Thursday, September 26, 2013

Pepijat NSA intip India, PBB


2013/09/26
New Delhi: Agensi Keselamatan Kebangsaan Amerika Syarikat (NSA) menyasarkan kedutaan India di Washington dan pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) India di New York dengan peralatan pengintipan canggih yang mungkin menyebabkan cakera keras disalin, kata satu laporan semalam.

Akhbar The Hindu yang bekerjasama dengan wartawan akhbar The Guardian, Glenn Greenwald, berkata pejabat India berada dalam senarai teratas negara yang dipilih untuk pengintipan intensif.
NSA “memilih pejabat PBB India dan kedutaan sebagai ‘lokasi sasaran’ untuk menyusup ke dalam sistem komputer dan telefon mereka dengan pepijat berteknologi tinggi,” kata akhbar itu, memetik satu dokumen rahsia dari agensi perisikan berkenaan.

Teknik Lifesaver

Ia berkata misi India itu ditandakan untuk pelbagai teknik pengintipan termasuk satu dengan nama kod Lifesaver yang membabitkan pengimejan cakera keras komputer.

India dan Amerika melupakan kesukaran masa lalu mereka dan menjadi sekutu kuat sejak dekad lalu dengan Perdana Menteri Manmohan Singh dijangka bertemu Presiden Barack Obama di Washington Jumaat ini.

Pendedahan berhubung aktiviti pengintipan Amerika itu, dibocorkan menerusi dokumen diperoleh bekas kontraktor NSA, Edward Snowden, sudah menegangkan hubungan antara Obama dan sekutu luarnya, terutama Presiden Brazil, Dilma Rousseff.
Laporan The Hindu itu memberi banyak perincian berhubung pendedahan sebelumnya diterbitkan dalam Guardian oleh Greenwald pada Julai lalu bahawa 38 kedutaan dan misi diplomatik menjadi sasaran NSA, termasuk India.

New Delhi sebelum ini mempertahankan pengintipan meluas ke atas pengguna internet dan panggilan telefon oleh agensi perisikan Amerika, mengatakan pengawasan seperti itu membantu mencegah “serangan pengganas.”

AFP 

Tiga daerah timur Afghanistan dalam kawalan Taliban

KABUL 26 Sept. - Tiga daripada tujuh daerah di timur Afghanistan kini berada dalam kawalan kumpulan Taliban.
Menurut jurucakap Gabenor wilayah Nuristan, Mohammad Zaher Bahand, antara daerah yang dikawal termasuklah Kamdesh, Waigal dan Barg-e-Matal.
"Kegiatan kumpulan Taliban semakin meningkat dua kali ganda sejak tentera asing meninggalkan negara ini tahun lepas," kata Zaher, yang kini berada di Kabul untuk membuat rayuan. - DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130926/lu_01/Tiga-daerah-timur-Afghanistan-dalam-kawalan-Taliban#ixzz2g01aLPQJ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

327 maut akibat gempa bumi



Beberapa penduduk yang terselamat, berjalan melalui serpihan bangunan yang runtuh akibat gempa bumi kuat yang melanda Awaran, wilayah Baluchistan di Pakistan, semalam. - Reuters
KHUZDAR, Pakistan 25 Sept. - Seramai 327 orang dilaporkan terbunuh dan beribu-ribu buah rumah yang diperbuat daripada lumpur musnah apabila gempa bumi kuat berukuran 7.7 skala Richter melanda wilayah Baluchistan, di barat laut negara ini, semalam.
Jurucakap kerajaan Baluchistan, Jan Muhammad Buledi berkata, sebanyak 285 kematian dicatatkan di daerah Awaran, sementara 42 lagi di daerah Kech.
Jelasnya, angka kematian dalam kejadian pukul 4.29 waktu tempatan semalam itu, dijangka terus meningkat.
"Sebanyak enam daerah terjejas akibat gempa berkenaan iaitu Awaran, Kech, Gwadar, Panjgur, Chaghi dan Khuzdar, sekali gus menyebabkan lebih 300,000 penduduk terjejas." katanya.
Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Wilayah Baluchistan, Abdul Latif Kakar pula berkata, lokasi bencana yang terpencil menyukarkan pasukan penyelamat menjalankan operasi mencari dan menyelamat serta menyukarkan usaha membawa mangsa yang cedera mendapatkan rawatan di hospital.
"Kekurangan kemudahan perubatan juga menjejaskan misi menyelamat dan ruang hospital tempatan juga tidak mencukupi menampung jumlah pesakit.
"Kami sedang cuba menghantar mangsa yang cedera teruk ke Karachi menggunakan helikopter dan mangsa yang lain ke daerah-daerah berdekatan," katanya.
Dalam pada itu pihak tentera mengerahkan seramai 100 kakitangan perubatan dan 1,000 askar ke kawasan bencana untuk membantu operasi menyelamat dan menyediakan pusat rawatan di satu daripada kawasan yang terjejas teruk.
Seorang pegawai kanan kerajaan, Abdul Rasheed Baluch berkata, pasukan penyelamat bekerja sepanjang malam untuk mengeluarkan mayat dan mangsa yang terselamat daripada runtuhan.
"Kira-kira 90 peratus rumah yang diperbuat daripada lumpur di daerah Awaran musnah sepenuhnya dalam kejadian gempa bumi semalam," katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130926/lu_03/327-maut-akibat-gempa-bumi#ixzz2fzvIBYUM
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pemilik kereta disaman benarkan wanita memandu


Riyadh: Polis trafik menyaman beberapa pemilik kereta selepas enam wanita Saudi melanggar peraturan negara itu yang hanya membenarkan lelaki memandu kenderaan.

Saman itu dikeluarkan di Wilayah Timur Saudi serentak kempen anjuran aktivis wanita yang membantah pengharaman memandu di kalangan mereka bulan depan.


Polis trafik mengeluarkan saman berjumlah 5,500 riyal (RM4,600) kepada pemilik kenderaan terbabit kerana membenarkan ‘orang tak berkelayakan memandu’ kata jurucakap polis, semalam.

“Kes itu berlaku di pantai dan di kawasan pembinaan yang dilarang masuk,” kata mejar Mansour al-Shahra.


Mereka hanya berseronok untuk memandu, bukan belajar memandu. Tiada undang-undang melarang wanita Saudi memandu. Warga Arab perlu memiliki lesen dikeluarkan negara itu untuk memandu.


Bagaimanapun, lesen tidak dikeluarkan kepada wanita. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/26

“Lia pergi tinggalkan kami”

“Lia pergi tinggalkan kami”Jelas terlihat kesayuan dan kesedihan Marlina (tengah) semasa meriba jenazah anak bongsunya buat kali terakhir, semalam.

GUAL PERIOK – "Terdetik di hati merasakan Lia akan pergi meninggalkan saya tidak lama lagi," luah Marlina Ab Rahman, 33 mengenangkan detik-detik sebelum anak bongsunya, Lia Nur Zahirah Osman, sembilan bulan menghembuskan nafas terakhir di Kampung Tersang, semalam.

Sayu hati Marlina apabila naluri keibuan yang kuat mengatakan anak bongsu dari enam beradik itu bakal mengikut jejak dua kakaknya menjadi kenyataan.

Menurut Marlina, selepas mendapat rawatan daripada pengamal Perubatan Islam at-Tobibi, Datuk Shamsuri Shafie, Rabu lalu, Lia sudah pandai tersenyum serta kurang menangis, malah aktif bergerak.

"Namun pada jam 12 tengah hari, Lia kelihatan letih dan kurang bermaya. Dia diletakkan di atas tilam untuk berehat.

"Tidak semena-mena hati saya berasa amat sayu. Malah saya hampir menitiskan air mata kerana merasakan usia Lia tidak panjang," cerita Marlina mengenang kembali detik-detik akhir sebelum pemergian Lia.

Marlina berkata, Lia menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.15 petang di samping suami serta dua orang tuanya.

Jenazah Lia Nur Zahirah telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Luar, Gual Periok pada jam 5 petang semalam.

Sebelum ini penderitaan adik Lia yang menghidap penyakit misteri tiga bulan selepas dilahirkan telah mendapat perhatian Sinar Harian.

Adik Lia dipercayai mengalami gangguan saka keluarga atau makhluk halus (iblis), malah darahnya dikatakan dihisap sehingga hampir kering.

Akibat perkara berkenaan, badan adik Lia semakin susut, cengkung dan boleh dikatakan hanya tinggal kulit dan tulang.

Gagal permohonan batal pertuduhan

Tian Chua

KUALA LUMPUR 26 Sept. - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk membatalkan pertuduhan di bawah Akta Hasutan 1948 berhubung kenyataannya terhadap insiden pencerobohan Lahad Datu, Sabah.
Hakim Datuk Amelia Tee Hong Geok Abdullah menolak permohonan Tian Chua, 50, atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, setelah mendapati tiada merit dalam permohonan tersebut.
Dalam penghakimannya, beliau berkata, mahkamah tidak berpuas hati bahawa terdapat asas yang memadai semata-mata dalam penegasan yang terdapat dalam afidavit Tian Chua yang juga Ahli Parlimen Batu itu.
Menurut beliau, terpulang kepada pihak pendakwaan untuk membuktikan sama ada perkataan 'kerajaan UMNO' itu dirujuk kepada UMNO atau kerajaan sekarang dan hal ini akan diputuskan dalam perbicaraan di mahkamah.
Hakim Amelia juga menegaskan, walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan Akta Hasutan akan dimansuhkan namun akta itu masih terpakai sehingga benar-benar dimansuhkan secara teratur.
Pada 14 Mac lalu, Tian Chua mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan mengikut Akta Hasutan berhubung kenyataan kononnya pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, Sabah sebagai sandiwara UMNO dalam portal lidah rasmi PKR, Keadilan Daily.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 11 pagi, 1 Mac lalu di No. 62-2-A, Fraser Business Park, Jalan Metro Pudu persimpangan, Jalan Loke Yew di sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kali pertama dan boleh dipenjara sehingga lima tahun bagi kesalahan berikutnya.
Tian Chua diwakili peguam-peguam, Eric Paulsen dan Latheefa Koya manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Farizul Hassan Bakri.
Perbicaraan kes berkenaan akan bermula pada 16 dan 17 Oktober ini.
Dalam pada itu, Latheefa mengemukakan permohonan secara lisan untuk menggantung perbicaraan berkenaan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.
Walau bagaimanapun, mahkamah mengarahkan pihak pembelaan mengemukakan permohonan secara rasmi bagi tujuan tersebut.
Berdasarkan kertas pertuduhan, pemimpin parti pembangkang itu dituduh telah menyebut perkataan menghasut dengan membuat kenyataan:
n Serangan tembak-menembak di Lahad Datu dipercayai konspirasi terancang kerajaan UMNO untuk mengalih perhatian dan menakut-nakutkan rakyat;
n Insiden berkenaan menimbulkan banyak persoalan dan keraguan di sebalik wayang mainan kerajaan UMNO;
n Menyifatkan pencerobohan di Lahad Datu hanya sandiwara kerajaan untuk menakut-nakutkan rakyat seolah-olah wujud suasana tidak aman di Sabah;
n Ada konspirasi oleh kerajaan UMNO untuk mengalih pandangan rakyat Sabah, terutama daripada isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130927/ma_01/Gagal-permohonan-batal-pertuduhan#ixzz2g2DMAFCo
© Utusan Melayu (M) Bhd