Showing posts with label kebal. Show all posts
Showing posts with label kebal. Show all posts

Tuesday, August 16, 2011

27 pemilik 'kad kebal' serah diri

SEBAHAGIAN pendatang asing menunjukkan 'kad kebal' yang
 dibuat ketika membuat laporan di Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Seramai 27 pendatang asing yang menjadi mangsa penipuan kad eksklusif atau lebih dikenali sebagai ‘kad kebal’ tampil membuat laporan di Jabatan Imigresen negeri di sini semalam.
Kebanyakan mereka yang merupakan warga Indonesia membuat laporan tersebut selepas pendedahan mengenai kegiatan sindiket tersebut dilaporkan media baru-baru ini.
Ketua Bahagian Penguat Kuasa Imigresen negeri, Masri Adul berkata, mereka rata-rata tidak mengetahui kad tersebut tidak pernah dikeluarkan oleh mana-mana jabatan kerajaan di negara ini.
“Kita telah mengambil keterangan daripada kesemua pendatang asing ini dan ia akan dijadikan bukti untuk mendakwa suspek di mahkamah nanti.
“Setakat ini, wanita berusia 50-an yang juga pemilik syarikat yang diserbu baru-baru ini masih ditahan bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kementerian Dalam Negeri di Setia Tropika dekat sini semalam.
Kosmo! Ahad lalu melaporkan penahanan seorang wanita berusia 50-an yang merupakan pemilik sebuah syarikat di Bangunan Profesional, Jalan Syed Mufti di sini pada Jumaat lalu.
Pemeriksaan mendapati syarikat berkenaan menjalankan proses pendaftaran pekerja asing melalui program 6P secara sah tetapi pada masa sama mengeksploitasi warga asing dengan menawarkan keahlian ‘kad kebal’ pada harga di antara RM1,000 hingga RM3,000.
Pendatang asing yang memiliki kad berkenaan dikatakan kebal daripada sebarang tindakan undang-undang.-kosmo

Sunday, December 5, 2010

Kembalikan kekebalan raja-raja Melayu - MPM


KUALA LUMPUR 4 Dis. - Mesyuarat tergempar Majlis Perundingan Melayu (MPM) hari ini menggesa kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan kekebalan raja-raja Melayu dikembalikan semula.
Ini juga bagi menjamin institusi terbabit terus dihormati oleh segenap lapisan masyarakat di negara ini.
Turut disentuh dalam mesyuarat yang berlangsung lebih dua jam itu ialah mengenai konsep ketuanan Melayu yang harus dipertahankan dan difahami semua supaya tidak diperkotak-katik pihak tidak bertanggungjawab.
Selain itu, kalangan badan bukan kerajaan (NGO) terbabit yang menganggotai MPM juga mengecam kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang mahu ketuanan Melayu dibubarkan.
Salah seorang ahli jawatankuasa pengasas MPM, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar berkata, martabat dan kedaulatan raja-raja Melayu perlu diperkukuhkan dengan mengembalikan imuniti atau kekebalan raja-raja Melayu.
Menurut beliau, raja-raja Melayu adalah 'payung' kestabilan dan keharmonian negara kerana baginda adalah ketua bagi negara ini.
''Sewajarnya, kuasa diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu untuk memastikan kestabilan rakyat.
''Untuk itu, MPM akan berbincang dengan pakar-pakar perundangan untuk mengkaji Perlembagaan supaya kekebalan raja-raja Melayu dapat dikembalikan semula,'' katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Mingguan Malaysia selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar itu yang dihadiri hampir keseluruhan pengerusi dan presiden 136 NGO Melayu yang bergabung dengan MPM.
Antara yang hadir, Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail dan Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan, Bahrim Abdul Razak.
Mengulas lanjut, Kamarudin berkata, konsep ketuanan Melayu bukanlah bererti Melayu itu menjadi 'tuan' di negara ini dan masyarakat bukan Melayu diingatkan supaya tidak tertipu dengan helah mereka yang menyalahtafsir konsep tersebut.
''Apabila Presiden PKR mengungkit tentang konsep ketuanan Melayu dan membangkitkan slogan ketuanan rakyat, ia tidak lebih sekadar satu muslihat untuk mendapatkan sokongan orang bukan Melayu semata-mata.
''MPM ingatkan kepada semua supaya jangan termasuk dalam perangkap dan terpedaya akan kenyataan beliau (Wan Azizah).
''Ini semua hanyalah untuk memancing undi dan sebagai provokasi orang Melayu hingga terlalai,'' tegasnya.
Atas dasar itu, jelasnya, MPM akan bergerak menerangkan mengenai penakrifan sebenar konsep ketuanan Melayu kepada semua pihak termasuk orang bukan Melayu khususnya golongan muda