Showing posts with label bantu. Show all posts
Showing posts with label bantu. Show all posts

Sunday, September 4, 2011

Perlu bantuan


ROSLINA Che Ros bersama Khalib Yahya serta anak mereka, Mohd Azizi melihat gambar-gambar yang pernah disiarkan dalam akhbar ketika ditemui di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, baru baru ini. - MINGGUAN/ SAZALI CHE DIN




BUKIT MERTAJAM 3 Sept. - Masih ingatkah anda kepada Mohd. Azizi Khalib, remaja yang terselamat daripada kemalangan tragis pada 2009, tetapi terpaksa menempuh penderitaan termasuk hilang ingatan selepas sebahagian daripada tempurung kepalanya terpaksa dibuang.
Selepas berjaya melepasi saat-saat genting pembedahan memasang tempurung kepala pada 6 Julai 2009, harapan Mohd. Azizi, 19, untuk pulih kembali cerah sekali gus menceriakan seluruh ahli keluarganya.
Bagaimanapun, selepas dua tahun berlalu, keluarga remaja malang ini kembali dalam dilema apabila dimaklumkan tempurung kepala yang dipasang tidak dapat berfungsi dengan baik dan terpaksa diganti dengan tempurung palsu.
Ibu Azizi, Roslina Che Ros, 41, berkata, berita terbaharu itu membuatkan dia bingung memikirkan nasib anaknya itu.
"Azizi sepatutnya menjalani pembedahan itu pada Jun lalu, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana kami tidak mampu menyediakan wang pendahuluan RM2,000 untuk menampung kos pembedahan.
"Sebelum ini saya telah membuat permohonan meminta bantuan kepada Pusat Urus Zakat (PUZ) Pulau Pinang, tetapi sehingga kini saya tidak tahu apa perkembangannya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Petani di sini, baru-baru ini.
Utusan Malaysia pernah menyiarkan kisah Azizi yang cedera parah setelah motosikal yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 3 Mac 2009 sehingga menyebabkan dia mengalami pendarahan otak sebelum tempurung kepalanya terpaksa dibuang.
Ketika ramai tidak yakin Azizi mampu bertahan, remaja itu berjaya menjalani pembedahan kritikal memasang semula tempurung kepalanya di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada Jun 2009 sehingga dia dikenali dengan julukan remaja 'kepala ajaib'.
Roslina memberitahu, doktor dari HPP masih belum memutuskan berapakah kos terkini bagi pembedahan tersebut kerana tarikh baru untuk membolehkan Azizi dibedah belum ditentukan lagi.

Saturday, December 4, 2010

Kerabat diraja mahu membantu

KUALA TERENGGANU: Penderitaan yang dialami keluarga mangsa simbahan asid mendapat simpati ramai apabila pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri dan kerabat diraja mula tampil menghulurkan bantuan.
Seorang kerabat diraja negeri ini yang tersentuh hati dengan penderitaan dua beradik yang cacat di muka selepas disimbah asid oleh bapa mereka Ogos lalu bersedia membantu mereka mendapat rawatan termasuk membuat pembedahan plastik.

Tekanan emosi dan penderitaan ditanggung dua kanak-kanak berkenaan, Nurul Dahyatul Mat Haizan, 8, dan adiknya, Muhammad Irfan Firdaus, 2, mendapat perhatian kerabat diraja berkenaan yang mahu kecacatan mereka dirawat segera.

Seorang pegawai kerabat diraja terbabit ketika menghubungi Harian Metro semalam memberitahu bantuan kepada keluarga itu sebahagian daripada usaha berterusan pihaknya membantu anak negeri ini yang ditimpa musibah atau terhimpit dengan kesusahan.

“Tengku begitu prihatin dengan penderitaan kanak-kanak berkenaan dan mahu berjumpa keluarga itu serta berusaha membantu seberapa yang boleh dengan segera,” katanya.

Sementara itu, ibu kanak-kanak berkenaan, Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28, ketika dimaklumkan mengenai hasrat kerabat diraja berkenaan membantu mendapatkan rawatan termasuk pembedahan plastik untuk dua anaknya, teruja dan menyambutnya dengan lafaz syukur.

Che Ku Zaimah yang turut cedera akibat simbahan asid itu berkata, dia sedih dengan tekanan emosi ditanggung dua anaknya yang tersinggung dengan ejekan rakan hingga malu ke sekolah, justeru berharap ada kepastian segera mengenai langkah rawatan dan pemulihan. “Sepanjang kami berulang alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan, belum ada kepastian daripada doktor sama ada pembedahan plastik akan dibuat. “Hendak membuat pemeriksaan di hospital swasta sudah tentu kami tidak mampu,” katanya yang kini tinggal di rumah ibunya di Kampung Sekayu, Kuala Berang, ketika dihubungi, semalam. Che Ku Zaimah berkata, Nurul Dahyatul paling mengalami kecacatan di muka paling teruk akibat simbahan asid itu, sebelum ini memakai topeng, tetapi kerana malu diejek rakan, dia tidak memakainya lagi menyebabkan lukanya bertambah parah kerana terdedah kepada panas matahari.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr A Rahman Mokhtar berkata, kerajaan negeri bersedia menghulurkan bantuan kepada keluarga terbabit menerusi pelbagai bantuan bersesuaian.

Beliau meminta keluarga berkenaan berjumpa doktor pakar di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) mendapatkan maklumat lanjut mengenai kecederaan dialami dan kos pembedahan diperlukan sebelum mengisi borang dan merujuk kepada pegawainya.

“Di bawah portfolio saya, terdapat Dana Khas Sosial Perubatan untuk membiayai kos perubatan mereka yang menghidap penyakit kronik dan jumlah bantuan sama ada separuh atau penuh ditentukan kemudian bergantung kepada keadaan ekonomi keluarga dan pertimbangan pegawai terbabit.

“Selain itu, keluarga berkenaan juga boleh memohon bantuan menerusi Tabung Darul Iman yang diluluskan peruntukan RM10 juta oleh kerajaan negeri bagi membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, masih terlalu awal menentukan kos pembedahan plastik dan jumlah bantuan yang boleh diberikan kepada keluarga terbabit kerana perlu mengambil kira pelbagai faktor seperti rawatan susulan dan tempoh masa.

Begitupun Dr A Rahman memberi jaminan memberi bantuan berdasarkan latar belakang ibu mangsa yang tidak bekerja selain Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said sendiri memberitahu kerajaan negeri memberi apa saja bantuan diperlukan kepada keluarga terbabit ketika melawat mereka di HSNZ, Ogos lalu.

Kisah malang kanak-kanak malang berkenaan berlaku apabila kedua-dua ibu bapa mereka menghadapi krisis rumah tangga dan di ambang untuk berpisah.

Dalam kejadian pada jam 1.45 pagi 15 Ogos lalu, bapa kanak-kanak berkenaan, Mat Haizan Mat Yassin, 32, memecah masuk rumah mentuanya, Minah Omar, 56, dan menyimbah cuka getah yang dibawanya dalam bungkusan plastik dan menyimbah ke arah Che Ku Zaimah tetapi terkena Nurul Dahyatul, Muhammad Irfan dan Minah.

Bapa kanak-kanak berkenaan bertindak demikian kerana marah dengan tindakan Che Ku Zaimah yang meminta cerai.

Bagaimanapun, bapa mereka mendapat balasan atas perbuatannya dan menjalani hukuman penjara 10 tahun dan lima sebatan kerana mengaku salah menyimbah asid kepada Che Ku Zaimah.

Rabu lalu, Mahkamah Sesyen di sini turut menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan kerana menyimbah asid kepada Nurul Dahyatul dan penjara dua tahun kerana mencederakan Muhammad Irfan Firdaus. Bagaimanapun, kedua-dua hukuman itu berjalan serentak setelah mahkamah mengambil kira pengakuan salah tertuduh.

Wednesday, June 23, 2010

Isteri minta Wisma Putra bantu suami


Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@bharian.com.my
2010/06/23

 HIDAYAH menunjukkan gambar suaminya, Muhamad Zulkifli yang ditahan oleh pihak berkuasa Mesir.
HIDAYAH menunjukkan gambar suaminya, Muhamad Zulkifli yang ditahan oleh pihak berkuasa Mesir.
Wanita tidak tahu sebab Muhamad Zulkifli ditahan 

KUALA LUMPUR: Isteri kepada pelajar Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Mesir sejak 10 hari lalu, merayu bantuan Wisma Putra bagi mengetahui punca penahanan serta status sebenar keadaan suaminya yang ditahan di penjara negara itu.Beliau yang hanya mahu dikenali sebagai Hidayah, 33, berkata hanya mengetahui suaminya, Muhamad Zulkifli Mohamad Zakaria, 41, ditahan di penjara Mesir melalui seorang rakan di negara berkenaan selepas tiga hari beliau dan dua anak pulang ke Malaysia.“Sehingga hari ini (semalam), genap 10 hari suami saya ditahan dan tiada sebarang berita dimaklumkan oleh mana-mana pihak berhubung status penahanannya. 

“Sehubungan itu, saya merayu bantuan Wisma Putra bagi membantu membebaskan suami saya secepat mungkin kerana sehingga kini saya sendiri tidak tahu kenapa dan atas sebab apa dia ditahan pihak berkuasa Mesir,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam. 

Muhamad Zulkifli yang baru menamatkan peperiksaan peringkat Sarjana ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Mesir pada 13 Jun lalu, ketika melalui pemeriksaan Imigresen untuk menaiki penerbangan pulang ke Malaysia. 

Difahamkan, penahanan dibuat berikutan Muhamad Zulkifli pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Malaysia kerana disyaki terbabit dengan Kumpulan Militan Malaysia (KKM) pada 2001. 
Katanya, rakan suaminya yang cuba mendapatkan penjelasan dengan pihak berkuasa Mesir berhubung penahanan itu juga gagal, sebaliknya hanya mengesahkan berada dalam penjara, namun sebab ia ditahan tidak boleh didedahkan. 

“Ketika hari kedua ditahan, suami sempat menghubungi rakannya di Mesir memaklumkan sudah dua hari tidak menjamah sebarang makanan. 

“Kelmarin, saya sendiri sudah bertemu Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman untuk mendapatkan perkembangan terkini suami dan menteri memaklumkan akan mendapatkan penjelasan dan meminta pembebasan dilakukan dalam tempoh terdekat,” katanya. 

Hidayah berkata, tujuan mereka sekeluarga ke negara terbabit sejak sebulan lalu hanya bertujuan menemani suami bagi menduduki peperiksaan akhir tanpa sebarang tujuan tertentu. 

“Ketika berada di Lapangan Terbang sebelum berlepas pulang, saya tidak nampak sebarang tanda suami akan ditahan sebelum melalui pemeriksaan Jabatan Imigresen,” katanya. 

mengatakan dan salah seorang anggota mengatakan suami perlu ditahan untuk sementara waktu bagi untuk siasatan. 

“Saya yang pulang dulu atas arahan suami terpaksa akur dan ketika berangkat pulang ke Malaysia, saya hanya dijanjikan oleh anggota terbabit bahawa suami akan menyusul pulang menggunakan penerbangan lain,” katanya. 

Sementara itu, jurucakap Kedutaan Malaysia di Mesir ketika dihubungi, berkata pihaknya sudah menemui Muhamad Zulkifli beberapa hari lalu dengan bantuan pihak berkuasa negara itu, namun tidak dijelaskan motif sebenar penahanan itu dilakukan. 

Katanya, pihaknya juga tidak tahu berapa lama Muhammad Zulkifli akan ditahan, namun siasatan terhadapnya masih dijalankan dan mangsa kini di tempatkan di satu lokasi rahsia. 

Monday, June 14, 2010

Dua beradik hidap glaukoma rayu bantuan

BUKIT MERTAJAM: Hidup dua beradik dari Bukit Kechil, Juru, di sini, yang sebelum ini bekerja sebagai nelayan semakin suram berikutan penyakit glaukoma dideritai sejak lima tahun lalu masih belum sembuh.
Walaupun menjalani rawatan di sebuah pusat rawatan tradisional di Kuala Lumpur tahun lalu hasil bantuan seorang penderma, keadaan Abdul Manaf Ahmad, 53, dan Razali, 44, masih tidak berubah.
Berikutan penyakit itu, mereka perlu mendapat bekalan ubat saraf membabitkan kos RM1,400 sebulan seorang, namun tidak mampu kerana tidak mempunyai sumber kewangan. Keadaan itu menyebabkan mereka hanya terperap di rumah dan bergantung pada bantuan Pusat Urus Zakat (PUZ) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), masing-masing RM300 sebulan.

Menurut Abdul Manaf, pada tahun lalu, dia dan Razali menjalani rawatan di Pusat Perubatan Keraton, Kuala Lumpur hasil inisiatif seorang individu yang menderma RM10,000.

“Selepas rawatan itu, kami sepatutnya mengambil ubat saraf sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan bagi memulihkan penglihatan, namun kosnya tinggi mencecah RM1,400 seorang.

“Berikutan itu, kami hanya terperap dalam rumah dan tak mampu membuat pekerjaan seperti orang normal,” katanya di sini, semalam.

Abdul Manaf berharap ada sektor korporat atau institusi tertentu sanggup menghulurkan bantuan bagi membolehkan mereka membeli ubat yang disyorkan.

“Kami pernah memohon bantuan dari Yayasan Kebajikan Negara (YKN) tetapi tidak lulus,” katanya.

Friday, June 11, 2010

Bantu keluarga 9 dibunuh Israel

KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menyampaikan sumbangan rakyat Malaysia AS$45,000 (RM149,709) kepada keluarga sembilan rakyat Turki yang dibunuh tentera Israel dalam insiden kapal Mavi Marmara minggu lalu.
Bantuan disampaikan kepada Duta Turki ke Malaysia, Serap Attay di kediamannya di Langgak Duta di sini.
Mengulas mengenai bantuan itu, Rosmah berkata, setiap keluarga sukarelawan yang terbunuh akan menerima AS$5,000 (RM16,634.40).

Dalam insiden pada 30 Mei lalu, sembilan warga Turki itu terbunuh selepas tentera rejim Zionis menyerang kapal yang dalam perjalanan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Insiden itu turut menyaksikan 12 rakyat Malaysia di atas kapal terbabit ditahan Israel.

Mengulas mengenai kejadian itu, Rosmah berkata, rejim Israel kini tidak lagi berani mengulangi kejadian serupa kerana dunia sedang memerhati tindak-tanduk mereka.

“Dunia sudah tahu tujuan mereka masuk ke kapal yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza bukan sekadar membuat pemeriksaan ke atas barang dan peserta, tetapi lebih daripada itu,” katanya. - Bernama