Tuesday, July 15, 2014

Pancaroba

Nur Misuari dalang penculikan Sabah


Oleh Alias Abd Rani

Kuching : Bekas pemimpin Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) Nur Misuari dikenal pasti dalang di sebalik pencerobohan dan perculikan di Sabah termasuk di Pulau Mabul, Sabtu lalu.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Nur Misuari terbabit dalam kes ini dengan kumpulan lain sebagai usaha mendapatkan dana bagi membentuk pasukan baru selepas kehilangan sokongan.
"Wang tebusan akan digunakan untuk membangunkan pasukan baru kerana kita tahu, dia sudah kehilangan sokongan. Malah, Misuari juga tidak mendapat sokongan terutama ketika perjanjian pendamaian GRP (Kerajaan Filipina) yang dibuat sebelum ini.

"Malah, kita juga sudah kenal pasti dana diperolehi melalui tebusan digunakan untuk meningkatkan kekuatan seperti sebelum ini," katanya ketika menghadiri Iftar Ramadan bersama Warga Kementerian Dalam Negeri Sarawak di Masjid Mujahiddin, Kompleks Perumahan Polis Tabuan Jaya di sini, semalam.


Zahid berkata, kementerian tidak memandang mudah mengenai perkara sebaliknya akan terus bekerjasama dengan pasukan keselamatan bagi membanteras segala kegiatan ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/15

Surat terbuka kepada yang berjihad


DATUK SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG | .
PERKATAAN jihad, menjadi sebutan di kalangan umum umat Islam sejak zaman berzaman, walau pun ramai yang  tidak memahaminya secara hukum feqah. Kini menjadi lumrah disebarkan oleh media dan menjadi sebutan juga di kalangan bukan Islam, lebih menjadi sasaran media apabila ada kalangan yang mengisytiharkan jihad berperang menentang kerajaan yang ditolak dan mengajak seluruh dunia menyertainya.

Jihad adalah sebahagian daripada ajaran Islam yang wajib diimani dan dihayati oleh penganut Islam dan sepatutnya difahami dengan betul oleh semua pihak mengikut tasawwurnya, supaya tidak mencalarkan ajaran Islam yang menjadi rahmat kepada seluruh alam.

Perlu diketahui bahawa setiap ajaran Islam itu ada feqahnya, bukan hanya perkara ibadat sahaja seperti solat, puasa, haji dan zakat. Maka jihad pun ada hukum feqahnya yang tersendiri.

Feqah bererti kefahaman yang betul, bermaksud diketahui secara ilmu yang sahih dan dilaksanakan dengan istiqamah dan faham terhadap setiap ajaran itu secara menyeluruh dan mendalam. Ianya meliputi cara amalan, syarat, rukun, adab, masa  dan matlamatnya yang dinyatakan oleh sumber utama ajaran islam, iaitu al-Quran, serta dihuraikan pelaksanaannya yang betul oleh Rasulullah S.A.W. dan para ulama yang mendalaminya  di sepanjang zaman dengan cara ilmu yang betul melalui bahasa al-Quran, di mana ada perkataannya yang tidak boleh diterjemah dalam bahasa lain dengan satu perkataan sahaja.

Seperti juga urusan ajaran Islam yang lain, hukum jihad itu ada di dalamnya perkara-perkara dasar yang tetap dan teguh, ada pula yang berkait dengan perkembangan kehidupan masyarakat yang berbeza dan berubah yang  semuanya berada dalam ilmu Allah dan kebijaksanaanya yang penuh rahmat dan adil.

Perkataan Jihad daripada  bahasa Arab, perkataan asalnya,  “al-Juhdu” dan “al-Jahdu”, masdar atau nama terbitan daripada perkataan “Jahada”. Al-Jahdu berarti masyaqqah, yakni kesukaran atau payah. Al-Juhdu pula bererti “Thoqah”, yakni tenaga dan kemampuan kekuatan roh dan jasad, harta dan lain-lain daripada segala nikmat yang ada pada diri. Maka ditambah pula dengan makna yang lebih kuat, dipanjangkan huruf jim, menjadi “jaahada” dan melahirkan nama terbitan “jihad” atau “mujahadah”, bermaksud menggemblengkan segala kemampuan daripada nikmat tenaga, diri dan harta dan lain-lain, serta menghadapi segala cabaran, kesulitan, kepayahan dan segala penderitaan dengan sepenuh kesungguhan.

Adapun Jihad mengikut istilah syarak (ajaran Islam) ialah melakukan amalan tersebut di atas bagi menegakkan ajaran Islam yang membawa rahmat dan adil terhadap semua, kerana Allah dengan iman dan ikhlas, sama ada dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara. Jihad ini dilaksanakan sehingga membuktikan Islam sebenarnya adalah al-Din yang terbaik daripada segala ajaran yang lain, sama ada agama atau segala ideologi, teori dan sebagainya. Temanya ialah firman Allah:

“Dialah (Allah) Tuhan yang telah mengutuskan Rasulnya (Muhammad S.A.W), dengan petunjuk dan Din (agama dan cara hidup) yang sebenarnya , supaya menzahirkannya (dengan kemenangan) mengatasi segala ajaran yang lain walau pun dibenci oleh orang-orang musyrikin)”  (Surah Al Sof: 9-10)

Seterusnya dihuraikan oleh ayat-ayat al-Quran dalam surah yang banyak, melalui hukum syariat dan kisah para rasul dan umat terdahulu, serta pelaksanaan oleh Rasulullah S.A.W. yang mendapat bimbingan wahyu dan tarbiyah secara langsung daripada Allah, untuk menjadi ikutan seluruh umat sehingga hari kiamat.

Al-Quran dan hadis menghuraikan segala pendekatan amalan jihad, merangkumi damai dan berperang. Maka jihad itu tidak hanya berperang semata-mata, seperti mana tafsiran para orientalis musuh Islam dan mereka yang diheret oleh tafsiran yang salah ini, sehingga menjadikan perkataan jihad tidak lengkap kalau diterjemahkan dengan peperangan apatah lagi tersasar jauh kalau diterjemahkan dengan perkataan “Holy War”. Peperangan hanya salah satu daripada lapangan jihad dan perdamaian pula menjadi lapangannya yang lebih luas.

Allah menyebut kisah semua para Rasul a.s. yang memulakan pendekatan jihad secara aman dan damai terlebih dahulu, menyampaikan mesej dengan hujah yang sepatutnya diterima oleh akal yang baik, walaupun memakan masa yang panjang, untuk memberi hujah dan tempoh yang seluas-luasnya supaya menusia menerima Islam.

Para rasul dan pengikutnya yang beriman diperintah bersabar yang menjadi rukun jihad. Hukuman secara keras, sama ada peperangan atau bencana secara langsung daripada Allah, dilakukan setelah batas kesabaran sampai kemuncaknya dan dirasakan segala kezaliman dan penipuan ajaran yang sesat oleh akal yang sempurna terus berlaku. Semua kisah tersebut bukan sekadar cerita, bahkan wajib menjadi petunjuk kepada Rasulullah S.A.W. dan umatnya sehingga hari kiamat.

Rasulullah S.A.W. menunjukkan pendekatan secara amali (praktikal). Baginda berusaha supaya manusia menerima Islam seramai mungkin tanpa paksaan, kerana paksaan itu tidak membawa Islam yang sebenarnya beriman, budiman dan beramal soleh. Atau memberi peluang bebas beragama dan boleh ditunjukkan apa dia Islam tanpa gangguan. Maka tentangan secara jihad juga dilakukan terhadap gangguan berdakwah mengikut kadarnya, walau pun berperang, tetapi wajib dengan syarat dan adab mengikut batas hukum Islam bagi mencegah kezaliman.

Al-Quran dan hadis juga menunjukkan betapa bersabar dengan teguran berani dan membina, menghadapi kerajaan yang zalim ketika berada dalam satu masyarakat bersama, adalah jihad akbar dengan hadis yang sahih. Menunjukkan bahawa pendekatan jihad menghadapi kemungkaran dalaman masyarakat berbeza dengan menghadapi penceroboh yang menyerang.

Kita wajib mengambil iktibar secara perbandingan, mengapa pendekatan Rasulullah S.A.W. dan generasi awal umat Islam yang berdakwah berjaya  menarik sehingga satu bangsa dan kaum semuanya menganut Islam dalam masa yang cepat. Mengapa kita di zaman kini sangat payah untuk menarik seorang sahaja supaya masuk Islam. Mereka yang masuk Islam di masa damai di zaman awal pula lebih besar jumlahnya.

Perbandingan juga perlu difahami, mengapa berperang jihad Rasulullah S.A.W. dan generasi awal berjaya menjatuhkan kuasa besar dunia Parsi dan Rom, walau pun bala tentera Islam terlalu kecil jumlahnya dan musuh pula berlipat ganda jumlahnya dengan senjata yang berlipat ganda kecanggihannya. Tentera Islam disambut oleh penduduk menjadi penyelamat daripada kezaliman, bukannya sebagai penjajah. Selepasnya rakyat menerima agama Islam tanpa paksaan, sehingga masih ada penganut bukan Islam, gereja, biara dan kuil lama sehingga zaman kini di tengah masyarakat Islam.

Di zaman Khalifah Umar bin Al Khattab, apabila Maharaja Parsi (Kisra Yazdajur) yang berundur di perbatasan timur Parsi menulis surat kepada Maharaja China meminta bantuan bagi menyelamatkan takhtanya dan memberi amaran bahawa China juga berdepan dengan bahaya Islam. Maharaja China yang terlebih dahulu bertanyakan utusan Parsi: “Sifat dan cara orang Islam setelah menawan Parsi”. Apabila disebut segala-galanya, Maharaja China membalas bahawa kemaraan Islam dan penganutnya yang  begitu sifatnya tidak boleh dihalang kerana rakyat menerimanya, lalu China mengadakan hubungan damai dengan semua kerajaan Islam dalam sejarahnya.

Bandingkan mengapa amalan jihad secara damai dan perang di zaman awal menjadikan Islam digeruni kerana rahmat dan adilnya, bahkan kedatangan bala tentera bersenjata disambut rakyat menjadi penyelamat bukannya penjajah. Adapun jihad terkini yang diisytiharkan oleh kalangan yang betapa tinggi semangat jihadnya digambarkan dengan wajah yang buruk terhadap Islam oleh kawan dan lebih lagi lawan. Adakah kerana semangat tanpa feqah yang boleh ditembusi oleh bisikan syaitan yang merosakkan amal dan orang yang beramal. Kalau syaitan boleh masuk ke dalam hati dan saf mereka yang sedang solat berjamaah, maka syaitan lebih mudah masuk ke dalam saf mareka yang berjihad tanpa feqahnya.

Contoh yang nyata kepada wajah umat Islam terkini ialah apabila mereka melontar jumrah di musim haji. Umat Islam dahulu melontar mengikut sunnah dengan feqah hajinya, menggunakan batu sebesar hujung jari dengan semangat  melontar syaitan. Kini ada jamaah haji yang melontar kawan sendiri dengan batu besar dan kasut kerana hajinya tidak ada feqah. Maka kalau berjihad tanpa mendalami feqahnya menerima padah amaran Rasulullah S.A.W. yang membunuh dan dibunuh kedua-duanya masuk neraka, bukannya mati syahid.

Percayalah bahawa jihad tetap wajib sehingga hari kiamat, berilmu adalah wajib disertakan dengan feqahnya  bagi mensahihkan amal yang wajib. Benarlah bahawa syaitan lebih mudah menggoda seratus orang lebai yang jahil daripada seorang yang berilmu. Paling bodoh ialah orang merasakan dirinya sudah cukup berilmu segala-galanya.

PRESIDEN PAS  
14 Julai 2014

Malaysia patut henti hubungan dagang dengan Israel


NURUL ISLAM MOHAMED YUSOFF | .
1. Hari ini telah masuk hari ke-8 serangan bersepadu darat, laut dan udara Israel ke atas Gaza. Serangan udara dan tembakan meriam ke atas orang awam Gaza diteruskan sehingga mengakibatkan angka kematian meningkat secara mendadak mencecah 160 orang di samping lebih 1000 pula mengalami kecederaan sehingga semalam. Semalam juga Israel mengumumkan akan memperhebatkan serangan darat dengan “gempuran paling kuat” pada bila-bila masa sahaja.

2. Umat Islam di serata dunia telah menunjukkan solidariti tidak berbelah bahagi kepada penduduk Palestin khususnya di Gaza. Ribuan berhimpun di United Kingdom, Yaman dan juga di Israel sendiri. Dijangka menjelang hujung minggu ini lebih banyak negara akan mengadakan himpunan dan demonstrasi besar-besaran. Turki pula, melalui Perdana Menterinya, Erdogan telah mengumumkan bantuan segera kemanusian akan dihantar ke Semenanjung Gaza. Menariknya, misi bantuan kemanusian itu juga akan diiringi oleh beberapa buah kapal perang. Ini merupakan signal jelas kepada Israel bahawa Turki bersungguh besar terhadap isu yang melanda umat Islam Palestin.

3. Malangnya, pemimpin dan negara umat Islam sekitar yang lain masih membisu dalam isu ini dan jika ada pun hanya mengeluarkan kenyataan bantahan dan kecaman yang bersifat umum untuk publisiti media tanpa ada dilakukan suatu tindakan affirmatif untuk sekurang-kurangnya memberi tekanan kepada Israel. Malah ada antara negara Islam yang mengecam dan mengkritik tindakan Hamas mempertahankan diri dari serangan Israel dan melabel tindakan itu sebagai bersifat keganasan terhadap Israel. Mesir juga menghalang bantuan perubatan dari Eropah yang cuba memasuki Palestin bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan.

4. Sikap tidak bersungguh kebanyakan negara dan pemimpin Islam ini juga turut diikuti oleh Malaysia. Malaysia sehingga setakat ini hanya baru mengeluarkan kenyataan bantahan mengecam serangan Israel ke atas Gaza, mendesak OIC serta PBB untuk segera menghulurkan bantuan kemanusiaan dan melancarkan tabung kemanusian untuk Gaza di peringkat nasional. Namun sehingga ke hari ini belum ada tindakan agresif dari Malaysia untuk mendesak dunia menyekat kekuatan ekonomi Israel yang sudah tentu akan melumpuhkan operasi ketenteraan Israel. Malah Malaysia sendiri mempunyai hubungan dagang dengan Israel secara langsung.

5. Data yang dikeluarkan oleh Israel’s Central Bureau of Statistics menunjukkan bahawa pada tahun 2008, eksport Israel ke Malaysia mencecah $30.2 juta manakala barang import Israel bernilai $100.6 juta. Pada tahun 2009, Israel mengeksport $116.8 juta nilai barangan ke Malaysia dan mengimport barangan bernilai $68.5 juta. Pada 2010, nilai eksport Israel ke Malaysia meningkat kepada $798 juta dan import pula meningkat ke $85 juta. 2011 menyaksikan barangan eksport Israel ke Malaysia bernilai $716.4 juta dan barangan import bernilai $93.6 juta.

6. Satu laporan yang disusun oleh European Comission menunjukkan bahawa pada tahun 2010 Malaysia menduduki tempat ke-15 sebagai rakan dangan utama Israel dengan menyumbang kepada 0.8 peratus daripada perdagangan Israel pada tahun tersebut.

7. Oleh hal yang demikian saya mendesak Perdana Menteri Malaysia agar dengan segera mendesak agar Israel hentikan sebarang bentuk operasi ketenteraan atau hadapi potensi boikot besar-besaran dari Malaysia. Saya juga mendesak agar Malaysia sebagai anggota OIC mengajak seluruh Negara Islam yang menganggotai OIC agar melaksanakan sekatan ekonomi yang sama.

8. Saya juga ingin mempersoalkan sikap pilih kasih PBB atas sikap memilih konflik untuk bertindak. Sehingga ke hari ini apabila ia melibatkan kepentingan umat Islam, maka PBB akan membisu dan membutakan mata. Malaysia juga sebagai anggota PBB sepatutnya menyelar sikap pilih kasih ini dan mendesak agar tindakan segera oleh PBB. - HARAKAHDAILY 15/7/2014

Lancar 100 peluru berpandu

Korea Utara melancarkan kira-kira 100 peluru berpandu ke perairan sempadan.
Korea Utara melancarkan kira-kira 100 peluru berpandu ke perairan sempadan.
SEOUL - KOREA SELATAN. Korea Utara, semalam melancarkan serangan provokasi baharu ke perairan berhampiran sempadan Korea Selatan, sehari selepas negara itu melakukan ujian peluru berpandu balistik.
Agensi berita Yonhap melaporkan, Korea Utara melancarkan kira-kira 100 peluru berpandu.

"Kesemua peluru berpandu itu dibedil ke sempadan maritim semenanjung Korea. Bagaimanapun, tentera kami tidak membalas serangan provokasi tersebut," menurut jurucakap tentera Seoul.

Difahamkan, Pyongyang dan Seoul pernah berbalas tembakan peluru berpandu sebanyak dua kali pada awal tahun lalu, laporan dipetik dari Al Jazeera.

Malala janji bebaskan sekumpulan pelajar perempuan

Malala Yousafzai
Malala Yousafzai
ABUJA - NIGERIA. Ikon remaja Pakistan, Malala Yousafzai berjanji akan membantu membebaskan sekumpulan pelajar perempuan yang diculik militan, lapor Al-Arabiya.

Semalam, Malala bertemu dengan ibu bapa lebih 200 pelajar yang diculik kumpulan Boko Haram dari sekolah di kawasan Chibok, April lalu.

Beberapa ibu bapa kelihatan menangis mendengar ucapan Malala di sebuah hotel di Abuja.

“Saya melihat mereka (pelajar yang diculik) sebagai adik-adik saya dan saya akan bersuara sehingga mereka dibebaskan,” katanya.

Malal dijadualkan bertemu dengan Presiden Goodluck Jonathan, hari ini.

“Saya akan libatkan diri dengan kempen ‘membawa pulang adik kita’ bagi memastikan mereka pulang dengan selamat dan meneruskan pendidikan.

Kempen #BringBackOurGirls di Twitter disokong isteri Presiden Amerika Syarikat, Michele Obama dan pelakon terkenal, Angelina Jolie menekan pihak berkuasa dan Jonathan berjanji untuk menyelamatkan pelajar-pelajar tersebut.

Namun sehingga kini, pelajar-pelajar tersebut masih belum dibebaskan

Firdaus dijangka keluar hospital minggu ini


2014/07/15

Firdaus dijangka keluar  hospital minggu ini
Muhammad Firdaus Dullah

Seremban: Remaja kurang upaya Muhammad Firdaus Dullah, 15, yang ditemui dalam keadaan menyedihkan bulan lalu, dijangka keluar dari Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS) di sini, minggu ini.

Pengarah HTJS, Datuk Dr Jaafar Che Mat, berkata sebelum ini Firdaus dilaporkan akan keluar ke hospital minggu lalu, tetapi pasukan perubatan yang merawatnya memutuskan untuk terus memantau keadaan kesihatannya.

Pastikan benar-benar sihat

Katanya, keadaan remaja itu semakin baik, tetapi pihak hospital mahu memastikan keadaannya benar-benar sihat sebelum menyerahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kemungkinan Firdaus akan dibenarkan keluar hospital esok atau Khamis ini. Sementara itu, kita akan terus menjalankan pemantauan tahap kesihatannya,” katanya di sini, semalam.

Dr Jaafar berkata, sejak mendapatkan rawatan di HTJS tiga minggu lalu, tahap pemulihan remaja itu semakin positif terutama dari segi berat badan yang semakin bertambah.

Tindak balas positif
Katanya, dia juga kini sudah menunjukkan tindak balas positif ketika berhubung dengan doktor atau jururawat yang merawat serta orang di sekelilingnya.

“Selepas ini, Firdaus akan diserahkan kepada JKM untuk ditempatkan di Rumah Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah di sini,” katanya.

Dalam operasi Jabatan Imigresen negeri untuk memburu pendatang tanpa izin di rumah pangsa Taman Semarak, Nilai, jam 2 pagi pada 21 Jun lalu, anggota penguat kuasa terkejut apabila menemui Firdaus dalam keadaan kurus kering dan menyedihkan.

BOLEH TEMBAK PENCEROBOH


2014/07/15

Isu ceroboh perairan Sabah: Pasukan keselamatan diberi kuasa tembak penceroboh perairan Sabah jika itu boleh halang pencerobohan: Menteri Dalam Negeri

Kangar: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pasukan keselamatan diberi kuasa untuk menembak mana-mana pihak yang didapati menceroboh perairan negara.

“Kerajaan tiada sebarang masalah jika itu (menembak) boleh halang penceroboh daripada memasuki Malaysia,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) Perlis, di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Panglima Tentera Laut Laksamana, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar yang meminta kerajaan membenarkan pasukan keselamatan menembak mana-mana pihak atau kumpulan yang menceroboh perairan Sabah.

Kenyataan Abdul Aziz itu menyusuli kejadian serangan hendap oleh sekumpulan lelaki bersenjata berat di Pulau Mabul, Semporna pada Sabtu lalu yang mengorbankan seorang anggota Pasukan Polis Marin manakala seorang lagi ditawan.