Monday, November 8, 2010

[setiausaha akhbar] Awang Selamat Wartawan Pendusta

by Nik Abdul Aziz Nik Mat on Sunday, November 7, 2010 at 7:33pm

  1. Saya ingin melahirkan kekesalan terhadap tulisan Awang Selamat di dalam Mingguan Malaysia pada hari ini (7 November 2010) yang jelas melakukan serangan peribadi kepada al-Mursyidul Am PAS, YAB Tuan Guru Datul Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat ekoran kegagalan PAS mempertahankan DUN Galas di dalam pilihanraya kecil 4 November yang lalu.
  2. Di bawah tajuk ‘Maafkan Nik Aziz’, Awang Selamat yang tidak diketahui identiti sebenarnya ini memulakan serangan ke atas PAS kononnya mempunyai penyokong yang seringkali melakukan provokasi.
  3. Barangkali kerana sering berlindung di bawah lumut dalam tempurung sempit UMNO, Awang Selamat telah buta atau membutakan matanya sendiri untuk melihat telatah penyokong UMNO yang jelas sekali lebih gemar melakukan
    Provokasi oleh penyokong UMNO
    provokasi. Butakah Awang Selamat untuk melihat telatah penyokong UMNO yang secara tidak berakhlak melakukan tindakan yang tidak bermoral samada sewaktu penamaan calon mahupun hari pengundian  bagi mencetuskan kemarahan penyokong Pakatan Rakyat?
  4. Di dalam isu wang zakat yang dianggap rasuah oleh UMNO, wartawan pengecut Awang Selamat ini nampaknya terus keliru untuk membezakan wang zakat dan rasuah. Wang zakat yang mencetuskan kontroversi itu diberikan kepada orang-orang asli yang memeluk agama Islam. Sememangnya ia diberikan semenjak dahulu lagi dan tidak menunggi saat pilihanraya kecil diadakan sahaja. Wang kertas yang dihulurkan tersebut bukanlah kepunyaan YAB Menteri Besar Kelantan yang disifatkan oleh Awang Selamat sebagai ‘sedekah’ itu, tetapi merupakan salah satu peruntukan asnaf zakat yang dikeluarkan oleh  pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan diuruskan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JHEAIK). Ia bukanlah seperti pemimpin UMNO yang merompak hasil royalti minyak Kelantan lalu dihulurkan di atas nama wang ehsan seperti yang dilakukan oleh beberapa kerat pemimpin UMNO sanjungan Awang Selamat.
  5. Jika ia merupakan rasuah, pihak UMNO dicabar untuk membawa kes ini ke mahkamah dan jangan hanya berselindung di sebalik nama murahan Awang Selamat yang melacurkan pena wartawan untuk kepentingan ‘perut’ semata-mata.
  6. Awang Selamat seterusnya memfitnah Tuan Guru Nik Abdul Aziz di dalam isu pertikaman lidah dengan salah seorang ulama besar UMNO iaitu Mohd Nor Deris. Menurut Awang Selamat, “Nik Aziz kelihatan  melenting dan enggan bersalam dengan Mohd Nor”.
  7. Untuk pengetahuan si wartawan pendusta ini, insiden ini bermula apabila Tuan Guru Nik Abdul Aziz menghulurkan salam kepada Mohd Nor Deris lalu tidak disambut oleh Mohd Nor Deris dengan alasan PAS berkawan dengan DAP. Ini disahkan sendiri oleh Mohd Nor kemudiannya dengan menyatakan tangan Tuan Guru ialah tangan syaitan menerusi kasyafnya. Sekali lagi dinyatakan, Mohd Nor Deris yang tidak menyambut huluran tangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz.
  8. Tulisan ini hanyalah sebagai satu respon kepada Awang Selamat yang telah sekian lama berlindung di sebalik nama samaran dan menyembunyikan identiti yang sebenar. Jika beginilah sikap penulisan wartawan yang bertugas di Utusan Melayu (M) Berhad ini, jangan disalahkan pihak kami jika wartawan mereka tidak dibenarkan membuat sebarang liputan mahupun mendekati pejabat Menteri Besar Kelantan nanti.


Yang benar,


Ahmad Fadhli bin Shaari
Setiausaha Akhbar,
Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh : 7 November 2010

[setiausaha politik] Taktik kotor menangkan BN di Galas

by Nik Abdul Aziz Nik Mat on Monday, November 8, 2010 at 8:46am

Tulisan Zulkiflee Bakar (Mingguan Malaysia, 7 November 2010) atas tajuk “Kalah kerana Nik Aziz” adalah disanggah. Rasional sanggahan adalah berpaksikan bahawa bukan sifat sebenar Tok Guru Nik Aziz seperti mana digambarkan oleh penulis tegar Umno itu.

Apa yang berlaku di bumi dan sepanjang pengamatan pelbagai pihak (termasuk pengkaji politik) terhadap perjalanan pilihan raya kecil Galas adalah amat ketara bahawa BN mencapai kemenangan disebabkan BN menggunakan kempen taktik kotor.

Nilai kekotoran kempen BN itu boleh dikaji menerusi rancangan dan tingkah laku pasukan kempen Barisan Nasional yang menang di Galas 4 November lalu. Di sini dikemukakan sekurang-kurang 10 jenis taktik kotor, jijik, mual dan bercanggah dengan nilai-nilai demokrasi yang sudah menjadi ‘makan-minum’ parti Melayu Umno pimpinan Mohd Najib.

Pertama, akhbar Utusan Malaysia (28 Nov. 2010) sehari selepas penaman calon telah menyiarkan gambar Tan Sri Muhyidin Yasin selaku Timbalan Perdana Menteri  menghulurkan sampul surat berisi RM300 kepada seorang warga emas, Alias Junuh. Permulaan kempen dengan sogokkan wang yang adalah bercanggah dengan Sekseyen 10, Akta Kesalahan Pilihan Raya. Namun, pihak SPR diam tanpa komen dan media tidak melaporkannya sebagai sogokan atau rasuah.

Kedua, saban hari tempoh kempen berjalan, media milik Kerajaan Pusat, khususnya Radio dan TV milik Kementerian Penerangan menyiarkan laporan dan pengakuan palsu individu kononnya menjadi mangsa pengambilan tanah untuk projek Ladang Rakyat.  Sedangkan penjelasan dari pihak Ladang Rakyat, bahawa tiada projek Ladang Rakyat dalam DUN Galas. Apa yang sebenar ialah sebilangan pengundi DUN Galas telah terpilih sebagai penerima deviden RM200 sebulan diberikan oleh Ladang Rakyat. Tetapi penjelasan pihak Ladang Rakyat tidak disiarkan.

Ketiga, mahkamah telah menerima pendaftaran kes tuntutan wang royalti minyak Kerajaan Negeri Kelantan ke atas Petronas dan tidak sepatutnya ia dijadikan isu kempen. Tetapi apa yang berlaku, pihak BN telah menjanjikan dalam risalah beredar kepada pengundi bahawa royalti akan dipulangkan kepada rakyat Kelantan bila mengundi BN.

Keempat, menyebar fitnah dalam internet ”Umno Online” laman rasmi Parti Umno Malaysia  kononnya calon PAS terlibat dengan khalwat dengan seorang wanita yang namanya sama dengan nama ibu calon PAS, Dr. Zulkefli. Penafian Calon PAS telah dibuat sendiri oleh Dr. Zulkefli tetapi laman milik Umno itu terus memutar fitnah itu dengan fitnah baru pula, kononnya Dr. Zulkefli akan bersumpah menafikan isu khalwat di masjid. Pendekatan itu amat serius dari segi agama, mengapa ulama dan mufti tidak menegur fitnah yang jalang begitu.

Kelima, BN didapati amat rakus menggunakan jentera jabatan dan agensi Kerajaan Pusat sebagai jentera kempen BN. Ini dilakukan secara terbuka dan meloyakan. Antara yang paling jelas ialah salah guna Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia (JHEOA). Pihak JHEOA kemudian telah melantik Timbalan Ketua Setiausaha sebagai pegawai bertanggungjawab bagi mempastikan pengundi Orang Asli mengundi BN.

Keenam, menyebar rakaman video ungkapan seorang hamba Allah yang berperangai pelik dinamakan sebagai “Nor Deris” yang mengeluarkan kata-kata kesat dan kotor serta fitnah terhadap Menteri Besar Kelantan Tok Guru Nik Aziz. Antara fitnahnya, kononnya Tok Guru Nik Aziz tidak mahu bersalam dengannya. Sedangkan cerita sebenar, “Nor Deris” itulah yang mengaku dia tak mahu bersalam kerana melihat tangan Tok Guru Nik Aziz serupa dengan “tangan syaitan.” Rakaman itu dimuatkan dalam laman Umno Online milik Umno Malaysia yang kemudian disebarluas oleh laman-laman internet pro-Umno.

Ketujuh, media kempen BN termasuk akhbar, risalah, perayu undi dan pemimpin BN bertanggungjawab sepenuhnya menyebar laporan salah tentang kejayaan Kerajaan Negeri Kelantan melalui Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang dalam menyelesaikan permohonan milik tanah penduduk Gua Musang, termasuk melibatkan pengundi Cina di Kampung Pulai, Tanah Putih dan Kampung Baru. Pengakuan yang dibuat oleh mantan Ketua Jajahan Gua Musang, Abdullah Mat Yusoff mengenai beribu-ribu permohonan  sejak sepuluh tahun terakhir ini. Malah, menurutnya berlaku kelewatan kelulusan permohonan adalah disebabkan karenah Kesedar yang tak mahu bekerjasama dengan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang. Namun, kenyataan Abdullah itu tidak disiarkan oleh media BN atau Umno Online.

Kelapan, menggunakan kakitangan Special Branch Polis (SB) bagi mendapatkan maklumat dari Bilik Gerakan PAS. Sehingga ada SB itu berjaya dikesan oleh pihak PAS atas perbuatan yang disuruh oleh BN itu. Ia jelas memperalatkan SB sebagai anggota keselamatan awam dan mempalitkan nama buruk pasukan polis atas semata-mata kepentingan BN saat pilihan raya. Jelas pihak BN tidak ada kepakaran sendiri melainkan menumpang jentera kerajaan.

Kesembilan, memfitnah Kerajaan Negeri Kelantan sebagai bertanggungjawab merosakkan punca air bersih bagi kegunaan Orang Asli. Sedangkan tanggungjawab sebenar untuk perawatan dan penjagaan serta pembinaan bekalan air bersih bagi penduduk Orang Asli ialah pihak Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia yang terletak di bawah menterinya selaku Naib Presiden Umno, Datuk Shafie Afdal. Sebagaimana dakwaan pihak JHEOA sendiri, tanggungjawab itu gagal dilaksanakan kerana karenah pihak kontraktor yang dikatakan menyeleweng.

Akhirnya, kesepuluh didapati di penghujung kempen, pihak pasukan kempen BN telah mengedar pembohongan berupa sogokan janji pembangunan Projek Mega berjumlah RM3.254 billion. Projek tersebut ialah Berjaya The Park (RM1.5 billion), Permata Timur (RM146 juta), Perumahan Rakyat Galas (RM180 juta), Golf Club dan Country Resort (RM856 juta), Agro Tourism (RM256 juta) dan kampus cawangan Universiti Kelantan (RM316 juta). Sogokan projek mega merupakan taktik kotor/tipu (gula-gula ke atas pengundi) bertujuan memikat pengundi mengundi BN. Apa yang pasti projek mega itu dikatakan bohong kerana tiada satupun tapak projek itu yang mendapat kelulusan tanah, sedangkan semua tanah bagi apa-apa projek sekalipun terlebih dahulu perlu diluluskan oleh Kerajaan Negeri Kelantan.
Berdasarkan 10 nilai kerja salah laku pihak BN di sepanjang kempen pilihan raya kecil Galas tersebut, maka amatlah tepat kenyataan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz , betapa kemenangan BN itu disebabkan ugutan, sogokan dan tekanan ke atas pengundi.

Mungkin penilaian itu dapat diperkukuhkan lagi dengan hujah bahawa kemenangan BN adalah berkait rapat dengan strategi kotor dan taktik memfitnah ke atas pemimpin dan parti PAS serta pencapaian Kerajaan Negeri Kelantan yang diterajui PAS sejak dua dekad lalu. Apa pun, semoga pengundi Galas tidak terus tertipu selama-lamanya dengan pelbagai aktik kotor BN setiap kali pilihan raya.

Oleh :
Wan Nik Wan Yussof,
Setiausaha Politik YAB MB Kelantan.

Zaid tarik diri tanding timbalan, letak semua jawatan




2010/11/08

KUALA LUMPUR: Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim mengumumkan menarik diri daripada bertanding jawatan berkenaan serta meletakkan semua jawatannya dalam PKR. 

Zaid yang juga Pengerusi Perhubungan PKR Wilayah Persekutuan berkata, beliau tersilap apabila menawarkan diri bertanding kerana menganggap PKR boleh membawa politik yang progresif, mengembangkan demokrasi dan meningkatkan ketelusan.“Saya tawar diri menyertai parti ini atas kepercayaan saya boleh membawa politik progresif; memupuk dan memperkembangkan demokrasi dan ketelusan di negara ini. Saya sebenarnya silap,” katanya dalam satu kenyataan.

Zaid mendakwa, sepanjang pemilihan PKR, kepimpinan parti itu secara aktif membiarkan salah laku dan penipuan berleluasa dengan tujuan mencapai objektif tertentu. 

"Saya mengambil keputusan ini kerana tidak ada usaha oleh kepimpinan parti untuk menangani manipulasi dan amalan tidak adil dalam pemilihan itu meskipun ia telah berulang-kali ditimbulkan,” katanya. 

Sebelum ini, Zaid pernah menjawat jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri tetapi meletakkan jawatan dan meninggalkan UMNO. 

Patung gajah resahkan penduduk



Oleh Mohamed Farid Noh 
mfarid@bharian.com.my
2010/11/08

PATUNG gajah gergasi atas sebuah bangunan di Jalan Rahmat menimbulkan kebimbangan orang ramai.
PATUNG gajah gergasi atas sebuah bangunan di Jalan Rahmat menimbulkan kebimbangan orang ramai.
Binaan empat meter dikhuatiri tumbang hempap orang ramai 

BATU PAHAT: Pembinaan patung gajah bersaiz besar di sebuah bangunan di Jalan Rahmat di sini sejak beberapa bulan lalu, menimbulkan kebimbangan penduduk tempatan yang setiap hari menggunakan jalan berkenaan, menyebabkan mereka mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.Patung gajah setinggi kira-kira empat meter yang dibina di tingkat paling atas bangunan empat tingkat yang menempatkan pejabat serta sebuah restoran itu, dikhuatiri menyebabkan mala petaka jika ia terjatuh dan menghempap pejalan kaki serta pengguna jalan raya lain.
Ini kerana bangunan berkenaan terletak di jalan utama serta paling sibuk di daerah ini berikutan kewujudan banyak pusat kewangan utama selain jabatan kerajaan, sekali gus menimbulkan kebimbangan pengguna, jika binaan gajah berkenaan tumbang ditiup ribut yang agak kerap melanda kebelakangan ini. 

Seorang suri rumah, Maimunah Sawal, 50, berkata penduduk hairan apabila pihak berkuasa meluluskan pembinaan patung berkenaan kerana ia jelas membahayakan penduduk serta pengguna jalan raya. 

“Tidak kira sekukuh mana pun patung itu disimen di atas bangunan itu, ia tetap membahayakan pengguna jalan raya kerana daerah ini dikenali dengan tiupan angin barat daya kuat yang datang dari arah Selat Melaka dan kami amat bimbang keselamatan terancam ketika menggunakan jalan berkenaan. 

“Apa akan terjadi kepada pejalan kaki atau kenderaan yang melalui jalan berkenaan jika struktur itu tumbang dan siapa mahu bertanggungjawab. Jadi, saya berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan meminta pemilik patung itu menurunkannya kerana ia jelas membahayakan keselamatan awam,” katanya baru-baru ini. 
Rakannya, Rohaimi Said, 42, berkata, kehadiran patung gajah itu bukan saja membahayakan pejalan kaki dan pengguna jalan raya di kawasan itu, malah boleh menyebabkan kemalangan jalan raya. 

“Mungkin ada pemandu yang tiba-tiba memperlahankan kenderaan kerana ingin melihat patung itu dan ini boleh menyebabkan kesesakan, selain berlaku kemalangan. 

“Ia nampak remeh, tetapi pembinaan patung itu di kawasan berkenaan tidak kena pada tempatnya dan boleh menyebabkan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan,” katanya. 

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Salehuddin Hassan ketika dihubungi berkata, pihaknya sedia maklum mengenai pembinaan patung berkenaan dan sudah mengeluarkan notis kepada pemiliknya supaya ia diturunkan secepat mungkin. 

“MPBP tidak pernah memberi kelulusan kepada mana-mana pihak untuk membina patung atau struktur besar itu dan selepas menerima aduan orang ramai mengenainya, kami melakukan siasatan. 

“Kami dapati, ia memang membahayakan keselamatan orang ramai dan bagi mengelak kejadian tidak diingini, kami sudah mengeluarkan notis kepada pemilik patung itu supaya diturunkan segera. 

“Pemilik patung gajah itu bersetuju berbuat demikian dan kini mereka menunggu kontraktor yang dilantik untuk melakukannya” katanya. 

Tragedi empat mati rentung



KEADAAN kereta yang terperosok bawah treler di Kilometer 119, Jalan Kuantan-Segamat, Muadzam Shah, Kuantan kelmarin.


MUADZAM SHAH - Empat sekeluarga yang dalam perjalanan pulang ke Melaka selepas menghadiri majlis pertunangan mati rentung apabila kereta Proton Persona dinaiki mereka terbakar selepas berlanggar dengan sebuah lori treler di Kilometer 119, Jalan Kuantan-Segamat di sini malam kelmarin.
Mangsa yang maut ialah pesara Jabatan Kerja Raya, Md. Sharif Nani, 61; isteri, Marinah Kambas, 60; dan Patimah Ramli, 46, yang juga adik ipar Md. Sharif. Patimah merupakan bekas wartawan Berita Harian.
Anak saudara Md. Sharif yang memandu kereta Proton Persona, Rosli Mat Isa, 28, seorang pekerja kilang turut maut di tempat kejadian.
Kesemua mereka berasal dari Taman Ayer Keroh, Melaka.
Bagaimanapun, dalam tragedi pada pukul 10.30 malam itu, pemandu treler, Rosli Che Hassan, 50, dan kelindan yang juga anak Rosli, Rozlan, 18, hanya mengalami cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Supritendan Johari Jahaya berkata, semasa kejadian kereta Proton Persona dinaiki empat mangsa itu dalam perjalanan pulang ke Duyong, Melaka selepas mengikuti rombongan pertunangan seorang saudara mereka di Marang, Terengganu.
"Ketika kejadian hujan lebat dan kereta Proton Persona itu menuruni bukit.
"Kereta terbabit dipercayai memotong sebuah lori diekorinya sebelum ia hilang kawalan," katanya ketika dihubungi semalam.

Rita Rudaini nekad 'lawan' suami di mahkamah


KUALA LUMPUR 6 Nov. - Pergolakan rumah tangga Rita Rudaini Mokhtar, 34, yang sebelum ini menunjukkan tanda-tanda perdamaian, kembali 'panas'.
Ini berikutan pelakon itu akhirnya mengetahui secara sahih bahawa suaminya, Aidil Zafuan Abdul Razak, 23, ada membuat dua tuntutan mahkamah terhadapnya pada awal Oktober lalu.
Pelakon terkenal itu pergi sendiri ke Mahkamah Syariah Seremban dan Mahkamah Tinggi Seremban, Negeri Sembilan pada 2 November lalu, bagi mengambil notis berkenaan.
Menurut Rita, pemain bola sepak negara dan Negeri Sembilan itu telah membuat tuntutan hadanah iaitu hak penjagaan kekal terhadap anak sulung mereka, Airit Rayyan Rizqin, 15 bulan.
Satu lagi tuntutan yang dibuat oleh Aidil adalah perintah isteri kembali taat (nusyuz) yang turut difailkan di Mahkamah Tinggi Seremban.
"Sebelum ini saya hanya mengetahui mengenai tuntutan itu melalui akhbar dan saya fikir ia tidak serius kerana suami tidak pernah memberitahu atau berbincang mengenai hal ini.
"Walaupun selalu ada di rumah, suami tidak pernah buka mulut tentang tuntutan yang telah dibuat ini dan saya juga tidak pernah menerima sebarang surat daripada mahkamah kerana diberitahu notis tuntutan berkenaan dihantar ke kampung kelahiran saya di Perlis.
"Hanya setelah datang sendiri ke mahkamah pada Selasa lalu, saya begitu terkejut apabila mengetahui bahawa ada dua tuntutan sekali gus dibuat oleh suami terhadap saya," beritahu Rita kepada Mingguan Malaysia.
Dia berasa begitu kecewa apabila membaca notis tuntutan berkenaan memandangkan sebelum ini hubungan mereka sudah pulih dan Aidil juga selalu pulang ke rumah kelamin mereka di Damansara dekat sini.
"Sekarang nampaknya suami memang serius dalam membuat tuntutan itu dan ia bukan 'main-main' lagi.
"Jadi, saya perlu melantik peguam untuk membuat pembelaan. Oleh kerana suami saya sendiri nekad untuk membawa kes ini ke mahkamah, saya juga perlu mempertahankan hak walau dengan apa cara sekali pun," katanya.
Justeru menurut Rita, dia secara mental sudah bersedia untuk berhadapan dengan segala kemungkinan yang timbul dalam rumah tangga mereka selepas ini, termasuk berhadapan dengan suami sendiri di mahkamah.
"Bila kes sudah dibawa ke mahkamah, maknanya dia memang bermaksud untuk memanjangkan permasalahan.
"Meskipun sebelum ini Aidil telah berjanji untuk sama-sama menjaga rumah tangga dengan baik, sementelah kami bakal menerima anak kedua tahun depan, ia tidak lebih sekadar janji.
"Saya menganggap, bila suami sanggup bawa kisah 'dalam kain sendiri' ke mahkamah, maknanya dia sudah tidak sayang kepada saya, rumah tangga, anak sulung kami dan anak yang bakal lahir ini.
"Jadi, saya kena kuat. Saya perlu hadapi semua ini sendirian dan bersedia untuk dibicarakan di mahkamah mengikut undang-undang yang ada," katanya yang kini hamil anak kedua.
Mengenai tuntutan balas terhadap suaminya itu, Rita juga sedang berbincang lebih lanjut dengan peguamnya, Datuk Mohd. Zaidi Md. Zain.
"Sebagai isteri, saya juga ada hak untuk membuat tuntutan terhadap apa yang saya tak puas hati selama ini.
"Kalau dia memilih untuk menyelesaikan masalah di mahkamah, saya juga tidak teragak-agak untuk mengikut apa yang dia lakukan terhadap saya dan menuntut apa juga hak yang selayaknya sebagai seorang isteri daripada suami," katanya.
Mengenai campur tangan keluarga mertuanya dalam kemelut rumah tangga yang tidak berkesudahan itu, Rita tidak berhasrat untuk mengulas panjang.
"Bagaimanapun bagi saya, Aidil sepatutnya perlu lebih bijak menangani segala permasalahan memandangkan dia sudah mempunyai keluarga sendiri.
"Dalam banyak keadaan, kita tidak boleh terlalu mengikut telunjuk pihak lain, kalau kita mahu bahagia dengan kehidupan berumah tangga yang baru dibina," katanya dalam nada serius.
Rita dan Aidil bernikah secara rahsia di Songkhla, Thailand pada 25 Februari 2008, setelah hubungan mereka tidak mendapat restu daripada keluarga pihak lelaki.
Setelah lebih dua tahun bernikah, hubungan antara Rita dengan keluarga Aidil belum pulih, walaupun ada usaha untuk mendamaikan mereka dibuat.
Peguamnya, Mohd Zaidi mengesahkan kehadiran Rita Rudaini ke Mahkamah Syariah Seremban dan Mahkamah Tinggi Seremban pada Selasa, 2 November lalu adalah untuk menyempurnakan wakalah pelantikan peguam bagi mewakili pelakon itu dalam kes tuntutan yang dibuat oleh suaminya.
"Pada hari itu juga kita telah mengambil saman dari mahkamah berkenaan dengan kes tuntutan kembali taat yang dibuat oleh Aidil.
"Sementara itu, di Mahkamah Tinggi Seremban, kita membuat semakan tentang status kes penjagaan anak secara kekal atau hadanah yang difailkan oleh Aidil," katanya.
Menurut peguam syarie yang banyak mengendalikan kes berprofil tinggi itu, Rita juga telah diserahkan salinan notis kehadiran majlis sulh yang akan diadakan pada 16 Disember 2010 yang mana sebelum ini tidak pernah diterimanya.
"Setelah meneliti pernyataan tuntutan kes kembali taat, saya telah menerima arahan daripada anak guam untuk mengemukakan pembelaan kerana tuduhan yang dibuat terhadap beliau adalah tidak berasas sama sekali," katanya.
Selain itu juga, menurut Zaidi, beliau juga diminta oleh Rita untuk bersedia bagi membuat tuntutan balas terhadap Aidil yang akan difailkan dalam waktu terdekat.
"Anak guam saya sedang menimbangkan secara serius untuk failkan tuntutan balas terhadap suaminya itu.
"Ia adalah bagi nafkah anak dan nafkah isteri yang diabaikan selama ini," katanya.
Walau bagaimanapun menurut Zaidi, demi masa depan bersama, anak guamnya bersedia untuk membuka ruang perbincangan jika pihak suami berubah fikiran dan berhasrat untuk menyelesaikan kes ini secara baik.

Tangguh kes cerai Tuanku Ismail diragui


KOTA BHARU 7 Nov. - Datin Nik Rorhana Wan Abdul Rahman (gambar) yang memfailkan kes berhubung lafaz cerai Sultan Ismail Petra terhadap isteri kedua baginda, Elia Suhana Ahmad membuat laporan polis malam tadi berhubung penangguhan keputusan kes itu oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini yang didakwa sepatutnya diputuskan hari ini.
Beliau membuat laporan di Balai Polis Kubang Kerian di sini pada pukul 11.20 malam tadi.
Wanita itu mendakwa, dengan penangguhan keputusan cerai itu dikhuatiri berlaku penyalahgunaan kuasa dan campur tangan pihak tertentu dalam urusan keputusan mahkamah tersebut berkaitan kes yang difailkan itu.
Menurutnya, beliau dimaklumkan mahkamah menangguhkan keputusan itu ke tarikh lain sehingga diberitahu kelak.
Dakwanya, beliau juga dimaklumkan oleh pihak Sultan Ismail Petra bahawa Hakim Syarie, Abdullah Man telah menghadap baginda bagi mendengar sendiri pengakuan baginda berhubung lafaz cerai itu di Istana Mahkota pada 30 Oktober lalu.
"Saya dimaklumkan oleh peguam syarie saya, Tetuan Zainul Talha & Amnir bahawa mereka telah menerima sepucuk surat dari Mahkamah Syariah Kelantan yang memaklumkan keputusan kes saya melawan Elia Suhana berkaitan dengan pengesahan cerai oleh Sultan Ismail telah ditetapkan pada hari ini.
"Bagaimanapun, peguam syarie saya memberitahu mereka menerima faks yang ditandatangani oleh Ketua Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Kelantan pada 4 November lalu yang memaklumkan keputusan yang dijadualkan hari ini ditangguhkan sehingga ke tarikh lain yang akan diberitahu kelak," dakwanya di sini hari ini.
Nik Rorhana mendakwa, peguam syarie beliau telah menghubungi seorang penolong pendaftar mahkamah itu untuk mengetahui punca keputusan kes tersebut ditangguhkan.
Pada masa yang sama dakwanya, peguam syarie beliau juga meragui surat penangguhan keputusan itu kerana dikeluarkan pada 4 November lalu yang merupakan hari cuti peristiwa di Kelantan.
Bagaimanapun dakwanya lagi, penolong pendaftar mahkamah itu menyatakan beliau tidak mengetahui tentang penangguhan itu dan meminta mereka hadir ke mahkamah pada hari ini.
"Pada 6 November lalu (semalam) yang juga hari cuti hujung minggu, peguam syarie saya menerima panggilan telefon dari mahkamah bahawa keputusan kes tersebut ditangguhkan atas arahan orang atasan.
"Saya amat musykil kerana penangguhan itu dibuat ketika mahkamah sedang bercuti dan tidak dinyatakan alasan kukuh," dakwanya.
Nik Rorhana memfailkan lafaz cerai Sultan Ismail terhadap Elia Suhana di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 9 Mac lalu.
Sultan Ismail didakwa melafazkan cerai tersebut di Hospital Mount Elizabeth, Singapura pada 12 Februari lalu.