Saturday, June 22, 2013

Bukit Aman kendali kes Husam

Husam Musa
Husam Musa

SHAH ALAM - Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa kini ditahan di Balai Polis Ampang dan disiasat di bawah Akta Hasutan.

Perkara itu disahkan beliau menerusi laman mikro Twitter miliknya.

Beliau sebelum itu menerusi SMS kepada wakil media termasuk Sinar Harian Online memaklumkan beliau kini ditahan di balai  polis berkenaan.

Penahanan itu dipercayai berkaitan dengan kenyataannya yang disiarkan lidah rasmi Pas meminta orang ramai menyertai himpunan Black505 di Padang Merbok hari ini.

Antara yang diungkap Husam dalam laporan itu ialah : "Andai kata kita terkorban, atau satu daripada kita terkorban, Insya- ALLAH ia adalah syahid fi sabillah.

"Niat kita adalah penipuan pilihan raya mesti dihentikan dan sesiapa terlibat dengan penipuan ini mesti menerima tanggungjawabnya sekarang dalam sistem politik negara ini".

Polis mengesahkan penahanan Husam mengikut Seksyen 4, Akta Hasutan 1948 berkaitan kenyataan mengenai 'mati syahid' di Kelantan baru-baru ini.

Perkara itu disiarkan di laman Facebook PDRM (Polis Diraja Malaysia) hari ini.

Kenyataan itu berkata Husam ditahan pada 4 petang ini di Kampung Pandan, Ampang, Selangor.

Husam di dalam laman Twitternya sebelum ini memaklumkan beliau ditahan di Ampang oleh polis Bukit Aman dan dibawa ke Balai Polis Ampang.

"Akan dibawa ke Kelantan untuk siasat bawah Akta Hasutan," katanya.

Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk A. Thaiveegan mengesahkan penahanan Husam dan berkata kes berkenaan dikendalikan Bukit Aman.

Jutaan sertai protes Brazil

Jutaan sertai protes Brazil Lebih 1 juta penunjuk perasaan mengambil bahagian di lebih 80 bandar utama di Brazil.
RIO DE JANEIRO - Ratusan polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah selepas lebih satu juta penunjuk perasaan bertempur dengan anggota keselamatan di 80 bandar utama di Brazil.

Media tempatan melaporkan kepada AFP, lebih 800,000 penunjuk perasaan bertindak menyerbu Kementerian Luar, bangunan Parlimen, Mahkamah Agung dan pejabat Presiden  di Brasilia.

“Di Sao Paolo, sekurang-kurangnya 110,000 penunjuk perasaan membanjiri sekitar jalan utama dengan puluhan seorang cedera selepas dirempuh dengan kenderaan polis,” menurut laporan itu.

Demonstrasi itu tercetus selepas penunjuk perasaan membantah kenaikan tambang pengangkutan awam dan kos penganjuran Piala Dunia.