Showing posts with label daif. Show all posts
Showing posts with label daif. Show all posts

Monday, March 11, 2013

Keluarga tak mampu, Nurul terlantar sakit saraf



Nurul terlantar sakit saraf
Lailawati membetulkan kedudukan anaknya, Nurul yang mengalami kesukaran bergerak.
Nurul terlantar sakit saraf
Lailawati tabah membesarkan anak-anaknya meskipun mengalami kesempitan hidup
Sekali pandang hati meruntun hiba melihat penderitaan adik Nurul Nur Iqmazatul Abd Manap, 15. Dengan tubuh yang kurus kering akibat menanggung penyakit saraf otak, dia sukar bergerak, tidak sepetah dan selincah remaja lain seusianya.

Bagi Lailawati Omar, 45, hati ibu mana yang dapat menahan air mata apabila menyaksikan zuriatnya terpaksa menanggung derita setiap hari.

“Ia satu ujian yang amat besar buat keluarga kami. Masalah kewangan menghimpit saya daripada mendapatkan rawatan terbaik untuk Nurul,” keluhnya hiba.

Dahulu Nurul sihat seperti seperti bayi lain. Nurul lahir sebagai anak yang sempurna dan sihat tubuh badan biarpun telah melewati tarikh jangkaan bersalin.

“Memandangkan tarikh dah terlajak, doktor memasukkan ubat untuk membolehkan saya melahirkan Nurul. Ketika itu sakitnya hanya ALLAH yang tahu. Saya betul-betul tidak tahan sehingga diserang sawan sedangkan Nurul masih belum lahir.

“Disebabkan sawan, jururawat beri saya ubat. Saya rasa terlalu sakit sehingga keadaan saya dan bayi masa proses kelahiran tu 50-50. Saya berada dalam keadaan yang tidak sedarkan diri. Jantina bayi yang lahir pun saya tidak tahu masa tu,” imbau Lailawati ketika ditemui di rumahnya,  Simpang Jelebu, Negeri Sembilan.

Syukur sambut kelahiran

Lailawati amat bersyukur dengan anugerah ILAHI yang sangat comel dan lincah itu. Bagaimanapun, gembira bertukar sedih apabila Lailawati dimaklumkan bayinya berhadapan masalah jantung.

“Ketika itu, saya tidak mampu berkata apa-apa melainkan berdoa kepada ALLAH semoga bayi saya sihat, dan syukur pada-Nya kerana beberapa hari kemudian, doktor benarkan saya membawa pulang anak ke rumah,” katanya.

Ujian terhadap Lailawati tidak terhenti setakat itu apabila ibu tunggal itu sekali lagi diuji dengan masalah kesihatan Nurul. Dia mendapati kelainan pada anggota badan Nurul yang tiba-tiba tegang dan berpusing.

“Kejadian berlaku di rumah ketika Nurul berusia dua bulan. Saya tak syak apa-apa berkaitan penyakit ini, kerana saya fikir, apabila Nurul dibenarkan pulang ke rumah bermakna dia sihat,” katanya.

Perubahan

Keadaan yang diharapkan sementara itu rupanya bertukar membimbangkan apabila Nurul tidak memberi respons apa-apa sehingga menginjak usia enam bulan.

Pergerakan Nurul tidak sama dengan bayi normal lain yang seusia dengannya membuatkan Lailawati mengesyaki sesuatu.

“Ketika itulah Nurul tunjuk perubahan ketara. Saya bawa Nurul ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk rawatan dan doktor dapati bebola mata Nurul bergerak-gerak. Macam bergegar,” katanya.

Lailawati berkata, doktor mengesahkan Nurul mengalami sawan tarik sehingga menyebabkan saraf otak mati. Selepas itu, dia semakin teruk apabila kulit kepala, pipi, dahi dan kelopak matanya dipenuhi daki sawan dan mengeluarkan lendir. Tidur bayi itu juga selalu terganggu kerana masalah kesihatannya.

“Apa yang saya sedihkan disebabkan tidak mampu untuk membuat rawatan susulan untuk memulihkan pergerakan anggota Nurul. Saya tidak bekerja dan kini menjadi ibu tunggal.

“Hanya sekali saya bawa Nurul ke hospital untuk rawatan fisioterapi tapi selepas itu tiada rawatan susulan dibuat sehingga ke hari ini,” katanya sambil menunduk.

Dalam sehari, Nurul akan diserang sawan sebanyak lebih 10 kali dan ada kalanya tidak terbilang melainkan air mata yang mengiringi hati Lailawati. Dia tidak mampu berbuat apa-apa meskipun risau dengan keadaan Nurul.

“Pernah saya memberi dia susu cair kerana tidak mampu untuk membeli susu tepung. Saya terpaksa minta bantuan pihak Baitulmal untuk membeli barangan keperluan Nurul dan dapur katanya.

“Saya bersyukur kerana ada jiran yang memahami dan banyak membantu. Dalam keadaan macam ini, sokongan dan semangat mereka, membuatkan saya  tabah menghadapi ujian,” katanya yang ada menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Manakala keperluan dan rawatan Nurul diperlukan sebanyak RM500 sebulan. Nurul yang belum mendapat bantuan orang kurang upaya (OKU) hanya terlantar di rumah, sambil ditemani adik-beradiknya, iaitu Mohd Iqmal Aqeem Abd Manap, 13, Mohd Iqmal, 11, dan Mohd Iqmal Al Ameer, 9.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bolehlah menyalurkannya kepada Lailawati Binti Omar melalui akaun CIMB Bank - 05150001400204 atau hubungi 012 - 9736307.

Sunday, February 17, 2013

Tujuh beranak terpaksa ikat perut, tumpang teduh di rumah ibu


Tujuh beranak terpaksa ikat perut, tumpang teduh di rumah ibu
Shahbani dan Norhasyimah (kiri) bersama anak mereka terpaksa tinggal di dalam rumah usang milik Azizah (belakang dua kanan).
ROMPIN– “Biarpun hidup saya umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, anak-anak tidak pernah saya biarkan kelaparan,” demikian luahan Shahbani Zain, 50, yang dihimpit kemiskinan berikutan tidak mempunyai sumber pendapatan tetap.

Shahbani bergantung harap kepada upah meracun, menebas rumput dan kerja-kerja kampung yang lain bagi menyara isterinya, Narhasyimah Ismail, 44, dan lima daripada sembilan anaknya.

Bagaimanapun Shahbani berkata, tiga daripada anaknya iaitu, Mohd Aminuddin, 15, Mohd Izaidi, 13 dan Alia Maisarah, 10, terpaksa melupakan alam persekolahan berikutan tidak mampu menanggung kos persekolahan anaknya itu.

“Pernah juga kami sekeluarga terpaksa makan nasi tanpa lauk, malah ada masa terpaksa mengikat perut hingga ke petang disebabkan kemiskinan yang dialami,” katanya kepada Sinar Harian.

Shahbani yang berpendapatan purata antara RM250 hingga RM300 sebulan berkata, ketika ini, seorang sahaja anaknya yang bersekolah iaitu, Norarisha yang berusia enam tahun.

“Itupun saya tak tahu sama ada dia dapat meneruskan persekolahan atau pun tidak memandangkan dia masih di peringkat Pra Sekolah lagi. Jika sudah masuk sekolah rendah atau menengah mungkin perbelanjaannya pun makin tinggi,” katanya.

Sebagai bapa menurutnya, dia mengakui mahu melihat anaknya berjaya dalam pelajaran, namun disebabkan kemampuannya yang terbatas menyebabkan dia tidak dapat memenuhi impian anaknya itu.

“Kalau boleh, saya tak mahu anak mewarisi kemiskinan yang dialami, tambahan pula kami sudah serik dengan kehidupan serba kekurangan ini dan saya sedar hanya pelajaran dapat mengubah nasib mereka.

“Bukan menyalahkan takdir, tetapi saya memang tidak mampu berbuat demikian,” katanya.

Shahbani berkata, mereka sekeluarga juga terpaksa menumpang di rumah ibunya, Azizah Ismail, 70, selepas rumah mereka tidak lagi boleh diduduki selepas rosak dimakan anai-anai.

Malah katanya, rumah yang ditumpanginya sejak setahun lalu itu pula bukan saja sempit, malah mengalami kebocoran pada zink dan atap rumah yang menyebabkan rumah itu sering digenangi air apabila hujan.

“Hanya rumah pusaka inilah menjadi tempat kami sekeluarga berteduh daripada panas dan hujan. Walaupun keadaan rumah ini daif, kami tetap bersyukur kerana masih tidak hidup bergelandangan,” katanya.

Menurutnya, dia juga sudah membuat permohonan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), namun masih menunggu status permohonan tersebut daripada pihak berwajib.

Sementara itu Norhasyimah berkata, dia tidak dapat menahan sebak jika mengenangkan hidup yang terpaksa dilalui mereka sekeluarga, namun pasrah dengan apa yang berlaku selain mengharapkan anaknya kuat dalam menempuh dugaan tersebut.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Setajam, Muhamad Aw Kechik berkata, pihaknya membuat permohonan PPRT untuk kemudahan keluarga tersebut dan perkara itu diluluskan Unit Pembangunan Luar Bandar (PLB) Pejabat Daerah dan Tanah Rompin.

Monday, January 21, 2013

'Dia harapan keluarga kami'

OKUAhli keluarga melihat keadaan Siti Izzah yang kini hanya mampu terlantar.
KUALA KETIL - Hasrat seorang ayah untuk melihat anaknya memegang segulung diploma hancur setelah anak sulungnya itu terlantar akibat kemalangan, November tahun lalu.

Mohd Yusof Harun, 49, dari Kampung Batu Satu dekat sini terpaksa menerima hakikat setelah anaknya, Siti Izzah Mohd Yusof, 21, tidak lagi mampu menguruskan dirinya.

Siti Izzah merupakan anak sulung dari tujuh beradik dan menjadi harapan keluarga setelah berjaya melanjutkan pelajaran peringkat diploma di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok dalam bidang Pentadbiran Awam.

Namun, segalanya seakan berakhir setelah Siti Izzah terlibat dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke rumah ahli keluarganya bagi menghadiri kenduri yang diadakan.

Dia yang menunggang motosikal dirempuh oleh motosikal lain mengakibatkannya mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan koma selama lima hari di Hospital Sungai Petani.

Mohd Yusof berkata, Siti Izzah hanya mampu terlantar selain sering merengek kesakitan berikutan bahagian kepalanya semakin membengkak.

Menurutnya yang hanya bekerja kampung itu, dia tetap tabah dan sentiasa berharap anaknya itu dapat pulih seperti biasa.

“Saya tidak sanggup Siti Izzah menghabiskan masa mudanya di atas tilam. Saya harap, selepas pembedahan kelak, Siti Izzah dapat menunjukkan perubahan,” katanya kepada Sinar Harian.

Siti Izzah yang bercita-cita menjadi seorang guru itu merupakan pelajar cemerlang dan aktif dalam persatuan semasa pengajiannya.

Katanya, dia menganggap kejadian ini sebagai ujian tuhan dan bersyukur kerana anaknya itu masih selamat dalam kejadian kemalangan itu.

“Walaupun berat, ia adalah ujian dan dugaan, sebagai ayah, saya akan jalankan tanggungjawab sebaik mungkin. Saya akan berusaha untuk kebaikan dirinya, kemudian berserah kepada tuhan. Saya yakin, apa yang terjadi ada hikmahnya,” katanya.

Penderitaan Siti Izzah mendapat perhatian pemimpin setempat yang turut hadir bagi menyampaikan sumbangan kepada keluarganya.

Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan bantuan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Mohd Yusof Harun 02126-29-00019391.

Saturday, January 19, 2013

Terpaksa berpisah dengan anak

Pisah anakTsu Ming (tengah) bersama Mohd Afandi ketika melawat keadaan rumah Nor Haslindawati di Kampung Padang, semalam.
KUANTAN – Hati ibu mana yang tidak luluh apabila terpaksa berpisah dengan tiga anak yang masih bersekolah dan memerlukan perhatian.

Namun walau seberat manapun perasaannya, Nor Haslindawati Abdullah, 33 harus menghadapinya demi kebaikan mereka sekeluarga.

Dia yang kematian suami  dua tahun lalu terpaksa berpisah dengan anaknya Nur Ziana Asmira, 13, Mohd Amirul Hakimi, 12 dan Mohd Azrul Haikal, 10 yang akan ditempatkan di rumah perlindungan di Alor Akar buat sementara waktu bagi membolehkan rumah peninggalan arwah suaminya, Razwan Jantan di Kampung Padang yang sudah uzur dibaikpulih.

Katanya, rumah yang didiami selama ini sudah rosak selain tidak mempunyai sebarang kelengkapan manakala punti dan tingkap pula sudah tercabut.

"Arwah suami diserang strok pada 2008, manakala saya pula menghidap kencing manis dan tidak boleh melakukan kerja berat," katanya.

Sejak itu mereka sekeluarga terputus sumber pendapatan dan hanya mengharap belas ihsan orang lain untuk meneruskan kehidupan.

Kata Nor Haslindawati, keadaan mereka lebih sukar apabila suaminya meninggal pada 2010.

"Dengan rumah yang uzur, tiada kemudahan bekalan air dan elektrik kerana dipotong akibat tidak mampu membayar bil tertunggak, saya menebalkan muka menumpang di rumah jiran," katanya kepada pemberita semalam.

Tidak sanggup melihat anak yang hidup dalam kemiskinan dan tidak mahu membebankan jiran, Nor Haslinda mengagahkan diri bekerja sebagai pembantu kedai di Bandar Kuantan dengan upah RM30 sehari.

Namun kini dia bersyukur kerana kepayahannya mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) walaupun terpaksa menanggung kesedihan berpisah dengan anak buat sementara waktu.

“Anak saya akan ditempatkan di rumah perlindungan di Alor Akar sejak 4 Januari lalu sehingga rumah kami siap dibaikpulih.

"Saya tidak sabar menunggu rumah itu siap agar dapat bertemu dan tinggal bersama anak-anak semula, saya sudah tidak tahan menanggung rindu kepada mereka," katanya.

Sementara itu, Adun Semambu, Datuk Phang Tsu Ming bersama Ketua Penolong Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri, Mohd Afandi Abd Rani turun padang melihat sendiri keadaan rumah Nor Haslindawati yang disifatkan sangat daif.

Tsu Ming berkata, bantuan baik pulih rumah keluarga berkenaan akan dijalankan secepat mungkin supaya keluarga itu dapat menjalani kehidupan lebih baik.

“Kita terkejut melihat keadaan rumah keluarga ini yang tidak dilengkapi sebarang kemudahan termasuk bil air dan api tertunggak kira-kira RM2,000.

“Pada awalnya pihak kerajaan hanya akan memperuntukkan bantuan sebanyak RM 3000 tetapi melihatkan keadaan rumah ini sekarang paling minimum boleh diberikan sekitar RM8,000," katanya.

Kata beliau, kerja baik pulih akan dilakukan dalam tempoh terdekat dan mungkin memakan masa seminggu.

Sunday, December 23, 2012

4 tahun tumpang kawan



KAMAL... tidak kesal nasib hidup.
KAMAL... tidak kesal nasib hidup.
KUALA LUMPUR: “Sudah empat tahun saya hidup menumpang di rumah kawan. Apabila menyedari layanan mereka kian berubah, saya cari kediaman lain untuk berteduh,” kata pelakon veteran, Nurul Kamal Mohamad Zainuddin, 60, yang mempunyai masalah ketiadaan tempat tinggal sejak 2008.
Lebih dikenali dengan panggilan Kamal Pendek, dia antara beberapa artis di usia emas yang hidup dalam keadaan serba kekurangan sedangkan ketika muda, nama mereka menjadi sebutan peminat seni tanah air.
Selain Kamal Pendek, beberapa rakan seangkatannya seperti Datuk Yahya Sulong, 84, Karim Latiff, 76, Azean Irdawaty, 62, Abdullah Khalit Omar, 65, atau lebih popular dengan nama JD Khalid antara ‘orang lama’ yang sepatutnya mendapat pembelaan sewajarnya daripada pihak berkaitan seperti Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M).

Wartawan Metro Ahad berkesempatan menemubual keempat-empat artis veteran ini dengan harapan kisah sedih mereka dapat membuka mata pihak berkaitan.


“BUKAN saya minta perjalanan hidup begini, namun ia ujian buat saya. Meskipun sedih dengan penerimaan orang terhadap diri ini, saya reda dan tidak pernah menyesal dengan takdir ditentukan Allah SWT,” kata pelakon veteran, Kamal Pendek, 60, yang kini menumpang di bilik Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia.

Sunday, November 25, 2012

Bayi sumbing perlu bantuan



HIDAYAH HAIROM
25 November 2012
Bayi sumbing perlu bantuan
Hairul (kanan) memangku Danny, sambil diperhatikan Munirah (kiri) ketika ditemui di PPR Kampung Muhibbah, Jalan Puchong, baru-baru ini.
KUALA LUMPUR - “Keperluan lampin pakai buang dan susunya sahaja mencecah kira-kira RM1,000 sebulan, sedangkan pendapatan saya sebagai pemandu hanya RM1,400 sebulan,” demikian menurut Hairul Nizam Shah Ab. Ghani, 29, bapa bayi  tujuh bulan yang  sumbing sejak lahir.

Katanya, keadaan anaknya, Danny Hazrieq memerlukan penjagaan rapi kerana tidak dapat menghisap susu secara normal.

“Setiap tiga jam sekali dia perlu diberi susu itupun melalui tiub kerana dia bergantung kepada susu untuk makanan.

“Untuk sebulan, kira-kira enam tin susu diperlukan, yang mana setiap satu tin berharga hampir RM100,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya, di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, Jalan Puchong di sini, baru-baru ini.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana anaknya bertuah apabila kos pembedahan ditaja McDonald bagi mengurangkan kos yang perlu ditanggung.

Danny Hazrieq, dijangka perlu melakukan pembedahan membetulkan bibir dan lelangitnya secara berperingkat sehingga berumur 18 tahun.

Tambah, Hairul, dua lagi anaknya masing-masing berusia 6 dan 4 tahun akan mula bersekolah pada tahun hadapan, membuatkannya memerlukan peruntukan  lebih banyak menyara keluarga.

“Saya sudah cuba memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun dimaklumkan bahawa tiada peruntukan bantuan untuk kes seperti anak saya dan dia hanya layak menerima bantuan ketika usia 18 tahun.

“Sewa rumah yang  tertunggak juga gagal untuk saya selesaikan kerana mendahulukan keperluan untuk anak-anak dan keluarga,” katanya yang kini sedang dalam proses permohonan bantuan Baitulmal.

Bagi  isterinya, Munirah Maarop, 26, mulanya dia bagaikan putus harapan melihat anaknya dilahirkan begitu namun reda dengan ketentuan ALLAH SWT.

“Dia minum susu juga melalui tiub membolehkan susu disalurkan ke perut. Kerana jika dia minum secara normal, susu akan terus ke paru-paru,” katanya.

Sumbangan boleh disalurkan ke 164164957806 (Maybank) atas nama Danny Hazrieq Hairul Nizam Shah atau hubungi  012-2981207 (Munirah).

Thursday, November 1, 2012

Bayi 4 bulan perlu bantuan



Muhammad Haidar - jantung berlubang
Muhammad Haidar kini ditempatkan di PICU, IJN.
JENGKA - Keluarga seorang bayi berusia empat bulan yang didapati menghidap jantung berlubang dan salur darah sempit, memerlukan wang tambahan untuk menampung kos rawatan serta pembedahan untuk kali kedua.

Bayi itu, Muhammad Haidar Hisamudin kini ditempatkan di unit rawatan rapi pediatrik (PICU) Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur kerana baru sahaja menjalani pembedahan menelan kos sebanyak RM50,000, kelmarin.

Ibunya, Juniza Johari, 28, berkata, anaknya pada asalnya dijangka menjalani sekali sahaja pembedahan, namun doktor memutuskan untuk membuat dua kali pada saat akhir.

“Anak saya dikatakan mempunyai tiga lubang di jantung dan saluran darah sempit. Keadaan itu mungkin menyebabkan dia memerlukan dua kali pembedahan. Pembedahan kali pertama berjaya dilakukan semalam (kelmarin), namun pembedahan kedua belum diketahui tarikhnya lagi.

“Sekali pembedahan menelan kos RM50,000. Pembedahan kedua masih belum diketahui kos pembedahannya lagi. Kos pembedahan pula tidak termasuk bayaran selama tinggal dalam wad,” katanya.

Juniza berkata, anaknya disahkan menghidap penyakit itu pada 24 September lalu dan ditahan di wad Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh.

Menurutnya, pada 23 Oktober lalu, Muhammad Haidar dipindahkan ke IJN dan kini anaknya berada di wad hampir dua bulan.

"Keluarga saya dan suami (Hisamudin Mohamed) banyak membantu untuk menampung kos pembedahan pertama. Tanpa keluarga, saya tidak tahu di mana hendak mencari wang. Namun, saya masih memerlukan kos tambahan untuk pembedahan kedua.

“Suami cuma bekerja sebagai pembantu tukang masak dengan pendapatan RM700 sebulan. Jumlah itu tidak cukup untuk menampung kos rawatan anak kami,” katanya.

Juniza mengatakan dia masih belum mengetahui jumlah sebenar kos pembedahan tersebut dan menganggarkan ia mungkin menelan belanja sehingga RM50,000 atau lebih.

Difahamkan, Juniza sekeluarga baru sahaja dua minggu pulang ke Pahang sebelum anaknya dimasukkan ke wad dan kini dikatakan menumpang di rumah mentuanya di Felda Ulu Jempol.

Tuesday, October 30, 2012

Catu makanan untuk anak



Catu makanan untuk anak
Mohd Hanapi masih tidak sedarkan diri ditemani isterinya, Naspaleha ketika menerima kunjungan Wan Hazani (kiri).
GUA MUSANG - Walau suaminya koma sejak empat bulan lalu, seorang isteri di sini tetap setia berada di sisi menjaganya, malah, sedia menanggung masalah kewangan termasuk bayaran sewa rumah.

Naspaleha Najib, 46, berkata, mereka sekeluarga menanggung hutang sewa rumah milik anak syarikat Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Dagang, hampir setahun kerana tidak cukup wang.

Menurutnya, dia tidak sanggup meninggalkan suami keseorangan di rumah bagi mencari pekerjaan.

"Saya bimbang dengan keadaan suami yang masih koma juga perbelanjaan persekolahan lima daripada sembilan anak, hidup kami makin tertekan sekarang,” katanya.

Dia berkata, akibat kesempitan hidup, dia terpaksa catu makanan daripada tiga kali sehari kepada sekali sahaja untuk anak-anak.

“Itu bergantung kepada keadaan, jika terdesak terpaksa pula menyedia makanan sekadar alas perut. Anak-anak yang bersekolah pula tidak membawa wang belanja,” katanya.

Naspaleha mengakui ada menerima wang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Gua Musang sebanyak RM400 sebulan, namun mengakui sekadar cukup untuk membeli susu dan lampin pakai buang suaminya.

Katanya, dia merayu supaya kerajaan memberi rumah di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) kerana tidak mahu menanggung masalah bayaran sewa lagi.

Sebelum itu, dia menerima kunjungan Ketua Wanita Umno Bahagian Gua Musang, Datuk Wan Hazani Mohd Noor yang bersimpati dengan nasib keluarga terbabit.

Wan Hazani berkata, pihaknya bersimpati dengan nasib keluarga terbabit yang miskin berikutan tanggungan anak ramai dan ketua keluarga sakit.

“Saya akan usaha daftarkan keluarga ini dalam e-kasih sebelum kita rujuk kepada pihak tertentu untuk mendapatkan rumah PBR mengelakkan menanggung hutang sewa rumah," katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 pagi 9 Julai lalu, Mohd Hanapi cedera parah di kepala selepas motosikal ditungganginya terbabas sebelum terbalik.

Kejadian berlaku di Jalan Kampung Tiong selepas Mohd Hanapi menghantar anaknya ke sekolah.

Derita si gadis



Derita si gadis
Abarizah bersama Nor Azlina semasa majlis bersama warga PDK Damaria.
TEMERLOH - Seorang ibu tidak menyangka penyakit demam panas dihidapi anaknya membawa kepada masalah saraf.

Abarizah Zainal, 54, berkata, anak gadisnya, Nor Azlina Sani, 15, dilahirkan normal, tetapi diserang demam panas ketika berusia kira-kira tiga atau empat bulan.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan anaknya mengalami masalah saraf dan kini hanya mampu terbaring di atas tilam.

“Pada mulanya saya sedih dan menangis mengenangkan nasib anak kerana dia kini tergolong orang kurang upaya (OKU).

“Namun saya yakin semua ini ujian untuk saya sekeluarga. Sehubungan itu, kami perlu menerima qada dan qadar dengan reda,” katanya semasa program bersama warga Pusat Pemulihan Dalam komuniti (PDK) Damaria, di sini.

Abarizah berkata, walaupun Nor Azlina tidak dapat bergerak aktif, namun dia tetap menghantar anaknya itu ke PDK supaya dapat bersama rakan-rakan lain.

Menurutnya, anaknya juga mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membeli segala keperluannya.

“Alhamdulillah. Bantuan itu dapat meringankan beban kami membeli keperluan Nor Azlina,” katanya.

Berkongsi bilik dengan 7 lelaki



Berkongsi bilik dengan 7 lelaki
Keadaan tempat tinggal Noor Hispa (kanan) dan keluarganya.
SEBERANG PERAI TENGAH - Di kala umat Islam gembira menyambut Hari Raya Aidiladha, mungkin ramai terlepas pandang akan mereka yang kurang bernasib baik.

Kedatangan raya korban tahun ini disambut sepi oleh keluarga Noor Hispa Yahaya, 29, yang meraikan hari itu bersama isteri, Zuraida Yassin, 30, dan dua lagi anak mereka; Nor Aiman, 8, dan Mohd Aidil Haikal, 5, di dalam sebuah asrama.

Lebih mengharukan, mereka ini berkongsi tidur dan makan di asrama yang turut dihuni tujuh lagi lelaki lain.

Lebih dua bulan menetap di asrama syarikat, Noor Hispa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan terpaksa membawa keluarganya bersama tinggal di situ kerana tidak mampu menyediakan ruang kediaman buat mereka.

Berikutan masalah peribadi, mereka terpaksa meninggalkan rumah keluarga Noor Hispa di Sungai Semilang di sini, yang sudah didiami selama lebih 10 tahun dan mencari tempat perlindungan baru.

“Sejak dua bulan lalu, di sinilah tempat kami tinggal untuk berlindung dan tidur. Dengan ihsan daripada syarikat keselamatan yang sedang saya kerja kini, saya membawa keluarga tinggal bersama kerana tidak mampu untuk menyediakan rumah buat mereka.

“Apa yang merisaukan saya, sudah lebih dua bulan dua anak saya berhenti belajar dan isteri saya kini sarat mengandung,” katanya ketika ditemui di asrama kediaman mereka yang turut dihuni tujuh lagi lelaki lain yang bertugas sebagai pengawal keselamatan.

Tinjauan mendapati kehidupan keluarga ini begitu daif dengan ruang kediaman yang dikongsi bersama lelaki asing.

Sementara itu, Zuraida berkata, selepas berpindah ke asrama, dia yang kini sedang mengandung tujuh bulan turut menerima gangguan seksual daripada lelaki-lelaki yang ada di asrama itu.

“Dua hari berada di sini, bermacam gangguan yang saya terima. Kadangkala mereka menyentuh bahu saya dan meraba-raba saya ketika suami bekerja, namun syukurlah dua anak saya ada di sisi dan mereka tidak berani bertindak lebih.

“Bagaimanapun, saya lebih berhati-hati takut kejadian sebegitu berulang. Namun, selalunya jika suami tiada saya akan membawa anak-anak keluar,” katanya.

Sementara itu, Noor Hispa berkata, dia tidak senang duduk apabila memikirkan masalah keluarganya itu kerana sebagai pengawal keselamatan dia bekerja selama 12 jam mengikut syif.

“Kadangkala saya terpaksa ponteng kerja kerana runsing meninggalkan isteri dan anak-anak, terutama apabila syif malam.

“Apa yang kami mahukan hanyalah bantuan perumahan untuk kami sekeluarga menetap. Mengenai makan dan minum Insya-Allah saya boleh sediakan untuk isteri dan anak-anak saya,” katanya.

Katanya, dia sudah menghantar borang permohonan rumah Kerajaan Negeri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Bukit Tengah.

“Tetapi mereka memberi alasan saya sudah ada rumah. Sedangkan sebelum ini tiada rumah atas nama saya, itu hanyalah rumah keluarga saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Saturday, October 27, 2012

Derita ibu, anak koma dua tahun




Roswati bersama Nor Arisya terlantar di rumah mereka di Felda Jengka 18, Maran semalam.


MARAN - Sambutan Aidiladha tiada erti lagi kepada dua beranak malang di sini selepas mereka koma sejak dua tahun lalu akibat komplikasi ketika melahirkan anak.
Roswati Abd. Wahab, 33, bekas pembantu tadbir sebuah agensi kerajaan di Melaka dikatakan koma ketika bersalin manakala anak yang dilahirkan, Nor Arisya A. Razak turut ditimpa nasib yang sama dengan ibunya kerana kekurangan oksigen.
Kini dua beranak itu hanya terlantar di rumah Rosnani Harun yang merupakan ibu Roswati di Felda Jengka 18, Maran.
Rosnani memberitahu, Roswati ketika mengandungkan Nor Arisya disahkan menghidap darah tinggi kronik selain penyakit sawan.
"Masa nak bersalin dia pengsan dan diserang sawan sehingga jantungnya berhenti berdenyut untuk seketika," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurut Rosnani, doktor yang merawat Roswati di Hospital Melaka terus melakukan pembedahan untuk menyelamatkan Nor Arisya tetapi cucunya itu lahir dalam keadaan koma berikutan kekurangan oksigen.
Memandangkan menantunya tidak dapat menjaga isteri dan anak mereka setiap hari disebabkan bekerja di sebuah jabatan kerajaan di Melaka, Roswati dan Nor Arisya dihantar ke Maran untuk dijaga oleh Rosnani.
Komplikasi kesihatan yang dihadapi menyebabkan susuk tubuh Roswati yang dahulu gempal kini semakin susut dan hanya bergantung hidup kepada susu yang dimasukkan melalui tiub sebanyak enam kali sehari.
Rosnani mengharapkan ihsan mana-mana pihak yang sudi membantu agar dapat menghubunginya di talian 019-998 3526.

Monday, October 22, 2012

3 anak terpaksa berhenti sekolah



KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
22 Oktober 2012
3 anak terpaksa berhenti sekolah
Sungai di tepi rumah yang menjadi tempat mandi dan membasuh.
KERIAN - Kekangan wang menyebabkan sembilan beranak di Kampung Dew, di sini, terpaksa berteduh di sebuah rumah uzur hasil pemberian pengurusan kilang membakar kayu arang untuk sementara.

Tambah menyedihkan, tiga daripada tujuh anak keluarga itu tidak bersekolah demi memberi laluan kepada adik-beradik lain untuk meneruskan persekolahan.

Mereka juga menggunakan air sungai di belakang rumah sebagai tempat mandi dan membasuh pakaian.

Suri rumah, Rohana Ajid, 40, berkata, bekalan air bersih terpaksa diambil daripada paip utama pejabat kilang setelah mendapat keizinan dan ada kalanya mereka memasak air sungai untuk diminum jika bekalan air tiada.

Menurutnya, rumah yang didiami lebih dari 20 tahun itu adalah ihsan pengurusan kilang yang membenarkan mereka menumpang.

“Bekalan elektrik yang diperoleh juga hasil ihsan mereka yang membuat penyambungan ke rumah kami dan saya bersyukur pengurusan kilang prihatin terhadap kesusahan kami," katanya Kepada Sinar Harian.

Menurut Rohani, suaminya, Goriaman Barikan, 40, merupakan warga asing yang mendapat kerakyatan tetap dan kini hanya bekerja sebagai pengutip kayu bakau dengan pendapatan RM400 sebulan.

Jelasnya, pendapatan suami yang tidak menentu menyebabkan tiga anaknya terpaksa berhenti sekolah demi menyara keluarga.

“Anak sulung saya, Mohd Anaz Syazman 17, dan dua adiknya Norshahira, 15, dan Norsyazila, 14, tidak lagi bersekolah selepas  darjah enam disebabkan kekangan wang.

“Mereka terpaksa bekerja di kilang membakar kayu arang dan saya terharu tiga beradik ini sanggup mengorbankan zaman persekolahan untuk membiayai tiga lagi adik mereka, ” katanya.

Rohana berkata, keluarganya ada menerima bantuan Baitulmal sebanyak RM300 sebulan yang sedikit sebanyak meringankan beban mereka terutama kos persekolahan tiga anaknya.

“Selain itu, seorang anak yang masih bersekolah turut mendapat bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

“Bagaimanapun, saya merayu kepada mana-mana pihak untuk membaik pulih rumah kami agar lebih selesa dan memberi peluang kepada dua anak saya kembali bersekolah,” katanya.

Kesusahan keluarga berkenaan mendapat perhatian Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Gunong Semanggol, Zainal Abidin Hanafiah yang bertandang ke rumah mereka.

Zainal Abidin menyerahkan sumbangan kepada Rohana dan memberi jaminan akan membawa masalah itu ke Mesyuarat Kumpulan Fokus peringkat daerah.

Katanya, beliau sudah mendapat kebenaran pengurusan kilang untuk membolehkan kerja membaik pulih rumah keluarga Rohana dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Mengenai bekalan air, kami akan cuba memohon dari Lembaga Air Perak (LAP) Kerian.

“Sebelum itu kami akan berbincang dan meminta kerjasama pengurus kilang itu kerana tanah dan rumah ini hak milik kilang sepenuhnya,” katanya.

Monday, October 8, 2012

Keperitan hidup enam beradik



Keperitan hidup enam beradik
(Dari kiri) Muhammad Zulfaqar, Fatin Nabila, Fatin Nazira dan Fatin Balqis menerima kunjungan Noor Aizam (dua, kanan) di rumah mereka di Kampung Bunut Payung, Telekong
KUALA KRAI - Kehidupan enam beradik di Kampung Bunut Payong, dekat Telekong, di sini, kini terumbang-ambing selepas ditinggalkan ibu bapa mereka dalam dua keadaan berbeza.

Selepas kematian ibu hampir sebulan lalu, enam beradik itu hilang tempat bergantung apabila bapa mereka pula ditahan pihak berkuasa atas kesalahan dadah, lima hari lalu.

Kini, tanggungjawab menjaga Fatin Balqis, 3; Muhammad Izat, 10; Lukman Hakim, 14; dan Fatin Nazira, 18, dipikul bersama kakak dan abang sulung mereka, Fatin Nabila, 20, dan Muhammad Zulfaqar, 23.

Selain kehilangan kasih sayang dan tempat bergantung, kehidupan enam beradik itu bertambah perit apabila rumah didiami mereka semakin uzur termasuk dinding reput dan bumbung bocor.

Fatin Nabila berkata, ibunya Kartini Yaakob meninggal dunia pada usia 43 tahun, 11 September lalu, akibat barah serviks dan paru-paru dihidapinya sejak tiga tahun lepas.

“Ayah pula dihantar ke pusat pemulihan di Kuantan, Pahang, selama dua tahun, jadi sekarang, tanggungjawab sebagai ketua keluarga terpikul atas bahu saya dan abang (Muhammad Zulfaqar),” katanya.

Dalam keadaan sekarang, Fatin Nabila bimbang dengan masa depan tiga adiknya yang kecil dan masih bersekolah kerana mereka hanya bergantung kepada pendapatan Muhammad Zulfaqar untuk sara hidup.

“Abang hanya kerja sebagai pemandu lori seperti ayah juga dengan pendapatan kira-kira RM600 sebulan.

“Dengan gajinya itu, kami akan guna untuk belanja dapur, bayar bil dan duit sekolah adik-adik,” katanya.

Fatin Nabila sebelum itu menerima kunjungan Penyelaras Wanita Umno Dewan Undangan Negeri (Dun) Mengkebang, Noor Aizam Abdul Rahman dan anggota Jalinan Rakyat (JR) Wanita Umno, Siti Filzah Che Mat Amin.

Mengulas nasib malang enam beradik itu, Noor Aizam melahirkan rasa simpati dan merayu kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan berkenaan agar tampil membantu meringankan beban mereka.

“Dengan gaji abang sulung mereka hanya RM600 sebulan, sudah tentu tidak cukup untuk tampung semua perbelanjaan termasuk keperluan dapur dan belanja sekolah jika tidak ada orang lain bantu,” katanya.

Menurutnya, dia juga masih terkilan kerana usahanya mendapatkan bantuan rumah di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk keluarga itu sebelum ini tidak kesampaian.

“Setahu saya, permohonan Kartini untuk rumah PPRT sudah lulus dan bila tak sempat ikut perkembangan kerana saya jatuh sakit awal tahun lalu, saya ingatkan rumah itu sudah dibina,” katanya.

Noor Aizam yang juga Ketua Wanita Umno cawangan Petanding Timur berkata, beliau cukup mengenali Kartini kerana Allahyarham seorang jentera Wanita Umno cawangan itu.

Siti Filzah pula berkata, bantuan lain boleh diberikan terutama kepada Fatin Nabila adalah modal untuk buka kedai pengantin kerana gadis itu ada sijil dan kemahiran dalam bidang tersebut.

“Fatin Nabila pernah ikuti kursus andaman dan pengantin di bawah kelolaan Kesedar (Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan) tetapi bila mohon pinjaman untuk buka kedai, bank tidak lulus,” katanya.

Sunday, October 7, 2012

Penoreh rayu bantuan dua anak hidap kencing manis



NORDIN Bahari (kanan) bersama tiga orang anaknya, Fazila, Mohd. Azhar dan Nor Faizah masing-masing menghidap penyakit kencing manis di Kampung Caruk Damar, Sik, Kedah, semalam.
SIK 4 Okt. - Seorang penoreh getah, Nordin Bahari dari Kampung Caruk Damar di sini, merayu bantuan orang ramai menyara kos rawatan dan perubatan dua anaknya yang menghidap penyakit kencing manis.
Nordin, 58, berkata, pendapatannya yang tidak menentu dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan tidak mampu menampung kos rawatan anaknya, Mohd. Azhar Nordin, 23, dan Fazila Nordin, 16.
"Saya cukup sedih kerana tidak mampu menyara kos itu dan kedua-duanya pula sekarang terdedah kepada risiko penyakit lain yang lebih teruk.
"Kaki sebelah kanan Mohd. Azhar mula membengkak dan sentiasa dibungkus dengan kain putih," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Nordin berkata, wang bantuan bulanan itu kini digunakan untuk membeli makanan anaknya dan tiada peruntukan untuk kos rawatan dan perubatan.
"Sekarang anak saya tidak berdaya melakukan sebarang kerja berat dan hanya duduk di rumah sahaja setiap hari, dulu dia ceria tetapi kini wajahnya selalu muram," katanya.
Menurutnya, dia mendapat kira-kira RM120 sebulan sebagai upah melakukan kerja menoreh getah berhampiran rumah, menebas hutan dan melakukan kerja-kerja kampung.
"Rumah yang saya duduki ini sudah usang tetapi tidak dapat dibaiki kerana wang diperoleh hanya sekadar kais pagi makan pagi.
"Dulu, ada juga buat permohonan supaya rumah kami dibaiki tetapi sampai sekarang belum ada apa-apa perkembangan," jelasnya.
Katanya, berat badan Fazila yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu 8, Sik juga semakin susut akibat menghidap penyakit itu.
"Saya sekadar menasihatkan supaya dia belajar bersungguh-sungguh kerana walaupun menghidap penyakit itu, tetapi dia masih berpeluang belajar di sekolah bersama rakan-rakan seperti biasa," katanya.
Orang ramai yang ingin menghulur sumbangan wang bagi meringankan bebanan keluarga itu boleh menderma menerusi Agro Bank milik Mohd. Azhar di nombor akaun 1005101000035815.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20121005/wu_02/Penoreh-rayu-bantuan-dua-anak-hidap-kencing-manis#ixzz28bmFJNDm
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Lima tahun terlantar sakit



Wan Adnan (duduk, kanan) bertanya khabar kepada Ahmad yang terlantar sakit sejak lima tahun lalu aki
Wan Adnan (duduk, kanan) bertanya khabar kepada Ahmad yang terlantar sakit sejak lima tahun lalu akibat angin ahmar.
KUANTAN - “Sudah lima tahun suami saya tidak bangun akibat angin ahmar, selama itulah saya tidak pernah berenggang dengan dia. Selagi hayat di kandung badan, saya akan jaga suami sampai bila-bila,” kata Minah Salleh, 66.

Minah berkata, suaminya Ahmad Jaafar, 68, seorang ketua keluarga yang baik, namun diuji dengan penyakit ini menyebabkan dia hanya terlantar sahaja.

Menurutnya, selama tempoh lima tahun ini, dia bahagia menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan tidak pernah mengeluh dengan keadaan yang menimpa suaminya ini.
“Saya bernasib baik kerana masih lagi sihat, jika saya juga sakit, siapa yang akan menjaga suami saya ini.
“Walaupun terlantar, tetapi dia masih boleh bercakap dan sayalah teman berbual dia setiap hari,” katanya yang tinggal di Kampung Cempaka, di sini.
Selain itu, Minah berkata, suaminya yang turut mempunyai komplikasi penyakit lain perlu mendapatkan rawatan tiga bulan sekali untuk mengetahui tahap kesihatannya.

“Besar harapan saya untuk melihat suami kembali sihat seperti dahulu.

“Apa sahaja ubat dan perubatan akan saya ikhtiarkan untuk melihat suami sihat dan ceria selain doa dan tawakal kepada ALLAH SWT,” katanya.
Sementara itu, nasib Ahmad mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Lumpur, Datuk Wan Adnan Wan Mamat dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Kuantan, Datuk Abdul Hamid Mohd Nazahar.

Wan Adnan berharap agar keluarga ini bersabar dan terus memberikan sokongan kepada Ahmad untuk sihat kembali.

“Saya harap pakcik Ahmad dapat sembuh kembali seperti sedia kala.

"Namun, apa yang paling utama adalah keluarga harus ada di sekeliling yang mana ia adalah penguat semangat untuk dia kembali sihat,” katanya.

Tuesday, October 2, 2012

Bapa derita bengkak hati rayu bantuan orang ramai


Ahli Dewan Undangan Negeri Mentakab, Datuk Chuah Boon Seong (kanan) turut menziarahi keluarga Marzuki Hassan terlantar di rumahnya dekat Taman Tualang Indah, Temerloh, baru-baru ini.
TEMERLOH 30 Sept. - Seorang bapa kepada lima anak, Marzuki Hassan 42, yang kini terlantar akibat mengalami komplikasi bengkak hati dan usus merayu bantuan orang ramai meringankan bebanan hidup keluarganya yang kini dihimpit masalah kewangan.
Marzuki yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori berhadapan tugas sukar selepas tidak mampu bekerja bagi menyara kehidupan harian termasuk perbelanjaan persekolahan lima anaknya.
Dia bersama keluarga yang menyewa sebuah rumah di Taman Tualang Indah di sini, hilang punca pendapatan akibat tidak lagi mampu melakukan kerja berat dan kini hanya terlantar di rumahnya akibat bengkak hati kira-kira dua bulan lalu.
"Saya juga tidak dapat duduk kerana sukar bernafas, kini keadaan paling selesa untuk saya ialah berbaring," katanya semasa ditemui di rumahnya dekat sini baru-baru ini.
Isterinya, Nor Jannah Jamaludin, 37, memberitahu, lima anaknya yang masih bersekolah kini menggunakan duit belanja setakat yang ada sahaja.
"Selepas suami disahkan doktor mengalami bengkak hati, saya buntu untuk mencari nafkah kerana saya sebelum ini tidak pernah bekerja serta tidak tahu mencari sumber pendapatan lain.
"Bukan tidak berusaha mencari tetapi masalahnya dalam keadaan sekarang saya terpaksa menjaga makan minum suami yang terlantar selain terpaksa menguruskan persekolahan anak-anak," katanya.
Menurutnya, selepas membuat pemeriksaan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di sini, suaminya kemudian di masuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan bagi menjalani pemeriksaan lanjut.
Katanya, suaminya kemudian dirujuk semula ke Hoshas dan doktor mengesahkan dia mengalami bengkak hati dan luka usus.
"Kami juga turut gunakan pelbagai ikhtiar termasuk menggunakan rawatan tradisional dan perubatan alternatif. Lebih menyedihkan, anak kedua, Muhammmad Syafiq yang sepatutnya belajar di tingkatan empat di Sekolah Menengah Seri Semantan kini terpaksa berhenti sekolah dan bekerja sebagai kelindan lori treler bagi membantu menambah sumber kewangan kami sekeluarga," katanya.
Kata Nor Jannah, sesiapa yang ingin membantu terutama membabitkan bantuan persekolahan lima anaknya boleh menghubunginya 017-9237040 atau melalui akaun Maybank 164182413600.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pahang/20121001/wp_04/Bapa-derita-bengkak-hati-rayu-bantuan-orang-ramai#ixzz289et6gHl
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Monday, October 1, 2012

Basri perlu tempurung kepala



NURUL HUSNA AZIZAN
1 Oktober 2012
Basri perlu tempurung kepala
Keadaan kepala Basri tanpa tempurungnya.
“Ibu bapa mana sanggup melihat kehidupan anak yang dulunya lincah dan cergas tiba-tiba berubah 360 darjah. Dia kini hanya mampu terlantar di katil dan tidak dapat bercakap.”

Itulah luahan kata hati sepasang suami isteri menceritakan keadaan anak lelaki mereka selepas menjadi mangsa kemalangan dua tahun lalu. Akibat kejadian itu, tempurung kepala Mohd Basri Basharudin, 18, atau lebih mesra dengan panggilan Basri, terpaksa dibuang bagi mengeluarkan darah beku.

Bapanya, Basharudin Bakar, 46, berkata, ketika kejadian, anak ketiganya itu sedang membonceng motosikal yang ditunggang sepupunya. Motosikal itu terbabas dan menyebabkan Basri terpelanting.

Ketika kemalangan, Basri baru memasuki tingkatan lima dan hanya sempat bersekolah selama sebulan.

“Pada mulanya doktor membuang tempurung kepala Basri di sebelah kanan, namun disebabkan masih ada darah beku, doktor sekali lagi membuang tempurung kepalanya di sebelah kiri pada 25 Jun 2011," katanya yang tinggal di Kangar, Perlis.  
            
Jagaan rapi

Basharudin berkata, kini anaknya itu memerlukan sejumlah RM7,000 hingga RM10,000 untuk menggantikan tempurung kepalanya yang baru supaya kelihatan seperti insan normal yang lain walaupun dia tidak mampu berjalan dan bercakap.

“Dengan pendapatan sekarang, saya tidak dapat menampung kos menggantikan tempurung kepala anak saya yang baru. Dia (Basri) hanya mampu makan bubur dan minum susu khas bagi memastikan tubuhnya sihat.

“Setiap tiga jam, kami akan memberi Basri makan, atas nasihat doktor, kerana dia tidak boleh bercakap seperti insan normal lain,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Darat Barat, Santan.

Basharudin berkata, bagi memastikan Basri sentiasa berada dalam keadaan sihat, dia perlu minum susu khas yang berharga RM62 setiap tin dan sebulan dia memerlukan 10 tin kerana satu tin susu berkenaan hanya mampu bertahan selama empat hari.

Ibunya, Jamilah Kamis, 41, berkata, disebabkan keadaan Basri yang memerlukan jagaan rapi, dia dan anak perempuan sulungnya tidak bekerja bagi menguruskan segala keperluan Basri.

Setiap bulan, Basharudin memperuntukkan RM1,000 untuk makanan dan keperluan anak ketiganya itu.

“Saya dan suami juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Santan, Sabry Ahmad yang banyak membantu kami serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pihak lain,” katanya.

Sabry yang juga Exco Pertanian, Industri dan Asas Tani, menyampaikan sumbangan berjumlah RM1,000 kepada Basri bagi menampung perbelanjaan hariannya.

Kos pembedahan

Sebelum ini, keluarga Basri membuat permohonan katil khas daripada Adun Santan itu bagi memastikan Basri tidur dalam keadaan selesa dan memudahkan urusan penjagaan Basri.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Darat Barat, Fazil Yob merupakan individu prihatin yang telah memaklumkan mengenai Basri kepada Sabry.

Sabry ketika ditemui berkata, sepatutnya di usia ini, Basri sedang menuju ke menara gading. Namun disebabkan kemalangan itu, remaja itu terpaksa terlantar di katilnya.

"Bagi memastikan tempurung kepalanya diganti semula, keluarganya terpaksa mencari sejumlah kos yang agak besar untuk menampung pembedahan itu,” katanya.

Untuk tujuan itu, Sabry berharap pelbagai pihak dapat membantu keluarga Basri untuk mengumpulkan sejumlah wang bagi tujuan pembedahan tempurung kepalanya.

Orang ramai yang bersimpati dengan penderitaan ditanggung oleh Basri bolehlah salurkan bantuan dan derma melalui akaun Sinar Di Hati seperti yang tertera.

Maybank - SINAR KARANGKRAF SDN BHD : 506164-019988

Menyesal kahwini warga asing



Ramlah bersama dua anaknya hasil perkahwinannya dengan warga asing.
Ramlah bersama dua anaknya hasil perkahwinannya dengan warga asing.
KEDAIK - “Walaupun saya menyesal kahwin dengan lelaki warga asing, tetapi bersyukur kerana mempunyai anak-anak yang memahami penderitaan yang saya alami,” demikian kata seorang wanita Ramlah (bukan nama sebenar), 32.
Ramlah berkata, perkahwinannya dengan seorang lelaki warga asing tidak memberinya kebahagiaan, malah dia didera fizikal dan mental meskipun mempunyai tiga orang zuriat hasil perkahwinan mereka.
Menurutnya, dia juga ditinggalkan tidak bertali oleh warga asing itu yang suatu ketika dahulu pernah bekerja di sebuah ladang kelapa sawit syarikat swasta berhampiran kediamannya.
“Saya tidak bahagia berkahwin dengan lelaki asing kerana saya seolah-olah menjadi hamba kepadanya. Segala kemahuannya perlu saya turut, malah saya juga sering dipukul dan diterajang,” katanya kepada Sinar Harian.

Ramlah berkata, sehingga kini, bekas suaminya itu lari meninggalkannya dan anak-anak tanpa nafkah, malah kesal dengan sikap lelaki itu yang disifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab.

“Inilah suratan yang terpaksa saya terima kerana bersuamikan lelaki warga asing.

"Perkahwinannya dengan saya mungkin hanya sekadar nafsu semata-mata tanpa memikirkan hal kami anak beranak,” katanya.
Menurutnya, dia sekali lagi diduga apabila perkahwinannya dengan lelaki Sarawak juga tidak lama apabila diceraikan oleh lelaki itu setelah tiga tahun mendirikan rumah tangga.
“Memang tiada keserasian antara kami berdua. Saya dan dia mempunyai seorang cahaya mata dan perkahwinan kami juga tidak bertahan lama memandangkan sikapnya yang kaki botol dan panas baran,” katanya.

Katanya, dia yang kini terpaksa bekerja di sebuah restoran di Johor Bharu bagi menampung kehidupannya dan anak-anak bagi memastikan nasib mereka terbela pada masa depan.

“Sayalah ibu dan sayalah bapa kerana dengan wang pendapatan RM900 sebulan ini saya berjimat cermat untuk membeli keperluan anak-anak kerana hanya mereka saja dapat memberi kekuatan kepada saya untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Saturday, September 29, 2012

Bekas kerani perlu bantuan

Bekas kerani perlu bantuan
Keadaan rumah Yahya yang uzur tanpa bekalan bekalan elektrik dan air
KAMPUNG GAJAH (PERAK TENGAH) - Kesukaran hidup bekas kerani polis di Kampung Kota, Kampung Gajah sejak kehilangan ibunya beberapa tahun lalu memerlukan perhatian pihak berkenaan.

Kehidupan, bekas kerani, Yahya Mat Nawi, 51, yang menghidap kencing manis dan masalah mental tidak terurus di rumah yang terletak di dalam kebun durian.

Anak saudaranya yang mahu dikenali sebagai Azman berkata, bapa saudaranya tinggal di sebuah rumah usang yang tidak mempunyai bekalan air dan elektrik.

“Saya bimbangkan keselamatan pakcik yang tinggal seorang diri di rumah berkenaan.

"Walaupun beberapa kali diajak untuk tinggal bersama dia tetap menolak dan mahu menetap di rumah itu,” katanya ketika ditemui pada lawatan Kasih Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Gajah, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Nordin ke rumahnya.

Kata Azman, dia hanya mampu membantu dari segi segi makan minum tetapi tidak dapat memantau pakciknya pada waktu malam.

Jelasnya, walaupun jiran-jiran berhampiran juga turut membantu memberikan bekalan makanan untuk pakciknya namun, dia berharap Yahya mendapat bantuan yang sepatutnya untuk meneruskan kehidupan.

“Biarlah keadaannya lebih terurus selepas ini dan mempunyai tempat tinggal yang sempurna berbanding sekarang kerana rumah yang didiami kini semakin usang,” katanya.

Sementara itu,  Norashikin berkata, pihaknya akan memohon bantuan baik pulih rumah supaya Yahya mempunyai tempat berlindung yang lebih sempurna.

“Kita juga akan mengusahakan supaya dia mendapat bantuan bulanan bagi membantu dia menguruskan diri,” katanya.

Suami koma, keluarga sembilan anak tersepit

GUA MUSANG -  Sebuah keluarga dengan sembilan anak di sini berdepan dengan masa depan yang suram apabila si ibu terpaksa berhenti kerja untuk menjaga suami yang koma akibat kemalangan jalan raya.
 
Naspareha Najib, 46, yang bekerja sebagai tukang sapu di Hospital Gua Musang terpaksa berbuat demikian lantaran tiada siapa dapat menjaga suaminya Mohamad Hanafi Mat Ali, 51, yang koma sejak tiga bulan lepas.
 
"Selain menjaga makan minum saluran tiub melalui hidung, dia (Mohd Hanafi) kerap tersedak menyebabkan kami terpaksa mengusap-ngusap dadanya untuk menahan kesakitannya.
 
"Inilah yang memaksa saya memberi tumpuan menjaganya sepenuh masa dan menyebabkan terpaksa berhenti kerja dengan Radicare sebagai pencuci sejak dua bulan lalu," katanya ketika ditemui di kuarters Rancangan Pemulihan Tanah Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Sungai Terah, di sini.
 
Terdahulu wanita itu menerima sumbangan daripada Persatuan Kelab Belia Malaysia (MAYC) Kelantan yang diserahkan Presidennya Zamzani Harun.
 
Menurut Naspareha, mereka sekeluarga kini bergantung hidup kepada pencen Mohd Hanafi sebanyak RM700 sebulan yang bersara awal sebagai pembantu am di Kesedar selepas mengalami angin ahmar sebelum terbabit kemalangan Julai lalu.
 
Dengan wang sebanyak itu juga Naspareha berkata mereka menanggung perbelanjaan persekolahan tujuh anak mereka.
 
"Saya amat berharap pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial percepatkan proses tuntutan pampasan bayaran ilat suami saya bagi meringan perbelanjaan keluarga saya," katanya.
 
Wanita itu berkata suaminya yang menunggang motosikal untuk menghantar anak ke sekolah dirempuh sebuah kereta pada 9 Julai lepas dan kemalangan tersebut menyebabkan Mohamad Hanafi terlantar di Unit Rawatan Rapi Hospital Universti Sains Malaysia, Kubang Kerian selama 15 hari.
 
Bagaimanapun, Mohamad Hanafi dibawa pulang oleh keluarganya bagi menyambut Aidilfitri dan akan dihantar semula ke hospital berkenaan pada 2 Oktober ini untuk rawatan susulan.
 
Mereka yang ingin memberi sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank CIMB milik Mohamad Hanafi bernombor 0307-0007387-52-8.
- Bernama