Showing posts with label Azmil Mustapha. Show all posts
Showing posts with label Azmil Mustapha. Show all posts

Sunday, August 21, 2011

Tazkirah saya bersandar al-Qura

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Pelakon yang kini menjadi pendakwah bebas, Azmil Mustapha berkata, tazkirah yang disampaikannya di Masjid An-Nur, Kampung Melayu Subang, kelmarin adalah bersandarkan kepada ayat-ayat al-Quran.
Menurutnya, antara perkara disampaikannya adalah umat Islam wajib mengutamakan Allah berbanding manusia, tidak kira siapa orang itu.
Beliau seterusnya menafikan ada mengkafirkan kerajaan dan menyampaikan ceramah berbaur hasutan politik supaya rakyat membenci Yang di-Pertuan Agong ketika memberi tazkirah sebelum solat sunat tarawih di masjid itu.
Pelakon filem Ali Setan dan Kepala Angin itu terkejut apabila laporan polis dibuat oleh bilal masjid itu, Mohd. Sani Nasib di Balai Polis Kampung Baru Subang pada pukul 11.30 pagi semalam yang mengatakan dia ada mengeluarkan kenyataan sedemikian.
"Saya tidak mengeluarkan kenyataan yang berbaur hasutan apatah lagi mahu menghina Yang di-Pertuan Agong. Tuduhan itu tidak berasas kerana ia tiada kena mengena dengan politik.
"Saya bukan sahaja tidak pernah mengundi pada pilihan raya umum, malah tidak berdaftar dengan mana-mana parti politik di negara ini," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysiahari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya sedang meneliti laporan polis yang dibuat dan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 4, Akta Hasutan 1948.
Beliau berkata, setakat ini, siasatan kes berkenaan masih lagi di peringkat awal dan dia meminta orang ramai memberi peluang kepada polis untuk menyiasat kes itu secara terperinci.
"Dalam siasatan, kita memang akan panggil siapa yang berkenaan termasuk Azmil dan beberapa individu.
"Bagaimanapun, kita tidak boleh mendedahkan semua maklumat terperinci seperti bila dan di mana sesi merakam percakapan itu akan dilakukan. Biar pihak polis jalankan siasatan dulu," katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Sani Nasib memaklumkan bahawa adiknya, Mohd. Shafie mempunyai pita rakaman kenyataan berbaur hasutan yang dikeluarkan Azmil dalam satu tazkirah di masjid berkenaan malam kelmarin.
Menurut Mohd. Sani, pita rakaman itu diserahkan oleh Mohd. Shafie kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, tindakan Azmil membuat penafian adalah dianggap sebagai menutup kesalahannya.
"Selain pita rakaman itu, terdapat puluhan jemaah yang boleh dijadikan saksi berhubung kenyataan Azmil," katanya.
"Biarlah, dia mahu menafikan dan kita serahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan," katanya.

Saturday, August 20, 2011

'Ali Setan' didakwa hasut kariah



Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim dan Nor Azizah Mokhtar
bhnews@bharian.com.my
2011/08/20

Azmil Mustapha
Azmil Mustapha
Pemuda UMNO Subang buat laporan polis isu ceramah benci kerajaan 

SUBANG: Pergerakan Pemuda UMNO bahagian Subang dan penduduk Kampung Melayu Subang, semalam membuat laporan polis terhadap penceramah bebas, Azmil Mustapha atau lebih dikenali sebagai ‘Ali Setan’ yang didakwa menyampaikan ceramah menghasut penduduk membenci kerajaan di Masjid An Nur, di sini, malam kelmarin.
Laporan polis dibuat di Balai Polis Kampung Baru Subang kira-kira jam 12 tengah hari semalam oleh Penolong Setiausaha Pemuda UMNO, Zulfakar Ali dan salah seorang penduduk yang mendengar ceramah berkenaan, Mohd Shafie Nasip.
Dalam ceramah yang berlangsung hampir satu jam sebelum solat tarawih di hadapan kira-kira 300 jemaah masjid, Azmil dikatakan menuduh kerajaan tidak beragama serta sistem pendidikan yang sedia ada kini mengikut acuan kafir. 

Malah, Azmil turut mengeluarkan kata-kata kesat iaitu ‘Melayu bodoh’ dan ‘tidak ada telur’ berulang kali menyebabkan lebih 30 jemaah bertindak keluar daripada masjid berkenaan tanpa sempat menunaikan solat tarawih. 

Mohd Shafie, 48, berkata tujuan Azmil dijemput ke masjid berkenaan untuk memberi tazkirah selepas majlis tahlil diadakan, bagaimanapun beliau mengambil kesempatan itu dengan melemparkan pelbagai tohmahan terhadap pentadbiran negara. 

“Lebih mengejutkan, Azmil menjelaskan kepada jemaah supaya tidak perlu mengagungkan Sultan dan Yang di-Pertuan Agong sebaliknya patuh kepada ajaran Allah. Malah, dia juga mempertikaikan pertemuan di antara Perdana Menteri dengan Paderi Kristian, Paul Pope serta mendakwa Dasar Ekonomi Baru itu sebagai dasar ekonomi bodoh. 
“Selepas hampir 20 minit berceramah, salah seorang jemaah yang tidak berpuas hati bangun bertanyakan sama ada Azmil mahu menyampaikan ceramah politik atau agama, namun pertanyaan jemaah itu tidak dipedulikan sebaliknya 
terus melemparkan tuduhan sebelum jemaah terbabit bertindak keluar. 

“Sebaik melihat jemaah berkenaan meninggalkan masjid itu, Azmil terus melaungkan kepada jemaah lain bahawa segala ibadat menunaikan haji, membayar zakat yang dilakukan jemaah terbabit adalah sia-sia,” katanya selepas membuat laporan polis di sini, semalam. 

Sehubungan itu, Mohd Shafie meminta polis menjalankan siasatan terhadap penceramah bebas itu kerana menggunakan tempat ibadat untuk menyampaikan ceramah politik. 

Sementara itu, Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Megat Firdouz Megat Junid, turut meminta Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyiasat perkara itu kerana tindakan seperti itu amat berbahaya dan boleh memecah-belah masyarakat. 

Sementara itu, Azmil ketika dihubungi berkata, beliau tidak berniat langsung untuk memberi ceramah politik kerana tidak pernah terbabit dengan mana-mana parti politik di negara ini. 

“Setiap kenyataan yang saya keluarkan disertakan dengan hadis dan semua yang dibangkitkan itu terkandung dalam al-Quran. Malah, saya dibenarkan JAIS untuk mengadakan ceramah sepanjang Ramadan,” katanya sambil menyifatkan laporan polis dibuat Pemuda UMNO dan penduduk kampung yang mendakwa beliau menghasut itu tidak berasas sama sekali. -bharian