Sunday, January 22, 2012

Derita Rita Rudaini

Rita Rudaini
‘Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul’. Perumpamaan itu sesuai menggambarkan ujian rumah tangga yang berlaku kepada pelakon cantik, Rita Rudaini.
Jika diselak lembaran diari dirinya dari awal perkahwinan dengan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Razak, 25, lebih banyak pahit berbanding kemanisan yang dirasai.
Rita dan Aidil mendirikan rumah tangga pada 25 Februari 2008, di Songkhla, Thailand berwalikan abang Rita, Ahmad Musyaiful Mokhtar dengan mas kahwin RM777.77 dan wang hantaran RM7777.77.
Keputusan Aidil mengahwini Rita, nyata telah mencalarkan hati keluarga Aidil. Sementelah lagi, orang tua Aidil menganggap mereka membelakangkan keluarga.
Malah kontroversi itu, menimbulkan persengketaan berpanjangan apabila Rita dan keluarga Aidil saling berbalas kenyataan menerusi media.
Bagaimanapun, ibu bapa Aidil mula menerima Rita sedikit demi sedikit selepas kelahiran Airit Rayyan Rizqin, 3. Malah mereka turut melawat Rita di hospital.
Namun ia bukanlah penamat segalanya, apabila industri dikejutkan dengan berita pergolakan rumah tangga Rita dan Aidil, pada 2010.
Aidil memfailkan Sulh dan tuntutan penjagaan anak. Keputusan itu dibuat Aidil setelah Rita enggan mengikut Aidil pulang ke kampung halamannya sekali gus menyebabkan timbul persengketaan.
Lebih perit buat Rita apabila ketika itu, dia sedang hamil anak kedua.
Namun selepas kelahiran Airit Rafqa Arjuna, yang kini berusia sembilan bulan, Rita dan ibu bapa Aidil mengambil jalan untuk berdamai, sekali gus melupakan persengketaan lama mereka.
Aidil juga telah kembali ke pangkuan Rita, sekali gus menangguhkan permohonan Sulh dan tuntutan penjagaan anak serta berjanji memulakan kehidupan baru.

Kembali bergolak
Bagaikan tiada kesudahan, konflik pasangan ini kembali mencuri tumpuan media dan masyarakat. Konflik dipercayai berpunca selepas Rita bertelagah dengan adik iparnya, Zaquan Adha yang juga suami kepada aktres Ayu Raudhah, menerusi Twitter baru-baru ini.
Bermula dengan sindir-menyindir, perang Twitter mereka semakin panas apabila Rita membuat tuduhan besar terhadap Zaquan. Sesiapa saja yang mengikuti Twitter mereka, pastinya terkejut dengan pendedahan Rita.
Zaquan pula mendakwa, Rita keterlaluan hingga menjatuhkan maruahnya sebagai orang yang dikenali.
Lebih memburukkan keadaan, Aidil dilaporkan keluar dari rumah, meninggalkan Rita dan anak-anaknya di Damansara selepas beberapa hari perang Twitter itu berlaku. Rita berkata, ketika itu, dia dan dua anak mereka berada di kampung, Kangar, Perlis.
Dalam 'drama' ini, Rita turut mendakwa, Zaquan dan Ayu Raudhah berkomplot membantu Aidil keluar dari kediaman mereka.
Selepas seminggu, Rita kemudiannya menerima surat daripada peguam Aidil dan sehingga kini, isi kandungan surat itu masih belum terungkai.

Pertahan hak!
Tidak berdiam diri, Jumaat lalu, Rita hadir di Mahkamah Syariah, Shah Alam dan melantik peguam, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain bagi menyelesaikan isu surat yang diterimanya.
"Surat tuntutan yang dikemukakan Aidil tidak mengejutkan saya kerana Aidil pernah berbuat demikian semasa pergolakan rumah tangga kami pada 2010," katanya.
Enggan mengulas lanjut mengenai surat itu, Rita berkata, dia menyerahkan urusan itu kepada peguamnya. Sementara, menerusi Twitternya, Rita menjelaskan dia tidak meminta atau meraih simpati sesiapa dan apa yang dilakukannya adalah untuk diri sendiri selain mempertahankan haknya sebagai seorang ibu dan isteri.
Rita juga memohon dari ALLAH SWT agar memberikannya kekuatan. Malah Rita juga bersyukur kerana masih bekerja dan memikirkan bagaimana nasib isteri serta ibu yang terpaksa melalui ujian sepertinya dan tidak bekerja.
-sinarharian

Perkasa: Laporan Audit lemah, isu NFC dieksploitasi

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mencabar National Feedlot Corporation (NFCorp) mendedahkan kelemahan yang dilakukan pegawai-pegawai yang mengendalikan urusan Laporan Ketua Audit Negara 2010 sehingga merosakkan reputasi syarikat berkenaan dan menjejaskan imej kerajaan.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, laporan itu sesuai diguna pakai dalam kementerian dan agensi kerajaan tetapi tidak untuk syarikat swasta.
Beliau berkata, pegawai yang membuat audit mungkin keliru dengan beberapa perkara, antaranya, National Feedlot Corporation atau NFCorp adalah milik Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail manakala Pusat Fidlot Kebangsaan atau NFC adalah dimiliki syarikat kerajaan dan pada masa yang sama mengusahakan ladang satelit.
“Mohamad Salleh menerangkan kepada kami yang NFCorp mempunyai Laporan Audit Dalaman dan membuat audit dalaman syarikatnya. NFCorp pernah diberi lima bintang oleh Jabatan Audit Negara.
“Untuk itu, saya mendesak supaya Ketua Audit Negara, (Tan Sri Ambrin Buang) memberi penjelasan mengenai kekeliruan ini dan menjawabnya secara terbuka,” katanya pada sidang media hari ini.
Hadir sama 12 pertubuhan bukan kerajaan, antaranya Majlis Usahawan Malaysia, Persatuan Anak-anak Kelantan Malaysia, Kelab Che Det, Majlis Perundingan Melayu, Persatuan Pemikir Profesional Malaysia, Gerakan Pelajar Melayu Semenanjung dan Persatuan Blogger.
Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, kekeliruan ini menyebabkan pembangkang mengeksploitasi isu untuk meraih sokongan politik daripada rakyat walaupun ia berat sebelah dan tidak benar.
“Pembangkang menggunakan pelbagai media baru untuk mengelirukan semua orang sehingga tidak dapat membezakan mana satu syarikat milik suami Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dengan agensi kerajaan.
“NFC yang dimiliki kerajaan yang memperuntukkan RM75 juta untuk projek fidlot dan NFCorp yang dimiliki Mohamad Salleh hanya melabur RM13 juta dalam kemudahan infrastruktur," katanya.
Beliau berkata, tidak timbul masalah pelaburan yang dilakukan NFCorp yang membeli kondominium mewah di Bangsar bernilai RM10 juta kerana perjanjian antara kedua-dua pihak tidak menyatakan syarat untuk membenar atau tidak berbuat demikian.
Sebagai syarikat swasta yang mencari pelaburan yang menguntungkan, kata Ibrahim, itu hak NFCorp kerana menggunakan wang poket sendiri dan tidak melibatkan wang kerajaan.
“Begitu juga dengan pusat penyembelihan dan ladang satelit telah dilakukan oleh pihak kerajaan (NFC) sebagaimana dalam perjanjian ditandatangani dan NFCorp (milik Mohamad Salleh) tidak mempunyai kuasa berbuat demikian ,” katanya.
Mengulas mengenai dakwaan berlaku penyalahgunaan kad kredit syarikat untuk tujuan pengembaraan dan hiburan, menurut Ibrahim, wang itu adalah milik NFCorp dan keluarga.
“Mereka berhak untuk berbelanja kerana wang itu bukan diambil dari projek fidlot. Lagipun, anak-anaknya sendiri yang menguruskan syarikat di luar negeri menggunakan kemudahan ini.
“Tidak timbul mereka salah guna wang untuk urusan perniagaan,” katanya.
Menurutnya, Mohamad Salleh juga memberi penjelasan mengenai dakwaan memiliki kereta berjenama Ferari yang dibeli dengan wang kerajaan sebagai satu pembohongan.
“Mereka hanya ada sebuah kereta Mercedes Benz, itu pun didaftar atas nama syarikat, bukan individu dan kegunaan untuk tujuan perniagaan,” katanya Ibrahim.

Bekas Duta AS ramal PRU13 'lebih dekat'



WARTAWAN SINAR HARIAN
January 22, 2012
SHAH ALAM - Bekas Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, John R Malott meramalkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan diadakan lebih awal daripada diramalkan, sebelum Jun ini kerana Umno mahu mengelakkan banyak masalah jika menunggu lebih lama.

"Saya rasa ia akan menjadi lebih dekat daripada lewat. Semakin lama Umno tunggu, semakin banyak masalah akan timbul dan semakin banyak masa untuk pembangkan merangka kempen mereka," katanya dalam temu bual dengan Malaysia Chronicle.
Mac ini genap empat tahun pilihan raya umum 2008 diadakan.

Selepas beberapa spekulasi bahawa PRU13 akan diadakan, antara Mei dan Disember lalu meleset, ramai beranggapan pilihan raya umum akan diadakan seawal Jun. Spekulasi baru ini mengambil kira keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebas dan melepaskan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat, awal bulan ini. Satu lagi pertimbangan ialah isu kontroversi projek Pusat Fidlot Kebangsaan.

Malott berkata, beliau juga meramalkan 2012 akan menjadi tahun yang paling penting dan juga menarik dalam sejarah politik Malaysia.

"Ada orang berseloroh mengatakan jangan sesekali meramalkan masa depan.

"Saya tidak tahu apa yang akan berlaku tetapi saya pasti 2012 akan menjadi tahun yang paling penting dan juga menarik dalam sejarah politik Malaysia," katanya lagi.

Nik Aziz: Saya tiada masalah isytihar harta



NORHASRAM MOHAMAD
January 22, 2012
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
KOTA BHARU – Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sedia mengisytiharkan hartanya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika peraturan meminta berbuat demikian.
Mursyidul Am Pas itu berkata, isu pengisytiharan harta sudah lama dibangkitkan, namun ia tidak pernah menjadi kenyataan sebaliknya rasuah terus berlaku.
“Berapa puluh tahun dah saya dengan isu ini, tapi rasuah terus berlaku, kalau wajib isytihar, saya isytihar tapi yang utamanya ialah kita yang menumpang di bumi ALLAH SWT ini, mesti bertakwa kepadanya.
“Takwa adalah kunci untuk manusia bergerak mengikut kehendak ALLAH, kalau hakim atau polis tidak bertakwa contohnya, maka terlibatlah dengan rasuah.
“Tapi saya tak ada harta, isytihar apa yang ada sajalah, ada tanah sekeping dua peninggalan orang tua dulu,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Penghulu Negeri Kelantan di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) dekat sini, hari ini.
Sebelum ini, Naib Presiden Pertubuhan Angkatan Generasi Muda Melayu Kelantan (Agenda), Arif Hakimi Zulkifli yang mendesak Nik Aziz dan keluarganya, supaya mengisytiharkan aset mereka kepada SPRM bagi memastikan mereka benar-benar telus dan bersih daripada kegiatan rasuah.
Minggu lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Exconya dilaporkan mengisytiharkan harta bagi menunjukkan ketelusan dalam pentadbirannya.
Sementara itu, Presiden Ransparency International Malaysia (TI-M) Datuk Paul Low juga dilaporkan berkata, selain hakim, semua kakitangan awam sama ada kerajaan, pembangkang atau bebas perlu mengisytiharkan harta masing-masing.
Nik Aziz berkata, sekiranya pengisytiharan harta wajib berlandaskan undang-undang, beliau juga akan meminta semua Exco Kerajaan Negeri berbuat demikian.

Guan Eng: Bersedia disaman BN



GOKINA MORGANAN
January 22, 2012
guan eng
GEORGETOWN - Ketua Menteri, Lim Guan Eng bersedia untuk disaman oleh pemimpin Barisan Nasional (BN) yang mentadbir Pulau Pinang sebelum ini, daripada menarik balik kenyataannya mahupun memohon maaf.

Beliau mencabar Pengerusi Jawatankuasa Kerja BN Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan untuk memfailkan saman terhadapnya atau Kerajaan Negeri jika tidak puas hati dengan pendedahan Skandal Tanah Tan Hak Ju menerusi Jawatankuasa Siasatan Khas Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK).

“Saya tidak akan meminta maaf dan menarik kenyataan atas Skandal Tanah Tan Hak Ju, di mana hasil siasatan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) mendapati wujud kes penipuan tanah,” katanya.

Guan Eng berkata wang pampasan RM500,000 yang ditetapkan Mahkamah Rayuan berbanding keputusan Mahkamah Tinggi untuk pampasan RM40 juta kepada Hak Ju, bukan isu yang perlu dipertikaikan kerana Kerajaan Negeri PR tetap rugi dan perlu membayarnya.

“Dalam hal ini, saya tidak jelas mengapa Dr Teng mendesak saya minta maaf dan menarik balik kenyataan. Pada hal, pampasan dibayar atas kesilapan Kerajaan Negeri BN kerana meluluskan lot tanah persendirian yang bukan miliknya kepada Hak Ju.

“Bagaimanakah sebuah Kerajaan Negeri boleh membuat kesilapan sehingga meluluskan tanah persendirian kepada Hak Ju. Padahal, Kerajaan Negeri langsung tidak berkuasa berbuat demikian. Lagipun, hal ini terdedah selepas tampuk kepimpinan diambil alih oleh PR,” katanya kepada media selepas merasmikan Pasar Awam, Pulau Tikus, di sini, semalam.

Menurutnya, selepas Kerajaan Negeri PR menubuhkan Jawatankuasa Siasatan Khas MKK yang dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri 11, P Ramasamy menyiasat perkara itu dan mendapati urus niaga tanah berkenaan adalah satu penipuan.

“Ia dianggap berlaku atas kecuaian pihak pegawai kerajaan,” katanya.

Guan Eng berkata jika ia satu skandal, kenapa Kerajaan Negeri yang terajui BN menutup kes itu dan tidak mendedahkannya kepada orang awam.

“Kenapa sehingga sekarang Dr Teng mahupun Exco BN dahulu tidak pernah minta maaf dengan penduduk Pulau Pinang atas kesilapan dilakukan sehingga membawa kerugian wang orang ramai. Tetapi kini ia bersandiwara dan mahu Kerajaan Negeri PR minta maaf.

“Setakat ini, Kerajaan Negeri PR sudah membayar RM15 juta kepada mahkamah. Ia amat merugikan wang yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan dan kebajikan rakyat. Adakah, Dr Teng akan membayar balik RM15 juta yang diserahkan kepada Hak Ju,” katanya.

Justeru, sebagai sebuah negeri yang mengamalkan prinsip urus tadbir cekap, akauntabiliti dan telus, Kerajaan Negeri PR mengambil inisiatif melantik peguam untuk memfailkan rayuan.

Menurutnya, selepas mengemukakan rayuan beberapa kali, baru Kerajaan Negeri PR berjaya mengurangkan jumlah pampasan. Itu pun, masih belum mendapat keputusan muktamad kerana dijangka Hak Ju membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan.

“Saya tegas bahawa keputusan mahkamah belum muktamad kerana kes ini dijangka bersambung di Mahkamah Persekutuan. Kita tidak tahu lagi, apakah keputusan akhir dalam kes ini. Oleh itu, kita perlu tunggu,” katanya.

Kelmarin, Sinar Harian melaporkan Dr Teng menggesa Kerajaan Negeri PR supaya ‘bersuara’ setelah didapati mendiamkan diri apabila Mahkamah Rayuan Putrajaya mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kes penipuan tanah Tan Hak Ju minggu lalu.

Mandikan ibu, isteri setiap hari



WARTAWAN SINAR HARIAN
January 22, 2012
mandikan ibu& isteri
SEBERANG MARANG –Kehidupan seorang warga emas, Lijah Salleh, 91, dan menantunya, Romelo Ngah, 54, di Kampung Atas Bukit, Jalan Lama di sini, amat menyayat hati apabila mereka berdua hanya mampu duduk dan berbaring akibat uzur dan lumpuh.

Namun, kedua-dua wanita kurang bernasib baik ini amat beruntung kerana Nordin Ali, 54, anak Lijah dan suami kepada Romelo seorang yang bertanggungjawab dan sabar melayani karenah ibu dan isterinya itu.

Malah, Nordin bukan sahaja menguruskan keperluan isterinya yang lumpuh sejak lebih sebulan lalu malah turut perlu menjaga ibunya, Lijah, yang mengidap penyakit nyanyuk dan uzur sejak lebih kurang lima tahun lalu.

“Saya tidak sanggup meninggalkan ibu dan isteri tanpa perhatian dan penjagaan, walaupun keluar sekejap kerana bimbangkan mereka.

“Setakat ini belum ada jabatan atau agensi tampil memberi bantuan namun, bagi menambah pendapatan sesekali saya keluar juga bekerja untuk memperoleh pendapatan bagi menampung perbelanjaan keluarga ini,” katanya yang hanya bekerja kampung.

Nordin berkata demikian ketika menerima kunjungan pihak Pejabat Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Dun) Rhu Rendang diketuai Pegawai Pembangunan Dun Rhu Rendang, Nik Dir Nik Wan Ku bersama pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah.

Atas kasih sayang yang begitu mendalam, Nordin juga memandikan ibunya dan isteri selepas menunaikan solat subuh setiap hari seterusnya menyediakan sarapan sebelum melakukan rutin hariannya demi tanggungjawab yang terpikul di bahunya sebagai anak serta suami.

Sementara itu, Pegawai Pembangunan Dun Rhu Rendang, Nik Dir Nik Wan Ku dan pihak JKM daerah berjanji akan membantu keluarga itu melalui bantuan yang disediakan kerajaan sekali gus akan dapat mengurangkan beban tanggungan Nordin pada masa depan.

Saman Ops Sikap naik 50%



SALLEH Mat Rashid (kiri) cuba mengendalikan alat perangkap had laju dalam Ops Sikap Ke-25 di KM446 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Rawang, dekat Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 21 Jan. – Sikap pengguna jalan raya melakukan kesalahan lalu lintas ternyata masih tidak berubah apabila sebanyak 100,773 saman dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang lima hari Ops Sikap Ke-25, berbanding 55,578 saman dikeluarkan dalam tempoh sama pada operasi tahun lalu.
Notis saman itu dikeluarkan PDRM membabitkan kesalahan-kesalahan yang sering dilakukan pemandu seperti memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong garisan berkembar, melanggar lampu isyarat dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.
Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rasid berkata, jumlah saman yang melebihi 100,000 itu menyaksikan peningkatan sebanyak 50 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Beliau berkata, keadaan itu membuktikan sikap pengguna-pengguna jalan raya di negara ini masih tidak berubah dan mementingkan diri sendiri.
“Sikap pemandu seperti menggunakan lorong-lorong kecemasan untuk memotong dan memotong di garisan berkembar, masih dilakukan walaupun pelbagai amaran dan nasihat diberikan pihak berkuasa.
“Pengguna jalan raya hanya akan mematuhi peraturan sekiranya mereka menyedari kehadiran pihak polis di kawasan tersebut,” katanya kepada pemberita ketika membuat lawatan tapak Ops Sikap Ke-25 di Hentian Sungai Buloh, di sini hari ini.
Salleh memberitahu, sepanjang lima hari Ops Sikap Ke-25, ia menunjukkan peningkatan kadar kemalangan sebanyak 8.5 peratus iaitu 6,602 kes berbanding 6,083 kes dalam tempoh sama pada tahun lalu.
Katanya, jumlah kematian namun menurun kepada satu kes iaitu 58 orang, berbanding 59 orang dalam tempoh sama pada tahun lalu.
Dalam pada itu, beliau berkata, PDRM akan menawarkan ganjaran berupa hadiah kepada pemandu-pemandu bas yang mematuhi segala peraturan serta memandu dalam keadaan berhemah.
“Pemeriksaan akan dilakukan ke atas kenderaan berat itu seperti brek, lampu selain pemantauan had laju dan berdasarkan rekod,” ujarnya.
Beliau berkata, usaha itu diharap dapat mengelakkan kemalangan melibatkan bas selain memupuk rasa tanggungjawab ke atas pemandu dan syarikat pengusaha bas itu sendiri.

Pengsan empat jam beratur



WARTAWAN SINAR HARIAN
January 22, 2012
pengsan
ULU KLAWANG - Akibat menunggu terlalu lama, ­seorang wanita Orang Asli jatuh pengsan ketika beratur semasa menuntut baucar wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Dewan Orang Ramai Kampung Batu Serambai, di sini, tengah hari semalam.

Sinar Harian difahamkan, wanita berkenaan, Ros Geboy, 43, dari Kampung Orang Asli Kelaka hadir ke dewan itu seawal kaunter itu dibuka iaitu pada jam 8 pagi.

Menurut adiknya, Wa­hab Geboy, 42, kakaknya beratur hampir empat jam dari jam 8 pagi hingga kira-kira jam 12.30 tengah hari.

“Kakak saya tidak menghidap sebarang penyakit tetapi mungkin disebabkan cuaca yang sangat panas dan terpaksa beratur panjang menyebabkan dia pengsan.

“Kakak saya pengsan selama setengah jam sebelum ambulans datang menghantarnya ke Hospital Jelebu,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, kakitangan bank yang bertugas bertindak menuntutkan baucar BR1M milik Ros setelah mendapati dia pengsan ketika beratur.

“Saya juga keletihan akibat menunggu terlalu lama tetapi tidak kisah kerana sudah biasa beratur panjang.

“Cuma mungkin dise­babkan cuaca panas, ia menyebabkan orang mudah pening,” katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati jumlah penerima yang ramai menyebabkan proses tuntutan baucar memakan masa hingga ada yang terpaksa beratur di luar dewan.

Dalam pada itu, seramai 488 penerima baucar BR1M bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Klawang menghadiri majlis penyerahan bantuan berkenaan.

Penyampaian baucar itu disempurnakan Ahli Par­limen Jelebu, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klawang, Datuk Yunus Rahmat dan Pegawai Daerah Jelebu, Zulkifli Baharan.

Ceramah Asal Bukan Umno diserang



NORAIZURA AHMAD
January 22, 2012
SHAH ALAM – Ceramah Asal Bukan Umno anjuran Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM) dan Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) terpaksa ditangguhkan selepas majlis tersebut diserang sekumpulan lelaki tidak dikenali di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam di sini, malam tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 9 malam apabila lebih kurang 20 lelaki yang menunggang motosikal dengan bersenjatakan kayu menyerang orang ramai yang berada di dalam dewan tersebut.
Koordinator Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin yang ada ketika kejadian berkata, lebih kurang 100 orang berada di dalam dewan dan akibat serangan tersebut, beberapa orang mengalami kecederaan.
Menurutnya, sekumpulan lelaki yang menyerang dengan menggunakan kayu dan topi keledar itu menyebabkan seorang lelaki berusia 40-an terpaksa dibawa ke
Hospital Sentosa untuk mendapatkan rawatan akibat kecederaan di bahagian kepala.
“Sekumpulan lelaki ini ada memakai baju-T yang memaparkan lambang salah sebuah parti dan mereka bukan sahaja mencederakan orang ramai tetapi merosakkan gerai makanan yang berada di pekarangan dewan.
“Susulan kejadian tersebut, pihak penganjur terpaksa menangguhkan ceramah atas alasan keselamatan orang ramai,” katanya.
Menurutnya, setakat tengah malam tadi, beliau dimaklumkan mangsa berada dalam keadaan stabil dan masih di bawah pemantauan doktor.
Badrul berkata, pihak penganjur akan membuat laporan polis pada malam ini untuk tindakan tegas kepada pihak yang menimbulkan kekecohan di ceramah tersebut.
Program Asal Bukan Umno di dewan MBSA adalah yang ketiga dianjurkan selepas di Gombak dan Bayan Baru dan difahamkan juga menerima gangguan yang sama oleh pihak yang berkenaan.
Dalam pada itu, Badrul Hisham yang turut dikenali dengan nama mesra Chegubard berkata, "mereka cuba bakar sentimen kaum, tetapi mereka turut musnahkan gerai-gerai peniaga Melayu yang datang berniaga."
"ABU bukan satu kaum tetapi milik rakyat semua," katanya lagi.

'Dua tol membebankan kami'



HULU LANGAT 21 Jan.- Penduduk sekitar Bandar Mahkota Cheras dan Bandar Sungai Long merayu Kerajaan Persekutuan segera memansuh dan menutup plaza tol di Lebuh Raya Cheras-Kajang yang membebankan rakyat.
Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional Bahagian Hulu Langat, Datuk Johan Abd. Aziz berkata, permintaan mengenai lebuh raya yang mempunyai dua tol dalam jarak hanya tiga kilometer antara satu sama lain iaitu di Batu 9 dan Batu 11 itu telah dibuat sejak tiga tahun lepas.
Katanya, beliau telah menyuarakan perkara tersebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa satu majlis berbuka puasa di Dataran Usahawan, Batu 14, 21 Ogos lalu dan Najib telah berjanji akan meminta Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor mengkajinya.
"Difahamkan perbincangan antara Kementerian Kerja Raya dengan syarikat konsesi, Grand Saga Sdn. Bhd. berlangsung sekitar bulan September dan Oktober tahun lepas dan khabarnya berita positif telah diperoleh.
"Saya berharap Perdana Menteri dapat turun ke Hulu Langat sempena sambutan Tahun Baru Cina peringkat Selangor yang akan dianjurkan MCA di Sungai Chua 31 Januari ini serta membawa perkhabaran baik itu sebagai angpau untuk perayaan ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa mengadakan perhimpunan mengenai perkara tersebut di Bandar Sungai Long di sini hari ini.
Turut hadir ialah Ketua MCA Bahagian Hulu Langat, Jeffrey Lee Ban Seng; dan Presiden Parti Barisan Kemajuan India Malaysia (IPF), M Sambanthan.
Johan berkata, lebuh raya tersebut yang digunakan puluhan ribu kenderaan setiap hari merupakan satu-satunya jalan utama bagi penduduk di sekitar kawasan tersebut, malah turut digunakan oleh mereka yang tinggal di Kajang dan Negeri Sembilan.
"Setahu saya, konsesi bagi lebuh raya ini akan tamat dalam masa tiga tahun lagi. Jadi tidak salah jika ia dipercepatkan dan dimansuhkan sekarang.
"Syarikat konsesi pasti tidak akan rugi kerana saya percaya kerajaan tidak akan mengarahkan tol ditutup tanpa memberi pampasan," ujarnya.

Niat sambung belajar terkubur




ARIL menyiram air mawar di pusara Izwan sambil diperhatikan ayahnya, Pilus Jani (kanan) di Jasin, Melaka semalam.


JASIN - Hasrat penyanyi, Allahyarham Izwan Pilus atau nama sebenarnya, Khairil Izwan Pilus, 33, untuk menyambung pengajiannya dan berduet dengan adiknya sendiri tidak kesampaian.
Ibunya, Normah Abdullah, 54, berkata, arwah yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan dari Universiti Utara Malaysia itu ada memberitahu mahu menyambung pengajiannya pada peringkat sarjana dalam bidang penyiaran.
"Namun, hasratnya tidak kesampaian kerana sudah meninggalkan kami," katanya selepas pengebumian jenazah Izwan di Tanah Perkuburan Orang-orang Islam Nyalas di sini pagi semalam.
Allahyarham selamat disemadikan kira-kira pukul 11 pagi selepas disembahyangkan di rumah keluarganya di Taman Nyalas Permai di sini yang dihadiri kira-kira 200 kenalan termasuk saudara-mara dan rakan artis.
Izwan meninggal dunia akibat jangkitan kencing tikus dan jangkitan kuman dalam darah di Unit Rawatan Rapi Hospital Ampang, pukul 6.15 petang kelmarin.
Jenazah Allahyarham kemudian dibawa pulang di rumah keluarganya di Taman Nyalas Permai pada pukul 12 tengah malam kelmarin.
Sementara itu, Aril atau nama sebenarnya Khairul Azam Pilus, 27, berkata, dia dan abangnya bercadang berduet dalam sebuah lagu dan mereka dalam proses memilih komposer.
"Kini abang telah tiada dan saya masih berfikir sama ada hendak meneruskan usaha ini atau tidak kerana ia melibatkan janji dan amanah," katanya.
Menurutnya, dia akan merindui abangnya kerana Izwan bukan sahaja dianggap sebagai abang kandungnya, malah juga sebagai seorang rakan baik.