Saturday, May 21, 2011

Israel mahu bina lebih 1,500 rumah haram di Bailtumaqdis



BAITULMAQDIS 20 Mei - Israel semalam meluluskan pembinaan lebih 1,500 unit rumah haram Yahudi di timur Baitulmaqdis, ketika Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu dijadual ke Washington untuk satu rundingan damai Israel-Palestin bersama Amerika Syarikat (AS), Presiden Barack Obama.
Jurucakap pertubuhan bukan kerajaan Ir Amim yang menyeru perkongsian Baitulmaqdis antara rakyat Palestin dengan rejim Zionis itu mengesahkan, jawatankuasa perancangan Kementerian Dalam Negeri Israel telah memberi lampu hijau untuk dua projek pembinaan baru tersebut.
Ia membabitkan pembinaan 620 unit penempatan haram Yahudi di kawasan kejiranan Pisgat Zeev dan 900 unit lagi di Har Homa.
Keputusan itu dibuat beberapa jam sebelum Netanyahu dijadual berlepas ke Washington untuk bertemu Obama di White House hari ini.
Palestin mengutuk keputusan itu dengan menyifatkannya sebagai respons kepada ucapan Obama malam tadi yang pertama kali menyatakan sempadan Israel dan Palestin pada masa depan sepatutnya dibuat berdasarkan sempadan 1967 selain membabitkan pertukaran tanah.
"Keputusan Israel itu merupakan respons kepada ucapan Obama," kata jurucakap Presiden Mahmoud Abbas, Nabil Abu Rudeina kepada AFP.
Beliau turut meminta pentadbiran Obama 'meletakkan tanggungjawab ke atas Israel berikutan kegagalan rundingan damai'.
Ucapan terbuka Obama malam tadi di Jabatan Negara itu turut menyatakan masyarakat dunia sudah jemu dengan proses damai Israel-Palestin yang masih belum menemui penyelesaian sehingga ke hari ini. - AFP

Abu Sayyaf tuntut wang



ZAMBOANGA , Filipina 20 Mei - Anggota militan di selatan Filipina yang menculik seorang ahli perniagaan Malaysia, Mohammad Nazaruddin Saidin, dilapor meminta wang tebusan sebanyak lapan juta peso (RM558,000), kata polis tempatan hari ini.
Ketua Polis wilayah, Felicisimo Khu berkata, kumpulan Abu Sayyaf yang menculik rakyat Malaysia itu pada 7 Mei lalu dilapor meminta wang tebusan tersebut dari seorang pegawai konsul Malaysia di negara ini.
Ahli perniagaan cicak tokek berusia 38 tahun itu sebelum ini dikenal pasti pihak berkuasa Filipina sebagai Mohammad Nasaruddin Bensaidin dan dia diculik sekumpulan 10 lelaki bersenjata berhampiran bandar Indanan di Pulau Jolo, selatan negara ini.
Khu berkata, perkara itu dimaklumkan pegawai konsul Malaysia tersebut kepada polis Indanan hari ini.
Katanya, tebusan kini ditempatkan di sebuah kampung berhampiran yang tidak dinyatakan lokasinya.
Tambah beliau, nasib rakyat Malaysia yang berasal dari Sungai Buloh, Selangor itu juga masih belum diketahui.
Jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Randolph Cabangbang sebelum ini berkata, Mohammad Nazaruddin diculik selepas berada di pulau itu selama sebulan.
Ditubuhkan pada 1990-an dengan wang pembiayaan dari jaringan al-Qaeda pimpinan Osama bin Laden, Abu Sayyaf mengaku bertanggungjawab di atas serangan-serangan keganasan Filipina termasuk pengeboman feri 2004 yang mengorbankan lebih 100 nyawa.
Kumpulan militan itu juga dipertanggungjawabkan di atas beberapa kes penculikan melibatkan rakyat asing, ahli perniagaan tempatan dan mubaligh bagi mendapatkan wang tebusan. – AFP

Polis Thai bunuh empat disyaki militan



AHLI keluarga empat lelaki yang disyaki sebagai anggota pemisah meratapi kematian mereka yang dibunuh tentera Thai di wilayah Yala, Thailand, semalam. - REUTERS


YALA 20 Mei – Empat orang disyaki militan terbunuh dalam pertempuran 10 minit dengan tentera dan polis di Yala hari ini.
Timbalan Ketua Polis Yala Kol Peera Boonliang berkata, insiden berbalas tembakan itu berlaku setelah militan terbabit enggan menyerah diri selepas rumah mereka di daerah Tharn To, Yala, dikepung oleh tentera dan polis pada 6.30 pagi.
“Mereka yang mula melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan. Kami kemudian membalasnya,” katanya.
Mangsa yang terbunuh dikenal pasti sebagai Arsae Hulu, 30, Masawbee Arsue, 28, dan Muhammad Orlee, 28. Identiti mangsa keempat masih belum diketahui.
Beliau berkata pasukan keselamatan turut menemui dua laras raifal AK47, dua pucuk pistol .38 dan peluru di rumah itu.
Lebih 4,000 orang terbunuh sejak puak disyaki pemisah meneruskan kempen bersenjata mereka untuk menuntut kemerdekaan bagi tiga wilayah iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala.
Sementara itu, dua kejadian letupan berkembar berlaku di Narathiwat mengakibatkan sembilan penduduk kampung dan pegawai polis cedera, tatkala bom motosikal disusuli bom lebih besar meletup ketika polis cuba menutup kawasan itu.
Sepuluh buah rumah musnah dalam serangan letupan yang kedua.
“Ia jelas menunjukkan letupan pertama bertujuan untuk menarik perhatian pihak berkuasa ke kawasan kejadian sebelum serangan bom kedua yang lebih kuat,” kata polis. – AFP

Waris Alice Shan Zhong dicari



Alice Shan Zhong


KUCHING 20 Mei - Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian (JKMB) Kuching meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan ibu atau waris kepada kanak- kanak bernama Alice Shan Zhong, 3, yang diserahkan kepada seorang wanita untuk dijaga tiga tahun lalu.
Pihak jabatan dalam satu kenyataan memberitahu, usaha mencari ibu kandung dilakukan penjaganya, Tee Lee Jung sejak 2008 gagal sehingga menyukarkan urusan pendaftaran sijil kelahiran dan proses mengambil kanak-kanak itu sebagai anak angkat.
“Pada 19 Februari 2008, Alice diserahkan oleh ibu kandungnya yang dikenali sebagai Christina kepada Lee Jung sebelum menghilangkan diri sehingga kini. Ketika itu, kanak-kanak berkenaan baru berusia tiga hari.
“Christina, gadis berbangsa Iban dipercayai berasal dari Betong dan pernah bekerja sebagai pembantu rumah kepada jiran Lee Jung di Tabuan Jaya, Kuching,” katanya di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, kegagalan menemui Christina menyebabkan JKMB Kuching mengemukakan kes tersebut kepada Majistret Mahkamah Bagi Kanak-Kanak (MBKK) Kuching untuk mendapatkan Perintah Jagaan Sementara mengikut Seksyen 17(1d) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Pada 10 Mei lalu, MBKK mengeluarkan perintah agar Alice ditempatkan di bawah jagaan Orang Yang Layak dan Sesuai iaitu Lee Jung sehingga pihak kami dapat menyediakan satu laporan pelindung berkaitan Alice,” katanya.
Orang ramai yang mengenali ibu atau waris Alice diminta menghubungi Pegawai JKMB Kuching, Azlina Mohd. Salleh di talian 082-444251 atau 082-448534.

Mesir sokong usul Palestin Obama

NEW YORK: Duta Mesir ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengalu-alukan sokongan Presiden Barack Obama mewujudkan negara Palestin berdasarkan sempadan Israel pada 1967.
Walaupun mendakwa kenyataan Presiden AS itu “kurang spesifik” Maged Abdelaziz berkata, Mesir kecewa kerana Obama tidak menawarkan pelan damai rasmi dalam ucapannya kelmarin.

“Mesir mengharapkan untuk mendengar lebih banyak kenyataan daripada Obama mengenai isu ini,” katanya.

Menggariskan prinsip perjanjian damai, Obama berkata, AS tetap komited mengawal keselamatan Israel.

Justeru, Obama menggesa perjanjian damai perlu mewujudkan dua negara - Israel dan Palestin - yang berkongsi sempadan seperti sebelum rejim Zionis itu menjajah Tebing Barat pada 1967. - Reuters

Taliban serang konvoi konsulat AS


PESHAWAR: Seorang maut dan 11 cedera apabila Taliban menyerang konvoi konsulat Amerika Syarikat di Peshawar semalam.
Letupan bom yang dipasang pada kereta itu adalah serangan pertama Taliban ke atas kepentingan AS di Pakistan sejak Osama bin Laden dibunuh.

Jurucakap Kedutaan AS berkata, tiada kakitangan mereka cedera parah dalam serangan di kawasan dianggap kubu al-Qaeda itu.

Polis Pakistan pula berkata, dua warga asing cedera ringan.

“Satu daripada kereta perisai rosak akibat bom berkualiti rendah seberat 50 kilogram itu,” katanya.

Kedua-dua kenderaan itu dalam perjalanan ke konsulat AS apabila letupan berlaku. - AFP

8 kapal Libya dibom

TRIPOLI: Nato semalam berkata, pesawat tenteranya mengebom lapan kapal Tentera Laut Libya sejurus selepas Presiden Barack Obama meramalkan Muammar Gaddafi “pasti” berundur atau dipaksa berundur.
Ketika kerajaan Gaddafi menganggap kenyataan Obama satu khayalan, pihak berkuasa juga menafikan laporan isteri dan anak pemimpin Libya itu melarikan diri ke Tunisia.

Tripoli juga menolak dakwaan Menteri Minyak Libya, Shukri Ghanem, berpaling tadah.

Menurut Nato, tentera Bersekutu terus melakukan serangan udara terhadap pasukan bersenjata rejim Gaddafi, termasuk di Pelabuhan Tripoli, al-Khums dan Sirte.

“Disebabkan peningkatan penggunaan kapal oleh rejim Gaddafi, Nato tiada pilihan kecuali menyerangnya bagi melindungi orang awam Libya dan tentera Nato di laut,” kata kenyataan dikeluarkan itu, semalam.

Sementara itu, letupan baru didengar di ibu negara Libya semalam, beberapa jam selepas serangan udara disasarkan ke atas pelabuhan bandar raya itu.


Menurut pegawai Nato, sasaran serangan itu adalah kelengkapan tentera tetapi jurucakap kerajaan Libya, Mussa Ibrahim, mendakwa tindakan itu dibuat bagi menakut-nakutkan firma perkapalan antarabangsa supaya menjauhi negara itu.

“Apa pun kapal yang diserang, ia adalah mesej jelas daripada Nato kepada syarikat maritim antarabangsa supaya jangan menghantar sebarang kapal ke Libya,” katanya. - AFP

RM560,000 untuk bebas Nazaruddin

ZAMBOANGA (Filipina): Kumpulan militan Islam yang dipertanggungjawabkan atas serangan keganasan paling buruk di negara ini menahan seorang lelaki warga Malaysia dan menuntut wang tebusan, kata polis tempatan, semalam.
Menurut Ketua Polis, Felicisimo Khu, kumpulan Abu Sayyaf yang menahan Mohammad Nazaruddin bin Saidin menuntut bayaran tebusan daripada Pegawai Pejabat Konsulat Malaysia yang kemudian melaporkan hal itu kepada polis di selatan negara ini. Mangsa, peniaga berusia 38 tahun diculik pada 7 Mei lalu oleh kira-kira 10 lelaki bersenjata berhampiran bandar Indanan di Pulau Jolo.

Pegawai Konsulat melaporkan kepada Polis Indanan bahawa kumpulan lelaki bersenjata itu menuntut tebusan AS$186,000 (RM558,000). - AFP

Pemisah Thai terbunuh diserang tentera di Yala


YALA (Thailand): Empat disyaki anggota militan terbunuh dalam insiden berbalas tembakan dengan tentera Thailand di selatan negara itu, semalam.
Anggota tentera, renjer dan polis bergegas ke buah desa di pedalaman wilayah Yala dekat sempadan Malaysia pada waktu Subuh untuk memburu kumpulan lelaki itu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pemberontakan yang tercetus di wilayah itu lebih tujuh tahun lalu. Keempat-empat suspek mati dalam kejadian berbalas tembakan yang berakhir selama 15 minit dan polis berkata, mereka turut menemui pistol dan raifal dari tempat kejadian.

“Kami mengarahkan mereka supaya menyerah diri tetapi tidak dihiraukan,” kata Ketua Pusat Pentadbiran Wilayah Selatan, Panu Uthairat.

Beliau menambah empat lelaki itu menjadi buruan sejak sekian lama. - AFP

Mayat bayi dalam plastik

PASURUAN (Indonesia): Mayat seorang bayi ditemui di pinggir jalan di Desa Raci, Kecamatan Bangil, Kabupaten Pasuruan, semalam.
Bayi yang dipercayai lahir hasil daripada hubungan tanpa ikatan perkahwinan itu mungkin sengaja dibuang.

Bayi malang itu ditemui seorang penduduk, Arianto ketika pulang dari tempat kerja. Dia menjumpai bayi itu dalam kain sarung yang dimasukkan dalam plastik merah.

“Saya terlihat bungkusan plastik merah di pinggir jalan dan tertanya-tanya apakah isi di dalamnya. Saya mengambil bungkusan plastik itu dan membukanya. Saya cukup terkejut kerana mendapati ada jari bayi yang sudah mulai busuk,” katanya.

Dia kemudian memberitahu hal itu kepada penduduk desa sebelum mereka melaporkannya kepada polis.

Berdasarkan hasil bedah siasat, bayi yang berusia tiga hari itu adalah perempuan dan seberat 3.5 kilogram. Ketika ditemui, tubuhnya sudah berulat tetapi tali pusat masih melekat di perutnya. - JP

Mubaligh Kristian tonton kiamat melalui TV

SAN FRANCISCO: Seorang mubaligh Kristian Amerika Syarikat meramalkan Hari Kiamat akan berlaku hari ini mengatakan, dia akan berada dekat dengan televisyen ataupun radio bagi menyaksikan kejadian itu.
Harold Camping, 89, sebelum ini melakukan ramalan yang salah apabila dia mengatakan Nabi Isa akan turun ke bumi pada 1994. Namun, Ketua rangkaian Radio Kristian, Family Stations Inc itu, berkata dia pasti kejadian gempa akan menggegarkan bumi hari ini (21 Mei), di mana orang yang beriman akan ke syurga dan meninggalkan yang lain untuk menghadapi kemusnahan dunia dalam tempoh beberapa bulan lagi. “Kita tahu tanpa ragu-ragu ia akan berlaku,” katanya yang memiliki stesen Family Radio yang disiarkan dalam lebih 30 bahasa di AS dan stesen antarabangsa. - Reuters

Paderi dibakar ketika ketuai upacara agama di gereja

VILNIUS (Lithuania): Seorang penyerang menyembur paderi Katolik dengan cecair bahan bakar dan kemudian mencucuhnya dengan api hingga menyebabkan wajahnya melecur ketika upacara keagamaan berlangsung di sebuah gereja di negara ini, kata polis, semalam.
Paderi Remigijus Kuprys, 46, berjaya memadamkan kebakaran itu dengan bantuan orang ramai tetapi wajahnya melecur.

Serangan itu berlaku apabila seorang penduduk tempatan berusia 42 tahun menyembur Kuprys dengan cecair bahan bakar lalu menyalakan api dengan pemetik api ketika upacara keagamaan berlangsung, kelmarin di bandar Jonova. Motif serangan itu masih disiasat.

“Kami menerima laporan bahawa suspek mengganggu upacara agama di gereja berulang kali, selain melaungkan kata-kata pelik. Polis memutuskan untuk melakukan ujian psikiatri ke atas suspek,” kata pegawai polis, Mindaugas Juknys. Suspek juga tidak melawan ketika polis tiba untuk menahannya. Sekiranya dia didapati tidak mengalami masalah mental untuk dibicara, dia berdepan dengan hukuman penjara 10 tahun.

Polis berkata, Kuprys sudah keluar dari hospital selepas menerima rawatan atas kecederaannya.

Akhbar harian Lithuania, Lietuvos Rytas, semalam memaparkan gambar Kuprys dengan wajah yang dibalut dan hanya menampakkan mata serta mulutnya.


Kira-kira 80 peratus daripada tiga juta penduduk Lithuania beragama Kristian Katolik. - AFP

Syarikat insurans hadiah pelacur kepada pekerja cemerlang

BUDAPEST: Sebuah firma insurans utama menghargai kakitangannya yang cemerlang dengan menghadiahkan mereka pelacur, lapor media semalam.
Menurut laporan akhbar, syarikat Munich Re melanggan 20 pelacur untuk menghiburkan kira-kira 100 jurujualnya yang mencatat kejayaan terbaik.

Munich Re adalah syarikat penanggung insurans bagi syarikat insurans lain dan berpangkalan di Munich, Jerman.

Media melaporkan, pelacur terbabit turut memakai gelang tangan berwarna sebagai kod bagi menyatakan sama ada mereka boleh dilanggan atau tidak dalam parti pada 2007 itu.

Selepas melayan mana-mana jurujual, lengan pelacur itu akan dicop bagi membolehkan tetamu mengetahui kekerapan mereka dilanggan.

Sumber berkata, pelacur terbabit rela melakukan “apa saja yang diminta” sepanjang pesta berkenaan berlangsung.


“Bagi ahli lembaga pengarah dan jurujual terbaik, mereka disediakan pelacur khas,” katanya. - TS

Tangan Arnie ‘panjang’


BUKAN SEKADAR PEKERJA...Mildred menari bersama Schwarzenegger dalam parti keluarga di rumah bekas gabenor itu.
BUKAN SEKADAR PEKERJA...Mildred menari bersama Schwarzenegger dalam parti keluarga di rumah bekas gabenor itu.


JADI BAHAN KETAWA...akhbar menggambarkan Schwarzenegger memiliki banyak tangan kerana tabiatnya gemar meraba wanita.
JADI BAHAN KETAWA...akhbar menggambarkan Schwarzenegger memiliki banyak tangan kerana tabiatnya gemar meraba wanita.

NEW YORK: Arnold Schwarzenegger pernah digelar sebagai “Si Tangan Panjang” oleh amah bekas Gabenor California itu kerana kebuasannya menyentuh pekerja wanita di rumah.
Menurut seorang rakan amah itu, Nora Montes, hero filem Terminator itu memang gemar memegang punggung wanita yang bekerja dengannya.

Kata Nora, dia mengetahui maklumat itu selepas berbual dengan pembantu rumah Schwarzenegger, Mildred Baena, 50, baru-baru ini.

Nora berkata, dia terkejut apabila Mildred tiba-tiba mendedahkan Schwarzenegger pernah menyentuh serta meramas punggung pembantu rumahnya.

“Saya sangat terkejut mendengar pengakuan itu,” katanya.

Pada 2000, akhbar The Sun pernah menggelar Schwarzenegger sebagai Si Sotong kerana meraba penyampai stesen televisyen ITV, Anna Richardson dan Denise van Outen, ketika melawat London.


Turut pernah menjadi mangsa tangan liar Schwarzenegger ialah penyampai televisyen dan model Britain, Melanie Sykes.

Ketika itu, Schwarzenegger mengunjungi London untuk mempromosi filemnya, The 6th Day.

Kata Nora, Mildred menganggap Schwarzenegger sangat istimewa dan kelahiran anak lelaki mereka adalah buktinya.

“Saya yakin suami Mildred, Rogelio, memfailkan perceraian tiga minggu selepas kelahiran anak Schwarzenegger kerana rahsia mereka terbongkar,” katanya.

Budak lelaki itu - kini berusia 13 tahun - dilahirkan hanya seminggu selepas Schwarzenegger mendapat anak bongsunya bersama isteri, Maria Shriver, pada 1997.

Sebelum Mildred bekerja untuk Schwarzenegger selama 20 tahun, aktor terbabit turut pernah menggaji ibu wanita berkenaan sebagai pembantu rumah.

Saudara kandung Mildred, Mirian, juga pernah bekerja di rumah Schwarzenegger di Brentwood, California.

Semalam, sumber berkata, Mildred akhirnya membocorkan rahsia hubungan sulit dia dengan Schwarzenegger selepas Maria menyoal siasatnya.

“Maria memang mengesyaki Mildred sejak sekian lama,” katanya. - TS

Lelaki ditahan ISA diusir



KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan Singapura, Abdul Majid Kunji Mohamad yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Mei lalu selepas dikesan terlibat dengan kegiatan militan, diserahkan kepada pihak berkuasa Singapura kelmarin.

Satu sumber keselamatan berkata, proses penyerahan Abdul Majid, 60, yang ditahan sejak dua minggu lalu itu dibuat pada pukul 8.30 malam di kawasan Woodlands, Singapura.
“Abdul Majid, orang dikehendaki di republik itu untuk siasatan lanjut berhubung kegiatan militan,” kata sumber itu kepada Kosmo! di sini semalam.
Menurut sumber itu lagi, siasatan mendapati Abdul Majid turut memiliki sebuah syarikat membuat komponen mortar di Singapura.
Komponen mortar tersebut dibekalkan kepada Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang bertapak di selatan Filipina.
Malah kaitan Abdul Majid dengan MILF diperkukuhkan lagi apabila dia yang mempunyai beberapa rangkaian perniagaan seperti tekstil dan ejen pelancongan di ibu negara, pernah melawat kem tentera MILF di Mindanao, Filipina pada akhir tahun 90-an.
“Ketika ditahan polis pada 6 Mei lalu di pejabatnya di Setiawangsa, Abdul Majid mengaku pernah menyalurkan sejumlah besar wang kepada kumpulan militan tersebut.
“Kita percaya Abdul Majid menyerahkan beberapa kali wang (dana) kepada kumpulan militan terbabit sejak akhir tahun 90-an hingga awal tahun 2000,” kata sumber keselamatan itu.

300 berkumpul bantah pembinaan loji nadir bumi

KUALA LUMPUR: Kira-kira 300 orang mengadakan demonstrasi secara aman berdekatan Menara Berkembar Petronas, di sini, petang tadi bagi membantah rancangan menempatkan sebuah kilang pemprosesan nadir bumi di Gebeng, Kuantan yang dimiliki syarikat Lynas yang berpangkalan di Australia.

Mereka yang terdiri daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli pembangkang berarak dari Menara Kembar Petronas sehingga ke jalan berdekatan Suruhanjaya Tinggi Australia.
Mereka turut membawa sepanduk bertulis 'Kembali ke Australia' dan 'Malaysia bukan tempat pembuangan sisa radioaktif.'

Agensi Tenaga Atom Antarabangsa sebelum ini mengesahkan sedang membantu kerajaan Malaysia bagi memastikan tidak terdapat sebarang risiko pencemaran dengan pembinaan loji pemprosesan nadir bumi itu. - AFP"