Friday, July 8, 2011

Penasihat PKR tidak hirau larangan ke atasnya


HULU TERENGGANU – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan menghiraukan larangan yang dikenakan ke atasnya bersama 90 lagi individu agar tidak memasuki Kuala Lumpur esok.

Menurutnya, tiada sebab tidak boleh berada di Kuala Lumpur atas alasan beliau serta keluarga mempunyai rumah kediaman dan memang menetap di situ.

Ketika menyampaikan ceramah program Gempur Perdana anjuran Pas Terengganu di Kuala Berang malam tadi, beliau akan tetap berada di Kuala Lumpur pada tarikh itu.

Malah, beliau juga turut mempersoalkan kewajaran tindakan kerajaan serta mahkamah mengeluarkan perintah melarang beliau serta individu lain daripada memasuki Kuala Lumpur, esok.

SH

Polis benarkan jika perhimpunan esok di luar Kuala Lumpur: Hishammuddin


KUALA LUMPUR - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata polis akan memberi permit kepada mereka yang menganjurkan perhimpunan di luar Kuala Lumpur esok.

"Kelulusan boleh diperoleh segera," katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.

Hishammuddin berkata polis akan bertindak tegas terhadap mereka yang masih berdegil untuk menganjurkan perhimpunan di Kuala Lumpur esok.

Beliau berkata polis telah bertindak adil dalam membuat keputusan, dan telah juga menolak permohonan daripada Pemuda Umno dan Perkasa untuk mengadakan perhimpunan esok.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zulkarnain Abdul Rahman pula berkata permohonan mendapat permit perhimpunan di sini esok tidak diluluskan.

"Saya selaku Ketua Polis Daerah Dang Wangi tidak meluluskan permohonan tersebut setelah penelitian atas dasar keselamatan awam," katanya kepada pemberita petang ini.

Beliau berkata permit itu dipohon pagi tadi oleh seorang wanita yang menggunakan gelaran Pegawai Program Kesedaran Komuniti Selangor.

Mohamad Zulkarnain berkata dalam permohonan itu, wanita berkenaan mengatakan kira-kira 100,000 orang akan hadir ke perhimpunan itu.

Justeru itu, katanya, jika perhimpunan tersebut diteruskan, tindakan akan diambil di bawah Seksyen 27(5) Akta Polis 1967.

"Bagaimanapun pihak penganjur masih boleh membuat rayuan dalam tempoh 24 jam dari waktu permohonan ditolak (hari ini) kepada Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh secara bertulis," katanya.

Hishammuddin turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mendengar khabar angin termasuk khidmat pesanan ringkas (SMS).

"Bagi mengatasi kebimbangan masyarakat, polis menyediakan hotline iaitu di nombor talian 03-21460524 atau 03-21460525 untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut," katanya.

Ditanya mengenai sama ada perhimpunan haram yang dirancang esok dibatalkan, Hishammuddin berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang maklumat.

"Oleh sebab itu saya ssekali lagi menawarkan untuk pihak berkenaan mengadakannya di luar KL, Jika terima tawaran, tidaklah perlu rakyat dan polis bersusah payah memikirkan kebimbingan apa yang berlaku esok," katanya.

"Mengenai sama ada Angkatan Tentera Malaysia akan membantu menghadapi perhimpunan haram itu, katanya pihak polis masih boleh mengawal keadaan dan tidak ada keperluan penglibatan pihak lain.

"Bagaimanapun ia bergantung kepada keadaan semasa," katanya.- Bernama

SH

Anwar akan ketuai Himpunan Bersih esok?

Di sebalik larangan polis ke atas 91 individu berada di Kuala Lumpur, pemimpin Pakatan Rakyat akan tetap turun bersama orang ramai yang akan berhimpun di Stadium Merdeka esok.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditanya di laman sosial tweeter sama ada mereka akan ke Kuala Lumpur esok, menjawab, “ Pemimpin Pakatan Rakyat akan hadiri”.

Semalam, polis mengeluarkan senarai beberapa individu yang dilarang memasuki ibu negara termasuk Anwar, Mursiyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat, timbalan presiden PAS Mohamad Sabu dan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.

Berikutan dengan perjumpaan dengan Yang di-Pertuan Agong, atas kapasiti sebagai rakyat negara ini bukan sebagai Pengerusi Bersih, kerana Bersih adalah kumpulan Haram; Ambiga Sreenevasan mengumumkan bahawa Bersih 2.0 sudi menerima tawaran Perdana Menteri Najib Razak supaya mengadakan perhimpunan menuntut pilihan raya bersih dan adil di dalam stadium.

Pihak Kerajaan menawarkan Stadium Melawati untuk tujuan perhimpunan tersebut dengan syarat pertubuhan yang sah atau individu hendaklah memohon permit terdahulu.

Namun, tawaran Kerajaan itu ditolak oleh Ambiga, sebaliknya berdegil mahu juga berhimpun di Stadium Merdeka.

Pihak pengurusan Stadium Merdeka, tidak dapat memenuhi permintaan Bersih kerana stadium tersebut masih dalam proses baik pulih.



Dipetik daripada blog Apa Yang Tersirat (Bloger Musram Rakunman)

SH

Penutupan beberapa jalan utama di Kuala Lumpur bermula tengah malam ini

KUALA LUMPUR - Beberapa jalan utama di sekitar bandar raya akan ditutup dan dilencongkan mulai pukul 12.01 tengah malam ini, demikian pengumuman Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini.


Menurut laman sosial, Facebook PDRM, jalan-jalan yang terlibat ialah sepanjang Jalan Syed Putra, Jalan Istana, Jalan Bukit Petaling, Jalan Bellamy dan kawasan sekitar Istana Negara.

Jalan yang turut ditutup ialah sepanjang Jalan Sultan Hishammuddin, Jalan Lembah Perdana, Jalan Chenderasari dan kawasan sekitar Masjid Negara.

Jalan lain yang terlibat ialah kawasan sekitar Dataran Merdeka, Pasar Seni, Masjid Jamek, Dataran DBKL, Kompleks Sogo, Maju Junction, Masjid Kampung Baru, Jalan Kinabalu, Jalan Kuching, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Laut, Jalan Sri Amar, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Haji Taib, Jalan Raja Muda Musa, Jalan Raja Bot, Jalan Raja Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Munshi Abdullah, Jalan
Gereja, Jalan Raja Chulan, Jalan Tun Perak, Jalan Tun Tan Cheng Loke, Jalan Sultan Mahmud dan semua kawasan berhampiran.

Polis meminta orang ramai memberi kerjasama untuk sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan arahan semasa oleh anggota polis trafik yang membuat kawalan.

Polis juga menasihatkan orang ramai yang tidak mempunyai urusan penting di pusat bandar agar tidak memasuki kawasan berkenaan esok bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas. - Bernama

SH

Kurang berat dek kurang zat

BANDAR WAJIR: Seorang budak yang kekurangan zat makanan ditimbang di Hospital Daerah Wajir, di Kenya kelmarin.

Kemarau terburuk di Tanduk Afrika itu telah mencetuskan krisis makanan dan kadar kekurangan zat makanan yang serius.

Menurut PBB, para penduduk di sebahagian kawasan di Somalia dan Kenya mengalami kebuluran. -- Foto AP

Cyberita Online Luar Negara

Pakar dakwa Korea U sogok tentera Pakistan untuk dapatkan maklumat nuklear

WASHINGTON: Pengasas program bom nuklear Pakistan mendakwa pemerintah Korea Utara telah menyogok para pegawai tinggi tentera Pakistan bagi memperoleh teknologi nuklear yang sensitif pada lewat 1990-an, kata satu laporan akhbar The Washington Post, semalam.

Dr Abdul Qadeer Khan mendedahkan dokumen-dokumen yang beliau katakan menyokong dakwaannya bahawa beliau telah memindahkan pembayaran lebih AS$3 juta ($3.7 juta) oleh Korea Utara kepada para pegawai kanan tentera Pakistan, kata akhbar itu dalam laman webnya.

Dr Khan berkata tentera Pakistan kemudian mengizinkan beliau berkongsi pengetahuan teknologi dan peralatannya dengan para saintis Korea Utara.

Dr Khan juga mendedahkan apa yang beliau katakan sebagai satu salinan surat pegawai Korea Utara pada 1998 yang dikirimkan kepada beliau, yang ditulis dalam bahasa Inggeris, yang bermaksud menjelaskan perjanjian sulit itu, kata akhbar tersebut.

Sesetengah pegawai risikan Barat dan pakar-pakar lain pernah berkata bahawa mereka berpendapat surat itu adalah tulen.

Para pegawai Pakistan pula telah menyifatkan surat berkenaan palsu.

Dr Khan, yang pernah dipuji sebagai wira kebangsaan negaranya, sedang bertelagah dengan sebahagian besar pegawai Pakistan, yang berkata beliau bertindak sendirian dalam menjual rahsia-rahsia nuklear itu.

The Post berkata dakwaan Dr Khan dan butir-butir dalam surat itu, bagaimanapun, tidak dapat disahkan.

Surat Dr Khan itu bertarikah 15 Julai 1998 dan ditandakan sebagai 'rahsia', kata akhbar itu lagi.

'Wang tiga juta dolar itu telah pun dibayar' kepada salah seorang pegawai tentera Pakistan dan 'setengah juta dolar' dan beberapa barang kemas telah diberikan kepada seorang pegawai kedua, kata surat itu.

Surat tersebut mengandungi tanda tangan Setiausaha Parti Pekerja Korea Utara, Encik Jon Byong Ho.

Teksnya juga mengandungi kekata: 'Tolong berikan dokumen yang telah dipersetujui, alat-alat, dan sebagainya, kepada seorang ... (pegawai kedutaan Korea Utara di Pakistan) untuk dibawa pulang apabila pesawat kami pulang selepas mengirimkan komponen-komponen misil.'

Jeneral (Bersara) Jehangir Karamat, bekas ketua tentera Pakistan yang dinamakan sebagai penerima wang AS$3 juta itu, dalam e-melnya kepada akhbar berkenaan berkata surat itu tidak benar dan cuba 'mengalihkan kesalahannya kepada orang lain'.

Seorang lagi pegawai, Leftenan Jeneral (Bersara) Zulfiqar Khan, menyifatkan surat Dr Khan itu sebagai 'sesuatu yang diada-adakan'.

Surat berkenaan diserahkan kepada The Post oleh seorang bekas wartawan Britain, Encik Simon Henderson, yang menurutnya, didapati secara langsung daripada Dr Khan. -- AP.

Cyberita Online Luar Negara

Jambatan rentas laut di China 'bahaya' sebab dibuat tergesa-gesa

BEIJING: Para pegawai China didakwa tergesa-gesa menyiapkan pembinaan jambatan merentasi laut yang terpanjang di dunia agar ia dapat dibuka sempena ulang tahun ke-90 Parti Komunis pada 1 Julai lalu.

Akibatnya, nat pada susur pengadang sepanjang 15 meter di Jambatan Teluk Jiaozhou hanya dipasang tetapi tidak diketatkan, lapor akhbar The Global Times.

Jambatan yang menghubungkan bandar pelabuhan China timur, Qingdao, ke pesisir pulau Huangdao itu sepanjang 36.5 kilometer.

Saluran televisyen China Central Television pada awal minggu ini turut melaporkan sistem lampu di jambatan itu juga belum dipasang sebelum jambatan itu dibuka pada 30 Jun lalu.

Kerja pemasangan dan pembinaan yang belum selesai itu dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya dua bulan lagi.

'Masa suntuk ketika itu,' kata seorang pekerja pembinaan yang diwawancara saluran televisyen itu, sedang beliau mengetatkan nat di susur pengadang.

Akhbar The Global Times turut memetik seorang pakar jambatan daripada Universiti Beijing Jiaotong, Encik Han Bin, sebagai berkata:

'Beberapa kerja pembinaan tidak dapat diselesaikan sebelum jambatan ini dibuka secara tergesa-gesa kepada trafik sempena 1 Julai lalu. Jika kemalangan berlaku dan kenderaan melanggar rel adang, masalah mungkin timbul.'

Tarikh pembukaan projek prasarana utama di China biasanya sejajar dengan ulang tahun Parti Komunis atau Hari Kebangsaan pada 1 Oktober, sebagai mempamerkan pencapaian pemerintah.

Ketua jurutera Jambatan Teluk Jiaozhou, Encik Shao Xinpeng, bagaimanapun menegaskan struktur jambatan itu selamat dan sudah bersedia menerima laluan trafik.

Menurut beliau, sistem lampu di jambatan itu berfungsi sebagai perhiasan saja.

Namun, para pengguna Internet tidak yakin dengan kenyataan itu sambil menuduh para jurutera dan pihak berkuasa setempat mementingkan propaganda daripada keselamatan rakyat.

Mereka telah turut memuat naik video dan gambar-gambar bahagian jambatan itu yang pembinaannya belum selesai. -- AFP.

Cyberita Online Luar Negara

Indonesia mahu perangi rasuah di sektor sumber, cukai

JAKARTA: Indonesia merancang membanteras amalan rasuah dalam sektor sumber dan pungutan cukai bagi meningkatkan kecekapan jentera pentadbiran negara dan mendapatkan semula dana yang sepatutnya menjadi milik tabung negara.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Membanteras Rasuah (KPK), Encik Haryono Umar, berkata pihaknya mencapai beberapa kejayaan dengan mendakwa sejumlah pegawai tinggi - termasuk hakim dan pakar perbankanm - memenjarakan golongan 'tamak', selain menaikkan gaji pekerja bagi mengurangkan amalan rasuah kecil-kecilan.

'Kami bagaimanapun, tidak dapat menangkap semua kakitangan jabatan terbabit kerana ia menyebabkan jentera pentadbiran negara yang sedia ada musnah,' katanya.

Encik Umar berkata, KPK akan memulakan siasatan rasuah dalam sektor sumber, termasuk minyak dan perhutanan yang sepatutnya menjana pendapatan besar negara.

Indonesia berjaya menangani krisis kewangan global dan semakin mendapat perhatian pelabur yang mahu memperoleh faedah daripada negara yang kaya dengan sumber komoditi itu, namun amalan rasuah terus menjadi penghalang utama.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dipilih semula berikutan janjinya membanteras rasuah, namun kejayaan dicapai dilihat terlalu perlahan, sekali gus mengancam populariti beliau dan pelaburan asing.

Encik Umar, yang pernah berkhidmat sebagai juruaudit negara, berkata antara kerugian paling besar dihadapi Indonesia ialah dalam sektor percukaian.

'Pegawai percukaian tidak melakukan apa-apa dalam tempoh 10 tahun,' katanya sambil menarik perhatian, tahun depan, negara itu dijangka kerugian AS$1 bilion ($1.2 bilion) cukai korporat yang belum terbayar, berikutan peraturan yang menetapkan keperluan membayar cukai akan lupus selepas 10 tahun. -- Reuters.

Cyberita Online Luar Negara

Gaji pekerja seluruh dunia semakin rendah

Akibat kebanjiran pekerja murah dari Eropah Timur dan China

KEBANJIRAN ribuan pekerja asing murah dari Eropah Timur dan China sejak dua dekad lalu telah menyebabkan gaji pekerja di seluruh dunia, termasuk Amerika Syarikat, menjadi lebih rendah.

Meskipun keadaan dijangka stabil kelak, pakar ekonomi meramalkan syarikat- syarikat akan mengalami masalah kekurangan pekerja pula, lantas menjejas daya penghasilan pekerja dan syarikat.

Dalam pada itu, perhatian khusus dan bantuan perlu diberi kepada pekerja bergaji rendah, seperti pekerja pembersihan dan pengiriman, kata Timbalan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ong Ye Kung, ketika berucap di Persidangan Modal Insan Singapura semalam.

Beliau memberi lima saranan bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja. Antaranya beliau menyarankan syarikat memberi pekerja bergaji rendah gaji lebih tinggi daripada kadar pasaran.

'Banyak pertubuhan telah menunjukkan contoh baik dengan tidak memberi mereka gaji mengikut kadar pasaran, sebaliknya memberi mereka gaji baik dan gaji bagi menyara hidup mereka.

'Pertubuhan seperti itu dapat memberi gaji lebih tinggi kerana mereka memberi latihan kepada pekerja dan menyediakan peralatan serta kelengkapan sesuai bagi mereka menjalankan tugas.

'Saya rasa pendekatan seperti ini menunjukkan pertubuhan itu mempunyai belas kasihan, prihatin akan pekerjanya dan menganggap mereka sebahagian keluarga mereka. Ia satu sumber motivasi dan inspirasi bagi seluruh pertubuhan,' ujarnya.

Encik Ong turut menyarankan agar menggunakan teknologi dan program latihan di tempat kerja bagi mempertingkat daya penghasilan dan kemahiran pekerja.

Beliau juga menyarankan agar pekerja yang menunjukkan prestasi lebih baik diberi ganjaran dan syarikat melaksana sistem sumber manusia (HR) lebih fleksibel.

'Sedang tenaga kerja kian sukar didapat, munasabah bagi HR melihat dengan teliti sistem-sistem dan prosesnya demi memastikan ia terbuka dan fleksibel dan menimbangkan setiap calon yang ingin dan bersedia memenuhi sesuatu jawatan,' ujar Encik Ong.

Cyberita Online Singapura

Bersih berkeras mahu ke Stadium Merdeka

MAHU ELAK PERISTIWA BERULANG: Kerajaan Malaysia sedang berusaha mengelakkan perhimpunan Bersih 2.0, esok, seperti yang pernah berlaku pada 10 November 2007, di Kuala Lumpur, yang menyaksikan lebih 60,000 penyokong Bersih berhimpun meminta diadakan pembaharuan dalam pilihan raya. -- Foto AP

Beri alasan terlalu suntuk tukar rancangan, orang ramai dinasihat jauhi KL

KUALA LUMPUR: Kecewa dengan pendirian kerajaan berhubung isu lokasi bagi satu perhimpunannya esok, Gabungan bagi Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 berkata ia akan berhimpun di Stadium Merdeka, di sini, walaupun kerajaan enggan membenarkan kumpulan itu mengadakan di sana.

Bersih 2.0 menegaskan ia tidak akan memindahkan perhimpunannya dari Stadium Merdeka, esok, sambil berkata terlalu suntuk bagi penyokongnya menukar rancangan.

Pengerusinya, Datuk Ambiga Sreenevasan, yang memimpin gerakan pembaharuan pilihan raya itu, selepas menemui Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, semalam memberitahu wartawan bahawa Bersih 2.0 akan meneruskan rancangannya itu dan memohon permit polis serta meminta kebenaran pentadbir stadium itu secepat mungkin.

'Beberapa penyokong kami mungkin sudah menuju ke Stadium Merdeka,' kata beliau meskipun kumpulan itu dinasihatkan supaya menjauhi Kuala Lumpur.

'Saya terkejut apabila kerajaan persekutuan memberitahu kami supaya pergi ke negeri (yang ditadbir) Pakatan Rakyat (PR). Apakah kerajaan persekutuan cuba memberitahu kami bahawa PR lebih baik?'

Datuk Ambiga berkata demikian sebagai merujuk kepada saranan para pemimpin Barisan Nasional (BN) berhubung perkara itu, kelmarin.

Sebelum itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, sudah pun menawarkan menjadi hos perhimpunan tersebut di Stadium Shah Alam.

Datuk Ambiga, yang diiringi anggota jawatankuasa pandu Bersih 2.0, Encik Wong Chin Huat dan Seniman Negara, A. Samad Said, berkata mereka pada mulanya ditolak oleh Stadium Merdeka kerana tidak mempunyai permit polis terdahulu.

Namun, mantan Presiden Majlis Peguam Malaysia itu berkata Tan Sri Ismail menjelaskan, semalam, bahawa gerakan itu harus terdahulu meminta izin pentadbir lokasi tersebut sebelum diberi permit polis.

Bagaimanapun, pihak polis meminta Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan itu di luar Kuala Lumpur.

'Saya mengesyorkan kepada mereka agar mengadakan di luar Kuala Lumpur. Jangan menyebabkan kesesakan di Stadium Merdeka yang dekat dengan pusat bandar raya dan menyebabkan gangguan,' kata beliau selepas mengadakan pertemuan dengan wakil Bersih 2.0 itu.

Polis memperoleh perintah mahkamah melarang seramai 91 individu berkaitan dengan Bersih 2.0, Pemuda Umno dan Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) daripada memasuki Kuala Lumpur, esok.

Antara nama dalam senarai itu termasuk Datuk Ambiga; Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali; Ketua Pemuda Umno, Encik Khairy Jamaluddin; dan anggota jawatankuasa pandu Bersih, Cik Maria Chin Abdullah.

Seramai 66 orang dalam senarai itu daripada Bersih 2.0; 14 daripada Perkasa dan 11 lagi daripada Pemuda Umno.

Polis juga akan menutup seberapa banyak jalan raya ke Kuala Lumpur - satu langkah yang dilihat bertujuan melumpuhkan perhimpunan pada hari itu. -- Agensi.

Cyberita Online Luar Negara

'Tak pasti adalah perkataan yang mengagumkan'

SHAH ALAM 7 Julai - Hakim Mahkamah Tinggi di sini hari ini menegur jawapan 'tak pasti' yang diberikan oleh anak sulung Datuk Sosilawati Lawiya pada kebanyakan soalan yang dikemukakan oleh barisan pembelaan pada sesi soal balas.

Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat teguran tersebut terhadap Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 26, atau Rita, sambil menyifatkan jawapan sedemikian bukanlah satu jawapan yang boleh membantu.

"Cuba ingat. Tak pasti tak jadi jawapan tetapi hak awak untuk jawab tak pasti. Tapi kalau asyik jawapan tak pasti, itu tidak membantu. Tak pasti berbeza dengan tak tahu sebab tak pasti ini maknanya awak tidak tahu perkara tersebut berlaku atau tidak,'' kata hakim terbabit.

Terdahulu, puluhan jawapan 'tak pasti' itu yang diberikan oleh pengarah syarikat Nouvelle Visages Beauty Centre Sdn. Bhd. (Nouvelle Visages) sejak Jun 2010 dilihat telah menjengkelkan peguam-peguam bela, Manjeet Singh Dhillion dan Amer Hamzah Arshad.

Manjeet pada satu ketika dengan sinis menyatakan 'tak pasti is a wonderful word' (tak pasti adalah satu perkataan yang mengagumkan) sebagai respons kepada jawapan Rita dan ia turut 'dipetik' semula oleh Amer Hamzah apabila berulang kali menerima jawapan yang sama daripada gadis tersebut.

Antara soalan yang menerima jawapan tersebut ialah siapa setiausaha syarikat Nouvelle Visages, adakah Rita memberikan sebarang dokumen kepada pihak polis dan adakah pihak polis ada memberikan borang serah terima kepada Rita.

Bagaimanapun, ketika disoal semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff, gadis itu menyatakan dia sering memberikan jawapan tidak pasti atau yang seumpama dengannya kerana dia 'terlalu gugup, tak boleh nak fikir, terlalu banyak benda yang berlaku dan cemas'.

Menjawab pertanyaan Hakim Akhtar sejurus selepas itu sama ada perasaan cemas tersebut berlaku pada hari kejadian atau pada prosiding hari ini, Rita menyatakan perasaan tersebut timbul pada hari kehilangan ibunya dan apabila dia memikirkan semula mengenai kejadian tersebut, terlalu banyak perkara yang tidak diingatinya.

Pada peringkat awal soal balas, Rita menafikan bahawa ibunya 'tidak ada duit' sehingga terpaksa mempercepatkan tarikh cek yang diterima daripada seorang peguam bernama Pathma bagi membolehkan wang tersebut digunakan untuk memberi bonus pekerja dan hadiah kepada ahli keluarganya.

"Saya tak kata dia (Sosilawati) tak ada duit. Yang saya tahu dia nak cepatkan sebab nak bagi bonus dan duit pada adik-adik dia. Saya tak tahu niat lain ibu saya untuk bayar apa-apa, yang saya tahu nak bayar bonus dan bagi duit pada adik-adik dia,'' tegasnya ketika disoal Manjeet.

Dia juga tidak mengetahui syarikat milik ibunya itu mempunyai simpanan sebanyak RM1.9 juta pada penghujung 2009.

Sementara itu, ketika disoal oleh Amer Hamzah kenapa dia menunggu sehingga malam keesokan harinya untuk membuat laporan polis berhubung kehilangan ibunya, Rita menyatakan, ia berikutan anggota polis di sebuah balai berhampiran rumahnya memberitahunya bahawa laporan orang hilang hanya boleh dibuat selepas 24 jam.

Tempoh 24 jam itu pula dikira dari waktu terakhir dia dapat bercakap dengan ibunya dan juga rakan-rakan ibunya yang lain, pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim yang turut ke Banting pada tarikh kejadian.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

Sosilawati tidak balik tiga hari



Habishah Bahari (kanan) ditemani Junaidah Ismail sewaktu hadir memberi keterangan dalam perbicaraan kes bunuh Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.


SHAH ALAM 7 Julai - ''Shah, Kak Wati tak balik tiga hari pergi Genting.''

Itulah kata-kata terakhir jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya kepada Habishah Bahari, 47, semasa menghubungi kawan baiknya itu buat kali ketiga pada malam dia dikatakan dibunuh bersama pemandu, peguam serta penasihat kewangannya.

Habishah yang memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, dia berasa risau selepas talian terputus begitu sahaja kerana Sosilawati hanya membahasakan dirinya sebagai Kak Wati apabila susah hati.

Dalam keadaan biasa, jelas saksi pendakwaan ke-16 itu, rakannya itu membahasakan dirinya sebagai aku.

''Saya jadi risau, berdebar-debar dan tidak sedap hati sebab dia bahasakan dirinya Kak Wati dengan nada yang lembut,'' katanya tersekat-sekat semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd. Ghani.

Habishah dilihat tidak dapat menahan kesedihan dan terus menangis tanpa sempat menghabiskan jawapan sebelum mahkamah berhenti rehat bagi memberi masa untuk saksi itu menenangkan diri.

Dalam kes ini, bekas peguam, N. Pathmanabhan, 42; bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 20; R. Matan, 21; dan R. Kathavarayan, 31; didakwa membunuh Sosilawati, 47, Kamaruddin Shamsuddin, 47; peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32; dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.

Kejadian didakwa berlaku di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting dekat sini antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Terdahulu, kata Habishah, dia menerima panggilan pertama Sosilawati semasa sedang berbuka puasa di rumah seorang kawan pada pukul 7.30 malam, 30 Ogos 2010.

Beliau turut mendengar suara ramai orang sedang bercakap-cakap seolah-olah panggilan rakannya itu dibuat di kedai makan.

''Sosilawati kata, 'Wei, aku tak percaya Kamal (Kamaruddin) masuk bilik aku, Dia ambil gambar bogel aku, Kau pergi rumah aku, kau masuk ke dalam bilik air, kau check ada kamera tersorok tak'. Kemudian talian terus terputus.

''Saya hairan sebab kenapa ayat yang diguna, 'Kamal ambil gambar bogel aku' sebab tidak ada apa-apa petanda Kamal boleh berbuat demikian. Lagipun selama tiga tahun kenal Kamal, dia seorang yang jujur, baik hati, ikhlas, lembut, setia dan patuh pada arahan,'' jelasnya.

Berikutan itu, jelas Habishah, dia cuba menghubungi semula Sosilawati sebanyak lima kali tetapi panggilan itu tidak dijawab walaupun kedengaran nada dering.

Selepas lima hingga 10 minit kemudian, katanya, Sosilawati menghubunginya semula dengan menggunakan talian yang sama.

''Kali kedua dia call, saya tanya, Kak Wati, kau cakap apa aku tak faham. Dia kata tak apa, kau pergi dulu kat rumah aku, check kat bilik aku. Nanti balik aku cerita. Selepas itu dia terus letak telefon.

''Panggilan kali ketiga dan terakhir saya terima selepas saya solat Maghrib pada malam sama,'' katanya.

Menurut Habishah, dia hanya pergi ke rumah Sosilawati dan berjumpa anak-anak kawan baiknya itu sebaik sahaja selesai urusan di kedai jahitnya di Plaza Idaman Gombak pada pukul 11 malam.

Dia memberitahu anak-anak Sosilawati tentang apa yang diberitahu oleh ibu mereka serta menyuruh memeriksa bilik dan bilik air tetapi tiada sebarang kamera tersorok dijumpai.

Kata Habishah, dia pulang ke rumah dua jam kemudian dan menerima panggilan telefon daripada anak lelaki Sosilawati mengatakan akan ke Shah Alam bersama kakaknya, Erni Dekritawati Yuliana untuk mencari kereta Noorhisham.

Ditanya tentang peristiwa sebelum itu, kata saksi, dia diminta menemankan Sosilawati ke Banting pada 30 Ogos 2010 untuk berjumpa dengan peguam Pathma bagi menukar dan mendapatkan cek bertarikh sebelum hari raya.

''Saya tidak temankan dia sebab masa itu saya sibuk. Saya tunggu dia call tetapi dia tidak call. Jadi saya ingat mungkin saya tidak perlu pergi.

''Pukul 5 petang saya call, Sosilawati kata dia dalam perjalanan ke Banting dan ada tunggu tetapi saya tidak datang. Jadi dia pergi dulu sebab nak cepat,'' katanya.

Menjawab soalan peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Matan, Habishah mengakui menyuruh anak-anak Sosilawati membuat laporan polis sebagai langkah berjaga-jaga walaupun menganggap dakwaan terhadap Kamal tidak berasas.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir yang masuk hari keempat bersambung esok.

Utusan Malaysia Online - Mahkamah

91 dilarang masuk KL Sabtu ini

KUALA LUMPUR 7 Julai - Polis mendapat perintah daripada Mahkamah Majistret Kuala Lumpur untuk melarang seramai 91 individu termasuk Datuk S. Ambiga, Datuk Ibrahim Ali dan Khairy Jamaluddin berada di beberapa kawasan di ibu negara pada Sabtu ini.

Selain tiga pemimpin mewakili tiga kumpulan yang akan menganjurkan perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), pemimpin-pemimpin pembangkang turut tersenarai dalam perintah larangan itu.

Antaranya Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, perintah larangan itu dibuat mengikut Seksyen 98 Kanun Tatacara Jenayah yang menamakan sebahagian besar daripada lokasi-lokasi utama di ibu negara.

Beliau berkata, sekiranya kesemua penama itu ingkar dan berada di kawasan terbabit, polis akan mengambil tindakan mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan kerana mengingkari perintah yang diisytiharkan oleh penjawat awam.

"Kita juga tidak teragak-agak mengambil tindakan lebih tegas termasuk menangkap mereka serta-merta sekiranya setiap penama ingkar dengan perintah larangan.

"Perintah larangan ini adalah untuk mengelakkan daripada perbuatan yang boleh mengganggu ketenteraman awam atau mendatangkan bahaya kepada nyawa dan keselamatan manusia," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Jelas Amar Singh, arahan itu diberikan oleh Majistret Mohd. Azali Ibrahim semalam selepas pihaknya membuat permohonan.

Beliau berkata, pihaknya akan menyerahkan perincian perintah larangan semua 91 penama itu melalui alamat yang diberikan bermula hari ini.

"Dengan penyerahan perintah larangan itu, kita berharap agar kesemua mereka tidak menghadirkan diri, berada atau mengambil apa-apa bahagian dalam perhimpunan ini di tempat terbabit," katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan antara lokasi yang dilarang adalah Dataran Merdeka, Pasar Seni, Masjid Jamek, Masjid Negara, Dataran DBKL, Perkarangan Sogo, Maju Junction dan Masjid Kampung Baru.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Polis temui empat senapang tiruan

PETALING JAYA 7 Julai - Seorang pengurus pusat kecergasan dan bina badan tidak menyangka bungkusan plastik panjang berwarna kuning yang diletakkan di tangga tingkat satu sebuah rumah kedai di PJS 3/36 Taman Sri Manja di sini semalam berisi empat laras senapang tiruan buatan sendiri.

Kejadian itu disedari pengurus terbabit kira-kira pukul 4 petang. Dia pada mulanya menyangka bungkusan itu milik sebuah kedai jahit di tingkat berkenaan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, bagaimanapun, curiga dengan penemuan bungkusan itu, pengurus terbabit segera melaporkan perkara itu kepada pihak polis.

Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, polis mendapati empat laras senapang tiruan buatan sendiri dibungkus dalam plastik itu.

"Polis masih menyiasat tujuan dan dari mana senjata itu diperoleh mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960," katanya ketika ditemui di tempat kejadian malam tadi.

Arjunaidi bagaimanapun enggan mengulas sama ada senjata itu digunakan untuk perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada Sabtu ini.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Bersih masih mahu berhimpun di Stadium Merdeka

KUALA LUMPUR 7 Julai - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) terus berdegil apabila tetap mahu mengadakan perhimpunan di Stadium Merdeka Sabtu ini, meskipun Kabinet tidak membenarkannya atas alasan kumpulan itu adalah pertubuhan haram.

Dalam satu kenyataan hari ini Bersih memberitahu, pihaknya tidak akan berganjak dengan keputusan untuk berhimpun di Stadium Merdeka yang dianggap sebagai lokasi strategik bagi tujuan itu.

"Kami tetap akan berkumpul secara aman bagi menuntut pilihan raya bersih dan adil di Stadium Merdeka pada pukul 2 petang Sabtu ini. Kami akan berhimpun beramai-ramai dan bersama-sama membina negara Malaysia yang lebih baik," ujar kenyataan itu.

Semalam, Kabinet yang mendapat pandangan dan nasihat Pejabat Peguam Negara memutuskan tidak akan membenarkan perhimpunan Bersih diadakan di Stadium Merdeka kerana gabungan itu bukan pertubuhan sah.

Bersih yang turut memetik kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar bahawa polis akan mengambil tindakan ke atas mereka sekiranya meneruskan perhimpunan tersebut memberitahu, mereka tidak akan ditakut-takutkan dengan amaran itu.

"Kami sebagai rakyat Malaysia yang cintakan tanah air mahu hak kami untuk memilih pemimpin dengan cara demokrasi. Kami tidak akan ditakut-takutkan dengan penyalahgunaan kuasa yang tidak bermoral dan tidak adil.

"Tanggungjawab kami adalah untuk masa depan kami dan anak-anak. Kami sudah memasang tekad agar mereka tidak mewarisi negara yang diperintah berdasarkan ketakutan dan tidak berpandukan prinsip keadilan," tambah kenyataan itu lagi.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

Ambiga tetap berdegil – KPN

KUALA LUMPUR 7 Julai – Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Datuk S. Ambiga tetap berdegil mahu mengadakan perhimpunan haram di Stadium Merdeka pada Sabtu ini, meskipun dinasihatkan agar membatalkan hasrat tersebut oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dalam pertemuan hari ini.

Ismail berkata, beliau telah memanggil Ambiga menemuinya di Bukit Aman pada pukul 2 petang ini untuk berbincang lebih lanjut selain menerangkan syarat-syarat yang perlu dipatuhi demi menjamin ketenteraman awam.

Beliau berkata, antara perkara dimaklumkan dalam perjumpaan tersebut adalah Bersih harus memohon kebenaran daripada pemilik premis jika mahu polis meluluskan permit perhimpunan berkenaan.

Katanya, beliau juga mengesyorkan kepada Ambiga supaya mengadakan perhimpunan itu di luar Kuala Lumpur kerana kedudukan Stadium Merdeka yang sempit, sedang diubah suai dan terletak di tengah ibu kota boleh mengakibatkan kesesakan lalu lintas sehingga mengganggu peniaga dan orang ramai.

“Saya mengesyorkan kepada Ambiga untuk mengadakan perhimpunan di Stadium Melawati, Selangor kerana Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sudah membuat tawaran membenarkan perhimpunan diadakan di situ.

“Namun, saya nampak Ambiga masih berdegil. Cadangan saya (minta buat perhimpunan di Stadium Melawati) adalah untuk membantu beliau, tetapi nampaknya dia berdegil. Beliau tidak mahu ubah fikiran dan pendirian,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, hari ini.

Ismail berkata, Ambiga berkeras mahu mengadakan perhimpunan di Stadium Merdeka dengan alasan ia tempat yang selesa.

Menurutnya, beliau bagaimanapun menasihatkan Ambiga supaya mempertimbangkan peluang keemasan yang diberikan oleh kerajaan (membenarkan perhimpunan) dengan memilih mana-mana stadium lain yang terletak di luar Kuala Lumpur.

Beliau berkata, langkah kerajaan untuk memberi ruang mengadakan perhimpunan di stadium dan bukan di jalanan dibuat demi mengurangkan gangguan kepada kehidupan harian rakyat dan menjaga ketenteraman awam.

“Kegiatan ekonomi juga tidak akan terjejas. Kita juga ingin mengelak kejadian yang tidak diingini daripada berlaku,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Ismail berkata, polis tidak akan meluluskan permit perhimpunan kepada Ambiga jika permohonan dibuat menggunakan nama Bersih.

“Kalau mohon permit di atas nama Bersih, polis akan tolak kerana Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sudah mengisytiharkan Bersih sebagai sebuah pertubuhan haram yang tidak berdaftar,” katanya.

Bagaimanapun, jelas beliau, permit boleh dibuat oleh setiausaha kepada pertubuhan yang berdaftar atau tiga individu dengan mengemukakan tiga permohonan.

Setakat ini, kata Ismail, polis belum menerima permohonan daripada mana-mana pihak termasuk Bersih dan mereka yang terlibat dinasihatkan membuat permohonan segera kerana hanya mempunyai tempoh kurang 48 jam sehingga Sabtu ini.

“Dalam kes Bersih yang melibatkan isu nasional, polis masih boleh berbincang dan bertolak-ansur tetapi jangan sampai ada pihak yang mengambil kesempatan.

“Kita tiada tarikh akhir untuk memohon permit tetapi kelulusannya adalah bergantung kepada undang-undang dan yang membuat keputusan ialah ketua polis daerah yang akan mempertimbang secara profesional bergantung kepada keadaan keselamatan,” ujarnya.

Utusan Malaysia Online - Jenayah

‘Tiga klinik tiada doktor’

Mangsa mati ketika ke HTJS

REMBAU: “Saya berlari mendukung Izzah yang tidak sedarkan diri masuk ke tiga klinik, namun, hampa kerana semua doktor tiada untuk memberi bantuan kecemasan,” kata Haliza Talib, 44, ibu kanak-kanak yang mati lemas di dalam kereta, Izzah Athirah Mohd Khir, 10, di Sekolah Rendah Islam ABIM di sini, kelmarin.

Menceritakan kembali kejadian itu, Haliza ketika ditemui selepas pengebumian anaknya di Tanah Perkuburan Yayasan Sofa di sini, semalam, berkata dia terkejut apabila menemui anaknya tidak sedarkan diri, tertiarap dengan mulutnya berbuih di dalam kereta PERODUA Alza miliknya jam 2 petang.

Dia kemudian menahan sebuah kenderaan untuk membawa anaknya ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS), namun pemandu itu tersesat.
“Bagaimanapun, kami menemui sebuah poliklinik rakyat dan saya segera mendukung Izzah masuk sebelum diberitahu doktor tiada. Saya gagahkan diri mendukungnya ke dua klinik berhampiran, namun nasib kami tetap sama.

“Dalam keadaan kelam kabut, saya cuba menahan kenderaan lain untuk membawa kami ke HTJS tetapi gagal. Akhirnya, staf di poliklinik rakyat menawarkan diri menunjukkan jalan kepada pemandu van yang ditumpangi sebelumnya,” katanya.

Dalam perjalanan ke HTJS, Haliza beberapa kali cuba memberi bantuan pernafasan namun tiada tindak balas dan dia mengakui takut untuk memeriksa nadi anaknya kerana tidak bersedia menerima hakikat jika Izzah Athirah sudah tiada.

Bagaimanapun, doktor di HTJS mengesahkan mangsa meninggal dunia dalam perjalanan ke situ.
Dalam kejadian jam 2 petang kelmarin, Izzah Athirah yang juga pelajar Tahun Empat Sekolah Rendah Islam ABIM lemas terperangkap dalam kenderaan itu selama enam jam setengah.

Ditanya apa sebenarnya berlaku sebelum kejadian itu, Haliza berkata, anaknya enggan keluar dari kereta ketika mereka tiba di sekolah jam 7.30 pagi kerana kehilangan kasut sekolahnya.

“Disebabkan sudah lambat, saya beri kunci kepada adiknya (Nur Izzah Adila, 8) sambil berpesan supaya dia mengunci pintu selepas kakaknya (mangsa) keluar.

“Jam 9.20 pagi, saya melihat kunci kereta ada di atas meja dan beranggapan kedua-dua mereka sudah masuk ke kelas,” katanya yang kemudian diberitahu Adila tidak mengunci kereta kerana kakaknya enggan keluar.
Berita Harian Online | ‘Tiga klinik tiada doktor’

Kanak-kanak termasuk 7 mati ditembak di Michigan

GRAND RAPIDS (Michigan): Polis mengesahkan tujuh orang termasuk seorang kanak-kanak ditembak mati di dua tempat di Grand Rapids, di barat Michigan, semalam.

Ketua Polis, Kevin Belk memberitahu pemberita, kejadian pembunuhan itu diketahui pada lewat semalam.
Beliau berkata, terdapat kejadian tembakan namun enggan memberi maklumat lebih lanjut dalam masa terdekat.
Berita Harian Online | Kanak-kanak termasuk 7 mati ditembak di Michigan

‘Jet pejuang Singapura hanya berlatih’

KUALA LUMPUR: Siasatan awal Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berhubung insiden pelanggaran ruang udara Malaysia oleh pesawat Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) mendapati ia hanya berlaku di Pulau Batu Putih, kata Panglimanya, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud.

“Apa yang berlaku bersangkut paut dengan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dulu.
“Pada peringkat kita, jawatankuasa teknikal masih berbincang dan belum ada keputusan akhir kecuali terus membantah insiden itu," katanya ketika ditemui bersama Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri Singapura, Teo Chee Hean di sini, semalam.
Rodzali berkata, insiden tersebut itu bagaimanapun tidak mengganggu keselamatan negara dan negara jiran hanya menjalankan sesi latihan.

Terdahulu, ketika ditanya mengenai insiden itu, Ahmad Zahid berkata perkara itu dikendalikan Kementerian Luar dan bantahan sudah dikemukakan.

Minggu lalu dalam jawapan bertulisnya kepada Khairy Jamaluddin Abu Bakar (BN-Rembau) di Dewan Rakyat, Ahmad Zahid berkata 2,508 pencerobohan ruang udara oleh pesawat tentera udara Singapura di ruang udara Malaysia dikesan sejak 2008. – BERNAMA
Berita Harian Online | ‘Jet pejuang Singapura hanya berlatih’

Inkues Ahmad Sarbaini: ‘Sarbaini pernah mengaku ambil rasuah’

Hadir mahu tukar pengakuan

KUALA LUMPUR: Penolong Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Selangor, Ahmad Sarbaini Mohamed pernah mengaku menerima rasuah daripada dua syarikat ejen penghantaran membabitkan sejumlah wang ketika mangsa memberi keterangan di depan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 4 April lalu.

Ketua Unit Siasatan SPRM Wilayah Persekutuan, Mohamad Fauzi Husin memberitahu Mahkamah Koroner semalam, Ahmad Sarbaini menerima rasuah daripada syarikat ejen Top Mark Shipping antara RM30 hingga RM200 sebulan manakala antara RM50 hingga RM100 sebulan diberikan lelaki dikenali sebagai Wan Zainal daripada Syarikat Schenker Logistics Sdn Bhd.
Saksi kelapan inkues itu, Ahmad Sarbaini ditahan dan dibawa ke pejabat pada 1 April lalu bersama empat lagi anggota KDRM untuk diambil keterangannya apabila disyaki terbabit menerima rasuah daripada ejen penghantaran dalam usaha mengurangkan cukai bagi memudahkan proses penghantaran barang dalam Operasi 3B SPRM.
Katanya, ketika kejadian pada 6 April 2011, beliau mengendalikan mesyuarat pagi di tingkat tiga bangunan SPRM jam 8.40 pagi sebelum Penolong Penguasa, Sheikh Niza Khairy Sheikh Mohamad masuk dan memberitahu Ahmad Sarbaini datang menukar pengakuannya dalam rakaman percakapan daripada menerima rasuah kepada tidak.

“Sheikh Niza memberitahu beliau tidak pernah mengatur temu janji dengan Ahmad Sarbaini. Selepas itu saya arahkan Ghani (Abdul Ghani Ali) untuk bertanya lebih lanjut kepada arwah kenapa beliau ingin tukar pengakuan sebab baru selang sehari beliau datang mengaku kemudian tak mengaku pula,” katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Mohamad Abazafree Mohd Abbas.

Beliau memberi keterangan di depan Koroner Aizatul Akmal Maharani dalam prosiding inkues kematian Ahmad Sarbaini ditemui mati di gelanggang badminton aras satu bangunan SPRM Jalan Cochrane di sini.

Mohamad Fauzi berkata, selepas selesai mesyuarat beliau masuk ke biliknya dan 20 minit kemudian, Abdul Ghani datang dan memberitahu beliau menghubungi Wan Zainal dan akan tiba di pejabat SPRM dalam tempoh dua jam.
Sehubungan itu, katanya, beliau mengarahkan Abdul Ghani menyuruh Allahyarham menunggu bagi mengelakkan sebarang kemungkinan berlaku termasuk berpakat dengan Wan Zainal yang dalam perjalanan ke pejabat.

Katanya, pada ketika itu Allahyarham berada di sofa Unit Siasatan Aras 3 sebelum mengarahkan Penolong Penguasa, Kamal Awang Besar membawanya ke bilik saksi bagi memastikan beliau tidak ditinggalkan sendirian.

“Bila Kamal bawa arwah dan saya masuk ke bilik saya. Bagaimanapun, 10 minit kemudian Rita (Henrita Serai Anak Andrew Lenggie) mengetuk pintu dengan kuat dan memberitahu nampak Ahmad Sarbaini jatuh tertiarap di tingkat satu ketika mencarinya di bilik pantri.”

“Saya bergegas ke bilik pantri dan menjenguk ke tingkap memang ada sekujur tubuh berdarah sebelum melaporkannya kepada Ketua Pengarah,” katanya.

Kamal yang menjadi saksi inkues kesembilan mengaku menerima arahan daripada Mohamad Fauzi dan mengajak Allahyarham yang membawa fail hijau ke bilik saksi sebelum meninggalkannya sendirian untuk bertemu Abdul Ghani dan Rita sebelum kembali semula dalam tempoh antara empat ke lima minit ke bilik berkenaan.
Berita Harian Online | Inkues Ahmad Sarbaini: ‘Sarbaini pernah mengaku ambil rasuah’

Wati syak pemandu ambil gambar bogel

Minta rakan periksa jika ada kamera di bilik air

SHAH ALAM: Jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya memberitahu sahabat karibnya, pemandu beliau Kamaruddin Shamsuddin atau dikenali sebagai Kamal pernah mengambil gambar beliau dalam keadaan bogel.

Saksi Pendakwaan ke-16, tukang jahit, Habishah Bahari, 43, memberitahu Mahkamah Tinggi semalam, pengakuan itu dibuat Sosilawati dalam perbualan melalui telefon pada malam 30 Ogos.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Idham Abdul Ghani, Habishah berkata beliau menerima tiga panggilan telefon daripada Sosilawati ketika beliau sedang berbuka puasa di rumah seorang rakannya.
Idham: Apa yang dimaklumkan kepada awak pada malam itu?

Habishah: Beliau beritahu saya pergi ke rumah beliau, masuk dalam bilik air, periksa ada kamera tersembunyi atau tidak.

Idham: Cuba bagi tahu ayat yang digunakan.

Habishah: Bila beliau telefon, beliau cuma cakap, “Wei. Aku tak percaya Kamal. Dia ada ambil gambar bogel aku. Kau pergi rumah aku. Masuk bilik air. Kau tengok ada kamera tertutup tak.
Idham: Adakah perkataan ‘Wei’ itu satu kebiasaan pada awak?

Habishah: Ya.

Idham: Ketika terima panggilan itu, apa reaksi awak?

Habishah: Saya jadi hairan, kenapa ayat beliau cakap Kamal ambil gambar bogel.

Idham: Kenapa?

Habishah: Sebab selama ini, tidak ada petunjuk atau petanda yang Kamal, (yang ada hubungan) pekerja dengan majikan, boleh ambil gambar bogel beliau (Sosilawati).

Beliau berkata, kira-kira jam 11 malam hari sama, beliau pergi ke rumah Sosilawati yang terletak kira-kira 10 minit daripada rumahnya, dan ketika sampai anak-anak Sosilawati serta pembantu rumahnya ada di situ.

Katanya, beliau meminta anak sulung Sosilawati, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 26, memeriksa bilik air untuk mencari kamera tersembunyi yang dikatakan dan tidak masuk memeriksanya seperti yang diminta mangsa.

Kira-kira dua jam kemudian, Habishah meninggalkan rumah mangsa untuk pulang sebelum menerima panggilan telefon daripada seorang lagi anak Sosilawati, Erni Rineelawati Buhari, yang memaklumkan beliau dan kakaknya ke Shah Alam, bagi memeriksa kereta pegawai bank, Noorhisham Mohamad.

Sebelum itu, Habishah berkata, beliau berasa bimbang dan tidak sedap hati selepas menerima panggilan ketiga daripada wanita itu, pada malam 30 Ogos lalu.
Habishah yang sudah lama mengenali Sosilawati, berkata beliau berperasaan sedemikian selepas Sosilawati menggelarkan dirinya Kak Wati dalam panggilan terakhir yang diterimanya itu, sedangkan pada kebiasaan, jika tiada apa yang berlaku, rakannya itu guna perkataan ‘aku’ dan ‘kau’.

“Saya tiba-tiba jadi risau. Saya berdebar-debar dan tidak sedap hati, sebab beliau bercakap dengan nama Kak Wati dengan nada yang lembut, " katanya.
Ketika ini, Habishah menangis menyebabkan Idham yang menyoalnya dalam pemeriksaan utama, memintanya bertenang dan menarik nafas serta bertanya sama ada beliau mahu berhenti sebentar.

Habishah berkata, beliau mahu berhenti sebentar dan Hakim Datuk Akhtar Tahir menghentikan seketika prosiding berkenaan bagi membolehkan saksi bertenang.
Apabila prosiding bersambung semula, Habishah menerangkan kepada mahkamah mengapa beliau risau dengan panggilan yang diterimanya.

“Kalau beliau dalam keadaan risau atau bermasalah, beliau akan cakap Kak Wati. Dalam keadaan biasa, beliau cakap aku kau. Bila beliau sebut begitu, saya rasa susah hati. Saya dapat rasa ada sesuatu yang menyebabkan beliau rasa susah hati, " katanya.

Perbicaraan bersambung hari ini. Berita Harian Online | Wati syak pemandu ambil gambar bogel