Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my
2011/02/19
SHERINA menunjukkan kontrak kerja Alwafeer Air.
Mereka tidak lagi diberikan sebarang tugasan atau menjalankan rutin sebagai pramugari sebaliknya hanya melepak di dua blok apartmen disediakan majikan mereka, Alwafeer Air untuk didiami bersama kumpulan rakan setugas negara lain.Keadaan itu menyebabkan mereka tertekan, bingung dan tidak keruan kerana pihak pengurusan sering berdalih mengenai tarikh bayaran tunggakan gaji menyebabkan ada yang terpaksa menggunakan kad kredit untuk berbelanja.Mengikut kontrak yang ditandatangani pada 2009, mereka dijanjikan gaji bulanan 5,000 Riyal (RM4,000) tidak termasuk elaun penginapan, penerbangan serta elaun tahunan.
Mangsa, Nor Amira Mohd Nawi, 25, yang dihubungi di Jeddah, berkata mereka mengeluarkan perbelanjaan sendiri dan terpaksa memasak beramai-ramai bagi menjimatkan perbelanjaan.
“Tiada apa kami boleh buat, hanya duduk di rumah menunggu gaji. Dulu (Disember) ada yang menyerbu pejabat majikan untuk minta bayaran, dapatlah sikit duit sagu hati, tetapi bagi yang tak datang, mereka tak dapat apa-apa.
“Sekarang, apa saja aktiviti nak buat kami kena utamakan bajet untuk makanan, sebab tak tahu bila boleh dapat duit,” katanya.
Nor Amira antara yang membuat aduan kepada Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO ketika Pengerusinya, Datuk Muhd Khirun Aseh menunaikan umrah pada 11 Januari lalu.
Mengikut laman web, syarikat penerbangan itu menawarkan perkhidmatan sewa khas untuk pakej haji dan umrah antara Jeddah, Makkah dan Madinah serta berhubung dengan semua pusat Islam di Eropah, Afrika dan Asia.
Masalah gaji bermula April 2010 apabila mereka dibayar lewat dan bertambah serius apabila langsung tidak menerima gaji atau elaun sejak November.
Sementara itu, pada sidang media di pejabat Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, di sini, semalam, wakil pramugari terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Sherina, 30, berkata, selepas didesak, majikan membayar 1,500 Riyal tiga minggu lalu, tetapi jumlah itu terlalu kecil dibandingkan tunggakan gaji.
Sherina pulang ke tanah air sejak tiga hari lalu untuk menguruskan aduan mereka. Turut hadir beberapa ahli keluarga mangsa yang tinggal di Lembah Klang.
Menurut Muhd Khirun, biro berkenaan secara rasmi menghantar notis tuntutan gaji kepada syarikat dengan memberi masa tujuh hari untuk tindakan. Jika gagal, semua mangsa dibawa pulang bagi mengelakkan keadaan lebih teruk.
“Mereka mesti bayar tunggakan gaji dan elaun dalam tempoh itu. Syarikat itu jelas tidak menghormati kontrak dan membiarkan kakitangan mereka ‘digantung tidak bertali’ kerana tidak diberikan tugas dan tidak dibayar gaji,” katanya yang yakin mangsa mampu mendapatkan pekerjaan baru di sini kerana berkelayakan.