Wednesday, February 2, 2011

Mubarak diberi masa hingga lusa


BANTAHAN BESAR-BESARAN: Ratusan ribu rakyat Mesir dari segenap lapisan masyarakat berhimpun di Dataran Tahrir di Kahirah menyahut seruan supaya mengadakan bantahan terbesar di negara itu menggesa Presiden Hosni Mubarak meninggalkan jawatannya. -- Foto AP






Puluhan ribu rakyat asing mulai tinggalkan Mesir
KAHIRAH: Ratusan ribu rakyat Mesir membanjiri kawasan pusat Kahirah semalam, menyahut panggilan menyatukan sejuta rakyat Mesir menggesa Presiden Hosni Mubarak, 82 tahun, supaya meletakkan jawatannya selewatnya lusa, selepas hampir 30 tahun berkuasa.

Pada masa yang sama puluhan ribu rakyat asing mulai meninggalkan ibu kota Mesir itu, sedang pergolakan semakin meningkat, dengan sekurang-kurangnya 4,500 lagi dilaporkan masih terkandas di lapangan terbang Kahirah.

Para pembantah - lelaki, wanita dan kanak-kanak - berbondong-bondong memasuki kawasan Dataran Tahrir, di sini, melalui pusat-pusat pemeriksaan yang dikawal para pembantah sendiri dan anggota tentera.

Pihak tentera Mesir, kelmarin, berikrar tidak akan menggunakan kekerasan terhadap para pembantah yang berusaha mencetuskan perubahan terbesar dalam sistem politik Mesir sejak 1952, apabila para pegawai tentera menggulingkan Raja Farouk.
Tindakan pihak tentera itu juga membayangkan sokongan semakin luntur terhadap Presiden Mubarak, sedang para pembantah menunjukkan kesungguhan mereka untuk menggulingkan pemimpin Mesir itu.
'Kami tidak akan pergi ke mana-mana sehingga Mubarak meninggalkan (jawatannya),' kata Encik Mohammed Abdullah, seorang jurutera penerbangan berusia 27 tahun, kepada agensi berita The Associated Press (AP), semalam.
Dataran Tahrir belum pernah melihat suasana lebih sesak dan hiruk-pikuk sejak protes bermula pada 25 Januari lalu, apabila rakyat Mesir mulai jenuh dengan rejim autokratik Presiden Mubarak yang didakwa kurang mengendahkan keperluan golongan miskin serta membiarkan kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa berleluasa.
Khidmat Internet juga disekat oleh pemerintah Mesir.
Pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Encik Mohamed El-Baradei, berkata Presiden Mubarak harus meletakkan jawatannya menjelang lusa.
'Apa yang saya dengar (daripada pihak pembantah) ialah mereka mahu ini berakhir menjelang selewat-lewatnya Jumaat ini,' katanya semalam.
Satu jawatankuasa pemimpin pembangkang pula, dalam kenyataan bersamanya, semalam berkata mereka tidak akan berunding dengan rejim sekarang sehingga Presiden Mubarak 'meninggalkan' jawatannya.
Presiden Mubarak kini mungkin menerima nasib sama seperti bekas presiden Tunisia, Encik Zine El Abidine Ben Ali, yang digulingkan pada 14 Januari lalu. -- Agensi.

Tenang: Peratusan undi Melayu meningkat, Cina tidak berubah



KUALA LUMPUR 1 Feb. - Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, semalam, memperlihatkan kejayaan parti itu untuk terus mendapat sokongan pengundi Melayu.
Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah Politik, Institut Kajian Rantau Asia Barat (IKRAB), Prof. Madya Dr. Kamaruzaman Yusoff berkata, peratusan undi Melayu yang diperoleh menunjukkan mereka masih kekal bersama-sama BN terutama dari kawasan Felda.
Bagaimanapun katanya, peratusan undi Cina berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini membuktikan mereka masih terus dipengaruhi oleh beberapa isu lain yang menjejaskan sokongan terhadap BN.
''Pengundi Melayu nampaknya telah menunjukkan penghargaan mereka kepada kerajaan BN atas bantuan yang diberikan tetapi, saya masih tak faham dengan pengundi Cina.
''Adakah pengundi Cina masih tidak berpuas hati dengan beberapa perkara yang dilaksanakan atau dibangkitkan oleh BN? Selain itu, faktor cuaca di Tenang semalam juga mempengaruhi peratusan pengundi,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Tenang dengan majoriti lebih besar menerusi calonnya Mohd. Azahar Ibrahim dengan majoriti 3,707 undi selepas mendapat 6,699 undi untuk mengalahkan calon Pas, Normala Sudirman yang hanya memperoleh 2,992 undi.
Kamaruzaman yang melihat trend pengundi Cina di Tenang semalam sebagai satu perkara serius berkata, beliau sebelum ini menjangkakan BN akan menang lebih banyak berikutan jumlah pengundi Cina adalah kedua tertinggi di Tenang.
''Tetapi, jangkaan itu meleset apabila keputusan pilihan raya itu memperlihatkan pengundi Cina tidak begitu membantu BN mencapai kemenangan lebih besar. Persoalannya adakah pengundi Cina merasa sukar untuk keluar mengundi ekoran keadaan hujan semalam,'' soalnya.
Bagi Pengarah Pusat Analisis Politik Malaysia (Mapan), Dr. Zaheruddin Othman, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek perlu menggalas tanggungjawab atas penurunan undi Cina dengan menyelesaikan masalah dalaman parti itu secara menyeluruh.
''Justeru, sebagai persiapan menghadapi PRU akan datang, walaupun Tenang atau Johor adalah kubu kuat BN, parti itu tidak boleh lalai sebaliknya mesti bijak menggunakan strategi yang lebih baik untuk menarik sokongan pengundi,'' katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. berkata, kejayaan BN kurang memberi impak kepada Pas kerana jumlah sokongan yang diterima parti itu tidak banyak berubah.
Beliau seterusnya menyangkal dakwaan Soi Lek sebelum ini bahawa pengundi Cina telah berbalik kepada BN.
''Hakikatnya, masih ramai yang belum menyokong BN. Justeru, MCA perlu berusaha lebih kuat lagi.
''Daripada aspek isu-isu yang dimainkan BN di DUN Tenang, nampaknya ia memberi kesan kepada pengundi Melayu khususnya di Labis yang terus menyokong BN dan UMNO,'' katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Siva Murugan Pandian berkata, MCA perlu bekerja lebih keras untuk memulihkan kepercayaan pengundi Cina melalui percaturan munasabah.
Katanya, MCA perlu memainkan peranan tersebut dengan bertindak menjadi penghubung antara mereka dan kerajaan.
''MCA perlu mengkaji isu sebenar yang mengekang sokongan mereka walhal segala usaha telah dilaksanakan bagi memenuhi permintaan mereka termasuk pintu rundingan,'' katanya.
Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Teo Kok Seong berkata, kesatuan dalam MCA perlu dibina lebih kuat supaya rakyat lebih yakin dengan parti itu.
''Walaupun kemelut dalam MCA sudah selesai, perpaduan antara pemimpin perlu dibina lebih kuat kerana ia boleh memberi gambaran positif kepada pengundi Cina.
''Bagaimanapun, saya lihat kepimpinan MCA di bawah Soi Lek adalah baik sehingga ia tidak mampu diperlekehkan oleh pembangkang,'' katanya.