Wednesday, April 27, 2011

Mula ikut ceramah JI, akhirnya ke Guantanamo



pix_gal0


WikiLeaks dedah dua warga Malaysia didakwa pengganas 

KUALA LUMPUR: Laman web WikiLeaks yang membocorkan banyak dokumen rahsia kerajaan Amerika Syarikat (AS), Ahad lalu mendedahkan butiran terperinci mengenai tahanan Kem Guantanamo, di Cuba termasuk dua warga Malaysia yang ditahan sejak 2003 kerana disyaki terbabit kegiatan pengganas dan menganggotai kumpulan militan terbesar Asia Tenggara, Jemaah Islamiah (JI).
Kedua-dua warga Malaysia itu, termasuk seorang daripadanya yang mempunyai latar belakang ketenteraan didakwa oleh AS mempunyai kaitan dengan rangkaian pengganas Al-Qaeda yang dibiayai individu paling dikehendaki, Osama Bin Laden.
Menurut dokumen yang mendedahkan sebahagian daripada 779 fail sulit mengenai pusat tahanan itu, dua individu terbabit dikenali sebagai Mohamed Nazir Lep, 35, berasal dari Johor dan Mohd Farik Amin, 36, dari Kajang, Selangor. 

Antara lain, dokumen itu menyebut Mohamed Nazir yang turut menggunakan identiti sebagai Bashir Lap, Lilie dan Suicide Ali, ditahan di Thailand, manakala Mohd Farik atau dikenali sebagai Abu Ahmed dan Yazid Zubair ditahan di Kemboja sebelum dipindahkan ke kem berkenaan pada 4 September 2006. 

Melalui dokumen sama, maklumat perisikan AS tidak menolak kemungkinan kedua-duanya adalah penyerang berani mati yang merancang merampas pesawat komersial bagi melakukan serangan mirip tragedi 11 September di negara itu. 

Dokumen itu turut mendedahkan butiran terperinci soal siasat terhadap Mohamed Nazir yang mengaku direkrut bersama Mohd Farik di sebuah masjid di ibu negara selepas mengikuti ceramah oleh salah seorang pemimpin kanan JI, Riduan Isomuddin. 
Mereka dilaporkan berkenalan ketika bekerja di sebuah firma arkitek dan dari situ mula berminat menyertai perjuangan jihad sebelum bersetuju mengikuti latihan ketenteraan di Afghanistan selepas menemui Riduan di Bentong, Pahang. 

Berikutan itu, kedua-duanya ke Karachi, Pakistan dan setibanya di sana, mereka dibawa ke sebuah pangsapuri di bandar berkenaan sebelum ke Quetta, Afghanistan dan menginap di sebuah rumah atau klinik dipercayai milik Taliban. 

Dalam soal siasat, Mohamed Nazir dan Mohd Farik memberitahu mereka mengikuti latihan termasuk pengendalian senjata anti pesawat, anti kereta kebal dan pemasangan periuk api selama lapan minggu di Kem Al-Faruq di Kandahar, Afghanistan, bermula Julai hingga September 2000. 

Dokumen sulit itu turut menyatakan mereka pernah didedahkan terhadap beberapa kegiatan keganasan di Afghanistan selain mempunyai ramai kenalan dalam Kumpulan Mujahiddin Malaysia (KMM). 

Mereka juga dianggap oleh perisik AS sebagai tahanan bernilai tinggi (HVD) yang mempunyai banyak potensi bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kemungkinan plot keganasan lain di seluruh dunia. 

Berita Harian sebelum ini pernah melaporkan kedua-dua tahanan terbabit belum didakwa dan Kerajaan Malaysia mengulangi permohonan kepada pentadbiran AS supaya Mohd Farik dan Mohamed Nazir dihantar pulang untuk didakwa di negara ini. 

Presiden AS, Barack Obama sebelum ini dilaporkan pernah menyatakan kesediaan mempertimbangkan permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk membenarkan dua tahanan itu diserah kepada Malaysia serta menjalani hukuman di negara ini. 

Tambak setinggi bumbung


PENDUDUK menunjukkan  tanah yang ditambak setinggi bumbung rumah di Taman Medang, Mahsan, Bahau.
PENDUDUK menunjukkan tanah yang ditambak setinggi bumbung rumah di Taman Medang, Mahsan, Bahau.



Penduduk rasa terhimpit, khuatir banjir kilat berulang 

BAHAU: Tindakan tidak bertanggungjawab pemaju perumahan melakukan projek menambak tanah untuk projek perumahan baru di Taman Medang, Mahsan di sini, menyebabkan keselamatan penduduk di situ di ambang bahaya.
Penduduk meradang kerana tambakan itu melebihi paras bumbung rumah dan mereka juga diancam banjir lumpur setiap kali hujan lebat berikutan tanah merah yang ditambak tinggi itu mengalir ke bawah.
Bagi Tey Huat Keong, 37, usahanya menabung bertahun-tahun hingga berjaya membeli rumah impiannya di taman berkenaan, ibarat mencurah air ke daun keladi, selepas projek menambak tanah bersebelahan rumahnya itu melebihi paras bumbung. 

Pengusaha bengkel kenderaan itu membeli rumah berharga RM260,000 pertengahan tahun lalu dan mahu membuat pengubahsuaian sebelum menetap di situ. 

Bagaimanapun, dua minggu lalu, Tey terkejut apabila melihat kehadiran jengkaut menambak tanah di sebelah rumah hingga melebihi paras bumbung dan kemudian diberitahu pekerja terbabit bahawa beberapa rumah baru akan dibina di tanah tambak itu. 

"Bagaimana rumah boleh dibina di tapak yang lebih tinggi daripada bumbung rumah saya," katanya. 
Tey mengakui tawar hati tinggal di rumah itu kerana bimbangkan keselamatan diri dan keluarga kerana kedudukan rumah bersebelahan apabila siap akan menjadi terlalu tinggi dan tiada jaminan keadaan tanah kukuh dalam jangka panjang. 

"Jika mahu jual pun, tidak ada orang ingin membeli kerana tiada siapa mahu rumah bergelap dilindungi rumah sebelah," katanya. 

Guru, Mohd Azmi Che Awang, 40, berkata tambakan tanah itu menutup bahagian tepi rumahnya walaupun tidak setinggi bumbung. 

Katanya, tanah asal bersebelahan rumahnya tidak tinggi, tetapi kemudian ditambak tiga kali lebih tinggi hingga melebihi pagar rumahnya. 

"Saya terpaksa membersihkan halaman rumah akibat dikotori tanah yang jatuh dan lebih membimbangkan apabila hujan, banjir kilat boleh berlaku dan memberi kesan buruk kepada penduduk di sini," katanya. 

How Peng Chuan, 40, turut marah kerana kawasan projek itu yang asalnya hutan, ditebang hingga membahayakan rumahnya di bawah bukit. 

Katanya, pemaju tidak membina penahan tebing bukit menyebabkan rumah di bawah bukit terdedah kepada tanah runtuh dan banjir kilat. 

"Tahun lalu, banjir kilat melanda kawasan taman perumahan berhampiran. Kami tidak mahu pengalaman pahit itu berulang kerana walaupun pampasan diberi, jumlah itu tidak setimpal dengan kesusahan dan kerosakan yang penduduk alami,” katanya. 

Beliau berkata, pemaju juga membina jalan ke projek itu di depan rumahnya yang sepatutnya jalan mati dan ini mengganggu ketenteraman penghuni rumah di situ, selain membahayakan kanak-kanak yang bermain di padang permainan berhampiran. 

Sementara itu, Mohd Azmi berkata, penduduk bersepakat menghantar memorandum bantahan kepada Majlis Daerah Jempol (MDJL) terhadap pelaksanaan projek itu, terutama berkaitan penambakan tanah hingga melebihi paras bumbung rumah bersebelahan. 

Katanya, MDJL perlu memantau pelaksanaan projek perumahan dan tidak mudah meluluskan sesuatu projek tanpa mengambil kira keselamatan dan ketenteraman penduduk taman perumahan bersebelahan. 

Catat firasat buruk di Facebook



Foto

PASUKAN mencari dan menyelamat membawa turun mayat Abdullah Zubair yang ditemui di kawasan cerun bersebelahan Air Terjun Bukit Larut, Taiping, semalam.



Foto
Norziah Zulkifli



Guru hilang ketika daki bukit ditemui mati tertiarap dalam lopak berair
TAIPING: Hancur luluh hati isteri guru Sekolah Menengah King Edward VII, Abdullah Zubair Ismail, 27, sebaik melihat jip polis membawa mayat suaminya yang dibaluti plastik hitam tiba di kaki Bukit Larut, di sini, semalam.
Sebaik mengetahui kematian suaminya itu, Norziah Zulkifli, 26, yang mengandung empat bulan meraung sambil memeluk kedua-dua mentuanya, Ismail Yusuh, 57, dan Zaitun Ismail, 50.
Norziah yang juga penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim dan kini menjalani latihan praktikal mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Burung, Tanjung Karang, Selangor, tidak dimaklumkan lebih awal kematian suaminya kerana keluarga bimbang dirinya tertekan, lebih-lebih lagi sedang mengandung anak sulung.

Abdullah Zubair dilaporkan hilang selepas mendaki bukit itu kelmarin, ditemui mati oleh pasukan mencari dan menyelamat di kawasan cerun bersebelahan Air Terjun Bukit Larut, lima kilometer dari kaki bukit itu pada jam 10.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah, berkata mayat mangsa berpakaian baju sukan dan berseluar trek manakala kasut kaki kanannya tertanggal, ditemui dalam keadaan tertiarap di kawasan lopak berair.

“Ketika ditemui, ada kesan darah di kepala dan luka di kening kanan mangsa. Kesan tergelincir sepanjang tiga meter turut ditemui di lokasi berkenaan, dipercayai akibat terjatuh,” katanya.
Sementara itu, Norziah yang ditemui berkata, dia melarang suaminya mendaki bukit berkenaan ketika arwah menghubunginya malam Sabtu lalu dan arwah sekali lagi menghubunginya jam 8.30 pagi keesokannya tetapi sekadar memaklumkan mahu keluar minum.

“Ketika menghubungi saya, arwah gembira kerana mendapat geran kereta yang baru dibelinya,” katanya sambil memaklumkan jenazah suaminya akan dikebumikan di Jitra, Kedah.

Seorang guru sekolah sama, Mohd Noor Hisham Baharom berkata, arwah yang mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Sejarah Tingkatan Enam Atas adalah seorang guru berdedikasi.

“Arwah mempunyai facebook menggunakan nama Ali Bana. Sebelum keluar rumah pada pagi Ahad, beliau sempat menulis di dalam facebooknya beliau mempunyai firasat akan berlaku perkara buruk pada hari itu,” katanya.

Guru warden sekolah berkenaan yang juga rakan baik mangsa, Ahmad Din Ahmad Zuki berkata, Abdullah Zubair gemar mendaki bukit dan melakukan kegiatan lasak sudah tiga atau empat kali mendaki bukit itu dan lazimnya tidak melalui jalan tar, sebaliknya trek hutan sesuai dengan minatnya. 

Perokok hisap sembilan bilion batang rokok terlarang setahun



KUALA LUMPUR: Sebanyak sembilan bilion batang rokok terlarang dihisap oleh rakyat Malaysia setiap tahun, yang bermakna hampir empat daripada 10 batang rokok yang dihisap di negara itu adalah rokok terlarang.
Rokok-rokok itu, yang mengandungi paras bahan tar dan nikotina terlalu tinggi, semakin menjadi satu masalah besar sehingga menjadikan Malaysia negara yang mempunyai jumlah dagangan rokok terlarang paling tinggi di dunia, lapor akhbar The Star, semalam.Ia juga menyebabkan kerugian pendapatan kerajaan sebanyak RM2 bilion ($824.6 juta) dalam bentuk cukai, tambah laporan itu sambil memetik laporan bank pelaburan global, Goldman Sachs, baru-baru ini, yang mendedahkan butir-butir dagangan terlarang itu.'Seperti seadanya, dagangan rokok terlarang adalah pada paras tertinggi 39.7 peratus, yang bermakna empat daripada 10 rokok yang dihisap di Malaysia adalah terlarang,' kata laporan bank pelaburan itu.Laporan itu berkata tidak ramai menyedari tindakan mudah membeli rokok terlarang itu sama seperti membiaya pengganasan dan jenayah terancang di Malaysia.'Ini berpunca daripada satu model mudah bekalan dan permintaan - apabila ada permintaan bagi rokok- rokok terlarang, bekalannya akan datang daripada sindiket-sindiket jenayah,' tegas laporan itu lagi.Laporan itu berkata sedang kerajaan Malaysia terus menaikkan cukai eksaisnya setiap tahun bagi mengurangkan kemampuan pembeli membeli rokok, khususnya di kalangan golongan muda, para penjual rokok secara terlarang mengekalkan harganya buat bertahun- tahun untuk meningkatkan permintaan bagi rokok-rokok terlarang itu.Rokok terlarang itu dijual pada harga RM2.50 hingga RM5 setiap bungkus walaupun cukai bagi sebungkus 20 batang rokok sekitar RM5.-cyberita

MILF-Filipina berunding



MANILA 26 April - Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) akan menyambung semula rundingan damai rasmi selama dua hari bermula esok di Kuala Lumpur.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Pejabat Penasihat Presiden yang mengendalikan rundingan itu, satu daripada topik utama yang akan dibincangkan ialah isu komander MILF, Amiril Umra Kato yang dituduh keluar daripada kumpulan itu dan membentuk kumpulan baru.
Menurut ketua perunding Filipina, Marvic Leonan, isu Amiril itu dipandang serius oleh kerajaan.
Tambahnya, MILF menganggap isu itu sebagai masalah dalaman dan mereka sedang berusaha untuk menyelesaikannya.
Awal bulan ini, seorang pemimpin kanan MILF yang enggan dikenali berkata, kumpulan itu telah menyingkirkan Ameril kerana menubuhkan kumpulan bersenjata baru dan melanggar polisi MILF.
''Jawatankuasa Pusat MILF mencapai keputusan untuk membuang Ameril selepas dia enggan membubarkan kumpulannya itu dan kekal di bawah pentadbiran MILF.
''Jawatankuasa Pusat juga sedang memaklumkan panel rundingan damai kerajaan tentang keputusan MILF itu,'' kata pemimpin kanan itu.
Kerajaan Filipina dan MILF bertemu pada Februari lalu untuk menyambung semula rundingan damai buat pertama kali sejak Presiden Benigno Aquino menjawat jawatan itu pada pertengahan 2010, sejurus selepas kewujudan kumpulan baru itu dilaporkan.
Kedua-dua pihak dalam rundingan damai itu berkata, kumpulan bersenjata diketuai Ameril mengancam keselamatan dan kestabilan di Mindanao serta proses rundingan damai berkenaan.
Sementara itu, dalam rundingan esok, panel kerajaan turut akan membincangkan beberapa isu dalam draf Perjanjian Komprehensif MILF yang mengandungi pendirian kumpulan itu dalam isu sensitif.
Leonen berkata, kerajaan juga telah menasihati beberapa sektor, termasuk pejabat tempatan di wilayah selatan Filipina, Maguindanao dan Sultan Kudarat untuk berusaha lebih tulus dan bertanggungjawab dengan cadangan yang diberikan dalam rundingan. - BERNAMA

Hutang isi rumah negara tertinggi di dunia



PULAU PINANG 26 April - Nisbah hutang isi rumah kepada pendapatan boleh guna rakyat negara ini merupakan antara yang tertinggi di dunia dengan kadar 140 peratus.
Penasihat Khas kepada Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Dr. Michael Lim Mah Hui ketika mendedahkan perkara itu berkata, kadar tersebut jauh mengatasi Singapura dengan 105 peratus, Amerika Syarikat (123.3 peratus), Korea (101 peratus), Thailand (52.7 peratus) dan Indonesia (38 peratus).
Menurut beliau, pinjaman yang diambil bagi setiap isi rumah di negara ini pula adalah pada kadar 1.4 kali lebih tinggi berbanding pendapatan menyebabkan pendapatan boleh guna menjadi semakin sedikit.
"Nisbah bayar hutang isi rumah juga semakin meningkat iaitu 39.5 peratus pada 2008, 49 peratus (2009) dan menurun sedikit kepada 47.8 peratus pada tahun lalu yang menunjukkan hampir separuh daripada pendapatan isi rumah digunakan untuk membayar hutang.
"Oleh itu, tidak banyak lagi yang tinggal untuk dibelanjakan bagi makanan, pengangkutan, pendidikan dan kecemasan. Bagaimana jika pencari nafkah jatuh sakit atau hilang pekerjaan? Situasi akan menjadi sukar dan ini amat membimbangkan," katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Menurut Mah Hui, bahagian terbesar hutang isi rumah di negara ini adalah untuk membayar balik pinjaman perumahan diikuti pinjaman kereta, penggunaan peribadi, pembelian saham dan kad kredit.
Katanya, berbelanja menggunakan dana yang dipinjam boleh meningkatkan ekonomi tetapi ia juga boleh memperlahankan ekonomi apabila isi rumah dipaksa menahan perbelanjaan dalam usaha untuk membayar semula pinjaman mereka.
Justeru, katanya, kerajaan perlu mengetatkan peraturan sedia ada termasuk dalam urusan gadai janji dalam pasaran hartanah dengan meningkatkan bayaran pendahuluan yang minimum selain meningkatkan deposit dan mengurangkan tempoh pinjaman kereta.
"Kerajaan juga perlu menghentikan iklan bagi pinjaman dan kad kredit yang tidak telus mengenai kos yang terlibat. Semua ini mampu meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat, sekali gus membendung mereka daripada berhutang terlalu tinggi sehingga tidak mampu dibayar," katanya.

Waspada kapsul gelatin babi



KUALA LUMPUR 26 April – Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dalam memilih produk berkaitan farmaseutikal kerana kajian bioteknologi menunjukkan 15 peratus produk yang dibungkus dengan kapsul gelatin sebenarnya diperoleh daripada sumber babi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, dalam hubungan ini, pihak pembekal dan pengilang perlu bekerjasama dengan kerajaan dalam memastikan produk yang dikeluarkan perlu mempamerkan label kandungan bahan yang digunakan.
Kata beliau, berdasarkan akta sedia ada, kementerian melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak mempunyai kuasa untuk menyekat dan mengambil tindakan terhadap pembekal yang menjual produk seumpama itu.
“Tindakan hanya boleh diambil oleh Jakim jika produk berkenaan mempunyai logo halal atau apa-apa yang membawa maksud sama. Bagaimanapun, di bawah Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan, setiap produk perlu mengisytiharkan sumber bahannya pada label.
“Kementerian tetap berusaha untuk menghalang situasi tersebut. Justeru itu, kita akan menggiatkan promosi maklumat kepada orang ramai selain mewujudkan akta halal yang kini dalam proses diperkemaskan sebelum dibentangkan nanti,” katanya ketika menjawab soalan Senator Muhamad Yusof Husin pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.
Jamil Khir berkata, sehingga kini sebanyak 141 syarikat farmaseutikal telah mendapatkan sijil halal bagi produk mereka dan orang ramai khususnya umat Islam boleh membuat semakan melalui laman web www.halal.gov.my.

“Kita tahu ramai yang keliru dengan label-label yang ada pada setiap produk kerana ia menggunakan istilah sains seperti porcine.
“Bagi mereka yang tidak tahu, ramai yang tidak mengendahkannya walhal istilah itu sebenarnya menunjukkan ia mengandungi bahan daripada babi,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang turut menjawab soalan berkaitan berkata, selain tuntutan agama Islam bahawa kandungan babi adalah bahan yang diharamkan, sumber bahan itu juga boleh mengakibatkan alahan kepada pemakai.
Kata beliau, kementerian boleh menggantung dan membatalkan lesen pembekal atau pengilang yang gagal memberi maklumat tentang kandungan ubat dan yang memberikan maklumat palsu.
Menurutnya, dasar kementerian adalah untuk memastikan produk yang dipasarkan dalam negara adalah produk yang berdaftar dengan kementerian melalui Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan bahagian penguat kuasa farmasi.
“Setakat ini kementerian bersedia untuk mengkaji logo halal bagi semua produk yang dikeluarkan oleh kementerian.
“Dalam pada itu juga, kita menggalakkan masyarakat untuk membuat rujukan terhadap notifikasi produk yang dipasarkan dengan laman web kementerian,” kata beliau.
Rosnah menjawab soalan ahli Dewan Negara, Senator Dayang Madinah Tun Abang Openg yang menyatakan bahawa produk kesihatan dan kosmetik yang terdapat di pasaran mengandungi bahan yang memudaratkan.

Saya sedia hadapi saman DAP - Rais Yatim



KUALA LUMPUR 26 April - Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menegaskan, beliau bersedia untuk meneliti dan berhadapan dengan apa jua tuntutan pernyataan saman oleh DAP.
Menurutnya, ia berkaitan dakwaan oleh DAP bahawa beliau telah mengeluarkan kenyataan yang menuduh parti itu menjalankan kempen berunsur perkauman pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10, baru-baru ini.
Jelasnya, Malaysia merupakan negara yang bebas dan sesiapa sahaja mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak lain.
"Menyaman mana-mana pihak memang mudah tetapi harus berasas kepada fakta yang relevan. Saya dapati hajat menyaman saya oleh DAP itu tidak ada justifikasi awam. Apa yang pasti, rakyat akan tahu apa yang telah mereka lakukan.
"Untuk itu, saya bersedia menerima dan meneliti tuntutan pernyataannya (saman),'' katanya ketika ditemui selepas melancarkan Program Penyerlahan Gagasan 1Malaysia di sini, hari ini.
Rais mengulas tindakan DAP yang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap beliau dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar jika gagal membuat permohonan maaf kerana menuduh DAP menjalankan kempen berunsur perkauman di Sarawak.
Kata Rais, dalam berhadapan dengan tuntutan saman itu, pihaknya juga mempunyai maklumat yang akan dijadikan rujukan dalam proses perundangan nanti.
Rais kemudiannya menafikan bahawa beliau telah memperkecil-kecilkan pihak tertentu sepanjang melaksanakan kempen pilihan raya berkenaan.
"Dalam konteks pembinaan gagasan 1Malaysia, saya tidak memperkecilkan sesiapa. Saya hanya bercakap soal prinsip iaitu kita jangan terlalu bersikap perkauman dalam setiap nada (ucapan),'' tegasnya.

Hasrat gadis tak termakbul


CHAVEZ dihantar pulang sebaik tiba di lapangan terbang.
CHAVEZ dihantar pulang sebaik tiba di lapangan terbang.



Gagal saksi perkahwinan Putera William selepas lancar mogok lapar 

BANDARAYA MEXICO: Hasrat seorang remaja Mexico yang melancarkan mogok lapar 16 hari untuk mendapatkan undangan bagi menyaksikan upacara perkahwinan Putera William dan Kate Middleton, tidak kesampaian apabila dia dihantar pulang sejurus tiba di lapangan terbang.
Pegawai imigresen di London tidak membenarkan Estibalis Chavez, 19, masuk ke Britain dengan alasan dia tidak mempunyai cukup wang untuk tinggal selama tiga minggu di negara itu.
Chavez melancarkan mogok lapar selama 16 hari di luar Kedutaan British di Mexico Februari lalu dalam usahanya mendapatkan undangan ke perkahwinan diraja itu. 

Seorang pelobi, Octavio Fitch Lazo yang bersimpati dengan kesungguhan Chavez, membayar tiket kapal terbang untuknya ke London. 

Beliau berkata, Chavez memaklumkan kepadanya bahawa dia sudah dihantar ke Sepanyol selepas pegawai kastam Britain memberitahu bahawa remaja itu tidak mempunyai wang yang cukup dan tempat selamat untuk tinggal selama tiga minggu seperti yang dirancangnya. 

Chavez yang berharap dapat sekurang-kurangnya menyaksikan majlis keramaian sempena upacara perkahwinan pasangan diraja itu bagaimanapun tidak dapat dihubungi Fitch berkata remaja itu diberitahu bahawa dia akan dibenarkan masuk ke Britain jika ada seseorang yang boleh menjemputnya di lapangan terbang. 
Beliau berkata Chavez yang kini tinggal bersama seorang yang ditemuinya dalam perjalanan ke London sedang berusaha menemui wartawan di Madrid. 

Chavez meninggalkan Bandar Raya Mexico Khamis lalu dengan membawa bersama sepucuk surat daripada wakil Putera William. 

Ramai penduduk Mexico mengecam Chavez dan menggelarnya ‘wanita gila di kedutaan’ ketika melancarkan mogok lapar berseorangan di sebuah khemah Februari lalu. 

Fitch meminjamkan wang sebanyak 15,000 pesos (RM3,775) untuk membeli tiket kapal terbang ke London. Beliau juga membawa remaja itu ke lapangan terbang dengan kenderaannya. 

“Setakat ini saya sudah menerima tiga emel dari Chavez, satu daripadanya dengan kata-kata ‘tolong saya’. Dia sedang berusaha untuk kembali ke Britain. Setakat ini kami tidak tahu bagaimana dia akan melakukannya,” katanya. – AP