TEMERLOH, 31 Okt: PAS mengalu-alukan pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mencadangkan agar sebahagian kecil kutipan zakat dari negara Islam kaya diberi kepada negara miskin atau rakyat miskin di negara lain.
'via Blog this'
Saya sedang berada di Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford (OCIS). Hadir ke sini di bawah program visiting research scholar(sarjana penyelidik pelawat) selama sepuluh bulan.
Saya pernah datang ke sini dulu sekadar melawat kawan-kawan. Tidak sangka pula, ada peluang datang pula untuk buat kajian di sini dengan agak lama, berserta sedikit elaun yang diberikan oleh British Council.
Saya tinggalkan Malaysia dalam keadaan ramai yang menasihati bahawa sekarang bukan masa yang sesuai. Kebanyakan alasan mereka; pilihan raya sudah dekat. Duta British juga kata begitu kepada saya.
Padahal, saya seperti rakyat marhaen yang lain tidak terlibat dengan pilihan raya melainkan sekadar seorang pengundi biasa. Itu bukan alasan yang kukuh. Saya ingin terus mengembara selagi mampu. Mengutip bekalan selagi ada upaya membawanya.
Merentasi denai dan lurah. Mendaki gunung dan cuba menggapai awan, jika diizinkan Allah. Biarlah apa tafsiran orang terhadap kehidupan kita, selagi insan berpaksikan Tuhan, dia akan melihat keindahan dimensi hidup dalam pelbagai spectra dan rupa.
Ini tulisan pertama saya di sini. Saya belum mahu mula. Saya hanya mahu meletakkan satu mukadimah yang boleh kita kongsi bersama mengenai kehidupan. Sesuatu yang kita semua alami dan rasai.
Allah menyuruh kita mengawal diri sendiri dan membetulkan keadaan dengan kadar kemampuan dan ruang yang kita miliki. Namun, tiada siapa dalam kalangan makhluk yang dapat memastikan episod-episod dalam perjalanan hidup.
Misteri kehidupan
Ya, hidup penuh keajaiban. Penuh misteri yang tersimpan di sisi Ilahi. Ada perkara yang insan jangka dan sangka, ia tidak berlaku. Ada perkara yang tidak diduga ia menjelma dalam pelbagai rupa dan warna. Tiada siapa boleh menyatakan yang dia menguasai perjalanan kehidupannya. Tidak! Sama sekali tidak!
Dia mungkin menguasai dirinya bukan perjalanan hidupnya. Dalam alam ini yang penuh dengan pelbagai watak, episod, musim dan rasa, maka tiada siapa yang berkuasa melainkan Allah. Manusia merancang dan mengatur. Ada kala rancangan itu berjaya, ada kala gagal, ada kala berubah arah dan pelbagai lagi.
Dunia ini bukan kita saja yang menghuninya; insan lain, alam sekeliling dan segala yang wujud. Semuanya mempunyai agenda mereka yang tersendiri. Kadang-kala agenda itu bersaing dengan hasrat kita. Mungkin kita menang, atau kalah. Atau tiada siapa yang mendapatnya. Atau semua mendapat ruang dan peruntukan masing-masing.
Itulah kehidupan. Sebab itu kita disuruh bertawakkal iaitu setelah berusaha semampunya hendaklah berserah pasrah dan menggantungkan segala doa dan harapan kepada-Nya.
Firman Allah (maksudnya): "...dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari masalahnya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang dia tidak sangka.
"Dan sesiapa bertawakal kepada Allah, maka cukuplah Allah itu baginya (untuk menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala urusanNya. Allah telahpun menentukan kadar bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu." (Surah al-Talaq: 2-3).
Kudrat Tuhan
Ya, sesiapa yang bertawakal kepada Allah, maka cukuplah Allah sebagai pengatur urusannya. Ketika menyerah pasrah dirinya kepada Allah, insan mungkin mempunyai pelbagai bayangan bagaimana kehendak atau hajatnya akan tercapai.
Namun kuasa, kudrat dan kehendak Allah merentasi segala bayangan dan igauan insani.
Dalam menunai hasrat seseorang insan, Allah kadang-kala takdirkan pelbagai kejadian dan episod hidup agar insan belajar, mendapat ganjaran pahala, menemui pelbagai hikmat dan menjadi hamba yang lebih bersyukur dan akur dengan keagungan-Nya.
Cara sesuatu hasrat itu muncul dan menjelma juga, tidak semestinya sama. Pelbagai warna dan rupa. Mungkin insan ingin sesuatu, Allah gantikan yang lain yang lebih baik daripadanya.
Mungkin insan tidak tahu kejelekan di sebalik sesuatu yang indah pada matanya sehingga dia mengidamnya.
Apabila insan menyerah diri kepada Tuhan dengan jiwa yang luhur dan akur, Allah akan memberikan ganti yang lain, yang mungkin insan kurang suka, tapi itu lebih baik untuknya.
Demikian Allah menegaskan (maksudnya):"...dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya". (Surah al-Baqarah: 216).
Hanya pada tangan-Nya kekuasaan mutlak terhadap perjalanan alam ini. Jika Dia mahu memberikan sesuatu, tiada siapa yang dapat menghalang-Nya. Jika Dia mahu menghalang sesuatu, tiada siapa yang memberikannya.
Dia Maha Berkuasa menghadirkan hajat seseorang insan dalam pelbagai bentuk dan rupa, jalan yang disangka dan yang tidak diduga.
Dia Maha Mengetahui apa yang terselit dalam benak insani ketika seseorang itu mengadu kepada-Nya. Padahal kadang-kala insan itu sendiri alpa dan lupa hasratnya yang sebenar.
Allah mungkin menunaikan hasrat yang tersirat walaupun tidak dalam gambaran yang tersemat. segalanya atas rahsia alam atau hikmat kehidupan yang Allah Maha Tahu.
Apa yang penting Allah tidak mensia-siakan hamba yang bertawakal kepada-Nya. Percaya, jika kita serahkan jiwa raga dengan penuh pasrah kepada Allah, harinya akan menjelma dalam pelbagai bentuk dan rupa. Kebahagiaan itu jika Allah berikan tiada siapa yang dapat merampasnya dalam dada kita, sekalipun tubuh diluka dan dipenjara.
Sengsara jika Allah campakkan kepada kita, tiada harta yang dapat menghalangnya, tiada wanita yang dapat menceriakannya dan kuasa yang dapat menangkisnya. Percayalah, dan berjalanlah atas keimanan itu menelusuri diari kehidupan ini.
Hidup ini kembara
Setiap insan mengembara di mayapada ini. Samada dia pernah keluar dari daerahnya ataupun tidak. Dia bagaikan pengembara. Perjalanan diari hidupnya sendiri yang bermula dari hari dilahirkan sehingga menemui kematian. Berjumpa dengan pelbagai watak dan bertemu dengan pelbagai episod dalam hayatnya.
Dalam menelusuri rantai-rantai hari yang datang pergi, insan disuruh mengabdikan diri kepada Ilahi. Melakukan yang disuruh dan meninggalkan yang dilarang. Insan itu insan. Akan ada episod duka, salah, silap dan episod suka, benar dan tepat.
Ada kala dosa, ada kala pahala. Itulah insan. Namun, dalam kembaranya hendaklah dia pastikan kesilapan akan diikuti dengan pembetulan, dosa diikuti dengan istighfar dan taubat. Pastikan kebaikan yang mengusai dirinya, sementara kejahatan sesuatu yang asing dan terpencil.
Pastikan dalam kembara hidup ini dia tidak membawa beban yang menyukar dia pulang ke pangkuan Tuhan.
Sabda Nabi SAW: "Ada apa aku dan dunia ini! Tiadalah dunia dan aku ini melainkan seperti seorang pengembara yang berlindung dari panas di bawah sepohon pokok, kemudian pergi meninggalkannya". (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).
Walaupun hidup menyerupai sebuah kembara, insan disuruh pula untuk mengembara melihat alam ciptaan Allah. Mengambil iktibar dari pelbagai kejadian dan peristiwa.
Begitu banyak ayat dalam al-Quran, Allah menyebut "Tidakkah kamu lihat?!" dan "berjalanlah kamu di bumi".
Pelbagai perkara al-Quran menyuruh kita lihat; gunung-ganang, peristiwa lampau dan lain-lain. Demikian dalam riwayat al-Bukhari bagaimana Jabir bin ‘Abdillah menyembara selama sebulan untuk mendapat sebuah hadis sahaja daripada Abdullah bin Unais.
Maka saya terus mengembara lagi dan mengulangi ungkapan Abu Firas al-‘Amiri yang dikenali dengan Majd al-‘Arab:
"Berpisahlah, nescaya kau dapati ganti orang yang kau tinggalkan. Mengembaralah di bumi, nescaya kau temui petunjuk dalam perjalanan itu. Singa jika tidak meninggalkan hutannya, tidak akan garang. Anak patah jika tidak meninggalkan busarnya tidak akan mengena sasaran". (Fawat al-Fawayat 3/87, Beirut: Dar al-Sadir).
PENAMPANG - Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan mencadangkan agar kerajaan membatalkan semua kad pengenalan atau MyKad yang diperolehi oleh pendatang asing secara meragukan.
Beliau berkata langkah ini perlu bagi menangani isu 'Projek IC' yang sering dibangkitkan oleh pelbagai pihak di negeri ini termasuk pembangkang.
Pairin berkata PBS juga mahu supaya proses penukaran kad pengenalan baru yang bakal dilaksanakan tahun depan diperjelaskan tujuannya.
"Kita tidak mahu proses ini digunakan untuk menghalalkan pemegang-pemegang kad pengenalan atau MyKad yang diperolehi secara meragukan terutama di Sabah.
"Kita mahu dokumen tambahan atau sokongan seperti surat beranak disertakan dalam proses penukaran kad pengenalan nanti. Ini bagi memastikan hanya orang yang benar-enar layak atau orang tempatan sahaja yang memperolehi kad pengenalan baru," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden sempena Persidangan Perwakilan PBS ke-26, di Dewan KDCA, di sini, semalam.
Beliau berharap kerajaan Persekutuan menerima baik cadangan PBS agar Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah ditubuhkan tahun depan.
Pairin berkata PBS juga mahu pewujudan konsulat Filipina di Sabah disegerakan bagi memudahkan proses pendokumentasian perjalanan warga negara itu di negeri ini.
Mengenai pilihan raya umum yang ke-13, beliau berkata PBS yakin akan menyumbang kepada kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) di kesemua kerusi yang diperuntukkan kepada parti itu.
SEPANG 31 Okt. - Lebih 1,000 orang membanjiri Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini, untuk menghantar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menunaikan ibadah haji ke tanah suci Mekah.
Najib yang akan berada di Mekah sehingga 9 November ini ditemani isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dan adiknya Datuk Mohamed Nazim Tun Razak.
Rombongan Perdana Menteri dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Madinah terlebih dahulu sebelum berangkat ke Mekah bagi mengerjakan rukun Islam kelima itu.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.
Beberapa menteri Kabinet turut kelihatan antaranya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamad.
SHAH ALAM 31 Okt. - Pengarah Ditamas Sdn. Bhd., Shamsuddin Hayroni didakwa membeli dua lot tanah termasuk sebuah rumah banglo di Jalan Suasa 7/1L di sini pada harga jauh lebih tinggi berbanding nilai pasaran daripada pemilik asal hartanah.
Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, Shamsuddin membeli hartanah itu daripada Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Permodalan Kebangsaan Bhd, Saiful Aznir Shahabudin, pada harga RM6.5 juta berbanding nilai pasaran sebanyak RM4.3 juta.
Saksi keempat pembelaan, Irhamy Ahmad, seorang jurunilai hartanah profesional dari Irhamy & Co. berkata, harga belian itu tidak berpatutan dengan nilai pasaran yang ditafsirkan oleh syarikatnya pada 10 Mei 2005.
"Sebelum saya membuat penilaian, saya terima salinan dokumen perjanjian jual beli yang dibuat antara Shamsuddin dan Saiful Aznir yang menyatakan nilai RM6.5 juta dan berpendapat ia terlalu tinggi," katanya ketika menjawab pertanyaan peguam Dr. Mohamed Khir, Datuk Jaharbedeen Mohamed Yunoos.
Irhamy berkata demikian ketika memberi keterangan pada perbicaraan bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo yang membela diri atas tuduhan mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Zaharah Kechik, 45, dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8 & 10, Jalan Suasana 7/1L, Seksyen 7, daripada Shamsuddin dengan harga RM3.5 juta.
Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr. Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau sebagai Menteri Besar Selangor ketika itu.
Dr. Mohamad Khir yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, di sini pada 29 Mei, 2007.
Mengulas lanjut, Irhamy bagaimanapun berkata, salinan dokumen perjanjian jual beli itu tidak sama sekali mempengaruhi proses penilaian yang dibuat terhadap hartanah terbabit.
Irhamy berkata, beliau membuat penilaian berdasarkan kaedah perbandingan dengan mengambil kira harga hartanah di kawasan setempat.
Katanya, beliau merujuk kepada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Hartanah sebagai sumber utama bagi menentukan nilai pasaran hartanah terbabit yang turut dilengkapi sijil layak diduduki (CF).
Katanya, prosedur itu diiktiraf dan diterima pakai oleh pihak seperti Royal Institution of Chartered Surveyors dan Malaysian Development Standards.
"Saya melihat keadaan rumah lengkap semasa saya pergi untuk membuat penilaian terakhir bagi hartanah itu," katanya.
Irhamy berkata, pihaknya mengendalikan hampir 50 kes penilaian hartanah sebulan, dan sehingga kini telah mengendalikan 8,000 kes yang 80 peratus daripadanya merangkumi rumah kediaman.
Sementara itu, Choy Yue Kwong, pengarah urusan syarikat penilai profesional Rahim & Co. berkata. pihaknya menilai hartanah itu pada harga RM3.5 juta ketika penilaian dibuat pada 14 Mei 2007.
Katanya, sebelum penilaian dilakukan pada hari berkenaan, beliau sempat bertemu dengan Dr. Mohamad Khir di kediaman rasminya di Seksyen 7.
"Saya tidak tahu pemilik rumah itu apabila pemeriksaan dilakukan untuk tujuan penilaian. Ketika itu bangunan itu sedang dalam pembinaan semula," katanya.
Ditanya oleh Jaharbedeen sama ada tawaran RM5.5 juta untuk membeli hartanah itu adalah jumlah yang berpatutan, Choy berkata: "Nilai pasaran adalah RM3.5 juta dan tidak ada sebab untuk membeli pada kadar RM5.5 juta. Sekiranya itu, anda tidak berhemat."
Shamsuddin pernah menawarkan harga RM5 juta hingga RM5.5 juta kepada Dr. Mohamad Khir untuk membeli hartanahnya dengan alasan pihaknya ingin menawarkan diskaun kepada beliau.
Mohd. Dusuki Mokhtar mewakili pihak pendakwaan pada prosiding hari ini yang didengar di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtaruddin Baki.
Perbicaraan bersambung esok. - Bernama