Showing posts with label sekat. Show all posts
Showing posts with label sekat. Show all posts

Wednesday, March 9, 2011

PBB didesak kenakan sekatan penerbangan



CARI PERLINDUNGAN: Seorang pemberontak berlari mencari perlindungan semasa satu serangan udara oleh tentera Libya di Ras Lanuf, kelmarin. -- Foto REUTERS
PERGOLAKAN BERDARAH DI LIBYA
RAS LANUF (Libya): Britain dan Perancis kini menerajui usaha untuk mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenakan sekatan penerbangan di ruang udara Libya sedang pertempuran sengit terus berlaku di seluruh negara itu.
Sementara itu anak lelaki Encik Muammar Gaddafi memberi amaran kemungkinan meletusnya perang saudara jika bapanya didesak meletak jawatan.Rumah Putih pula sedang cuba meredakan tekanan daripada beberapa penggubal dasarnya supaya mencampur tangan secara langsung di Libya, sambil berkata ia terlebih dahulu mahu menimbangkan apa yang dapat dicapainya melalui beberapa pilihan tindakan tentera dalam negara gurun pasir yang kaya dengan minyak itu.Orang awam yang membantah kepimpinan Encik Gaddafi kini dikepung oleh tentera pemimpin Libya itu di dua bandar sebelah barat negara itu - di Misrata dan Zawiyah - manakala pesawat-pesawat perang Libya pula membedil bandar Ras Lanuf, yang kaya dengan minyak dan dikuasai pembantah, di sebelah timur negara tersebut.Dua akhbar Arab dan stesen televisyen Al-Jazeera pula berkata Encik Gaddafi sedang mencari jalan mengadakan satu pakatan bagi membolehkan beliau meletak jawatan. Namun, rejim Encik Gaddafi semalam menafikan perkara itu.'Ia karut. Menyakitkan hati betul untuk mengulas mengenai perkara mengarut itu,' kata seorang pegawai pemerintah Libya atas syarat namanya tidak didedah.Encik Gaddafi telah berikrar di khalayak awam untuk terus berjuang dan tidak akan meninggalkan Libya.Salah seorang anak lelaki beliau, Encik Saadi, dalam satu wawancara dengan stesen televisyen Al-Arabiya, berkata bapanya masih belum mengerahkan askar-askarnya untuk menghadapi pertempuran sepenuhnya terhadap para pembantah, sambil berkata ia adalah untuk melindungi Libya daripada serangan luar asing dan untuk melindungi 'tapak-tapak sensitif' negara itu.'Puak-puak itu kesemuanya bersenjata, ada pasukan dari tentera Libya dan wilayah timurnya yang bersenjata. Suasananya tidak seperti Tunisia atau Mesir,' kata Encik Saadi.'Jika sesuatu berlaku ke atas pemimpinnya, siapakah yang akan menguasai? Satu perang saudara akan tercetus,' tegasnya.Semalam, tentera Encik Gaddafi melancarkan sekurang-kurangnya empat serangan udara ke atas bandar Ras Lanuf, dengan salah satu serangannya disasarkan ke arah sebuah kawasan perumahan, menurut seorang wartawan kanan agensi berita Reuters.Seorang penyelaras bantuan PBB, Cik Valerie Amos, berkata pertempuran yang berlaku di seluruh Libya bermakna lebih sejuta orang pelarian atau mereka yang masih berada dalam negara itu memerlukan bantuan kemanusiaan. -- Reuters, AFP.

Sunday, March 6, 2011

PBB dituntut tarik balik sekatan ke atas Gaddafi



TERUS MARA: Para pemberontak Libya di bandar Ras Lanuf mendakwa telah dapat menawan bandar itu, kelmarin. - Foto AP


Libya dakwa pihak berkuasa hanya gunakan sedikit kekerasan ke atas penunjuk perasaan
NEW YORK: Libya menuntut Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) menarik balik sekatan yang dikenakan ke atas pemimpinnya, Encik Muammar Gaddafi.
Menteri Luar Libya, Encik Mussa Kussa, dalam satu surat kepada Majlis Keselamatan PBB kelmarin, berkata pihak berkuasa hanya menggunakan 'sekelumit' kekerasan ke atas para penunjuk perasaan.Kekerasan itu juga disasarkan ke atas golongan yang melanggar undang-undang dan para pelampau yang mengeksploitasi keadaan untuk melakukan kemusnahan dan pengganasan, tambah beliau.Pemerintah Libya lantas 'terkejut' dengan sekatan yang dikenakan ke atas Encik Gaddafi, yang antara lain melarang pemimpin itu ke luar negara dan asetnya dibekukan.Encik Kussa menggesa agar 'sekatan itu digantung sehingga kebenaran dapat dibuktikan.'Surat itu merupakan reaksi rasmi pertama yang dihantar ke PBB sejak sekatan itu diluluskan sebulat suara oleh Majlis Keselamatan pada Sabtu lalu.Badan hak asasi kemanusiaan berkata sekitar 6,000 orang telah terkorban sejak pemberontakan ke atas Encik Gaddafi tercetus pada 15 Februari lalu.PBB pula menganggarkan lebih 1,000 orang telah terkorban.Seorang diplomat Majlis Keselamatan yang enggan namanya didedahkan berkata:'Ini hanya satu contoh keengganan rejim (Libya) menerima kesan tindakan mereka. Bagaimanapun, ini juga menunjukkan bahawa mereka tergugat ekoran tindakan tegas dan sepadu yang diambil oleh masyarakat antarabangsa.'Kelmarin, Britain menyita mata wang Libya yang berjumlah AS$160 juta ($202 juta) yang ditemui dalam sebuah kapal yang menuju ke Libya dan mengiring kapal tersebut pulang ke pelabuhan Britain.'Sebuah kapal yang sedang menuju ke Libya kembali ke Britain Rabu lalu. Kapal tersebut diiring ke pelabuhan Hairwich.'Difahamkan kargo tersebut mengandungi sejumlah wang yang banyak dan tertakluk kepada sekatan PBB,' ujar jurucakap Kementerian Dalam Negeri Britain.Sementara itu, tentera Encik Gaddafi terus bertempur dengan pasukan pemberontak di beberapa medan di Libya semalam.Para pemberontak yang berpangkalan di timur Libya pula mara ke arah barat dengan menyerang bandar pengeluar minyak Ras Lanuf dan mendakwa mereka sudah menguasai lapangan terbangnya.Di bahagian barat pula, pasukan keselamatan yang setia pada Encik Gaddafi telah menawan semula sebahagian daripada Az-Zawiyah, sebuah bandar berhampiran Tripoli.Beberapa penduduk bandar itu mendakwa sekurang-kurangnya 30 orang awam terbunuh.Dalam perkembangan di negara Arab lain yang turut bergolak, tentera Yaman dilaporkan telah membunuh empat penunjuk perasaan dan mencederakan tujuh yang lain apabila mereka melepaskan tembakan semasa demonstrasi anti-pemerintah di utara negara itu ketika bantahan merebak ke seluruh negara, kelmarin.Insiden itu menyusul sehari selepas pemimpin pembangkang dan agama menawarkan Presiden Ali Abdullah Saleh berundur secara aman.Di Kahirah, Mesir pula, ratusan penunjuk perasaan cuba menyerbu bangunan milik perkhidmatan keselamatan dalam negeri di Iskandariah kelmarin, kerana marah terhadap agensi itu yang dituduh melakukan pelbagai perlanggaran hak asasi manusia semasa pemerintahan Presiden Hosni Mubarak.Pegawai di dalam bangunan itu melepaskan tembakan ke arah kumpulan penunjuk perasaan terbabit, menyebabkan tiga cedera.Penunjuk perasaan antara lain menuntut Agensi Keselamatan Negara Mesir itu dibubarkan. -- AFP, AP, Reuters.Cyberita Online Luar Negara

Friday, December 31, 2010

Polis mahu sekat maklumat tidak tepat media baru



Mohd. Shukri Dahlan (kiri) menerima tongkat kuasa daripada Zakaria Yusof sambil diperhatikan Ismail Omar pada majlis serah terima tugas Ketua Polis Perak di Ibu Pejabat Kontinjen Perak, Ipoh, semalam.


IPOH 30 Dis. - Polis akan mencari inisiatif baru bagi menyekat penyebaran maklumat tidak tepat yang dilakukan oleh media-media baru pada tahun depan, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.
Beliau berkata, tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang memanipulasikan teknologi maklumat (IT) untuk kepentingan sendiri perlu disekat.
"Kita bimbang sekiranya tidak ditangani, ia akan menyebabkan penyebaran fakta-fakta salah yang boleh memesongkan pemikiran rakyat.
"Oleh itu, polis harus ada mekanisme atau struktur prosedur operasi standard (SOP) kerja baru untuk mengatasi ancaman ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena majlis serah terima tugas Ketua Polis Perak yang ke-18 di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) negeri di sini hari ini.
Pada majlis itu, beliau menyaksikan penyerahan dokumen serta tongkat kuasa daripada pemangku, Datuk Zakaria Yusof kepada Ketua Polis negeri yang baru, Datuk Mohd. Shukri Dahlan.
Zakaria yang juga Timbalan Ketua Polis negeri memangku jawatan tersebut selama sebulan empat hari sebelum diserahkan kepada Mohd. Shukri yang juga bekas Ketua Polis Terengganu.
Mohd. Shukri yang pertama kali ditugaskan di wilayah utara itu sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Ketua Cawangan Khas di Selangor termasuk bertugas di Sarawak.
Dalam pada itu, Ismail berkata, strategi polis dalam membanteras jenayah secara menyeluruh memerlukan pengukuhan modal insan dan kemahiran anggota.
Katanya, ia selaras dengan konsep 4P iaitu protective (melindungi), performance (kualiti kerja),proactive (proaktif) dan people (rakyat).
Malah, beliau turut yakin usaha membanteras jenayah dapat dicapai dengan kerjasama 'sahabat' polis seperti Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Rela serta polis bantuan.
"Benteng pertahanan juga akan menjadi lebih kukuh melalui integrasi bersama masyarakat melalui sistem rondaan, jalinan hubungan dengan rumah-rumah ibadat seperti masjid dan gereja.
"Anggota perlu fokus, komited dan bersatu hati dalam menjalankan tugas selain perlu amalkan cara hidup sihat termasuk dalam kehidupan sosial, aktiviti sukan dan keagamaan," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, bagi menangani penipuan jenayah kolar putih, polis akan meningkatkan kerjasama dengan pihak bank bagi mencari jalan memperketatkan undang-undang sedia-ada.
Katanya, dua bentuk pencegahan yang perlu diambil bagi mengatasinya ialah melalui aktiviti kerohanian dan skop tugasan secara lebih berkesan.
"Sememangnya kita sudah mempunyai kerjasama dengan Bank Negara untuk mengesan jenayah itu dan usaha positif untuk mengurangkannya," katanya.
Sementara itu, Mohd. Shukri ketika berucap pada majlis tersebut menyedari cabaran bertugas di negeri berkenaan terutama daripada segi politik dan jenayah.
Katanya, pemahaman tentang sosio ekonomi, budaya dan politik akan diberi perhatian bagi menangani pelbagai isu termasuk pengurusan bilangan balai polis memandangkan Perak merupakan negeri yang luas.

Friday, June 11, 2010

Iran dikenakan sekatan baru



Duta Turki ke Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ertugrul Apakan mengangkat tangan mengundi menentang resolusi bagi mengenakan sekatan baru ke atas Iran di New York, semalam. - AFP


NEW YORK 10 Jun - Kuasa-kuasa dunia semalam meluluskan sekatan baru ketenteraan dan kewangan ke atas Iran bertujuan menyekat program nuklearnya, namun menegaskan bahawa pintu perbincangan masih terbuka.
Draf resolusi yang disediakan Amerika Syarikat (AS) itu, mendapat 12 undi sokongan daripada 15 anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dengan Lebanon berkecuali sementara Brazil dan Turki menentangnya.
Walaupun mendapat sokongan AS, Britain dan Perancis yang sama-sama menaja resolusi itu, keputusan itu mendapat reaksi marah dari Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad.
"Resolusi ini tidak mempunyai nilai walaupun sesen kepada Iran," tegas beliau yang sebelum ini mengugut untuk menunda rundingan dengan enam kuasa dunia jika sekatan dikenakan.
Dalam ulasan kepada agensi berita ISNA di Tajikistan, Ahmadinejad menyatakan bahawa resolusi yang diluluskan kuasa dunia itu sama seperti sapu tangan yang perlu dibuang ke dalam tong sampah.
Presiden Barack Obama berkata, Iran kini berhadapan dengan rejim sekatan yang 'paling ketat' dalam komitmen masyarakat antarabangsa untuk menyekat senjata nuklear, namun beliau pada masa yang sama menawarkan pintu diplomasi terhadap Teheran.
Israel yang merupakan musuh ketat Iran menyambut baik sekatan itu, namun mahu lebih banyak tindakan dikenakan, sementara Menteri-Menteri Luar Britain, China, Perancis, Rusia, AS dan Jerman menegaskan pendekatan dua hala masih digunakan.
China dan Rusia menyokong sekatan itu selepas berbulan-bulan 'melembutkan' draf resolusi itu bagi melindungi kepentingan tenaga dan ekonomi di Iran. - AFP

Thursday, June 10, 2010

Keperluan asas disekat

BAITULMAQDIS: Kumpulan hak asasi manusia Israel mendakwa tentera rejim Zionis menghalang barangan keperluan asas seperti cuka, ketumbar dan barangan permainan daripada memasuki Gaza, semalam.
Laporan Pusat Perundangan Gisha untuk Gerakan Pembebasan itu yang diumum sempena sekatan tahun ketiga ke atas Gaza mendakwa Israel hanya membenarkan 97 jenis barangan masuk ke wilayah itu berbanding lebih 4,000 produk sebelum Jun 2007.
Situasi itu berbeza dengan pusat beli-belah Israel yang menjual antara 10,000 hingga 15,000 jenis produk.

Israel mendakwa sekatan ke atas Gaza bermula Jun 2006 dan diperketat selepas Hamas menguasai wilayah itu pada 2007 perlu dilaksana bagi menghalang gerakan kumpulan pejuang Palestin itu. Rejim Zionis turut mendakwa 1.5 juta penduduk Gaza memiliki keperluan secukupnya.

Namun laporan Gisha mendedahkan Israel menyekat barangan yang tidak berkaitan dengan ketenteraan seperti halia, kertas dan peralatan muzik.

“Israel haramkan marjerin untuk kegunaan industri diimport Gaza tapi membenarkan pakej kecil barangan itu yang diguna untuk penduduk.

“Rejim Zionis turut mengharamkan getah, gam dan nailon diguna untuk menghasilkan lampin pakai buang diimport kilang di Gaza tapi membenarkan lampin keluaran syarikat Israel diimport ke wilayah itu,” ulas Gisha.

Hanya 2,300 trak membawa barang dibenar masuk ke Gaza berbanding 10,400 sebelum sekatan dan 30,000 trak masuk ke Manhattan yang memiliki penduduk seramai Gaza setiap bulan.

Gisha turut melaporkan, hanya 259 trak dibenar keluar daripada Gaza sejak Jun 2007 berbanding purata 70 trak setiap hari sebelum sekatan dilaksana.

Jumlah itu jauh berbeza dengan pengeluaran syarikat makanan Israel, Tnuva yang menghantar 400 trak barangan keluarannya setiap hari.

Sekatan itu turut menghalang usaha pembangunan semula kemusnahan yang dilakukan Israel ketika melancarkan serangan 22 hari ke atas Gaza hingga hujung Januari 2009. - AFP