Sunday, August 15, 2010

Felda Berhutang RM3 Bilion - Dr Tan Kee Kwong


Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan atau singkatannya Felda didakwa mendapatkan pinjaman RM3 bilion ringgit dari Kerajaan Malaysia.
Bukan sahaja ia berhutang kepada Kerajaan, bahkan Felda didakwa turut berhutang dan tidak mampu membayar kontraktor-kontraktor yang dilantik untuk menguruskan tanah perladangan.
Bekas Timbalan Menteri Datuk Dr Tan Kee Kwong berkata Felda perlu menjelaskan mengapa ia tidak melunaskan pinjaman-pinjaman itu jika benar status kewangan Felda kukuh.
"Baru-baru ini mulanya 3 tahun konsep Felda Global yang Perdana Menteri Najib Abdul Razak impikan. Peruntukan yang sudah diguna ialah sebanyak RM3 billion termasuk wang pinjaman dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Kalau Felda banyak wang kenapa perlu atau terpaksa pinjam dari KWSP?" soal Dr Tan.
Kerajaan sebelum ini membidas dakwaan bahawa Felda diancam kemuflisan. Kerajaan bagaimanapun akui bahawa rizab tunai Felda susut daripada RM4.08 bilion pada tahun 2004 kepada hanya RM 1.35 bilion pada 2009.
"Banyak kontraktor dan subkontraktor yang buat kerja untuk Felda, dalam terdapat aduan bahawa Felda telah berhutang sebanyak RM300 juta kepada kontraktor. Sudah 8 bulan berlalu tetapi 8 sen pun tak dibayar. Kalau Felda ada banyak wang saya minta pihak felda dan pengerusi Najib sila jawab," kata Dr Tan.
Sementara itu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Sivarasa Rasiah mencabar Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Yusof Nor mendedahkan pendapatannya selaku pengerusi badan itu.
Sivarasa berkata ada dakwaan yang mengatakan bahawa pendapatan Mohd Yusof mencecah RM2 juta setahun termasuk gaji dan elaun.
"Walaupun ada kemungkinan dakwaan itu dakwaan semata-mata, namun beliau perlu jawab, khususnya kepada peneroka. Sebagai pengerusi Felda, tentu sekali pendapatannya tinggi," ujar Sivarasa.
Baru-baru ini lebih 700 peneroka dari dua penempatan Felda di Negeri Sembilan menyaman Felda sebanyak RM200 juta atas dakwaan penipuan yang telah berlaku selama 15 tahun.

perlu bantuan

SUNGAI MANIK: “Secara kasarnya, saya memerlukan wang sebanyak RM300 sebulan untuk membeli lampin pakai buang, tetapi bantuan RM130 sebulan yang diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Hilir Perak sejak empat bulan lalu tidak mencukupi,” kata warga emas Jaharah Din, 63, mengenai suaminya yang hanya mampu terlantar akibat sakit tua sejak lima bulan lalu.
Jaharah berkata, berikutan itu, suaminya, Yaakub Siraj, 68, bukan saja tidak mampu bergerak sebaliknya hanya terlantar di tempat tidur.
“Suami saya juga terpaksa menggunakan lampin pakai buang setiap masa dan segala urusan membersihkan dirinya juga dilakukan di tempat tidur.

“Justeru, saya meminta pihak yang berkenaan dapat menghulurkan bantuan bagi meringankan beban kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin, selepas ditemui ketika melawat Yaakub berkata, beliau memberi jaminan untuk meminta JKM menambah bantuan yang munasabah bagi meringankan beban keluarga berkenaan.

Tiga korban pertama Ramadan


YALA 14 Ogos - Lelaki bersenjata disyaki pemberontak, menembak mati tiga orang termasuk seorang pegawai polis di selatan Thailand hari ini, dalam serangan maut pertama bulan Ramadan.
Pegawai polis itu ditembak mati awal pagi ini ketika menunggang motosikal di Yaring, Pattani.
Dalam satu serangan berasingan, dua lelaki berusia 42 dan 41 tahun, maut ditembak ketika dalam perjalanan ke sebuah ladang getah di Yala.
Pertumpahan darah berlaku ketika pihak berkuasa memberi amaran tentang serangan skala besar sepanjang bulan Ramadan yang bermula Rabu lalu.
Gabenor Yala, Krissada Boonrach meminta semua agensi keselamatan wilayah bersedia menghadapi keganasan yang mungkin berlaku.
Thailand bulan lalu melanjutkan perintah darurat di tiga wilayah bergolak di selatan negara sehingga Oktober ini ketika ia berusaha menghentikan kekacauan yang mengakibatkan lebih 4,100 kematian dalam tempoh enam tahun. - AFP

ADUN 'tidak dibenar' buat gotong-royong di surau



IPOH 14 Ogos - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat, Datuk Hamidah Osman 'tidak dibenarkan' membuat program gotong-royong memasak bubur lambuk di sebuah surau di Taman Song Choon dekat sini pada 1 Ramadan lalu sedangkan premis itu terletak di dalam kawasan beliau.
Alasan yang diberikan oleh pengerusi surau tersebut adalah kerana ahli politik tidak dibenarkan terlibat dengan surau berkenaan dan perkara itu perlu dibincangkan terlebih dahulu oleh jawatankuasa surau berkenaan.
Namun, yang menariknya, pada tarikh tersebut juga, pengerusi surau itu menjemput Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin menyampaikan 'tazkirah'nya di situ.
Hamidah ketika diminta mengulas mengenai isu tersebut berkata, beliau berasa kesal kerana 'tidak dibenarkan' mengadakan program memasak bubur lambuk di surau tersebut pada hari pertama umat Islam berpuasa.
Katanya, semasa permohonan dibuat, pengerusi surau berkenaan memberikan alasan perlu mengadakan mesyuarat untuk membincangkan perkara itu sebelum dapat memberi keputusan.
"Dia (pengerusi surau itu) janji hendak hubungi saya balik tetapi tiada apa-apa selepas dua hari.
"Persoalannya, ia begitu negatif sejak awal lagi. Selepas isu itu masuk dalam blog, barulah program saya diluluskan 8 September ini, itu pun dekat hari raya," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata Hamidah, beliau tidak mempunyai masalah dengan pengerusi surau tersebut yang merupakan penyokong Pas dan individu yang menjadi pencadang kepada calon yang bertanding menentang beliau di DUN Sungai Rapat pada Pilihan Raya Umum lalu.
"Saya rasa kesal, mereka selalu tunjukkan imej kita, kalau UMNO semua tidak betul tetapi kalau Pas semuanya betul," katanya.
Menurut beliau, sebelum ini, pihaknya pernah dihalang mengadakan majlis sambutan Maulidur Rasul di surau tersebut dan hanya dibenarkan selepas campur tangan Majlis Agama Islam Perak.
"Itu pun, mereka kunci pagar dan tuduh saya menceroboh surau berkenaan. Walhal, saya berusaha mendapatkan peruntukan RM250,000 untuk ubah suai surau itu sebelum ini," katanya.
Beliau juga mendakwa, di Perak sekarang terdapat dua pemimpin bukan Islam dari DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memakai baju Melayu dan bersongkok menyertai moreh di surau-surau untuk memenangi hati orang Melayu.
"Sekarang ini, orang bukan Islam pun mempolitikkan agama Islam dan apa yang menyedihkan, puak-puak Pas reda dan merelakannya," tegas beliau.

Penduduk Gaza rayu bantuan


SUKARELAWAN berbilang kaum dan agama bersama mengagihkan bantuan kemanusiaan kepada masyarakat Palestin di klinik komuniti Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin di Dier El Ballah, Gaza, semalam. - Bernama


GAZA 14 Ogos - "Bantulah kami." Itu antara luahan sayu Muna Abu Qudrah, 42, yang tinggal di dalam khemah sementara berlantaikan pasir putih bersama tujuh anaknya di sini.
Muna terpaksa lari selepas rumah yang didiami musnah akibat diserang tentera Israel tujuh bulan lalu.
Wanita tersebut antara 40 penduduk dari Mahata Dier El Ballah, utara Gaza, yang terpaksa mencari tempat berlindung selepas menghadapi tindakan kejam rejim Zionis itu.
Melihat khemah yang didiaminya tanpa sebarang kemudahan termasuk bekalan air dan elektrik sudah cukup menggambarkan penderitaan berpuluh-puluh penduduk yang tinggal di tanah milik kerajaan itu.
Nasib sama turut dialami Maream El Lah, 72, apabila terpaksa mencari tempat berteduh ketika keadaan kehidupan kini semakin tidak menentu.
Dua penduduk ini adalah antara ribuan mangsa kekejaman Israel yang ditemui anggota Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Gaza anjuran kelab berkenaan yang diketuai presidennya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.
Misi dengan 67 anggota termasuk 35 doktor itu turut menyaksikan terdapat kanak-kanak kecil terbiar tanpa mempunyai makanan dan pakaian yang mencukupi.
Kehadiran anggota misi tersebut melegakan penduduk terbabit setelah sekian lama mereka tidak pernah dibantu seperti itu, apatah lagi di bulan Ramadan.
Bekalan tepung dan makanan termasuk kuih bahulu dan kuih bakar yang dibawa anggota misi berkenaan diterima dengan penuh makna oleh penduduk terbabit, sekali gus membuktikan keikhlasan sukarelawan dari Malaysia untuk membantu.
Sehingga kini sudah lebih 1,000 penduduk di Gaza telah dibantu termasuk membiayai perbelanjaan menyediakan makanan untuk beberapa buah masjid di Gaza.
Dalam pada itu, Abdul Azeez yang turut memberikan hadiah berupa permainan kanak-kanak di sebuah klinik Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) tidak menyangka sumbangan tersebut menjadi impian kanak-kanak apabila para sukarelawan yang mengagihkan barangan tersebut diserbu.
Sebahagian doktor turut mengambil kesempatan berbudi kepada kepada penduduk di Dier El Ballah dengan menghulurkan barangan makanan.
Abdul Azeez berkata, kesengsaraan penduduk sebagaimana dilihat oleh anggota misi berkenaan menunjukkan betapa mereka begitu memerlukan bantuan pihak luar untuk meneruskan kehidupan.
"Kami tidak sanggup melihat penderitaan seperti ini apatah lagi sesama Muslim," ujarnya yang terpaksa berjalan bersama anggota misi sejauh 1.5 kilometer untuk menyerahkan bantuan.
Katanya, sudah pasti sumbangan rakyat Malaysia masih diperlukan untuk penduduk Gaza ini. - MINGGUAN

Banteras peminta sedekah



KOTA BHARU – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sini, menjangkakan kegiatan mengutip derma bermusim pada Ramadan ini akan muncul dan mereka mula menjalankan kegiatan sekitar negeri ini. 

Pengarahnya, Md Noor Chik berkata, jabatan itu akan mempertingkatkan operasi bagi mengesan dan menyelamatkan kanak-kanak mahupun golongan warga emas yang terlibat dengan kegiatan ini. 

Md Noor tidak menolak kemungkinan lebih ramai individu akan menjadi pengutip derma yang berkeliaran dan berlegar-legar meraih simpati bagi mendapatkan wang. 

“Selain operasi bulanan yang dilakukan sebelum ini, kita akan menggandakan lagi pemantauan di sekitar bandar ini sepanjang Ramadan untuk membendung kegiatan seperti ini. 

“Kita juga bimbang kewujudan individu tertentu secara bermusim ini adalah melibatkan sindiket yang sengaja mengambil kesempatan ketika Ramadan,” katanya kepada Sinar Harian di Lundang dekat sini. 

Beliau juga yakin kerana sifat rakyat kita yang pemurah menjadikan mereka ini meneruskan kelakuan itu, namun bagaimanapun Md Noor bersama pegawainya tetap akan melakukan sesuatu supaya kegiatan berkenaan boleh dikurangkan. 

“Pemantauan serius juga akan dilakukan di beberapa lokasi yang sering menjadi tumpuan golongan peminta sedekah secara bermusim ini. Kita juga akan pastikan modus operandi mereka ini. 

“Sebelum ini difahamkan ada pihak yang menghantar untuk mengutip derma dan mengambilnya dalam jangka masa tertentu, tetapi itu adalah salah satu cabaran kepada kami. Saya berharap orang ramai dapat membantu pihak JKM dalam menangani isu ini,” katanya. 

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian juga mendapati, pengutip derma ini berani mengetuk cermin kenderaan yang berhenti di lampu isyarat untuk meminta wang. 

Sinar Harian difahamkan ada antara peminta sedekah ini sebenarnya bukanlah miskin tetapi malas bekerja sedangkan kudrat masih gagah untuk mencari rezeki. Sehinggakan ada pengunjung memberitahu individu itu dapat hidup lebih baik dengan hasil mengutip derma.

Tiada tempat mengadu




MERSING – Sudah jatuh namun ditimpa tangga, itulah ungkapan yang dialami oleh seorang ibu orang kurang upaya (OKU) kerana nasib malang menimpanya dalam nahas kemalangan dulu. 

Iadayati Ahmad, 37, terlibat dalam kemalangan yang melibatkan sebuah kereta dan lori sembilan tahun lepas. 

Nahas yang meragut nyawa suaminya, Md Amin Marsat itu berlaku di persimpangan jalan Kota Tinggi – Kulai pada 2001 yang turut menyebabkan beliau koma selama dua bulan dan enam bulan terlantar di hospital tanpa mengetahui keadaan suaminya. 

Menurutnya, semenjak kemalangan itu menimpa, kehidupannya berubah kerana selama ini dia bergantung kepada pendapatan suaminya sahaja. 

Iadayati berkata, syarikat insurans hanya memberikan wang pampasan tidak berpadanan dengan jumlah yang sepatutnya dapat. 

“Syarikat insurans hanya memberikan pampasan sebanyak RM4,000 dan sebahagian daripadanya digunakan untuk menjelaskan bayaran khidmat peguam. 

“Dengan RM2,000, apa sa�ngat yang boleh dilakukan, sedangkan kos berulang-alik ke mahkamah pun lebih daripada itu. Timbul juga rasa tertanya-tanya sebab saya hanya mendapat sejumlah kecil sahaja, sedangkan ia melibatkan kematian,” katanya. 

Setelah pulih daripada kecederaan, dia berulang-alik ke mahkamah untuk proses tuntutan insurans diri dan Allahyarham suaminya yang memakan kos yang agak tinggi. 

Dia yang mempunyai dua cahaya mata berumur sembilan dan 15 tahun hasil perkongsian hidup dengan Allahyarham bergantung hidup de�ngan elaun OKU yang diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan. 

Kini, beliau telah berumah tangga dengan Abdul Lani Mohamad, 47, suami barunya yang hanya bekerja sebagai buruh dan menghidap asma. 

Menurutnya, kini beliau dan anak-anak menumpang rumah yang diberi tumpang oleh ibu mertua yang juga serba kekurangan. 

“Saya memohon kepada sesiapa yang boleh membantu supaya kes tersebut dibuka kembali kerana saya berhak untuk memohon pampasan daripada syarikat insurans atas kejadian tersebut. 

“Dan saya ada menerima notis daripada peguam supaya menandatangani dokumen untuk menutup kes tersebut tanpa ada sebarang sebab munasabah. Ini menimbulkan persoalan sebab kes itu ditutup sedangkan apa yang sepatutnya saya dapat masih belum saya dapat,” katanya. 

Menurutnya, dia pernah meminta khidmat Biro Bantuan Guaman tetapi diarahkan merujuk perkara tersebut ke ibu pejabat di Kuala Lumpur. 

Peneroka Felda dapat duit raya



KUALA LUMPUR - Seramai 101,391 peneroka Felda akan menerima duit raya RM350 seorang, manakala 11,244 peneroka yang tidak bersama Felda akan diberi RM150 seorang. 

Ketika mengumumkan demikian semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pembayaran itu akan dibuat sebelum hari raya Aidilfitri ini di semua rancangan Felda di seluruh negara. 

“Pemberian duit raya ini melibatkan bayaran berjumlah RM37.14 juta, terdiri RM35.47 juta bagi yang bersama Felda dan RM1.67 juta bagi yang tidak bersama Felda,” katanya dalam satu kenyataan, semalam. 

Najib berkata, hampir 10 peratus daripada keseluruhan 112,635 peneroka Felda, atau seramai 11,244 peneroka, dikategorikan sebagai tidak bersama Felda kerana mereka tidak menanam semula menerusi agensi itu. 

:“Saya berharap, pemberian duit raya ini sedikit sebanyak akan dapat meringankan bebanan kewangan keluarga peneroka dalam membuat persiapan menjelang ketibaan Syawal. 

“Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru peneroka yang tidak bersama Felda agar kembali bersama dengan agensi ini untuk memaju dan memakmurkan lagi tanah-tanah rancangan,” kata Perdana Menteri. - Bernama

Kerajaan Kelantan diingat patuhi undang-undang berhubung dinar


KOTA BAHARU - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengingatkan Kerajaan Kelantan agar tidak sewenang-wenangnya membuat peraturan baru seperti penggunaan dinar dan dirham tanpa merujuk kepada kerajaan Pusat. 

Mustapa berkata, kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa dinar emas dan dirham perak itu akan dijadikan sebagai mata wang alternatif adalah jelas melanggar peraturan Bank Negara Malaysia (BNM). 

"Saya nasihatkan kerajaan Kelantan jangan pandai-pandai (buat peraturan).

Apa pun nak dibuat perlu berbincang kerana nanti rakyat terkeliru dengan bidang tugas kerajaan Pusat dan kerajaan negeri. 

"Soal mata wang ini bidang tugas kerajaan Pusat, bukan kerajaan negeri dan ini apa yang telah dibuat adalah jelas melanggar undang-undang negara. Kita ada perlembagaan dan peraturan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan Umno Kelantan di sini, hari ini. 

Dua hari lalu Nik Aziz melancarkan mata wang syariah dinar dan dirham yang akan digunakan dalam transaksi seharian termasuk pembayaran gaji kepada kakitangan awam. 

Kira-kira 1,000 peniaga di bandar ini dilaporkan bersetuju untuk menerima dinar emas dan dirham perak dalam transaksi perniagaan mereka. 

Dinar dan dirham itu dikeluarkan oleh anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Kelantan Golden Trade. 

Semalam, BNM menegaskan hanya mata wang ringgit sah diperakukan bagi pembayaran barangan dan perkhidmatan di negara ini dan menolak penggunaan dinar dan dirham. 

Semalam juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa menyalahkan media yang katanya keliru dengan pelancaran mata wang syariah tersebut sedangkan ia adalah pengenalan kepada sistem pertukaran barang yang menggunakan dinar dan dirham itu. 

Mengulas isu itu lagi Mustapa berkata apa yang dilakukan Kelantan itu sebenarnya hanyalah bertujuan politik semata-mata dan untuk meraih simpati rakyat yang akhirnya akan menyalahkan kerajaan Pusat kerana menolak penggunaan dinar dan dirham itu. 

"Ini tindakan politik dan untuk mendapatkan sokongan politik yang kononnya nanti kerajaan Pusat tidak Islamik dan ini jelas untuk mengasak kerajaan Pusat dan perkara ini amatlah mendukacitakan kami," katanya. 

Mustapa berkata, ketika ini kenyataan Nik Aziz dan Husam ternyata bercanggah mengenai penggunaan dinar dan dirham itu serta menyifatkan kedua-dua pemimpin PAS itu sudah "terperangkap" dengan isu itu.

Sementara itu Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan yakin isu dalaman membabitkan Umno Bahagian Rantau Panjang akan selesai selewat-lewatnya penghujung tahun ini. 

"Kita ada langkah tertentu yang akan diambil mengatasinya dan untuk menyakinkan rakyat hari ini kita lancarkan program juara rakyat di bahagian itu dan besar harapan kita keadaan di sana akan kembali pulih demi Umno," katanya. 

Turut hadir pada mesyuarat itu Timbalan Menteri Kewangan yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Sukarelawan Malaysia hampir pengsan ketika bertugas di Gaza


GAZA CITY - Seorang sukarelawan Misi Kemanusiaan Ke Gaza Kelab Putera 1Malaysia hampir pengsan kerana mengalami dehiderasi ketika kumpulan itu sedang menyampaikan bantuan makanan dan selimut kepada 300 keluarga di kem Der Al-Balah dekat sini.

Ketika kejadian pada kira-kira pukul 2.25 petang, Azman Mohd Noor, wartawan akhbar Utusan Malaysia, bersama 66 sukarelawan misi kemanusiaan itu baru saja tiba di Klinik Komuniti Der Al-Balah yang dikendalikan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS).

Azman, 43, sebelum itu bersama lebih 40 sukarelawan beragama Islam berjalan sejauh 2km dari Masjid Al-Yafa selepas selesai menunaikan solat Jumaat untuk ke klinik itu yang terletak di kawasan berdekatan.

Namun ketika anggota pasukan itu sibuk mengedarkan bantuan kepada penduduk tempatan, Azman mengadu merasa pening dan hampir pengsan sebelum diberikan rawatan di klinik itu oleh beberapa doktor Malaysia.

Dr Rihana Rafie yang memeriksa keadaan Azman berkata, bapa kepada empat anak itu mengalami dehiderasi akibat cuaca panas padang pasir mencecah 40 darjah selsius selain tidak cukup rehat kerana bekerja keras dan berpuasa.

"Kita datang untuk beri bantuan kepada rakyat Gaza, tapi tak sangka rakyat kita juga sakit di sini," kata Dr Rihana yang turut menasihatkan Azman untuk berbuka puasa bagi meredakan keadaan kesihatannya. 

Namun wartawan yang berasal dari Baling, Kedah itu meneruskan puasanya selepas diberikan rawatan 'Intra Venous Drip' (dimasukkan air ke dalam badan) dan tekanan darahnya kembali normal.

Beliau menyambung tugas membuat liputan seperti biasa selepas dibenarkan berehat di Klinik Komuniti Der Al-Balah oleh ketua misi Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim sebelum pasukan itu terus ke lokasi lain di kawasan berdekatan.

Seorang lagi sukarelawan dari RTM, Safeek Affendy Razali menghadapi serangan gout di kaki dan diberikan suntikan, berkemungkinan kerana terlalu banyak makan daging kambing yang menjadi menu wajib sukarelawan semasa berada di sini.

Terdapat juga di kalangan sukarelawan yang menghadapi masalah gatal-gatal kulit, sakit kerongkong dan cirit-birit sejak memasuki wilayah konflik itu yang bertujuan menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada 2,000 keluarga di beberapa penempatan di Gaza. 

Sehingga hari ini, lebih 1,200 keluarga di Jabalyah, Der Al-Balah, Gaza City, Khan Younis dan Saifa, kawasan utara Gaza yang bersempadanan dengan Israel, menerima bantuan makanan, selimut dan ubat-ubatan diedarkan di hospital, klinik, stor simpanan PRCS dan dari rumah ke rumah sejak beberapa hari lepas.