Friday, August 27, 2010

Ahli Parlimen mahu Malaysia minta maaf




2010/08/27

Syor hantar nota bantahan diplomatik baru 

JAKARTA: Ahli perundangan Indonesia meminta kerajaan menuntut permohonan maaf rasmi dari Malaysia atas insiden sempadan membabitkan penahanan tiga pegawai maritim negara itu, awal bulan ini.Desakan itu dibuat anggota Suruhanjaya Parlimen 1 mengenai hal-ehwal luar, ketika mengadakan sesi perbincangan dengan Menteri Luar Marty Natalegawa akan membincangkan penahanan Malaysia ke atas tiga pegawai maritim terbabit, lapor akhbar Jakarta Globe, semalam.“Mesyuarat itu membuat keputusan supaya nota bantahan diplomatik (dari Kementerian Luar) dihantar meminta kerajaan Malaysia secara rasmi membuat permohonan maaf. 

“Marilah lihat jika mereka akan memberi maklum balas terhadap nota itu atau tidak,” kata Mahfudz Siddiq, pengerusi suruhanjaya itu. 

Marty memberitahu anggota jawatankuasa itu kementeriannya sedang mengumpul bukti, termasuk menghantar nota bantahan diplomatik kepada Malaysia berhubung penahanan tiga pegawainya yang didakwa Jakarta berlaku di perairan Indonesia. 

Beliau berkata, sejak 18 Ogos, kerajaan menghantar nota bantahan diplomatik pertama kepada Kerajaan Malaysia berhubung insiden di Tanjung Berikat, namun perkembangan itu memerlukan nota bantahan baru. 
“Kami akan hantar satu lagi nota bantahan menuntut satu permohonan penyesalan atau maaf,” kata Marty. 

Walaupun tiada bukti pegawai maritim itu didera secara fizikal atau diberi layanan buruk pihak berkuasa Malaysia, jelas mereka dilayan secara tidak wajar, katanya. 

“Hakikatnya. mereka digari dan perlu memakai pakaian penjara dan ini perlu dibantah,” tegasnya. 

Tiga pegawai maritim terbabit mengakui mereka tidak didera secara fizikal,tetapi mendapat layanan buruk termasuk menanggalkan pakaian seragam rasmi dan digari. 

Sambil menekankan kerajaan ‘perlukan ruang menyelesaikan isu itu,’ Marty berjaya meyakinkan suruhanjaya itu membatalkan hasrat mendesak Parlimen membuat tuntutan permohonan maaf rasmi dari Malaysia. 
– Agensi 

Suasana Jeti Pulau Ketam bagai Indonesia


Oleh Wartawan Berita Harian
bhnews@bharian.com.my
2010/08/27


SALAH satu daripada empat pemeriksaan pihak berkuasa yang perlu dilalui warga asing di Jeti Pulau Ketam.
SALAH satu daripada empat pemeriksaan pihak berkuasa yang perlu dilalui warga asing di Jeti Pulau Ketam.

Ejen tawar pelbagai khidmat termasuk cop bawah pokok
 

PELABUHAN KLANG: Suasana Jeti Penumpang Pulau Ketam di sini bagaikan di Indonesia kerana dipenuhi ejen atau chalo warga republik itu yang menawarkan pelbagai perkhidmatan, termasuk memalsukan cop imigresen bagi membawa masuk atau keluar rakan senegara tanpa dokumen.Sekurang-kurangnya empat sindiket yang dianggotai kira-kira 80 ejen warga Indonesia dikatakan beroperasi di jeti itu, selain berpuluh ribu pendatang tanpa izin yang menggunakan khidmat chalo setiap hari.Malah, anggota sindiket itu bertambah sebelum atau selepas musim perayaan, seperti menjelang Aidilfitri. 

Difahamkan, sepanjang tahun lalu 561,266 penumpang menggunakan jeti itu untuk keluar-masuk Malaysia. 

Setiap chalo dikatakan mampu memperoleh pendapatan antara RM5,000 sehingga RM20,000 sebulan atau hingga RM30,000 sebulan pada musim perayaan, berikutan pertambahan pelanggan. 

Anggota sindiket itu juga dipercayai mempunyai jaringan rapat dengan pengusaha feri komersial dan pihak berkuasa di jeti berkenaan. 
Chalo menawarkan khidmat dikenali sebagai ‘bawah pokok’ bagi urusan cop palsu imigresen bagi warga Indonesia yang tiada dokumen keluar-masuk negara ini dan tinggal melebihi tempoh, tetapi ingin pulang ke kampung masing-masing. 

Ejen haram ini mengenakan bayaran antara RM50 hingga RM1,800 bagi setiap pelanggan mereka bergantung kepada khidmat yang disediakan. 

Bagi setiap cop ‘bawah pokok’ dikenakan RM50, manakala cop imigresen keluar-masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pula dikenakan RM450 kerana ia cop rasmi yang asli, bagaimanapun maklumat pada dokumen yang dicop tidak dimasukkan dalam data imigresen. 

Sumber memberitahu Berita Harian, contoh cop diambil daripada pasport dan proses menghasilkan cop palsu itu dilakukan sendiri anggota sindiket yang mempunyai kepakaran. 

“Cop palsu ini menghalalkan keluar masuk pekerja Indonesia ini. Ini taktik terbaru digunakan sindiket kebelakangan ini berbanding dulu apabila mereka yang tidak memiliki dokumen terpaksa menaiki kapal sayur dan ikan serta disembunyikan di bahagian enjin feri dalam keadaan yang tidak selesa. 

"Bagaimanapun, ini tidak bermakna cara lama itu tidak digunakan lagi kerana setiap hari ada kapal dagang yang belayar ke negara jiran dan kegiatan sindiket ini berjalan lancar setiap hari," katanya. 

Sumber berkata, kehadiran warga asing di jeti itu seharusnya dipantau kerajaan kerana sewajarnya tugas menyambut tetamu ke negara ini dilakukan rakyat tempatan. 

“Kehadiran ramai chalo memberi gambaran seolah-olah kita berada di Tanjung Balai Asahan, Indonesia,” katanya

Buaya tembaga mengeram 20 biji telur ditangkap



ANGGOTA Perhilitan Melaka dan JPAM berusaha menangkap buaya tembaga di Sungai Putat, Melaka semalam.


MELAKA - Seorang petani terperanjat apabila menemui seekor buaya tembaga yang sedang mengeram di kawasan belukar berhampiran Sungai Putat di sini semalam.
Gui Ah Seng, 64, berkata, dia terserempak dengan buaya tersebut ketika membersihkan kebun sayurnya berdekatan belukar berkenaan kira-kira pukul 2 petang kelmarin.
"Saya mulanya mendengar bunyi menderam dalam satu kawasan belukar dan selepas diperiksa didapati seekor buaya sedang mengangakan mulut. Saya yang ketakutan terus melarikan diri.
"Saya datang ke belukar ini sekali lagi pada pukul 8 pagi tadi (semalam) dan melihat buaya ini masih berada di sini lalu menghubungi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) untuk meminta pertolongan menangkap buaya," ceritanya ketika ditemui di sini semalam.
Ah Seng berkata, dia bimbang buaya itu akan membahayakan keselamatan para pemancing yang sering menjadikan Sungai Putat sebagai lokasi memancing.

Joe Radzwill-Aida sah bercerai



Rumah tangga yang dibina hampir 10 tahun oleh pasangan Joe Radzwill dan Aida Radzwill terlerai jua apabila Joe melafazkan cerai talak satu terhadap dramatis itu di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam.


Joe, 40, melafazkan cerai di hadapan Hakim Syarie, Mohd. Yusri Kasim dengan lafaz: "Saya Ismail Ahmad @ Mohd. Radzwill menceraikan isteri saya, Khalidah Adibah Ahmad dengan talak satu."
Mohd. Yusri kemudian membenarkan cerai tersebut dan memerintahkan mereka mendaftarkan penceraian di pejabat agama di sini.
Sebelum itu, peguam syarie, Roslizam Rahim yang mewakili Joe memberitahu mahkamah bahawa kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka secara baik dengan kebenaran mahkamah mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 1993.
"Saya difahamkan satu dokumen pindaan difailkan sendiri oleh plaintif (Aida) terhadap permohonan sebelum ini yang telah dibuat mengikut Seksyen 53 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 iaitu tuntutan cerai fasakh.
"Kedua-dua pihak juga telah mencapai kata sepakat dan bersetuju dengan permohonan plaintif untuk menggugurkan hak nafkah edah dan mutaah," jelas Roslizam.

Keluarga remaja Cina mohon maaf



SEOW WEI (kiri), Kok Foo (dua dari kiri), Foong Kuen (kanan) dan Teck Ai (dua dari kanan) bersalaman serta memohon maaf kepada Mohd. Hasbi (tengah) berhubung kes menyimbah cat di Surau Taman Pulai Impian, Sikamat semalam. Turut kelihatan Chai Thiam (tiga dari kiri).


SEREMBAN - Keluarga empat remaja Cina yang ditahan polis kerana disyaki menyimbah cat merah dan melempar botol arak di Surau Taman Pulai Impian, Sikamat di sini baru-baru ini memohon maaf kepada masyarakat Islam di kawasan berkenaan.
Cheng Kok Foo, 38; Wong Seow Wei, 43; Loh Teck Ai, 53, dan Leong Foong Kuen, 53, yang merupakan ibu dan bapa kepada empat remaja itu mengakui perbuatan tersebut telah mengguris perasaan penganut agama Islam.
Kok Foo berkata, tindakan keterlaluan anaknya itu adalah salah dan dia dengan ikhlas meminta maaf kepada penduduk di situ.
"Anak saya sudah melakukan kesalahan yang amat sukar saya terima, begitu juga dengan umat Islam. Ini perbuatan yang tidak baik. Saya harap permohonan maaf ini diterima," katanya pada sidang akhbar di Surau Taman Pulai Impian semalam.
Turut hadir ialah Pengerusi MCA negeri, Senator Datuk Dr. Yeow Chai Thiam, Ketua UMNO Cawangan Panchor Jaya, Arshad Jawi dan Pengerusi surau terbabit, Mohd. Hasbi Ismail.
Seow Wei pula berkata, anaknya telah melakukan satu kesalahan besar kerana membuat kacau di surau yang menjadikan tempat beribadat orang Islam.
"Mungkin saya kurang mengajar anak untuk menghormati orang lain terutama tempat yang dianggap suci oleh orang Islam, maafkan kami," katanya.

PM kecewa serangan Bendera


KERATAN Kosmo! semalam.


PUTRAJAYA - Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa kecewa dengan tindakan penunjuk perasaan daripada kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) melempar najis manusia ke kawasan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta Isnin lalu.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman (gambar) berkata, Perdana Menteri menyatakan perkara itu dalam mesyuarat Kabinet semalam setelah beliau memberi penjelasan tentang apa yang berlaku di Jakarta.
"Sudah tentu beliau amat kecewa. Perdana Menteri berpendapat adalah salah bagi mereka bertindak sedemikian.
"Namun beliau mempunyai keyakinan dengan pihak berkuasa Indonesia. Beliau (Perdana Menteri) yakin terhadap Presiden (Susilo Bambang Yudhoyono) bahawa perkara ini akan diselesaikan," katanya.
Anifah menyatakan demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan rombongan Duta Belia 2010 Indonesia di Wisma Putra di sini semalam.
Dalam kejadian itu, penunjuk perasaan daripada kumpulan Bendera dipercayai bertindak sedemikian bagi menunjukkan kemarahan terhadap Malaysia terutama berhubung penangkapan tiga pegawai Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia (KKP) yang didakwa menceroboh perairan Malaysia baru-baru ini.
Anifah memberitahu, mesyuarat Kabinet semalam sepakat untuk menyelesaikan perkara itu secara baik dan meminta rakyat Malaysia supaya bersabar dan bersikap rasional dengan mengelak kejadian yang sama di negara ini.

Taliban mahu serang operasi bantuan


WANITA Pakistan ini menjaga bayinya yang menderita sakit cirit-birit di wad pediatrik hospital di Sukkar, negeri Sindh di selatan Pakistan, kelmarin. Mereka adalah antara beribu-ribu mangsa banjir terburuk di negara itu – AP


WASHINGTON 26 Ogos – Anggota Taliban Pakistan dilapor sedang merancang serangan terhadap rakyat asing yang menyertai operasi bantuan banjir di negara itu, demikian satu amaran yang dinyatakan seorang pegawai Amerika Syarikat (AS).
“Menurut maklumat yang diterima kerajaan AS, kumpulan Tehrik-e Taliban merancang untuk menyerang rakyat asing yang terlibat dalam operasi bantuan banjir di Pakistan.
“Kumpulan itu juga mungkin membuat rancangan untuk menyerang menteri-menteri persekutuan dan wilayah di Islamabad,” kata beliau kepada AFP tanpa mendedahkan namanya.
Banjir buruk di Pakistan menjejaskan kira-kira 17.2 juta penduduk, dengan sekurang-kurangnya lapan juta dipercayai memerlukan bantuan kemanusiaan.
Sehingga kini, AS dan negara-negara lain telah menjamin bantuan kewangan lebih AS$700 juta (RM2.24 bilion) bagi usaha bantuan.
Pegawai AS berkata, pihaknya tidak berdepan situasi membahayakan semasa menerbangkan bantuan ke wilayah-wilayah bergolak di Pakistan.
Sementara itu, pegawai Pakistan menggesa mangsa yang berada di tiga bandar di selatan negara supaya berpindah segera setelah banjir melimpahi benteng, sekali gus membahayakan kawasan yang masih belum dilanda bencana berkenaan.
Pegawai tertinggi kerajaan di daerah Thatta, Mansoor Sheikh berkata, air Sungai Indus telah melimpahi benteng di selatan wilayah Sindh lewat malam tadi, mengancam bandar-bandar Sujawal, Daro dan Mir Pur Batoro.
Katanya, hampir semua daripada 400,000 penduduk di tiga bandar itu telah berpindah, namun penduduk yang masih berdegil diarah segera meninggalkan bandar-bandar tersebut.
Banjir buruk yang melanda Pakistan hampir sebulan lalu, telah memusnahkan sebahagian besar negara itu dari kawasan pergunungan di utara ke kawasan tengah yang terkenal dengan aktiviti pertanian. – AFP/AP

Masjid WTC: Perikatan dibentuk


NEW YORK 26 Ogos – Pertubuhan- pertubuhan Islam, Yahudi, Kristian dan sivik membentuk sebuah perikatan semalam untuk menyokong rancangan bagi membina sebuah pusat kebudayaan Islam dan masjid dekat tapak runtuhan Pusat Dagangan Dunia (WTC) di bandar raya ini.
Projek tersebut mendapat tentangan keras daripada ahli politik konservatif dan sebilangan penduduk yang menganggap lokasinya sebagai tidak sensitif terhadap perasaan ahli keluarga kepada hampir 3,000 orang yang terbunuh dalam serangan pada 11 September 2001 itu.
Bagaimanapun perikatan yang baru dibentuk itu terdiri daripada lebih 40 pertubuhan agama dan sivik, New York Neighbours for American Values berkata, perbahasan berhubung projek itu menimbulkan perasaan takut serta perpecahan dan mereka akan berjuang supaya kebebasan yang termaktub dalam perlembagaan Amerika dipertahankan.
“Kita bukan diserang oleh dunia Islam. Kami menyokong 100 peratus pembinaan pusat kebudayaan Islam di New York City,” kata Donna O’Connor, jurucakap untuk sebuah pertubuhan bagi ahli keluarga mangsa serangan 11 September. Anak perempuan O’Connor yang hamil terbunuh dalam serangan di WTC.
Perbahasan itu merebak ke peringkat kebangsaan menjelang pilihan raya separuh penggal pada November ini apabila Parti Republikan bertekad untuk merampas penguasaan ke atas Kongres daripada Parti Demokrat.
Di New York, pemandu teksi yang ramai antaranya beragama Islam mengaitkan kontroversi tersebut dengan serangan ke atas seorang rakan mereka.
Pemandu teksi berasal dari Bangladesh, Ahmed Sharif, 43 berkata, leher, muka dan bahunya dikelar semalam oleh seorang penumpang yang bertanya sama ada dia beragama Islam dan berpuasa pada bulan Ramadan.
Polis berkata, serangan itu sedang disiasat sebagai jenayah berunsur kebencian dan seorang lelaki kulit putih berusia 21 tahun ditangkap dan menghadapi beberapa tuduhan termasuk percubaan membunuh serta menyerang.
Akhbar New York Times melaporkan, suspek bekerja sebagai sukarelawan di Intersections International, sebuah pertubuhan yang berusaha untuk memupuk persefahaman antara budaya dan yang menyiarkan satu kenyataan pada bulan ini untuk menyokong projek pusat kebudayaan Islam itu.
Pengarah eksekutif Perikatan Pekerja Teksi New York, Bhairavi Desai berkata, kontroversi berhubung projek tersebut menyebabkan penduduk Islam di New York, termasuk para pemandu teksi, berada dalam keadaan terancam.
“Kami percaya keganasan seperti ini secara langsung berpunca daripada suasana yang dicetuskan oleh kejahilan dan perbuatan menakut-nakutkan orang,” kata Desai. – Reuters

21 suspek anggota al-Qaeda Aceh dibicarakan di Jakarta


ANTARA 21 suspek anggota al-Qaeda di Aceh duduk di kandang tertuduh semasa dibicarakan atas tuduhan melakukan aktiviti keganasan. Gambar kiri menunjukkan mereka dibawa menggunakan bas yang dikawal rapi oleh polis Indonesia ke mahkamah di Jakarta, semalam. – AFP


JAKARTA 26 Ogos – Suspek militan daripada kumpulan yang dilabel sebagai ‘al-Qaeda di Aceh’ dibicarakan hari ini atas tuduhan berkomplot untuk membunuh warga Barat termasuk pekerja bantuan Amerika Syarikat (AS) dan pelancong.
Seramai 21 suspek menghadapi pelbagai tuduhan termasuk menjalankan kegiatan yang mencetuskan ‘perasaan gerun atau takut’, memiliki senjata api secara haram, memberikan wang dan perlindungan kepada pengganas, dan menyertai latihan ketenteraan.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman daripada penjara tiga tahun sehingga hukuman mati.
Mereka adalah kumpulan pertama suspek yang dihadapkan ke mahkamah dari kalangan lebih 100 orang yang ditahan selepas penemuan sebuah kem latihan tentera di Aceh pada Februari lalu.
Kira-kira 66 masih ditahan sementara menantikan perbicaraan.
Kem itu didakwa menjadi tempat berhimpunnya militan daripada pelbagai kumpulan serantau di bawah pimpinan ketua militan Indonesia, Dulmatin yang dibunuh oleh polis pada Mac lalu.
Mereka menjalani indoktrinasi dan latihan ketenteraan dengan matlamat untuk mengusir warga Barat dan Kristian dari Aceh, kata pendakwa raya, Firmansyah dalam dokumen yang dikemukakan kepada mahkamah.
Sasaran mereka termasuk orang awam AS dan pekerja bantuan, gereja, pelancong dan pertubuhan bukan kerajaan Barat.
“Jika mereka tidak dapat pergi ke Palestin, mereka akan memerangi warga Amerika dan sekutu mereka di Indonesia, termasuk rakyat Amerika di Aceh,” katanya.
Seorang suspek itu didakwa menembak dan mencederakan seorang pekerja bantuan Jerman di Aceh tahun lepas, melontar bom tangan ke sebuah pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di ibu kota wilayah, Banda Aceh dan melepaskan tembakan ke rumah sewa dua pelajar AS yang bertugas sebagai guru di sana. – AFP

Burukkan negara berdosa, salah besar


KUALA LUMPUR 26 Ogos – Individu yang berniat jahat memburuk-burukkan negara dengan harapan masyarakat luar memandang rendah dan tidak menghormati tanah airnya boleh dianggap melakukan kesalahan besar dan berdosa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, Islam amat memuliakan orang yang mati mempertahankan negara.
“Mempertahankan negara adalah jihad. Orang yang mati syahid ketika berjihad sangat mulia kerana tidak perlu dimandi, dikapan atau disembahyangkan.
“Jika orang yang mempertahankan negara dimuliakan sebegitu besar, maka besarlah juga dosa orang yang memburukkan negara,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyampaian sumbangan Aidilfitri Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kepada wakil-wakil hospital di Lembah Klang di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas tindakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang mengeluarkan kenyataan memburuk-burukkan negara dalam satu temu bual dengan sebuah akhbar Indonesia, Kompas pada 4 Ogos lalu.
Nurul Izzah menuduh kononnya kapal selam negara yang dianggap sebagai aset canggih itu sebagai usang dan terpakai.
Terdahulu, MAIWP telah mengagihkan sumbangan zakat berjumlah RM1.49 juta kepada golongan asnaf yang terdiri daripada pesakit-pesakit di hospital sekitar Lembah Klang iaitu Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Putrajaya, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Sumbangan tersebut meliputi peralatan kesihatan, hamper dan wang raya serta bantuan kewangan untuk disalurkan kepada Tabung Kebajikan Perubatan hospital-hospital berkenaan.
Dalam ucapannya, Jamil Khir memberitahu, sumbangan itu merupakan program tahunan MAIWP yang disalurkan menerusi Skim Bantuan Perubatan.
“Agihan ini adalah program tahunan yang kita laksanakan dan jumlahnya sering bertambah dari tahun ke tahun mengikut keadaan dan jumlah terkini pesakit-pesakit di hospital.

KMA buat laporan polis kali keempat


PULAU PINANG 26 Ogos - Naib Pengerusi Dewan Perniagaan Komtar (KMA), Mohamed Ghani Abd. Jiman hari ini membuat laporan polis keempat terhadap Ketua Menteri, Lim Guan Eng kerana Setiausaha Agung DAP itu didakwa sekali lagi memburuk-burukkan namanya berikutan isu bazar Ramadan di kompleks tersebut.
Laporan itu dibuat di Balai Polis Jalan Patani di sini kira-kira pukul 9.30 pagi.
Mohamed Ghani berkata, dalam mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Timur Laut yang dihadiri kira-kira 250 orang semalam, Guan Eng dikatakan menuduhnya mengutip bayaran sewa daripada peniaga melebihi kadar sepatutnya.
Menurutnya, walaupun tidak berada dalam mesyuarat berkenaan, beliau mempunyai bukti dan saksi yang merakamkan kejadian itu.
"Saya cabar dia (Guan Eng) bersemuka dengan saya mengenai perkara ini, bukan dengan memfitnah diri saya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mingguan Malaysia pada 8 Ogos lalu melaporkan, Pembangunan Pulau Pinang (PDC) menghalang para peniaga Melayu daripada berniaga di Bazar Ramadan yang diwujudkan di tingkat tiga kompleks tersebut setiap kali bulan puasa.
Kesemua 27 peniaga terbabit hanya dimaklumkan pada 9 Ogos lalu mengenai keputusan PDC itu sedangkan persiapan telah dibuat untuk mereka memulakan perniagaan keesokan harinya.
PDC pula mendakwa KMA selaku penganjur gagal membayar sewa dan tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Mohamed Ghani memberitahu, beliau kesal dengan sikap Guan Eng yang suka memutar-belitkan fakta.