Friday, October 17, 2014

Pendapatan RM3,600 dikira miskin di Malaysia


Tengku Razaleigh Hamzah
Tengku Razaleigh Hamzah
SHAH ALAM -  Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah menyeru agar rakyat Malaysia terutamanya Melayu/Bumiputera mengubah sikap supaya menjadi masyarakat yang lebih berjaya, bagi mengelak mereka daripada menjadi pengemis di negara sendiri.

Ku Li berkata, perubahan itu perlu dilakukan kerana standard dunia telah berubah, dan sekiranya masyarakat kita masih lena dibuai mimpi tidak mustahil kita senasib dengan masyarakat ‘Red Indian’ di Amerika Syarikat.

“Saya sebut dalam masalah yang dihadapi oleh orang kita, orang Melayu/Bumiputera adalah sikap kita… jadi selagi kita tidak ubah sikap selama inilah kita akan ketinggalan. Saya ingatkan orang kita supaya ubah sikap, letakkan nilai yang patut supaya kita tidak jadi pengemis di negara sendiri.

“Ingat nasib ‘Red Indian’… keadaan kini sudah berubah,  nilai ringgit sudah jatuh dan World Bank telah tetapkan ukuran yang baru kepada kita untuk tentukan kita sudah atasi kadar kemiskinan.

“Dikhabarkan sekarang untuk Malaysia, mereka yang berpendapatan kurang RM3,600 adalah golongan miskin,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama di Forum Transformasi Barah Ali Baba di Bumi Merdeka anjuran Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEN) di Institusi Antarabangsa Tamadun dan Pemikiran Islam, semalam.

Justeru, Ku Li mengingatkan masyarakat kita supaya berpijak di bumi yang nyata, dan jangan bersikap seperti orang kaya.

“Kita berlagak,  tapi poket kita kosong, nilai ringgit sudah mengecil, inflasi kos hidup atasi kemampuan sikap tetapi  kita tetap tidak berubah… tetap  boros berbelanja,” katanya.

Dua Calon PAS Gagal Gugurkan Kelayakan Dua Adun BN


Diterbitkan: Khamis, 16 Oktober 2014 8:59 PM

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini Khamis menolak rayuan dua calon PAS untuk membatalkan kelayakan dua Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional dari Perak yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri pada pilihan raya umum tahun lepas. 
Panel tiga hakim diketuai Datuk Mohamad Ariff Md Yusof menolak rayuan calon PAS Jamil Dzulkarnain dan Mohd Misbahul Munir Masduki yang masing-masing kalah kerusi DUN Manong dan Rungkup di Perak kepada ADUN BN Mohamed Kamil Shafie dan Datuk Shahrul Zaman Yahya.
Jamil dan Dzulkarnain mengemukakan saman pemula pada Julai tahun lepas bagi membatalkan kemenangan kedua-dua Adun BN itu atas alasan mereka bukan penduduk negeri itu apabila bertanding pada pilihan raya umum ke-13 pada Mei tahun lepas.
Hakim Mohamad Ariff berkata, mahkamah berpendapat bahawa saluran sedia ada untuk mencabar pemilihan seseorang calon adalah dengan mengemukakan petisyen pilihan raya seperti termaktub di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, mahkamah akan memberi alasan penghakimannya pada satu tarikh kemudian.
Panel itu yang turut dianggotai Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Zawawi Salleh dan Tan Sri Idrus Harun, tidak mengeluarkan apa-apa arahan berhubung dengan kos.
Pada 10 April tahun lepas, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur membenarkan permohonan kedua-dua Adun BN untuk membatalkan kedua-dua saman itu selepas memutuskan bahawa adalah tidak sesuai bagi calon PAS untuk mencabar keputusan pilihan raya umum dengan mengemukakan saman pemula.
Pada pilihan raya umum tahun lepas, Jamil yang meraih 7,174 undi kalah kepada Mohamed Kamil yang mendapat 7,405 undi manakala Shahrul Zaman memperoleh 6,415 undi, menewaskan Mohd Misbahul yang mendapat 5,802 undi. 
Dalam saman pemula mereka, kedua-dua calon PAS itu mendakwa bahawa kedua-dua wakil rakyat BN itu tinggal di luar Perak, dengan itu melanggar Perkara 30 Perlembagaan Negeri Perak yang memperuntukkan bahawa seorang Adun mestilah penduduk tetap Perak semasa dipilih.
Mereka memohon mahkamah untuk mengisytiharkan bahawa wakil rakyat BN itu hilang kelayakan daripada menjadi anggota dewan undangan negeri.
Bagaimanapun, kedua-dua Adun itu, dalam pembelaan, berkata mereka adalah penduduk Perak dan sebarang usaha untuk membatalkan kelayakan wakil rakyat hendaklah dilakukan melalui petisyen pilihan raya.
Jamil dan Mohd Misbahul diwakili peguam Chan Kok Keong manakala Mohamed Kamil dan Shahrul Zaman diwakili Datuk Hafarizam Harun dan Choo Shi Jin.

14 November Sebutan Semula Kes Rayer Didakwa Hasut


Diterbitkan: Jumaat, 17 Oktober 2014 12:35 PM

GEORGE TOWN: Mahkamah Sesyen di sini, Jumaat menetapkan 14 Nov untuk sebutan semula kes Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) R.S.N Rayer yang didakwa atas dua pertuduhan menyebut kata-kata menghasut pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dan ceramah di Jalan Delima, Island Glades Jelutong, di sini Mei lepas.
Hakim Mahkamah Sesyen 1 Zaharah Hussain menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan peguam yang mewakili Rayer, Gobind Singh Deo yang memohon mahkamah menunggu keputusan kes pensyarah Undang-undang Universiti Malaya Profesor Madya Dr Azmi Sharom yang merujuk kes hasutan yang dihadapinya ke Mahkamah Tinggi.
Gobind berkata pihak pembelaan mahu mengemukakan permohonan sama seperti kes Dr Azmi yang dibangkitkan di bawah Seksyen 30 Akta Mahkamah Pengadilan 1964.
"Saya mohon isu berbangkit seperti kes Dr Azmi Sharom di Kuala Lumpur yang memohon untuk mendapatkan perintah supaya Mahkamah Sesyen merujuk kepada Mahkamah Tinggi bagi menentukan sama ada Seksyen 49(1) Akta Hasutan 1948, berperlembagaan atau sebaliknya.
"Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan kes Dr Azmi ditangguhkan sementara menunggu keputusan Mahkamah Tinggi pada 5 dan 6 Nov ini. Jadi, saya ingin memohon permohonan sama bagi kes ini," katanya pada prosiding sebutan semula kes.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen 2 hakim Zulhazmi Abdullah turut membenarkan permohonan Gobind dan menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula kes.
Kesemua pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Talib.
Pada 27 Ogos lepas, Rayer mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap pertuduhan menyebut kata-kata menghasut pada ceramahnya di Taman Permainan Kanak-kanak, Jalan Delima Island Glades, Jelutong di sini pada pukul 10 malam, 22 Mei lepas.
Untuk kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, jika sabit kesalahan.
Rayer turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan mengaibkan dan membangkitkan kemarahan ahli-ahli Umno dengan melafazkan kata-kata menghasut itu yang boleh memecahkan keamanan awam, di tempat dan pada masa serta tarikh yang sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Rayer yang juga seorang peguam turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebut kata-kata menghasut itu ketika sesi perbahasan di dalam DUN Pulau Pinang, pada pukul 9.30 pagi, 20 Mei lepas.
Wakil rakyat itu menghadapi pertuduhan berkenaan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

S'gor mahu kandungan perjanjian air didedah


MUHAMMAD FAIZAL | .

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor hari ini meminta kerajaan mendedahkan perjanjian air yang dimeterai sebelum ini bagi tujuan kepentingan umum.

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, perjanjian tersebut juga dilihat tidak mengugat keselamatan nasional dan sepatutnya ia didedahkan.

"Saya sudah meneliti tiga perjanjian air yang telah dimeterai sebelum ini.

"Setelah meneliti, saya telah menulis surat kepada Menteri bagi memohon agar perjanjian tersebut didedahkan kepada umum dan ia tidak mengugat keselamatan negara maka tidak perlu disorok," jelas beliau pada sidang media di lobi parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Gombak itu turut memberitahu kerajaan negeri tidak berniat untuk membatalkan perjanjian tersebut sebaliknya dengan pendedahan ini seluruh rakyat Selangor mengetahui isi kandungannya.
Cemar tahap 4

Dalam masa yang sama, Azmin turut mempertikai teknologi yang digunakan pada loji rawatan Langat 2 yang dilihat tidak bersesuai dengan penggunaannya.

Fasa pertama ujarnya, mereka mencadangkan penggunaan sistem proses saringan yang menggunakan Granular Activated Carbon (GAC) iaitu teknologi tinggi untuk merawat air yang tercemar tahap empat.

"Persoalannya kalau pusat mencadangkan teknologi tersebut pada Langat 2 ia membawa maksud air yang disalurkan ke loji tersebut dari Sungai Pahang tercemar teruk tahap empat.

"Adakah betul air sungai tersebut tercemar, tetapi jika tidak kita tidak perlu menggunakannya kerana ia melibatkan kos yang tinggi," katanya.

Beliau turut melahirkan kerisauan bila kos yang tinggi digunakan pada projek tersebut termasuk kos penyelenggaraan, ia akan membebankan rakyat melalui kenaikan tarif air.

Beliau turut menggesa kerajaan agar memberi penjelasan adakah Sungai Pahang memhadapi pencemaran tahap empat sehinggakan kerajaan memerlukan penggunaan teknologi tersebut. -HARAKAHDAILY 16/10/2014

Calon anugerah Hasan Malik

Karut jika kata harga barang naik bila minyak naik - MP BN

SALMIYAH HARUN | .
KUALA LUMPUR: Pembangkang sengaja mencanangkan cerita bahawa apabila minyak naik harga barang akan naik untuk menakut-nakutkan rakyat, kata Ahli Parlimen Bagan Serai (BN) Dr Noor Azmi Ghazali.

Beliau ketika membahaskan Bajet 2015 berkata, pembangkang terlalu emosional dalam isu kenaikan harga minyak dan mendakwa tidak faham akan usaha kerajaan dalam merasionalisasikan subsidi rakyat.

"Bukankah minyak sudah naik lima kali pernahkah berlaku keadaan inflasi yang sukar dikawal?

"Jawapan barang naik kerana minyak naik, ini tidak betul! Saya tidak bersetuju. Saya fikir ini bukan jawapannya.

"Kita ada minyak. Kenapa minyak naik? Minyak kita minyak baik. Kita jual untuk kebaikan rakyat,"katanya.

Ekoran kenyataannya itu beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat bangun dan menyangkal dakwaan itu sambil memohon untuk mencelah.

Ahli Parlimen PAS Sepang Hanipa Maidin yang diberi laluan membidas Bagan Serai dan menyifatkan perbahasannya 'penuh dengan guruh tetapi kosong'.

"Tidak perlu panggil orang ekonomi, bagi rakyat biasa pun secara rasionalnya tahu bila minyak naik barang akan naik.

"Takkan tak ada kesan. Tak payah bahas panjang-panjang,"tegas Hanipa yang diikuti sorakan di kalangan Ahli Parlimen Pakatan.

Hanipa turut mempersoalkan Bagan Serai yang langsung tidak menyentuh soal rasuah yang berleluasa menyebabkan kerajaan terpaksa merasionalisasikan subsidi.

"Perlu juga kita perbetulkan struktur, tutup pintu korupsi dan sebagainya. Ini kerana semakin ramai didedahkan korupsi semakin banyak orang kaya. Inilah keadaan korupsi negara kita. Kenapa tidak bangkitkan?"soal Hanipa. - HARAKAHDAILY 16/10/2014

Obama arah tentera simpanan ke Afrika Barat bagi tangani Ebola

WASHINGTON: Presiden Barack Obama mengarahkan Pentagon supaya menghantar anggota tenetra simpanan Amerika Syarikat untuk menangani wabak Ebola di Afrika Barat.
Menurut arahan yang dikeluarkan oleh Rumah Putih, Obama mahukan anggota simpanan itu ditugaskan untuk operasi bantuan kemanusiaan berkaitan wabak penyakit Ebola di Afrika Barat.
Tentera Amerika Syarikat berkata ia merancang untuk menghantar 3,200 anggota ke Liberia dan Senegal bagi memberi bantuan logistik dan kejuruteraan dalam usaha antarabangsa bagi melawan virus yang membawa maut itu dan akan menambahkan jumlah anggota kepada 4,000 sekiranya perlu.
Pada masa ini terdapat lebih 500 anggota tentera di Liberia dan Senegal untuk menyertai misi berkenaan.
Pegawai tentera berkata anggota simpanan berkenaan, yang akan dipanggil berdasarkan kepakaran mereka, akan menjadi sebahagian daripada 4,000 orang itu. - AFP

PM Belanda gesa Putin beri kerjasama dalam siasatan MH17

THE HAGUE: Perdana Menteri Belanda Mark Rutte mengadakan pertemuan dengan Presiden Vladimir Putin dari Russia bagi menggesa negara berkenaan memberi kerjasama maksimum dalam penyiasatan pesawat Penerbangan Malaysia MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine.
"Saya baharu saja bercakap dengan Putin di Milan dan menggesa kerjasama maksimum dalam menyelesaikan bencana MH17," kata Rutte dalam tweetnya, yang dipos ke laman sosial Twitter lewat malam tadi.
Media Belanda berkata Rutte bercakap dengan Putin ketika menghadiri sidang kemuncak Asia-Eropah (ASEM) yang bermula di Milan semalam.
"Ia adalah perkara menyentuh perasaan dan sudah tentunya saya marah dengan semua pihak yang menghalang kerja di tempat kejadian," kata Rutte dalam laman Facebooknya.
Bagaimanapun, tambahnya, sekarang terpulang kepada negara terbabit untuk mencapai matlamatnya.
"Saya akan guna apa juga peluang untuk menarik perhatian kepada isu ini," kata beliau.
Isnin lalu empat pakar Belanda kembali ke tempat kejadian di wilayah dikuasai pemberontak pro-Russia di timur Ukraine, tetapi pegawai Belanda mengadu tidak ada akses mudah ke tempat kejadian.
Pakar forensik Belanda menangguhkan usaha pencarian di kawasan berkenaan pada awal Ogos lalu kerana pertempuran di kawasan terbabit antara Kiev dan pemisah pro-Russia. - AFP

Polis Hong Kong serbu kawasan tunjuk perasaan awal pagi ini

HONG KONG: Beratus-ratus polis anti rusuhan Hong Kong melakukan serbuan di kawasan bantahan prodemokrasi dan mengalihkan sekatan dan meleraikan penunjuk perasaan pada awal pagi ini.
Operasi di kawasan Mong Kok itu tidak jauh dari pusat pentadbiran Hong Kong, dilakukan ketika kebanyakan penunjuk perasaan terbabit sedang tidur.
Tindakan itu mengurangkan kawasan tunjuk perasaan yang melumpuhkan sebahagian daripada hab kewangan Asia itu sejak tiga minggu lalu.
Operasi itu berjalan lancar tanpa banyak tentangan, tidak seperti sebelum ini di mana terdapat penunjuk perasaan yang bertindak ganas bagi membantah tindakan polis.
Tunjuk perasaan itu yang sebahagian besarnya disertai pelajar menggesa agar bekas jajahan British itu diberikan hak demokrasi sepenuhnya menjelang pilihan raya 2017 depan, sambil mendesak peletakan jawatan Ketua Eksekutif Hong Kong, Leung Chun-ying. - REUTERS

Labah-labah dikeluarkan daripada perut lelaki Australia

JUMAAT, 17 OKTOBER 2014 @ 10:41 AM

 
SYDNEY: Seekor labah-labah dikeluarkan daripada perut seorang lelaki Australia selepas ia memasuki tubuh lelaki berkenaan dan hidup selama tiga hari.

Dylan Thomas berada di Bali, Indonesia untuk percutian apabila serangga kecil itu memasuki tubuhnya menerusi parut apendiks kecil, menyebabkan wujud bekas kemerah-merahan dari pusat ke dada.

Thomas menarik bajunya untuk menunjukkan kesan di mana serangga itu berada di dalam tubuhnya.

Ketika di Bali, beliau ke pusat perubatan tempatan dan diberikan 'antihistamin', iaitu ubat untuk menahan gatal bagi gigitan serangga.



"Selepas menjalani pemeriksaan dan memasukkan sesuatu ke dalam perut saya, mereka akhirnya menjumpai seekor labah-labah tropika yang hidup di dalam tubuh saya selama tiga hari," katanya dalam laman Facebooknya.

Selepas kembali ke Australia awal minggu ini, doktor mengeluarkan labah-labah itu.

"Mereka berjaya menarik keluar labah-labah itu, meletakkannya ke dalam bekas ujian dan membawanya pergi," kata Thomas yang kini digelar oleh rakannya sebagai 'Spider Man'. - Reuters

Nafi beri kontrak kepada adik


Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
KUALA LUMPUR - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menafikan beliau terlibat dalam sebarang pemberian kontrak RM77 juta daripada Jabatan Kastam kepada adiknya, Datuk Haris Onn.

Menurutnya, label keselamatan untuk arak itu yang didakwa diperolehi syarikat tersebut tidak terletak bawah seliaan kementeriannya dan  beliau mengamalkan prinsip tidak memberikan kontrak kepada mana-mana ahli keluarga.

“Saya tidak tahu dan tidak ada kaitan langsung dengan apa yang adik saya lakukan. Kalau ada perkara yang tidak kena, minta dia jawab.

“Saya tidak akan mempertahankannya kalau dia salah. Tetapi setahu saya, adik saya tidak pernah dapat kontrak daripada mana-mana kementerian yang pernah saya pegang,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, semalam.
Kelmarin, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mendakwa, kontrak cetakan label keselamatan rokok dan arak diberikan secara rundingan terus kepada adik Hishammuddin.
Tony dilaporkan mendakwa, kontrak label itu dianugerahkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia kepada sebuah syarikat yang 68 peratus sahamnya dimiliki seorang ahli keluarga Hishammuddin.

Tony juga mendakwa, syarikat sama sebelum ini juga mendapat kontrak untuk mencetak label keselamatan pada kotak rokok dengan harga yang mahal iaitu 11 sen bagi setiap kotak.

Hishammuddin berkata, pemimpin  PR boleh melemparkan pelbagai tuduhan kepadanya kerana beliau tiada kaitan dan tiada apa-apa untuk dipertahankan.

“Pembangkang boleh membangkitkan segala macam tuduhan tapi akhirnya, saya tiada kaitan dengan perkara yang beliau lakukan. Jika ada yang salah, biarlah dia sendiri yang menjawabnya,” katanya.

China diselar kerana sekat laman BBC


Polis didakwa menggunakan kekerasan termasuk menyembur lada untuk menyuraikan penunjuk perasaan.
Polis didakwa menggunakan kekerasan termasuk menyembur lada untuk menyuraikan penunjuk perasaan.
BEIJING - CHINA. Kerajaan China bertindak tegas menyekat akses laman British Broadcasting Corporation (BBC) sehari selepas rakaman video memaparkan tindakan keras pihak berkuasa terhadap penunjuk perasaan tersebar secara meluas di internet.
Pengarah Perkhidmatan Global BBC, Peter Horrocks menyifatkan langkah penapisan itu adalah satu perbuatan disengajakan.
"Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan China yang mahu menyekat akses bebas berita dan maklumat sebenar kepada pengguna di negara itu," katanya.

Difahamkan, portal berita BBC dalam bahasa Cina turut menerima nasib sama sejak ia dilancarkan pada 1999.

Dalam perkembangan lain, Ketua Eksekutif Hong Kong, Leung Chun-ying membuka semula tawaran rundingan bersama kumpulan penunjuk perasaan seminggu selepas kerajaan menarik diri daripada proses itu yang bertujuan untuk menamatkan krisis di bandar tersebut.
Chun-ying berdepan tekanan selepas penyokong prodemokrasi menggesa beliau meletak jawatan susulan daripada kebangkitan Revolusi Payung sejak bulan lalu. - AFP

Harga internet di Malaysia mahal


KUALA LUMPUR - Harga internet dan jalur lebar di negara ini disifatkan terlalu mahal berbanding kualiti perkhidmatan yang ditawarkan.Pengerusi Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (Pikom), Cheah Kok Hoong berkata, harga perkhidmatan internet di Malaysia perlu diturunkan kerana ia menjadi keperluan masyarakat kini.

“Dari pemerhatian kami, kualiti servis internet yang ditawarkan perlu ditingkatkan berdasarkan banyak rungutan daripada pengguna yang kecewa dengan harga yang mahal tetapi servis yang teruk.

“Kebanyakan masyarakat di negara ini yang menggunakan internet terdiri daripada mereka yang masih belajar dan baru hendak mula bekerja. Harga purata untuk jalur lebar dan internet mudah alih sekitar RM79 dan RM133 akan membebankan mereka,” katanya, semalam.
Penggunaan internet dalam kalangan masyarakat di Malaysia menunjukkan peningkatan mendadak daripada 22 peratus pada 2008 kepada 60 peratus pada suku pertama tahun ini.
Malah, berdasarkan kajian Bank Dunia, peratusan ini akan terus meningkat pada tahun akan datang.

Menurut Kok Hoong, kerajaan perlu memikirkan cara menurunkan harga internet berdasarkan kepada keperluan perkhidmatan tersebut kepada masyarakat.
“Kita sedang menuju ke arah negara maju dan ekonomi baru yang menggunakan internet dalam semua urusan.
“Masyarakat juga menjadikan penggunaan media sosial sebagai salah satu sumber pencarian mereka terutama dalam urus niaga elektronik,” katanya.
Jadi katanya, harga internet yang murah akan memastikan setiap rakyat Malaysia mampu memperoleh perkhidmatan yang ditawarkan.
Menurutnya, jika kerajaan tidak dapat menurunkan harga internet, kualiti perkhidmatan itu perlu dipertingkatkan selari dengan harga yang dikenakan.

“Menurut satu kajian yang dilakukan oleh sebuah syarikat pengujian internet dunia Ookla, Malaysia berada pada kedudukan 126 daripada 196 negara dari segi kelajuan internet di dunia,” katanya.
Malah katanya, Malaysia berada di belakang Kemboja dan Vietnam berdasarkan kajian yang dilakukan pada Mei 2013 hingga April 2014 itu.

Pesawat Kerry rosak lagi

Iran: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) John Kerry terpaksa menaiki pesawat udara komersial pulang dari Viennea semalam selepas pesawat Air Force yang membawanya rosak untuk kali keempat tahun ini.
Selepas mengadakan beberapa siri perbincangan mengenai program nuklear Iran di ibu negara Austria itu kelmarin, Kerry dan rombongannya yang turut disertai 40 kakitangan dan wartawan menerima berita kerosakan terbaru pesawat itu ketika sedang mendaftar keluar dari hotel mereka, awal pagi semalam.
Sejak memegang jawatan itu pada Februari 2013, perjalanan Kerry dianggarkan sejumlah 911,000 kilometer (km) mengelilingi dunia membabitkan 55 negara - ada antaranya berulang kali - selain 249 hari mengembara.
Malah dia dianggarkan mampu menjangkaui lawatan dilakukan Setiausaha Negara AS terdahulu, Hillary Clinton, yang mengembara jutaan kilometer dan melawat 112 negara sepanjang empat tahun memegang jawatan itu.
Malangnya, operasi yang sering dirancang dengan begitu teliti tetap dibelenggu masalah, malah tahun ini saja Kerry kerap mengalami masalah akibat kerosakan pesawatnya.
Ogos lalu dia terpaksa menaiki penerbangan komersial selama sembilan jam ke Washington dari Hawaii apabila pesawat rasminya mengalami masalah elektronik pada akhir lawatan ke beberapa negara.
Selain itu, awal tahun ini transponder baru terpaksa diterbangkan ke AS dari Switzerland apabila pesawatnya rosak ketika dia sedang melaksanakan perbincangan berhubung konflik di Syria.
Mac lalu, ketika di London, masalah mekanikal serupa menyebabkan pasukannya cuba mencari penerbangan alternatif untuk pulang namun mujur keadaan berjaya dipuihkan dalam tempoh beberapa jam. - AP
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Oktober 2014 @ 5:03 AM




KERRY ketika tiba di Viennea untuk menghadiri persidangan dengan Iran, kelmarin.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/2353#sthash.GMJ7ErNI.dpuf

Bohol dulu, kini sama

Manila: Setahun berlalu sejak gempa bumi berukuran 7.2 magnitud melanda Bohol dan mengorbankan 222 orang serta memusnahkan lebih 14,500 bangunan, namun masih tiada pembaharuan dilakukan pihak yang berkenaan.
Keadaan itu dikesan empat bulan selepas Jabatan Dalam Negeri dan Kerajaan Tempatan (DILG) menyerahkan dana tambahan sebanyak 2.3 bilion peso (RM170 juta) kepada pihak berkuasa tempatan Bohol bagi membolehkan projek pembinaan semula kerosakan akibat bencana itu dijalankan.
Setiausaha DILG, Manuel Mar Roxas berkata dia sangat hampa kerana tiada sebarang kerja dilakukan di wilayah tengah Visayas itu.
Ketika menyertai lawatan bersama Pengerusi Lembaga Pembangunan Metropolitan Manila, Francis Tolentino semalam, Roxas sempat menegur pegawai kerajaan tempatan atas kegagalan itu.
Kata Roxas, tiada struktur baru dibangunkan di tapak bencana itu walaupun mendapat dana tambahan Jun lalu.
"Ada tak satu paku ditukul untuk pembinaan semula atau langsung tiada?
"Presiden akan mengherdik kami kerana kelewatan ini, malah bukan itu saja. Ketua kami juga akan memarahi kami kerana kelembapan begini," katanya, semalam.
Sementara itu Gabenor Bohol Edgar Chatto berkata, Unit Kerajaan Tempatan (LGU) adalah pihak bertanggungjawab melakukan pembinaan semula.
Cuma, kata Chatto, petugas unit itu kurang berpengalaman dari segi teknikal atau tidak mempunyai jurutera mencukupi.
"Kebanyakan projek sudah diluluskan tetapi kekurangan teknikal masih berlaku," katanya.
Bagi mengatasi masalah berkenaan, Jabatan Kerja Awam dan Lebuh Raya dilaporkan bersetuju bekerjasama dengan LGU untuk mencari pakar dan pekerja berkelayakan.-Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Oktober 2014 @ 5:00 AM




GAMBAR fail menunjukkan penduduk Bohol menyelamatkan diri selepas bandar itu dilanda bencana 15 Oktober, tahun lalu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/2307#sthash.L4x38uiE.dpuf

Korea Utara tak suka wanita berseluar


Pyongyang: Korea Utara melarang kaum wanita daripada memakai jean skinny atau seluar lain yang dianggap bergaya selain memperketatkan lagi kod pakaian negara itu.
Menurut Radio Free Asia (RFA), beberapa penduduk Korea Utara yang melawat China memberitahu “wanita dilarang memakai seluar di khalayak ramai sejak September lalu.”
Korea Utara melarang wanita memakai seluar di khalayak ramai pada 1970 sehingga lima tahun lalu apabila wanita dibenarkan memakai seluar berpotongan kemas pada Ogos 2009.
Menurut sumber, populariti budaya pop Korea Selatan turut mempengaruhi wanita di Korea Utara memakai seluar jenis skinny dan Capri.
Namun ia pihak berkuasa memandangnya sebagai “budaya lucah Korea Selatan” dan memutuskan mengharamkan penggunaannya.
Sehubungan itu, polis ditempatkan di seluruh Pyongyang untuk menahan wanita berseluar terutama pelajar universiti, kata seorang penduduk Pyongyang kepada RFA.
Menurutnya, wanita bekerja perlu memakai skirt untuk ke pejabat dan hanya dibenarkan bertukar kepada seluar sebaik tiba di situ. Warga asing atau rakyat China bagaimanapun terkecuali daripada kod pakaian itu.
Seorang lagi penduduk Korea Utara memberitahu RFA bahawa polis “menyasarkan wanita yang berpakaian atau mendandan rambut dengan cara yang melanggar peraturan.” - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Oktober 2014 @ 5:03 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/2356#sthash.XbVrac3X.dpuf

Michael Jackson mati meninggalkan harta


New York: Lima tahun selepas kematiannya, raja pop Michael Jackson masih meraih pendapatan tinggi malah menjadi selebriti mati yang paling kaya di dunia apabila estetnya menerima sekitar AS$140 juta (RM462 juta) tahun lalu.
Forbes melaporkan Jackson mendapat dua kali jumlah diperoleh Elvis Presley - yang mati pada 1977 dan menduduki tempat kedua dengan pendapatan sebanyak AS$55 juta (RM181 juta) dan tiga kali diraih pencipta komik Peanuts, Charles Schulz dengan AS$40 juta (RM 132 juta).
“Nampaknya Jackson membuktikan duit masih mampu ‘hidup’ selepas seorang selebriti mati,” kata Forbes.
Ini adalah kali kedua secara berturut-turut Jackson menduduki carta teratas senarai berkenaan selepas dikalahkan Elizabeth Taylor pada tahun 2012.
Album kedua Jackson selepas kematiannya, ‘Xscape’ yang mendapat tempat kedua di carta pop pada hari pertama dikeluarkan malah penyanyi berkenaan turut ‘muncul’ sebagai hologram pada Anugerah Muzik Billboard.
Dua persembahan Cirque du Soleil bertajuk ‘Immortal’ dan ‘ One’ antara cara estet jackson masih mampu meraih keuntungan selain katalog muzik dan empayar penerbitannya.
Eizabeth yang meninggal dunia pada 2011 menduduki tempat keempat (AS$25 juta - RM82 juta) manakala legenda reggae Bob Marley di tempat kelima AS$20 juta (RM66 juta). - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Oktober 2014 @ 5:03 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/2358#sthash.m4sDsjQR.dpuf

‘Drama Hindi’ tidak menjadi


AFP
Chennai
Ia seolah-olah sebuah drama Hindi - sesuai dengan negara insiden ini terjadi.
Seorang lelaki ingin berkahwin dengan seorang wanita pujaan hatinya dan sanggup berbuat apa saja demi mencapai hasratnya.
Cuma, lelaki terbabit mempunyai satu masalah - dia sudah mempunyai seorang isteri.
Mungkin kerana tidak sanggup menanggung penderitaan batin, lelaki terbabit mengambil pil tidur berlebihan dengan harapan dapat membunuh diri, tetapi dia diselamatkan.
Lelaki terbabit kemudian meminta polis membantu menyatukan dirinya dengan si kekasih.
Lelaki berkenaan mendakwa kononnya hubungan cinta itu tidak kesampaian kerana bapa kekasihnya tidak merestui hubungan mereka.
Selepas mendengar rintihan itu, anggota polis berkenaan bersetuju menolong.
Ketika niat lelaki itu hampir tercapai, tiba-tiba isterinya muncul dan menceritakan keadaan sebenar.
Jurucakap polis berkata, wanita itu menunjukkan bukti bahawa dia adalah isteri sah lelaki terbabit sejak dua tahun lalu.
Menurutnya, hasil perkahwinan mereka, pasangan berkenaan dikurniakan seorang anak berusia tiga bulan.
“Wanita berkenaan mendakwa suaminya mula berlaku curang ketika dia pulang ke kampung kerana ingin bersalin,” katanya.
Jurucakap polis semalam berkata, si suami sebenarnya menjalinkan hubungan sulit dengan kawan isterinya sendiri.
“Si isteri mula curiga apabila telefon suaminya sentiasa gagal dihubungi dan tidak pulang melawat anak mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Namun, kata jurucakap polis, ketika itu si isteri masih belum mendapat kepastian.
Rahsia itu akhirnya terbongkar kelmarin apabila stesen televisyen menyiarkan laporan berita mengenai cubaan membunuh diri si suami.
“Disebabkan berang dengan kecurangan itu, wanita terbabit menuntut polis mengambil tindakan terhadap suami dan si kekasih,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Oktober 2014 @ 5:04 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/2360#sthash.WnLvoiTe.dpuf

ESD tidak jimat tenaga


Contoh peralatan yang didakwa dapat menjimatkan penggunaan elektrik.


KUALA LUMPUR – Alat penjimatan tenaga (ESD) yang kononnya boleh mengurangkan penggunaan tenaga elektrik jika dipasang di rumah dan premis perniagaan sebenarnya tidak berfungsi seperti didakwa.
Suruhanjaya Tenaga sebaliknya menjelaskan, alat itu yang dijual di pasaran pada harga RM250 hingga RM350 seunit cuma boleh mengurangkan kadar arus tenaga dan meningkatkan faktor kuasa namun tidak menjimatkan penggunaan elektrik.
Sehubungan itu, Suruhanjaya Tenaga menasihati orang ramai tidak memasang ESD di rumah atau premis mereka kerana alat itu tidak menjimatkan penggunaan elektrik sebagai didakwa oleh pihak tertentu yang mempromosikan produk tersebut.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1017&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz3GM3VbTaT 
Hakcipta terpelihara 

JPJ kutip sehingga RM400 juta



HASIL kutipan yang diperoleh JPJ menerusi jualan nombor pendafataran unik adalah sekitar RM350 juta dan RM400 juta setahun.


PUTRAJAYA – Jabatan Pe­ngangkutan Jalan (JPJ) me­ngutip antara RM350 juta hingga RM400 juta setahun hasil daripada penjualan nombor pendaftaran kenderaan di seluruh negara.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, kutipan itu dibuat menerusi bidaan yang dianjurkan pihaknya bagi mendapatkan nombor pendaftaran yang unik.
Menurutnya, setakat ini bidaan tertinggi sebanyak RM748,000 direkodkan bagi nombor pendaftaran W1N yang dimenangi oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1017&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz3GM2KScxJ 
Hakcipta terpelihara 

China hantar ubat Ebola ke Afrika



GAMBAR fail 3 September lalu menunjukkan seorang pengawal keselamatan menggunakan termometer untuk mengukur suhu badan seorang lelaki di luar bangunan kerajaan di ibu negara Sierra Leone, Freetown.- Agensi


SHANGHAI – Sebuah syarikat farmaseu­tikal China yang mempunyai hubungan dengan tentera menghantar sejenis ubat demam Ebola ke Afrika untuk kegunaan pekerja bantuan China, sekali gus menguji keberkesanannya dalam memerangi wabak berke­naan, kata beberapa eksekutif syarikat itu semalam.
Ketua Eksekutif Sihuan Pharmaceutical Holdings Group Ltd, Jia Zhongxin berkata, syarikat­nya membekalkan beberapa ribu dos ubat berkenaan, JK-05 ke rantau Afrika Barat.
“Bekalan tersebut akan ditambah sekiranya perlu,” katanya.
Ubat JK-05 bagaimanapun ma­sih di peringkat ujian klinikal dan belum pernah diuji pada manusia.
“Pekerja bantuan telah membawa bekalan ubat tersebut. Ia akan digunakan jika terdapat jangkitan antara mereka,” tambah Huo Caixia yang merupakan pembantu pengurus besar Sihuan
Sihuan yang sebahagiannya di­miliki oleh bank pelaburan Morgan Stanley, berharap dapat segera menggunakan ubat tersebut dalam kalangan orang awam di China.
Syarikat itu telah menandatangani satu perjanjian bersama Akademi Sains Perubatan Tentera (AMMS) untuk mendapatkan kelulusan penggunaan JK-05 di China.
Ubat berkenaan yang hanya diluluskan untuk kegunaan tentera pada awalnya dibangunkan oleh MMS.
Jika ia terbukti berkesan mengubati Ebola, JK-05 bukan sahaja menjadi hadiah besar untuk sektor perubatan China, malah ia akan membantu meluaskan pengaruh negara komunis itu di Afrika.
Benua berkenaan merupakan rakan penting kepada China yang merupakan ekonomi kedua terbesar di dunia.
Sehingga kini, terdapat kira-kira sejuta warga China di Afrika dengan 10,000 orang menetap di tiga negara yang paling teruk terjejas akibat Ebola iaitu Sierra Leone, Guinea dan Liberia.
China menghantar beratus-ratus pekerja bantuan ke Afrika untuk membantu memerangi wabak maut itu.
Wabak Ebola telah membunuh lebih 4,000 orang setakat ini.
Perkembangan tersebut mendorong dan syarikat farmaseutikal di seluruh dunia kini berlumba-lumba untuk menghasilkan ubat yang dapat merawat Ebola. Wabak itu telah menular dari Afrika Barat hingga ke Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.
Pada masa yang sama, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama berikrar akan mengambil langkah lebih agresif dalam memerangi epidemik itu.
Obama menyatakan demikian selepas jururawat kedua di bandar raya Dallas, dalam negeri Texas telah dijangkiti virus Ebola.
Menurut laporan media, jururawat tersebut Amber Joy Vinson diberi kelulusan untuk menaiki penerbangan sebelum dia didiagnosis dengan penyakit tersebut.
Mengulas perkembangan terbaharu itu, Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), Dr. Tom Frieden berkata, Vinson tidak sepatutnya dibenarkan menaiki pesawat komersial kerana dia terdedah kepada virus itu semasa menjaga seorang pesakit Ebola yang mengunjungi AS dari Liberia, Thomas Eric Duncan.
Sebelum ini, seorang lagi jururawat yang menjaga Duncan, Nina Pham telah dijangki virus maut itu.
Mereka kini diberi rawatan di AS dan diasingkan daripada pesakit lain. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1017&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3GM1Ub55F 
Hakcipta terpelihara 

Harga minyak dunia terendah

SEBUAH papan tanda memaparkan harga minyak di sebuah stesen minyak di New Jersey, Amerika Syarikat kelmarin. - Agensi


RIYADH – Seorang putera Arab Saudi, Putera Alwaleed bin Talal mengecam Menteri Minyak negara itu, Ali bin Ibrahim Al-Naimi kerana membenarkan harga minyak jatuh di bawah paras AS$100 (RM329.85) setong, lapor akhbar The Telegraph kelmarin.
Putera Alwaleed (gambar kecil) yang juga seorang bilionair dan pelabur dalam sepucuk surat­nya kepada Ali berkata, tindakan Arab Saudi membiarkan harga minyak jatuh di bawah paras AS$100 (RM329.85) setong boleh me­nyebabkan ‘bencana’ terhadap ekonomi negara itu.
Ali, 79, yang sangat dihormati di Arab Saudi mempunyai pengaruh yang amat besar dalam Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).
Beliau sebelum ini memberitahu bahawa tiada sebab untuk bimbang dengan kejatuhan harga minyak masa kini. Harga minyak mentah jatuh ke paras bawah AS$87 (RM286.96) setong selepas Agensi Tenaga Antarabangsa menurunkan ramalan permintaan mi­nyak tahun ini.
Semalam, harga minyak untuk penghantaran November depan susut kepada AS$82.72 (RM272.84) setong, harga paling rendah sejak November 2010.
Permintaan minyak dijangka me­nurun akibat pertumbuhan ekonomi dunia yang rendah selain lebihan bekalan minyak dunia.
Arab Saudi merupakan pengeks­port minyak terbesar dunia dengan pengeluaran sebanyak 12.5 juta tong sehari, sekali gus menjadi negara paling berkuasa dalam OPEC serta pasaran minyak dunia.
Campur tangan Alwaleed dijangka memaksa Opec menurunkan pengeluaran pada mesyuarat akan datang bagi mengatasi kejatuhan harga. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1017&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3GM0l92o7 
Hakcipta terpelihara 

Putin tuduh Obama musuhi Rusia


MOSCOW 16 Okt. - Presiden Rusia, Vladimir Putin menuduh rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat, Barack Obama memusuhi negaranya, sambil memberi amaran terhadap sebarang 'usaha untuk memeras ugut' Moscow.
Putin tanpa berselindung membuat kenyataan itu, sebelum lawatannya ke Serbia, hari ini dan menuntut Washington mengambil kira kepentingan Moscow selepas Obama dalam ucapannya pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyenaraikan 'pencerobohan Rusia' di timur Ukraine sebagai satu ancaman global.
"Bersama-sama dengan sekatan yang dikenakan ke atas semua sektor ekonomi kita, agak susah untuk menyifatkan pendekatan seperti itu, selain permusuhan.
"Kita berharap rakan kita (AS) akan memahami usaha semberono bagi memeras ugut Rusia, (dan) ingat perbalahan antara kuasa-kuasa nuklear boleh menjejaskan kestabilan strategik,'' kata Putin dalam kenyataan yang dikeluarkan Kremlin, semalam. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141017/lu_08/Putin-tuduh-Obama-musuhi-Rusia#ixzz3GLukbd5O
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Taiwan rancang bina pelabuhan tentera di Spratly


GAMBAR yang diambil dari udara merakamkan pemandangan Pulau Itu Aba yang mahu dijadikan sebagai pelabuhan tentera laut oleh Taiwan. - AGENSI
TAIPEI 16 Okt. - Taiwan berhasrat untuk menempatkan kapal tentera lautnya secara kekal di kawasan maritim yang menjadi pertikaian di Laut China Selatan, satu tindakan yang bakal mengundang kemarahan banyak pihak, selepas China mendakwa kawasan tersebut adalah miliknya.
Perebutan ke atas Pulau Spratly yang kaya dengan sumber mineral sering menjadi tumpuan selepas Malaysia, Filipina, Brunei dan Vietnam turut mendakwa pulau berkenaan milik mereka, selain situasi semasa dipantau oleh Amerika Syarikat, gara-gara China membina pelantar minyak di sana.
Ketika ini Taiwan sedang menjalankan kerja-kerja pembinaan pelabuhan di Itu Aba atau turut dikenali sebagai Tai Ping, salah sebuah pulau yang terdapat di Spratly.
Kerajaan Taiwan sebelum ini berkata, pelabuhan tersebut dijangka siap sepenuhnya pada 2015 dan boleh menampung kapal tentera luat seberat 3,000 tan, selain bot pengawal pantai.
Pegawai Pengawal Pantai dan Kementerian Pertahanan Taiwan dalam satu kenyataan bersama berkata, pelabuhan tersebut mungkin dijadikan 'rumah' kekal untuk kapal tentera laut.
"Kami sedang berbincang berhubung perkara tersebut kerana ini merupakan satu isu yang sangat sensitif.
"Tindakan ini diambil untuk mempertahankan kepentingan kami di sekitar Itu Aba," jelas kenyataan berkenaan.
Sementara itu, Menteri Luar China, Wang Yi dalam satu kenyataan berkata, Taiwan dan tanah besar China adalah sebahagian daripada wilayah China dan segala aktiviti relevan yang dijalankan oleh rakyat China di Pulau Spratly tidak akan dihalang. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141017/lu_03/Taiwan-rancang-bina-pelabuhan-tentera-di-Spratly#ixzz3GLtn7vfI
© Utusan Melayu (M) Bhd