Saturday, July 24, 2010

Murugiah dapat sokongan majoriti anggota parti MIC - Samy


24/07/2010 3:36pm

KUALA LUMPUR 24 Julai - Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu
hari ini berkata, kemasukan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri,
Senator Datuk T. Murugiah ke dalam MIC mendapat restu majoriti anggota parti.
"Banyak anggota parti menerima keputusan itu termasuk dari kalangan
ketua-ketua bahagian," katanya kepada pemberita sebelum merasmikan seminar Pendaftaran Pengundi Baru untuk ketua-ketua bahagian MIC di sini.
MIC telah menerima permohonan bekas Ketua Pemuda Parti Progresif Penduduk (PPP) Murugiah untuk menjadi anggota parti itu Khamis lepas.
Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat sebilangan anggota MIC yang tidak
berpuas hati dengan keputusan kepimpinan parti menerima permohonan Murugiah.
"Kalau saya kata kesemua anggota MIC menyokong keputusan itu ia merupakan satu pembohongan yang besar," katanya.
Murugiah menyertai MIC setelah dipecat oleh Presiden PPP, Datuk M. Kayveas
tahun lepas dalam satu krisis perebutan jawatan presiden parti.
Samy Vellu percaya dengan satu lagi tambahan jawatan timbalan menteri dari kalangan pemimpin MIC, kesemua rancangan parti dapat dilaksanakan dengan lebih lancar.
Ditanya mengenai cadangan Murugiah untuk membawa masuk seramai 200,000 penyokongnya menganggotai MIC, Samy berkata, beliau tidak ada halangan terhadap perkara itu. - Bernama

EM1M selamat tiba di Almaty


24/07/2010 3:30pm

ALMATY 24 Julai - Pasukan Ekspedisi Merdeka 1Malaysia (EM1M) selamat tiba di sini kira-kira pukul 1 petang tadi dan disambut oleh Setiausaha Kedua Kedutaan Malaysia di Republik Kazakhstan, Muhd. Irfan Zulkurnain.
Terdahulu, EM1M melaporkan ia memasuki republik ini lewat petang semalam dan kini sedang menuju ke ibu negaranya, Almaty.
Jarak ke Almaty dari lokasi pasukan tersebut ialah 230 kilometer. - Utusan

Kerajaan terus bina penempatan bersepadu Orang Asli


24/07/2010 3:26pm

KUALA LIPIS 24 Julai - Kerajaan akan terus membina kawasan penempatan Orang Asli secara bersepadu yang dilengkapi dengan prasarana dan kemudahan seperti bekalan air, elektrik, jalan raya serta punca sumber ekonomi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, usaha tersebut dilakukan untuk memastikan semua projek yang dilaksanakan untuk Orang Asli mencapai matlamat dan tidak menjadi projek gajah putih. - Utusan

Lemas akibat tergelincir




KOTA BHARU - Seorang lelaki yang dipercayai mengalami masalah mental dan sawan ditemui lemas selepas dipercayai tergelincir ke dalam tali air di Kampung Bechah Mulong, dekat sini, pagi semalam. 

Salleh Ismail, 55, ditemui terdampar di dasar tali air oleh Unit Skuba Bomba dan Penyelamat Kota Bharu dengan kerjasama pasukan daripada Balai Bomba Ketereh, kira-kira jam 10.35 pagi. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Azman Yasok berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan sebaik menerima panggilan telefon daripada orang ramai, kira-kira jam 10.18 pagi semalam. 

Beliau berkata, kejadian disedari oleh penduduk kampung selepas melihat mangsa yang berada di tepi tali air tiba-tiba terjatuh dan terus tenggelam. 

“Selepas hampir 15 minit gerakan mencari mangsa dilakukan, mangsa ditemui di dasar tali air dan disahkan meninggal dunia. 

“Mayat mangsa yang berpakaian kemeja T dan berkain pelikat kemudian diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II untuk bedah siasat,” katanya. 

Azman memaklumkan kejadian berkenaan disedari oleh penduduk berada di kawasan berdekatan lalu bergegas memberitahu adik perempuannya Zaiton Ismail, 51, yang ketika itu berada di rumah terletak tidak jauh dari lokasi kejadian 

Sementara itu, bapa mangsa, yang dikenali dengan Ismail, 70, ketika ditemui di HRPZ II semalam enggan mengulas lanjut kerana ketika kejadian, dia berada di Kampung Jedok, Tanah Merah. 

Difahamkan, mangsa sudah lama menghidap sawan dan dia tinggal bersendirian di rumah berkenaan yang tidak jauh dari tempat kejadian. 

Zaiton memaklumkan adiknya sebelum ini sering berkeliaran di kawasan situ dan ia berlaku selepas mangsa mengalami kekejangan akibat sawan lalu terjatuh ke dalam tali air.

Pemimpin temui Harussani perlu dihukum: Khalid



SHAH ALAM – Ahli Parlimen Pas, Khalid Abdul Samad mahu pemimpin Pas yang menemui Mufti Perak, Tan Sri Harussani untuk rundingan kerjasama UMNO-Pas seperti diperkatan perlu dikenakan tindakan oleh parti. 

Katanya, tindakan pemimpin terbabit secara tidak langsung telah menlanggar keputusan Muktamar Pas sebelum ini yang menolak sebarang kerjasama dengan parti pemerintah itu. 

“Sekiranya benar pertemuan itu diadakan, kita akan membuat laporan kepada pemimpin supaya dapat membuat keputusan terhadap pemimpin yang bertindak sedemikian,” katanya pada sidang media, di pejabatnya, semalam. 

Khalid berkata, pertemuan tersebut juga menunjukkan pemimpin terbabit tidak faham dengan perjuangan sebenar Pas. . 

“Isu pertemuan pemimpin Pas dengan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mengenai kerjasama Pas dan UMNO akan dibentang dan dibahaskan dalam majlis munaqasah Pas Selangor yang akan diadakan di Shah Alam, Ahad ini," katanya. 

Khalid berkata, majlis itu adalah perbincangan yang diadakan oleh semua pemimpin Pas negeri membincangkan ucapan dasar pemimpin tertinggi Pas pada muktamar lalu. 

“Selalunya, dalam munaqasah ini, kita akan bincangkan ucapan dasar pemimpin tertinggi Pas dan pada kali ini saya menjangkakan isu pertemuan pemimpin Pas dengan mufti itu untuk bekerjasama dengan UMNO akan dibahaskan. 

Menurutnya, dasar perjua- ngan UMNO dan Pas berbeza dan tiada titik pertemuan walaupun bertunjangkan bangsa yang sama iaitu Melayu dan menganut agama Islam.

Pemuda Pas jadi ‘pak turut’



SHAH ALAM - Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee, menyifatkan penolakan plan damai dengan UMNO oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai tidak menghormati Dewan Pemuda Pas. 

Katanya, pendirian Nik Abdul Aziz itu membuktikan fungsi sebenar sayap parti itu yang sekadar menjadi ‘pak turut’. 

“Saya kasihan melihat Pemuda Pas seolah-olah seperti tunggul kayu, mereka ada kesedaran tetapi dihalang bersuara dan tidak boleh berikan pandangan yang tidak sebulu dengan pemimpin utama mereka, inilah kepimpinan diktator dalam Pas. 

“Saya tidak tidak menolak kemungkinan Nasrudin Hassan (Ketua Pemuda Pas) akan dikenakan tekanan, sepertimana nasib Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa sebelum ini," katanya. 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz di Kota Bharu kelmarin yang menyifatkan kenyataan Nasrudin bersifat peribadi dan bukan keputusan rasmi Pas.

PKR yakin Pas setia



SHAH ALAM – Parti Keadilan Rakyat (PKR) percaya kepada komitmen kepimpinan Pas untuk menolak kerjasama dengan UMNO sebaliknya setia dengan komitmen kerjasama yang dimeterai dalam Pakatan Rakyat (PR). 

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, Pas sebelum ini telah menyatakan pendirian rasmi untuk terus bersama berjuang dengan PR. 

“Ini dapat dilihat apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hadir setiap kali pertemuan dengan pimpinan PR dan Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyatakan Pas tidak goyah dan setia bersama PR. 

“Malahan, terdapat banyak respons daripada pimpinan Pas yang menolak kerjasama tersebut dilaksanakan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui dalam kunjungannya ke kompleks Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd, semalam. 

Nurul Izzah berkata, isu sama juga menampakkan berlakunya percanggahan dalam UMNO melibatkan Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap komitmen kerjasama tersebut. 

“Ini kerana Najib kurang ‘responsive’(memberi maklum balas) berbanding Muhyiddin yang nampak beria-ia kerjasama tersebut dapat dilaksanakan. 

“Mereka akan terus mencanang isu kerjasama ini sehingga pilihan raya umum akan datang untuk menunjukkan komitmen kepada rakyat,” katanya. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, UMNO perlu bersatu sebelum membincangkan kerjasama Pas dan UMNO. 

“Pas bukan lagi seperti dahulu kerana mereka masih mengingati apa yang berlaku pada tahun 1970 an setelah rakyat menghukum parti tersebut. 

“Parlimen kita mempunyai lebih daripada 200 Ahli Parlimen Melayu, maka isu berkaitan hak dan sebagainya tidak timbul malahan DAP menunjukkan komited dan menghormati hak tersebut,” katanya. 

Beliau berkata, kewujudan pembangkang adalah sihat untuk persaingan politik Melayu kerana dapat menonjolkan polisi yang lebih baik dan masalah masyarakat dibangkitkan.

Pas, UMNO perlu bersaing cara sihat



SHAH ALAM – Beri peluang kepada Pas dan UMNO untuk bersaing secara positif serta berada di bawah parti masing-masing bagi mewujudkan perpaduan Melayu, kata Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub. 

“Pada saya, persaingan yang wujud adalah persaingan yang sihat dan tidak pernah terjadi dalam sejarah berlakunya pertumpahan darah membabitkan kedua-dua parti sejak ia ditubuhkan. 

“Pas dan UMNO hanya bertelingkah dalam parti sahaja, namun pengikut kedua-dua parti dapat duduk semeja dan saling bertukar pendapat,” katanya ketika dihubungi :Sinar Harian:. 

Menurutnya, Pas pernah bergabung dengan UMNO dalam isu keselamatan negara ketika terjadinya peristiwa 13 Mei 1969, tetapi setelah UMNO mencapai kedudukan yang kukuh, parti itu bersikap seperti ‘kacang lupakan kulit’. 

“Sekarang UMNO berada dalam keadaan terdesak dan kerana itulah kembali mencari serta memporak-perandakan kedudukan Pas di dalam Perikatan Rakyat (PR),” katanya. 

Kelmarin, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina berkata, Pas digesa supaya tidak terlalu terkongkong dengan sejarah permusuhan lama antara parti itu dengan UMNO sehingga menggagalkan usaha perpaduan yang dituntut oleh seluruh masyarakat Melayu. 

Pas perlu berfikiran terbuka kerana semua pihak termasuk mufti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu telah menyuarakan gesaan supaya kedua-dua parti itu mengadakan perbincangan.

Pelajar USM wakil tunggal Gaza


GEORGE TOWN - Pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi wakil tunggal pelajar universiti di Malaysia yang terpilih menyertai konvoi “Ramadan di Gaza: Ramadan March For Freedom” pada 6 hingga 18 Ogos ini.

Mohd Nur Hadi, 24, pelajar Sarjana Sains Farmakologi berkata, beliau berasa gembira dan bertuah dipilih untuk menyertai konvoi misi kemanusiaan anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Sekretariat Himpunan Ulama’ Rantau Asia (SHURA) itu untuk meletakkan batu asas pembinaan sebuah hospital di Gaza.

"Misi utama konvoi ini adalah untuk meletakkan batu asas bagi membina sebuah hospital yang pembinaannya akan dibuat melalui hasil sumbangan masyarakat seluruh dunia.

"Selain itu misi berkenaan juga turut menghantar bantuan ubat-ubatan dan makanan," kata anak kelahiran Tawau, Sabah itu pada sidang akhbar di USM, hari ini.

Beliau yang lebih mesra dipanggil Hadi berkata, beliau bersyukur kerana terpilih menyertai konvoi berkenaan tambahan pula diadakan pada bulan Ramadan dan akan ke sana melalui jalan darat menerusi pintu Rafah sempadan Gaza, Palestin bersama–sama 40 rakyat Malaysia.

"Ini adalah satu cabaran kepada saya dalam mencari pengalaman sebagai seorang pelajar untuk menyelami permasalahan dan menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan,” katanya yang sangat aktif dalam bidang kesukarelawan.

Hadi juga anggota Pertubuhan Aman-Pattani (AMANI) sebuah badan bertindak terhadap isu konflik selatan Thailand yang digerakkan di bawah naungan Persatuan Ulama’ Malaysia Cawangan Pulau Pinang (PUMPP) bagi menggerakkan usaha yang lebih serius untuk menyalurkan bantuan serta sokongan padu terhadap masyarakat di selatan Thai.

Sementara itu, Naib Canselor USM Prof Datuk Dzulkifli Abdul Razak yang turut hadir pada sidang akhbar berkenaan berkata, pihaknya sememangnya menggalakkan pelajar menyertai aktiviti kemasyarakatan bagi memahami kehidupan masyarakat sekeliling selain hanya memfokuskan kepada prestasi akademik semata-mata.

"Kita menyokong hasrat pelajar menyertai aktiviti sebegini kerana ia adalah sebahagian bentuk pendidikan yang boleh digunakan dan dikongsikan dengan pelajar lain melalui pengalaman yang dilaluinya nanti," katanya.

Katanya, pendidikan bukan hanya kepada akademik tetapi juga berdasarkan pengalaman dalam aktiviti kemasyarakatan kerana ia berbeza dari hanya bercakap tetapi tidak mempraktiskannya. 

Beliau berkata, USM akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keselamatan Hadi sepanjang menyertai konvoi berkenaan kerana beliau pergi dengan membawa status pelajar universiti itu.

'Saya junjung titah'

KOTA BHARU: Peringatan supaya Pengelola Istana Diraja Kelantan tidak membuat sebarang kenyataan berhubung kesihatan dan rawatan Sultan Kelantan di Singapura tidak sesuai kerana doktor pakar peribadi itu bukan kakitangan Pejabat Sultan Kelantan.
Datuk Abdul Halim, berkata, meskipun peringatan itu dititahkan Tuanku Ismail Petra dan menjunjung titah berkenaan melalui lisan atau bertulis, namun beliau tidak bertanggungjawab terhadap Kolonel Dr Amir Ramli dalam menjalankan tugas.
“Tidak ada sebarang surat dari pihak tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menyatakan beliau ditempatkan di Pejabat Sultan Kelantan. Teguran beliau (Dr Amir) boleh menimbulkan persoalan ‘siapa beliau’.

“Sedangkan tidak ada sebarang pelantikan beliau secara rasmi sebelum ini. Selaku Pengelola Istana Diraja Kelantan, saya tidak berhasrat membuat kenyataan mengenai tahap diterima Tuanku Ismail Petra, apa lagi rawatan diterimanya di Singapura pada 15 Julai lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Abdul Halim berkata, dia hanya memaklumkan pergerakan Tuanku mengikut titah dan tugas doktor untuk memaklumkan kepada rakyat selepas berbincang dengan keluarga dan Tuanku sendiri.

“Doktor juga memahami etika juga pekeliling yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Pertahanan. Saya hanya menurut titah daripada Tuanku sama ada secara lisan atau bertulis sejak baginda gering.

“Saya beberapa kali menghadap Tuanku sama ada di Kota Bharu atau di Singapura. Baginda tidak bertitah apa-apa kepada saya. Urusan penggunaan pesawat untuk keberangkatan Tuanku keluar negeri dibuat mengikut prosedur ditetapkan kerajaan,” katanya.

Menurutnya, penggunaan pesawat TUDM di selaras melalui Jabatan Perdana Menteri, Pusat Operasi Tentera Udara dan Pejabat Sultan Kelantan, selain sudah menjadi kelaziman serta berjalan dengan baik.

“Tuduhan mengatakan saya dan pegawai istana tidak menjenguk Tuanku Al-Sultan di istana tidak wajar. Ini kerana kita perlu memahami latar belakang yang berlaku di dalam keluarga diraja dan apakah sumbangan yang boleh kita berikan.

‘Segala gerak-geri kita mestilah berpandukan kepada titah pesanan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan sebelum baginda gering dan berdasarkan keperluan dari semasa ke semasa,” katanya.

KM nafi bangkit isu tempat duduk



2010/07/24

GEORGETOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng semalam menafikan pernah membuat tuduhan bahawa Pegawai Kemajuan Negeri (SDO), Nik Ali Mat Yunus tidak menyediakan tempat duduk untuknya pada majlis pelancaran kerja menaiktaraf perkhidmatan kereta api Bukit Bendera, 20 Oktober lalu. 

Sebaliknya, Guan Eng mencabar media mengemukakan bukti sekiranya beliau pernah mengeluarkan kenyataan mengkritik Nik Ali kerana tidak menyediakan tempat duduknya.

“Bila saya bangkitkan perkara itu (tiada tempat duduk)? Boleh tunjukkan bukti saya pernah membangkitkan isu itu. Media tolong laporkan perkara yang betul dan bukan remeh seperti ini.
“Saya tidak pernah bangkitkan isu tempat duduk ini. Hanya tiga isu saja iaitu isu perlombongan pasir di Balik Pulau, pintu gerbang Taman Botani dan pembinaan Sekolah Iktisas Tentera Udara (SITU),” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam. 

Kenyataan itu dibuatnya selepas beberapa media menyiarkan gambarnya duduk bersebelahan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop pada majlis itu yang membuktikan ada kerusi disediakan buatnya. 

Guan Eng berkata, isu berkenaan hanya berdasarkan kenyataan satu pihak saja dan cuba dimainkan oleh media bagi mengalihkan isu sebenar mengenai prestasi Nik Ali yang tidak kompeten. 

Katanya, ada pihak cuba menyembunyikan kesalahan pegawai kerajaan itu dengan menimbulkan isu lain bagi mengalih perhatian rakyat untuk melepaskan diri daripada dilihat tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik. 
Mengulas serangan berterusan terhadap Nik Ali, Guan Eng berkata, ia hanya teguran kepada pegawai kerajaan yang tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik. 

Guan Eng berkata, beliau menyerahkan hal itu kepada peguamnya bagi meneliti laporan akhbar sama ada mengandungi perkara yang boleh menjejaskan imejnya sebagai Ketua Menteri. 

'Parti baru boleh pecah belah Melayu'




2010/07/24

KUALA LUMPUR: Cadangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menubuhkan sebuah parti yang mengambil kira objektif UMNO dan PAS sebagai pelan kedua sekiranya rancangan menemukan kedua parti terbesar mewakili orang Melayu itu tidak berhasil, hanya akan tambah memecah belahkan Melayu. 

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan, berkata parti Melayu sedia ada sudah mencukupi, tidak kira UMNO atau PAS.“Saya kira Melayu sudah cukup dengan parti yang ada... tambah satu lagi parti hanya jadi pemecah. UMNO wujud sejak 1946... begitu lama dan sudah banyak jasa kepada negara ini,” katanya kepada Berita Harian, semalam.
Semalam, akhbar melaporkan cadangan PERKASA supaya perlembagaan digubal untuk menubuhkan parti baru yang mengambil kira objektif UMNO dan PAS sebagai pelan kedua sekiranya rancangan menemukan kedua parti itu tidak berhasil. 

Ahmad Maslan, berkata isu perpaduan bangsa Melayu belum selesai dan UMNO masih mempunyai masa untuk membincangkannya secara terperinci. 

Tindakan Guan Eng kritik Nik Ali tak profesional


Oleh Sazarina Shahrim
sazarina@bharian.com.my 
2010/07/24

Masalah dengan pegawai Pusat wajar diselesai secara berhemah 

PUTRAJAYA: Tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang berulang kali mengkritik dan menuduh Pegawai Kemajuan Negeri (SDO), Nik Ali Mat Yunus secara terbuka, disifatkan sebagai tidak profesional.Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, berkata sebagai ketua kerajaan negeri, Guan Eng perlu mempunyai hubungan baik dengan pegawai Persekutuan dan tindakannya terhadap Nik Ali itu jelas menunjukkan pemimpin DAP itu hanya pandai berpolemik.
Tsu Koon yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, sekiranya wujud masalah dengan pegawai Persekutuan, Guan Eng sepatutnya menyelesaikan secara terus dengan pegawai berkenaan atau agensi terbabit dan bukan dengan cara mengkritik secara terbuka. 

"Saya masih ingat dulu apabila bekas Ketua Menteri Pulau Pinang kedua, (Tun) Dr Lim Chong Eu ketika itu daripada parti pembangkang, tetapi beliau bekerjasama rapat dengan Kerajaan Pusat demi kebaikan rakyat. 

"Perselisihan seperti ini tidak pernah berlaku walaupun beliau (Chong Eu) mengkritik, tetapi secara dalaman dalam mesyuarat atau secara perseorangan, bukannya terbuka seperti ini. Seharusnya ia diuruskan dengan profesional jika ada masalah," katanya selepas melancarkan risalah Perlembagaanku-Buku Panduan Rakyat anjuran Majlis Peguam, di sini, semalam. 

Pertelingkahan antara Guan Eng dan Nik Ali semakin tegang apabila mesyuarat Exco Pulau Pinang Rabu lalu, memutuskan perkhidmatan SDO itu tidak lagi diperlukan di negeri itu. 
Lebih memburukkan keadaan apabila Guan Eng turut mengkritik Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan selepas beliau mempertahankan tindakan Nik Ali. 

Pertelingkahan itu bermula apabila Guan Eng beberapa kali menyerang Nik Ali secara terbuka, termasuk menuduh SDO itu tidak menyediakan tempat duduk untuknya pada majlis pelancaran projek Kereta Api Bukit Bendera, 20 Oktober lalu. Tuduhan Guan Eng bagaimanapun disangkal beberapa pegawai kerajaan yang turut hadir pada majlis itu. 

Tsu Koon berkata, tindakan Nik Ali yang membalas kritikan Guan Eng di media adalah sesuatu yang terpaksa dilakukan untuk mempertahankan kredibilitinya sebagai pegawai Persekutuan. 

Mengenai desakan pelbagai pihak supaya menggugurkan 'agama' daripada Jawatankuasa Perhubungan Antara Agama, Koh berkata, perkara itu masih dibincangkan. 

"Biarlah mereka berbincang antara mereka dulu. Semua pihak perlu bersabar mengenai perkara yang sensitif seperti ini," katanya. 

Beliau berkata, kerajaan tidak memberi sebarang tempoh untuk mendapatkan nama baru bagi jawatankuasa berkenaan. 

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan penubuhan jawatankuasa itu yang antara lain sebagai wadah rasmi semua wakil penganut agama berbincang, memberi penjelasan atau menyatakan pendirian berhubung apa saja permasalahan berkaitan. 

SPRM janji siasat jawapan bertulis Bala




2010/07/24

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi jaminan akan melakukan tindakan lanjut berdasarkan jawapan bertulis penyiasat persendirian, P Balasubramaniam yang diterimanya kelmarin. 

Pengarah Siasatan SPRM, Mustafar Ali, berkata akuan bersumpah itu sedang diteliti bagi memastikan ia relevan dan berkait secara langsung dengan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.“Jika didapati jawapan bertulis itu memerlukan SPRM mendapatkan keterangan pihak lain, kami akan lakukannya,” katanya di sini, semalam.
Kelmarin, peguam yang mewakili Balasubramaniam, Americk Singh Sidhu, berkata beliau menyerahkan jawapan bertulis dan beberapa dokumen yang didakwa penting bagi membantu SPRM melengkapkan siasatan kes itu. 

Sebanyak 52 soalan dikemuka kepada Balasubramaniam yang ditandakan sebagai ‘rahsia’ itu dijawab dalam masa tiga hari. 

Americk juga mendakwa maklumat tambahan berkaitan bayaran diterima anak guamnya turut dinyatakan dalam afidavit itu, selain yakin maklumat diberi Balasubramaniam dapat membantu SPRM melengkapkan siasatan dan mendakwa individu tertentu. 

Mustafa ketika ditanya sama ada bukti baru ditemui dalam jawapan bertulis itu, bagaimanapun enggan mengakuinya, sebaliknya memaklumkan keterangan Balasubramiam memang diperlukan untuk kes berkenaan. 
“Penyelidikan lanjut terhadap jawapan yang diberikan juga dilakukan untuk memastikan kesahihannya,” katanya.

Penyandang jawatan kurang menonjol





GENAP seminggu lagi, barisan kepimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan berubah kecuali kerusi presiden.
Adakah ia akan menjadi kenyataan atau sebaliknya?
Peminat tempatan yang sayangkan bola sepak negara sangat-sangat mengharapkan akan ada perubahan, agar cerita lama tidak berulang.
Barisan kepimpinan yang akan dipilih nanti hendak diberikan kepada golongan yang betul-betul buat kerja.
Dalam masa seminggu lagi senarai 15 nama untuk menganggotai Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2010- 2014 akan diketahui pada Kongres badan induk bola sepak negara itu pada 31 Julai ini.
Hanya satu kerusi daripada 15 kerusi itu sudah diketahui pemiliknya iaitu Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang kekal sebagai Presiden FAM apabila baginda menang tanpa bertanding.
Namun, sesi pemilihan pada Kongres FAM ke-47 itu yang akan berlangsung di Holiday Inn Kuala Lumpur Glenmarie, Shah Alam 31 Julai ini bakal mencipta sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya jawatan Timbalan Presiden, Naib Presi- den dan Ahli Eksekutif (Exco) menjadi rebutan ramai calon.
Enam calon akan merebut dua slot Timbalan Presiden, lapan calon merebut empat slot Naib Presiden manakala 13 calon mencuba nasib bagi mengisi lapan slot Ahli Eksekutif.
Daripada 27 calon tersebut, hanya empat individu tampil mempertahankan jawatan yang mereka sandang sepanjang penggal 2007-2010, sekali gus membayangkan bahawa FAM bakal mendapat nafas baru daripada muka-muka baru untuk penggal 2010-2014.
Bagi pengkritik sukan terkemuka negara, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim, hanya tempoh setahun boleh diberikan kepada mereka yang akan menganggotai Jawatankuasa Eksekutif FAM untuk menonjolkan pembaharuan dalam badan induk bola sepak negara itu.
Saya berasakan bahawa penyandang yang mahu mempertahankan jawatan masing-masing pada pemilihan kali ini bakal menghadapi masalah untuk menang.
Ini kerana, tiada apa-apa kemajuan yang boleh kita nampak sepanjang tempoh mereka memegang jawatan di dalam FAM.
Cuma, apabila mereka bakal diganti- kan dengan muka-muka baru, kita pun tak tahu lagi yang muka baru ini nanti boleh buat kerja atau sebaliknya.
Bagi saya, kita perlu beri mereka (muka baru) masa setahun untuk membuktikan yang mereka boleh buat kerja. Kalau mereka pun sama, lebih baik letak jawatan selepas tempoh tersebut, kata- nya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Empat orang lama yang akan mempertahankan jawatan mereka ialah Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad (Timbalan Presiden), Datuk Afandi Hamzah (Naib Presiden) serta Datuk Ibrahim Shamsud- din dan Datuk Soh Chin Ann (Exco).
Ketika diminta mengulas tentang kemunculan semula bekas Timbalan Presiden, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang kembali bertanding jawatan yang dilepaskannya pada 2007, Kay Kim berpendapat Naib Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) itu memiliki peluang untuk menang.
Kita memang memerlukan individu seperti ini yang benar-benar berpengalaman dalam bola sepak dan faham tentang tanggungjawab yang perlu dipikulnya.
Bagi calon-calon lain juga, andai mereka terpilih nanti apa yang penting mereka perlu tunaikan segala janji yang mereka taburkan, ujarnya.
Memandangkan sesi pemilihan FAM dijalankan secara demokrasi iaitu dua undi setiap perwakilan yang berjumlah 19 perwakilan semuanya, Kay Kim mengingatkan mereka supaya bijak membuat pilihan pada Sabtu depan.
Ini salah satu kelemahan proses demokrasi. Perwakilan sebenarnya perlu bijak membuat pilihan.
Jika mereka sendiri memilih individu yang akhirnya nanti tidak boleh buat kerja, mereka juga sebenarnya patut disalahkan kerana itu apa yang mereka telah pilih, jelas Kay Kim.
Justeru buat semua yang akan mewakili 19 ahli gabungan FAM untuk mengundi pada Sabtu depan, buatlah pilihan yang bijak dan tepat demi kemajuan bola sepak negara di pentas antarabangsa.
Berikut adalah senarai calon-calon bagi setiap jawatan yang dipertandingkan serta analisis Kosmo! tentang siapakah yang bakal terpilih menganggotai Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2010-2014.
TIMBALAN PRESIDEN
SALAH satu daripada dua jawatan ini diramalkan akan menjadi milik Tengku Abdul- lah Sultan Ahmad Shah berdasarkan kredi- biliti baginda yang pernah menjadi Timbalan Presiden FAM untuk tempoh jangka masa cukup lama sehingga membuat keputusan meletak jawatan pada 2007.
Kini selepas tiga tahun tidak bersama FAM, Tengku Abdullah tergerak hati untuk kembali membawa pembaharuan dalam tampuk pentadbiran bola sepak negara, sekali gus dapat mengukuhkan semula kedudukannya selaku Naib Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Satu lagi slot pastinya akan menjadi rebu- tan lima calon lain yang terdiri daripada pe- nyandang, Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad, Datuk Che Mat Jusoh, Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Mokhtar Ahmad.
Redzuan dilihat keseorangan untuk mempertahankan jawatan yang disandangnya sejak 2004 itu kerana seorang lagi penyandang, Khairy Jamaluddin Abu Bakar awal-awal lagi telah menyerah kalah apabila tidak mahu meneruskan hasrat untuk bertanding pada pemilihan kali ini.
Jika berdasarkan trend semasa, Redzuan diramal tidak mampu untuk mempertahankan jawatannya itu seandainya semua perwakilan sependapat untuk merasai angin baru dalam pentadbiran FAM.
Begitu juga Che Mat yang mungkin dianggap telah berjaya menggalas tugas seba- gai Naib Presiden FAM serta menjadi Penge- rusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan sepanjang penggal 2007-2010 tetapi dilihat belum cukup mampu untuk bergelar Timba- lan Presiden.
Yang tinggal hanyalah Annuar, Shahidan dan Mokhtar tetapi saingan sengit dijangka hanya akan melibatkan Annuar dan Mokhtar kerana Shahidan secara lisan sudah pun me- nyatakan akan menarik diri daripada pencalonan merebut jawatan ini.
Annuar dilihat memiliki karisma dan kemampuan. Beliau berjaya membawa kegemi- langan buat bola sepak Kelantan sejak meme- gang jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dua tahun lalu.
Namun, apa yang menjadi kerisauan ialah mampukah Annuar bekerjasama dengan Presiden FAM dan seorang lagi Timbalan Presi- den FAM yang dilantik kerana dia selama ini lebih dilihat menonjol secara individu dan bolehlah dianggap masih baru dalam kancah bola sepak negara.
Berbanding Mokhtar, biarpun beliau tidak sepopular Annuar yang wajahnya sering terpampang di kaca televisyen mahupun akhbar-akhbar tempatan, Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) itu terbukti lebih berpengalaman kerana telah berkecimpung dalam bola sepak tempatan hampir 20 tahun.
Setelah begitu lama bersama FAS, mungkin sudah tiba masanya Mokhtar mencurah- kan pula segala pengalaman dan pengetahu- annya dalam bola sepak pada peringkat kebangsaan pula bersama FAM.
NAIB PRESIDEN
TANPA ragu-ragu, salah satu daripada empat slot bagi jawatan Naib Presiden FAM ini pasti akan menjadi milik Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Hamidin Mohd. Amin.
Pengalamannya mengetuai sekretariat FAS selain turut berjaya sepanjang menjadi Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM dianggap bekalan yang cukup selesa untuk Hamidin dinaikkan pangkat setelah dilantik sebagai Exco FAM pada 2007.
Maka tiga lagi slot Naib Presiden akan menjadi saingan sengit tujuh calon lain iaitu Datuk Afandi Hamzah, Datuk Subahan Kamal, Datuk S. Subramaniam, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, Datuk Lawrence Gimbang dan Datuk Abdullah Hishan Mohd. Hashim.
Afandi menjadi penyandang tunggal jawa- tan setelah tiga lagi rakan sejawatannya bagi penggal 2007-2010 tidak bertanding memper- tahankan jawatan masing-masing.
Che Mat bertanding untuk kerusi Timbalan Presiden manakala Datuk Gulzar Mohamad dan Ahamad Mohamad awal-awal lagi sudah melepaskan jawatan mereka dan tidak berhasrat mempertahankannya.
Afandi yang juga Naib Presiden KAFA dilihat tidak mampu untuk mencatat kemena- ngan kali ini memandangkan tiada apa yang ditonjolkannya sepanjang tiga tahun dipilih sebagai Naib Presiden FAM.
Begitu juga Raja Ahmad Zainuddin yang pernah memegang jawatan Naib Presiden FAM sehinggalah beliau tewas pada pemili- han 2007 dan tiada sebarang aura untuk me- raih undi pada pemilihan kali ini.
Yang tinggal hanyalah lima calon yang semuanya merupakan muka baru iaitu Suba- han, Subramaniam, Zahrain, Lawrence dan Abdullah Hishan.
Subahan dilihat berpeluang untuk menang memandangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer itu merupakan penolong pengurus skuad kebangsaan sejak Jun 2009 yang menjadi tulang belakang kejayaan memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2009.
Selain itu, Subahan turut memegang jawatan Timbalan Presiden Persatuan Hoki Selangor (SHA) dan pernah menjadi penolong pengurus skuad Liga Super Selangor dan pengurus skuad Piala Presiden Sela- ngor, sekali gus membukti- kan minat mendalamnya dalam bidang sukan.
Subramaniam juga mungkin terpilih berdasarkan jawatannya sebagai Presiden Majlis Sukan India Malaysia yang mungkin mampu menjadi suara kaum India dalam FAM.
Zahrain pula biarpun dikecam kerana Pulau Pinang bakal tersingkir ke Liga Perdana musim depan memandangkan beliau adalah Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), kedudukannya sebagai seorang Ahli Parlimen mungkin menjadi satu kelebihan.
Ini kerana beliau boleh bersuara mewakili FAM ketika isu bola sepak negara menjadi topik perbincangan dalam sidang Dewan Rakyat setelah ketiadaan Khairy.
Tidak banyak pula yang boleh diperkata- kan mengenai dua lagi calon iaitu Lawrence dan Abdullah Hishan kerana nama mereka tidak begitu menyerlah atau popular di dalam arena bola sepak negara.
AHLI EKSEKUTIF (EXCO)
HANYA lapan daripada 13 calon akan terpilih bagi jawatan ini dan beberapa nama dianggap pilihan untuk mendapat majoriti tertinggi pada pemilihan itu nanti.
Datuk Takiyuddin Hassan, Datuk Astaman Abdul Aziz, Wan Mohd. Nizam Wan Omar dan S. Sivasundaram dilihat sebagai empat calon yang mungkin tiada masalah untuk menang.
Takiyuddin dengan jawatannya sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM) bakal menjadi pilihan perwakilan.
Astaman pula selaku Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (PBKL) dan orang kuat di sebalik penganjuran kejohanan lumba basikal Jelajah Malaysia dan Le Tour de Langkawi (LTDL) sejak 2007 membuktikan beliau berkredibiliti tinggi untuk berada dalam Kabinet FAM kali ini.
Wan Nizam selaku Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) dan Siva- sundaram selaku Bendahari Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) pula tidak lagi boleh diragukan sumbangan mereka kerana kedua- duanya begitu aktif sepanjang menjadi Ahli Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM sehingga hari ini.
Empat lagi calon mungkin diisi Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Rahman (Pahang), Dr. Hamdan Mohamed Khalib (Kedah), Datuk Jeferey Low Han Chau (Persatuan Bola Sepak Cina Malaysia) dan Mejar Rani Abdul Rahim (ATM).
Dua penyandang, Datuk Ibrahim Shamsud- din dan Datuk Soh Chin Ann serta Bendahari FAM, Tan Sri Mohamad Noor Abdul Rahim pula mungkin memiliki peluang yang tipis untuk menang.
kredit : kosmo.com.my