Showing posts with label misteri. Show all posts
Showing posts with label misteri. Show all posts

Saturday, July 23, 2011

Kematian pesakit di hospital Britain jadi misteri


DISYAKI KES BUNUH: Seorang pegawai polis mengawal di luar Hospital Stepping Hill di utara England, sedang kes kematian lima pesakit di situ disiasat. -- Foto REUTERS

LONDON: Polis telah menyoal siasat seorang jururawat berusia 27 tahun semalam selepas pesakit kelima meninggal dunia di sebuah hospital Britain.
Rebecca Leighton telah ditahan pada Rabu lalu kerana disyaki membunuh tiga pesakit di Hospital Stepping Hill di Stockport, dengan memberi mereka larutan bergaram, yang telah dicemari dengan insulin.Polis percaya larutan itu sengaja dicemari dan sembilan pesakit lain mungkin terjejas.Salah seorang daripada mereka merupakan pesakit lelaki berusia 41 tahun yang dilaporkan kini berada dalam keadaan kritikal.Para penyiasat kini sedang menyemak kematian yang berlaku di hospital berkenaan sebelum ini bagi mencari sebarang bukti berlakunya perbuatan khianat.'Saya boleh mengesahkan terdapat dua lagi kematian yang dikaitkan dengan siasatan mengenai pencemaran produk perubatan secara sengaja,' kata Penolong Ketua Polis Greater Manchester, Konstabel Ian Hopkins.Seorang lelaki berusia 83 tahun telah meninggal dunia kelmarin sementara seorang wanita berusia 84 tahun meninggal dunia pada 14 Julai lalu.'Ini merupakan satu siasatan yang rumit dan kami sedang menunggu hasil ujian perubatan bagi mengesahkan punca kematian dua pesakit ini,' kata Konstabel Hopkins.Detektif sebelum ini telah mengaitkan kematian seorang wanita berusia 44 tahun dan dua lelaki berusia 84 dan 71 tahun, dengan pencemaran larutan itu.'Tumpuan utama kami buat masa ini ialah mengelakkan para pesakit lain daripada terdedah kepada bahaya, dengan siasatan yang dijalankan diharap dapat mengheret sesiapa yang bertanggungjawab atas tindakan ini ke muka pengadilan,' tambah Konstabel Hopkins.Menurutnya, polis akan turut menyiasat semua kematian yang berlaku sebelum 7 Julai.Minggu lalu, polis telah dipanggil ke hospital itu apabila seorang jururawat mendapati lebih ramai pesakitnya yang mempunyai kadar gula yang rendah tanpa sebarang sebab.Siasatan mendapati 36 sampul larutan bergaram di bilik stor hospital itu telah tercemar dengan insulin.Sejak kes itu disedari, kunci kepada kabinet ubat-ubatan hanya diserahkan kepada seorang kakitangan.Nama kakitangan dan masa ubat itu diberikan kepada setiap pesakit akan turut direkodkan bagi mengetatkan lagi pemantauan. -- AFP.Cyberita Online Luar Negara

Friday, May 20, 2011

Misteri ayam mati terjawab



KUANTAN - Misteri 20 ayam kampung milik Merzuki Mahmud, 58, dari Desa Panching Timur yang mati sejak seminggu lalu akhirnya terjawab apabila perangkap yang dipasangnya mengena seekor kucing hutan.

Menurut Merzuki, sebelum ini dia agak pelik melihat beberapa ekor ayam di reban miliknya mati dengan berlumuran darah serta organ dalamannya hilang.

Oleh itu, dia bertindak melihat reban ayam tersebut lewat malam dan mendapati seekor haiwan seperti kucing sedang enak membaham ayam-ayam miliknya itu.

“Malam seterusnya saya dan isteri tekad memasang perangkap dalam reban tersebut dan menggunakan umpan ayam daging.

“Sebaliknya, kucing hutan ini tidak mahu memakan ayam daging yang dibuat umpan tersebut tetapi terus membaham ayam milik saya.

“Selepas itu, saya ambil seekor bangkai ayam yang dibunuh oleh kucing ini lalu diletakkan di dalam perangkap dan hasilnya kucing hutan ini terperangkap,” katanya.

Sementara itu, dia agak terkejut dengan kemunculan haiwan tersebut yang sememangnya jarang dijumpai dan pada masa yang saya berasa geram kerana hanya tinggal sepuluh ekor sahaja ayam kampung di dalam reban tersebut.

“Saya baru sahaja memulakan ternakan ayam kampung ini beberapa bulan lalu setelah ayam terdahulu mati akibat terkena penyakit.

“Tidak sangka pula, ini dugaan saya pada hari ini membuatkan saya harus lebih berhati-hati lagi dan berharap agar kejadian seumpama ini tidak berlaku,” katanya.

Menceritakan mengenai tabiat kucing hutan ini, ia sememangnya agak garang dan sukar untuk didekati membuatkan Merzuki risau akan keselamatan dirinya.

Setelah berjaya ditangkap di dalam perangkap, kucing hutan ini bertindak agresif membuatkan dia risau sekiranya ia boleh terlepas.

Sementara itu, belakang rumah Merzuki juga merupakan sebuah tanah milik persendirian yang tidak diuruskan dikhuatiri menjadi habitat haiwan ini yang mungkin boleh memakan haiwan ternakan penduduk yang lain.

“Oleh itu, saya harap agar pihak yang bertanggungjawab dapat memantau akan kemunculan haiwan ini.

“Selain itu, mengancam haiwan dan penduduk, kucing haiwan ini juga merupakan spesies yang hampir pupus dan eloklah jika ia diletakkan di tempat yang selamat.

“Mungkin selepas ini saya akan lebih berhati-hati lagi agar kejadian seumpama ini tidak berlaku,” katanya.

Monday, May 16, 2011

Halijah derita penyakit misteri





Aminah Baharum (kiri) menunjukkan penyakit ganjil yang dihidapi anaknya, Halijah Awi di Kampung Pulau Tiga Kiri, Kampung Gajah, Perak, semalam.


KAMPUNG GAJAH 15 Mei - Berat mata memandang berat lagi bahu memikul.
Begitulah penderitaan ditanggung Halijah Awi, 30, yang menderita penyakit ketumbuhan misteri di seluruh badannya sejak berumur lima tahun.
Ketumbuhan misteri yang semakin merebak itu juga menyebabkan wanita dari Kampung Pulau Tiga Kiri di sini, kini hanya mampu melihat dengan sebelah mata kerana mata kirinya membengkak, seolah-olah matanya jatuh ke bawah.
Akibat penyakit misteri itu juga, Halijah terpaksa berhenti sekolah ketika darjah enam kerana tidak tahan ejekan kawan-kawan sekolah.
"Sejak saya dilahirkan, penyakit ini sudah berada di dalam badan saya dan ketika umur lima tahun, saya menyedari penyakit ini telah merebak ke seluruh anggota badan dan rasa gatal-gatal itu lama-kelamaan naik ke muka dan merebak ke bahagian mata.
"Biji-biji ini amat menyiksakan saya kerana ia amat panas dan kadang-kadang terasa amat gatal sehingga saya terpaksa berendam di dalam air selama lima jam untuk meredakannya," kata Halijah ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Menurut Halijah, dia kini cuma berkurung di dalam rumah kerana merasa sangat segan dengan jiran-jirannya disebabkan ketumbuhan tersebut.
"Saya juga ingin mempunyai ramai kawan dan mendirikan rumah tangga seperti orang lain tetapi apakan daya, orang tidak mahu berkawan dengan saya kerana takut melihat rupa saya yang hodoh ini," katanya diiringi air mata.
Sementara itu, ibunya, Aminah Baharum, 54, berkata, banyak usaha telah dibuat untuk mengubati penyakit misteri anaknya itu termasuk berjumpa dengan bomoh tetapi tidak juga sembuh.
"Halijah pernah dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh dua tahun lalu tetapi penyakitnya bukan sahaja tidak sembuh, malah semakin merebak ke seluruh badan sehingga tangannya juga membengkak.
"Lebih membimbangkan saya apabila dua lagi anak saya seakan-akan mendapat penyakit sama apabila mereka turut mengalami gatal-gatal pada badan," ujarnya.
Menurut Aminah, dia sudah kehabisan ikhtiar apatah lagi dengan kekangan kewangan kerana hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM150 sebulan selepas kematian suaminya dua tahun lepas.
"Bantuan dari JKM itu untuk menampung perbelanjaan kami pun tidak cukup. Kadang-kadang kami terpaksa berjimat cermat dengan makan nasi berlaukkan sambal kelapa sahaja untuk meneruskan hidup," katanya.

Thursday, May 12, 2011

Gadis derita penyakit misteri



KUANTAN - “Mak, kenapa sejak akhir-akhir ini Sailaa jalan tak stabil? Ada sahaja benda yang Sailaa akan langgar walaupun dah nampak,” adu Sailaa Alias, 25, kepada ibunya Rasyatinah Yon,48 dua tahun lalu yang menunjukkan petanda awal gadis itu akan menghidap penyakit misteri.

Menurut Rosyatinah, anak kedua dari lima beradik ini yang bekerja di Petaling Jaya sebagai kerani itu sering mengadu kepadanya mengenai keadaan fizikal yang tidak dapat dikawal dan sering terlanggar apa sahaja di hadapannya.

“Itulah petanda awal keadaan dia, dan akhirnya saya suruh dia berhenti kerja kerana keadaan kesihatannya tidak mengizinkan.

“Di rumah, sedikit demi sedikit perubahan fizikal yang dialami Sailaa sehingga di terlantar tidak berdaya seperti sekarang ini. Jika dulu, dia masih boleh menguruskan dirinya sendiri, tetapi sekarang ini nak bercakap pun dia tidak boleh, hanya menggunakan isyarat tangan sahaja,” katanya.

Selain itu, walaupun telah mendapatkan rawatan di hospital, penyakit Sailaa masih belum dapat dikenal pasti menyebabkan dia mengambil keputusan untuk menggunakan kaedah tradisional.

“Pergi ke hospital doktor cakap anak saya tiada apa-apa masalah kesihatan, walaupun sudah terlantar begini, doktor masih tidak dapat kenal pasti apa penyakit yang dihidapi Sailaa.

“Sebab itu saya memilih untuk menggunakan kaedah tradisional dan rata-rata bomoh yang saya temui anak saya ini terkena buatan orang. Percaya atau tidak saya terima kerana kaedah moden tidak dapat menyembuhkan anak saya ini,” katanya.

Seterusnya, Sailaa mendapatkan rawatan alternatif ini tetapi sehingga sekarang ini masih tiada perubahan positif yang berlaku.

Rosyatinah berkata, dia tidak tahu bagaimana Sailaa mendapat penyakit ini kerana dia merupakan seorang yang periang dan baik hati.

Menurutnya, dia sedih jika betul anaknya ini terkena buatan orang kerana Sailaa seorang yang mudah disenangi oleh orang.

“Saya pun bingung memikirkan siapa yang tergamak buat anak saya seperti ini,” katanya yang menumpang tinggal di rumah adiknya di No.23,Lorong 9,Taman Tas di sini.

Selain itu, Rosyatinah juga berharap agar anaknya ini mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membeli keperluan seperti lampin pakai buang dan perubatan.

“Jika ada bantuan tersebut mampu ringankan satu beban yang dialami keluarga saya untuk membeli keperluan Sailaa ini dan saya masih menaruh harapan agar dia akan pulih seperti sedia kala,” katanya.

Tuesday, May 3, 2011

Aiqqal kini rindu pergi sekolah



KEADAAN badan Aiqqal yang kurus ketika diserang penyakit misteri.


KUALA LUMPUR - "Papa, mama, saya mahu lekas ke sekolah." Demikian rayu kanak-kanak penghidap penyakit misteri, Muhammad Aiqqal Azman, 12, yang mahu segera sembuh dan menjalani kehidupan sebagai murid seperti rakan seusianya setelah hampir sebulan tidak ke sekolah.
Ibunya, Wan Zuriati Wan Zulkipli, 37, berkata, anaknya itu kerap menelefon rakan-rakannya pada setiap petang untuk menanyakan mengenai keadaan di sekolah.
"Dia tetap mengulang kaji pelajaran dengan subjek Bahasa Inggeris menjadi kegemarannya agar tidak ketinggalan dalam menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.
"Lagipun, dia seorang aktif dalam aktiviti kokurikulum seperti ahli Pengakap dan seni mempertahankan diri taekwondo," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Saturday, April 30, 2011

Minta bantuan dukun


BANDAR BAHARU: Seorang ketua keluarga kini kehilangan sumber pendapatan apabila tidak mampu menjalankan tugas hakiki sebagai penoreh getah apabila mendakwa diserang penyakit misteri sejak dua bulan lalu.
Isa Ibrahim Sam Hamat, 30, dari Kampung Cherok Meranti, di sini, mendakwa dia mula menyedari diserang lemah badan ketika sedang menoreh getah pada Februari lalu menyebabkannya tidak mampu bergerak dengan kuat.

Menurutnya, dia tidak mengetahui jenis penyakit yang dialaminya, tetapi doktor yang memberi rawatan di Hospital Kulim memaklumkan dirinya tidak mempunyai sebarang penyakit sebaliknya mengalami kekurangan kalsium dalam badan.

Katanya, dia berasa agak pelik kerana keadaan badannya begitu lemah sehingga tidak mampu bekerja menoreh getah sedangkan mempunyai empat anak berusia antara dua bulan hingga 10 tahun yang perlu ditanggung disebabkan isterinya, Salmiah Abdul Rahim, 31, hanya suri rumah.

“Sejak diserang penyakit ini, saya tidak lagi mampu bekerja kerana badan rasa terlalu lemah, malah untuk bangun pun rasa sukar. Malah, saya juga hairan kerana keadaan masih sama walaupun saya makan dalam jumlah banyak.

“Apa yang pelik ialah ketika masuk waktu Maghrib, penyakit ini akan menyerang sehingga saya berasa lemah pada bahagian kiri badan.


“Sebelum ini saya menyara keluarga dengan pendapatan sebagai penoreh getah untuk perbelanjaan dapur dan persekolahan. Namun, selepas diserang penyakit misteri ini, kami kehilangan pendapatan kerana saya tidak boleh bekerja seperti biasa,” katanya.

Isa Ibrahim berkata demikian ketika ditemui selepas dikunjungi wakil Penyelaras Parlimen Kulim/Bandar Baharu, Helmy Abdul Khan yang turut memberi sumbangan.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Cherok Meranti, Shamsul Mat Arif. Menceritakan semula kejadian menimpa dirinya, Isa Ibrahim berkata, dia sedang menoreh getah tiba-tiba berasa pening lalu terus terduduk di pangkal pokok getah tetapi sempat menghubungi abang iparnya menggunakan telefon bimbit yang dibawa.

Menurutnya, abang ipar bersama bapa mentuanya, Abdul Rahim Abu Bakar, 69, pergi ke kebun getah yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya untuk melihat kejadian menimpa dirinya.

“Mereka kemudian memapah saya dan membawa ke rumah sebelum dihantar ke Hospital Kulim untuk pemeriksaan kesihatan dan apa yang pelik, doktor memaklumkan saya tidak mempunyai apa-apa penyakit.

“Sejak kejadian itu, saya tidak boleh berdiri lama kerana akan berasa pening menyebabkan tidak boleh keluar bekerja. Kami sudah berusaha pelbagai cara termasuk menggunakan perubatan secara tradisional, namun penyakit ini masih belum sembuh.

“Justeru, saya berharap ada pihak terutama pengamal perubatan sudi membantu untuk memulihkan penyakit ini kerana menjadi tempat keluarga bergantung,” katanya.

Sementara itu, Helmy berkata, pihaknya akan mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meringankan beban keluarga terbabit, dan mereka yang ingin membantu boleh menghubungi talian 017- 5423245 atau menyumbang ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 08221-29- 00014455-9.

Wednesday, April 6, 2011

Misteri besi dari langit

KLANG: “Sehingga sekarang saya tak tahu apa objek ini. Saya cuba bertanya kawan-kawan, tetapi mereka juga buntu dan membuat andaian masing-masing,” kata Mokhtari Ahmad, 67, menceritakan objek misteri seakan-akan besi yang didakwa ‘jatuh dari langit’ menembusi bumbung rumahnya di Kampung Bukit Kapar, Meru, dekat sini, Ahad lalu.
Mokhtari ketika ditemui di rumahnya semalam berkata, objek berbentuk bulat, berat kira-kira 300 gram dan panjang hampir 20 sentimeter itu jatuh ke dalam rumahnya kira-kira jam 6.30 petang.

“Ia jatuh betul-betul di depan saya. Jika berjalan beberapa langkah ke depan sebelum itu, pasti objek misteri ini tepat mengenai kepala saya.

“Selepas jatuh ia mengeluarkan asap tetapi saya tak berani pegang kerana panas,” katanya di sini, semalam.

Difahamkan, objek misteri itu mengambil masa hampir setengah jam sebelum boleh dipegang dan Mokhtari kemudian membalutnya menggunakan akhbar lama.


Menceritakan lanjut kejadian misteri itu, Mokhtari berkata, ketika itu dia baru pulang ke rumah dari bersiar-siar bersama keluarga di Shah Alam dan ketika kejadian cuaca mendung.

“Ini kejadian pertama berlaku ke atas rumah saya, malah di kampung ini dan sehingga kini ia masih menjadi tanda tanya.

“Ia juga tidak mengeluarkan bau, cuma bila dipegang terdapat kesan terbakar,” katanya.

Dia mendakwa, selepas solat Maghrib di surau, dia memberitahu perkara itu kepada rakan dan mereka tidak tahu menahu objek apa yang jatuh dari langit itu.

“Pagi keesokannya saya membawanya ke Batu 8, di sini dan tunjukkan kepada kawan-kawan dan mereka hanya menggeleng kepala.


“Saya berhasrat untuk menyimpan objek ini kerana ia jatuh secara misteri,” katanya.

myMetro | Misteri besi dari langit

Sunday, December 26, 2010

Kejadian misteri hantui balai



KULIM - Balai Polis Trafik Kulim menyimpan pelbagai rahsia alam mistik terutama bagi anggota yang telah lama bertugas di situ.

Ia mula digunakan pada 1906 oleh British sebelum Jepun menjajah Tanah Melayu.

Menurut beberapa peniaga Cina yang masih menjalankan perniagaan kedai kopi di sekitar Balai Polis Kulim dan kini berusia antara 70 hingga 80an berkata, tapak di mana bangunan balai polis itu dibina sememangnya berpuaka kerana ia merupakan tempat di mana puluhan tali barut British diikat dan kemudiannya ditembak beramai-ramai oleh tentera Jepun.

Walaupun alam tiga dimensi ini sukar untuk dipercayai tetapi ia wujud dan kewujudannya bukan hanya mengganggu manusia malah boleh memesongkan akidah mereka yang terlalu taksub dengannya.

Apabila melangkah merentasi dua bilik air di tingkat bawah bangunan kolonial itu untuk menaiki tangga ke tingkat dua, perasaan aneh mula terasa apabila seperti diekori oleh sesuatu.

Sinar Harian bertemu Sarjan Tengku Abd Aziz Tengku Ayob yang pernah mengalami sendiri pengalaman diganggu oleh makhluk halus dan kehadiran lembaga seorang wanita Cina yang berpakaian cheongsam.

Lebih menakutkan apabila bangunan itu pernah dikejutkan dengan suara wanita mengilai, ketawa dan menangis sekitar jam 1 pagi.

Menurut Tengku Abd Aziz, pada 1906, British telah menjadikan bangunan itu sebagai 'Police Station' dan kemudiannya dijadikan Balai Polis Kulim.

Beliau berkata, bangunan itu kemudiannya diubah dan dijadikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim sehinggalah terbinanya bangunan IPD sekarang ini pada 2000.

"Apabila berpindah ke bangunan baru, bangunan lama ini ditinggalkan begitu sahaja dan sekarang ini dijadikan Ibu Pejabat Polis Trafik Kulim.

"Masalah gangguan makhluk halus berlaku sejak dulu dan ia semakin memuncak sekitar 1995. Ketika itu seluruh anggota polis yang bertugas heboh memperkatakan tentang kewujudan seorang wanita Cina berpakaian cheongsam dan ia sering menunjukkan diri. Apabila diekori, wanita itu akan hilang dan disusuli dengan suaranya ketawa dan menangis," katanya.

Menurutnya, lembaga wanita Cina itu mungkin merupakan salah seorang mangsa kekejaman penjajah dan mungkin dia dibunuh secara kejam.

"Ia akan menarik perhatian anggota yang bertugas dan seakan-akan ingin memberitahu sesuatu dan meminta pertolongan.

“Antara kejadian yang tidak dapat saya lupakan adalah ketika bertugas di hari pilihan raya 1998. Saya dan beberapa anggota lain terpaksa bertugas dan tidak balik ke rumah. Ketika saya sedang mandi, saya terdengar suara wanita mengilai dengan kuat di bilik air di tingkat bawah meminta tolong. Saya yang curiga dengan suara itu telah membuat pemeriksaan tetapi tidak ada sesiapa di dalamnya.

"Sehingga ke suatu tahap di mana anggota takut untuk bekerja pada waktu malam kerana sering di ganggu dengan bunyi orang berkawat di dalam pejabat. Selain itu banyak lagi kejadian aneh yang berlaku,” katanya.

Menurutnya, pada 2001, Ketua Balai Polis Trafik Kulim pernah diganggu oleh makhluk halus atau mistik ketika bertugas di pejabatnya kira-kira jam 1 pagi.

Katanya, ketika kejadian itu, ketua balai berkenaan bekerja bersendirian di biliknya.

"Dia kemudiannya terdengar bunyi orang berjalan di luar pejabat seakan–akan sedang berkawat dan tiba-tiba pintu bilik pejabatnya tertutup serta dikunci dari luar. Menyedari tidak ada sesiapa ketika itu di tingkat atas melainkan dia seorang, dia mengambil pendekatan memujuk makhluk halus yang tadinya mengganggunya untuk membuka pintu. Tidak lama kemudiannya, pintu pejabatnya terbuka dengan sendiri," katanya.

Menurutnya, gangguan makhluk halus ini bukan sahaja berlaku di pejabat tetapi ada dalam kalangan anggota yang diikut sehingga balik ke rumah.

Sementara itu, masalah ini sudah dimaklumkan kepada Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh dan beliau telah mengadakan bacaan Yasin, solat hajat dan tahlil di tingkat dua bangunan itu pada Ramadan lalu.

Walaupun gangguan makhluk halus telah berkurangan selepas majlis itu diadakan tetapi ia masih ada di mana kadangkala telefon akan berbunyi tetapi apabila diangkat tidak ada sesiapa yang bercakap.

Sehingga kini kemunculan dan kewujudan kejadian mistik yang menghantui Balai Polis Trafik Kulim masih menjadi tanda tanya.

Friday, July 9, 2010

Dari mana hang mai ni?

Misteri dua wanita berselimut 

KUALA TERENGGANU – Kehadiran dua wanita misteri berusia antara 30 dan 40-an di sekitar Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menimbulkan rasa kurang selesa kepada orang ramai, khususnya penumpang yang ingin menaiki bas di kawasan itu. 

Kedua-dua wanita tersebut dilihat tanpa segan silu menjadikan bangku tempat menunggu bas sebagai katil sementara untuk tidur. 

Seorang peniaga yang hanya mahu dikenal sebagai Siti, berkata, perbuatan dua wanita itu sudah lama ‘bermastautin’ di kawasan hentian bas itu. 

“Malah, mereka berdua akan tidur di bangku tersebut sambil menutup bahagian kepala dengan kain sehingga waktu tengah hari tanpa menghiraukan bunyi bising dan kehadiran orang ramai.

Monday, June 14, 2010

Pasangan pasrah 3 anak hidap penyakit misteri





MOHD. Badli, Mohd. Sayydan (tengah) dan Mohd. Hashim (belakang) ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Bukit Kemuntung, Alor Keladi, Jertih, baru-baru ini.


BESUT 13 Jun – Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Dikurniakan anak istimewa mungkin ujian yang cukup berat bagi sebuah keluarga namun pasangan suami isteri, Suhaimi Hassan, 46, dan Noraidah Kadir, 42, pasrah menerimanya.
Bukan seorang malah tiga daripada sembilan cahaya mata mereka merupakan anak istimewa.
Demi kasih sayang terhadap anugerah Allah itu, mereka tidak pernah mengeluh apatah lagi mahu menyalahkan takdir.
Menurut Suhaimi, dia sememangnya tidak pernah menyangka ketiga-tiga anak lelakinya akan menimpa nasib yang sama iaitu disahkan menghidap sejenis penyakit misteri ketika berusia enam hingga 10 tahun.
Ketika kecil, katanya, mereka bertiga iaitu Mohd. Sayydan, 18, Mohd. Badli, 14, dan Mohd. Hashim, 12, seperti kanak-kanak normal lain namun mula berubah apabila menjangkau usia enam tahun.
“Bagi Sayydan, ketika lahir dia normal namun ketika usianya sembilan tahun bahagian buku lalinya mula bengkak sehingga sukar berjalan.
“Dia sering terjatuh di sekolah malah terpaksa dibantu rakan-rakan untuk menaiki tangga ke kelas,” kata bekas tentera itu ketika ditemui di Kampung Bukit Kemuntung, Alor Keladi, Jertih dekat sini baru-baru ini.
Penyakit Mohd. Sayydan semakin serius sehingga berpapah dan berpaut pada dinding untuk berjalan menyebabkan dia terpaksa diberhentikan sekolah.
“Rawatan demi rawatan kami cuba termasuk bomoh namun tiada ubat yang mampu menyembuhkannya,” ujarnya.
Menurutnya, anak keempat pasangan itu, Mohd. Badli juga menerima nasib yang sama apabila lebih awal disahkan menghidap penyakit tersebut iaitu ketika berusia setahun.
Ujian terus datang bertimpa apabila anak kelima pasangan itu, Mohd. Hashim pula mengalami masalah yang sama ketika berusia lapan tahun walaupun sebelum itu sangat aktif bergerak.
Berbanding dua abangnya yang kini terlantar, Mohd. Hashim agak bertuah kerana masih mampu mengesot.
Noraidah bagaimanapun bersyukur apabila dua lagi anak lelakinya iaitu Mohd. Shalihin, 15, dan Mohd. Hanif, 10, selain tiga anak perempuannya iaitu Nor Syaima Amirah, 17, Siti Syazwani, 8, dan Nik Safia, 1, normal.
Bagaimanapun, penderitaan tersebut seakan-akan tidak berakhir apabila anak ketujuh mereka, Mohd. Nashirudin, 6, juga mungkin menerima nasib yang sama apabila mula menunjukkan tanda-tanda serangan penyakit tersebut.
“Doktor pernah memaklumkan anak-anak kami ini menghidap Duchenna muscular dystrophy iaitu sejenis penyakit yang berkaitan sendi dan genetik.
“Tiada ubat yang boleh menyembuhkan penyakit tersebut selain kuasa Allah sahaja, jadi kami reda dengan keadaan ini,” jelasnya.
Sementara itu, Suhaimi mengakui menjaga ketiga-tiga anaknya itu tidak rumit apabila mereka boleh makan dan minum apa sahaja, namun keperluan lampin pakai buang menyebabkan kos yang tinggi terpaksa disediakan.
Jelasnya, dua anaknya itu terpaksa menggunakan lampin pakai buang dua hari sekali menyebabkan peruntukan sebanyak RM120 sebulan perlu disediakan hanya untuk lampin berkenaan.
“Kami bersyukur kerana menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM600 sebulan untuk menampung keperluan seharian selain terpaksa menggunakan duit pencen.
“Setakat ini saya tidak boleh bekerja kerana sukar untuk ibunya seorang diri menguruskan ketiga-tiga anak kami itu,” ujarnya.
Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Suhaimi di talian 019-947 1485.

Tuesday, April 13, 2010

Misteri Pembunuhan Kejam Ibu Saudara Rosmah



Oleh: Warpaq

Minggu lalu negara digemparkan dengan berita empat beranak ditemui mati, termasuk seorang tanpa kepala, dalam insiden pembunuhan kejam di dua buah rumah berasingan yang terletak diberdekatan di Kampung Batang Rokan, Gemencheh.

Rupa-rupanya salah seorang mangsa pembunuhan kejam tersebut adalah Allahyarhamah Sofiah Katas yang merupakan ibu saudara kepada isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor. Sofiah Katas, 80 tahun, salah seorang yang dibunuh kejam itu ialah adik kepada Mansor Katas iaitu bapa kandung Rosmah sendiri.

Mangsa lain dalam pembunuhan kejam itu ialah Atan Daud, 90, (suami Sofiah) yang juga bekas imam masjid kampung berkenaan dan Ismail Awang, 76, serta anaknya Siti Khadijah Ismail, 22.

Malangnya diberitakan Rosmah langsung tidak menjengukkan muka menziarahi keluarga ibu saudaranya sendiri yang dibunuh kejam itu!

Dan kelmarin, seorang wartawan akhbar PKR Suara Keadilan Abdul Qayum Abdul Rahman yang cuba merungkai misteri kematian Sofiah dan mengapa Rosmah tidak menziarahi keluarga si-mati telah mendakwa beliau diugut polis sebaik saja selesai mewawancara seorang wanita bernama Saharah yang merupakan saudara kepada Sofiah dan sepupu kepada Rosmah.

Abdul Qayum mendakwa di dalam Malaysiakini, selepas mengetahui beliau seorang wartawan Suara Keadilan, seorang lelaki dikenali sebagai Muhammad memaksanya menyerahkan kad pengenalan dan mengambil nombor pendaftaran keretanya. Beliau turut merampas nota penulisan Qayum dan memadam semua rakamannya dengan Saharah. Muhammad juga turut merampas semua dokumen pengenalan Qayum, tanpa mendapat kebenarannya. Semua insiden tersebut diperhatikan oleh sekumpulan polis yang menunggu dan mengawal di luar rumah Saharah. Pihak polis dan Muhammad kemudiannya mengugut mahu mencari wartawan itu dan keluarganya dengan apa cara sekalipun jika temu bual tersebut disiarkan dalam Suara Keadilan.

Tiada siapa dapat meneka mengapa Rosmah sampai tergamak tidak menziarahi kematian ibu saudaranya sendiri. Juga tidak diketahui mengapa Rosmah begitu takut jika Suara Keadilan mendedahkan mangsa pembunuhan kejam itu ialah ibu saudaranya. Apa yang hendak Rosmah malukan, jika dia sendiri tiada kaitan dengan pembunuhan yang menggemparkan di mana suspek utamanya ialah seorang pemuda yang digambarkan kadang-kadang kurang siuman? Atau mungkin dia malu jika rakyat 1Malaysia tahu Rosmah mempunyai saudara mara yang kurang siuman? Mungkin Rosmah yang sebelum ini pernah dikaitkan dengan pembunuhan kejam Altantuya tidak mahu dikaitkan dengan satu lagi pembunuhan yang lebih kejam dari itu yang melibatkan saudara maranya sendiri!

Baru kelmarin akhbar-akhbar kita cuba membina karektor baik untuk Rosmah dengan memuji setinggi langit peranannya membebaskan seorang pelajar Malaysia yang ditahan oleh pihak berkuasa Mesir yang terbabit dalam misi memberi bantuan makanan kepada rakyat Gaza. Tapi manusia berkarektor baik itu tidak sanggup menziarahi ibu saudaranya sendiri yang dibuniuh secara sangat kejam! Dan manusia berkarektor baik itu juga telah mengarahkan polis untuk menghalang sesiapa saja dari mendedahkan dia mempunyai pertalian saudara dengan adik kandung ayahnya sendiri.

Patutlah 2 hari selepas pembunuhan kejam itu, polis membuat kenyataan kes pembunuhan itu telah selesai. Cepatnya!! Rupanya mereka tidak mahu rakyat Malaysia mengingati pembunuhan itu lagi kerana salah seorang mangsanya ialah ibu saudara Rosmah sendiri!
Saya percaya wartawan Suara Keadilan yang baru sebulan menyertai akhbar itu pasti tidak melupakan pengalaman diugut polis di Gemencheh itu seumur hidupnya!