri lelaki terbabit, kehidupannya berubah apatah lagi tinggal berhampiran tiga madunya di sebuah kampung di pinggir bandar raya ini.

Katanya, selepas tiga hari bergelar isteri, dia terkejut dan mengesyaki lelaki terbabit mengamalkan ilmu salah apabila memaksa dia menelan air kencing ketika melakukan seks.

Menurutnya, selain amalan itu, tindakan lelaki terbabit mengadakan hubungan kelamin hanya di rumah isteri ketiga juga dirasakan pelik, malah lebih membingungkan dirinya apabila semua isteri dikehendaki berkumpul di rumah berkenaan sebelum melakukan seks.

“Ketika berkumpul, dia akan memilih seorang isteri yang dia suka untuk melakukan persetubuhan dan bukan mengikut giliran,” katanya.

Menurut Su, selepas berkahwin baru dan memiliki dua anak, dia mengakui kehidupannya kini jauh lebih aman dan bahagia bersama suami yang mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga selain menyayanginya sepenuh hati.

BN boleh tumbang jika tidak selesai isu setempat di Sabah - Maximus



Dr. Maximus J.Ongkili (tiga kanan) bersama beberapa pemandu persatuan teksi Bandaraya Kota Kinabalu menunjukkan isyarat 1Malaysia semasa melancarkan Promosi Kenderaan Karnival Malaysia Inovatif 2010 Zon Sabah di balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, semalam.


KOTA KINABALU 21 Mei - Kerajaan Barisan Nasional (BN) Sabah akan tumbang pada pilihan raya umum akan datang jika isu-isu setempat tidak ditangani dengan segera mulai sekarang.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, antara isu yang mendesak dan perlu diselesaikan segera adalah berkaitan tanah.
"Isu tanah sangat relevan di Sabah dan akan menumbangkan kita kalau kerajaan tidak sensitif dan melakukan tindakan cepat.
"Misalnya, kita tengok isu tanah semasa pilihan raya kecil di Sibu, Sarawak, baru-baru ini, walaupun beberapa keputusan telah dibuat bagi menyelesaikannya seperti pengumuman premium baru tanah di Sarawak, tetapi semua itu sudah terlambat," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Karnival Malaysia Inovatif 2010 (MI2010) Zon Sabah di perkarangan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini hari ini.
Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) itu berkata, semua pihak terutama parti komponen BN perlu mengikut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu pemimpin bekerja keras dengan menyelesaikan masalah di peringkat akar umbi.
Menurutnya, BN Sabah diingatkan supaya tidak hanya memberi tumpuan untuk memastikan undi di kawasan bandar tidak hilang dan mengambil mudah pengundi luar bandar yang dikatakan penyokong tegar kerajaan.
Mengenai dakwaan Parti Liberal Demokratik (LDP) yang mendakwa BN Sabah kini mengalami krisis kepimpinan dan tidak lagi akan menjadi simpanan tetap BN, beliau berkata, kenyataan itu adalah keterlaluan.
Katanya, perhubungan antara parti komponen masih kukuh begitu juga dengan sokongan ahli parti di peringkat akar umbi tetapi tidak menafikan memang terdapat beberapa kelemahan yang masih boleh dibaiki.

Awas 4 perompak di Batu Gajah


4 penjenayah rompak kedai

BATU GAJAH 21 Mei - Empat penjenayah bersenjatakan sepucuk pistol dan tukul besi mengambil masa hanya tiga minit untuk melarikan beberapa dulang barangan kemas bernilai RM100,000 dari sebuah kedai emas di Pekan Lama, Jalan Tanjung Tualang, dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Naib Mohamad berkata, dalam kejadian pada pukul 9.45 pagi, kesemua mereka yang memakai topeng muka menyerbu masuk ke kedai itu manakala seorang lagi menunggu dalam kereta.
Katanya, ketika itu hanya terdapat pemilik kedai dan isterinya yang berusia 50-an serta seorang anak serta menantunya berusia 30-an.
"Salah seorang perompak itu terus menunjukkan sepucuk pistol dan mengarahkan mereka supaya mendiamkan diri.
"Mereka kemudian memecahkan cermin pameran dengan tukul besi sebelum melarikan barangan kemas," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata Abd. Aziz, dalam rompakan itu bagaimanapun tiada sebarang kecederaan berlaku.
Menurut saksi kelima-lima perompak tersebut melarikan diri dengan sebuah kereta Honda City.
"Polis yang menjalankan siasatan menemui kereta digunakan perompak itu di Taman Gopeng Indah dekat sini.
"Mereka dipercayai lari dengan sebuah kereta lain yang menunggu di Lebuh Raya Utara Selatan dan dipercayai menuju ke Ipoh," katanya.
Abd. Aziz berkata, polis sedang menyiasat berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan identiti perompak terbabit.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan.
Sementara itu, seorang anak mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Tang berkata, penjenayah tersebut menyerbu masuk ke dalam kedai sejurus selepas mereka membuka perniagaan kira-kira pukul 9 pagi.
"Seorang daripada perompak itu mengacukan pistol dan mengarahkan mereka diam. Dua lagi memecahkan cermin pameran barangan kemas dan seorang bersenjata kayu menunggu di tepi pintu kedai itu.
"Saya takut, tetapi bersyukur kerana tidak diapa-apakan dalam kejadian itu," katanya.