Saturday, June 4, 2011

Bekas orang besar TNB dah bersuara...




The Malaysian Insider memetik Tan Sri Ani Arope sebagai berkata, TNB dipaksa menandatangani perjanjian berat sebelah, sejak hampir 20 tahun lalu. Lama dah tu weyh depa makan hasil rakyat..


Tan Sri Ani Arope jugak menyifatkan EPU sebagai ‘Economic Plundering Unit’, memaksa TNB membeli tenaga elektrik daripada Pengeluar Tenaga bebas (IPP), Genting Sanyen sebanyak 14 sen kilowatt sejam (Kwj) walaupun wujud tawaran 12 sen dari syarikat lain..


EPU yang di bawah Jabatan Perdana Menteri ni di wakili oleh orang-orang yang buta ekonomi ke? Tan Sri Ani Arope menyindir EPU dengan berkata tidak perlu pergi sekolah perniagaan untuk memahami mengapa perlu kenaikan tarif elektrik dengan hanya melihat semula syarat diberikan kepada beberapa IPP..

Tan Sri Ani Arope menimbulkan kegemparan 15 tahun lalu apabila meletakkan jawatan daripada jawatan pengerusi eksekutifnya kerana enggan menandatangani persetujuan tak seimbang dalam Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA).  Ia menyebabkan kewujudan generasi pertama IPP seperti YTL Power Services, Powertek dan Malakoff, semasa negara di bawah pentadbiran Dr Madey.


Justeru, Tan Sri Ani Arope meminta satu kajian semula syarat-syarat asal dengan IPP di kaji semula kerana ianya amat membebankan TNB kerana TNB tidak mempunyai kawalan harga yg perlu di bayar kepada IPP. Itu jer punca masalah tariff terpaksa di naikkan..


Yang nyata buruk di mata rakyat ialah TNB tapi yang mengaut keuntungan berlipat ganda ialah Syarikat IPP yang buat untung atas angin..
http://arusperjuangan

Presiden Yaman terselamat

SANAA: Istana Presiden Yaman di bandar raya ini menjadi sasaran serangan pemberontak semalam, menyebabkan tiga pegawai kanan cedera.

Bagaimanapun, Presiden Ali Abdullah Saleh dikatakan terselamat.


Pertempuran sengit meletus di Sanaa sepanjang semalam, memaksa penduduknya tidak keluar rumah. Menurut laporan lain sebelum ini, beribu-ribu penduduk bandar itu dikatakan berpindah ke daerah lebih selamat.

Pegawai Yaman berkata, tiga yang cedera dalam serangan terhadap istana itu ialah perdana menteri, timbalannya dan speaker Parlimen.


Serangan itu dikatakan dilancarkan oleh kumpulan suku kaum yuang diketuai keluarga al-Ahmar.


Ampat pengawal dilapor terbunuh dalam serangan itu.

“Presiden terselamat dan dia akan berucap ke seluruh negara. Ada pegawai kanan yang cedera,” kata Timbalan Menteri Penerangan, Abdu al-Janadi.


Stesen televisyen pembangkang, Suhail, sebelum ini melaporkan Ali terbunuh dalam serangan meriam yang terkena masjid Istana.

Yaman berada di ambang perang saudara sejak awal minggu apabila gabungan suku kaum, Hashed, melancarkan serangan terhadap tentera yang masih setia kepada Ali di Sanaa dan wilayah lain negara itu.


Lebih 370 orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 155 daripada mereka mati dalam tempoh 10 hari lalu sejak rakyat Yaman bangkit menentang pemerintahan 33 tahun Ali pada Januari. — Reuters

myMetro | Presiden Yaman terselamat

150 mayat pelarian Afrika ditemui


TUNIS: Mayat 150 pelarian Afrika yang melarikan diri dari kekacauan di Libya ditemui di pantai Tunisia selepas bot yang membawa mereka secara haram ke Eropah menghadapi masalah.
“Kira-kira 150 mayat sudah ditemui di pesisir pantai Kerkennah, kata pegawai agensi pelarian Pertubuhan bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR), Carole Laleve.

Operasi mencari masih diteruskan.
Bot yang membawa pelarian itu menghadapi masalah kira-kira 20 kilometer dari pantai Kerkennah ketika ia menuju ke Itali.

Pengawal pantai dan tentera Tunisia menyelamatkan 570 orang tetapi ramai yang terjatuh ke dalam air ketika berebut-rebut untuk keluar dari bot. Keadaan menjadi lebih buruk dengan ombak kuat yang menyebabkan beberapa bot itu karam.

Laporan sebelum ini menyatakan 250 orang hilang.
Menurut kenyataan mangsa yang terselamat, bot itu dikendalikan oleh mereka yang tidak cekap.

Mangsa terbabit sudah berada di laut sejak tiga atau empat hari lalu apabila bot yang mereka naiki itu melanggar sesuatu apabila tiba di perairan Tunisia. - AP
myMetro | 150 mayat pelarian Afrika ditemui

Minta mentua terima hakikat


SUNGAI PETANI: “Saya berharap mereka (ibu dan bapa mentua) dapat mengubah pendirian dan dapat menerima hakikat saya adalah suami sah kepada Nornashuha dengan merestui perkahwinan kami,” kata Mazri Sharif,30, suami Nornashuha Azmi, 22, yang dilarikan tiga lelaki dari rumahnya dua hari lalu.
Mazri berkata, mentuanya sepatutnya mengenepikan pendirian mereka dia tidak setaraf dengan kedudukan mereka kerana dia dan Nornashuha sudah berkahwin dan perkahwinan mereka sah di sisi agama dan undang-undang.

“Saya merayu mereka mengubah sikap dan memulangkan isteri saya. Berilah peluang kepada saya dan Nornashuha untuk menjalani kehidupan suami isteri seperti mana pasangan lain.
“Restuilah perkahwinan kami. Takdir sudah menentukan saya dan Nornashuha menjadi pasangan suami isteri, malah kami berdua juga sudah mempunyai seorang anak walaupun hakikatnya saya tidak pernah diberi peluang melihatnya sejak dilahirkan awal Januari lalu.

“Saya sama sekali tidak akan meninggalkan Nornashuha biarpun kedua ibu bapanya memaksa berbuat demikian. Saya harap Nornashuha dipulangkan kerana dia isteri saya yang sah,” katanya ketika dihubungi semalam. Harian Metro semalam, melaporkan sepasang suami isteri mengalami detik cemas dan mengaibkan apabila dibogelkan tiga lelaki bertopeng bersenjatakan parang dan rotan yang memecah masuk rumah mereka kira-kira jam 4 pagi, Rabu lalu.
myMetro | Minta mentua terima hakikat

Seksa lebih setahun berakhir


SELAMAT ...anak kapal MV Banga Biraj yang terkandas membawa turun beg pakaian  ke bot peronda Polis Marin, semalam.
SELAMAT ...anak kapal MV Banga Biraj yang terkandas membawa turun beg pakaian ke bot peronda Polis Marin, semalam.

PELABUHAN KLANG: Penantian lebih setahun 15 anak kapal MV Banga Biraj yang mendakwa terkandas dan hidup susah di negara ini selepas kapal berkenaan ditahan pihak berkuasa berakhir apabila diselamatkan dalam satu operasi, semalam.
Operasi bersama digelar Ops Pintas diketuai Unit Anti Pemerdagangan Orang (Atip) Bukit Aman, Pasukan Polis Gerakan Marin Pelabuhan Klang, Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Majlis Pemerdagangan Manusia Selangor bermula jam 12.30 tengah hari dan berakhir 5.30 petang.

Ketua Operasi Atip, Deputi Superintendan Nor Omar Sappi, berkata siasatan awal pihaknya terhadap semua kru kapal MV Banga Biraj yang terkandas kira-kira enam batu nautika dari Pelabuhan Klang itu mendapati 15 anak kapal itu hidup tertekan.
“Keseluruhan pasukan operasi menyelamat bekerjasama membawa 15 kru kapal MV Banga Biraj terdiri daripada 13 warga Bangladesh dan dua warga Indonesia terbabit untuk diberi perlindungan di penempatan sementara sebelum mendapat perintah dari mahkamah bagi Perintah Perlindungan Sementara (IPO),” katanya ketika ditemui ketika Ops Pintas di atas kapal berkenaan, di sini, semalam.

Hadir sama, Pesuruhjaya Suhakam, James Nayagam dan Penolong Pengarah Tenaga Kerja Selangor, Rhymie Mohd Ramli.

Kapal MV Banga Biraj ditahan di perairan Pelabuhan Utara berikutan berlaku tuntutan Northport Sdn Bhd selepas terlanggar dan merosakkan kren di pelabuhan itu dan perintah mahkamah yang diperoleh pada 4 Mei tahun lalu membolehkan kapal ditahan. Sementara itu, kelasi, Mohd Kafiluddin Munshi, 34, yang pernah cuba terjun ke laut akibat terlalu tertekan sebelum diselamatkan kru lain, berkata dia bersyukur mendapat peluang untuk pulang ke kampung halamannya Joypur, Chagalnaiya, Bangladesh.
Katanya, selama ini dia terlalu sedih mengingatkan dua anak perempuan berusia empat dan satu setengah tahun serta isteri, Semona Begum, 26.

“Empat belas bulan tanpa gaji dan duduk di kapal membuatkan saya rasa macam orang gila. Ketika saya ambil keputusan nak terjun ke laut itu saya terlalu kecewa dan sedih.
“Kami turut mengenangkan keluarga di kampung yang tak tahu entah makan atau tidak,” katanya yang turut berterima kasih kepada pihak berkuasa Malaysia.

Selepas didaratkan di Pangkalan Polis Marin, di sini, semua anak kapal MV Banga Biraj itu dibawa dengan van untuk diberi penempatan sementara di pejabat Jabatan Tenaga Kerja, Klang.myMetro | Seksa lebih setahun berakhir

Tolak Umno


KUALA LUMPUR: Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang membayangkan parti itu tidak akan bekerjasama dengan Umno dan menolak sebarang usaha ke arah itu.
Dalam ucapan dasar pada Muktamar Pas Ke-57 yang bertajuk “Membangun Negara Berkebajikan“ di Taman Melewar, di sini Abdul Hadi menegaskan Pas akan terus bersama rakannya dalam Pakatan Rakyat sebagaimana dipersetujui dalam dokumen dasar bersama pakatan itu.

Beliau berkata, polisi itu membabitkan satu paradigma baru pendemokrasian, satu aspek menyeluruh sistem pemerintahan dan urus tadbir negara.
Sambil mendakwa sistem demokrasi di negara ini sudah tempang, Abdul Hadi menuduh sikap Umno dan BN yang ingin mengekalkan kuasa sebagai punca ianya berlaku.

Sungguhpun begitu, katanya Pas sehingga kini tetap mendahulukan pendekatan damai secara demokrasi dan bersabar menunggu walaupun dijatuhkan secara tidak bermoral.

Beliau berkata, rakyat hanya berpeluang mengundi dengan sistem lama yang terlalu lemah dengan minda yang tertutup sehingga rakyat tidak boleh menjadi hakim adil mengikut makna demokrasi sebenar.
“Demokrasi bukan hanya memangkah kertas undi. Amalan demokrasi menuntut rakyat berpeluang mendapat maklumat semua parti dan calon bertanding melalui media terbuka.

“Apa yang berlaku, pada setiap pilihan raya, rakyat disogokkan dengan maklumat oleh jentera kerajaan sedangkan parti dan calon lain diberi peluang sangat terbatas untuk menyampaikan maklumat,” katanya.
Abdul Hadi juga menjelaskan perbezaan ideologi antara Pas dengan Umno tidak membolehkan kedua-dua parti duduk semeja terutama pendirian Umno yang memisahkan politik dengan agama yang menurut beliau sama sekali bertentangan dengan amalan Pas berpolitik mengikut panduan al-Quran.

Katanya, dalam pentas politik tanah air, Umno parti majoriti Melayu dan Bumiputera diamanah pemerintahan sejak keluarnya penjajah asing, tetapi penyakit penjajah asing yang memisahkan amanah ini daripada perhitungan agama sudah menjangkiti Umno.

Abdul Hadi berkata, apabila Islam tidak dijadikan teras politik, maka jati diri umat Melayu Islam kian hari kian lemah dan ini menyebabkan amanah besar sebagai pemerintah itu dijadikan peluang kebendaan kalangan tertentu untuk menyuburkan perbuatan rasuah dan khianat.

Pada masa sama, katanya Umno sekadar mengekalkan kuasa dan bukan memartabatkan bangsa Melayu dan Islam. - Bernama
myMetro | Tolak Umno

Wook mahu berdoa depan Kaabah agar jodoh kekal


HULU TERENGGANU: “Saya rasa tak sabar nak ke Makkah dan lebih bermakna apabila dapat bersama suami untuk mengerjakan umrah bulan depan,” kata Mek Wook Kondor, 108, yang akan berangkat ke Tanah Suci pada 22 Julai ini bersama suaminya, Mohd Noor Musa, 39.
Katanya, sebelum ini dia pernah menunaikan haji, dan pemergiannya ke Tanah Suci kali ini disifatkan lebih istimewa kerana ditemani suami tercinta selain mempunyai pelbagai doa untuk dipanjatkan di hadapan Kaabah nanti.

“Paling utama saya nak minta supaya dikuatkan iman menghadapi apa saja cabaran dan harapan rumah tangga berkekalan jodoh dan murah rezeki.
“Saya ingin berdoa supaya suami berubah ke arah kebaikan dan tidak terbabit dengan perkara buruk lagi seperti sebelum ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Tok Bat, di sini, kelmarin.

Menurutnya, semakin dekat menjelang tarikh ke Tanah Suci, dia diuji dengan pelbagai perkara apabila rumahnya dipecah masuk pencuri April lalu buat kali kedua dan kelmarin pula, dia kehilangan dua cincin dipercayai terjatuh ketika menebas rumput di pekarangan rumah.

Namun, katanya, dia percaya apa saja perkara dilaluinya mempunyai hikmah dan tidak sedikitpun melunturkan semangatnya.
“Biarlah, mungkin cincin itu bukan rezeki saya lagi, esok lusa ada rezeki lain mana kita tahu. Apa pun kita kena reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.

Sementara itu, Mohd Noor berkata, dia bersyukur kerana impiannya untuk ke Tanah Suci dipermudahkan laluannya dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu terutamanya isteri tercinta yang menanggung penuh kos perbelanjaan menunaikan umrah.
Katanya, selain mereka berdua, seorang abangnya dan isterinya yang menetap di Kelantan akan bersama mereka menunaikan umrah melalui sebuah agensi pelancongan di Kota Bharu.

“Sudah lama saya berniat nak pergi ke Makkah tapi tidak tahu bila, kebetulan isteri ada duit simpanan sikit dapatlah ke sana.

“Saya harap dengan pemergian ke Tanah Suci dapat mengubah diri saya ke arah kebaikan. Saya nak berdoa supaya betul-betul berubah dan tidak terbabit lagi dengan perangai lama,” katanya.
myMetro | Wook mahu berdoa depan Kaabah agar jodoh kekal