Friday, May 6, 2011

‘Arwah berubah jadi panas baran’


PASIR MAS: “Arwah berubah sikap menjadi panas baran tanpa sebab sehingga meminta saya membencinya. Memang sedih apabila dia kata begitu, namun saya hanya mendiamkan diri.
“Tidak sangka itu petanda saya akan kehilangannya,” kata Rosliza Che Ramli, 32, isteri kepada Ariff Che Mohd Zain, 35, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 11, Jalan Pasir Mas-Tanah Merah, To’ Uban di sini, malam kelmarin.

Selain Ariff, mangsa lain yang maut ialah Muhammad Faizal Fakruddin,16, Chik Shamsuddin Mat Ghapar, 16, dan Wee Thai Kit, 40, Rosliza berkata sebelum kejadian, dia sempat membeli keperluan dapur bersama suaminya di kedai berhampiran rumah mereka di Cabang Tiga, Chekok di sini, sebelum suaminya sekali lagi keluar untuk mengambil anak sulung mereka, Aliff Azhan, 12, di rumah ibunya di Kampung Semubal.

Menurutnya, berikutan tayar kereta dan motosikalnya pancit, suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori pasir itu meminjam motosikal adiknya.

“Kami berdua bekerja, jadi anak ditinggalkan di rumah ibu saya. Ketika itu, hanya Aliff berada di rumah. Selepas selesai membeli barang dapur, dia (suami) berbasikal ke rumah ibunya untuk meminjam motosikal adiknya sebelum mengambil Aliff,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Menurut Rosliza, suaminya keluar dalam keadaan tergesa-gesa dan tidak lama kemudian dia dikejutkan dengan panggilan daripada adiknya, Che Mohd Fazri, 27, memaklumkan kemalangan yang menimpa suami dan anaknya.


“Jantung saya berdebar-debar menjawab panggilan sebelum bergegas ke Hospital Pasir Mas (HPM),” katanya.

Menurutnya, suaminya juga sentiasa berpesan kepada anak-anaknya supaya menjaga diri apabila dia sudah tiada.
“Pada saya pun, dia cakap perkara sama. Dia suruh saya bawa anak-anak tinggal dengan ibu apabila dia sudah tiada. Dengan anak-anak, dia memang tegas kerana mahu mendisiplinkan mereka namun arwah bapa penyayang,” katanya.

Rosliza berkata Aliff yang cedera di muka sudah dibenar keluar dari hospital tetapi asyik menangis kerana teringatkan bapanya.

Allahyarham meninggalkan lima anak berusia antara tiga hingga 12 hingga dengan empat daripadanya bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Cabang Tiga, Chekok.

Jenazah Ariff dikebumikan di Tanah Perkuburan Cabang Empat di sini, tengah hari semalam.

Dalam pada itu, Muhammad Fakhrul Fakruddin, 18, abang kepada Muhammad Faizal berkata, adiknya bersikap pelik apabila memintanya memasak burger istimewa untuknya.

“Beberapa jam sebelum meninggal dunia, adik saya beria-ia meminta saya memasak burger untuknya padahal sebelum ini tidak pernah dia berbuat demikian.

“Sebelum ini memang dia memasak sendiri jika mahu makan burger di gerai milik bapa saudara kami di Cabang To’ Ubani,” katanya.

Menurutnya, adiknya sering bersama sepupunya itu menunggang motosikal jika mahu ke mana-mana dan petang kelmarin, Muhammad Faizal memberitahu mahu ke To’ Uban untuk tidur di rumah emak saudaranya bersama Chik Shamsuddin,” kata ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Pasir Mas (HPM) di sini, malam kelmarin.

Shakinah mungkin ditimbus pasir


SEREMBAN: “Kami sekeluarga tidak pernah sesekali berputus asa untuk mencari dia (Shakinah) dan sentiasa sabar menanti walaupun sudah beberapa hari tragedi ini,” kata Wan Aziz Wan Abdullah, 38, bapa saudara kepada tiga beradik yang dihanyutkan arus deras ketika mandi di Hutan Lipur Ulu Bendol, di sini, Selasa lalu.
Kelmarin, mayat Nur Syaza Alisa Said Ahmad, 5, ditemui pada jam 3.15 pagi, manakala mayat adiknya, Nur Syaza Azera, 4, ditemui pada jam 10.20 pagi, masing-masing kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian dan berdekatan Sekolah Kebangsaan Ulu Bendol.

Bagaimanapun, hingga petang semalam, Nur Syaza Shakinah, 2, belum ditemui dan operasi pasukan mencari serta menyelamat masih diteruskan.

Menurut Wan Aziz, selain berusaha meneruskan operasi mencari bersama pihak berkuasa, mereka sekeluarga turut menggunakan kaedah alternatif lain seperti merujuk kepada pakar perubatan tradisional.

“Berdasarkan firasat seorang pakar perubatan tradisional yang ditemui, Shakinah berkemungkinan ditimbus oleh pasir atau berada di celahan batu di sekitar kawasan hutan lipur berkenaan.

“Ia berikutan saiz tubuhnya yang lebih kecil berbanding dua kakaknya. Pasukan penyelamat sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan sedang berusaha mencari mangsa di merata tempat di seluruh kawasan berkenaan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Ixora Senawang di sini, semalam.


Turut hadir isteri Menteri Besar, Raja Datin Seri Salbiah Tunku Nujumuddin yang meluangkan masa menziarah ibu mangsa, Wan Azlela Wan Abdullah, 33.

Wan Aziz berkata, walaupun masih tiada sebarang tanda diketahui, mereka sekeluarga sentiasa berdoa kepada Allah supaya Shakinah dijumpai secepat mungkin.
Sementara itu, Wan Azleela yang kelihatan sebak berkata, dia sememangnya tidak menyangka akan kehilangan ketiga-tiga anak perempuannya dalam keadaan ngeri seumpama itu.

“Saya masih terbayang saat terakhir menemui mereka yang sempat memeluk tubuh sambil mencium pipi saya beberapa kali.

“Apa yang paling menyedihkan adalah ‘Adik’ (Shakinah) sempat meronta-ronta supaya tidak ditinggalkan dan saya berjanji untuk datang semula serta membelikannya aiskrim. Namun, saya kesal dan terkilan kerana tidak gagal berbuat demikian,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Jaafar Baba berkata, pihaknya kesal tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab membuat panggilan palsu berkaitan penemuan mayat mangsa sejak hari pertama kejadian.

Bekas menteri Mesir dijel


KAHERAH: Mahkamah semalam menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun kepada bekas Menteri Dalam Negeri Mesir, Habib al-Adly kerana rasuah dalam perbicaraan pertama pegawai daripada pemerintahan Presiden Hosni Mubarak yang digulingkan.
Habib yang bertanggungjawab ke atas pasukan keselamatan Hosni lebih sedekad sebelum pemimpin itu digulingkan didapati bersalah kerana pecah amanah dan mengumpul kekayaan ketika memegang jawatan.

Dia mengaku tidak bersalah atas kedua-dua tuduhan. Dakwaan dibuat ekoran penjualan tanah milik Habib selepas dia meminta pegawai polis mencari pembeli yang menawarkan harga tertinggi. - AFP

Komputer ketua al-Qaeda dijangka bongkar rahsia


WASHINGTON: Pegawai perisikan Amerika Syarkat yang menyelongkar komputer dan peranti penyetoran yang ditemui di kediaman Osama bin Laden di Pakistan menjangka memperoleh banyak data penting.
Data berkenaan mungkin boleh mendedahkan rancangan serangan, lokasi tokoh al-Qaeda lain dan sumber kewangan. Kelengkapan yang dirampas selepas pembunuhan Osama dalam serangan Ahad lalu, termasuk lima komputer, 10 cakera padat dan 100 peranti penyetoran, adalah pencapaian penting bagi Amerika Syarikat dalam memerangi Al-Qaeda, kata pakar.

“Saya akan terkejut jika ia bukan ‘lombong emas’ untuk kami,” kata bekas Timbalan Pengarah CIA, John McLaughlin.

“Saya berpendapat kami akan menemui laporan mengenai rancangan melancarkan serangan. Kami mungkin mengetahui mengenai hubungannya dengan Pakistan,” katanya. - AFP

AS enggan dedah gambar Osama


WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama semalam memutuskan untuk tidak menyiarkan gambar mayat pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden. Beliau berkata, Amerika Syarikat tidak sepatutnya memperagakan ‘piala’ kemenangannya.
Kabinet Perang Obama sebelum ini berbelah bagi sama ada untuk menyiarkan gambar ngeri mayat Osama yang ditembak mati oleh komando elit Amerika Syarikat dalam serangan di Pakistan Ahad lalu.

“Adalah penting untuk kita memastikan bahawa gambar seseorang yang ditembak di kepala tidak beredar kerana ia boleh mencetuskan lebih banyak keganasan dan dijadikan alat propaganda,” kata Obama ketika diwawancara dalam rancangan ‘60 Minutes’ terbitan CBS.

“Kita bukan seperti itu. Anda tahu, kita tidak memperagakan bahan seperti itu sebagai piala,” katanya.

Menurutnya. ujian DNA dan teknik pengecaman wajah membuktikan Osama yang didakwa merancang serangan 11 September 2001 sudah mati.

Selain Osama, pegawai Amerika dan Pakistan berkata, empat orang lagi terbunuh dalam serangan itu, termasuk dua beradik yang menjadi orang perantara paling dipercayai pemimpin al-Qaeda berkenaan dan seorang lagi dipercayai anak Osama.


Seorang anak perempuan Osama, yang kini ditahan bersama-sama isterinya, warga Yaman, melihat bapanya ditembak, kata seorang pegawai perisik Pakistan.

“Gadis berusia 12 tahun itu adalah orang yang mengesahkan kepada kami bahawa Osama sudah mati akibat ditembak dan mayatnya dibawa tentera Amerika,” kata pegawai itu.
Pembantu kanan Obama sebelum ini berbahas mengenai sama ada akan menyiarkan gambar mayat Osama tetapi pada masa sama bimbang tindak balas daripada masyarakat Islam hingga mendorong kepada serangan terhadap tentera dan kepentingan Amerika.

Meskipun tanpa gambar sebagai bukti, sebahagian besar media Pakistan menerima hakikat bahawa Osama sudah mati, ketika teori mengenai konspirasi tersebar luas.

Mayat Osama dikebumikan di laut oleh tentera Amerika Syarikat.

Pentadbiran Obama tidak mahu beliau dikebumikan di darat bagi mengelak pusaranya dipuja kumpulan pelampau.

Sementara itu, vila di Abbottabad, tempat Osama ditembak mati, sehingga semalam masih menjadi tumpuan penduduk tempatan dan media. - Agensi

Pakistan ancam tindak balas


ISLAMABAD: Setiausaha Luar Pakistan, Salman Bashir semalam berkata, mana-mana negara yang melancarkan serangan di wilayahnya selepas ini akan berdepan dengan tindakan ketenteraan negara itu.
“Kami percaya serangan yang mereka lancarkan akan berdepan dengan kemusnahan yang teruk,” katanya.

“Pakistan sudah pasti mempunyai keupayaan secukupnya untuk menjaga pertahanannya sendiri.” Beliau berkata demikian tiga hari selepas tentera elit Amerika Syarikat, tanpa pengetahuan Pakistan, melancarkan serangan di Abbottabad, utara Islamabad dan membunuh pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden. - Reuters

Perbalahan dengan Ayman dedah lokasi ketua al-Qaeda: Al Watan


RIYADH: Perebutan kuasa antara Osama bin Laden dan Timbalannya, Ayman al-Zawahiri, menjadi punca kejayaan Amerika Syarikat mengesan persembunyian pemimpin al-Qaeda itu, lapor sebuah akhbar Arab Saudi semalam.
Al Watan memetik ‘sumber serantau’ yang tidak dikenali sebagai berkata, kedua-dua pemimpin kanan al-Qaeda itu berselisih pendapat dan perutusan yang membawa tentera Amerika Syarikat kepada Osama bekerja untuk Ayman.

Perutusan terbabit, warga Pakistan, bukan rakyat Kuwait seperti yang disyaki Amerika Syarikat, kata akhbar itu. Lelaki itu tahu dia diekori oleh tentera Amerika.

“Kumpulan Mesir dalam al-Qaeda menjadi pentadbir sementara pertubuhan itu dan memandangkan Osama sakit sejak 2004, mereka berusaha untuk menguasai sepenuhnya pertubuhan berkenaan, lapor akhbar itu.

Menurutnya, puak yang menyokong Ayman memujuk Osama supaya meninggalkan kawasan suku kaum di sepanjang sempadan Afghanistan dan Pakistan dan berlindung di Abbottabad berhampiran Islamabad, tempat dia dibunuh oleh tentera Amerika Syarikat, Ahad lalu. - AFP, mymetro

Isteri Osama jadi rebutan


ISLAMABAD: Pakistan dan Amerika Syarikat terbabit dalam perbalahan diplomatik berhubung nasib isteri muda Osama bin Laden.
Amal al-Sadah menjadi tumpuan perebutan antarabangsa untuk menahannya selepas Pakistan enggan membenarkan Amerika Syarikat menyoalnya semalam.

Wanita warga Yaman berusia 27 tahun itu, berusaha melindungi suaminya daripada ditembak oleh anggota tentera elit Amerika dalam serangan Ahad lalu tetapi ditembak di kaki sebelum ditawan oleh tentera Pakistan. Amal kini terperangkap dalam perbalahan Pakistan dan Amerika Syarikat mengenai nasibnya ketika kedua-dua negara berkenaan menyelar satu sama lain mengenai sama ada Pakistan melindungi Osama sepanjang 10 tahun lalu.

Tentera Amerika berhasrat membawa Amal bersama mereka selepas serangan itu tetapi meninggalkannya selepas sebuah helikopter yang terbabit dalam serangan berkenaan terhempas.

Amerika menuduh Pakistan melindungi ketua al-Qaeda itu menyebabkan pegawai negara itu enggan membenarkan Amerika menyoal siasatnya di sebuah hospital tentera di Rawalpindi, tempat Amal dirawat.

Menurut mereka, Amal akan dihantar pulang ke Yaman sebaik pulih. Tindakan itu akan menghalang Amerika memperoleh maklumat penting mengenai Osama di Pakistan.


Ia akan meningkatkan lagi dakwaan kononnya perkhidmatan perisikan Pakistan melindungi Osama dan tidak mahu butir mengenai hubungan Pakistan dengan al-Qaeda terbongkar. - Agensi,mymetro

UUM diarah bayar RM1.7 juta sebelum 2 Jun



BALING – Kerajaan negeri Kedah semalam menolak rayuan Universiti Utara Malaysia (UUM) berhubung penyambungan pemberian rebat cukai tanah di kampus universiti itu di Sintok atas alasan ia masih rendah berbanding cukai di universiti-universiti lain.
Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, UUM diberi masa sehingga 1 Jun ini untuk menjelaskan cukai sebanyak RM1.7 juta atau didenda RM91,000.
“Jika tidak bayar, kerajaan negeri boleh rampas tanah (kampus UUM),” katanya pada sidang akhbar selepas melawat tapak pembinaan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di Kuala Ketil di sini kelmarin.
Menurut Azizan, Pejabat Galian dan Tanah (PTG) tidak menyambung pemberian rebat cukai tanah untuk tempoh lima tahun lagi kerana ia akan menyebabkan kerajaan negeri kerugian kira-kira RM8 juta.
Menurut beliau, cukai yang dikenakan terhadap UUM iaitu 20 sen untuk satu meter persegi adalah rendah berbanding di Universiti Sains Malaysia iaitu RM2.50 dan 50 sen bagi Universiti Teknologi Mara di Merbok dekat sini.
Kosmo! pada 19 April lalu melaporkan UUM terpaksa menanggung bayaran cukai tanah yang tinggi sejak tahun 2008 berikutan tindakan kerajaan negeri tidak melanjutkan rebat yang diberikan selama dua tahun mulai 2006.
Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak kesal dan terkilan dengan keputusan tersebut kerana kerajaan negeri seolah-olah tidak menghargai segala pengorbanan UUM yang menyumbang ke arah pembangunan akademik dan sosioekonomi setempat.
Namun pihaknya tiada pilihan selain menjelaskan bayaran dan jika boleh, ia dibuat secara ansuran.
“Kami terpaksa membayar jumlah itu sebab ini sudah kali kedua ditolak selepas 2009 dan kita tidak bercadang nak merayu lagi dalam tempoh terdekat.
“Nak rayu apa kalau kepada orang yang sama, tapi kalau tukar kerajaan mungkin kita akan rayu,’’ katanya.

Sultan Kelantan sedia untuk berkahwin




SULTAN MUHAMMAD (kanan) bersalam dengan wartawan sebelum sidang akhbar di Istana Negeri, Kota Bharu kelmarin.


KOTA BHARU - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V semalam memberi gambaran bahawa baginda bakal berkahwin.
Dalam satu sidang akhbar di Istana Negeri, Kubang Kerian di sini kelmarin bagi mengumumkan pelancaran Yayasan Sultan Kelantan yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada Sabtu ini, Sultan Muhammad ditanya sama ada baginda akan berkahwin.
Sambil tersenyum baginda, menjawab: "Insya-Allah saya berdoa, Insya-Allah Tuhan akan makbul."
Sultan Muhammad, 42, yang membahasakan diri baginda sebagai 'saya' atau 'kita', berharap berkat doa pemimpin dan pembesar negeri serta sahabat, perkahwinan baginda akan menjadi kenyataan.
"Jadi saya fikir dengan berkat doa Tok Guru (Menteri Besar, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat), datuk-datuk, sahabat-sahabat, Insya-Allah (perkahwinan) akan berjaya," titah baginda.
Sultan Muhammad yang dimasyhurkan pada 13 September tahun lepas menggantikan bapa baginda, Sultan Ismail Petra, bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara itu.
Baginda yang terkenal dengan sifat mendekati rakyat dengan berkopiah dan berjubah adalah putera sulung Sultan Ismail Petra.-kosmo
Sebelum ini baginda pernah mendirikan perkahwinan dengan bekas isteri, Tengku Zubaidah Tengku Norudin, namun tidak dikurniakan cahaya mata. - Bernama.

Remaja ditahan baling telur ke arah Bieber



SYDNEY – Polis Australia mengemukakan pendakwaan ke atas seorang remaja yang membaling telur ke arah penyanyi kelahiran Kanada, Justin Bieber di sini baru-baru ini.
Remaja berusia 17 tahun itu muncul di Mahkamah Kanak-Kanak Sydney semalam dan ditahan atas dakwaan melakukan pencerobohan dan melakukan kerosakan.
Nama remaja itu bagaimanapun tidak dapat didedahkan kerana dia diklasifikasi di bawah umur.
Rakaman klip video konsert penyanyi yang terkenal dengan lagu Baby itu di Arena Acer di sini pada minggu lalu menunjukkan beberapa biji telur mentah dibaling ke arah pentas hampir mengenai Bieber.
Selebriti berusia 17 tahun itu dan para penari sebaliknya meneruskan persembahan.
Polis mengatakan bahawa remaja itu menceroboh ke konsert tersebut menerusi bumbung.
Dia dibebas dengan ikat jamin. – AP

Ciuman Shah Rukh Khan, Kareena cetus kontroversi



MUMBAI – Babak ciuman antara dua pelakon terkenal, Shah Rukh Khan dan Kareena Kapoor dalam filem genre fiksyen sains, Ra.One mencetuskan kontroversi, lapor sebuah akhbar semalam.
Kontroversi itu tercetus apabila satu sumber mendakwa mereka dikatakan bercium dengan penuh nafsu di set penggambaran dan bukan seperti lakonan.
Ketika gosip tersebut tersebar, tidak ada seorang yang berani tampil bagi menjelaskan tentang isu itu kepada pihak media.
"Walaupun gosip ini mencetuskan banyak keraguan, tetapi kami tidak boleh mengulas dengan lebih lanjut," kata sumber tersebut.
Sumber terdekat aktor berusia 45 tahun itu pula menjelaskan bahawa Rukh Khan menganggap dakwaan tersebut sebagai khabar angin yang tidak berasas.
Kareena yang dikenali dengan panggilan Bebo pula mengambil keputusan yang sama dengan Rukh Khan yang enggan membuka mulut berhubung isu tersebut. – Agensi, kosmo