Sunday, September 4, 2011

Hantar pelarian Islam Uigur ke negara komunis, Umno hipokrit!


SHAH ALAM 4 SEPTEMBER : Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengecam tindakan Umno-Barisan Nasional (BN) terus-menerus menyerang Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berhubung tragedi Bukit Kepong selain disifatkan sebagai simpatisan komunis sedangkan Putrajaya telah menghantar 11 pelarian Islam Uighur yang mencari perlindungan pulang ke negara komunis China.

Malah Pengarah Komunikasinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, PKR secara keras mengutuk sifat hipokrit Umno-BN dan pelanggaran hak asasi manusia. 

“Ketika umat Islam sedang meraikan Hari Raya Aidilfitri dan Utusan Malaysia-milik Umno menyerang Mohamad Sabu sebagai simpatisan-komunis berikutan kenyataannya tentang insiden Bukit Kepong, kerajaan Malaysia telah menghantar 11 pelarian Islam Uighur yang mencari perlindungan pulang ke  China,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Nik Nazmi, Etnik Uighur adalah orang Islam dari wilayah Xinjiang di China, katanya sambil menambah, kerajaan Malaysia memberi alasan tindakan diambil memandangkan 11 orang itu terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia.

“Agensi Pelarian PBB (UNHCR) telah menyatakan lima lagi yang masih ditahan telah memohon status pelarian dengan UNHCR dan agensi tersebut telah meminta untuk bertemu dengan kesemua 16 pelarian Uighur tersebut.

“Tetapi permohonan UNHCR tersebut telah ditolak dan UNHCR telah melahirkan kekesalan mereka terhadap keputusan kerajaan Malaysia tersebut,” katanya.

Ujar Nik Nazmi, Human Right Watch (HRW)juga telah mengutuk tindakan kerajaan memulangkan 11 pelarian Uighur tersebut dan mendesak agar kerajaan tidak memulangkan lima orang yang masih lagi ditahan di Malaysia. “Memulangkan mereka kepada kerajaan komunis China mendedahkan mereka kepada risiko serius diseksa.

“Kerajaan China secara berterusan telah menganggap permintaan penggunaan bahasa Uighur serta mengamalkan agama Islam sebagai keganasan, pemberontakan dan penderhakaan. OIC yang turut dianggotai Malaysia telah menyeru agar China mengatasi masalah asas penindasan masyarakat Uighur,” katanya.

HRW telah mendedahkan bahawa China telah menekan negara-negara seperti Malaysia, Thailand dan Pakistan untuk memulangkan pelarian Uighur.

“Trend ini bermula di Kemboja pada 2008 ketika negara tersebut dipaksa memulangkan 20 orang Uighur yang dilindungi oleh UNHCR termasuk seorang wanita hamil dan dua anak kecil ke China.

“Di Amerika Syarikat, Perwakilan Republikan Chris Smith dan Senator Demokrat Sherrod Brown, yang mempengerusikan bersama Suruhanjaya Ekskekutif Kongres mengenai China juga telah mengutuk tindakan Malaysia terhadap pelarian Uighur tersebut,” katanya.

Katanya, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar. mendakwa bahawa pelarian Uighur itu terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia.

“Namun mengapakah mereka tidak didakwa di bawah Akta Anti Pemerdagangan Manusia tetapi dipulangkan ke China?

“Mengapakah Malaysia membenarkan campur. tangan kerajaan komunis China di dalam isu yang bukan sahaja melibatkan hak asasi manusia tetapi nasib umat Islam yang kononnya diperjuangkan Umno selama ini?” Kata Nik Nazmi sambil berkata, “malang sekali bukti terbaru kelemahan pentadbiran pimpinan Datuk Seri Najib Razak berlaku bukan sahaja ketika umat Islam sedunia sedang meraikan Hari Raya tetapi ketika rakyat Malaysia meraikan Kemerdekaan negara.”

Justeru Nik Nazmi berkata, pihaknya mendesak Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein untuk menjelaskan dengan serta-merta serta menjamin bahawa lima orang pelarian Uighur yang masih ditahan di Malaysia dilayan sebagai pelarian sah mengikut undang-undang dan amalan antarabangsa.
http://razali01.blogspot.com

Jenazah jurukamera selamat dikebumi


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama-sama menunaikan solat jenazah jurukamera BERNAMA TV, Noramfaizul Mohamad Nor di masjid pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang hari ini. Allahyarham terkorban Jumaat lalu, selepas terkena tembakan peluru sesat ketika membuat liputan misi bantuan kemanusiaan Putera Umno 1Malaysia. - Foto AP/Lai Seng Sin 


KUALA LUMPUR 4 Sept. – Jenazah jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd. Nor, 39, yang maut terkena tembakan peluru sesat semasa membuat liputan di Somalia, malam kelmarin, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, petang ini. – Utusan

Jenazah Noramfaizul disambut sebagai wira


PESAWAT Hercules C130 yang membawa jenazah jurukamera BERNAMA TV, Noramfaizul Mohd Nor, 39, bersama 54 ahli misi bantuan kemanusiaan ke Somalia selamat mendarat di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada jam 10.03 pagi tadi. - Foto Roslin Mat Tahir


SUBANG 4 Sept. - Jenazah jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd. Nor yang maut kerana terkena tembakan curi ketika membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, Somalia disambut sebagai wira negara di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini hari ini.
Jenazahnya yang tiba pada pukul 10.05 menaiki pesawat C-130 TUDM pagi tadi disambut kira-kira 500 orang terdiri daripada ahli keluarga serta rakan-rakan media yang lain.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta isteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut hadir menyambut ketibaan jenazah Noramfaizul serta kepulangan pasukan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Somalia.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman.
Turut hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim; Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Jenazah Noramfaizul juga diberikan penghormatan tertinggi apabila kerandanya diletakkan dengan bendera Jalur Gemilang sebagai tanda penghargaan terhadap keberanian serta kesungguhannya menjalankan tugas untuk negara walaupun sedar risiko yang harus dihadapinya.
Keranda janazah juga disambut oleh sepasukan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mengusungnya sehingga ke dalam van sebelum dibawa ke masjid Pangkalan Udara TUDM untuk disembahyangkan. - Utusan

‘Kembalikan tanah saya’



TUMPAT – “Sedih pakcik bila dapat tahu tanah ini sudah bertukar milik nama orang lain, sedangkan selama ini pakcik yang bersusah payah membanting tulang empat kerat selama 46 tahun bangunkan tanah kerajaan ini,” keluh seorang petani, Alam Isa, 56, dari kampung Kok Bedullah, di sini.

Alam atau lebih dikenali Pak Ngah Him mendakwa, permohonan untuk mendapatkan hak milik tanah itu atas namanya gagal gara-gara surat-menyurat urusan tanah berkenaan yang dihantar oleh Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat lewat sampai kepadanya.

“Memang surat daripada Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat itu membawa khabar yang menggembirakan kerana permohonan pakcik sejak tahun 2007 diluluskan, tetapi sayang sekali ia sampai lewat.

“Pakcik percaya ia angkara khianat saudara pakcik sendiri yang mahukan tanah itu, dia sembunyikan surat tersebut dan selepas tiga bulan dari tarikh surat itu baru surat itu dihantar ke rumah pakcik,” katanya.

Menurutnya, tidak puas hati dengan kelewatan surat yang diterimanya itu, dia ke Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat untuk membuat rayuan memohon tanah itu semula.

“Tunggu punya tunggu tiada jawapan dan akhirnya penantian pakcik itu terjawab juga apabila seminggu sebelum raya, ada batu tanda sempadan di tanah yang diusahakan pakcik ini selama 46 tahun dengan tanaman kelapa dan kawasan tanah ragut lembu.

“Susah hati betul pakcik bila nampak batu tanda sempadan itu, pakcik terus bergegas ke Pejabat Tanah Jajahan Tumpat. Terkejut pakcik apabila tanah itu sudah bertukar milik atas nama saudara pakcik,” katanya.

Pak Ngah Him berkata, adalah tidak adil sekira saudaranya yang mendapat tanah itu sedangkan selama ini dia tidak pernah pun mengusahakan tanah kerajaan itu.

“Pakcik usahakan tanah ini sejak umur 10 tahun lagi, mengikut arwah ayah membuka tanah hutan milik kerajaan ini yang diusahakan oleh adik beradik arwah ayah pakcik seramai tiga orang di atas tanah seluas 0.8 hektar.

“Dua adik beradik arwah ayah sudah mendapat hak milik tanah itu, cuma pakcik seorang saja lagi dalam proses permohonan dan agak malang apabila usaha pakcik mendapatkan hak milik tanah ini seluas 600 depa untuk bahagian pakcik tiba-tiba orang lain pula yang dapat,” katanya.

Menurutnya, dia merayu kepada Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat agar permohonan untuk mendapatkan tanah ini disemak semula.

“Bila jadi macam ini, pakcik tak tau nak letak lembu pakcik di mana, hanya ini saja tanah pakcik ada. Lembu pula banyak, lapan ekor, nak lepas merata-merata, nanti hilang pula,” katanya yang turut dibina kandang lembu dan bangsal berteduh di atas tanah berkenaan.

Komik pesong akidah ditemui



KUALA KRAI - Orang ramai terutama ibu bapa diingatkan agar berwaspada terhadap usaha pihak tertentu cuba menyebarkan dakwah Kristian secara halus di daerah ini.

Bendahari Masjid Tengku Muhammad Faris Petra, Mohd Rosli Hussain berkata, cubaan memesongkan akidah umat Islam itu dikesan melalui penyebaran komik bertajuk ‘Kisah Paling Menarik Yang Pernah Diceritakan’ dalam bahasa Indonesia.

Menurutnya, cara itu amat berbahaya terhadap pegangan umat Islam terutama kanak-kanak kerana kandungan komik dipetik dari beberapa bab dalam ‘Bible’ seperti Matius; Lukas; Yohanes dan Markus.

“Saya percaya dakwah ditujukan khusus kepada kanak-kanak menerusi penyebaran komik berwarna bagi menarik perhatian mereka manakala kandungannya diolah melalui kisah seorang bapa bercerita kepada dua anaknya.

“Jika tidak berwaspada, saya khuatir kanak-kanak Islam yang membaca komik ini terpengaruh dengan isi kandungannya sedangkan ia jelas bertentangan dengan ajaran Islam sebenar,” katanya.

Komik setebal 30 muka surat itu diterbitkan Bibles International of Canada manakala terbitan pertama di Indonesia pada 1996 dan terbitan kedua pada 1998.

Mohd Rosli berkata, puluhan komik sama ditemui seorang anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai di kaunter dalam bilik mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah bank di bandar ini, Rabu lalu.

“Kebetulan anggota polis terbabit datang berhari raya di rumah saya dan menyerahkan dua naskhah komik ini manakala selebihnya dimusnahkan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Rosli menggesa pihak berkuasa berkenaan agar memantau perbuatan pihak terbabit yang dilihat bertindak berani apabila cuba menyebarkan dakwah Kristian secara terbuka.

Menurutnya, orang Islam yang terjumpa komik itu dinasihatkan agar memusnahkannya bagi menangani usaha penyebaran agama lain dan mempertahankan akidah mereka.

“Ini soal akidah dan apabila ada pihak yang cuba menggugat kesucian Islam, kita wajib mempertahankan agama suci ini lebih dari segala-galanya.

“Kalau komik ini diletakkan di gereja, tidak ada masalah kerana itu rumah ibadat mereka tetapi bila disebarkan di tempat awam, perbuatan ini kita tak boleh terima,” katanya.

Umat Islam di negara ini baru-baru ini dikejutkan dengan gerakan sebuah gereja di Damansara Utama yang didakwa cuba memurtadkan orang Islam dan tindakan sebuah pusat tuisyen di Jalan Klang Lama yang mengajar lagu-lagu berunsur Kristian kepada murid Islam.

Nafi salah guna wang






RANTAU PANJANG - Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu (gambar) menafikan dakwaan beliau menyalahgunakan wang Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) bagi melunaskan bil rawatan akibat cedera semasa menyertai Perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Julai lalu.

Sambil menyelar tindakan Pemuda Umno yang membuat dakwaan tersebut, pemimpin nombor dua Pas itu berkata, kos rawatan beliau di Hospital Pakar KPJ Selangor berjumlah RM8,000 lebih termasuk kos konsultan sebanyak RM3,000.

“Tetapi entah macam mana dapat dekat Pemuda Umno, kos pembedahan RM5,000, RM3,000 (lagi) Mat Sabu curi. Sebenarnya RM3,000 adalah kos konsultan pakar,” katanya semasa menyampaikan ceramah di pekarangan Pusat Tarbiah Parlimen Rantau Panjang, kelmarin.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Umno, Reezal Merican Naina Merican mendedahkan salinan memorandum pembayaran bertarikh 3 Ogos 2011 yang dirujuk sebagai ‘bayaran balik perbelanjaan perubatan ahli lembaga pengarah (PBAPP), Tuan Haji Mohamad Sabu’.

Bayaran balik diluluskan itu bernilai RM8,434.05 iaitu terdiri daripada bayaran RM5,060.55 bagi perbelanjaan perubatan dan RM3,373.50 bagi kos bayaran perunding pembedahan dan persoalan timbul apabila bil Hospital Pakar KPJ Selangor yang dikepilkan bersama hanya berjumlah RM5,060.54.

“Ancaman” Kritianisasi – apa peranan Mais dan LZS?



Hampir semua agama mengajar penganutnya untuk membuat baik terhadap golongan miskin dan yang kesempitan. Samada ianya agama Buddha, Kristian, Hindu, Taoist ataupun Islam, soal membantu golongan miskin adalah dianggap amalan baikdipercayai akan mendapat balasan kebaikan dari Tuhan.

Walaupun sebagai orang Islam kita yakin bahawa hanya Islam diterima Allah sebagai agama yang menyembahNya tanpa sekutu, namun ini tidak bermakna bahawa kita perlu melihat semua ugama lain sebagai mengajar kejahatan dan kezaliman terhadap manusia.

Beza utama diantara Islam dengan agama yang lain bukan soal amalan kebajikan yang digalakkan oleh semua ugama, tetapi pegangan terhadap ke-Esaan Allah yang tidak ada persamaan dengan agama lain serta keyakinan bahawa Muhammad (SAW) adalah RasulNya.
Sebagai orang Islam, kita tidak juga diajar untuk mempunyai buruk sangka terhadap amalan kebajikan yang dilakukan oleh penganut ugama lain. Mereka ingin mengamalkan agama mereka dan tidak semestinya ianya dilakukan dengan niat yang jahat terhadap umat Islam.

Sekiranya mereka membantu seorang Muslim, tidak semestinya ianya bertujuan untuk memurtadkan orang Islam tersebut. Ini adalah lebih benar dalam keadaan sekarang, ia itu zaman pasca penjajah.

Semasa zaman penjajahan sememangnya pihak penjajah berusaha seribu upaya untuk memutuskan hubungan umat Islam dengan ajaran Islam. Ini adalah kerana ajaran Islam merupakan asas penentangan terhadap penjajah dan sekutu-sekutu tempatan mereka di bumi Islam.
Dalam melakukan kerja-kerja kebajikan, sekiranya seseorang Islam terpikat dengan kebaikan serta akhlak seorang bukan Islam, dan dengan itu tertarik untuk menganut ugamanya, ianya bukan salah orang bukan Islam tersebut.

Ianya salah umat Islam sendiri yang gagal menunjukkan sifat-sifat baik sehingga saudara seislam mereka menjumpainya hanya di kalangan bukan Islam! Kita tidak boleh persalahkan yang bukan Islam kerana menghayati dan mengamalkan ajaran agamanya sedangkan kita sendiri tidak menunjukkan akhlak yang sepertimana yang dituntut Islam.

Adakah apabila kita tidak menghayati Islam maka semua penganut agama lain ingin kita halang dari mengamalkan ajaran agama mereka?

Kristisasi dan masalah sebenar
Isu orang Kristian ingin memurtadkan orang Islam telah banyak dimainkan dalam media. Samada ianya benar atau sebaliknya masih tidak lagi dibuktikan tetapi yang jelas terbukti punca ‘perginya orang Islam ke Gereja’ adalah atas sebab kelembapan dan kelewatan perkhidmatan zakat serta ketidak-mesraan perkhidmatannya. Ini katanya, telah menyebabkan beberapa orang Islam meminta dan memperolehi bantuan dari pihak Gereja setelah ditolak oleh pihak LZS.
Sudah pasti kesimpulan sebegini merungsingkan golongan yang menimbulkan isu ini, kerana apa yang mereka inginkan ialah untuk mengapi-apikan bahang perkauman dan mengadu-dombakan agama, bukan mendedahkan pekong di dada umat Islam! Akhirnya senjata mereka makan tuan!

Pihak Gereja hanya membantu orang yang datang meminta bantuan, sepertimana dituntut oleh ajaran agama mereka, tetapi ini hanya berlaku apabila umat Islam telah gagal mendapatkan bantuan dari pihak yang berwajib di kalangan umat Islam iaitu Lembaga Zakat Selangor bawah kawalan MAIS.
Sepatutnya orang Islam di Selangor tidak berhadapan dengan masalah untuk mendapatkan bantuan. Zakat yang dikutip mencecah RM 300 Juta setahun. Jumlahnya cukup besar dan ianya semakin meningkat. Masalahnya pengagihannya seolah-olah tidak secekap pengutipannya.

Semenjak 2008 apabila naiknya kerajaan PR di Selangor, MAIS tetap dikendalikan orang-orang lama. Oleh itu, tidak khairanlah mengapa kecekapan kerajaan baru seolah-olah tidak mempunyai apa-apa kesan ke atas pentadbiran dan pengurusan MAIS.

Lembaga Zakat Selangor yang dikawal oleh MAIS tetap ditahap yang sama. Malahan, baru baru ini dengan pindaan Enakmen yang dibawa, MAIS menjadi semakin bebas dari kawalan kerajaan Negeri. Ini hanya menjamin bahawa ia tidak akan terkesan dengan dasar ketelusan dan kecekapan mewarnai pentadbiran PR. Ini amat sayang sekali kerana kedua-dua prinsip pengurusan tersebut dituntut Islam.

Mainan Mais?
Pengamatan saya, MAIS, di bawah Datuk Adzib kekal sebagai pusat pengaruh kelompok lama, ia itu UMNO dan dengan itu mempengaruhi JAIS, yang dianggap sebagai Jabatan suruhannya, untuk bertindak demi kepentingan UMNO.

Kenyataan Datuk Adzib baru-baru ini yang mengaitkan JAIS dan MAIS serta DYMM Sultan Selangor sebagai institusi-institusi yang berangkai satu sama lain dan tidak ada kena mengena dengan pentadbiran Negeri Selangor, jelas memperlihatkan sikap ingin membelakangkan kerajaan Negeri.

Datuk Adzib melalui kenyataan itu bagaikan mengambarkan dirinya sebagai ‘bayangan DYMM Sultan Selangor’ dan sebagai bayangan Sultan, tindakan beliau dan tindakan MAIS serta JAIS tidak boleh dipersoalkan.
Sehingga hari ini JAIS masih gagal mengemukakan laporan kepada Menteri Besar dan dengar khabarnya tidak dapat menamakan siapakah membuat aduan kepadanya mengenai peristiwa kristianisasi kononnya akan berlaku di DUMC yang membawa JAIS untuk ‘memeriksa’ DUMC pada 3hb Ogos yang lalu.
Namun, walau apa yang diinginkan pada asalnya melalui isu serbuan Gereja DUMC, tumpuan semua sekarang adalah terhadap MAIS, khususnya Lembaga Zakat Selangor yang dianggap telah gagal memenuhi peranannya secara berkesan.

Tiada yang mengesahkan ketidak keberkesanan LZS sejelas tindakan Exco Ugama, Dato’ Dr. Hassan Ali, apabila beliau tampil ke depan untuk menawarkan khidmat khas bagi membantu golongan yang ‘diambang Kristianisasi’.

Ini mengesahkan perlunya campur tangan EXCO agama untuk membenteng akidah orang Islam daripada meminta bantuan atau dibantu oleh pihak gereja. Akan tetapi hanya untuk kes melibatkan mereka yang menerima atau ingin menerima bantuan dari Gereja!


Penyelesaian dari pemikiran bercelaru
Malangnya, tanpa disedari, tawaran Exco Agama boleh menyebabkan lebih ramai orang Islam memohon bantuan dari Gereja atau mengugut untuk ke Gereja demi melayakkan diri mendapat perkhidmatan Zakat secara segera! Dalam erti kata yang lain ‘terima kasih Gereja kerana menjadikan LZS semakin cekap!’
Sebenarnya apa yang patut dilakukan Exco Agama adalah untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan LZS secara menyeluruh tanpa dikaitkan dengan persoalan Gereja. Umat Islam tidak akan ke Gereja sekiranya perkhidmatan LZS cekap, berkesan dan mesra.

Ini akan tercapai apabila semua pegawai LZS, termasuk pengarah dan pengurusannya, disedarkan akan amanah yang besar yang ditanggung oleh mereka. Peningkatan kecekapan dan keberkesanan akan hanya tercapai dengan membawa MAIS mendampingi corak pengurusan PR dan bukan sebaliknya.

Ini akan hanya berlaku apabila anggota MAIS dirombak sehingga tidak lagi dijadikan kubu kelompok lama. Perlu dimasukkan muka-muka baru, ia itu muka-muka dari kalangan PR yang membawa falsafah ketelusan dan kecekapan serta kebertanggungjawaban.
Pada masa yang sama kekurangan yang wujud seperti kurangnya pusat rawatan penyakit Aids dan HIV yang dikendalikan oleh institusi Islam seperti MAIS, perlu ditangani. Adalah difahamkan NGO Harapan Kommuniti yang menganjurkan program makan malam di dewan DUMC pada malam tersebut merupakan NGO yang memberi sokongan material dan moral kepada mangsa dan keluarga HIV-AIDS.

Ramai dari pesakit mereka adalah dari kalangan orang Melayu Islam. Mangsa HIV- AIDS yang sebahagian besar daripada mereka berbangsa Melayu dan beragama Islam mendapat sokongan rawatan dari mereka kerana tiada atau kurangnya NGO atau pusat sokongan atau rawatam sebegini yang diuruskan orang Islam.

Ramai di antara sukarelawan NGO-NGO sebegini bukan dari kalangan orang Islam. Mangsa HIV-AIDS sering dipinggirkan oleh masyarakat dan juga tidak diberi perhatian serius oleh MAIS. Janganlah kita bersikap hipokrit dengan menolak pesakit-pesakit ini sebagai ‘sampah masyarakat’ tetapi apabila pihak lain membantu mereka dan dengan itu mereka terpikat dengan kasih sayang yang ditunjukkan.

Maka, kita menuduh pihak ini sebagai berniat jahat terhadap umat Islam! Sebaliknya perlu kita sediakan perkhidmatan yang diperlukan sambil berterima kasih atas bantuan yang telah diberikan selama ini.



Agenda tersembunyi
Setelah satu bulan berlalu, kita masih tidak dapat melihat penyelesaian isu ini. MAIS berdiam diri dan tidak mengemukakan langkah MAIS seterusnya untuk menghadapi ‘ancaman’ Kristiniasasi ini. Selepas episod ‘pemeriksaan’ DUMC akhbar Melayu perdana termasuk Sinar (yang selama ini boleh dianggap salah satu akhbar yang agak objektif) telah memainkan isu Kristiniasasi yang mengancam akidah umat Islam sehinggakan menimbulkan ketegangan dan marah penganut Kristian dan Islam.

Orang politik anti Pakatan pula cuba menggambarkan yang Kerajaan Negeri Selangor dibawah Pakatan Rakyat tidak mahu menyebelahi JAIS kerana takut hilang undi Kristian dan bukan Melayu dan kononnya kerana takut kepada DAP.

UMNO tidak bersuara secara langsung tetapi NGO-NGO pro UMNO sibuk untuk menunjukkan bantahan terhadap kerajaan negeri. Semuanya menunjukkan keperihatinan terhadap ancaman akidah dan memberi gambaran orang Melayu Islam sedang berbondong-bondong akan murtad.

Agenda pihak tertentu jelas untuk mengadu-domba umat Islam dengan Kristian sambil memberikan gambaran bahawa DAP adalah parti Kristian. Dengan itu mereka mengharapkan umat Islam akan bersatu menolak PR dan menyokong UMNO/BN dalam PRU ke 13 yang menjelang tiba.
Maka tidak khairanlah bantuan dari Gereja disifatkan sebagai ‘perangkap’ dan ancaman terbesar terhadap akidah umat Islam adalah Kristianisasi. Gendang dipalu mengikut apa yang diinginkan UMNO/BN. Hakikatnya, sekiranya ianya ‘perangkap’ sekalipun, maka LZS adalah pihak yang mendorong umat Islam memasukinya atas sebab ketidak-kecekapannya. Hakikat ini diakui oleh Exco Agama sendiri melalui tindakannya.
Pada masa yang sama, adalah merupakan satu hakikat juga bahawa lebih ramai dikalangan umat Islam diancam penyakit kejahilan dan ketidak-taatan kepada ajaran Islam serta fahaman sekular dan perkauman yang turut boleh menyebabkan gugurnya syahadah mereka.

Ancaman terhadap ummat Islam hasil dari fahaman-fahaman ini yang diperjuangkan UMNO/BN adalah lebih dahsyat dan lebih merbahaya kerana ianya boleh menyebabkan umat Islam memperlekehkan undang-undang Islam. Ini boleh membawa kepada kekufuran tanpa disedari.
KESIMPULAN.
Sebagai rakyat Malaysia kita ingin melihat rakyat bersatu atas dasar saling hormat menghormati hak masing-masing. Kita ingin melihat wujudnya masyarakat yang bersifat saling berkasih sayang di mana semua pihak saling membantu satu sama lain dengan ikhlas tanpa mengira kaum ataupun agama. Sifat saling bantu membantu perlu digalakkan bukan dihalang.

Dari segi keikhlasan bantuan dan samada adanya udang disebalik batu, kita serahkan kepada Allah untuk menzahirkan. Sekiranya ianya wujud, di mana bantuan hanya diberi atas syarat meninggalkan ugama sendiri, maka Allah pasti akan dedahkannya. Dengan itu pihak yang mengambil kesempatan dan mengamalkan rasuah agama ini boleh didakwa dan dihukum selayaknya.
Selagimana tiada bukti akan kelakuan sedemikian rupa, maka apa jua bantuan terhadap golongan miskin walau dari mana golongan sekalipun, amat sangat dihargai.
“Dan sekiranya mereka cenderung kepada perdamaian, maka cenderunglah kamu juga kepadanya dan bertawakkal kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.” (Al-Anfal 61).

Dipetik daripada blog Dr Siti Mariah Mahmud

Kisah srikandi pengawal kampung




SEMASA zaman mudanya, Azizah mengawal kampungnya dengan senapang di tangan.


HARI Kemerdekaan yang baru tiba menggamit memori dua wanita warga emas bekas anggota Home Guard di Kampung Manjor, Kuala Krai, Kelantan.
Sementara tugas sebagai suri rumah tidak diabaikan, mereka masih sempat mengangkat senapang Lee enfield .303 rifle demi mempertahankan kesejahteraan kampung daripada ancaman komunis.
Home Guard atau pengawal kampung ialah pasukan di peringkat kampung yang ditubuhkan kerajaanbagi mengekang pengaruh komunis semasa era Darurat yang bermula dari tahun 1948 hingga 1960. Ia melibatkan pengawal lelaki dan wanita.
Daripada 12 orang anggota Home Guard wanita di Kampung Manjor, hanya dua orang kini yang masihhidup iaitu Azizah Musa, 71, dan Sofiah Yusof, 70.
Azizah memberitahu, Home Guard wanita biasanya melakukan kawalan dan rondaan di sekitar kampung pada waktusiang khususnya semasa kaumlelaki pergi bekerja atau menunaikan solat Jumaat di masjid.Home Guard lelaki selalunya berkawal pada waktu malam.
“Tetapi adakalanya kami perlu berjaga malam juga terutamanya jikasuami tiada di rumah disebabkanada urusan.
“Saya teringat bagaimana saya berkawal sampai tertidur dengan senapang di atas tangga depan rumah.
“Sebagai ahli Home Guard kita kena pantas bertindak. Itu yang kadang-kadang perlu bersedia dengan senapang di depan rumah,” kata Azizah kepada Jurnal.

SOFIAH mahu generasi muda kini menghargai kemerdekaan negara yang dicapai dengan susah payah orang terdahulu.


Azizah turut menunjukkan kad anggota Home Guard yang masih disimpannya yang bertarikh 29 Jun 1953.
Jelas Azizah, Home Guard wanita di kampungnya dipilih oleh penghulu kampung dalam kalangan isteri kepada Home Guard lelaki.
“Semasa mula-mula diberikan senapang untuk dicuba, saya tiada sedikit pun rasa takut, bahkanbersemangatuntuk menyelamatkan kampung daripada komunis,” katanya.
Sementara itu, Sofiah berkata, Home Guard wanita di kampungnya dilatih menggunakan senapang oleh pihak polis di Padang Tembak, Kota Bharu.
“Setiap kali mendengar tembakan menghampiri kampung, sayaamat cemas. Saya akan segera mengambil senapang manakaladua orang anak saya masuk ke dalam lubang persembunyian di dalam rumah.
“Tetapi komunis tidak pernah memasuki kampung kami. Saya pernah mendengar cerita, komunis yang ingin menyerah diri lebih rela menyerah di kampung lain kerana takut dengan Home Guard wanita di kampung ini,” ujarnya yang mendakwa Kampung Manjor sahaja yang mempunyai Home Guard wanita di Malaysia.
Sofiah sempat berpesan kepada generasi muda hari ini agar mensyukuri keamanan yang diperoleh kini.
“Hargailah keamanan dan kesenangan yang dinikmati sekarang kerana betapa sukarnya hidup dalam belenggu ketakutan dan kesusahan sebelum negara mencapai kemerdekaan,” ujarnya.
-kosmo

Anti Komunis, Tetapi Berasmara dengan Parti Komunis China

ustaz idris ahmad
Umno telah mengadakan MoU dengan Parti Komunis Cina pada 5 ogos 2011. Malahan ada usaha untuk menghantar Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno untuk mempelajari daripada Parti Komunis Cina.
Sekiranya MoU ini dibuat oleh Parti Islam Semalaysia (PAS) atau Dap atau PKR, maka sudah tentu sebelum turun daripada kapalterbang akan disumbat ke Kemunting.
Apakah Komunis Cina, berbeza dengan komunis Malaya? Bukankah Parti Komunis Malaya bernaung di bawah Parti Komunis China? Komunis,  ideologinya tetap sama tidak kira di mana tempat. Kenapa umno hipokrit?  Jika benar anti komunis kenapa menghantar pulang 11 pejuang Uighurs ke China, walaupun dibantah oleh Suruhjaya Tinggi PBB bagi Orang Pelarian d Kuala Lumpur. Sedangkan mereka ini menentang kerajaan komunis China kerana menceroboh wilayah mereka d Xinjiang Julai 2009.
Inilah sikap hipokrit umno dalam apa jua isu. Isu Palestin umno tunjuk hero, tetapi dalam masa yang sama, Apco Yahudi dibayar RM77 juta setahun.
Umno melalui bantuan media mereka yang tidak ada etika kewartawanan dan tidak takut dosa dan pahala dengan sewenang-wenangnya menuduh Pas menyokong komunis. Orang pekak dan buta pun tersenyum  apabila umno menuduh Pas sokong komunis. Tidak ada rekod Pas berbaik dengan komunis. Sedangkan umno menjemput Parti Komunis China menghadiri Persidangan Agung Umno dan yang terbaru mengadakan MoU dengan Parti Komunis China. Pemimpin umno juga pernah ditangkap menjadi agen komunis di negara ini. Walaupun pemimpin umno pernah menuduh Pas lebih merbahaya daripada komunis. Namun kerja-kerja untuk berasmara dana dengan komunis tidak pernah dilakukan oleh Pas.
Ucapan Tuan Haji Mohd Sabu hanya untuk menutup tahap kepuasan hati terhadap Najib merudum kepada 59 peratus, daftar pemilih SPR yang kotor, kenaikan harga barang keperluan harian.
http://idrisahmad.wordpress.com

21 penumpang pesawat tentera udara Chile disahkan terbunuh

SANTIAGO: Kesemua 21 penumpang pesawat tentera udara Chile yang terhempas di lautan Pasifik ketika dalam perjalanan ke kepulauan Juan Fernandez disahkan terbunuh serta merta, menurut menteri pertahanan negara itu,Andres Allamand.

"Berdasarkan pemerhatian dan usaha mencari, kami membuat kesimpulan kesan daripada kejadian itu menyebabkan kematian serta merta ke atas semua yang berada di dalam pesawat berkenaan," katanya di sini, Sabtu (waktu tempatan).
Setakat ini, hanya empat mayat ditemui. - AFP

Pelacur Jerman kena tiket 'parkir'





2011/09/04

MESIN umpama meter letak kereta ini mengeluarkan tiket bagi pelacur sebelum memulakan kerja di Bonn.
MESIN umpama meter letak kereta ini mengeluarkan tiket bagi pelacur sebelum memulakan kerja di Bonn.
Kota Bonn perkenal caj semalam ke atas pekerja seks untuk mudah kutip cukai 

BERLIN: Pelacur di bandar raya Bonn diwajibkan membeli tiket daripada sebuah mesin yang serupa seperti meter meletak kenderaan ketika mencari pelanggan di jalanan atau dikenakan denda berat pihak berkuasa mengikut rancangan mengenakan cukai baru ke atas mereka yang dilancarkan awal minggu ini.
Di Jerman, pelacur dikehendaki membayar cukai dan kadarnya berbeza mengikut kawasan menyebabkan ia sukar dilaksanakan sebelum ini.
Oleh itu, Jerman menyelesaikan masalah itu dengan memperkenal meter cukai seks pertama yang membolehkan pelacur membeli tiket pada harga AS$8.72 (RM25.80) untuk satu malam bertujuan memastikan sistem cukai dilaksanakan secara adil, kata jurucakap bandar raya itu. 

“Inspektor akan mengawasi pematuhan kepada peraturan itu, bukan setiap petang tetapi kerap,” katanya kepada agensi berita. 

Pelacur akan membeli tiket sebelum memulakan kerja mereka. Jika ditangkap tidak mempunyai tiket sah, pesalah akan diberi peringatan dulu, kemudian didenda dan akhirnya dilarang melacur. 

Kira-kira 200 pelacur bekerja di Bonn dan 20 dapat dilihat di jalanan pada setiap malam. Pelacuran cuma dibenarkan di Bonn antara jam 8.15 malam hingga 6 pagi waktu tempatan. 
Disebabkan bantahan daripada penduduk, pegawai bandar raya itu mengehadkan ‘kawasan operasi’ kepada bahagian atau kawasan tertentu saja. 

Bandar raya itu membina garaj meletak kenderaan kayu yang digelar pegawai sebagai ‘kawasan perhubungan’ bagi membolehkan pelanggan yang memandu kereta bersendirian dengan pelacur. 

Pada masa sama, ada pihak lain pula berpendapat rancangan itu akan memberi kesan positif meningkatkan pelacuran. 

“Memang sistem itu sesuatu yang baik. Jika mengambil kira keadaan normal, kita boleh lihat percukaian akan mengurangkan perkhidmatan. 

“Namun, ada kemungkinan bahawa meter seks itu akan meningkatkan pelacuran apabila semakin ramai biasa dengan sistem itu,” tulis Ryan Avent dalam Economist. 

Sistem itu, yang berkuat kuasa awal minggu ini, dijangka mengutip kira-kira AS$285,000 (RM826,000) setahun. 

Bagaimanapun, ada juga pelacur yang tidak puas hati dengan pelancaran sistem itu. Juanita Rosina Henning dari kumpulan penyokong pelacur, Dona Carmen, berkata kewujudan meter itu akan menaikkan cukai dua kali ganda kerana pelacur sudah pun membayar cukai pendapatan. 

Bonn mewujudkan meter itu sebagai langkah mewujudkan keadilan yang meletakkan pejalan kaki sama dengan pelacur dalam aspek pembangunan. 

Henning, bagaimanapun berkata: “Perkara itu tiada kena mengena dengan soal keadilan kewangan.” – Agensi 

Lelaki kedua terpendek Duta Pelancongan Nepal



Oleh Syed Azwan Syed Ali
syedazwan@bharian.com.my
2011/09/04

KHAGENDRA bersama wartawan Berita Minggu pada majlis makan malam sempena promosi Tahun Melawat Nepal 2011 di Kuala Lumpur, kelmarin.
KHAGENDRA bersama wartawan Berita Minggu pada majlis makan malam sempena promosi Tahun Melawat Nepal 2011 di Kuala Lumpur, kelmarin.
Gelagat Khagendra setinggi 67sm ibarat budak riang 

KUALA LUMPUR: Berat badannya cuma sekitar sekampit beras 5 kilogram (kg), suaranya pula halus seperti kanak-kanak kecil baru pandai bertutur, manakala gelagatnya ibarat kanak-kanak riang yang pasti mencuit hati sesiapa saja kali pertama bertemu lelaki kedua terpendek dunia dari Nepal, Khagendra Thapa Magar.
Dengan ketinggian 67 sentimeter (sm) dan berat 5.5kg, Khagendra, 19, juga dikenali ‘Buddha kecil’ di kalangan penduduk kampungnya di Daerah Baglung, Nepal.
Kali pertama bertemu Khagendra yang juga Duta Pelancongan Nepal bagi Kempen Tahun Melawat Nepal 2011, penulis mendapati lelaki kenit itu mempunyai perwatakan menarik selain tidak lokek dengan senyuman. 

Misalnya ketika ditanya, apakah makanan Malaysia digemarinya sejak pertama kali menjejakkan kaki ke negara ini pada 17 Ogos lalu, Khagendra hanya membuat isyarat tangan seperti memotong roti merujuk roti canai yang disukainya sebelum ketawa halus. 

“Saya suka semuanya mengenai Malaysia, dannebat (terima kasih)” katanya dalam bahasa Nepal sambil diterjemahkan bapa angkatnya, Min Bahadur Rana yang juga Pengerusi Yayasan Khagendra Thapa Magar ketika ditemui Berita Minggu selepas majlis makan malam mempromosikan Tahun Melawat Nepal 2011 di sini, kelmarin. 

Khagendra, anak kepada pasangan Rup Bahadur dan Dhana Maya Thapa Magar, dalam misi mempromosikan Nepal yang terkenal dengan Banjaran Himalaya dan juga negara asal kelahiran Buddha. 
Selain Malaysia, Khagendra sebelum ini mengadakan promosi pelancongan di Itali, United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Hong Kong dan Korea Selatan. 
Khagendra berkata beliau sudah biasa dengan perhatian sejak kecil, malah dia ditemani adik lelakinya, Ramesh Thapa, 15, setiap kali keluar rumah atau ke sekolah. 

“Semua orang suka bergambar dengan saya, mereka juga suka mendukung saya, tetapi apa boleh buat saya seperti bintang filem,” katanya yang segak berkot dan topi nepal yang menjadi identitinya. 

Ditanya apakah aktiviti kegemarannya waktu lapang, Khagendra berkata dia suka menonton televisyen dan bermain bola menyebabkan penulis ketawa sebelum Khagendra menyampuk, “saya juga mempunyai bola, tapi bola lebih kecil.” 

Isteri, keluarga reda





2011/09/04

NORAZRINA bersama dua anaknya di Taman Serdang Raya, Kuala Lumpur, semalam.
NORAZRINA bersama dua anaknya di Taman Serdang Raya, Kuala Lumpur, semalam.
Allahyarham sempat sedia kelengkapan raya anak 

KUALA LUMPUR: “Ini yang Allah tetapkan.. Dia yang beri, Dia yang ambil dan Dia juga yang akan memelihara saya dan anak untuk teruskan kehidupan,” kata Norazrina Jaafar, 37, yang reda dengan pemergian suaminya yang juga jurukamera BERNAMA TV, Noramfaizul Mohd Nor, 40, yang meninggal dunia di Somalia, kelmarin.
Ibu kepada dua anak itu mulanya kelihatan tabah dan cuba menyembunyikan kesedihannya, namun gagal berbuat demikian apabila air matanya bercucuran ketika ditanya mengenai sifat Allahyarham Faizul sebagai seorang suami dan seorang bapa ketika hayatnya.
“Sebagai orang media Allahyarham memang sibuk dan dalam kesuntukan masa itu, dia cuba meluangkan masa bersama keluarga, terutama anak,” katanya ketika ditemubual di rumah keluarga arwah di Taman Serdang Raya yang dibanjiri sanak saudara, kenalan dan wakil media sejak awal pagi, semalam. 

Katanya, arwah seorang bapa yang penyayang dan amat menghormati ibu bapanya, Naemah Abdul Majid, 63 dan Mohd Nor Mat Yasin, 66, selain keluarga mentua. 

Allahyarham juga sempat memberikan kelengkapan raya berupa sepasang kasut untuk kedua-dua anak lelakinya sebelum berlepas ke Mogadishu pada 28 Ogos lalu. 

Hasil perkongsian hidup dengan Norazrina yang juga pegawai perhubungan awam di sebuah agensi kerajaan, mereka dikurniakan dua anak, iaitu Mohd Irfan, 8, dan Mohd Naufal, 3. 
Kedua-dua anaknya juga nampak tabah, terutama Irfan yang kelihatan mendiamkan diri dengan mata kemerah-merahan di sebelah Norazrina yang ditemubual lebih 10 wakil media. 

Norazrina berkata, suaminya tidak menunjukkan tanda pelik sebelum berlepas ke Somalia, malah beliau berkelakuan seperti biasa selain sempat berpesan kepadanya melalui telefon supaya menjaga diri dan anak dengan baik. 

Sementara itu, ibu arwah, Naemah ketika ditemui berkata, sambal ikan bilis dan kemeja-T berwarna kelabu yang dipakai anak sulungnya ketika menziarahi keluarganya sebelum berlepas ke Somalia beberapa hari sebelum Syawal menjadi kenangan terakhir buat mereka. 

“Meskipun sedih dan terkilan dengan pemergiannya, kami sekeluarga reda dengan ketentuan takdir, walaupun jarang berjumpa kerana kesibukan kerjanya. 

“Walaupun kesuntukan masa, Ijoy (panggilan manja arwah) sempat mengirimkan sejumlah duit raya buat ibu bapanya dan ahli keluarga serta membeli kasut raya di pusat beli-belah, The Mines untuk kedua-dua anaknya,” katanya sebak. 

Presiden Somalia ucap takziah, janji siasat





2011/09/04

Sheikh Sharif Sheikh Ahmed
Sheikh Sharif Sheikh Ahmed
Kawalan ketat pihak keselamatan ke lapangan terbang

PUTRAJAYA: Presiden Somalia, Sheikh Sharif Sheikh Ahmed menghubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menyampaikan ucapan takziah dan kesal dengan kejadian menimpa Noramfaizul Mohd Nor, 40, jurukamera BERNAMA TV yang terbunuh terkena tembakan curi ketika membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, kelmarin.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata Menteri Keselamatan Dalam Negeri Somalia, Abdisamad Maallin Mohamud pula memberi jaminan pihak berkuasa negara itu akan menjalankan siasatan terperinci mengenai kejadian itu yang turut mencederakan jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan, 27.
Beliau berkata, persediaan sedang dibuat untuk membawa pulang jenazah Allahyarham dan semua anggota misi kemanusiaan berkenaan menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dijangka tiba di Kuala Lumpur pagi ini. 

“Pihak keselamatan Somalia akan memberikan kawalan ketat bagi perjalanan misi ini ke lapangan terbang,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Akhbar semalam melaporkan Normafaizul maut, manakala Aji Saregar cedera selepas terkena tembakan curi penyerang tidak dikenali ketika pulang daripada membuat liputan misi bantuan kemanusiaan ke Somalia, kira-kira jam 5.40 petang waktu tempatan (10.30 malam waktu Malaysia).

Sementara itu, BERNAMA dalam laporan dari Mogadishu, melaporkan Abdisamad memberi jaminan dalang di sebalik kejadian itu akan dicari dan dihadapkan ke mahkamah, selain turut memohon maaf dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan seluruh warga Malaysia. 
“Ini (tembakan) bukan daripada kerajaan... bukan daripada Al-Shabaab (pihak berkuasa). Ia tembakan pasukan lain dan kita akan menyiasat kenapa ini berlaku dan kenapa (rakyat Malaysia) diserang,” kata Abdisamad. 

Sementara itu, ketua misi berkenaan, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, berkata kemalangan yang meragut nyawa Noramfaizul sukar diterima rakyat Malaysia, sekali gus menuntut siasatan menyeluruh serta penjelasan daripada kerajaan Somalia berhubung kejadian itu. 

38 wartawan terbunuh di Somalia sejak 1992


KUALA LUMPUR 4 Sept. - Sebanyak 38 wartawan asing termasuk seorang pekerja media dilaporkan terbunuh ketika membuat liputan krisis di Somalia sejak 1992.
Angka itu berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh laman web Jawatankuasa bagi Perlindungan Wartawan (CJP).
Jumlah itu termasuk korban terbaru membabitkan wartawan dari Malaysia iaitu seorang jurukamera dari stesen televisyen BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor, 39, yang terkena tembakan ketika membuat liputan bantuan kemanusiaan di negara itu, semalam.
Dalam kejadian tersebut, Noramfaizul yang menaiki kenderaan pacuan empat roda sedang dalam perjalanan pulang ke hotel penginapan, maut selepas terkena tembakan curi di bahu sehingga menembusi ke paru-parunya, dalam satu serangan di ibu negara Somalia, Mogadishu.
Sementara itu, seorang lagi jurukamera dari TV3, Aji Saregar Mazlan, 26, pula cedera dalam kejadian tersebut.
Noramfaizul merupakan wartawan Malaysia pertama terkorban ketika membuat liputan di luar negara. - Agensi

6 pelajar cari bunga lemas di sungai

HANOI 3 Sept. - Seramai enam pelajar perempuan di Vietnam lemas apabila sebuah bot bambu yang mereka naiki terbalik di sungai Merah, Hanoi, semalam.
Mangsa yang kesemuanya berumur 12 tahun dilaporkan menaiki bot untuk memetik bunga yang terapung di sungai itu, menurut seorang pekerja perubatan.
"Terdapat tujuh pelajar perempuan di atas bot itu ketika kejadian, tetapi seorang berjaya diselamatkan selepas dia berenang ke tepi sungai dan menjerit meminta tolong," katanya. -

Barat, Gaddafi bekerjasama



LONDON 3 Sept. - Perisikan Britain dan Amerika Syrikat (AS) dilapor bekerjasama rapat dengan rejim Muammar Gaddafi sehingga menawarkan bantuan kepada pemimpin Libya itu, menurut laporan hari ini yang memetik fail yang ditemui di Tripoli.
Akhbar harian Britain, The Independent melaporkan, dokumen rahsia yang ditemui di pejabat bekas Menteri Luar Libya, Mussa Kussa itu turut menunjukkan Britain memberikan butiran mengenai penentang-penentang rejim yang hidup dalam buangan kepada perisikan Gaddafi.
Penemuan itu juga mendapati pejabat bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair meminta supaya pertemuan yang diadakan dengan pemimpin Libya itu pada 2004 di Tripoli perlu dibuat di khemah Bedouin, lapor akhbar itu.
Bagaimanapun belum ada reaksi balas dari Britain mahupun AS mengenai laporan tersebut.
Menurut The Independent, dokumen tersebut meningkatkan persoalan tentang hubungan Britain dan AS dengan Kussa dan rejim Gaddafi ketika kuasa Barat cuba membawa Libya keluar daripada pengasingan.
Kussa ke Britain pada Mac lalu dan berpaling tadah kepada rejim, tetapi walaupun dituduh mencabul hak asasi manusia beliau tetap dibenarkan terbang ke Qatar pada bulan berikutnya.
The Independent melaporkan, dokumen yang ditemui itu termasuklah surat-surat dan faks kepada Kussa dengan kepala surat 'Ucapan daripada MI6' (Perkhidmatan Perisikan Luar Britain) dan ucapan peribadi Krismas yang ditandatangani oleh seorang perisik kanan Britain menggunakan julukan 'Rakan anda'.
Akhbar itu turut memetik dokumen rahsia pentadbiran AS yang menyatakan 'dalam kedudukan' untuk menghantar Shaykh Musa, anggota kumpulan Pejuang Islam Libya yang merupakan rangkaian al-Qaeda kepada rejim Gaddafi.
"Kami menghormati permintaan anda berhubung tuntutan mengekstradisi Musa," kata dokumen itu. - AFP

Kebuluran di Somalia merebak



NAIROBI 3 Sept. - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran krisis kebuluran yang melanda selatan Somalia dijangka merebak ke wilayah lain dalam tempoh beberapa hari.
Menurut PBB, situasi di negara ini terus bertambah buruk, walaupun usaha bantuan antarabangsa secara besar-besaran sedang dijalankan.
"Situasi kini menjadi bertambah buruk," kata pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) dalam laporannya yang dikeluarkan lewat semalam.
Menurut laporan itu, Jabatan Analisis Pemakanan Keselamatan Makanan Somalia (FSNAU) memberi amaran hampir semua wilayah selatan Somalia akan berhadapan dengan kebuluran.
"Walaupun pelarian berkurangan, kadar pemakanan tidak seimbang serta kematian meningkat dan penyakit berjangkit merebak," kata OCHA.
PBB sebelum ini menyifatkan Somalia berhadapan dengan krisis kemanusiaan paling buruk di dunia.
Kebuluran diisytiharkan di selatan Bakool dan wilayah Lower Shabelle di selatan Somalia pada Julai lalu.
Ia kemudiannya merebak ke tiga kawasan lain, termasuk ibu negara Somalia, Mogadishu dan koridor Afgoye, kem pelarian terbesar di dunia.
Kebuluran diisytiharkan apabila 20 peratus daripada isi rumah berhadapan dengan kekurangan makanan serius, pemakanan tidak seimbang melebihi 30 peratus dan dua kematian untuk 10,000 orang setiap hari, menurut tafsiran PBB. - AFP

Najib sifatkan Noramfaizul wira Malaysia sebenar


Gambar Noramfaizul Mohd. Nor yang dirakamkan oleh rakan setugasnya beberapa jam sebelum jurukamera BernamaTV itu terbunuh setelah terkena tembakan curi ketika menyertai misi bantuan di Somalia, kelmarin. – BERNAMA



PERTH 3 Sept. — Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor, yang maut akibat terkena tembakan curi di Somalia, semalam, sebagai seorang wira Malaysia sebenar “yang mewakili peranan kita untuk membantu di mana sahaja bantuan diperlukan”.
Sambil melahirkan rasa sedih berhubung apa yang berlaku, Najib berkata: “Kita telah kehilangan seorang rakyat Malaysia sangat mulia dan benar-benar berdedikasi.
“Beliau bersedia mengambil risiko untuk memberikan liputan meluas mengenai misi kita membantu orang lain di banyak tempat di dunia.”
Bercakap kepada Bernama hari ini, Najib berkata, lawatannya ke Perth disingkatkan dan akan pulang ke Kuala Lumpur malam ini bagi membolehkan beliau berada di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang untuk ketibaan jenazah Noramfaizul dari Mogadishu, esok.
Noramfaizul, 39, meninggal dunia selepas terkena tembakan curi semasa dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan bersama beberapa petugas media Malaysia lain yang mengikuti Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia untuk membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran di di Somalia.
Noramfaizul telah mengikuti beberapa misi kemanusiaan Malaysia di seberang laut yang bertujuan untuk menolong mereka yang amat memerlukan bantuan.
“Beliau seorang yang berdedikasi dan individu yang tidak mementingkan diri yang bersedia untuk bertugas di kawasan persekitaran yang mencabar dan ganas seperti di Gaza dan Pakistan,” kata Najib.
Beliau berkata, malahan jurukamera BernamaTV itu bersedia untuk pergi ke Somalia selepas beliau menyedari ia mungkin merupakan misi berbahaya.
“Sudah tentu beliau mahu berada di tempat itu bagi merekodkan satu misi kemanusiaan. Anda boleh kata bahawa kematiannya akibat kebinasaan lingkungan.
“Bagaimanapun, kita telah kehilangan seorang yang sangat baik, rakyat Malaysia yang sebenar, seorang wira yang mewakili peranan kita untuk membantu di mana sahaja bantuan diperlukan,” katanya. — BERNAMA

Perlu bantuan


ROSLINA Che Ros bersama Khalib Yahya serta anak mereka, Mohd Azizi melihat gambar-gambar yang pernah disiarkan dalam akhbar ketika ditemui di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, baru baru ini. - MINGGUAN/ SAZALI CHE DIN




BUKIT MERTAJAM 3 Sept. - Masih ingatkah anda kepada Mohd. Azizi Khalib, remaja yang terselamat daripada kemalangan tragis pada 2009, tetapi terpaksa menempuh penderitaan termasuk hilang ingatan selepas sebahagian daripada tempurung kepalanya terpaksa dibuang.
Selepas berjaya melepasi saat-saat genting pembedahan memasang tempurung kepala pada 6 Julai 2009, harapan Mohd. Azizi, 19, untuk pulih kembali cerah sekali gus menceriakan seluruh ahli keluarganya.
Bagaimanapun, selepas dua tahun berlalu, keluarga remaja malang ini kembali dalam dilema apabila dimaklumkan tempurung kepala yang dipasang tidak dapat berfungsi dengan baik dan terpaksa diganti dengan tempurung palsu.
Ibu Azizi, Roslina Che Ros, 41, berkata, berita terbaharu itu membuatkan dia bingung memikirkan nasib anaknya itu.
"Azizi sepatutnya menjalani pembedahan itu pada Jun lalu, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana kami tidak mampu menyediakan wang pendahuluan RM2,000 untuk menampung kos pembedahan.
"Sebelum ini saya telah membuat permohonan meminta bantuan kepada Pusat Urus Zakat (PUZ) Pulau Pinang, tetapi sehingga kini saya tidak tahu apa perkembangannya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Petani di sini, baru-baru ini.
Utusan Malaysia pernah menyiarkan kisah Azizi yang cedera parah setelah motosikal yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 3 Mac 2009 sehingga menyebabkan dia mengalami pendarahan otak sebelum tempurung kepalanya terpaksa dibuang.
Ketika ramai tidak yakin Azizi mampu bertahan, remaja itu berjaya menjalani pembedahan kritikal memasang semula tempurung kepalanya di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada Jun 2009 sehingga dia dikenali dengan julukan remaja 'kepala ajaib'.
Roslina memberitahu, doktor dari HPP masih belum memutuskan berapakah kos terkini bagi pembedahan tersebut kerana tarikh baru untuk membolehkan Azizi dibedah belum ditentukan lagi.

Madonna pikat ibu kekasih

PARIS: Madonna menemui jalan mudah untuk memikat hati ibu kekasihnya. Penyanyi berkenaan dikatakan berbelanja RM250,000 untuk membawa keluarga Brahim Zaibat bercuti di selatan Perancis dan tinggal di hotel mewah sebelum berlepas menghadiri Festival Filem Venice.
Ibu Brahim, Patricia Vidal, 45, sebelum ini dilapor kurang selesa terhadap hubungan Madonna dengan anaknya kerana jurang usia yang luas.

Madonna berusia 53 tahun sementara Brahim, 24. Penyanyi itu turut membawa keluarganya dan keluarga Brahim menghabiskan masa bersama di sebuah kelab di Cannes.

Satu sumber berkata: “Madonna berusaha habis-habisan untuk memikat keluarga Brahim. Dia memberitahu mereka supaya memesan apa saja, termasuk makanan yang berharga lebih RM5,000.” — Agensi

Qariah cilik terpilih menjadi ikon Besut


NURUSSYAHAMAH menunjukkan sijil penyertaan tilawah di Qatar kepada Idris (kanan) yang mengunjunginya di Kampung Alor Keladi, Besut kelmarin.


BESUT – Qariah muda negara, Nurussyahamah Taqiah Nurunnajmi, 12, yang meraih tempat ketiga pada Pertandingan Akhir Tilawah Al-Quran Kanak-Kanak Peringkat Antarabangsa di Doha, Qatar baru-baru ini dipilih sebagai Ikon Besut Bumi Ulul Albab.
Pemilihan murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Lubuk Kawah, Jertih dekat sini berdasarkan kejayaan Nurussyahamah mengharumkan nama Malaysia dan Besut pada pertandingan peringkat dunia itu.
Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, pemilihan Nurussyahamah itu juga membolehkannya menerima hadiah penghargaan sebanyak RM2,000.
“Dia juga telah dijadikan anak angkat UMNO Bahagian Besut selain akan dicalonkan sebagai Tokoh Muda Semarak Merdeka pada program sambutan Semarak Merdeka di bandar Jerteh pada 24 September nanti,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.
Jelas Idris, langkah itu juga mampu menggalakkan lebih ramai golongan muda berusaha mencapai kecemerlangan di peringkat global sejajar dengan hasrat menjadikan Besut sebagai Bumi Ulul Albab.
Pada pertandingan akhir pada 27 Ogos lalu yang disiarkan secara langsung oleh televisyen Al-Jazeera dari Dewan Studio Al-Jazeera di Doha itu, Nurussyahamah berjaya menduduki tempat ketiga.