Showing posts with label Khir Toyo. Show all posts
Showing posts with label Khir Toyo. Show all posts

Monday, April 9, 2012

BN tidak popular dikalangan pengundi muda, kata Khir Toyo



April 09, 2012
SHAH ALAM, 9 April — Pentadbiran Najib harus menarik pengundi muda kerana pemberian wang tunai daripada kerajaan tidak memberikan kesan kepada mereka, kata Dr Mohd Khir Toyo.
Bekas Menteri Besar Selangor itu berkata pemberian wang tunai itu memang mewujudkan “rasa senang” rakyat Malaysia, namun ia hanya dirasai oleh mereka yang berumur 50 tahun ke atas. Tawaran yang dibuat Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sekiranya Pakatan Rakyat (PR) memerintah turut memberikan tekanan kepada kerajaan Barisan Nasional.
Khir (gambar) turut memberi amaran kerajaan BN mempunyai tugas sukar — bagaimana hendak menarik perhatian mereka sedangkan pengundi lingkungan 21-30 dan 30-50, sudah “muak dengan politik”.
“Rasa senang itu ada namun terhad kepada pengundi berusia 50 tahun ke atas ... mereka sudah sememangnya menentukan siapa yang akan mereka undi.
“Mereka berusia lingkungan 30 ke 50 masih belum membuat keputusan, tapi lebih bahaya adalah mereka yang berumur 21-30 yang tidak minat politik,” katanya kepada The Malaysian Insider dalam satu temuramah eksklusif baru-baru ini.
“Saya beritahu perdana menteri, (Datuk Seri Najib Razak) pengundi 21 ke 30 tahun adalah masalah. Mereka tidak menikmati faedah daripada BR1M ... bagaimana hendak menarik perhatian kumpulan ini,” kata Khir merujuk kepada Bantuan Rakyat 1 Malaysia.
Najib telah mengumumkan sejumlah RM500 untuk isi rumah berpendapatan kurang RM3,000 sebulan dalam pembentangan belanjawan Oktober lalu, bagi mengurangkan beban peningkatan kos sara hidup.
Pemberian wang tunai besar-besaran itu dianggarkan diterima oleh 5.3 juta isi rumah dengan kos RM2.3 bilion. Perdana menteri bulan lalu menjelaskan 80 peratus, atau 3.74 juta daripada 4.78 juta isi rumah memohon untuk BR1M sehingga pada 1 Mac, menjadikan sejumlah RM1.92 bilion sudah diserahkan.
Bukti kurangnya sokongan terhadap BN jelas Khir adalah “tidak semua belia” menyokong sayap pemuda parti Pemuda Umno.
Tambah Khir, walaupun pemberian-pemberian daripada kerajaan “diterima”, pengundi muda mahukan penyelesaian jangka panjang bagi menangani masalah peningkatan harga barang.
“Pengundi muda professional berumur 40 dan ke bawah adalah kumpulan kritikal, mereka semakin muak, kerana kita menghadapi banyak sangat masalah ... Lebih-lebih lagi perbezaan pendapatan dengan kos kehidupan.
“Tiada penyelesaian mutlak diberi pemimpin kedua-dua parti, Pakatan Rakyat atau kerajaan,” tambahnya dan menjelaskan janji Anwar untuk menurunkan harga minyak jika PR memerintah.
“Sekiranya Anwar kata beliau akan turunkan harga minyak, saya tidak rasa harga gula akan turun, roti canai tidak akan turun.
“Sesetengah isu yang perlu diambil berat adalah perkhidmatan awam yang murah ... saya tahu Transit Aliran Deras (MRT) sedang dalam pembinaan tapi dalam tempoh interim, apa tindakan yang dibuat untuk meningkatkan mutu pengangkutan awam?” soal Khir.
Adun Sungai Panjang ini menjelaskan beliau kerap berjumpa pengundi muda dan kebanyakan merek sudah jelik deng, politik dan ahli politik kedua-dua belah pihak dan perpecahan politik ini memusnahkan mereka.
“Masyarakat semakin muak,” katanya sebelum menamatkan sesi temuramah berkenaan.
BN menghadapi pilihan raya terburuk pada 2008 apabila hilang lima negeri kepada Pakatan Rakyat termasuk kehilangan dua per tiga majoriti di Parlimen.
Namun begitu, Perdana Menteri Najib memperlihatkan beliau akan melaksanakan pilihan raya dalam masa terdekat, ditambah keyaki,an yang tinggi terhadap BN. The Malaysian Insider difahamkan pilihan raya hanya akan dibuat awal Jun dengan Parlimen dijangka akan dibubarkan pertengahan Mei depan.

Saturday, December 24, 2011

Khir Toyo rayu hukuman

DR. MOHAMAD Khir Toyo ditemani isteri Zaharah Kechik berjalan
 keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM 23 Dis. - Bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo telah mengemukakan rayuan terhadap hukuman penjara setahun bagi kesalahan mendapatkan untuk beliau dan isteri, Zaharah Kechik dua lot tanah dan sebuah banglo bernilai RM6.5 juta dengan harga RM3.5 juta.
Notis rayuan difailkan oleh peguamnya, M.M. Athimulan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 3.30 petang, kira-kira empat jam selepas hukuman penjara itu dijatuhkan oleh Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki.
''Ini bukan proses penghakiman terakhir buat saya kerana saya akan merayu mengenai keputusan ini kepada mahkamah yang lebih tinggi,'' katanya semasa ditanya oleh pemberita di luar mahkamah sebaik sahaja prosiding kesnya selesai.
Berhubung masa depan politiknya, Mohamad Khir berkata, beliau akan membuat kenyataan mengenai perkara tersebut selepas 9 Januari tahun depan tetapi enggan mengulas lanjut mengapa tarikh tersebut yang dipilih.
Terdahulu, selain hukuman penjara terhadap Mohamad Khir yang disabit bersalah atas tuduhan itu, Hakim Mohtarudin (kini Hakim Mahkamah Rayuan) turut mengarahkan hartanah yang terletak di Seksyen 7 di sini itu dilucutkan hak kepada kerajaan Malaysia.
Beliau bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman dan perintah pelucutan hak itu sehingga rayuan Mohamad Khir selesai didengar serta diputuskan.
Mohamad Khir yang dilihat tunduk sepanjang prosiding ditenangkan oleh Zaharah yang bertindak menggosok-gosok bahu suaminya itu sebaik sahaja sabitan dan hukuman diputuskan.
Hakim Mohtarudin semasa membacakan penghakimannya berkata, beliau berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan ketiga-tiga intipati dalam pertuduhan itu.
Beliau menerima keterangan Pengarah Ditamas Sdn. Bhd., Datuk Shamsuddin Hayroni yang membeli hartanah untuk dijual semula kepada Mohamad Khir serta tidak pernah bersetuju dengan harga RM3.5 juta sebaliknya menawarkan harga antara RM5 dan RM5.5 juta.
Menurutnya, Shamsuddin turut dibuktikan mempunyai kepentingan dalam beberapa syarikat yang ada kaitan dengan urusan rasmi Mohamad Khir sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berdasarkan tiga dokumen yang dikemukakan kepada mahkamah.
Begitu juga intipati pertuduhan bahawa Mohamad Khir mempunyai pengetahuan bahawa hartanah tersebut dibeli oleh Shamsuddin dengan harga RM6.5 juta pada tahun 2004 berdasarkan keterangan saksi-saksi pendakwaan yang konsisten serta menyokong antara satu sama lain.
Hakim Mohtarudin mendapati penjelasan Shamsuddin adalah logik dan boleh diterima bahawa beliau bersetuju menjadi saksi pendakwaan selepas pertuduhan terhadapnya ditarik balik kerana hilang keyakinan terhadap janji tiada pertuduhan terhadapnya oleh Mohamad Khir.
''Apabila kepentingan awam dan kepentingan individu bertembung, kepentingan awam perlu diberi keutamaan. Fakta menunjukkan tertuduh merancang untuk memiliki hartanah itu. Tertuduh telah menyalahgunakan jawatannya sebagai eksekutif tertinggi dalam negeri.
''Dalam kes ini, denda tidak sesuai. Hukuman penjara terhadap seorang yang memegang jawatan eksekutif tertinggi perlu diberi penekanan,'' katanya.
Ketika diberi peluang merayu, Athimulan memohon hukuman ringan iaitu hanya dikenakan denda dengan alasan transaksi dilakukan dengan kerelaan kedua-dua pihak selain ia tidak memberi kemudaratan kepada masyarakat awam.
Sementara Timbalan Pendakwa Raya, Masri Mohd. Daud pula berhujah balas bahawa hukuman denda terhadap seseorang yang mampu membayar dengan senang hati menyebabkan matlamat hukuman itu tidak tercapai.
Mohamad Khir, 45, didakwa mendapatkan untuk dirinya dan Zaharah, 45, dua lot tanah dan sebuah rumah di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7 di sini daripada Ditamas melalui Shamsuddin dengan harga RM3.5 juta.
Sedangkan hartanah tersebut dibeli oleh syarikat terbabit pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.
Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.
Beliau didakwa melakukan perbuatan tersebut di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.
Selain Masri, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Wahab Mohamed dan Mohd. Dusuki Mokhtar sementara Mohamad Khir turut diwakili oleh peguam, Datuk Jahaberdeen Mohamed Yunoos serta Kamarul Hisham Kamaruddin.
Sementara itu, keadaan di luar mahkamah bertukar sayu di kalangan hampir 50 penyokong Mohamad Khir yang setia menunggu sejak pukul 8 pagi sehingga prosiding itu selesai kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Sebahagian mereka dilihat berpelukan serta ada yang mengalirkan air mata sebagai reaksi kepada keputusan mahkamah.
Utusan Malaysia Online - Berita Utama:

'via Blog this'

Dari rumah besar ke penjara


KHIR TOYO

SHAH ALAM – Bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas didapati bersalah atas tuduhan mendapatkan untuk dirinya dan isteri hartanah bernilai RM6.5 juta pada harga RM3.5 juta empat tahun lepas.
Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki memutuskan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes tertuduh. Beliau turut melucutkan hak ke atas hartanah itu untuk dikembalikan kepada kerajaan mengikut Seksyen 36(1) Akta Pencegahan Rasuah 1997.
Sebaik keputusan dibacakan, Mohamad Khir, 46, dilihat sugul sebelum berbincang dengan tiga peguam belanya. Zahrah Kechik pula mengusap lengan kiri tertuduh sambil berkata sesuatu.
Penyokong Mohamad Khir yang memenuhi mahkamah turut terdiam hingga ada yang menggelengkan kepala ketika keputusan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Khir didakwa mendapatkan untuk diri dan Zahrah, 46, dua lot tanah dan sebuah rumah di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7 di sini pada harga RM3.5 juta melalui pengarah Ditamas Sdn. Bhd., Datuk Shamsuddin Hayroni pada 29 Mei 2007.
Sedangkan syarikat itu membeli hartanah tersebut dengan harga RM6.5 juta pada 23 Disember 2004.
Rasuah didakwa berlaku dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor ketika itu.
Beliau yang memegang jawatan berkenaan dari Ogos 2000 hingga Februari 2008 didakwa melakukan perbuatan tersebut di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini.
Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Friday, December 23, 2011

Khir Toyo dihukum penjara 12 bulan

Kes Khir selesai hujahan
SHAH ALAM - Bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo hari ini dijatuhi hukuman penjara 12 bulan selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini atas tuduhan mendapatkan untuk dirinya dan isteri suatu
barangan berharga dengan balasan diketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7 di sini empat tahun lepas.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membuat keputusan itu di akhir kes pembelaan setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes tertuduh.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman itu yang dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan berkuat kuasa mulai hari ini.
Dalam pada itu, Mohtarudin turut memerintahkan agar tertuduh dilucutkan hak ke atas hartanah yang dimiliki itu dan ia akan diserahkan kepada kerajaan.

Keputusan itu dibuat menurut Seksyen 36(1) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 1997. Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan pelucutan hak sementara menunggu rayuan.

Dr Mohamad Khir, 46, dituduh mendapatkan untuk diri dan isterinya, Zahrah Kechik, 46, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8&10, Jalan Suasa 7/1L di sini daripada Ditamas Sdn Bhd (Ditamas) melalui pengarahnya, Shamsuddin Hayroni.

Hartanah yang terletak di Seksyen 7 di sini itu diperoleh dengan harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Dis 2004 pada harga RM6.5 juta. Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Dr Mohamad Khir, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Sungai Panjang, didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.
Khir Toyo dihukum penjara 12 bulan - Jenayah - Sinar Harian:

'via Blog this'

Khir Toyo didapati bersalah, diarah bela diri

SHAH ALAM 23 Dis. - Bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini terhadap tuduhan mendapatkan untuk dirinya dan isteri hartanah bernilai RM6.5 juta dengan harga RM3.5 juta di Seksyen 7 di sini, empat tahun lalu. Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki memutuskan demikian selepas berpuas hati bahawa tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu. Mohamad Khir melalui peguamnya diberi peluang untuk mengemukakan rayuan bagi meringankan hukuman. Mohamad Khir, 46, dituduh mendapatkan untuk diri dan isteri, Zahrah Kechik, 46, dua lot tanah dan sebuah rumah di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L di sini, daripada Ditamas Sdn. Bhd. melalui pengarahnya, Shamsuddin Hayroni. Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr. Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu. - UTUSAN Utusan Malaysia Online - Terkini:

'via Blog this'

Wednesday, January 19, 2011

Bantu siasat Khir: S'gor dedah projek RM273 juta



Beberapa syarikat milik seorang tertuduh dalam kes melibatkan tuduhan rasuah ke atas bekas menteri besar Dr Mohd Khir Toyo didakwa telah menerima projek berjumlah lebih RM273 juta dalam tempoh pentadbiran BN di Selangor.

Pendedahan mengejutkan itu juga melibatkan lima kontrak yang didakwa telah diberikan secara rundingan terus kepada syarikat-syarikat milik Shamsudin Hayroni.

Pendedahan itu dibuat hari ini oleh setiausaha politik menteri besar Selangor Faekah Husin melalui satu kenyataan.
Projek rundingan terus
Menurut Faekah lagi, projek berkenaan termasuk lima projek yang diberikan secara rundingan terus kepada syarikat Majulia Sdn Bhd.

Ia antara lainnya melibatkan satu pembinaan fasa pertama bagi kuarters kakitangan kerajaan dengan nilai lebih RM22.8 juta, serta pembinaan fasa keduanya dengan nilai RM61 juta.

Projek yang didedahkan itu turut melibatkan pembinaan bangunan sebuah perpustakaan, bernilai lebih RM71 juta, manakala satu projek lagi melibatkan pembinaan sebatang jalan di Sepang yang bernilai lebih RM73.7 juta.

Faekah juga berkata, satu lagi projek melibatkan sebuah stadium terbuka, pencawang elektrik, dua kebuk dan unit loji kumbahan di atas satu tapak kompleks sukan di Dengkil, bernilai hampir RM15 juta.
Bantu siasatan
Faekah berkata, pendedahan itu adalah ekoran tindakan majlis mesyuarat kerajaan negeri pada 16 Disember lalu yang memutuskan untuk mendedahkan butiran mengenai projek berkenaan.
Ia antara lainnya bertujuan untuk memastikan kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat itu tidak dikaitkan dalam perbicaraan kes Dr Khir dan Shamsuddin Hayroni, kata Faekah lagi.
"Ini juga sejajar dengan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban pentadbiran yang didukung oleh Pakatan Rakyat yang sama sekali menolak sebarang penyelewengan dan salah guna kuasa di kalangan pemimpin dan ahli politik demi kepentingan peribadi.
"Kerajaan negeri berpendapat maklumat yang diberikan ini dapat membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan," kenyataan itu dipetik.
[Baca berita penuh]Bantu siasat Khir: S'gor dedah projek RM273 juta - Malaysiakini

Wednesday, January 12, 2011

Khir Toyo serah balik sementara gelaran ”Datuk Seri”


12/01/2011 8:21pm

SHAH ALAM 12 Jan. – Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo berkata, beliau telah memulangkan sementara pingat Darjah Kebesaran Negeri Selangor yang membawa gelaran ”Dato Seri”.
Mohamad Khir menulis dalam blognya di http://www.drkhir.com hari ini bahawa tindakan itu diambil selepas beliau dihadapkan ke mahkamah berhubung tuduhan rasuah membabitkan pemilikan dua lot tanah dan sebuah rumah mewah di Seksyen 7 di sini.
Katanya, pada pertengahan Disember 2010 yang lalu, beliau telah menghantar sepucuk surat kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi memulangkan sementara pingat Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang membawa gelaran Dato Seri.
“Hari ini Dewan Diraja (Selangor) telah memperkenankan pemulangan semula pingat tersebut.
“Pemulangan semula pingat ini bagi mengelakkan darjah kebesaran negeri turut terpalit dengan sebarang keaiban sepanjang pertuduhan dan perbicaraan yang akan berlangsung (berhubung kes),” katanya.
Mohamad Khir, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Sungai Panjang berkata, berikutan itu, semua media dan penganjur program hendaklah menggugurkan nama Datuk Seri dari pangkal namanya dan menggunakan nama Dr Mohamad Khir Toyo sahaja. – Bernama

Tuesday, December 7, 2010

Khir Toyo serah surat letak jawatan esok


07/12/2010 5:11pm

SHAH ALAM 7 Dis. - Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo akan menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor kepada Badan Perhubungan UMNO negeri, esok.
Katanya, beliau menyerahkan kepada Badan Perhubungan Umno negeri untuk melantik Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk mengisi jawatan itu.
"Saya akan menyerahkan surat peletakan jawatan saya kepada Badan Perhubungan UMNO Selangor sebagaimana yang diumumkan menerusi laman blog saya di www.drkhir.com, semalam," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, bekas Menteri Besar Selangor itu menerusi laman blognya mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang Selangor berkuatkuasa serta-merta.
Beliau yang juga ADUN Sungai Panjang dan anggota jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Negeri turut berkata, beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan berhubung jawatannya dalam parti. - Bernama