Thursday, March 29, 2012

‘Kerajaan Langit’ kembali aktif

Berita Harian Online | ‘Kerajaan Langit’ kembali aktif:
JERTIH: Tapak perkampungan Ayah Pin, pengasas ‘Kerajaan Langit’ di Kampung Batu 13, Hulu Besut, dilihat berkembang semula, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada ajaran diisytiharkan sesat pada 1986 itu sudah kembali aktif. 

Tinjauan mendapati kawasan perkampungan itu ada kira-kira 150 rumah berbanding tidak sampai 50 rumah pada zaman kemuncaknya 10 tahun lalu.
Di kawasan itu juga terdapat tiga kubur iaitu kubur isteri pertama Ayah Pin, Che Minah Remeli, 68, seorang bekas pengikutnya serta kubur menantu Ayah Pin, iaitu Hasan Anak Rimau.
Beberapa penduduk di Kampung Batu 13, yang enggan mendedahkan nama mereka mengakui Ayah Pin pulang menziarahi jenazah isterinya, tetapi terus menghilangkan diri menaiki kereta mewah selepas Che Minah dikebumikan. 

Kawasan perkampungan Ayah Pin yang terletak kira-kira 500 meter dari jalan utama ke Kampung Keruak di sini, dikawal rapi sekumpulan belia dipercayai anak kepada pengikut setia kumpulan ajaran sesat yang menetap di perkampungan berkenaan. 

“Beberapa pengikut Ayah Pin ada meminta kebenaran untuk mengebumikan jenazah Che Minah di tanah perkuburan Islam berhampiran perkampungan itu, tetapi tidak dibenarkan penduduk kerana arwah dan tiga lagi madunya termasuk Ayah Pin pernah mengisytiharkan keluar daripada Islam pada 1998. 

“Walaupun Ayah Pin pulang ke perkampungan itu dua minggu sekali atau sebulan sekali, kita syak ajaran sesat kerajaan langit masih hidup kerana kepulangan ketuanya diberi sambutan bukan saja daripada pengikutnya yang menginap di perkampungan itu, malah dari luar negeri ini. 
“Beberapa belia yang ditugaskan mengawal dan mengawasi orang tidak dikenali daripada memasuki perkampungan itu mengakui Ayah Pin pulang serta mengadakan perjumpaan dengan semua pengikutnya,” katanya. 

Bagaimanapun, usaha Berita Harian untuk merakamkan gambar kawasan terbabit dihalang oleh beberapa belia yang ditugaskan untuk mengawal dan mengawasi perkampungan berkenaan. 

“Jika nak rakam gambar, perlu minta kebenaran daripada Kak Yah, (isteri keempat Ayah Pin, Nik Kamariah Nik Par), tetapi dia tidak ada di rumah ketika ini. 

“Tanpa kebenaran Kak Yah, kami tidak benarkan sesiapapun merakamkan gambar di sekitar perkampungan ini, jika tetap berdegil kami terpaksa merampas kamera,” katanya.
'via Blog this'

Lelaki cedera terkena serpihan mangkuk tandas akibat letupan

Berita Harian Online | Lelaki cedera terkena serpihan mangkuk tandas akibat letupan:
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang sedang menggunakan tandas Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Sri Rampai di sini hari ini cedera di bahagian belakang badan apabila mangkuk tandas yang sedang digunakan berkecai akibat satu letupan. 

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, berkata akibat kejadian 1.15 petang itu, mangsa Muhd Sakereen Basri, 22, cedera dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan.
"Mangsa cedera pada bahagian belakang badan dan peha akibat terkena serpihan, dan bahan letupan yang digunakan disyaki mercun...siasatan awal mendapati tiada lagi bahan letupan lain yang digunakan," katanya dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS).
Beliau berkata, pihak polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian ini sama ada wujud unsur sabotaj atau kecuaian dan kes disiasat mengikut Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Sementara itu, Pengurus Hal Ehwal Media Syarikat Prasarana Negara Berhad, Azhar Ghazali, ketika dihubungi, berkata pihaknya bekerjasama dengan polis yang menyiasat kejadian itu dan kejadian itu sama sekali tidak menjejaskan operasi LRT di stesen berkenaan.

"Saya harap orang ramai tidak perlu bimbang dengan perkara ini. Keadaan adalah selamat dan kita beroperasi seperti biasa," katanya. - BERNAMA
'via Blog this'

Pengawal keselamatan mengaku ugut remaja di Danau Kota

Berita Harian Online | Pengawal keselamatan mengaku ugut remaja di Danau Kota: "KUALA LUMPUR: Seorang pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengugut seorang remaja lelaki dengan sebilah parang di Setapak, bulan lalu.

R Thamilharasan, 18, mengaku mengacukan parang ke leher Syafiq Aiman Samri, 19, di kawasan parkir Danau Kota, Setapak pada jam 5.15 pagi, 22 Februari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Majistret Mohd Azali Ibrahim menetapkan 30 April depan untuk mendengar fakta kes dan rayuan sebelum menjatuhkan hukuman.

Thamilharasan diwakili peguam Tharamjit Singh manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Loh Wei Dhin. - BERNAMA"

'via Blog this'

Curi basikal fixie, dua sahabat didenda RM2,000

Berita Harian Online | Curi basikal fixie, dua sahabat didenda RM2,000:
KUALA TERENGGANU: Gara-gara mencuri sebuah basikal bernilai RM480 milik seorang pelajar sekolah, dua sahabat didenda RM2,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini. 

Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi menjatuhkan hukuman itu terhadap Syed Mohammad Hafizuddin Syed Rahillah, 21, dan Wan Mohammad Azimi Wan Azamuddin, 20, selepas mereka mengaku salah melakukan kesalahan itu.
Kedua-dua tertuduh yang berasal dari Kampung Bukit Besar di sini didakwa bersama-sama mencuri sebuah basikal jenis Fixie Promax milik seorang pelajar di tempat letak basikal berdepan sebuah surau di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Negara di sini antara jam 11 pagi dan 2.15 petang, 18 Mac lalu.
Hasil maklumat orang ramai, sepasukan polis menyerbu dua buah rumah di Bukit Besar dan berjaya memberkas kedua-dua lelaki itu pada 25 Mac lalu. 

Pendakwaan dijalankan Asisten Superintendan Ngiam Ooi Ming sementara kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. 

Bagi kesalahan berkenaan, mereka dituduh mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau sebatan. 

Terdahulu, Syed Mohammad Hafizuddin yang bekerja sebagai pembantu kedai dan Wan Mohammad Azimi, seorang penggangur memohon kepada mahkamah supaya hukuman mereka dikurangkan memandangkan ia adalah kesalahan pertama yang dilakukan. 
Selepas meneliti rayuan tertuduh, Rozianti kemudian memerintahkan kedua-dua tertuduh membayar denda RM2,000 setiap seorang dan jika gagal mereka boleh dipenjara selama dua bulan. - BERNAMA
'via Blog this'

Cadangan pembangkang mansuhkan PTPTN tidak relevan: Khaled

Berita Harian Online | Cadangan pembangkang mansuhkan PTPTN tidak relevan: Khaled:
KUALA LUMPUR: Cadangan pakatan pembangkang hendak menghapuskan pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) jika ia berkuasa adalah tidak relevan buat masa ini, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. 

Beliau berkata, penghapusan pembiayaan PTPTN hanya akan mengurangkan semangat daya saing di kalangan pelajar di samping membebankan kerajaan kerana terpaksa mendirikan lebih banyak institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk memberi pendidikan secara percuma kepada masyarakat.
Malah, kata beliau, tindakan itu juga akan mengurangkan permintaan terhadap institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dalam negara, seterusnya menyebabkan ia terus ditutup.
"Kalau kita hapuskan (PTPTN) maknanya universiti awam dalam negara mesti beri secara percuma, takkan kerajaan nak bayar IPTS, siapa nak bayar IPTS? Maknanya IPTS akan tutup dan semua orang akan minta belajar dalam IPTA," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia (PKIBM) di sini, hari ini. 

Mohamed Khaled berkata, demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam portal berita tempatan untuk menghapuskan pembiayaan PTPTN jika pakatan pembangkang membentuk kerajaan pusat selepas pilihan raya umum akan datang. - BERNAMA
'via Blog this'