Showing posts with label Tuan Ibrahim Tuan Man. Show all posts
Showing posts with label Tuan Ibrahim Tuan Man. Show all posts

Sunday, December 18, 2011

Masa untuk jatuhkan Umno BN, bukan bertelagah



Mohd Sabri said
TASEK GELUGOR, 17 Dis: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan teguran Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali terhadap Datuk Dr Hasan Ali dan Ustaz Nasharudin Mat Isa umpama pemimpin yang sayangkan sahabatnya.
Beliau ketika ditemui di majlis Tawaran PAS Negara Berkebajikan di Dewan Orang Ramai Pajak Song, Kepala Batas pagi tadi menambah, apa yang diperkatakan oleh Mustafa itu bukan untuk memanjangkan isu sebaliknya untuk memberitahu kedua-dua tokoh tersebut bahawa mereka telah terjerat dengan agenda Umno.
"Apa yang ditegurkan oleh Datuk Mustafa Ali umpama teguran seorag pemimpin yang sayangkan sahabatnya yang dilihat sudah memasuki zon musuh.
“Jika tidak ditegur mungkin mereka terperangkap terus dalam kancah untuk merosakan PAS dari dalam, tambahan lagi ketika berhadapan dengan pilihan raya umum akan datang," jelasnya dalam program anjuran Lajnah Penerangan PAS Negeri Pulau Pinang.
Sambungnya, fenomena itu tidak sepatutnya berlaku jika semua pihak lebih berhati-hati dan tidak mengeluarkan kenyataan mendahului kepimpinan.
Sekarang ini, katanya masa lebih memerlukan kepada kerja untuk menjatuhkan Umno dan Barisan Nasional (BN), bukan pertelagahan sesama sendiri dalam isu yang kecil.
“Masa ini kita patut memperkasakan kedudukan menjadi lebih mantap bersama Pakatan Rakyat agar rakyat lebih percaya Pakatan Rakyat yang dibarisi parti seperti PAS, PKR dan DAP daripada Umno dan BN yang jelas meruntuhkan negara dalam jangka masa panjang.
"Marilah kita bersatu hati merancang menjatuhkan Umno dan BN dengan memperkemaskan semua jentera parti dalam Pakatan Rakyat, mudah-mudahan PR dapat mengulang kejayaan nanti," kata Tuan Ibrahim lagi.
Masa untuk jatuhkan Umno BN, bukan bertelagah:

'via Blog this'

Thursday, September 8, 2011

Kerakyatan: Mahu lucut Mat Sabu tapi beri pada pendatang



"Menghalau penjajah lebih mudah berbanding membuang pemikiran penjajah" – itulah ungkapan untuk menggambarkan negara kita walaupun telah merdeka 54 tahun, namun pemikiran penjajah masih kukuh dan utuh dalam pemikiran sesetengah golongan sehingga ada yang masih berbangga dengan apa yang ditinggalkan penjajah. Apa yang menyayatkan hati ialah kebutaan golongan ini dalam membakulsampahkan golongan yang ikhlas berjuang menghalau penjajah kini sebagai komunis.
Manakala golongan yang sanggup bersekongkol dengan penjajah dan taat menerima segala arahan penjajah sehingga membidas, mencedera dan malah ada yang sanggup membunuh orang sendiri yang melawan penjajah pula didewa-dewakan mereka sebagai hero.
Seluruh fakta sejarah yang bersama Inggeris dikekalkan, bahkan nama-nama parti politik masih menggunakan bahasa penjajah (Umno, MIC, MCA – semua adalah singkatan bahasa Inggeris) masih bangga mendabik dada dan berulang-ulang menyebut “Kamilah pejuang bangsa, Kamilah pembela tanahair” sehingga bertukar menjadi “Kami sahajalah pejuang bangsa, Kami sahajalah pembela tanahair” sehingga mengabaikan dan menggugurkan jasa para pejuang lain yang tidak diiktiraf pihak Inggeris dalam sejarah.
Dalam bab menjaga Islam lagi menyedihkan. Selepas 54 tahun negara merdeka, nama Islam bukan sahaja tidak bertambah harum, malah kian dilihat sebagai agama yang menghalalkan rasuah dalam pentadbiran, penyalahgunaan kuasa demi kekal berkuasa, rakyat didahulukan untuk disembelihkan apabila ekonomi negara disalahtadbir dan perundangan Islam hanya berlegar soal peribadi dan kekeluargaan.Bukan itu sahaja, malah majoriti institusi-institusi agama turut dikongkong untuk mengembangkan ajaran Islam dengan pelbagai enakmen yang direka bukan sahaja menyusahkan dan pada masa yang sama menyebabkan agama Islam ditertawakan.
Banggakah kita sesudah 54 tahun merdeka, isu-isu utama seperti soal perpaduan kaum, soal agama dan dasar pendidikan nasional dan soal memartabatkan bahasa kebangsaan masih teraba-raba mencari jalan keluar? Setiap kali menjelang pilihanraya umum, isu agama dan kaum akan digunakan sebagai senjata sewenang-wenangnya oleh parti pemerintah untuk dijaja kepada kaum masing-masing bagi meraih undi.Inilah nasib bilamana negara dipimpin oleh mereka yang pemikiran masih dibelenggu oleh elemen penjajah.
Akhir-akhir ini, gesaan untuk melucutkan kerakyatan dan memperbanyakkan laporan polis dan saranan seseorang agar ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hanya kerana bercanggah pendapat dengan pihak pemerintah telah menjadi satu budaya baru dalam negara.Segalanya dibuat seolah-olahlah merekalah undang-undang, dan merekalah pendakwa dan merekalah jugalah hakim.
Terbaru, timbul pula desakan menggugurkan kerakyatan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu semata-mata kerana beliau mengangkat Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan. Tiada pula kedengaran, ada yang menyarankan mereka yang terlibat dalam konspirasi memberikan kerakyatan kepada warga asing dengan sewenang-wenangnya, yang terang-bederang khianat kepada negara selepas 54 tahun merdeka untuk dibuang kerakyatan.
Ini bukan ke satu lagi mentaliti penjajah – di mana mereka sanggup mengelirukan orang Tanah Melayu sendiri untuk melawan orang Tanah Melayu sendiri, tapi masa yang sama menjual negara ke tangan warga asing untuk mengundi mereka supaya boleh kekal berkuasa? Penjajah turut melakukan perkara yang sama, orang Tanah Melayu diambil sebagai pegawai, polis dan juga askar untuk melawan orang Tanah Melayu yang menentang penjajahan mereka supaya mereka boleh kekal berkuasa.
Sekiranya perlu Mat sabu digugurkan kerakyatan kerana menganggap Mat Indera sebagai seorang hero, bagaimana pula dengan penulis dan pakar sejarah yang menerbitkan buku Pengukir Nama Johor, yang dikatakan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman sebagai “penulisan dan catatan tersebut menjadi bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik untuk memperkayakan khazanah maklumat dan rakaman peristiwa sejarah kemerdekaan untuk tatapan dan pengetahuan generasi sebagai iktibar, panduan dan peringatan” yang mengangkat Mat Indera juga sebagai hero.
Bagaimana pula dengan kerakyatan Abdul Ghani apabila kenyataan beliau bercanggah dengan buku yang dinaungkannya sebagai “bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik” pada 2004 dengan menggelar Mat Indera sebagai pengganas untuk meneruskan hujah Umno yang semakin menikam Umno sendiri? Desakan ini juga sebenarnya menggambarkan betapa rakusnya kerajaan pemerintah dalam mengekalkan kuasa sehinggakan soal perundangan boleh diabaikan.
Kalau diikutkan kehendak Umno, rakyat langsung tak boleh bersuara menentang apa yang dilakukan oleh kerajaan – asalkan bercanggah dan menyebabkan kerajaan pemerintah tidak gembira, anda boleh disaran untuk dibuang kerakyatan. Sedangkan pada waktu yang sama, kerajaan pula beri warga asing kerakyatan walaupun mereka langsung tidak mempunyai apa-apa jasa kepada negara.

Inilah contoh terbaik untuk mengungkapkan kata-kata P.Ramlee “fening, fening.”

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
-HARAKAHDAILY

Wednesday, August 31, 2011

Sejarah: Cakaplah benar walaupun pahit



KUALA LUMPUR, 31 Ogos: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, manusia perlu jujur dalam mengkaji dan menafsir sejarah tanpa prejudis.
“Secara peribadi, saya merasakan adalah perlu untuk kita jujur dalam mengkaji dan menafsir semua fakta sejarah. Cakaplah benar, walaupun ia pahit,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini sebagai mengulas isu kenyataan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang diputarbelitkan oleh media perdana.

Dalam isu sejarah kejadian Bukit Kepong yang dibangkitkan Mohamad dalam satu ceramahnya yang sengaja dijadikan isu kontroversi hangat oleh Umno baru-baru ini, Tuan Ibrahim berkata isu siapa pejuang dan siapa pengkhianat amat berkait rapat dengan bagaimana isu asas itu.
"Apakah British dan konconya yang telah menjajah negara ini dianggap kita sebagai hero ataupun penjajah?

“Kaitannya adalah kerana kalau negara terima mereka sebagai penjajah, maka secara logiknya semua yang menentang penjajah akan dianggap sebagai hero.

"Inilah yang terjadi kepada penilaian baru sejarah Mat Kilau, Tok Gajah, Tok Bahaman, Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong dan yang lain-lainnya. Mereka ini bangun mengajak rakyat menentang penjajahan British dan sejarah kini menganggap mereka hero dan pejuang,” kata beliau.

Utusan Malaysia dalam laporan muka depannya baru-baru ini menyiarkan Mohamad Sabu sebagai mendakwa Muhammad Indera, lelaki yang bersekongkol dengan Goh Pen Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai tersebut.

Ini disusuli pula dengan pelbagai kecaman daripada pemimpin-pemimpin Umno, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, timbalannya Muhyiddin Yassin dan terbaru mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Selain itu, Utusan melaporkan, timbalan presiden PAS itu, dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu, turut mendakwa Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan kerana menganggap mereka sebagai pegawai British.

Tuan Ibrahim menegaskan bahawa kedudukan dan jasa Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman dan lain-lain sebagai nasionalis sehingga berjaya merunding kemerdekaan negara pada 1957 dalam sejarah negara, walaupun mereka pernah menjadi pegawai British tidak perlu dipertikaikan, dinafikan dan jauh sekali nak dipersoalkan dalam tafsiran sejarah.

“Namun jika hanya merujuk kepada tahun 1950, apakah pula status golongan yang melawan penjajah British dan kerajaan British pada waktu itu – adakah mereka adalah hero ataupun pengkhianat?” soal beliau.

"Disebabkan pada zaman British menjajah negara kita, British telah berjaya memperalatkan beberapa tokoh Melayu untuk bersekongkol dengan mereka, namun tidak dinafikan ada yang bersekongkol untuk menghalau British dari dalam kerajaan, katanya maka kini, timbul satu tafsiran baru daripada segi sudut sejarah.

“Kita harus faham kenapa berlakunya penentangan terhadap Inggeris oleh rakyat dari pelbagai bidang - ada yang menyertai PKMM, PKM dan lain-lain - semuanya bagi menentang penjajah British dan mereka yang bersekongkol dengan penjajah British.

"Atas penilaian inilah, kita menafsir semula sejarah dan menganggap tokoh-tokoh pejuang yang melawan penjajah British sebagai hero.
Jikalau itu adalah tafsiran kita, bagaimana pula dengan golongan yang sanggup bersama dengan penjajah British? Apakah mereka juga hero?” tanya beliau, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

“Jika dua-dua pula jadi hero, siapa yang jadi pengkhianatnya? Takkan semua hero, dan takkan pula semua jadi pengkhianat? Jadi landasan mana dalam tafsiran sejarah yang perlu diikut, itulah persoalannya.
Katanya, secara penakulan mantik dalam menafsir sejarah secara hitam-putih, kalau yang melawan British adalah hero, maka yang bersekongkol adalah pengkhianat.
"Yang menyusahkan dan melawan arus penakulan mantiknya sekarang ialah apabila ada pihak yang  hendak menjadikan golongan yang bersekongkol dengan British ini juga sebagai hero,” terang beliau lagi.

Secara menafsir sejarah secara jujur, Tuan Ibrahim berpendapat bahawa semua kumpulan yang menentang penjajah waktu itu (1950) bertujuan untuk menghalau penjajah walau di atas landasan mana mereka berjuang sekalipun.

Namun demikian, kata beliau ia tidak boleh menafikan ada antara mereka yang mempunyai niat lain selepas berjaya “menghalau penjajah” – namun apa yang pasti, “menghalau penjajah” merupakan common goal yang pertama golongan ini pada waktu itu walaupun mimpi mereka lain-lain.

“Pada tahun 1950, adakah pihak komunis menentang penjajah ataupun negara? Sudah tentulah penjajah British. Itu hakikat kerana negara belum lagi Merdeka, yang ditentang mereka ialah kerajaan British dan orang yang dilihat bersekongkol dengan penjajah British yang menakluki Tanah Melayu.

Selepas Merdeka, adakah komunis menentang penjajah ataupun negara? Sudah tentulah negara yang sah yang telah dipilih rakyat dan merdeka daripada penjajahan British, maka di sinilah sebab utama mereka perlu ditentang habis-habisan. Tapi harus diingat, ini adalah waktu Merdeka, yang jauh berbeza situasinya pada 1950 ketika mereka menentang penjajah British.

"Oleh itu, soal menyokong komunis tidak timbul jika kita ikhlas dalam mengkaji dan menafsir sejarah tanpa prejudis,” tegas beliau, sambil menambah sekiranya tafsiran sejarah dibuat secara jujur tanpa prejudis, tujuan, motif dan situasi suatu-suatu peristiwa adalah berlainan daripada satu era ke satu era.

“Kita harus terima realiti waktu itu (1950) dan sudah tentunya ia tidak sama dengan realiti selepas Merdeka sebagaimana yang saya tegaskan tadi, bahawa tidak boleh dinafikan masing-masing ada agenda tersendiri SELEPAS menghalau penjajah,” kata beliau.

Kontroversi yang sama juga timbul pada sejarah tanahair yang paling kritikal iaitu di zaman peralihan antara Jepun dan British, katanya, di mana ada pejuang yang tersepit antara ingin bersama Jepun melawan British atau kekal menyokong British.

“Nyata yang selamat dari kontroversi ini ialah pejuang Islam yang bangun menentang atas nama jihad seperti Abdul Rahman Limbong, Mat Kilau dan Tok Janggut kerana mereka pastinya hero di dunia dan akhirat.

"Inilah pengajaran besar dari sejarah lampau agar kita jangan mengulangi kesilapan lalu. Professor Khoo Kay Kim mungkin tersenyum dengan polemik baru yang sengaja dibesarkan oleh Umno ini,” nasihat beliau.

Mohamad dalam satu sidang akhbarnya di Perlis berkata kenyataannya telah diputarbelitkan dan mendapati apa yang dilaporkan oleh akhbar Umno, Utusan Malaysia berkaitan dengan tragedi Bukit Kepong adalah fitnah terhadap beliau dan PAS.
Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan peguamnya untuk menghantar notis saman kepada akhbar itu dan memintanya meminta maaf dan menarik balik laporan palsu itu.harakahdaily