Sunday, August 14, 2011

Nik Aziz sokong larangan bacaan Al-Quran guna pembesar suara

KOTA BHARU -- Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak bersetuju amalan bacaan al-Quran dibuat menggunakan pembesar suara sehingga mengganggu mesyarakat sekitarnya.

Mursyidul Am PAS itu berkata perbuatan itu tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat setempat sehingga boleh menyusahkan mereka dan seseorang Islam harus menghormati masyarakat sekeliling dengan tidak membuat bising, walaupun dengan membaca al-Quran menggunakan pembesar suara.

Sehubungan itu, beliau menyokong tindakan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang melarang bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara pada waktu Subuh.

"Kita (umat Islam) hanya dibenarkan melaungkan suara ketika azan untuk mengerjakan solat. Oleh itu, saya tidak bersetuju jika masjid menggunakan pembesar suara sehingga menjejaskan orang lain yang sedang tidur atau sakit," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Koperasi Rakyat Kelantan Berhad (KRKB) di sini, hari ini.

Beliau ditanya mengenai tindakan Kerajaan Pulau Pinang melarang penggunaan pembesar suara semasa mengaji al-Quran pada waktu subuh di masjid dan surau di negeri itu.

Terdahulu dalam ucapannya, Nik Abdul Aziz menggesa wanita negeri ini yang suka membeli atau menyimpan barang kemas supaya menjualnya untuk dilaburkan dalam KRKB yang baru dilancarkan itu.

Ini kerana, katanya, ia akan memberi pulangan yang menguntungkan kesan kenaikan harga emas dunia yang menjadi bahan pelaburan urusniaga koperasi menerusi Permodalan Kelantan Berhad (PKB).

Semasa ditanya sama ada kebimbangan sesetengah rakyat Kelantan yang ingin melabur dalam koperasi itu kesan kegagalan Koperasi Kohilal yang kebanyakannya dianggotai PAS, Nik Abdul Aziz berkata kegagalan koperasi itu ekoran kejatuhan saham dan keadaan ekonomi merudum pada 1998. -- BERNAMA, SH

Lima sekeluarga maut akibat letupan bom di Afghan

KABUL 14 Ogos – Seramai lima sekeluarga terkorban apabila sebutir bom meletup di tepi jalan yang meletupkan van mini yang mereka naiki ketika melalui selatan Afghanistan, lapor pegawai kerajaan.
Insiden yang berlaku di Gereshk, daerah di wilayah Helmand yang sentiasa bergolak terjadi ketika mereka sekeluarga dalam perjalanan ke bandar Lashkar Gah di Helmand, kata jurucakap wilayah, Daud Ahmadi.
Letupan yang berlaku pada pukul 10 pagi waktu tempatan mengorbankan tiga orang wanita dan dua lelaki. - AFP

Britney Spears dilarang miliki telefon bimbit



Britney Spears


LOS ANGELES 13 Ogos - Penyanyi pop terkenal Britney Spears dilarang memiliki telefon bimbit kerana dianggap akan membawa masalah kepada dirinya.
Ia merupakan antara syarat yang dikenakan oleh bapanya, Jamie Spears bagi mengawal semua pergerakan penyanyi berusia 29 tahun itu bagi menghindarinya bertindak di luar kawalan.
“Antara syarat itu ialah dia terpaksa mengorbankan telefon bimbitnya, bagi membantu Britney berada di bawah kawalan,” kata Jamie.
Langkah pencegahan itu berikutan tindakan bekas pengawal peribadinya, Fernando Flores mendakwa Britney menghantar gambar bogel dirinya dari telefon bimbitnya dan mengugut untuk menyamannya di mahkamah.
Britney juga dalam proses pemulihan sejak 2008 ekoran masalah yang timbul selepas perceraian dengan suaminya, Kevin Federline setelah gagal menuntut hak penjagaan ke atas kedua-dua anak lelakinya di mahkamah.
Menurut satu sumber, proses pemulihan penyanyi tersebut akan tamat pada tahun ini disebabkan semuanya berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.
- Agensi, utusan

Lelaki ditemui rentung ketika waktu sahur

JOHOR BAHRU 13 Ogos - Seorang lelaki rentung dalam kebakaran yang berlaku ketika penduduk Islam di Kampung Tebrau Bakar Batu di sini, baru selesai bersahur awal pagi ini.
Kebakaran pukul 5.25 pagi itu dipercayai bermula dari rumah mangsa, Sabtu Hussin, 57, sebelum ia merebak ke rumah bersebelahan yang didiami anak saudaranya sekeluarga.
Bagaimanapun, anak saudara mangsa, Sapiah Wan Hitam, 37, suami dan dua anak mereka berusia lima tahun dan enam bulan berjaya menyelamatkan diri.
Kakak mangsa, Ramlah Hussin, 61, berkata, dia yang tinggal tidak jauh dari rumah adiknya itu dimaklumkan kebakaran tersebut oleh anak perempuannya.
"Ketika kejadian, saya baru habis bersahur dan sejurus saya sampai di tempat kejadian, rumah pusaka keluarga itu sudah hangus terbakar," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, hari ini.
Menurut Ramlah, Sabtu yang merupakan anak kelima daripada 12 beradik itu tinggal seorang diri sejak bercerai dengan isterinya, beberapa tahun lalu.
Ujarnya lagi, adiknya itu bekerja sebagai pemandu teksi tetapi terpaksa berhenti kerja akibat penyakit tulang belakang.
"Meskipun sedih dengan kematian adik saya, namun saya bersyukur kerana Sapiah, menantu dan dua cucu saya selamat. Sapiah ada beritahu saya duit RM1,000 yang akan digunakan untuk persiapan raya Aidilfitri turut hangus terbakar," katanya.
Sementara itu, Ketua Zon Johor Bahru, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Raja Saiful Iswandy Raja Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 5.28 pagi dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 7.30 pagi.
"Kebakaran dipercayai bermula dari bahagian ruang utama rumah sebelum ia merebak ke bahagian lain. Mayat mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di atas katil biliknya dan punca sebenar kebakaran masih disiasat," katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat.

Hasrat kahwin warga China terhalang kerana birokrasi




ABDUL Rahman Abu Talib (kanan) dan Roslinda Zheng menunjukkan surat pengesahan Imigresen dan surat permohonan kebenaran bernikah kepada Hassan Rahman di Sungai Rambai, Jasin, semalam.


JASIN 13 Ogos - Hasrat seorang lelaki tempatan, Abdul Rahman Abu Talib, 24, untuk bernikah dengan seorang wanita warganegara China terhalang kerana masalah birokrasi Kedutaan Besar China di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Menurutnya, kakitangan kedutaan tersebut seperti enggan melayan permohonan bakal isterinya, Zheng Xian atau nama Islamnya, Roslinda Cheng, 25, yang mahu mendapatkan pengesahan permohonan pernah bernikah dan bercerai di China.
Malah katanya, Mahkamah Rendah Syariah Jasin telah mengeluarkan surat memohon kebenaran bernikah bagi Roslinda yang berasal dari Wilayah Fujian untuk urusan wali hakim kepada kedutaan itu pada 10 Ogos lalu dan ia juga tidak dipedulikan oleh pihak terbabit.
''Saya dan bakal isteri telah pergi ke pejabat kedutaan itu pada 4 dan 11 Ogos lalu bagi mendapatkan pengesahan tetapi malangnya tidak dipedulikan walaupun semua dokumen yang diperlukan turut disertakan," katanya kepada Mingguan Malaysia di Kompleks Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) Sungai Rambai di sini, hari ini.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman.
Menurut Abdul Rahman yang berasal dari Kampung Parit Penghulu di sini, dokumen yang disertakan ialah surat dari pejabat Imigresen Malaysia yang mengesahkan kemasukan Roslinda ke Malaysia melalui pas lawatan sosial, surat memeluk agama Islam dan surat pengesahan cerai dari pejabat agama Islam Xiamen.
''Saya benar-benar kecewa dengan sikap pihak kedutaan yang tidak memberikan kerjasama. Sepatutnya tidak timbul sebarang masalah untuk kami bernikah," ujarnya.
Sementara itu Hasan berkata, beliau akan bertemu dengan Duta China ke Malaysia, Chai Xi minggu depan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh Roslinda dan Abdul Rahman.
''Jika Kedutaan China gagal memberikan kerjasama, mungkin saya terpaksa meminta bantuan Kementerian Luar untuk campur tangan bagi membantu pasangan ini," ujarnya.-utusan

Gerakan Cegah Murtad buat laporan polis

SHAH ALAM: Gabungan Gerakan Cegah Murtad (GCM) akan membuat laporan polis berhubung isu memurtadkan umat Islam di Selangor di semua ibu pejabat polis daerah (IPD) negeri itu bermula jam 10 pagi, Selasa ini.
Gabungan mewakili hampir 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu menegaskan, ia sebagai mewakili suara umat Islam yang rata-rata kesal dengan campur tangan pihak tertentu dalam isu pemeriksaan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) di Petaling Jaya, pada malam 3 Ogos lalu.

Jurucakapnya, Hamidzun Khairuddin berkata, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sepatutnya bebas melaksanakan undang-undang berkaitan agama Islam di negeri itu, selaras dengan status Malaysia sebagai negara Islam.

“Kita sudah bermesyuarat dan menyusun ahli gabungan untuk membuat laporan polis di setiap IPD di Selangor. Saya yakin usaha ini akan bergema di seluruh negara,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Baru-baru ini, Jais menyerbu DUMC selepas mendapat maklumat orang Islam menghadiri majlis di gereja berkenaan.

Ketika serbuan dilakukan jam 9 malam, seseorang mengadakan pengucapan awam yang diselitkan perkataan al-Quran dan wujud bukti kegiatan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut Islam.-hmetro

Doa termakbul

ALOR GAJAH: Akhirnya doa dan impian saya untuk berbuka puasa serta menyambut Syawal bersama ibu serta keluarga di sini termakbul selepas 10 tahun,” luah Sanisah Abu Bakar, 37, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Darat, Kuala Linggi, dekat sini, malam kelmarin.
Sanisah dan tiga anaknya iaitu Nurshahada, 15, Nurizwan, 11, Nurakma Najwa Widodo, 10, berjaya dibawa pulang ke tanah air kelmarin dengan bantuan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) diketuai Naib Pengerusi Sekretariatnya, Datuk Dr Mohd Jamil Mukmin.

Dia sebelum ini terkandas di kampung suaminya di Gangga, Lombok, Indonesia sejak 2002 apabila gagal membiayai perjalanan pulang ke negara ini.

Sanisah bersama suaminya, Widodo Chinasin, 39, dan tiga anak mereka dikatakan pergi ke Lombok untuk melawat ibu mentuanya yang sakit sebelum mereka terkandas.

Menurut Sanisah, dia sekeluarga terputus hubungan dengan keluarganya Melaka sepanjang empat tahun pertama tinggal di Kampung Pelenge, Gangga, Lombok kerana tiada nombor telefon selain gagal mengingati alamat keluarga, menyebabkan dia terkandas.

“Ketika di sana (Lombok) kami tinggal bersama keluarga mentua dan saya bekerja di klinik desa sebagai Pembantu Kesihatan dengan gaji 600 ribu Rupiah setahun, manakala suami menjadi mekanik kereta dengan pendapatan tidak menentu,” katanya.


Menceritakan semula kisahnya sepanjang 10 tahun di Lombok, Sanisah berkata, terlalu banyak kenangan yang sukar dilupakan, terutama apabila menjelang Ramadan dan Syawal, di mana kerinduan terhadap keluarga sungguh memuncak.

“Lombok tidak seperti di sini. Kami mengikat perut di sana untuk menyimpan duit dan berangan hendak pulang Melaka saban tahun, namun semua hanya mimpi.
“Namun akhirnya hari ini (kelmarin) saya dapat mendakap ibu dengan sepuas-puasnya, selain berbuka puasa bersama adik beradik lain,” katanya.

Menurutnya, selepas mendapat berita gembira daripada Kerajaan Negeri Melaka melalui DMDI yang akan membantu menguruskan kepulangannya, setiap malam bayangan wajah ibunya, Salmah Mahmud, 71, yang uzur sering berlegar di ruang matanya.

“Tidak dapat digambarkan bagaimana gembiranya saya ketika itu kerana kami sekeluarga diberitakan akan kembali ke tanah air untuk sama-sama menyambut Ramadan dan Syawal bersama keluarga di sini,” katanya.

Sanisah yang fasih berbahasa Indonesia dan melahirkan dua lagi anak, iaitu Nur Aliff Zulkarnain, 9, dan Nurain Asyikin, 6, ketika di sana mendakwa serta keluarganya mendapat layanan baik daripada penduduk Lombok yang mengetahui mereka terkandas selepas terbaca akhbar (Harian Metro) dikirim seorang penduduk yang bekerja di Kuala Lumpur sebulan sekali.hmetro