Wednesday, June 16, 2010

Keluar parti: DAP Perak cadang tuntut ganti rugi RM5 juta



16/06/2010 9:20pm

KUALA LUMPUR 16 Jun - DAP Perak berhasrat menguatkuasakan perjanjian yang ditandatangani semua wakil rakyatnya ketika pilihan raya umum 2008 yang menuntut mereka membayar ganti rugi RM5 juta jika keluar parti.
Pengerusinya, Ngeh Koo Ham berkata, keputusan itu berikutan seorang lagi wakilnya iaitu Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, Keshwinder Singh, bertindak menjadi wakil Bebas dan menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) semalam.
"Kami telah memutuskan untuk menguatkuasakan kontrak yang ditandatangani antara wakil rakyat dan parti ketika mereka dipilih menjadi calon dulu,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini hari ini.
Keshwinder adalah wakil rakyat DAP Perak yang kedua berbuat demikian selepas ADUN Jelapang, Hee Yit Foong.
Mengulas lanjut, Koo Ham berkata, kedua-dua wakil rakyat tersebut turut menandatangani perjanjian itu yang antara lain menyatakan mereka yang menyertai parti lain harus meletak jawatan dan membayar ganti rugi RM5 juta kepada DAP.
Bagaimanapun katanya, keputusan akhir sama ada tindakan undang-undang akan diambil ke atas kedua-dua wakil rakyat itu akan dibuat selepas mesyuarat jawatankuasa kerja pusat parti pada 28 Jun ini. - Bernama

Taubatlah anakku

MASJID TANAH: “Sebak hati saya apabila anak perempuan yang ditatang bagai minyak penuh, tergamak memaki hamun ketika menasihatinya supaya pulang ke rumah kerana masih mempunyai suami,” kata seorang ibu tunggal, Sarinah Sagil, 50.
Menurutnya, anak perempuannya berusia 32 tahun itu sanggup meninggalkan suami serta dua anak berusia sembilan dan 12 tahun semata-mata mengikut teman lelaki dan bersekedudukan di rumah lelaki terbabit.
Katanya, anaknya itu tergamak menghinanya di khalayak ramai di rumah keluarga teman lelakinya selain dihalau dengan kata-kata kesat yang menghancurkan hati dan perasaannya.

Sarinah yang bekerja di sebuah kilang di Bukit Rambai, ketika menceritakan kejadian itu berkata, anak perempuannya itu mula berubah sikap sejak mengenali lelaki terbabit selepas berlaku perselisihan faham dengan keluarga, beberapa tahun lalu.

Menurutnya, anak perempuannya itu dalam diam menjalin hubungan sulit dengan lelaki berkenaan berusia 30-an sekitar 2007 tanpa diketahui sesiapa sebelum nekad bertindak keluar rumah untuk tinggal di rumah keluarga lelaki itu.

“Kira-kira dua minggu lalu, saya mengambil keputusan untuk meninjau keadaan anak dari rumah seorang rakan yang kebetulan terletak berhampiran bagi membuktikan dia memang tinggal di rumah keluarga terbabit dan ternyata telahan saya benar.

“Berikutan itu, saya terus merujuk kepada sidang kampung itu sambil menjelaskan segala-galanya untuk mengambil tindakan lanjut terhadap keluarga terbabit, tetapi keluarga itu mendakwa anak saya sebagai anak angkat mereka,” katanya ketika ditemui, semalam.

Katanya, sebelum ini, keluarga lelaki terbabit pernah datang ke rumah untuk meminang anak perempuannya itu, tetapi terpaksa ditolak kerana masih berstatus isteri orang.

Menurutnya, dia kemudian dimaklumkan keluarga terbabit bahawa anak perempuannya memberitahu sudah diceraikan suaminya, tetapi dakwaan itu tidak benar.

“Anak perempuan saya ini memang licik dan sekarang tinggal serumah dengan lelaki itu di Sungai Udang hingga gagal dikesan walaupun beberapa kali ditangkap Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), tetapi masih tidak insaf.

“Sejak kali terakhir ditangkap khalwat dengan lelaki itu awal tahun ini, kelibat anak saya itu gagal dikesan, namun berharap dia kembali ke pangkal jalan dan bertaubat terhadap perbuatan dilakukannya.
“Saya juga merayu pada Jaim supaya membantu membawa anak saya kembali semula ke pangkuan keluarga,” katanya.

Jangan panggil ' Boss' panggil ' Tuan'


Panggilan bos kepada ketua tidak sopan, menurut pendidik bahasa
BEIJING - Panggilan bos kepada ketua sebenarnya tidak menunjukkan rasa hormat kepada individu berkenaan sebaliknya ia satu amalan kurang sopan yang bertentangan dengan budaya Melayu. 

Penasihat Persatuan Pendidik Bahasa Melayu Malaysia (PPBMM) Prof Emeritus Abdullah Hassan berkata, menggunakan panggilan bos terhadap ketua semakin meluas dan membimbangkan kini.

"Panggilan bos merupakan perkataan main-main yang sebenarnya tiada langsung mempunyai erti hormat seperti yang digunakan dalam lakonan-lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee untuk bergurau dengan ketuanya," kata beliau kepada Bernama di sini, hari ini.

Katanya, beliau terpanggil untuk menyuarakan perkara itu kerana penggunaannya kini semakin meluas dan digunakan oleh pelbagai golongan termasuk penjawat awam kepada ketua jabatan, wakil rakyat malah kepada menteri-menteri sejak akhir-akhir ini.

Menurutnya lebih manis atau berbudi bahasa sekiranya panggilan itu ditukarkan dengan menggunakan panggilan Tuan untuk ketua lelaki atau Puan untuk wanita.-Bernama

kici-kici lembu jaga sudah besar jadi lembu

ADUN Malim Nawar keluar DAP, kini wakil rakyat Bebas




SUBANG JAYA - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, Perak, Keshvinder Singh (gambar) mengisytiharkan keluar daripada DAP dan menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN).
Keputusan itu ambil berikutan kekecewaan Keshvinder terhadap kepimpinan Pakatan Rakyat di Perak yang terlalu banyak berpolitik sehingga mengabaikan tugas sebagai wakil rakyat.
"Bagi menjaga kepentingan rakyat dan pembangunan yang berterusan, saya membuat keputusan untuk menyokong dan bekerjasama dengan kerajaan Negeri Perak di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.
"Keputusan ini merupakan pengorbanan saya kepada rakyat di kawasan saya. Saya sedar saya bakal menghadapi tuduhan dan cemuhan daripada pelbagai pihak tetapi demi rakyat, saya memilih untuk meninggalkan DAP dan Pakatan Rakyat," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

KMJ 2010: Sultan pandu kereta api



SULTAN Ibrahim beramah mesra dengan rombongan CRM yang diketuai Borhanuddin (kanan) di Istana Bukit Pelangi, Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar pandu kereta api!
Itulah kelainan Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2010 yang bakal menyaksikan kemahiran baginda memandu kereta api yang merupakan pengangkutan utama pada program yang berlangsung pada 26 hingga 28 Jun ini.
Lebih istimewa, KMJ edisi ke-12 itu diadakan selepas baginda dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Januari lalu.
Sultan Ibrahim bertitah, sebagai persediaan, baginda membaca buku dan Internet mengenai kereta api.
"Beta membuat penyelidikan melalui pembacaan buku dan Internet berkenaan enjin serta pengendalian kereta api sebagai persediaan untuk kembara kali ini," titah baginda ketika menerima menghadap rombongan Komersial Radio Malaysia (CRM) yang diketuai Presidennya, Datuk Borhanuddin Osman di Istana Bukit Pelangi di sini semalam.

Barcelona haramkan pemakaian burqa, niqab


MADRID 15 Jun - Barcelona semalam muncul sebagai bandar raya pertama dihuni majoriti penganut Katolik di Sepanyol yang mengharamkan pemakaian burqa dan niqab di bangunan-bangunan awam seperti pasar dan perpustakaan.
Pemakaian burqa dan niqab turut diharamkan di semua lokasi awam di bandar-bandar kecil Lerida dan El Vendrell, wilayah Barcelona.
"Barcelona mengharamkan pemakaian burqa, niqab dan semua jenis pakaian yang menghalang identiti seseorang dikenal pasti di mana-mana tempat awam bandar raya ini," jelas satu kenyataan yang dikeluarkan kerajaan tempatan Barcelona.
Kabinet Perancis bulan lalu meluluskan satu rang undang-undang untuk mengharamkan pemakaian niqab dan burqa di tempat awam, dan Dewan Perwakilan Belgium telah mengundi untuk menyokong pengharaman burqa yang mencetuskan reaksi hebat dan perdebatan hangat di seluruh Eropah.
Datuk Bandar Barcelona Jordi Hereu membantah pengharaman burqa dan niqab di semua lokasi awam di bandar kedua terbesar Sepanyol itu kerana beranggapan ia di luar bidang kuasa kerajaan tempatan.
Ia disanggah oleh anggota Dewan Bandar Raya Barcelona dari Parti Popular (PP), Alberto Fernandez yang berkata, pemakaian burqa dan niqab menjejaskan maruah dan kebebasan wanita.
"Kritikan Datuk Bandar itu adalah satu tindakan yang tidak menyeluruh kerana apabila kita menetapkan untuk mengharamkan pemakaian burqa di bangunan-bangunan kerajaan, ia juga perlu diharamkan di jalan-jalan raya," katanya.
Pengharaman pakaian tersebut dijangka dikuatkuasakan selepas musim panas ini.
Sepanyol pernah diperintah kerajaan Islam Andalusia dari kurun kelapan hingga ke-15 dan mempunyai kira-kira 1.4 juta penganut Islam pada 2009 iaitu kira-kira 3 peratus dari keseluruhan penduduk.
Dalam satu kontroversi baru-baru ini, seorang pelajar di Madrid terpaksa berpindah sekolah setelah enggan menanggalkan tudungnya apabila institut di mana dia belajar mengharamkan pemakaian tudung. - Reuters

Dunia mula sedar kejahatan Israel

Ireland usir diplomat Israel ekoran kes bunuh di Dubai

DUBLIN 15 Jun - Republik Ireland hari inimengusir diplomat Israel ekoran penggunaan pasport warganya yang dipalsukan dalam operasi pembunuhan komander Hamas di Dubai pada Januari lalu.
Menurut Kementerian Luar, keputusan itu dibuat oleh kerajaan Perdana Menteri Brian Cowen berikutan hasil siasatan oleh polis dan pegawai pejabat pasport ke atas dokumen palsu yang digunakan dalam pembunuhan Mahmud al-Mabhuh di Dubai.
Menteri Luar, Michael Martin berkata, Ireland telah memutuskan bahawa 'dengan cara memprotes terhadap tindakannya yang tidak boleh diterima, Israel diminta memanggil pulang kakitangannya di kedutaan mereka di Dublin'.
''Tuntutan ini telah disampaikan kepada duta Israel dan saya mahu ia dilakukan dengan segera,'' katanya.
Rejim Zionis menyifatkan tindakan Ireland itu sebagai 'sangat dikesali'. ''Keputusan Ireland itu amat dikesali dan tidak sejajar dengan kepentingan hubungan antara kedua-dua negara,'' kata jurucakap kementerian luar rejim Zionis, Yigal Palmor kepada AFP.
Mahmud al-Mabhuh, pengasas sayap bersenjata pergerakan Hamas yang menguasai Tebing Gaza, ditemui mati di bilik hotelnya dekat lapangan terbang Dubai pada 20 Januari.
Sebanyak 12 pasport British, enam Ireland, empat Perancis, satu Jerman da tiga Australia digunakan oleh 26 orang dipercayai terbabit dalam plot pembunuhan itu, menurut polis Dubai.
Dalam kebanyakan kes, dokumen perjalanan itu didapati sama ada dipalsukan atau diperolehi secara haram. Ireland dan empat negara yang mana pasport mereka digunakan dalam operasi itu telah memanggil perwakilan Israel untuk perbincangan.
Martin berkata, bukti-bukti yang ditemui menerusi siasatan Ireland dan kecanggihan dokumen yang dipalsukan itu 'jelas menunjukkan pembabitan agensi negara asing atau pertubuhan jenayah yang memiliki sumber yang rapi dengan akses kepada bilangan besar pasport Ireland'.
Siasatan oleh pihak berkuasa British dan Australia turut merumuskan perkara yang sama, kata Martin lagi.
''Terdapat sebab-sebab munasabah untuk mempercayai bahawa Israel memang bertanggungjawab,'' katanya. - AFP

Keshvinder Singh lupa daratan - Seng Giaw


KUALA LUMPUR 15 Jun - Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw menyifatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Mawar, Perak, K. Keshvinder Singh sebagai seorang yang lupa daratan apabila keluar daripada parti itu untuk menjadi wakil rakyat Bebas.
Katanya, pengundi kawasan itu mengundi DAP kerana mereka berasa yakin terhadap parti itu yang boleh membawa kemakmuran kepada negeri Perak.
''Tindakan Keshvinder dilihat sebagai tidak menghormati mandat pengundi di kawasan tersebut.
''Biarlah dia meninggalkan DAP kerana itu adalah haknya untuk berbuat demikian," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Keshvinder Singh hari ini mengumumkan keputusannya untuk meninggalkan DAP dan menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, keputusan itu diambil kerana beliau kecewa dengan kepimpinan parti pembangkang di negeri Perak yang terlalu banyak bermain politik sehingga mengabaikan tugas sebagai wakil rakyat.
Katanya, beliau menyokong kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan amat tertarik dengan BN di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dalam pada itu, Seng Giaw yang juga Ahli Parlimen Kepong berkata, perkara sebegitu adalah perkara biasa kerana terdapat satu atau dua yang akan keluar daripada parti setiap tahun.
Kata Seng Giaw, beliau tidak terkejut dengan tindakan Keshvinder Singh itu.

Beli kereta perisai AV8 untungkan negara


KUALA LUMPUR 15 Jun – Hasrat kerajaan untuk membeli 257 unit kereta perisai (APC) 8X8 (AV8) daripada syarikat Deftech Sdn. Bhd. bakal menguntungkan negara dari segi pembangunan industri pertahanan tempatan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, hasrat itu selari dengan objektif kerajaan yang mahu melihat keupayaan dan kepakaran syarikat-syarikat pertahanan tempatan terus berkembang maju.
‘‘Teknologi dan sistem-sistem yang dibangunkan oleh syarikat sebelum ini juga akan dapat digunakan dalam pembinaan dan pembuatan APC ini.
‘‘Dalam merundingkan harga bagi perolehan ini, Kementerian Pertahanan akan memastikan harga yang dimuktamadkan nanti benar-benar menguntungkan kerajaan tanpa kompromi dalam spesifikasi kenderaan dan sistem dibekalkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Mohamed Azmin meminta senarai terperinci pembekalan kelengkapan ketenteraan bernilai RM8 bilion oleh Deftech kepada kerajaan dan rasional pemilihan syarikat berkenaan dalam projek itu.
Ahmad Zahid menjelaskan, pemilihan Deftech bagi pembekalan itu masih belum muktamad memandangkan kerajaan baru menghantar Surat Hasrat (LOI) kepada syarikat berkenaan manakala harga pembekalan tersebut masih di peringkat rundingan.

Raja Permaisuri Agong lebih tinggi


KUALA LUMPUR 15 Jun - Pandangan masyarakat mengenai kedudukan Raja Permaisuri Agong sebagai 'wanita pertama' negara adalah tidak tepat berdasarkan adat, budaya dan amalan protokol di Malaysia, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri menjelaskan, ini kerana kedudukan Seri Paduka adalah lebih tinggi daripada 'wanita pertama'.
"Kedudukan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 32 (2) dan hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang lain di dalam Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong.
"Oleh itu, untuk menyamakan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dengan 'wanita pertama' seperti diamalkan negara lain adalah tidak tepat sama sekali.
"Sekiranya ada dan diamalkan, 'wanita pertama' di Malaysia mestilah berada di bawah daripada kedudukan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong," katanya dalam jawapan bertulis pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Najib menjawab soalan dibangkitkan Tian Chua (PKR-Batu) mengenai amalan menggelarkan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor sebagai 'wanita pertama' yang didakwanya telah melanggar Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu, Tian Chua turut membangkitkan persoalan mengenai perbelanjaan dalam penerbitan iklan dalam akhbar The New York Times pada 16 April lalu mengenai isteri Perdana Menteri.
Mengenai perkara itu, Najib menjelaskan, iklan tersebut tiada kena-mengena dengan perbelanjaan kerajaan atau mana-mana ejen yang mewakilinya.
Menurut Perdana Menteri, isu itu timbul setelah sebuah portal berita membuat tuduhan kononnya pihak The New York Times memberitahu iklan itu ditempah oleh kerajaan.
Katanya, iklan berkenan telah ditempah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Amerika Syarikat sempena anugerah kepada Rosmah di atas sumbangannya dalam hal ehwal kemanusiaan dan memperjuangkan pendidikan kanak-kanak.
"Dengan itu saya kira soal kos kepada kerajaan tidak timbul dan perkara ini tidak lagi menjadi persoalan," katanya.

Tradisi sambutan Bulan Solat diteruskan


KOTA BHARU 15 Jun - Semua pihak termasuk ibu bapa, guru dan pemimpin diminta memainkan peranan mendidik dan menyedarkan masyarakat tentang kepentingan sembahyang dalam kehidupan.
Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, dalam kebejatan sosial dan jenayah yang berlaku pada hari ini, umat Islam perlu disedarkan bahawa sembahyang adalah benteng dan 'brek' yang berkesan untuk mengawal segala tindak tanduk seseorang.
Oleh itu, katanya, anak-anak sejak dari kecil lagi hendaklah diajar cara sembahyang dan pengertiannya agar mereka apabila dewasa mempunyai rohani yang terdidik untuk memilih antara perkara yang benar dan salah.
''Kita lihat dalam media disebut tentang manusia membuang anak, merogol, merompak, meragut, tebuk dinding bank, bagaimana boleh berlaku semua ini sedangkan kita ada polis dan ada sistem penggera keselamatan.
''Jawabnya polis hanya boleh menjaga secara fizikal dan luaran, orang yang rohani dan nafsunya tidak terkawal boleh sahaja melanggar peraturan.
''Sebab itulah Islam mempunyai cara untuk menjaga rohani iaitu dengan solat yang merupakan ibadah yang merangkumkan gerak secara fizikal dan penumpuan khusyuk dengan hati," katanya.
Beliau berucap merasmikan Majlis Sambutan Bulan Solat di Dewan Besar, Kompleks Islam Lundang di sini malam tadi.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Islam dan Dakwah negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK), Mohd. Azamli Jamaluddin.
Sambutan Bulan Solat itu telah dimulakan kerajaan negeri pada 1995 dan sejak 2008, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1 juta setahun untuk sambutan yang berjalan di seluruh negeri sepanjang bulan Rejab.
Menurut beliau, seruan ke arah tanggungjawab menunaikan sembahyang perlu dilakukan berterusan dan tidak sekadar sepanjang program.
"Orang mungkin ada segala-galanya, ada rumah, duit tetapi jika tidak solat ibarat kereta mewah yang tidak ada 'brek' dan gear.
"Seorang pemandu tidak perlukan kereta yang boleh meluncur laju sahaja tetapi keretanya juga perlu boleh untuk diperlahan dan diberhentikan di tempat tertentu.
"Begitulah fungsi solat mendidik rohani manusia mengingati Allah dan segala janji dan azab-Nya, ada 'brek' untuk mengawal diri, jadi bagaimana nak merogol atau merompak bila hati teringat Allah sentiasa ada bersama-sama melihat perbuatan kita," katanya.

‘Jangan cepat lelong aset kepada bank’


KUALA KRAU 15 Jun – Kerajaan Pahang mengingatkan pemilik premis di Bandar Jengka di sini tidak mudah menjual atau melelong aset mereka itu kepada bank jika berhadapan dengan krisis kewangan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Hal Ehwal Felda negeri, Datuk Tan Mohd. Aminuddin Ishak menegaskan, sebaliknya pemilik premis terbabit perlu meminta bantuan persatuan atau agensi berkaitan untuk membantu melunaskan hutang mereka.
Tegas beliau, tindakan itu bagi mengelakkan aset milik bumiputera di bandar tersebut terhakis.
‘‘Sememangnya telah menjadi lumrah kepada peniaga membuat pinjaman bank untuk membeli premis perniagaan atau kediaman.
‘‘Kemerosotan perniagaan dan pendapatan menyebabkan pemilik premis gagal membayar pinjaman serta berhadapan dengan tindakan mahkamah.
‘‘Apabila menghadapi situasi gawat seperti itu, peniaga Melayu jangan malu untuk mendapatkan bantuan daripada rakan, persatuan atau institusi lain yang mungkin dapat menolong,’’ katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan 40 unit bangunan kedai Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Melayu Wilayah Jengka dan penyerahan kunci kepada pemilik premis di sini semalam.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka, Wan Salman Wan Ismail dan Yang Dipertua Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Melayu Wilayah Jengka, Halib Ahmad.
Tan Mohd. Aminuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Maran menegaskan, premis perniagaan atau tanah di Bandar Jengka yang dilelong akan memberi peluang kepada pihak lain untuk membelinya.
‘‘Jika keadaan itu berlaku, pihak bank tidak boleh dipersalahkan kerana mereka mahu memaksimumkan keuntungan dan mengelakkan sebarang kerugian dalam urus niaga,’’ katanya.
Tegasnya, jika pemilik menyerahkan semula premis mereka kepada pihak bank, bermakna usaha kerajaan untuk mempertahankan Bandar Jengka sebagai bandar bumiputera contoh di negara ini, gagal.
Beliau kesal kerana ada premis perniagaan di Bandar Jengka dilelong kepada pihak bank tanpa pengetahuan kerajaan negeri.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memuji usaha Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Melayu Wilayah Jengka membina 40 premis perniagaan di Bandar Jengka.
Katanya, pihak persatuan berkenaan telah memanfaatkan tanah di kawasan itu untuk membantu golongan bumiputera melibatkan diri dalam perniagaan dan keusahawanan.

50 tahun guna air sungai



Rahman Musa, membetulkan pam bagi mengepam air dari Sungai Panching ke rumahnya di Kuantan, semalam.


KUANTAN 15 Jun - Ketika sebahagian besar masyarakat hidup selesa dengan pembangunan dan kemudahan yang disediakan, terdapat segelintir penduduk luar bandar yang tersisih daripada menikmati kemajuan tersebut.
Keadaan itu berlaku kepada penduduk Kampung Machang, Panching dekat sini yang tidak mendapat bekalan air paip selama lebih 50 tahun lalu.
Penduduk kampung tersebut masih menggunakan air Sungai Panching sebagai bekalan utama untuk melakukan kerja-kerja harian terutama membasuh pakaian, memasak dan mandi.
Tinjauan Utusan Malaysia di kampung itu hari ini mendapati penduduk terpaksa mengangkut air dengan baldi dari sungai itu ke rumah masing-masing setiap hari.
Ada juga yang membeli alat pengepam untuk mengepam air ke rumah masing-masing.
Sungai itu juga berisiko kerana ia agak dalam dan deras ketika musim hujan.
Seorang penduduk, Rahman Musa, 64, berkata, dia dan lapan keluarga lagi di kampung itu terpaksa menggunakan air sungai bagi melakukan rutin harian seperti membasuh dan memasak.
"Dahulu sungai tersebut bersih tetapi sekarang airnya tercemar kerana terdapat aktiviti kilang berhampiran sungai tersebut.
"Kilang-kilang akan melepaskan sisa buangan mereka terus ke sungai itu dan menyebabkan airnya tidak lagi bersih," katanya ketika ditemui di rumahnya di kampung berkenaan hari ini.
Menurut Rahman, kadangkala dia terpaksa mendapatkan air bersih daripada penduduk yang mempunyai bekalan daripada paip jika keadaan sungai sangat keruh dan kotor.
"Apabila musim hujan, keadaan sungai ini bertambah teruk dan airnya tidak boleh digunakan sama sekali.
"Kadang-kadang kami terpaksa menadah air hujan untuk mendapatkan air bersih," ujarnya.
Menurutnya, dia telah beberapa kali menghantar surat kepada Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) berhubung masalah air yang dihadapi itu tetapi hingga kini masih tiada sebarang tindakan diambil.
"Dengan kemajuan teknologi yang ada sekarang, saya rasa keadaan seperti ini tidak seharusnya berlaku," katanya.
Tambahnya, pihaknya juga bimbang kerana sungai itu merbahaya terutama kepada kanak-kanak dan wanita.
''Kami bimbang kanak-kanak boleh terjatuh ke dalam sungai yang dalam dan deras itu," katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohd. Rozaini Selamat, 44, berharap kerajaan negeri dapat menyegerakan pemasangan paip bagi membekalkan air bersih.
"Jarak sungai dari rumah saya sejauh 100 meter dan untuk mendapatkan air tersebut kami terpaksa menempuh bahaya dengan keadaan tebing yang licin dan tinggi.
"Dahulu sungai ini bersih sehingga boleh melihat ikan di dasar sungai malah airnya selamat digunakan.
"Sepatutnya keperluan rakyat mesti diutamakan selaras dengan gagasan 1Malaysia iaitu rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan tetapi kami di sini ketinggalan dari segi kemudahan asas," jelasnya.
Bagi Awa Abd. Rahman, 53, dia turut mengharapkan supaya mendapat kemudahan bekalan air bersih secepat mungkin.
"Air sungai yang keruh tidak boleh digunakan untuk membasuh dan memasak.
"Kalau mencuci pakaian, pakaian menjadi bertambah kotor kerana air yang keruh," jelasnya.
Awa turut bimbang akan mendapat penyakit jika kilang-kilang berhampiran membuang sisa toksik ke sungai itu.
"Saya juga risau keselamatan anak anak saya kerana keadaan tebing yang tinggi dan licin serta paras air sungai yang dalam," katanya.

Wajibkan juga pembelajaran Bahasa Arab


KUALA LUMPUR 15 Jun - Kerajaan disyorkan turut menjadikan Bahasa Arab sebagai salah satu mata pelajaran wajib kepada pelajar-pelajar di semua peringkat pengajian.
Ketika membuat syor itu, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Abdul Aziz Hussein berkata, langkah itu penting bagi memastikan pelajar Islam dapat menghayati bahasa itu sekali gus memberi pemahaman kepada mereka dalam melaksanakan kewajipan sebagai umat Islam.
"Bahasa Arab adalah bahasa al-Quran, oleh itu adalah penting bagi pelajar Islam menguasainya supaya mereka boleh memahami kitab suci berkenaan dan faham apa yang dibaca ketika solat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menegaskan, kerajaan akan mewajibkan penyediaan guru-guru Bahasa Mandarin dan Tamil di semua sekolah kebangsaan supaya pengajaran dan pembelajarannya dapat dilaksanakan sepenuhnya di negara ini.
Sambil mengalu-alukan langkah kerajaan itu, Abdul Aziz pada masa yang sama meminta kerajaan mempertimbangkan cadangannya berhubung Bahasa Arab tersebut.

Lepas ni berlajar Matematik & sains dalam bahasa Mandarin dan Tamil lah pulak!

Wajib bahasa Mandarin, Tamil?

NAMPAKNYA kedudukan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara tercabar lagi. Dasar mewajibkan bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah meletakkan status bahasa itu setaraf dengan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara.
Kita boleh menerima bahasa Inggeris diwajibkan kerana ia adalah bahasa ilmu dan bahasa ekonomi antarabangsa. Bahasa Melayu pula adalah bahasa kebangsaan dan sewajarnya menjadi bahasa rasmi tidak hanya di sekolah malah dalam semua lapangan kehidupan.
Tetapi apabila bahasa Mandarin dan Tamil mahu diwajibkan, ia menimbulkan kecelaruan apa sebenarnya identiti bangsa Malaysia yang mahu diwujudkan?
Memang tidak dinafikan rasional di sebalik dasar ini adalah untuk menarik minat ibu bapa bukan Melayu menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan. Ini kerana ada kebimbangan yang jelas di kalangan ibu bapa bukan Melayu bahawa anak-anak mereka tidak akan menguasai bahasa ibunda masing-masing di sekolah kebangsaan.
Maka dari sudut itu, pengenalan bahasa ibunda kaum masing-masing dilihat sangat wajar. Namun dalam membuat sebarang dasar terutamanya membabitkan pendidikan, ia tidak boleh hanya bergantung kepada sebahagian kecil asas sahaja.
Banyak yang perlu dipertimbangkan dan dikaji sebelum ia dimuktamadkan. Pertamanya ialah sejauh mana kita melihat kedudukan bahasa Melayu itu sendiri dalam konteks pendidikan negara hari ini.
Apabila dasar ini dikatakan akan menggalakkan perpaduan, kita sebenarnya sudah memberi takrifan bahawa bahasa Melayu gagal memainkan peranan tersebut. Sedangkan bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan, maka seharusnya menjadi bahasa pemersatu di kalangan masyarakat majmuk di negara ini.
Hakikat ini secara tidak langsung menjawab persoalan sama ada bahasa Mandarin dan Tamil wajar dijadikan subjek wajib atau sebaliknya. Dengan dua subjek bahasa yang perlu dikuasai pelajar ketika ini, maka adalah wajar sekiranya bahasa Mandarin dan Tamil hanya dijadikan subjek elektif kepada pelajar dan ibu bapa.
Ini juga seperti yang ditegaskan oleh pemerhati pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad, mengambil semangat Perlembagaan serta Laporan Pelajaran Razak (1956) yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan. Maka, sepatutnya kerajaan dan masyarakat umum memperkasakan bahasa Melayu dengan matlamat itu.
Dalam masa yang sama menggalakkan bahasa Mandarin dan Tamil untuk menjadi mata pelajaran pilihan di sekolah kebangsaan. ''Jangan sampai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan 'hilang' status kerana dasar ini," tegas Anuar.
Kemampuan pelajar-pelajar menyerap ilmu bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah juga perlu dipertimbangkan dalam dasar ini. Subjek bahasa adalah antara subjek yang sukar untuk difahami dan dikuasai. Ia bukanlah subjek yang boleh dipupuk atau dilatih di luar bilik darjah terutama bagi pelajar yang bahasa itu bukanlah bahasa ibunda atau bahasa rasmi di rumah.
Ambil sahaja contoh bahasa Melayu di kalangan pelajar bukan Melayu dan bahasa Inggeris di kalangan pelajar Melayu. Meskipun bahasa-bahasa ini diwajibkan dari peringkat sekolah rendah, menengah sehinggalah ke peringkat universiti, namun berapa ramai di kalangan kita yang benar-benar menguasainya?
Barangkali perkara ini ada kaitan dengan persekitaran pembelajaran subjek bahasa di sekolah-sekolah. Subjek ini seperti yang dikongsi daripada pengalaman Anuar, tidak diajar dalam suasana yang ceria dan membangkitkan minat pelajar. Sebaliknya, ia menjadi mata pelajaran yang membosankan, tidak ada keseronokan dan kurang praktikal komunikasi di dalam bilik darjah.
''Kerana itu walaupun dasar ini baik untuk dilaksanakan, namun antara perkara yang paling kritikal untuk dilakukan ialah merombak kembali kaedah pengajaran bahasa di sekolah," katanya.
Polemik di sebalik dasar ini juga mengingatkan kita kembali kepada apa yang berlaku terhadap dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Dasar ini akhirya terpaksa dimansuhkan kerana bantahan yang meluas selepas beberapa tahun dilaksanakan.
Bukan sedikit impak yang terpaksa ditanggung daripada perubahan dasar ini terutamanya dari sudut masa depan murid-murid yang menerima dasar ini. Sudah semestinya, kita tidak mahu dasar baru mewajibkan subjek bahasa Mandarin dan Tamil ini menjadi PPSMI yang kedua.
Memang dari sudut matlamatnya sangat jelas iaitu memperkasakan sekolah kebangsaan dan menggalakkan pelajar menguasai lebih daripada satu bahasa. Tetapi apa yang dibimbangkan ialah dari sudut mekanisme pelaksanaannya.
Adakah kita benar-benar bersedia? Apa yang dibimbangkan ialah perlaksanaan dasar ini boleh mewujudkan puak-puak kecil di dalam budaya sekolah tanpa disedari. Pada peringkat awal, dasar ini juga akan cuba untuk menarik kumpulan etnik lain untuk belajar bahasa Mandarin dan Tamil.
Tapi seperti pengalaman negara lain, akhirnya yang tinggal hanya kumpulan etnik tertentu sahaja. Ini tambah Anuar, adalah apa yang berlaku di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) apabila mata pelajaran bahasa etnik diperkenalkan di sekolah. Pada akhirnya, hampir semua kelas tersebut dihadiri oleh kumpulan etnik tertentu sahaja.
Mereka membina kelompok dan 'ghetto' budaya tersendiri melalui kelas-kelas ini, dan ini biasanya tidak disedari oleh pentadbir sekolah. ''Akhirnya, kita bukan sahaja akan ada sekolah vernakular pelbagai aliran seperti hari ini, kita juga ada kelompok kecil yang mengamalkan pengalaman vernakular di dalam sekolah kebangsaan," jelas beliau.
Sebenarnya jika elemen perpaduan itu benar-benar mahu dilahirkan dari sistem pendidikan, kerajaan seharusnya menumpukan usaha untuk menjayakan sekolah satu aliran.
Pelaksanaan dasar mewajibkan subjek bahasa Mandarin dan Tamil tidak menjamin bahawa sekolah aliran akan digabungkan dengan sekolah kebangsaan. Apa yang akan berlaku ialah pengembangan secara besar-besaran kelas bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah kebangsaan.
Dalam masa yang sama, sekolah-sekolah vernakular juga akan terus kukuh kerana adanya dana daripada kerajaan sendiri. ''Inilah senario sistem pendidikan negara kita pada masa depan," kata Anuar.

Wali nikah tipu jantina

Status jantina wali nikah disahkan perempuan

KUALA LUMPUR 15 Jun - Seorang pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah di sini bahawa wali dalam perkahwinan seorang wanita mualaf pada enam tahun lalu, sebenarnya adalah perempuan.
Abdul Malek Yaakub berkata, berdasarkan rekod JPN terkini, status jantina wali tersebut, Nawi Anak Ilai yang mempunyai kad pengenalan bernombor 760309-13-5002, merupakan seorang perempuan.
Menurut Abdul Malek lagi, mengikut kad pengenalan tersebut, Nawi yang beralamat di Rumah Salang, Kapit, Sarawak adalah berketurunan Iban.
Ketika disoal oleh Hakim Syarie Mohd. Yunus Muhammad Zin, mengenai status agama Nawi, Abdul Malek menyatakan, dia tidak mendaftarkan status agamanya kepada JPN selepas dia memeluk agama Islam.
Dalam keterangannya, Abdul Malek turut mengemukakan dokumen-dokumen dari JPN seperti salinan kad pengenalan dan sijil kelahiran Nawi.
Abdul Malek berkata demikian pada perbicaraan kes pembubaran perkahwinan yang dikemukakan oleh Nurul Farhana Azrin Jamas Abdullah kerana mendakwa pernikahannya dengan Ahmad Salim Moideen berwalikan kakaknya itu yang menyamar sebagai lelaki.
Nurul Farhana sebagai plaintif dan Ahmad Salim selaku defendan, masing-masing berusia 30 tahun tidak hadir pada perbicaraan hari ini.
Nurul Farhana yang berasal dari Kapit, Sarawak, pada asalnya beragama Kristian Katolik sebelum memeluk Islam pada 1997.
Dalam permohonan yang difailkan pada 19 April lalu, Nurul Farhana mendakwa, nama Nawi yang menyamar sebagai wali untuk sijil perkahwinan mereka dicatat sebagai Mohd. Amirul Aiman Abdullah.
Nurul Farhana turut mendakwa juru nikah tidak memeriksa jantina kakaknya memandangkan nama yang tertera pada kad pengenalan ialah Nawi dan tidak berubah walaupun dia memeluk Islam.
Pernikahan mereka dilangsungkan pada 17 April 2004 di Masjid Khadijah, Pantai Dalam di sini dan dikurniakan dua cahaya mata.
Perbicaraan bersambung 12 Ogos ini.

Koleksi UMNO hina islam



14/7
Di ambil dari forum web mykmu.net
(Kenyataan Tun Dr. Mahathir kepada wartawan pada 3hb Mac 1994 di Nilam Puri, Kelantan Darul Naim): Hukum rejam kepada penzina adalah primitif
(Kenyataan Najib Razak pada 20hb April 1983 kepada para wartawan): Negara akan huru-hara sekiranya undang2 Islam dilaksanakan -
Ucapan Tun Dr. Mahathir pada 30 April 1992 di perjumpaan Ketua2 UMNO bahagian Johor). Saya nak tahu siapakan di antara ahli2 Pas yang sanggup memotong tangan orang jika hudud dilaksanakan di Kelantan. Barangkali Nik Aziz akan melakukannya. Jika benar kita nak tengok apa yang berlaku selepas hukum itu nanti.
(Ucapan Tun Dr. Mahathir pada 14 Ogos 1994 di Pasir Mas Kelantan). Sukar dilaksanakan hukum syarak kerana masyarakat Malaysia bukan seratus peratus Islam.
Ucapan Tun Dr. Mahathir pada 3 Mac 1994 di Pusat Bahasa Arab, Nilam Puri, Kelantan). Apakah hukum hudud mesti dilaksanakan juga walau apa pun keadaan sehingga mendatangkan mudarat kepada orang Islam. Apakah dalam keadaan Islam sudah lemah, hukum2 yang boleh melemahkan lagi orang Islam mesti dilaksanakan? – Ucapan Tun Dr. Mahathir pada 3 Mac 1994 di Pusat Bahasa Arab, Nilam Puri, Kelantan)
(Ucapan Tun Dr. Mahathir pada 3 Mac di Pusat Bahasa Arab, Nilam Puri, Kelantan) Hudud tidak boleh dilaksanakan kerana sukar mendapat saksi yang tidak fasik. -
(Tun Dr. Mahathir Mohamad, temubualnya dengan media massa, 14 Julai 1992) “Apabila hukum rejam batu sampai mati kepada penzina dan potong tangan kepada pencuri, nescaya ramailah rakyat Islam yang mati dan kudung tangan.Ini sangat memalukan ummat Islam, kerana orang bukan Islam akan sempurna sifatnya dan boleh meneruskan kerja.”
(Sulaiman Daud, temubualnya dengan media massa, 20 Ogos 1993)” Pada pendapat saya, undang-undang Islam tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia sekarang. Lebih baiklah undang-undang yang ada dikekalkan
(Tun Dr. Mahathir Mohamad, ucapannya di Pusat Bahasa Nilam Puri, Kelantan, 3 Mac1994. “Saya cabar Kelantan laksana hukum hudud di depan orang bukan Islam.”
(Tun Dr. Mahathir Mohamad, ucapannya di Pusat Bahasa Nilam Puri, Kelantan, 3 Mac 1994) Hudud tidak boleh dilaksanakan kerana sukar mendapat saksi yang tidak fasik
(Tun Dr. Mahathir Mohamad, ucapannya di Pasir Mas, 14 Ogos 1994). “Al-Quran perlu ditafsirkan semula untuk disesuaikan dengan keadaan masa kini.”
(Tun Dr. Mahathir Mohamad, temubualnya dengan media massa selepas sidang Majlis Tertinggi UMNO, 1994). “Saya akan mempastikan bahawa negeri-negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional tidak akan melaksanakan hukum hudud.”
(Tun Dr. Mahathir Mohamad, ucapannya di Pasir Mas, Kelantan, 14 Ogos 1994). “Kerja yang paling sesuai bagi Tok Guru (ulama’) ialah mengajar, bukan mentadbir.”
.(Tun Dr. Mahathir Mohamad, ucapannya di Pasir Mas, Kelantan, 14 Ogos 1994). “Sukar dilaksanakan hukum syarak kerana masyarakat Malaysia bukan seratus peratus Islam”.
(Tun Dr. Mahathir Mohamad, ucapannya di Pasir Mas, Kelantan, 14 Ogos 1994). “Kita (Kerajaan Pusat) akan ambil tindakan jika Kelantan meneruskan usaha melaksanakan hudud.”
(Tun Dr. Mahathir Mohamad, kenyataannya kepada wartawan, 30 April 1992). “Bukan kerana dengan melaksanakan hukum hudud saja kita boleh menjadi Islam. Kita tengok banyak negara Islam yang tidak melaksanakan hukum hudud,tetapi tidak bermakna mereka tidak Islam.”
(Tun Dr. Mahathir Mohamad, temubualnya dengan wartawan, 18 Ogos 1991. “Perlaksanaaan hukum hudud boleh menyebabkan umat Islam menjadi mundur kerana tidak boleh bersaing dengan orang bukan Islam apabila orang Islam dipotong tangannya dan dilakukan hukum hudud yang lain, sedangkan orang bukan Islam tidak dikenakan.”
(Tun Dr. Mahathir Mohamad, bercakap kepada wartawan, 24 April 1992) . “Jika mereka hendakkan sangat hukum hudud, mereka kenalah cuba hukum mereka sendiri atau mahkamah mereka sendiri. Mereka seronok nak potong tangan orang, seolah-olah jika tidak potong tangan, tidak Islam. Sekarang kita nak tengoklah mereka boleh buat atau tidak.”
(Datuk Seri Najib Tun Razak, bercakap kepada wartawan, 20 April 1992): “Kerajaan Kelantan harus dipertanggungjawab jika berlaku huru hara, ketidakstabilan politik, perpecahan di kalangan umat Islam dan kegelisahan
rakyat apabila hukum hudud dilaksanakan di negeri itu.rakyat harus menyoal perlaksaaan hukum itu menguntungkan atau menyebabkan perpecahan pertentangan dan ketidakstabilan politik. Tidak semua negara Islam mengamalkan hukum hudud, bahkan ada negara Islam lebih makmur tanpa hukum itu.”
(Dr. Tun Dr. Mahathir Mohamad, ucapannya di Papar, Sabah, 2 Mei 1992). “Bagaimana kita boleh maju kalau orang Islam sudah tidak ada tangan dan kaki? Bagaimana mereka mahu bersaing dengan bangsa-bangsa lain, kalau sifatnya sudah tidak cukup? Hukum hudud tidak sesuai dilaksanakan di negara ini yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama.”
(Datuk Dr. Yusuf Nor, temubualnya dengan Radio Tiga Ibu Kota, 6 Mac 1994) “Sebarang undang-undang yang dilaksanakan di Malaysia sekarang yang selaras dengan undang-undang Islam boleh dianggap sebagai undang-undang Islam.”
(Dr. Tun Dr. Mahathir Mohamad, ucapannya di Pasir Mas, Kelantan, 14 Ogos 1994). “Melaksanakan hukum hudud sehingga melemahkan orang Islam sehingga menjadi masyarakat kucar kacir dan ditindas oleh orang lain tidaklah secucuk dengan ajaran Islam.”
(Tun Dr. Mahathir Mohamad 2/5/92) ‘Bagaimana kita boleh maju kalau orang Islam rakyat Islam yang mati dan kudung sudah tiada tangan dan
kaki. Bagaimana mereka mahu bersaing dengan bangsa-bangsa lain kalau sifatnya sudah tidak cukup. Hukum Hudud tidak sesuai dilaksanakan di negara ini yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama’.
(Dato’ Seri Najib TunAbd Razak 20/4/93) ‘Negara akan huru-hara sekiranya undang-undang Islam dilaksanakan’.
(Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi: 13/11/99) ‘Apa erti negara Islam jika mundur’.
MENGHINA HUKUM MENUTUP AURAT DAN MENGALAKAN RATU CANTIK
(Tun Dr. Mahathir Mohamad, Majlis Tertutup Majlis Agama Kebangsaan, 1997). “Apakah kalau kita tidak tutup (aurat) kita tidak Islam? Banyak benda yang disuruh oleh agama Islam yang kita tidak buat, tetapi kita masih Islam”.
Tun Dr. Mahathir Mohamad: 5 September 1997, PWTC, Perhimpunan Agung UMNO). Tujuan menutup aurat ialah kerana di zaman Nabi, Arab Jahiliyyah mempunyai nafsu yang kuat sehingga sering menculik dan merogol wanita daripada kabilah-kabilah lain. Akibatnya ialah peperangan antara mereka yang tidak pernah tamat”.
(Tun Dr. Mahathir Mohamad, Utusan Malaysia, 19 Julai 1997) Apabila tiga orang gadis Melayu Islam, Fahyu Hanim Ahmad,18 (Alor Setar), Noni Mohamad, 19 (George Town), dan Sharina Shaari 23, (Alor Setar), menyertai pertandingan Miss Malaysia Petite 1997 yang diadakan di Classic Ballroom, Hotel Holiday Villa Subang Jaya 13 Jun 1997 ditangkap oleh lima pegawai JAIS, Tun Dr. Mahathir yang ketika itu sedang bercuti di Okoyama, Jepun mengulas: “Cara ini meninggalkan kesan buruk sampai ke bila-bila kepada pihak yang terlibat termasuk keluarga mereka. Orang-orang ini tidak faham apa yang dikehendaki oleh agama. Inilah masalahnya apabila kita memberi kuasa kepada orang-orang yang tidak tahu menggunakan kuasa”.
MENGHINA DAN MEMECAT ULAMA’
(Tun Dr. Mahathir Mohamad, Majlis Tertutup Majlis Agama Kebangsaan, 1997). “Saya bukan lawan semua dengan mufti, tetapi mufti (Dato’ Ishak Baharom) yang semacam ini bukan mufti. Ulama’, macam-macam ulama’ ada.”Takkan satu orang boleh mendakwa diri dia ulama dan kita mesti sembah dia inilah waris nabi, bukan main senang. Masuk persatuan ulama’ jadi waris nabi. Syed-syed pun tak pernah berkata macam itu, yang kata dia keturunan nabi, keturunan sahabat-sahabat nabi – pun dia tak kata macam itu. Ini mana-mana tempat membuat dakwaan bahawa ‘ulama’ adalah waris nabi’. Mudah nak jadi waris nabi. Tak payah sapa pilih.”
(Tun Dr. Mahathir Mohamad, 8 Nov.1991, Perhimpuan Agung UMNO, PWTC). ” Ajaran ulama’ inilah yang menyebabkan umat Islam menghabiskan hayat mereka semata-mata mebuat persedian untuk akhirat. Dan untuk ini, berbagai-bagai ibadat dicipta dan ditokok-tambah untuk memenuhi masa hidup mereka”.
Lanjutan dari gesaan Mahathirlah maka Sahibus Samahah Dato’ Ishak Baharom ditamatkan perkhidmatan beliau sebagai Mufti Selangor hanya kerana bertegas agar pelaksanaan hukuman Hudud dilaksanakan dan juga kerana menyebabkan tiga orang ratu cantik Melayu-Islam didakwa di Mahkamah Syariah.
MENGIZINKAN MAKSIAT MEMBELA ORANG BUAT MAKSIAT
Dato’ Seri Abdullah Ahamd Badawi Jun 2001 : Tiada sebarang peruntukan dalam Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang memberi kuasa kepada penguatkuasa agama negeri untuk menangkap umat Islam yang berada di premis yang menghidangkan arak sekiranya mereka tidak meminumnya.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Abu Hassan Omar Jun 2001 : menyifatkan bahawa tindakan pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam (JAIS) menangkap 31 orang mengikut Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 pada 10 Jun merupakan satu kekhilafan dalam mentafsir undang-undang.
Dato’ Rais Yatim Jun 2001 mengkritik tindakan JAIS berikutan langkah pegawai dan kakitangan Jabatan tersebut melakukan serbuan dan tangkapan terhadap 25 orang Islam dalam sebuah pub “The Ship” di Damansara Utama, Selangor pada 11 Jun 2001 atas kesalahan orang Islam tidak dibenarkan membuat persembahan atau bekerja di dalam premis yang menjual minuman keras : “Apabila undang-undang ini dikuatkuasakan, saya percaya masalah seperti ini akan berkurangan dan dapat diketepikan. Walaupun undang-undang ini akan dikuatkuasakan, kita mesti terus berhati-hati juga tentang sistem penangkapan dan penguatkuasaan supaya persepsi orang ramai terhadap kuasa yang ada tidak bercanggah, konon sewenang-wenang dilakukan tangkapan dan sebagainya,” katanya.