Showing posts with label mental. Show all posts
Showing posts with label mental. Show all posts

Friday, August 26, 2011

Lelaki kurang siuman nyaris maut



KOTA BHARU- Seorang lelaki kurang siuman nyaris maut selepas terperangkap dalam tandas sebuah rumah yang tidak berpenghuni dipercayai dibakarnya di Pintu Geng, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu dikatakan membakar rumah kosong terbabit sebelum bersembunyi di dalam tandas rumah berkenaan.

Difahamkan sebelum kejadian, lelaki tersebut cuba membakar sebuah rumah lain bagaimanapun ia disedari penghuninya dan berjaya mencegah perlakuan lelaki itu.

Penguasa Bomba Bahagian Operasi Negeri, Shahrin Yusmar Mat Yusoff berkata, anggotanya telah mendengar jeritan lelaki terbabit yang meminta air ketika cuba memadamkan kebakaran.

“Selepas mendengar jeritan itu, anggota bomba dapat mengesan lelaki tersebut dalam tandas, ketika itu asap telah memenuhi seluruh ruang tandas tersebut. Dia kemudian berjaya dikeluarkan walaupun dalam keadaan lemah sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

Katanya, seramai 21 anggota bersama tiga buah jentera dari Balai Bomba Kota Darulnaim dan Kota Bharu dikejarkan ke tempat kejadian.

Katanya, pihaknya menerima panggilan telefon pada jam 7.59 malam dan tiba di tempat kejadian kira-kira tiga minit kemudian.

“Api berjaya dapat dikawal kira-kira seminit selepas itu dan lima minit kemudian berjaya dipadamkan keseluruhannya. Pihak kami dapat kawal api dengan pantas kerana tekanan air yang baik di kawasan itu,” katanya. Beliau memberitahu, jumlah kerugian dianggarkan bernilai RM500,000.

Thursday, May 5, 2011

Lelaki sakit jiwa makan jari sendiri


WELLINGTON: Seorang lelaki mengalami sakit jiwa yang memotong dan memakan jarinya sendiri mengakui perbuatannya ‘idea amat bodoh’ meskipun menyifatkan tindakan itu sebagai usaha meminta bantuan atas masalah mentalnya. 


Kes lelaki terbabit menjadi tumpuan bulan lalu dalam jurnal perubatan Australasian Psychiatry, satu daripada hanya lapan ‘kes makan diri sendiri’ yang pernah dicatatkan di dunia.
Penulis laporan itu, pakar forensik Erik Monasterio dan ahli psikologi klinikal Craig Prince berkata lelaki terbabit mengikat jari kelingking, memotong menggunakan gergaji, memasaknya dengan sayur dan memakannya.
Dia mengalami kemurungan, sukar tidur dan pernah memikirkan untuk membunuh diri ketika kejadian pada 2009 itu, kata mereka. – AFP 

Tuesday, April 19, 2011

Pesakit mental hilang 2 tahun diperalat sindiket


ALOR GAJAH: Seorang pesakit mental yang ghaib di Puchong, Selangor sejak lebih dua tahun lalu ditemui semula selepas kisahnya disiarkan akhbar ini Jumaat lalu.
Tambi Hassan Tambi Ali, 70, kini berada di bawah jagaan Rumah Seri Kenangan Ulu Kinta, Perak selepas diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Pulau Pinang dalam satu operasi Disember 2009.

Asmah Ali, 66, berkata, keluarganya menerima panggilan daripada seorang pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Ulu Kinta, apabila kisah mengenai abangnya disiarkan akhbar ini.

“Kami merancang mengadakan solat ghaib dan doa selamat supaya abang ditemui dan ia terpaksa dibatalkan.

“Pelbagai usaha kami lakukan sebelum ini untuk mencari abang, namun tidak sangka dia berada di rumah perlindungan di Perak,” katanya ketika ditemui di Kampung Gangsa, Durian Tunggal, di sini, semalam.

Menurutnya, dia sekeluarga bersyukur kerana abangnya ditemui selamat walaupun sudah lebih dua tahun dia menghilangkan diri. Katanya, kakak sulungnya, Halimah, 71, sudah menuntut abangnya di pusat jagaan itu kelmarin sebelum dibawa pulang.

Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat di Rumah Seri Kenangan Ulu Kinta, Azizi Arifin berkata, Tambi Hassan ditemui merayau-rayau dan mengemis di bandar Pulau Pinang sebelum diselamatkan dalam satu operasi khas pada penghujung 2009.

“Warga emas itu berada di Pulau Pinang dipercayai dalam jagaan satu sindiket yang menjadikan golongan seperti itu sebagai pengemis untuk kepentingan mereka.
“Mengikut rekod kami, Tambi Hassan ditempatkan di rumah perlindungan ini sejak 3 Disember 2009 lagi,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Harian Metro Jumaat lalu melaporkan seorang lelaki yang menghidap penyakit mental hilang ketika keluar merayau-rayau di rumah kakaknya di Puchong sejak kira-kira dua tahun lalu

Friday, April 15, 2011

Zeta-Jones dirawat di hospital mental



GAMBAR fail menunjukkan Michael Douglas and isterinya, Catherine Zeta-Jones di Hotel Beverly Hills, California pada 16 Januari lalu.


NEW CANAAN - Pelakon terkenal, Catherine Zeta-Jones menjalani rawatan kemurungan di sebuah hospital mental di New Canaan, Connecticut, Amerika Syarikat pada Rabu lalu, lapor sebuah akhbar semalam.
Dia dimasukkan ke hospital itu selepas menghadapi tekanan akibat suaminya yang merupakan aktor hebat, Michael Douglas bergelut untuk memulihkan penyakit kanser yang dihidapinya.
Aktres berusia 41 tahun itu dimasukkan ke Hospital Silver Hill di sini dan dia ditempatkan di wad pesakit yang mengalami masalah alkohol dan dadah.
Dia yang terkenal dengan filem The Mask of Zorro dirawat di hospital tersebut bersama 10 hingga 15 pesakit lain selama lima hari.
Bayaran rawatan di hospital itu ialah AS$1,258 (RM3,805) sehari.
Jurucakap aktres itu mengesahkan bahawa Zeta-Jones menerima rawatan kesihatan mental bagi membantu dirinya menghadapi trauma dalam kehidupan peribadi.
"Selepas bergelut dengan tekanan sejak beberapa tahun lepas, Zeta-Jones mengambil keputusan untuk menjalani rawatan mental selain tinggal di hospital selama beberapa hari.
"Keadaan aktres itu semakin baik dan dia tidak sabar untuk memulakan penggambaran dua filem baharu tidak lama lagi," jelas seorang jurucakap Zeta-Jones.
Pelakon kelahiran Wales itu melangsungkan perkahwinan dengan Douglas, 66, pada tahun 18 November 2000 dan dikurniakan dua cahaya mata.
Douglas disahkan menghidap kanser tahap keempat pada tahun lalu dan menjalani rawatan kemoterapi.
Doktor bagaimanapun memberitahu bahawa Douglas bebas daripada penyakit itu Januari lalu selepas melakukan rawatan selama enam bulan.
Menurut majalah National Enquirer, Douglas menemani isterinya itu semasa dia mendaftar masuk ke hospital tersebut dengan menggunakan nama Terrie Kirny.
Seorang saksi di hospital itu memberitahu majalah berkenaan bahawa Zeta-Jones kelihatan gembira semasa dia berada di hospital berkenaan.
Zeta-Jones dilihat menyertai pesakit lain makan, joging dan bermain poker sebelum tidur.
Satu sumber keluarga aktres itu menyatakan bahawa tekanan yang dihadapinya hampir tidak dapat ditanggungnya. - Agensi, Kosmo

Wednesday, January 19, 2011

Bilangan pesakit mental meningkat



BILANGAN pesakit mental seperti dua beradik ini, Mohd. Mozamri Dasan (kiri) dan Tarmizi semakin meningkat ekoran tekanan hidup zaman moden.- Gambar hiasan


PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan bimbang tentang peningkatan masalah kesihatan mental di kalangan rakyat negara ini dengan bilangan pesakit yang menerima rawatan di hospital kerajaan sepanjang tahun lalu meningkat 15.6 peratus atau sebanyak 400,227 orang.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, angka itu mencatat peningkatan 15.6 peratus berbanding tahun 2009.
"Menjelang tahun 2020, salah satu daripada gangguan mental iaitu kemurungan dijangka menduduki tempat kedua dari segi beban penyakit selepas penyakit jantung," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental di sini semalam.
Beliau berkata, untuk membendung gejala ini di peringkat usia muda, pihaknya akan memfokuskan kepada aktiviti mempromosi minda sihat dan pencegahan penyakit mental termasuk pelaksanaan Program Menangani Stres di sekolah sepanjang tahun ini.