SEOUL 1 Okt. - Korea Selatan hari ini mempamerkan peluru berpandu balistik Hyeonmu-2 dan Hyeonmu-3 yang direka untuk menyasarkan meriam dan peluru berpandu jarak jauh Korea Utara.
Seoul pada masa sama berikrar untuk meningkatkan usaha pencegahan terhadap jiran mereka yang sukar diramal itu.
Peluru berpandu Hyeonmu-2 dan Hyeonmu-3, masing-masing dengan kemampuan jarak sejauh 300 kilometer dan 1,000 kilometer dipamerkan kepada khalayak umum buat pertama kali pada satu perarakan tentera Korea Selatan yang jarang diadakan.
Kedua-dua peluru berpandu buatan tempatan itu mula didedahkan pada Februari lalu apabila Korea Utara mengadakan ujian peluru berpandu yang mengingkari amaran antarabangsa, dua bulan selepas kejayaan mereka melancarkan roket jarak jauh dan menghantar objek ke angkasa lepas.
"Kita mesti membina satu pencegahan anti-Korea Utara yang kuat sehingga negara itu menggugurkan senjata nuklearnya dan membuat pilihan yang tepat untuk rakyatnya dan keamanan semenanjung Korea,'' kata Presiden Korea Selatan, Park Geun-hye semasa satu perbarisan sempena ulang tahun ke-65 penubuhan Angkatan Tentera Korea Selatan.
Turut hadir, Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Chuck Hagel yang menyaksikan perarakan itu dari sebuah podium di lapangan terbang tentera di selatan Seoul.
Hagel yang dalam rangka lawatan empat hari ke Korea Selatan, turut melawat sempadan negara ini, semalam.
Menurutnya, AS tidak mempunyai rancangan untuk mengurangkan jumlah tentera Amerika di Korea yang kini berjumlah 28,500 orang.- REUTERS
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131002/lu_06/Korea-Selatan-pamer-peluru-berpandu#ixzz2gZxTXSGP
© Utusan Melayu (M) Bhd