Showing posts with label hilang. Show all posts
Showing posts with label hilang. Show all posts

Tuesday, January 22, 2013

Ibu tunggu Masita pulang

Ibu tunggu Masita pulangMasita yang menghilangkan diri sejak Ogos tahun lalu dirayu pulang.
ENDAU – Kerinduan terhadap anak yang menghilangkan diri sejak Ogos tahun lalu terus meraja dalam diri.

Apatah lagi masih dihujani kesedihan akibat kematian suami, Hassan Yahya, 69, yang tertekan selepas kehilangan anak mereka.

Keadaan itu terus menyelubungi Yang Mah Yaacob, 60, yang bimbang keselamatan anak gadisnya, Masita Hassan, 18, yang tidak pulang selepas keluar dari rumah di Kampung Air Tawar, sejak hampir lima bulan.

Yang Mah yang rindukan Masita merayu agar anaknya itu pulang ke pangkuan keluarga.

Menurutnya, Masita yang bekerja di sebuah kedai kek di bandar ini dilaporkan gagal datang kerja oleh majikannya pada hari kehilangannya.

“Masita dihantar arwah ayahnya ke tempat kerja di pekan Endau, namun ketika ingin menjemputnya kira-kira jam 7 petang, majikannya memberitahu dia tidak datang bekerja pada hari itu,” katanya.

Pada hari kejadian Masita mengenakan baju kurung berwarna putih biarpun mengakui rutin anaknya itu yang gemar memakai seluar jeans dan kemeja apabila bekerja.
“Saya tidak merasakan apa-apa, cuma pada hari itu dia tidak memakai baju yang biasa dipakainya ketika ke tempat kerja.

“Selepas pemeriksaan dibuat di rumah, banyak pakaiannya sudah tiada di dalam almari dan ini sangat menyedihkan kami,” katanya.

Yang Mah berkata, Masita ada menghubungi salah seorang daripada ahli keluarganya sebulan selepas kehilangannya dan memaklumkan dirinya selamat dan berharap keluarga tidak risau.

“Ketika ditanya, dia hanya menyatakan ingin bekerja selain cuba mengelak untuk menjawab soalan yang diajukan kepadanya,” katanya.

Bagi sesiapa yang mengenali dan mempunyai sebarang maklumat berkaitan Masita boleh menghubungi Yang Mah di talian 019-7836926 atau, di alamat Lorong 2, Kampung Air Tawar, Endau, Mersing.

Saturday, December 29, 2012

Hilang dalam senarai SPR

Hilang dalam senarai SPR
Poay Tiong bersama Md Yusof dan Hairiz menunjukkan
 salinan bukti daftar pemilih yang telah hilang dari senarai
 SPR di pejabat Pusat Perkhidmatan DAP
 Dun Ayer Keroh, semalam.
AYER KEROH – Ada individu mendakwa namanya tiada di dalam senarai daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meskipun pernah membuang undi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 lalu.

Perkara itu, didedahkan Setiausaha DAP negeri, Khoo Poay Tiong dalam satu sidang media di pejabat Pusat Perkhidmatan DAP Dun Ayer Keroh di sini, semalam.

Poay Tiong yang juga Adun Ayer Keroh mendakwa, pihaknya juga sudah mengajukan permasalahan itu kepada pejabat SPR negeri namun pihak terbabit juga tidak dapat menjelaskan sebab perkara itu berlaku.

“Apabila kami semak nama individu terbabit di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), ternyata nama tersebut disahkan aktif, ertinya individu itu masih hidup namun namanya sudah hilang dalam senarai SPR.

“Kita memandang apa yang berlaku ini sebagai satu perkara amat serius, sebab kita khuatir ada ramai lagi nama pengundi yang sudah hilang dengan cara sebegini,” katanya semalam.

Hadir sama dalam sidang media itu, Pengarah Pilihan Raya PKR, Md Yusof Abdullah dan Ketua Penerangan PKR negeri, Hairiz Nordin.

Justeru, beliau berharap orang ramai yang pernah mendaftar dan pernah membuang undi pada PRU lalu, supaya membuat semakan sama ada menerusi laman web rasmi SPR atau tampil ke pejabat Pakatan Rakyat (PR) terdekat.

“Sebab itulah rakyat mahu kerajaan laksanakan lapan perkara berkaitan tuntutan Bersih kerana salah satunya, mereka mahu memastikan senarai nama pemilih itu benar-benar telus.

“Apa yang kita lihat mereka sudah terlalu 'bersih' sehingga orang yang hidup pun mereka hilangkan nama, sekali gus melakukan 'bersih' yang keterlaluan,” katanya.

Beliau berkata, ekoran itu PR negeri juga akan mengadakan kempen semakan daftar pengundi termasuk menyediakan kaunter serta kemudahan untuk orang ramai membuat semakan daftar pemilih di tempat-tempat tumpuan awam mulai Januari ini.

Sunday, October 28, 2012

10 tahun jejaki anak

10 tahun jejaki anakNormah ( dua dari kiri) memegang gambar Nor Ain yang kini masih menghilang dan meninggalkan anaknya, Muhamad Zanawi Abdullah, 10.
IPOH – Tanpa berputus asa, seorang ibu terus berusaha menjejaki anak perempuannya yang melarikan diri ketika berusia 12 tahun dari rumah mereka di Pulau Pangkor.

Ibu berkenaan, Normah Asinar, 56, berkata, anak perempuannya, Siti Nor Ain Tallib yang kini berusia 23 tahun menghilangkan diri 10 tahun lalu selepas melahirkan seorang bayi lelaki.

Menurutnya, tiada berlaku perselisihan faham antara mereka sebelum kejadian itu dan dia telah meninggalkan bayi terbabit yang kini menghidap sakit kulit.

“Saya tidak tahu di mana Nor Ain berada. Sudah puas mencari dia termasuk di dalam hutan. Nor Ain pun tidak pernah menghubungi saya sehingga kini.

“Saya perlukan dia kembali untuk menjaga semula anaknya yang kini sakit kulit dan memerlukan perhatian lebih,” katanya pada sidang media di Wisma DAP di sini, kelmarin.

Normah terpaksa bekerja sebagai pengawal keselamatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk membesarkan cucunya, Muhammad Zanawi Abdullah yang kini berusia 10 tahun.

Katanya, selain menyekolahkan cucunya, pendapatan sebanyak RM500 itu juga digunakan untuk menanggung perubatan mereka berdua.

Dia berharap Nor Ain pulang ke pangkuan keluarga dengan segera dan mana-mana individu yang mengenali Nor Ain diminta menghubungi talian 012-5533 705.

Tuesday, October 23, 2012

Kami rayu ibu pulang



NORHAFIZA MUSA
23 Oktober 2012
Kami rayu ibu pulang
Faris Fauzan memegang gambar ibunya Siti Nurul Hasmiza Hamid yang amat dirindui dan merayu agar pulang untuk sama-sama menyambut Aidiladha.
KUALA TERENGGANU – Kepulangan seorang ibu amat dinantikan bagi empat beradik yang kini tinggal di Rumah Tunas Harapan Darul Hilmi di Teluk Ketapang, Seberang Takir bagi sama-sama menyambut Aidiladha tidak lama lagi.

Walaupun tinggal bersama keluarga angkat namun bagi Kamarul Hamizan Ahmad Kamal, 10, Kamalia Nur Balqis, 8, Fatin Nurzalia, 5, dan Faris Fauzan, 4, kehadiran ibu di sisi amat bererti buat mereka.

Walaupun tidak bergelar anak yatim piatu, tetapi empat kanak-kanak tersebut telah  kehilangan tempat bergantung selepas ditinggalkan ibu bapa mereka sejak lebih dua tahun lalu.

Datuknya, Roni Abdul Ghani, 64, yang juga seorang nelayan, pernah menjaga mereka sebelum ini namun terpaksa melepaskan hak penjagaan kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) disebabkan faktor usia dan kemiskinan. 

Kamarul yang merupakan abang sulung kepada empat kanak-kanak tersebut sekali lagi menyuarakan hasrat ingin beraya bersama ibu mereka kerana impian untuk beraya bersama ibu mereka pada Aidilfitri yang lalu tidak kesampaian.           

“Kami ingin berjumpa mama. Nak raya sama-sama.  Dah lama tak beraya bersama,” katanya dalam satu pertemuan di rumah neneknya di Lorong Haji Da, semalam.

Dalam pertemuan itu, Persatuan Keluarga Polis (Perkep) turut hadir untuk bertemu kanak-kanak tersebut dan menyampaikan sedikit sumbangan sebagai persediaan untuk menyambut Aidiladha.

Hadir sama, Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Kuala Nerus, Tuan Arif Sahibu Fadilah Tuan Ahmad dan pemilik Great Clean Services, Azmi Udin yang telah bertanggungjawab mengatur pertemuan kanak-kanak tersebut dengan datuk, ayah dan neneknya sebelum ini. 

Sementara itu, nenek kanak-kanak tersebut, Zaimah Sidek, 52 merayu agar anak perempuannya, Siti Nurul Hasmiza Hamid, 30, pulang ke pangkuan empat anaknya yang ditinggalkan sejak dua tahun lalu.

Menurut Zaimah, anaknya itu pernah pulang ke rumah selepas raya tahun lepas tetapi dalam tempoh singkat sahaja dan dia juga tidak mengetahui di mana tempat tinggal dan bagaimana ingin berhubung.       

“Saya berharap Siti Nurul Hasmiza dapat pulang dan menjenguk anak-anak yang masih kecil dan dahagakan kasih sayang seorang ibu.  Walaubagaimana sekalipun, nasib anak-anak ini perlu difikirkan,” katanya.

Berkongsi cerita, dia mengetahui rumah tangga anak keduanya itu terumbang-ambing akibat tabiat suaminya, Ahmad Kamal Roni, 30, yang ketika itu difahamkan terjebak dalam penyalahgunaan dadah.

Katanya, hubungan dia dengan cucunya agak renggang kerana anak perempuannya juga jarang pulang ke rumah malah perpisahan dengan suaminya juga diketahui melalui akhbar.

Menurut Zaimah, dengan keadaan dirinya yang mempunyai masalah kesihatan dan turut mengalami kesulitan hidup bersama ahli keluarga yang lain, tidak memungkinnya untuk memelihara sendiri empat cucunya.

“Melihat mereka gembira tinggal bersama rakan yang lain dan kehidupan mereka juga terurus serta terjaga, saya berasa gembira.  Untuk menjaga sendiri, saya juga tidak mampu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Perkep Daerah Kuala Terengganu, Nor Fodziah Idrus berkata, kerjasama Perkep dan juga orang ramai diharapkan agar dapat temukan ibu kanak-kanak tersebut.

“Kita berharap orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan ibu kanak-kanak ini dapat menghubungi balai polis berdekatan supaya dapat menyatukan kanak-kanak ini dengan ibunya,” katanya.

Thursday, October 4, 2012

Anak mahu kesan bapa jadi wali nikah

Anak mahu kesan bapa jadi wali nikah
Siti Zubaidah menunjukkan gambar ayahnya.
BESUT – Seorang kakitangan wanita Pejabat Agama Daerah Besut merayu orang ramai membantu mengesan bapa kandungnya, Zalamidin Hussin, 52, yang berpisah dengan ibunya sejak empat tahun lalu untuk mewalikan pernikahannya pada awal Disember depan.

Siti Zubaidah Zalamidin, 25, yang menetap di Kampung Gong Bayor berkata, selepas bapanya berpisah dengan ibunya Wan Siti Wan Musa, 54, pada 2008, kali terakhir dia bertemu bapa di Hospital Kuala Lipis, Pahang pada Julai 2010.

Menurutnya, dia melawat bapanya bekas anggota tentera terlantar di hospital berkenaan selepas terbabit dengan kemalangan jalan raya di daerah itu ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

“Selepas itu saya tidak mendapat khabar berita daripada ayah. Usaha menghubunginya melalui telefon juga gagal kerana dia sudah menggunakan nombor telefon lain.

“Pada Aidilfitri lalu saya pergi juga mencari bapa saya di kampung halamannya di Kuala Tiga, Tanah Merah, Kelantan namun saudara maranya memberitahu tidak tahu di mana bapa saya berada malah dia juga sudah lama tidak pulang,” katanya.

Sehubungan itu, Siti Zubaidah merayu bapanya pulang untuk mewalikan pernikahan atau jika terdapat pihak tahu di mana bapanya berada supaya memaklumkannya.

Menurutnya, dia akan melangsung perkahwinan dengan lelaki pilihannya, Mohd Fathi Mohd Yusof, 24, yang berasal Pendang, Kedah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubunginya menerusi talian 013 9549283.

Tuesday, October 2, 2012

Bapa rayu anak pulang, kesihatan ibu semakin teruk

TEMERLOH 1 Okt. - Seorang bapa merayu anak perempuannya, Norfazliana Abdullah, 21, yang meninggalkan rumah sejak 10 September lalu supaya pulang segera memandangkan keadaan kesihatan ibunya semakin teruk.
Bapa tersebut, Idris Awang Ngah, 60, berkata, isterinya, Aishah Abu Samad, 60, amat merindui Norfazliana selain bimbangkan keselamatannya.
Menurutnya, kehidupan Aishah menjadi semakin tidak keruan dan sering terjaga dari tidur seolah-olah mahu mengejutkan anak kesayangannya itu untuk makan bersama.
''Keadaan isteri saya berterusan sejak hari pertama Norfazliana keluar dari rumah. Saya merayu sekurang-kurangnya dia telefonlah ibunya dan memberitahu keadaan yang sebenar.
''Norfazliana atau nama timangannya, Liya sebelum ini ada tinggalkan nota yang menyatakan dia ingin pergi jauh," kata Idris kepada Utusan Malaysia di Kampung Paya Pulai di sini hari ini.
Idris yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Pejabat Daerah Temerloh berkata, jirannya ada ternampak Norfazliana menaiki kereta berwarna putih sekitar pukul 10.30 pada malam kejadian, namun tiada berita lagi diterima selepas itu.
Katanya lagi, Norfazliana dan kakaknya Norisa, 35, adalah anak angkat mereka kerana tidak dikurniakan anak sendiri sejak berumahtangga.
''Kami memelihara dia sejak berusia setahun apabila bapa kandungnya yang juga anak saudara saya meninggal dunia 20 tahun lalu.
''Selepas tamat pengajian di sebuah kolej di ibu negara tiga bulan lalu, dia ada memberitahu ingin mencari kerja. Semasa belajar di kolej dia selalu berjumpa dengan ibu kandungnya.
''Saya berharap dia dapat menelefon isteri saya untuk melepaskan rasa rindu," katanya.
Kata Idris, dia telah mencari anak keduanya itu di beberapa negeri termasuk Kuala Lumpur dan Melaka selain Muar dan Segamat di Johor, tempat ibu kandungnya pernah menetap.
Malangnya, jiran tempat tinggal ibu kandung Norfazliana memberitahu, dia sudah berpindah dan tidak bekerja lagi di kawasan itu.
Menurut Idris, Norfazliana merupakan seorang anak yang baik, sentiasa menghormati mereka dan bukan gadis yang suka memberontak.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20121002/ws_04/Bapa-rayu-anak-pulang-kesihatan-ibu-semakin-teruk#ixzz289czDZrj
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sunday, September 30, 2012

'Mak sakit, mak rindu kamu'

'Mak sakit, mak rindu kamu'
Mariam mengadu nasibnya yang tidak pernah bertemu dengan anak sejak l
ebih 60 tahun lalu ketika menerima kunjungan Sinar Harian di Rumah
Sejahtera Taman Bahagia, semalam
MARANG - "Mak sakit, mak rindukan kamu. Kalau boleh mak ingin jumpa buat kali terakhir,” demikian rayu seorang warga emas, Mariam Abdullah, 76, ketika meminta agar anak tunggalnya yang telah terpisah sejak lebih 60 tahun lalu datang menjenguknya.

Mariam ketika ditemui Sinar Harian di rumah perlindungan warga emas atau Rumah Sejahtera Taman Bahagia, Wakaf Dua di sini, dalam nada sebak memberitahu, anaknya yang dikenal sebagai ‘Awang’ itu telah terpisah dengannya sejak dia berumur 18 tahun.

Menurutnya, selepas mendirikan rumah tangga pada usia 13 tahun dengan pasangannya, Ngah, Mariam melahirkan anak lelaki setahun selepas itu dan ketika anaknya berumur 4 tahun, suaminya itu meninggal dunia dalam satu pergaduhan keluarga.

“Arwah suami (pada masa itu) meninggal dunia selepas berlaku pertelingkahan dalam keluarga sebelah suami, dada suami terkena kapak (kerana bergaduh) lalu meninggal dunia dan mak cik membawa diri selepas kejadian itu,” katanya.

Mariam berkata, sejak itu dia bukan sahaja terpisah daripada anak lelakinya malah tidak pernah menjenguknya atas sebab peribadi tambah pula ketika itu dia masih mentah dan muda serta baru berumur 18 tahun.

Menurutnya, selepas kejadian itu dia menetap di beberapa negeri sebelum mendirikan rumah tangga buat kali kedua beberapa tahun kemudian tetapi tidak mendapat cahaya mata dan kembali hidup keseorangan selepas suaminya meninggal dunia 12 tahun lalu.

“Sepanjang 12 tahun lalu mak cik hidup sendiri, dulu mak cik pernah tinggal di Kuantan dan beberapa daerah lain di negeri itu kerana mengikut suami yang bekerja sendiri (buruh) sebelum pulang dan menetap di Kemaman dan Dungun di negeri ini.

“Kali terakhir mak cik tinggal seorang diri di sebuah rumah usang di tanah orang di Kampung Binjai Stesen, Dungun sebelum dihantar pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ke rumah jagaan ini pada Jun tahun lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Mariam yang agak uzur kerana faktor usia berkata, dia bagaimanapun tetap gembira dapat tinggal di rumah kebajikan itu kerana mempunyai rakan seusianya untuk bersembang malah bersembahyang di surau berdekatan jika kesihatannya baik.

“Bagi mak cik, ia bukan suatu yang menyedihkan kerana mak cik sendiri memilih untuk tinggal di sini dan tidak lagi berasa sunyi hidup sendirian seperti mana yang dilaluinya sebelum ini selepas suami (kedua) mak cik meninggal dunia.

“Kalau boleh, makcik nak tinggal di sini selama-lamanya, sampai ke penghujung usia. Makcik tak mahu pulang lagi ke rumah usang di tanah orang itu lagi. Makcik berserah saja kepada ALLAH SWT, tapi kalau boleh biarlah di sini sampai bila-bila, Insya-Allah,” katanya.

Bagaimanapun katanya, sebelum dia menutup mata dia amat berharap agar dapat menatap wajah anak lelaki tunggalnya  itu walaupun dia sendiri tidak mengetahui sama ada anak lelakinya itu masih hidup ataupun sudah meninggal dunia.

Thursday, September 27, 2012

Rayu cari anak OKU hilang



Rayu cari anak OKU hilang
Rayu cari anak OKU hilang
SHAH ALAM – “Pulangkan Syima, kami sangat merinduinya," demikian rintihan hati Salimon Arteri Yeop Harun, 64, bapa kepada Faizatul Syima, 27, yang keluar dari rumah di Taman Batu Muda, Batu Caves, sejak enam hari lalu.

Menurutnya, anak bongsunya itu yang merupakan seorang orang kurang upaya (OKU) menghidap sindrom down keluar rumah ketika tinggal bersendirian pada 23 September lalu pada jam 7.30 malam.

“Pada hari kejadian, saya dan isteri pergi Klang dan meninggalkan Syima bersama abang, kakak ipar dan anak saudara, kebetulan mereka sekeluarga juga ingin keluar dan mengajak dia bersama namun dia menolak pelawaan tersebut.

“Bagaimanapun, ketika mereka bertolak, Syima berkemungkinan mengubah fikiran sedang bersiap untuk ikut dan apabila mendapati tiada sesiapa di rumah dia bertindak keluar dari rumah mencari mereka dengan membawa gugusan kunci rumah dan kunci kereta,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Salimon berkata, mereka sekeluarga telah melakukan pelbagai usaha mengesan Syima dengan melaporkan kepada polis, mengedar risalah dan mengadakan rondaan di kawasan kejiranan namun anaknya masih gagal ditemui.

"Kami juga ada menampal risalah di premis perniagaan di sekitar Batu Caves dan ada laporan mengatakan Syima dilihat bersama seorang wanita separuh abad yang tidak dapat dikenal pasti bangsanya di Bistro Esfan, Batu Caves.

“Menurut pekerja restoran tersebut, dia ada nampak Syima dan wanita itu pada kali pertama jam 3 pagi dan keesokan harinya pada jam 2 pagi, bagaimanapun selepas ternampak risalah yang dilekatkan mereka tidak lagi mengunjungi restoran itu,” katanya.

Sementara itu, isterinya, Asmah Mohamad Ali, 63, berkata, dia merayu kepada sesiapa yang menemui Syima agar memulangkan kembali anaknya dalam keadaan selamat.

Katanya, Syima ketika hilang memakai baju T, seluar panjang dan bertudung.

Dalam pada itu Balai Polis Jinjang, mengesahkan menerima laporan kehilangan gadis tersebut dan masih menyiasat kes berkenaan.

Orang ramai yang ternampak Faizatul Syima sila hubungi balai polis berdekatan atau bapanya di talian 012-77108897.

Sunday, September 2, 2012

Video wartawan AS hilang muncul di YouTube

WASHINGTON: Satu klip video muncul di Internet memaparkan seorang wartawan Amerika Syarikat (AS) yang hilang di Syria - dianggap maklumat pertama mengenainya sejak dia gagal dihubungi Ogos lalu.

Dua pertubuhan berita yang mengupah wartawan bebas itu berkata, klip video selama 47 saat di YouTube itu memaparkan imej Austin Tice yang ditutup matanya.


Bagaimanapun, ia tidak mencukupi untuk mengetahui di mana atau bagaimana keadaan Tice. Video itu bertarikh 26 September tetapi hanya disedari keluarga serta rakan Tice di AS semalam. Dalam video itu, Tice, 31, diheret beberapa lelaki bersenjata keluar dari sebuah kenderaan.

Dia mengucapkan beberapa perkataan Arab, termasuk kalimah Bismillah serta syahadah sebelum berkata (dalam bahasa Inggeris): “Jesus, Jesus.” Sebelum ini, Tice bertugas untuk The Washington Post dan McClatchy Newspapers. Kedua-dua agensi itu memang selama ini mendesak dia dibebaskan. Editor Eksekutif The Washington Post, Marcus Brauchili, berkata mana-mana pihak yang menahan Tice perlu membebaskan wartawan terbabit tanpa mencederakannya. “Tice seorang wartawan yang menjalankan tugasnya. Dia perlu dibenarkan kembali kepada keluarganya,” katanya. - AFP

Thursday, April 12, 2012

Ustazah hamil rayu suami pulang



SITI KHOLIJAH bersama Ainun Mardhiah (kanan) dan Adni Nawar melihat gambar Nasrul yang hilang sejak Disember tahun lalu di Kuala Nerang semalam.


KUALA NERANG - Seorang ustazah bimbang dengan nasib suaminya yang tidak pulang selepas keluar bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah hospital di Alor Setar pada Disember lalu.
Siti Kholijah Ramli, 31, memberitahu, kebiasaannya suaminya, Nasrul Mohd. Fadli Saat, 33, sampai di rumah kira-kira pukul 5 petang, namun pada 20 Disember tahun lalu dia tidak pulang.
"Dia tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap malah sempat bersalam dengan saya dan anak-anak sebelum pergi bekerja dengan menunggang motosikal kira-kira pukul 7.15 pagi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Rambutan di sini semalam.
Siti Kholijah mendirikan rumah tangga dengan Nasrul yang berasal dari Selayang, Selangor pada tahun 2005 dan mempunyai dua orang anak iaitu, Ainun Mardhiah, 6, dan Adni Nawar, 2.

Thursday, March 22, 2012

Warga tua hilang gembira bertemu semula anak

ZABEDAH (kanan) ditemukan semula dengan Haryati di pejabat JKM, semalam.
ZABEDAH (kanan) ditemukan semula dengan
Haryati di pejabat JKM, semalam.
 

KUALA LUMPUR: Wanita warga tua yang dilaporkan hilang ketika membeli-belah bersama anak dan cucunya di Jalan Masjid India, Ahad lalu, ditemukan semula dengan keluarganya oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semalam.

Zabedah Masood, 70, jelas gembira ketika ditemukan semula dengan anak perempuannya, Siti Haryati Ariffin, 43, di pejabat JKM, di sini selepas hampir tiga hari diletakkan di bawah jagaan JKM.
Siti Haryati turut melahirkan rasa syukur kerana ibunya ditemui semula dalam keadaan selamat dengan bantuan polis yang kemudian menghantar warga emas itu kepada JKM Kuala Lumpur.
“Saya amat bersyukur bila mendapat panggilan polis memberitahu ibu saya sudah ditemui dan ditempatkan di rumah perlindungan JKM di Sungai Buloh kira-kira jam 10 malam, semalam (kelmarin). 

“Ketika itu, saya, suami dan seorang anak kami dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk mencarinya. 

“Kami lega sejurus menerima berita itu. Saya akan jadikan insiden ini sebagai pengajaran untuk saya dan keluarga,” katanya ketika di temui di pejabat JKM, di sini, semalam. 

Menceritakan semula detik terpisah daripada keluarganya ketika menemankan mereka membeli baju di sebuah gedung pakaian di Jalan Masjid India, Zabedah memberitahu beliau menangis selepas gagal menemui anak serta cucunya. 
“Tidak dapat saya gambarkan perasan masa itu, saya menangis dan jerit panggil nama anak dan cucu tapi gagal berjumpa mereka. 

“Saya menunggu di gedung itu hingga 10 malam tetapi tidak juga berjumpa dengan mereka (keluarga). Mujur ada anggota polis sudi menolong dan hingga jam 1 pagi saya tunggu di sebuah balai polis bergerak sebelum dihantar ke Anjung Singgah (rumah bagi golongan gelandangan),” katanya. 

Zabedah berkata, kegagalannya untuk mengingati nombor telefon anak atau saudara mara menyebabkan polis dan JKM gagal menghubungi keluarganya. 

Siti Haryati yang tinggal di Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram, Johor Bahru datang ke ibu negara untuk menemankan anaknya menghadiri pertandingan hoki di sini, sebelum singgah di Jalan Masjid India untuk membeli pakaian bersama suami, tiga anak serta Zabedah.

Saturday, December 24, 2011

Mangsa tsunami Aceh 2004 ditemui semula

Meri Yuranda berbaring di atas katil sambil diperhatikan ibunya, Yusnidar
selepas mereka dipertemukan semula di Meulaboh di Aceh, kelmarin. - AFP

ACEH 23 Dis. - Seorang kanak-kanak perempuan Indonesia yang dipercayai terbunuh dalam kejadian tsunami pada 2004 di Aceh, ditemui masih hidup dan ditemukan semula dengan ibu bapanya, kelmarin.
Datuk kanak-kanak itu, Ibrahim berkata, Meri Yulanda berusia tujuh tahun ketika hilang bersama seorang adiknya selepas tsunami melanda tempat tinggalnya di kawasan Aceh Barat.
Katanya, Meri dapat menyelamatkan diri dalam bencana itu dan dibesarkan selama tujuh tahun oleh seorang ibu tunggal yang memaksanya meminta sedekah di jalanan pada setiap hari sebelum orang ramai menemui kanak-kanak itu merayau-rayau di jalan dan dibawa ke pejabat penghulu kampung. - DPA
Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Sunday, December 18, 2011

Ibu lima anak terkilan sikap wakil rakyat


lima anak

SENTUL – Seorang ibu lima anak di sini mendakwa dirinya digunakan wakil rakyat PR untuk mendapatkan publisiti murahan membantunya menyelesaikan masalahnya.

S Valamathi, 28, yang tinggal di pangsapuri Sri Dahlia, Taman Puteri, Puchong mendakwa, dia dikunjungi akhbar yang melaporkan masalahnya yang kehilangan suami dipercayai ditahan polis.

Dakwanya, selepas kisahnya didedahkan, dia dikunjungi Ahli Parlimen Puchong, Gobinh Singh dan Adun Kinrara, Teresa Kok yang berjanji menyelesaikan masalahnya.

“Mereka berjanji membantu menjelaskan bil air RM1,200 dan elektrik RM1,100 serta akan menjejaki lokasi suami, S Murugan, 35, ditahan.

“Bagaimanapun, sehingga hari ini, tiada sebarang makluman dan bantuan disalurkan menyebabkan kami sekeluarga hidup bergelap dan tiada bekalan air lebih setahun serta hidup bergantung ehsan jiran tetangga,” katanya ketika ditemui di bandar Sentul, semalam.

Dakwanya, dia yang turut menghadapi masalah sewa rumah tertunggak lebih tiga tahun berjumlah RM14,700 buntu keadaan suaminya yang telah lebih tujuh bulan tidak ditemui kerana tidak dimaklumkan tangkapan ke atas suaminya.

“Kami dimaklumkan mengenai penahanannya daripada penduduk pangsapuri Sri Dahlia Taman Puteri yang kebetulan melihat suami ditahan pihak berkuasa sewaktu sedang bekerja di kedai berhampiran rumah,” katanya.

Sementara itu, Presiden Alternative Action Team, Kalai Vanar yang mengunjungi Valamathi berkata, pihaknya memberi bantuan sementara berbentuk bekalan perbelanjaan harian bernilai RM300 kepada mangsa sekeluarga sehingga suaminya dibebaskan.

“Sewaktu sesi lawatan November lalu, Teresa dan Gobinh berjanji menyelesaikan isu terbabit tetapi sehingga Disember tiada bantuan dihulurkan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Puchong, Gobinh Singh Deo ketika dihubungi mendakwa, pihaknya tidak mengadakan lawatan ke rumah keluarga mangsa sebaliknya Valamathi dikunjungi Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Michael Tamil.

Sementara itu Michael Tamil ketika dihubungi mendakwa, dia berjanji untuk memberikan payung, meja dan kerusi tetapi tidak pernah berjanji menyelesaikan masalah hutang berkenaan.

Sementara itu, Adun Kinrara, Teresa Kok gagal dihubungi Sinar Harian, semalam.
-sh

Thursday, November 3, 2011

Lelaki dirayu pulang walikan perkahwinan anak

          
KUALA TERENGGANU: “Ayah...Izah akan berkahwin Rabu ini (9 November) dan berharap ayah pulang untuk mewalikan Izah,” rintih Norhafizah Mohd Rahim, 18, mengharapkan bapanya Mohd Rahim Deraman, 39, yang menghilangkan diri hampir setahun pulang ke pangkuan keluarga.

Norhafizah berkata, sejak keluar dari rumah pada awal Disember 2010, bapanya yang bekerja sebagai jurukimpal dengan sebuah syarikat kontraktor, tidak pulang atau menghubungi keluarga sehingga kini.


“Kami adik beradik rindukan ayah dan sejak meninggalkan rumah, kami tidak menerima sebarang berita mengenai ayah dan tidak putus berdoa semoga Allah melindungi ayah walau di mana dia berada,” katanya.

Menurutnya, selepas sebulan bapanya menghilangkan diri, dia berusaha menghubungi lelaki itu namun hampa apabila telefon bimbit bapanya tidak berfungsi.


Sementara itu, ibunya, Zohyah @ Zalina Chik, 40, berkata berikutan kejadian itu, dia yang hilang tempat bergantung terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan bagi menyara enam anak dengan empat daripadanya masih bersekolah.


Zohyah @ Zalina yang tinggal di Kampung Tok Jiring, di sini, berkata dia mengharapkan suaminya pulang bagi mewalikan pernikahan anak mereka yang dijadualkan 9 November ini.

“Anak-anak terlalu merindui ayahnya dan demi kebahagiaan mereka, lupakan persengketaan lalu dan pulanglah bagi membolehkan majlis perkahwinan anak berjalan lancar,” katanya yang datang ke pejabat Harian Metro di sini, semalam.


Katanya, dia tidak tahu kenapa suaminya terbabit yang berasal dari Felda Bukit Bading, Kuala Berang meninggalkan keluarga kerana sebelum kejadian hubungan mereka baik sejak berkahwin pada 1991.

Saturday, September 24, 2011

Kain rentang DSAI ‘hilang’

RAUB – Pakatan Rakyat (PR) Parlimen Raub kesal dengan tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab yang cuba sabotaj program Ceramah Perdana Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) seperti dijadualkan berlangsung Ahad nanti.

Jurucakap PR Parlimen Raub, Tengku Shah Amir Tengku Perang berkata, Pas dan PKR membuat laporan polis sebaik sahaja mendapati kain rentang berkaitan ceramah itu ‘hilang’ dari tempat ia dipasang.

Menurutnya, kain rentang itu diletakkan di dua lokasi iaitu di hadapan Dewan Jubli Perak Majlis Daerah Raub (MDR) dan persimpangan Sungai Ruan dekat Pintu Padang.

“Kita dapati kain rentang itu hilang sekitar waktu Maghrib dan dipercayai tindakan ini didalangi pihak tertentu yang menunjukkan sikap tidak matang dalam berpolitik.

“Politik adalah hak semua orang dan PR tidak pernah mengganggu segala kegiatan dianjurkan mana-mana pihak selama ini,” katanya selepas membuat laporan di Balai Polis Raub.

Tengku Shah Amir berkata, realitinya hari ini bukanlah seperti tahun 60-an atau 80-an kerana rakyat sudah maklum tentang hak mereka.

Friday, September 9, 2011

Sejarah : Adik Mat Indera hilang?


Adik bongsu Mat Indera, Johan Shah Indera 
 KUALA LUMPUR: Adik Mat Indera, Johan Shah Indera gagal dihubungi sejak isu Mat Indera dimainkan media arus perdana.
Bahkan,Yang Dipertua Pas kawasan Ayer Hitam, Husin Sujak memaklumkan rumah Johan di Yong Peng tidak berpenghuni sejak beberapa hari lalu.

“Kita tak tahulah ke mana beliau pergi. Mungkin kerana mahu elak dari liputan media,” kata Husin kepada Keadilandaily.com
Difahamkan polis datang ke rumah Johan sejurus selepas kunjungan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu, Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamad dan Ketua Pemuda Pas negeri, Suhaizan Kaiat seperti dilaporkan media petang Isnin lalu.
Terdahulu, aktivis Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) diketuai Pengerusinya Badrul Hisham Shaharin atau CheGuBard bertemu Johan dalam program ‘Menjejak Mat Indera’ diiringi Husin Sujak, 3 September lalu.
Johan adalah ahli keluarga Mat Indera yang pertama muncul di media dengan liputan pertemuan dimuatkan di blog dan portal politik dan mendapat reaksi hangat.
Namun, laporan media arus perdana pada minggu berikutnya menyelar peranan Mat Indera dalam perjuangan menuntut kemerdekaan. Malah, Menteri Besar Johor Abdul Ghani Othman melabelkan Mat Indera sebagai pengganas.
Sehingga petang ini, usaha untuk menghubungi Johan Shah Indera, 68, yang merupakan bekas kakitangan Majlis Daerah Yong Peng gagal.
Johan Shah Indera adalah anak bongsu dari 6 orang adik beradik, seibu sebapa dengan abangnya Muhammad Indera. Beliau pernah dibuang daerah ke Singapura bersama bapa, ibu tiri dan neneknya ke Singapura pada 1950 hingga 1954.
Dalam pada, itu abang tirinya, Bahrom Shah Indera ketika dihubungi Keadilandaily memberitahu, adiknya kini mungkin sedang ‘bersembunyi’.
Bahrom Shah adalah anak ketiga dari isteri kedua Indera dari empat orang adik beradik.
“Mungkin dia nak elak dari gangguan, kita tak tahu. Tapi saya yakin dia selamat dan akan pulang ke rumah,” kata Bahrom.
Bahrom sebelum ini tampil pada sidang media di ibu pejabat Pas pusat menuntut kerajaan membersihkan nama abangnya.
Beliau turut menyeru  sejarawan untuk mengkaji semula sejarah dan peranan Mat Indera dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.
http://wargamarhaen.blogspot.com

Saturday, September 3, 2011

Pesawat tentera udara Chile hilang bersama 21 penumpang

SANTIAGO: Sebuah pesawat tentera Chile yang membawa 21 penumpang hilang di Lautan Pasifik ketika dalam perjalanan ke kawasan pedalaman Juan Fernandes, Jumaat (waktu tempatan), kata pihak berkuasa negara itu dalam satu kenyataan.

Datuk Bandar Juan Fernandez, Leopoldo Gonzalez, ketika ditemuramah saluran televisyen TVN, berkata pasukan yang ditugaskan mencari pesawat berkenaan menemui serpihannya di laut.
Sementara itu, Menteri Pertahanan, Andres Allamand, berkata pesawat turboprop model Casa 212 dikesan cuba melakukan pendaratan di pulau berkenaan dua kali tetapi gagal di mana sejurus kemudian gagal dihubungi.
Antara yang berada di dalam pesawat itu termasuk krew televisyen TVN yang sedang menuju ke pulau berkenaan bagi membuat liputan kebangkitannya susulan musnah dilanda tsunami selepas gempa bumi pada 27 Februari 2010. - AFP , bharian

Saturday, August 27, 2011

Kedutaan Nepal sedia bantu jejaki Noshahira

KUALA LUMPUR: Kedutaan Nepal sedia membantu menjejaki gadis Malaysia yang dilaporkan lari mengikut teman lelaki warga Nepal ke Kathmandu, jika laporan mengenainya dibuat di kedutaan berkenaan Isnin ini. 
"Jika ada sesiapa datang ke kedutaan Isnin ini untuk memberi butiran mengenai lelaki itu seperti nombor pasportnya, kami akan berbincang dengan pihak berkuasa di Kathmandu," kata Duta Nepal ke Malaysia, Dr Rishi Raj Adhikari kepada pemberita pada majlis mempromosi Tahun Melawat Nepal 2011 di sini hari ini.

Laporan Bernama menyebut Noshahira Mohd Rasul, 21, dari Taman Kenangan, Sungai Karangan di Padang Serai, Kedah, dipercayai keluar rumah sejak 22 Ogos.
Menurut maklumat polis Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Norshahira dan lelaki Nepal itu yang dikenali sebagai Imthias Khan, 24, menaiki pesawat dari Pulau Pinang, transit di Bangkok dan terus ke Kathmandu pada 23 Ogos. 

Dr Adhikari juga mengingatkan warga Nepal yang bekerja di Malaysia agar tidak menjalin hubungan romantik dengan penduduk tempatan bagi mengelak kesulitan di masa depan. 

"Kepada semua warga Nepal, tolong jangan berkahwin atau melakukan perkara buruk kerana anda masih terikat dengan kontrak," katanya. 

Turut hadir pada majlis promosi pelancongan itu, lelaki kedua terendah di dunia yang berasal dari Nepal iaitu Khagendra Thapa Magar, 19. 
Beliau bersama barisan artis Nepal akan mengadakan penampilan khas di Johor Baharu esok, Pulau Pinang (30 Ogos), Kuala Lumpur (31 Ogos) dan Pelabuhan Klang (1 September). 

Dr Adhikari berharap promosi pelancongan besar-besaran itu dapat menarik rakyat Malaysia untuk melancong ke Nepal, yang terletak di Banjaran Himalaya. - BERNAMA 

Friday, July 15, 2011

Anak hilang


Kepada Rakan2 semua,

Anak kepada rakan saya telah hilang tengahari semalam dihadapan Sek. Keb Subang Bestari. Usaha mencari adik Najmi telah dilakukan sehingga lewat pagi tadi tetapi masih gagal.

Lapuran polis telah dilakukan dan dia disyaki diculik. Butir2 terakhir adik Najmi adalah seperti berikut:

Nama : Najmi Haqiemi bin Ahmad Salleh (10tahun)

Tinggi : lebih kurang 110cm

Pakaian: Memakai t-shirt sukan berwarna merah berlengan hitam dgn cetakan 'S.K Subang Bestari, Tuah' dibelakang, berseluar sukan berwarna biru gelap berbelang putih dan berjaket berwarna coklat.

Lain2: Membawa beg sekolah berwarna biru dan hitam, berambut pendek dan mempunyai tanda parut disebelah kanan kepala.

MOHON DIDOAKAN SEMOGA KANAK-KANAK INI DIJUMPAI DAN MINTA SAMA-SAMA KITA SOLAT HAJAT SEMOGA ORANG YANG MEMBAWANYA TERBUKA HATI UNTUK MENGHANTAR KEMBALI KANAK-KANAK INI KEPADA KELUARGANYA.

Sekiranya rakan2 mempunyai maklumat atau ternampak kanak2 ini, boleh hubungi ibunya di no: 012 2485649 (Zetty) atau bapanya di no: 0196387252 (Salleh).


Mohon disebarkan.

Wednesday, June 15, 2011

'Saya dengar arahan suara'


NOOR Azam (tengah) bersama      Natrah dan bapanya Mohd Nazri,  Taman Bunga Raya, Jitra, semalam.
NOOR Azam (tengah) bersama Natrah dan bapanya Mohd Nazri, Taman Bunga Raya, Jitra, semalam.



Doktor pelatih hilang sejak Mei lalu ditemui selamat di Kuantan

JITRA: Seorang doktor pelatih yang dilaporkan hilang hampir sebulan ditemui selamat di sebuah pusat beli-belah di Kuantan, Sabtu lalu tetapi tidak dapat menyatakan dengan jelas apa yang berlaku kepadanya.
Dr Mohd Noor Azam Mohd Nazri, 26, berkata di rumah keluarganya di Taman Bunga Raya di sini, semalam, sepanjang dilaporkan hilang, beliau tidak sedar apa yang berlaku sehingga membawanya ke Kelantan, Terengganu dan Pahang.
"Apa yang saya tahu, saya mendengar arahan daripada satu suara yang saya tidak pasti dari mana. Saya rasakan kehilangan saya hanya empat hari saja" Mohd Noor Azam Mangsa
“Apa yang saya tahu, saya mendengar arahan daripada satu suara yang saya tidak pasti dari mana. Saya rasakan kehilangan saya hanya empat hari saja,” katanya.

Mohd Noor Azam adalah lulusan Akademi Perubatan Moscow dan sedang menjalani latihan di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar sejak Oktober tahun lalu. Menceritakan detik beliau ditemui, Mohd Noor Azam berkata beliau ditahan oleh seorang pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di Kuantan kerana tidak membayar makanan yang dimakannya.

“Ketika ditahan, mereka memeriksa dompet saya untuk memastikan sama ada saya betul-betul tiada wang atau sebaliknya. Ketika membuka dompet saya itu, baru saya berada dalam keadaan sedar.

“Sebaik sedar, saya berasa sangat lapar dan letih. Kaki juga berasa sangat lenguh, mungkin saya berjalan terlalu jauh,” katanya.
Difahamkan, Dr Mohd Noor Azam dilaporkan hilang sejak 16 Mei lalu selepas dihantar ke tempat kerja oleh bapanya.

Katanya, ketika berjalan menuju ke pejabatnya pada hari itu, beliau mendengar suara yang pernah didengarnya sebelum ini dan ketika itulah beliau tidak sedar apa-apa.

Ibunya, Natrah Shaari, 52, berkata beliau menerima maklumat mengenai penemuan anaknya daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan ketika beliau dan keluarga dalam perjalanan ke Kuantan.

“Kami tergerak hati untuk pergi sendiri mencari Azam di Kuantan selepas diberitahu dia ada mengeluarkan duit di sebuah mesin ATM di sana,” katanya.

Natrah berkata, apabila sampai di IPD Kuantan, beliau melihat anaknya berada dalam keadaan sihat tetapi pakaian yang dipakainya lusuh dan bukan miliknya.

“Beg kerjanya juga tiada bersamanya, sebaliknya dia menggalas sebuah beg mengandungi berus gigi, berus sabut, kain pelikat, kemejanya yang sudah lusuh dan beberapa barang lagi yang bukan miliknya,” katanya.

Sebelum kejadian itu, Mohd Noor Azam pernah hilang dua kali tetapi kehilangannya hanya dua hari saja. – BERNAMABerita Harian Online | 'Saya dengar arahan suara'