Wednesday, January 29, 2014

Polis tubuh pasukan khas pantau masjid, gereja



Georgetown: Polis menubuhkan satu pasukan pemantau khas untuk mengawal keselamatan dan ketenteraman awam di masjid dan gereja negeri ini, untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi, berkata pasukan khas yang dianggotai 73 pegawai dan 210 anggota polis itu akan memantau semua aktiviti di masjid dan gereja.


Berikutan itu, beliau memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang cuba mencetuskan provokasi supaya segera menghentikan perbuatan mereka.
Pemantauan berterusan dibuat termasuk meningkatkan rondaan unit bermotosikal, unit kereta peronda dan balai polis bergerak” Abdul Rahim Hanafi, Ketua Polis Pulau Pinang

Pemantauan berterusan

“Polis memandang serius isu keselamatan yang berlaku di gereja dan masjid. Pemantauan berterusan dibuat termasuk meningkatkan rondaan unit bermotosikal, unit kereta peronda dan balai polis bergerak,” katanya.

Beliau memberitahu sidang media selepas penyerahan Sijil Kelulusan Polis Bantuan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) di sini semalam.

Abdul Rahim berkata, setakat ini, pihaknya menerima 16 laporan membabitkan isu kain rentang provokasi yang dipasang sekitar negeri ini dan serangan bom petrol di sebuah gereja dekat Lebuh Farquhar di sini, kelmarin.
Beliau berkata, sembilan keterangan sudah diambil bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948, Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 kanun yang sama.

Tiada tangkapan

“Tiada tangkapan dibuat setakat ini dengan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mengenai kejadian serangan bom petrol itu akan dihantar ke Jabatan Forensik untuk mengenal pasti suspek,” katanya.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi kelmarin, dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal disyaki melemparkan dua bom petrol ke arah sebuah gereja di Lebuh Farquhar hingga menyebabkan kerosakan kecil.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Agama Islam negeri, Datuk Abdul Malik Abul Kassim, berkata pemasangan kain rentang berbaur provokasi dan serangan bom petrol itu tindakan yang harus ditentang.

“Ia tidak mencerminkan ajaran mana-mana agama. Orang ramai perlu menolak provokasi yang cuba dicetuskan itu kerana ia hanya menyemai rasa benci dan melenyapkan keharmonian yang dibina selama ini,” katanya.

Filipina bunuh 17 pemisah Islam



Manila: Tentera Filipina semalam berkata, pihaknya membunuh 17 militan yang menentang perjanjian keamanan yang dicapai antara kerajaan dan kumpulan pemisah Islam negara itu, ketika pertempuran meningkat pada hari kedua.

Jurucakap tentera wilayah, Kolonel Dickson Hermoso, berkata lebih 1,500 tentera terbabit dalam kempen menentang Pejuang Pembebasan Islam Bangsamoro (BIFF) di kawasan pertanian selatan negara itu.


Beliau berkata, 17 ahli BIFF disahkan terbunuh di dalam pertempuran minggu ini, sementara dua lagi tentera dan seorang awam cedera.

Serangan dilancarkan kelmarin, dua hari selepas kejayaan memuktamadkan rundingan antara kerajaan dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang disasarkan untuk menamatkan pemberontakan selama berdekad yang membunuh berpuluh ribu orang.

Serangan maut

BIFF adalah kumpulan militan kecil yang menentang usaha damai, dan melakukan banyak serangan maut beberapa tahun kebelakangan ini bagi menggagalkan proses perdamaian.

“Usaha menamatkan ancaman BIFF adalah aspek penting untuk membantu entiti politik pemerintahan sendiri Islam yang akan ditubuhkan menerusi perjanjian damai ini,” kata Hermoso kepada AFP.
Beliau berkata, pertembungan bersenjata kecil berterusan pada Selasa dalam tiga perkampungan pertanian berhampiran pekan Datu Piang, kira-kira 800 kilometer di selatan Manila.

Hermoso berkata, BIFF mempunyai 120 ahli ‘tegar’ disokong sejumlah saudara terdekat dan kumpulan bersenjata lain yang menentang rundingan aman.

Beliau berkata, tentera melaksanakan ‘operasi melaksanakan undang-undang’ bagi menangkap 25 militan, yang berdepan beberapa tuduhan jenayah, termasuk penculikan, pembunuhan dan penyeksaan orang awam.

MILF sudah menerajui pemberontakan sejak 1970-an, yang disasarkan untuk mencapai kemerdekaan atau pemerintahan sendiri bagi minoriti Islam di wilayah selatan Mindanao, yang mana mereka menganggapnya sebagai tanah tumpah darah mereka.

BIFF tarik diri berunding

Bagaimanapun ketika kumpulan itu mengadakan rundingan damai dengan kerajaan, BIFF menarik diri dan menuduh pemimpin utama pemberontak Islam itu mengkhianati usaha minoriti Islam untuk mencapai kemerdekaan.

Selepas 18 tahun rundingan, MILF dan kerajaan bersetuju pada Sabtu membabitkan bahagian akhir perjanjian keamanan yang dirancang iaitu penubuhan wilayah autonomi. Perjanjian itu dijangka ditandatangani pada akhir Mac depan. - AFP

Pilihan raya Thailand diteruskan



YINGLUCK meninggalkan Kelab Tentera di Bangkok semalam.


BANGKOK - Kerajaan Thailand semalam mengumumkan akan tetap mengadakan pilihan raya umum negara itu yang dijadualkan pada 2 Februari depan.
Ia akan diteruskan walaupun terdapat usaha pihak pembangkang untuk memboikot pilihan raya tersebut selepas para penunjuk perasaan melancarkan perhimpunan antikerajaan sejak November tahun lalu.
Kerajaan Thailand membuat keputusan untuk meneruskan pilihan raya itu selepas satu mesyua- rat diadakan melibatkan Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra dengan para pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya.
Suruhanjaya Pilihan Raya negara itu sebelum ini meminta pilihan raya tersebut ditangguhkan.
Keputusan untuk meneruskan pilihan raya itu dijangka mencetuskan lagi ketegangan politik di negara berkenaan.
Seorang pemimpin penunjuk perasaan antikerajaan telah mati ditembak manakala puluhan lagi ceedra dalam pertempuran yang berlaku pada Ahad lalu semasa pe- ngundian awal bermula di sini.
Sejak 30 November lalu, seramai 10 orang terbunuh dan 577 orang lagi cedera dalam kejadian tunjuk perasaan antikerajaan di Thailand.
Krisis tersebut bermula apabila ribuan penunjuk perasaan diketuai bekas Timbalan Perdana Menteri, Suthep Thaugsuba menuduh Yingluck menjadi boneka kepada abangnya, Thaksin Shina- watra yang kini hidup dalam buangan.
Pada tahun 2006, Thaksin yang menjadi Perdana Menteri Thailand telah digulingkan tentera menerusi satu rampasan kuasa aman. Ketika itu, kerajaan Thaksin didakwa melakukan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Sejumlah penunjuk perasaan antikerajaan menuntut Yingluck meletakkan kerajaan dan sebuah majlis rakyat ditubuhkan bagi mentadbir Thailand.
Timbalan Perdana Menteri Thailand, Pongthep Thepkanchana menyatakan, pihak suruhanjaya dan kerajaan mempunyai pandangan berbeza berhubung pilihan raya itu.
"Jika pilihan raya ditangguhkan, adakah masalah akan selesai?" soal Pongthep kepada wartawan.
Ratusan tunjuk perasaan turut mengepung lokasi Yongluck meng- adakan mesyuarat dengan para pegawai suruhanjaya itu.
Dalam kejadian itu, dua orang cedera dengan salah seorang dari- padanya parah akibat terkena tembakan di Kelab Tentera di sini. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0129&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2rjZe2P2u 
Hakcipta terpelihara 

Sebidang tanah Shanghai dibida RM5.6 bilion


Shanghai: Sebidang tanah di pinggir Shanghai mencatat rekod jualan 10.1 bilion yuan (RM5.6 bilion) di satu acara lelongan semalam.

Ia dianggap tanah kediaman termahal pernah dijual di Shanghai.

Agensi berita Xinhua melaporkan tanah itu dibida syarikat pembinaan China, Franshion Properties Ltd yang juga anak syarikat Sinochem Group.

Harga pembukaan lelongan bagi tanah berkenaan ialah 4.7 bilion yuan (RM2.6 bilion) menjadikan peningkatan harga jualannya kepada 115 peratus.

Ia juga menggambarkan persaingan sengit dalam kalangan pemaju untuk mendapatkan tanah ketika kerajaan cuba mengekang peningkatan harga melampau.

Tanah seluas 23.8 meter persegi berkenaan terletak di utara Shanghai.

Rekod jualan tertinggi bagi tanah kediaman di Shanghai sebelum ini ialah sebanyak 7.2 bilion yuan (RM4 bilion) yang dicatat pada 2009.



September tahun lalu syarikat pemaju terbesar Hong Kong, Sun Hung Kai Properties Ltd memenangi bidaan sebidang tanah komersial di Shanghai pada harga kira-kira (RM12 bilion).

- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/29

Coli penguji ‘cinta sejati’


Tokyo: Sebuah syarikat pengeluar pakaian dalam Jepun semalam mendakwa berjaya menghasilkan coli yang hanya akan terbuka kancingnya apabila si pemakai benar-benar dilamun cinta.

Coli dinamakan sebagai Penguji Cinta Sebenar itu menggunakan pengesan dan gajet khas yang dihubungkan ke peranti mudah alih bagi menganalisis pola serta kelajuan degupan jantung pengguna pada ketika individu terbabit bertemu seseorang lelaki.

Perisian peranti pada coli berkenaan akan menganalisis maklumat berkenaan dan menentukan sama ada si pemakai benar-benar dilamun cinta atau sebaliknya.



Jika si pemakai dianggap mengalami perasaan cinta dan ghairah, kancing di bahagian depan coli akan terbuka sendiri dan terserah kepada individu terbabit untuk menentukan langkah seterusnya.

Bagaimanapun, pengeluar coli jenama Ravijour itu tidak untuk dipasarkan kerana ia sekadar gimik sempena kempen promosi mereka yang menyambut ulang tahun ke-10.

Jurucakap Ravijour, Yuka Tamura berkata, coli unik berkenaan dihasilkan untuk menarik perhatian bukan sekadar pengguna produk mereka.

“Kami mahu produk Ravijour dapat membangkitkan perasaan romantik di antara lelaki dan wanita,” katanya.


Dalam video promosinya, penonton ditunjukkan bagaimana coli bertatahkan emas itu dilengkapi alat pengesan di tengahnya.

Ia menghantar isyarat kepada sebuah telefon pintar bagi menganalisis data si pemakai.


Video itu mendakwa produk berkenaan sebagai “coli unik yang benar-benar mengetahui perasaan wanita.”- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/29

Jenis kereta boleh bantu pikat kekasih


London: Seseorang “gagalis” yang sukar mendapat kekasih mungkin bukan sekadar perlu menilai diri sendiri, sebaliknya wajar melihat kepada kereta yang dipandu.

Satu kaji selidik mendapati tarikan seseorang boleh dipengaruhi jenis kenderaan dimiliki.


Menurut laman web Insure.com, wanita berpendapat lelaki memandu trak Ford hitam lebih menarik, manakala lelaki melihat wanita yang memandu BMW ‘sports’ merah sebagai lebih menawan.

Kaji selidik membabitkan 2,000 wanita dan lelaki berkenaan melihat jenis, jenama dan warna kenderaan yang dipandu orang yang dikategorikan menarik.


Sehubungan itu, wanita rata-rata menganggap pemandu pikap sebagai paling menarik iaitu sebanyak 32 peratus diikuti:


• Sports (27 peratus)
• SUV (16 peratus)
• Sedan (11 peratus)
• Hibrid (9 peratus)
• Trak UPS (4 peratus)
• Van (2 peratus)


Sementara itu, jenama paling dikaitkan dengan daya tarikan terhadap lelaki adalah Ford (16 peratus), Chevrolet (13 peratus) dan Porsche (11 peratus).

Di samping itu, wanita turut meminati hitam (53 peratus) sebagai warna untuk lelaki menarik diikuti perak (16 peratus) dan merah (13 peratus).

Bagi kaum lelaki pula, mereka menganggap wanita yang memandu kereta ‘sports’ sebagai paling menarik (39 peratus) diikuti Sedan (22 peratus); SUV (20 peratus); pikap (10 peratus); hibrid (6 peratus) dan van (4 peratus).

Mereka turut menganggap wanita paling menarik jika memandu:

• BMW (16 peratus)
• Mercedes (14 peratus)
• Porsche (10 peratus)

Artikel ini disiarkan pada : 2014/01/29

AS laksana hukuman mati cara lama?


beberapa negeri di Amerika sebelum ini menggunakan kerusi elektrik bagi melaksanakan hukuman mati ke atas pesalah yang didapati bersalah melakukan pembunuhan. - agensi
ST.LOUIS 28 Jan. - Beberapa buah negeri di Amerika Syarikat (AS) sedang menimbang untuk memperkenalkan semula hukuman mati cara lama, termasuk penggunaan skuad menembak, kerusi elektrik dan bilik gas beracun, selepas bekalan dadah untuk melaksanakan hukuman mati menggunakan suntikan, semakin berkurangan.
Kebanyakan negeri terbabit tidak lagi melaksanakan hukuman mati cara lama, bagi memastikan hukuman mati tidak melanggar Perlembagaan dan boleh diterima oleh rakyat.
Bagaimanapun, beberapa wakil rakyat melihat kekurangan bekalan dadah boleh membawa masalah pada masa depan.
Anggota Dewan Perwakilan Missouri, Rick Brattin berkata, ia bukan cubaan untuk mengembalikan keadaan seperti pada 1850-an atau pada zaman koboi dahulu.
''Saya melihat satu masalah akan timbul dan sedang cuba untuk mencari penyelesaian secara paling berperikemanusiaan, namun pada masa sama lebih ekonomi kepada negeri ini,'' katanya yang mencadangkan skuad menembak sebagai satu pilihan untuk melaksanakan hukuman mati pada bulan lepas.
''Tidak adil untuk ahli keluarga mangsa bunuh menunggu selama berdekad-dekad untuk melihat keadilan dilaksanakan,,'' katanya.
Seorang anggota Dewan Perwakilan Wyoming, pula mencadangkan rang undang-undang membenarkan skuad menembak, manakala Peguam Negeri Mossouri mencadangkan pembinaan semula bilik gas beracun.
Seorang anggota Dewan Perwakilan Virginia pula mahu kerusi elektrik digunakan semula menggantikan suntikan maut. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140129/lu_12/AS-laksana-hukuman-mati-cara-lama#ixzz2rjljsfJL
© Utusan Melayu (M) Bhd