Saturday, November 8, 2014

Kes Mat Sabu: Saksi tak tahu siapa Agong pada tahun 1950


MOHD SABRI SAID | .
BUTTERWORTH: Saksi pendakwa yang kelapan iaitu Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Utara, ASP Jafri Md Zain mengakui semasa pemeriksaan balas bahawa laporan polis pihak pengadu berhubung kes Mat Indera tetap mempunyai nilai walaupun laporan polis mengandungi fakta-fakta yang tidak betul dan tidak masuk akal.

Pada perbicaraan kelmarin, saksi pendakwa itu disoal bertalu-talu oleh peguambela Mohamad Sabu, Mohamed Hanipa Maidin berhubung siasatan beliau berkenaan laporan polis yang dibuat oleh pengadu iaitu mantan pesara polis iaitu Visvanathan.

Di dalam laporan polis itu beliau menyatakan Mat Sabu menyokong komunis dan menderhaka Yang di-Pertuan Agong.

Hanipa menyoal pegawai penyiasat itu bagaimanakah laporan polis pengadu boleh dikatakan mempunyai nilai dalam keadaan dakwaan pengadu menderhaka kepada Agong adalah tidak masuk akal kerana pada tahun 1950 iaitu kejadian tragedi Bukit Kepong institusi Yang di-Pertuan Agong belum wujud lagi.

Begitu juga Hanipa membangkitkan dakwaan pengadu kononnya menyokong komunis adalah suatu yang secara jelas tidak betul kerana Mat Sabu tidak pernah sama sekali menyebut perkara tersebut di dalam mana-mana ucapannya.

ASP Jafri yang berkhidmat selama 19 tahun dengan PDRM adalah saksi kelapan pendakwa.

Beliau dan beberapa petugas PDRM telah pergi ke Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Al-Fahmi Padang Menora, Tasek Gelugor pada 21 Ogos 2011 untuk merakam tujuh keping gambar. Mat Sabu didakwa di bawah seksyen 500 Kanun Keseksaan di Mahkamah Seksyen Butterworth di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Selepas keterangan pegawai penyiasat itu perbicaraan tersebut kini ditangguhkan kepada 14 Disember 2014 depan di Mahkamah Kuala Terengganu ekoran waris kepada salah seorang polis pada kejadian Bukit Kepong, Jaafar Hasan dalam keadaan uzur dan tinggal di Terengganu.

Berikut adalah antara lain soalan Hanipa ke atas saksi pendakwa tersebut.

Soalan: Adakah kamu ada ambil statement daripada pengadu kes ini iaitu encik Visvanathan?

Jawapan: Tiada

Soalan: Berapa pegawai penyiasat dalam kes ini?

Jawapan: Saya seorang.

Soalan: Jika kamu seorang siapa pula yang ambil keterangan pengadu di bawah seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah?

Jawapan: Ada pegawai penyiasat lain.

Soalan: Maknanya bukan seoranglah..ada pegawai penyiasat lainlah?

Jawapan: Saya tak setuju.

Soalan: Kamu ada baca laporan polis pengadu.

Jawapan: Ada.

Soalan: Cuba lihat laporan polis..setuju tak dia ada kata ucapan Mohamad Sabu tentang Bukit Kepong menghina atau derhaka Yang di-Pertuan Agong?

Jawapan: Ya, betul.

Soalan: Saya nak tanya kamu pada hari kejadian Bukit Kepong tahun 1950 sebelum merdeka siapa Yang di-Pertuan Agong.

Jawapan: Saya tak tahu.

Soalan: Sebagai Pegawai Penyiasatan kamu rasa laporan polis itu ada nilai bila dia kata Mohamad Sabu hina Agong. Bila pada waktu itu Agong pun belum ada?

Jawapan: Bagi saya ada nilai.

Soalan: Kamu lihat dalam laporan polis pengadu kata Mohamad Sabu sokong komunis dalam siasatan kamu, adakah dakwaan pengadu itu betul?

Jawapan: Ya, berdasarkan trankrip ucapan Mohamad Sabu memang dia sokong komunis.

Soalan: Kamu benar-benar pasti...ingat ya kamu dalam bersumpah ini adalah kamu masih nak kekalkan keterangan kamu?

Jawapan: Ya.

Soalan: Baiklah itu pilihan kamu, sekarang cuba lihat transkrip eksibit P7. Tunjukkan pada mahkamah di mana yang dikatakan Mohamad Sabu sokong komunis.

Jawapan: (Saksi tunjuk transkrip) Tiada Tuan Hakim.

Soalan: Adakah sekarang kamu masih nak katakan laporan polis pemgadu masih ada nilai?

Jawapan: Saya tak boleh jawab Tuan Hakim.

Soalan: Kamu setuju bukan Mohamad Sabu seorang saja yang kata mereka yang lawan penjajah British adalah pejuang kemerdekaan?

Jawapan: Ya.

Soalan: Maknanya ada perbezaan pendapat siapa yang dikatakan pejuang kemerdekaan seperti boleh dilihat dalam buku Pengukir Nama Johor yang disemak oleh pakar sejarah Ramlah Adam dan kata pengantar oleh Datuk Ghani Othman mantan Menteri Besar Johor?

Jawapan: Ya.

Soalan: Kamu setuju tak ada apa warta atau keputusan kabinet ke dalam kes Bukit Kepong ni hanya ada satu saja versi yang harus dipakai tentang siapa yang dikatakan pejuang kemerdekaan?

Jawapan: Saya tak mahu jawab.

Soalan: Oleh kerana kamu sendiri setuju ada pelbagai pendapat atau versi tentang siapa yang dikatakan pejuang kemerdekaan maknanya apa yang Mohamad Sabu kata bukan satu fitnah?

Jawapan: Saya tak setuju kerana apa yang dia kata tak sama dengan pendapat yang satu lagi.

Soalan: Bukan kamu sendiri dah mengaku ada lebih satu pendapat...tak apalah itu sahaja soalan saya Tuan Hakim. -HARAKAHDAILY 8/11/2014

Tindakan Anwar akibat pengalaman lampau


Gopal Sri Ram
Gopal Sri Ram
PUTRAJAYA - Peguam utama Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Gopal Sri Ram, dalam hujah penutupnya bagi rayuan terakhir pemimpin pembangkang terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun, memberitahu Mahkamah Persekutuan bahawa penasihat PKR itu tidak patut dipersalahkan kerana memilih memberikan kenyataan dari kandang tertuduh berhubung konspirasi untuk menamatkan karier politiknya.

Sri Ram, seorang bekas hakim Mahkamah Persekutuan berkata, Anwar memilih untuk melakukan ini kerana pengalaman masa lalu di mana mahkamah rendah mensabitkan beliau atas tuduhan yang sama (kerana meliwat pemandu keluarganya, Azizan Abu Bakar) tetapi kemudiannya dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 2-1.

Beliau juga memberitahu panel lima hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria bahawa dalam kes semasa yang melibatkan Mohd Saiful Bukhari, pengadu adalah seorang lelaki yang mempunyai motif dan saksi yang tiada nilai.   

"Hakim perbicaraan (Mahkamah Tinggi) itu terkhilaf apabila memberikan banyak tumpuan kepada pembuktian apabila kredibiliti Mohd Saiful Bukhari diragui," beliau memberitahu panel lima hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria pada hari kelapan prosiding rayuan.

Sri Ram juga menyebut beberapa kes undang-undang yang menyatakan apabila kredibiliti itu kurang, maka pembuktian tidak lagi relevan.

Beliau berkata, pada peringkat pembelaan, hakim perbicaraan telah memutuskan bahawa ia bukan 100 peratus selamat untuk mensabitkan Anwar memandangkan keterangan saksi utama (Mohd Saiful Bukhari) tidak menyokong bukti DNA yang merupakan titik penting kes pendakwaan.

Sebelum itu, Sri Ram memberitahu mahkamah bahawa gambar Mohd Saiful Bukhari menghidangkan teh di rumah Anwar sehari selepas kejadian yang didakwa itu perlu diterima sebagai eksibit memandangkan orang yang di dalam gambar itu mengakui bahawa dia ada di sana, tanpa memanggil siapa yang membancuhnya.

Beliau berkata, foto itu adalah relevan untuk menunjukkan perilaku Mohd Saiful Bukhari, yang mana pihak pembelaan berhujah kelihatan normal dan gembira, tetapi ia tidak ditandakan sebagai eksibit semasa perbicaraan. - Bernama

MB Selangor Terima 1,000 SMS Sehari Lapor Sampah Tidak Dikutip


Diterbitkan: Jumaat, 7 November 2014 7:48 PM

SEPANG: Menteri Besar Selangor, Azman Ali mendakwa telah menerima hampir 1,000 khidmat pesanan ringkas (SMS) dalam tempoh sehari selepas mempelawa penduduk negeri tersebut memaklumkan terus kepadanya mengenai masalah sampah yang tidak dikutip.
Beliau bagaimanapun tidak terkejut dengan jumlah tersebut kerana mensasarkan lebih banyak SMS sepatutnya diterima selepas membuat pelawaan berkenaan.
"Inilah sebenarnya yang rakyat mahukan dari kami...mahu sampah dikutip.
"Mereka tidak tanyakan tentang projek (tender). Mereka hanya mahukan kawasan perumahan yang bersih," katanya ketika menghadiri perhimpunan bulanan agensi-agensi kerajaan di Bandar Baru Salak Tinggi di sini, Jumaat.
Pada Rabu lalu, Azmin telah memberikan nombor telefon bimbitnya menerusi laman sosial Twitter dengan berkata,"Kalau anda nampak ada sampah belum kutip, anda text saya. Ini nombor saya, 012-2052020. Saya mahu Selangor Bersih!."
Beliau menambah, kesemua SMS tersebut telah dihantar kepada pihak berkuasa tempatan mengikut kawasan masing-masing dan akan memastikan tindakan diambil secepat mungkin.
"Ini merupakan usaha berterusan dalam tempoh tiga bulan dan selepas itu kita akan berusaha memastikan kawasan perumahan menjadi bersih.
"Saya sentiasa mengharapkan lebih banyak SMS diterima selepas ini," ujar Azmin.

Menteri Luar Latvia Mengaku Dia Adalah Seorang Gay


Diterbitkan: Jumaat, 7 November 2014 8:19 PM
Menteri Luar Latvia, Edgars Rinkevics mendedahkan siapakah dirinya yang sebenar menerusi laman Tweeter.

RIGA: Menteri Luar Latvia, Edgars Rinkevics mencipta sejarah sebagai ahli politik yang pertama negaranya membuat pengakuan terbuka yang dia adalah seorang gay.

Beliau menyatakan demikian dalam beberapa siri 'tweets' yang dimuatnaikkannya sendiri.

"Saya dengan rasa bangga ingin mengumumkan bahawa saya adalah seorang gay...," katanya pada lewat malam Khamis.

Pengakuan terbukanya itu telah menjadi viral dalam laman sosial twitter.

"Negara kita perlu membentuk satu kerangka undang-undang untuk semua jenis pasangan dan saya akan memperjuangkan hak ini," ujarnya lagi.

Latvia yang mempunyai hanya dua juta penduduk adalah sebuah negara Baltik bekas sekutu Kesatuan Soviet yang konservatif.

Rinkevics, 41, sebelum ini pernah menjadi sasaran kempen memburuk-burukkannya berhubung orientasi seksnya.

Ketika pilihan raya parlimen bulan lalu, dia sekali lagi menjadi sasaran kempen anti-gay.

Latvia bersama-sama dua lagi negara Baltik iaitu Lithuania dan Estonia telah menyertai Kesatuan Eropah pada 2004 selepas mereka merdeka ekoran perpecahan Kesatuan Soviet pada tahun 1990-91.

MH17: Mungkin Tak Semua Mayat Dapat Ditemui - Rutte


Diterbitkan: Sabtu, 8 November 2014 11:17 AM
Rutte (depan) dan Abbott menanam pokok silver birch ketika lawatan kerja dua hari ke Australia.

CANBERRA: Kemungkinan tidak semua mayat mangsa tragedi MH17 boleh ditemui, itulah pengakuan yang dibuat Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte pada Jumaat malam.

Rutte bagaimanapun memuji profesionalisme ditunjukkan pasukan itu serta pegawai pertahanan Australia kerana kepantasan bertindak dan menangani situasi itu.

Namun beliau mengakui walaupun mereka semua bertungkus-lumus membuat yang terbaik, pasti akan ada mayat mangsa yang tidak dapat dikembalikan kepada keluarga masing-masing.

“Masih banyak yang belum ditemui. Kami masih berusaha keras mencari semua sisa mayat.

“Seboleh-bolehnya kami mahu mengembalikan mereka semua kepada keluarga tersayang, namun hakikatnya kami mungkin tidak dapat berbuat demikian. Apa yang pasti kami tetap akan berusaha,” katanya.

Rutte berkata demikian selepas beliau dan Perdana Menteri Australia, Tony Abbott menemui 600 rakyat Australia yang terbabit dalam usaha mencari mayat mangsa tragedi 17 Julai lalu itu.

Pertemuan itu diadakan sempena lawatan bersama kedua-dua pemimpin negara itu ke ibu pejabat Jabatan Hal Ehwal Luar dan Perdagangan di sini.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan Australia yang terbabit dalam usaha mencari dan menyelamat sejurus selepas kejadian berlaku.

32 Kereta Kebal Rusia Melintasi Sempadan Ukraine


Diterbitkan: Jumaat, 7 November 2014 8:39 PM

KIEV: Angkatan Tentera Ukraine mendakwa mereka telah mengesan pergerakan 32 buah kereta kebal milik Rusia serta beberapa lagi senjata berat melintasi sempadan negara itu dari Rusia.
Insiden ini berlaku hanya beberapa hari selepas lima orang terkorban manakala 31 lagi tercedera dalam pertempuran di antara pihak pemisah dengan tentera kerajaan di kawasan yang bergolak di Timur Ukraine.
Agensi berita AFP memetik jurucakap tentera, Andriy Lysenko sebagai berkata, satu pergerakan konvoi yang melibatkan 32 buah kereta kebal, 16 buah meriam howitzer dan 30 trak yang sarat dengan anggota tentera melintasi sempadan negara itu menerusi kawasan yang dikuasai pemberontak di wilayah Lugansk pada Khamis.
Kata Lysenko lagi, ia kemudian diikuti oleh sekumpulan trak yang membawa tentera dan tiga buah kenderaan berat yang membawa radar menyeberangi satu lagi poin sempadan tidak jauh dari situ.
Kerajaan pusat Ukraine sentiasa mendakwa yang Rusia berada di belakang puak pemberontak yang terdiri daripada etnik Rusia yang menuntut kemerdekaan wilayah mereka sendiri daripada Ukraine.

Anwar puji semua hakim yang dengar kes rayuannya

JUMAAT, 7 NOVEMBER 2014 @ 5:21 PM

 
PUTRAJAYA: Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memuji semua panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang terbabit dalam prosiding rayuan akhir terhadap kes liwatnya ke atas bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Berucap di hadapan penyokongnya di luar mahkamah, petang ini, Anwar berkata kelima-lima hakim berkenaan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria bertindak profesional dan memberi masa sepenuhnya kepada beliau sepanjang lapan hari proses rayuan berlangsung.

"Hari ini hakim membuat keputusan untuk menangguhkan prosiding kerana memerlukan masa untuk membuat keputusan, ini mungkin juga kerana kes ini terlalu berat.

"Saya memuji semua lima hakim yang mendengar perbicaraan berkenaan kerana memberi masa sepenuhnya kepada saya dan tidak mengganggu sebarang hujah semasa prosiding berlangsung," katanya.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan menangguhkan keputusan rayuan kerana memerlukan masa untuk membuat keputusan.

Tun Arifin berkata mahkamah akan menetapkan keputusan pada satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Persoalan berbangkit siapa sebenarnya bunuh Osama

WASHINGTON: Anggota pasukan komando Tentera Laut 'Seal' Amerika Syarikat (AS) yang membunuh Osama bin Laden di tempat persembunyiannya di Pakistan pada Mei 2011 bercanggah antara satu sama lain ketika membuat dakwaan mengenai siapa sebenarnya menembak pemimpin al-Qaeda itu.
Akhbar 'The Washington Post' menyiarkan laporan semalam memetik Rob O'Neill, bekas anggota SEAL, sebagai mendakwa dia menembak mati Osama di dahinya selepas O'Neill menyerbu masuk ke bilik di rumah Osama di Abbottabad.
Dakwaan oleh O'Neill, yang menjelajah ke seluruh negara untuk menyampaikan ucapan motivasi, dipatahkan oleh satu sumber yang dekat dengan anggota pasukan SEAL.
Sumber itu, yang tidak mahu namanya disebut, berkata anggota pasukan memberitahunya tembakan maut itu dilepaskan oleh seorang daripada dua orang yang masuk ke bilik berkenaan sebelum O'Neill.
Akhbar berkenaan berkata O'Neill mengakui tembakan turut dilepaskan ke arah Osama oleh sekurang-kurangnya dua lagi anggota pasukan SEAL, termasuk Matt Bissonnette, bekas anggota SEAL yang menulis buku mengenai serbuan itu bertajuk 'No Easy Day' pada 2012.
Buku itu tidak menyatakan siapa yang menembak Osama.
'NBC News' memetik Bissonnette semalam sebagai berkata: "Dua orang berlainan menceritakan dua cerita berbeza bagi dua sebab tidak sama...Apa juga yang dia (O'Neill) kata, biarkanlah.
"Saya tidak mahu menyentuhnya."
Tahun lalu, beberapa penerbitan lain mempersoalkan kandungan temu ramah majalah 'Esquire' dengan anggota SEAL yang tidak dinamakan yang mendakwa menembak Osama. Ramai yang menyangka anggota SEAL yang tidak dinamakan itu adalah O'Neill.
Sementara itu, satu artikel bertajuk 'Siapa sebenarnya bunuh Osama', oleh Peter Bergen, penganalisis CNN dan pakar al-Qaeda, memetik anggota pasukan SEAL yang sedang berkhidmat ketika itu sebagai berkata cerita yang disiarkan oleh majalah 'Esquire' itu adalah satu pembohongan. - REUTERS

Tiada harapan temui mayat lagi

Agensi
Canberra: Perdana Menteri Belanda Mark Rutte semalam mengakui kemungkinan tidak semua mayat mangsa tragedi MH17 boleh ditemui.
Rutte membuat pengakuan itu selepas dia dan Perdana Menteri Australia Tony Abbott menemui 600 kakitangan Australia yang terbabit dalam usaha mencari mayat mangsa tragedi 17 Julai lalu itu ketika lawatan bersama ke ibu pejabat Jabatan Hal Ehwal Luar dan Perdagangan di sini.
Rutte bagaimanapun memuji profesionalisme ditunjukkan pasukan itu serta pegawai pertahanan Australia kerana kepantasan bertindak dan menangani situasi itu.
Namun dia mengakui walaupun mereka semua bertungkus-lumus membuat yang terbaik, pasti akan ada mayat mangsa yang tidak dapat dikembalikan kepada keluarga masing-masing.
“Masih banyak yang belum ditemui. Kami masih berusaha keras mencari semua sisa mayat.
“Seboleh-bolehnya kami mahu mengembalikan mereka semua kepada keluarga tersayang, namun hakikatnya kami mungkin tidak dapat berbuat demikian. Apa yang pasti kami tetap akan berusaha,” katanya.
Dia turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan Australia yang terbabit dalam usaha mencari dan menyelamat sejurus selepas kejadian berlaku.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 November 2014 @ 5:17 AM


Usaha masih diteruskan untuk mencari mayat mangsa di lokasi nahas MH17.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/7445#sthash.kgJgVjTT.dpuf

Pembunuh Osama dedah identiti


REUTERS - GAMBAR fail pada 2 Mei 2011 menunjukkan pekarangan kediaman Osama di Abbottabad, Pakistan selepas Ketua al-Qaeda itu dibunuh oleh komando SEAL.


WASHINGTON – Seorang bekas komander Tentera Laut (SEAL) Amerika Syarikat (AS) yang mengaku menembak ketua al-Qaeda di dahi, mendedahkan identitinya kepada umum kelmarin.
Robert O'Neill, 38, memberitahu akhbar The Washington Post dalam satu temu bual bahawa dia melepaskan dua das tembakan yang membunuh Osama bin Laden. O’Neill pertama kali mendedahkan kisah tersebut kepada majalah Esquire pada Februari 2013 yang menamakan dirinya sebagai ‘si penembak’.
Seorang komando dan seorang bekas komando SEAL mengesahkan kepada agensi berita Associated Press (AP) bahawa O'Neill telah lama diketahui sebagai orang yang menembak dan membunuh Osama.
Ketua al-Qaeda itu bertanggungjawab mendalangi serangan ke atas AS pada 11 September 2001.
O'Neill memberitahu The Washington Post bahawa beberapa das tembakan turut dilepaskan oleh dua lagi komando SEAL, termasuk Matt Bissonnette yang menceritakan tentang serbuan terhadap Osama di sebuah kediaman di Abbottabad, Pakistan dalam bukunya, No Easy Day.
Dia dijadualkan muncul dalam beberapa segmen saluran Fox News pada minggu depan.
O’Neill memberitahu akhbar berkenaan bahawa dia membuat keputusan untuk membuat pendedahan umum kerana bimbang identitinya dibongkar oleh orang lain.
Kebimbangan bekas komando itu menjadi nyata apabila namanya disiarkan oleh laman web SOFREP Isnin lalu.
Tindakan O’Neill dan Bissonnette itu bagaimanapun menimbulkan kemarahan sebilangan anggota tentera AS.
Dalam sepucuk surat terbuka bertarikh 31 Oktober lalu, Laksamana Muda Brian Losey menggesa anggota komando SEAL supaya tidak mencari publisiti dalam komen yang dipercayai ditujukan kepada O’Neill dan Bissonnette. – AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1108&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3IQYRpy8V 
Hakcipta terpelihara 

Sampah pertanian punca banjir


a
CAMERON HIGHLANDS 7 Nov. – Selain hujan lebat berterusan, pembuangan sampah pertanian yang tidak terkawal turut menjadi punca utama bencana banjir kilat dan tanah runtuh di daerah ini.
Lebih membimbangkan, Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid (gambar) berkata, aktiviti pertanian yang tidak terkawal di kawasan rizab sungai memburukkan tragedi tersebut.
Belau berkata, satu pelan jangka panjang harus difikirkan oleh pihak berkaitan khususnya kerajaan negeri, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta agensi-agensi lain bagi mengelakkan kejadian banjir kilat di daerah ini berlarutan pada setiap tahun.
Katanya, bagi pelan jangka pendek, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mengambil beberapa langkah termasuk memperuntukkan sebanyak RM40 juta untuk aktiviti mengorek sungai serta empangan.
“Aktiviti pertanian di kawasan rizab sungai semakin berleluasa, terlalu banyak kawasan rizab yang telah ‘dimakan’ oleh kumpulan tersebut menjadikan daerah ini berhadapan masalah banjir.
“Bagaimana mahu berhadapan dengan petani-petani yang menjalankan aktiviti di atas tanah rizab ini, kementerian dan TNB tidak mempunyai kuasa ke atas mereka. Ada baiknya kerajaan negeri, JPS dan agensi berkaitan duduk berbincang. Jika tidak, banjir ini akan berlaku setiap tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan di sekitar kawasan Empangan Sultan Abu Bakar, dekat sini hari ini.
Sebagai panduan, keluasan tanah rizab sungai membabitkan kawasan seluas 20 meter di kiri dan kanan sungai.
Mengulas lanjut, Mahdzir memberitahu, ketika berlakunya kejadian banjir kilat kelmarin, jumlah sampah yang tersumbat di kawasan empangan mencecah tiga tan beratnya.
“Kadar normal ialah sekitar dua tan sampah seminggu, tetapi disebabkan hujan lebat dan aktiviti pertanian yang terlalu rancak ini, jumlah itu meningkat dengan mendadak,” jelas beliau.
Menurut Mahdzir, TNB telah pun berhubung dengan pihak Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bertam Valley yang terjejas teruk akibat banjir kilat berkenaan.
Katanya, pihak TNB telah menawarkan untuk memindahkan sekolah berkenaan ke bangunan baharu yang selamat tetapi masih dalam jarak lingkungan sesuai dengan penempatan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/sampah-pertanian-punca-banjir-1.22156#sthash.3JgODJeP.dpuf

Hampir seluruh Cameron Highlands diteroka


Aktiviti pertanian, pembangunan dilakukan tanpa kawalan


Kawasan berbukit  yang ditarah untuk ditanam sayur oleh pekebun
Kawasan berbukit yang ditarah untuk ditanam sayur oleh pekebun dirakamkan di Blue Valley, Cameron Highlands, Pahang, semalam. – UTUSAN/Zulkarnain Mohd. Saidin
CAMERON HIGHLANDS 7 Nov. - Hampir keseluruhan tanah di daerah ini sedang diteroka sama ada secara sah atau haram bagi tujuan pertanian dan juga pembangunan.
Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands, R. Ramakrishnan berkata, meskipun perkara itu dilakukan secara terang-terangan sejak beberapa tahun lalu, tiada tindakan drastik diambil oleh kerajaan negeri serta pihak berkuasa.
Katanya, tiadanya pemantauan ketat yang dilakukan oleh pihak berkuasa menyebabkan aktiviti meneroka tanah pertanian secara haram semakin berleluasa.
“Kalau kawasan yang diterokai itu adalah pedalaman, mungkin kerajaan negeri serta pihak berkuasa boleh beri alasan terlepas pandang, tetapi aktiviti pencerobohan berlaku di tepi-tepi jalan utama.
“Kami banyak terima aduan daripada penduduk di sini bahawa berlakunya aktiviti penerokaan tanah di kawasan yang jelas terpacak papan tanda dilarang menceroboh. Tetapi tiada tindakan daripada pihak berkuasa, mereka seolah-olah bersikap lepas tangan dan tidak melakukan pemantauan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai bencana banjir kilat kedua yang melanda daerah ini dalam tempoh dua tahun yang telah mengorbankan sembilan nyawa.
Mengulas lanjut, Ramakrishnan juga menzahirkan kebimbangan terhadap penggunaan racun serangga secara tidak terkawal.
Katanya, hasil tanaman di negeri ini tidak lagi diterima oleh Singapura kerana faktor racun tersebut yang boleh membahayakan kesihatan orang ramai.
“Selain itu, pembangunan projek di negeri ini diluluskan tanpa kawalan. Tiada pemantauan dilakukan terhadap projek pembangunan menyebabkan faktor keselamatan sekitar kawasan ini boleh dipertikaikan,” jelas beliau.
Dalam pada itu, menurut seorang aktivis alam sekitar yang hanya mahu dikenali sebagai Raja, 35, daerah ini akan hilang status lokasi pelancongan sekiranya aktiviti pencerobohan tanah pertanian haram terus berleluasa.
Beliau yang merupakan anak jati daerah ini mendakwa, apa yang berlaku di daerah ini adalah disebabkan perbuatan rasuah oleh beberapa kakitangan agensi awam yang tidak bertanggungjawab.
“Apa yang saya kesalkan ialah tiada tindakan diambil oleh kerajaan negeri terhadap perkara ini. Sejak berlakunya tragedi banjir kilat tahun lalu, jumlah penerokaan tanah pertanian haram bukan sahaja tidak berkurang, malah bertambah setiap hari.
“Ahli Parlimen pula seperti tidak membantu dalam isu ini sehinggakan penduduk di sini berasa sangat kecewa. Dulu pun berlaku hujan lebat, tetapi tidak terjadi bencana seperti hari ini,” jelas beliau.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/hampir-seluruh-cameron-highlands-diteroka-1.22177#sthash.EFa2xJ5K.dpuf

Keputusan rayuan Anwar ditangguh tarikh lain



Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA 7 Nov. - Rayuan akhir Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berlanjutan selama lapan hari bernoktah hari ini apabila Mahkamah Persekutuan menetapkan tarikh lain bagi keputusan sama ada membebaskan atau memenjarakan beliau atas kesalahan meliwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan.
Panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria menangguhkan keputusan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak bagi membolehkan panel bersidang meneliti penghujahan panjang lebar yang dikemukakan oleh pihak pembelaan dan pendakwaan.
Beliau menyatakan, mahkamah memerlukan masa bagi meneliti isu-isu yang dibangkitkan yang terkandung dalam sejumlah 14 dokumen penghujahan bertulis serta ikatan nas undang-undang sebelum membuat keputusan muktamad terhadap rayuan Ketua Pembangkang tersebut.
Sehubungan itu, jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin yang dikenakan terhadap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dikekalkan sementara menunggu keputusan rayuan tersebut.
Hakim Arifin bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md. Raus Sharif, Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.
Sebaik sahaja mahkamah selesai bersidang selama kira-kira 40 minit, kedua-dua pihak pembelaan dan pendakwaan dilihat berjabat tangan sesama sendiri sementara Anwar bergegas memeluk para peguamnya sambil meluahkan penghargaan kepada mereka.
Mahkamah penuh sesak dengan ahli keluarga, para penyokongnya, petugas media serta orang awam sejak hari pertama panel itu bersidang sehingga ditangguhkan.
Penghujahan yang bermula pada 28 Oktober lalu dan berlarutan sehingga lapan hari disifatkan sebagai rayuan terpanjang bagi kes jenayah yang didengar oleh mahkamah tertinggi negara.
Rayuan itu yang sepatutnya berlangsung selama dua hari dilanjutkan hingga hari ini disebabkan pelbagai isu yang ditimbulkan oleh peguam bela Anwar diketuai oleh bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram.
Selain beliau, peguam-peguam yang turut mengemukakan hujah ialah Ramkarpal Singh, N. Surendran, Sangeet Kaur Deo dan Gobind Singh Deo manakala pihak pendakwaan diketuai oleh Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah.
Pada prosiding hari ini, Sri Ram menggulung hujah dengan menyatakan, mahkamah wajar membebaskan Anwar dan memaafkannya dengan mengambil kira isu konspirasi politik terancang yang dibangkitkannya dalam pembelaan.
Beliau menghujahkan, panel itu harus memberi pertimbangan bahawa Anwar pernah didakwa, disabitkan atas kesalahan serupa sebelum dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan lain dengan keputusan majoriti 2-1 pada 2 September 2004.
Hujah Sri Ram, anak guamnya kemudian ditahan, didakwa atas tuduhan serupa dan disabitkan oleh Mahkamah Rayuan yang berpuas hati bahawa Mohd. Saiful Bukhari merupakan saksi yang boleh dipercayai sedangkan dakwanya, keterangan saksi itu sangat goyah dan mempunyai banyak pertikaian.
Beliau menghujahkan, Mah­kamah Rayuan terkhilaf kerana menolak keterangan saksi-saksi yang lebih berwibawa termasuk Dr. Mohamed Osman Abdul Hamid yang mula-mula memeriksa mangsa dan tidak menemukan sebarang kemasukan zakar dalam duburnya.
Hujah beliau, Mahkamah Rayuan juga tersalah arah dari segi undang-undang kerana gagal mempertimbangkan bahawa Mohd. Saiful Bukhari merupakan saksi yang mempunyai motif dan berkepentingan berikutan dakwaan liwat terhadap Anwar.
Sebaik sahaja Sri Ram selesai berhujah, Muhammad Shafee bangun memohon kebenaran mahkamah untuk berhujah lanjut berhubung isu `kerelaan’ yang mengaitkan Mohd. Saiful Bukhari dengan pertuduhan terhadap Anwar.
Bagaimanapun, panel bersidang memaklumkan bahawa beliau tidak perlu berhujah lanjut kerana mereka boleh membaca dokumen bertulis dan nas undang-undang yang dikemukakan.
Hakim Arifin menyatakan, permohonan itu hanya dibenarkan jika penghujahan melibatkan isu baharu kerana jika tidak, prosiding rayuan itu tidak akan ada penyudahnya.
Mahkamah sedang mendengar rayuan akhir Ahli Parlimen Permatang Pauh itu terhadap sabitan dan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya pada 2008 yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu.
Penghakiman itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari 2012 yang melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan tersebut.
Anwar, 67, disabit bersalah meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 28, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di ibu negara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/keputusan-rayuan-anwar-ditangguh-tarikh-lain-1.22174#sthash.s4IiGD1N.dpuf

Lapan pelajar UM hadir perbicaraan disiplin


LAPAN pelajar Universiti Malaya (UM) bersama wakil masing-masing
LAPAN pelajar Universiti Malaya (UM) bersama wakil masing-masing menghadiri pendengaran disiplin di Kompleks Perdana Siswa, Universiti Malaya di Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN
KUALA LUMPUR 7 Nov. - Lapan pelajar Universiti Malaya (UM) bersama wakil masing-masing hari ini menghadiri pendengaran perbicaraan disiplin di Kompleks Perdana Siswa, universiti tersebut hari ini.
Kesemua pelajar berkenaan dikenakan tindakan tersebut selepas didapati terlibat secara langsung dalam himpunan sempena pidato Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, 27 Oktober lalu.
Lapan pelajar berkenaan adalah Presiden Persatuan Mahasiswa UM (PMUM), Fahmi Zainol; Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM), Khairol Najib Hashim dan Presiden Pro-Mahasiswa UM, Safwan Shamsuddin.
Turut dibicarakan adalah Naib Presiden PMUM, Haw Yu Hong; Exco PMUM, Adam Fistival Wilfrid dan Syamimi Munirah; ahli PMUM, Abraham Au Tian Hui serta Khairul Anwar.
Manakala tujuh wakil pelajar-pelajar berkenaan terdiri daripada empat pensyarah Prof. Madya Dr. Azmi Sharom, Maimuna Merican, Dr. Lee Hwok Aun, Dr. Aznijar dan tiga pelajar dari Fakulti Undang-Undang UM, Marcus Lee Min Lun, Kamariah Rahman serta Nur Farhan Ismail. - UTUSAN ONLINE
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/lapan-pelajar-um-hadir-perbicaraan-disiplin-1.21857#sthash.SD0WHUE8.dpuf

Pihak berkuasa didakwa ‘tutup mata’


Cameron Highlands_08112014
Air Sungai Ringlet naik selepas hujan lebat yang menyebabkan kejadian banjir kilat berulang di Kampung Baru Ringlet, Cameron Highlands, Pahang, semalam.
CAMERON HIGHLANDS 7 Nov. – Sikap berdiam diri pihak berkuasa tempatan terhadap aduan mengenai kegiatan penerokaan tanah secara haram untuk pertanian yang berleluasa di daerah ini menimbulkan kemarahan penduduk.
Penduduk memberitahu, sikap sambil lewa pihak berkuasa bukan sahaja menyebabkan mereka kecewa dan berputus asa malah beranggapan golongan itu telah dibayar untuk 'menutup mulut'.
Seorang penduduk, M. Shekar, 45, memberitahu, pembukaan kebun secara haram yang semakin berleluasa adalah dalam pengetahuan pihak berkuasa namun tiada sebarang tindakan diambil.
Katanya, ini mencetuskan persoalan apabila pihak berkuasa tempatan tidak mampu untuk bertindak.
“Kejadian banjir kilat dan tanah runtuh bukan perkara baharu. Sudah banyak aduan yang kami buat tetapi keadaannya tetap serupa. Kebun-kebun haram bukan semakin sedikit tetapi bertambah banyak.
“Mereka jangan cakap tidak tahu mengenai perkara ini. Jika cakap tidak tahu memang penipu,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Juliana Sadri, 43, beliau kesal apabila terpaksa berhadapan dengan pelbagai tragedi yang bukan sahaja memusnahkan harta benda malah mengorbankan nyawa.
Katanya, lebih menyedihkan apabila setiap laporan yang dibuat tidak kira kepada pemimpin tempatan ataupun menteri, semuanya tidak diambil peduli dan didiamkan begitu sahaja.
Bagi R. Margaret Roslin, 49, sejak 30 tahun menetap di daerah itu, jarang kejadian banjir kilat dan runtuhan berlaku kecuali sejak beberapa tahun kebelakangan ini ekoran penerokaan secara haram yang tidak lagi terkawal.
“Sekarang hujan lebat sekejap sahaja, air sungai cepat naik. Ini semua disebabkan oleh penerokaan tanah yang tidak terkawal.
“Pihak berkuasa perlu ambil tindakan, jangan hanya tahu bercakap kosong. Semua aduan kami ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri,’’ katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/pihak-berkuasa-didakwa-8216-tutup-mata-8217-1.22158#sthash.jvXSKoeH.dpuf