Wednesday, April 4, 2012

Parti Suu Kyi menang 43 kerusi


YANGON: Parti pimpinan pejuang demokrasi, Aung San Suu Kyi memenangi hampir semua kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya Myanmar, menjadikannya kuasa pembangkang utama di Parlimen.
Keputusan yang diumumkan menerusi televisyen oleh Suruhanjaya Pilihan Raya semalam menunjukkan Liga Kebangsaan Untuk Demokrasi (NLD) memenangi 43 daripada 44 kerusi yang ditandinginya pada pilihan raya kecil Ahad lalu.

Kemenangan besar itu membolehkan Suu Kyi memperoleh kerusi Parlimen kali pertama. Bagaimanapun, ia tidak akan menggugat majoriti selesa Parti Kesatuan Solidariti dan Pembangunan (USDP) yang disokong tentera.
NLD memenangi 37 kerusi di Dewan Rakyat yang mempunyai 440 kerusi dan empat lagi di Dewan Negara serta dua di Dewan Wilayah.

Sepertiga daripada kerusi itu diperuntukkan untuk pegawai tentera tanpa perlu bertanding.

NLD hanya kalah satu kerusi di wilayah Shan. Kerusi berkenaan dimenangi oleh Parti Demokratik Rakyat Shan yang mempunyai sokongan kuat daripada kumpulan penduduk minoriti.
USDP hanya meraih satu kerusi di Sagaing, barat laut Myanmar selepas penyertaan calon NLD ditolak.

Kemenangan Suu Kyi menandakan perubahan besar-besaran dalam politik Myanmar selepas pemerintahan tentera selama puluhan tahun berakhir tahun lalu. - AFP