Showing posts with label soi lek. Show all posts
Showing posts with label soi lek. Show all posts

Wednesday, October 24, 2012

PR Perak rujuk isu Soi Lek kepada Sultan, Mufti

Muhammad Faeez Azahar,
24 Okt 2012

IPOH: Pakatan Rakyat Perak akan mengahtar surat kepada Sultan Perak yang juga Ketua Agama Negeri berhubung tindakan MCA khususnya Datuk Seri Chua Soi Lek tidak henti-henti menghina Islam.

Setiausahanya, Dr Khairuddin Abdul Malik berkata, surat berhubung perkara itu juga akan dihantar kepada Mufti dalam masa terdekat.

Beliau berkata, kenyataan Soi Lek sebelum ini jelas mengherdik agama Islam dan menceroboh ke dalam urusan hal-ehwal agama Islam.

Kata beliau, perbuatan Chua Soi Lek sangat menyentuh sensitiviti umat Islam dan berpotensi menyebabkan ketegangan kaum dan agama.

Ekoran itu juga, Pakatan Rakyat Perak ujarnya turut mencabar kerajaan yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa Soi Lek atas Akta Hasutan.

“Pakatan Rakyat Perak cabar Umno mendakwa Chua Soi Lek atas akta Hasutan seperti pernah dilakukan kepada individu-individu tertentu sebelum ini,” katanya ketika membuat sidang media di Pejabat PAS Perak, hari ini.

Khairuddin yang juga Yang Dipertua PAS Tambun berkata,  jika tindakan tersebut tidak dilakukan bermakna Umno bersekongkol dan bersetuju agama Islam dihina serta diherdik.

MCA ujarnya tidak wajar mencari pengurah politik di kalangan orang Cina dengan menghina peraturan-peraturan Islam dan menghina PAS.

Tegas beliau, Pakatan Rakyat Perak mendesak Chu Soi Lek meminta maaf kepada seluruh penganut agama Islam atas keterlanjuran mereka dan jangan sekali-kali mengulang perbuatan jahat tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Pakatan Rakyat Perak yang diketuai Datuk Seri Nizar Jamaluddin mencabar MCA mengadakan debat terbuka berhubung isu yang dimainkan.

“Kami akan menghantar surat jemputan kepada MCA Perak yang diketuai Chua Soi Lek selaku Pengerusi MCA Negeri untuk mengadakan debat terbuka yang bertajuk MCA Sokong Islam dan Hudud Tetapi Menentang Hudud PAS. Tajuk ini sesuai apa yang didakwa mereka,” jelas beliau.

Hadir Sama ialah Adun Tronoh, V Sivakumar; Adun Canning, Wong Kah Woh; Ketua Penerangan PKR Perak, Ustaz Zulkifli Ibrahim dan pimpinan Pakatan Rakyat Perak.

Tuesday, November 29, 2011

Soi Lek celaru tuduh PAS tutup Genting



Khairil Abdul Rahim
 TEMERLOH, 28 Nov: Dewan Pemuda PAS Pahang (DPPNP) menganggap Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, mengalami kecelaruan pemikiran apabila akhir-akhir ini sering mengecam hudud sehingga apa yang diucapkan beliau jauh tersasar daripada yang diperjuangkan oleh PAS.

Ketuanya, Shahril Azman Al-Hafiz (gambar) menolak dakwaan Soi Lek bahawa pusat pelancongan Genting Highlands akan ditutup apabila PAS mengambil alih pemerintahan sebagaimana tersiar dalam akhbar The Star kelmarin.

Dalam kenyataan tersebut Soi Lek berkata, Malaysia mungkin kehilangan Genting Highlands jika Pakatan Rakyat mengambil alih Kerajaan dan melaksanakan undang-undang hudud.

Menurut Shahril Azman, PAS tidak berhasrat menutup kawasan yang menjadi tarikan popular pelancong yang sudah maju dan mendatangkan keuntungan ekonomi sebaliknya parti itu hanya mahu menghapuskan judi kerana ia dilarang oleh semua agama.

“Barangkali Soi Lek tidak faham bahawa judi boleh merosakkan institusi keluarga dan kemasyarakatan dan apabila rosak dua institusi ini ia ancaman kepada negara. Keluarga boleh berpecah belah akibat bahana judi sehingga berlaku perceraian. Dalam masyarakat pula judi boleh membawa pergaduhan, pembunuhan dan suburnya industri Ah Long.

“Apa yang untungnya rakyat dengan judi ini sebab yang untung hanya tauke judi, jadi itu bukanlah kemajuan namanya. Sebab itu negara yang maju seperti Singapura dan Indonesia tidak membenarkan kasino berlesen,” katanya dalam sidang medianya semalam.

Mengenai kenyataan Soi Lek bahawa Genting memainkan peranan penting dalam ekonomi negara kerana menerima 20 juta pelawat dan membayar cukai RM1bilion setahun, Shahril berkata jika PR memerintah semua pusat pelancongan akan diberi penambahbaikan lagi supaya dapat menambah kantung negara.

“Jadi cuba mengaitkan hukum hudud dengan tutup Genting Highlands itu tidak ada kena mengena. Kami tegaskan bahawa tidak ada agama yang membenarkan judi. Persoalannya adakah Soi Lek tidak mempunyai agama?

“Bahkan ekonomi rakyat termasuk orang Cina juga akan lebih terpelihara dan meningkat tanpa judi kerana judi adalah penipuan dan menghancurkan institusi keluarga dan masyarakat,” katanya.

Soi Lek sempena menyampaikan hadiah kepada pemenang Malaysia National Lion Dance Championship 2011 di Genting itu turut mendakwa, di Kelantan kerajaan PAS tidak membenarkan kedai loteri dan jika PR berjaya mengambil alih Kerajaan Pusat, mereka mahu untuk melaksanakan undang-undang hudud dan Genting menjadi mangsa pertama.

“Sebenarnya Soi Lek yang pernah dikaitkan dengan video porno itu menghadapi kecelaruan pemikirannya sendiri ketika cuba meraih kepentingan politik kerana tidak ada negara yang maju hanya kerana judi,” tambah Shahril. Soi Lek celaru tuduh PAS tutup Genting:

'via Blog this'

Friday, September 10, 2010

Chua Soi Lek beri keterangan



KUALA LUMPUR, 9 Sept. – Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek hari ini dipanggil memberi keterangan berhubung laporan polis yang dibuat Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang mendakwanya telah membuat ucapan berbaur perkauman baru-baru ini.
Ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini, Dr Chua berkata beliau memberi keterangan hampir dua jam di situ.
Katanya beliau turut menyerahkan teks ucapannya semasa Kongres Ekonomi Cina bulan lepas yang didakwa Perkasa berbaur perkauman kepada polis untuk siasatan lanjut. – BERNAMA

Sunday, August 22, 2010

Soi Lek jangan banyak melatah


Oleh - Tok Perak


MEMANG mengguris perasaan, tetapi bukan sesuatu yang mengejutkan. Orang Melayu, khasnya ahli UMNO yang lebih dua juta itu, boleh sahaja berasa tersinggung dengan kenyataan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Isnin lalu. 

Tanpa selindung-selindung, juga tanpa ‘konar-konar’, Presiden MCA itu menegaskan bahawa partinya tidak takut untuk berkongsi pandangan yang sama dengan DAP dalam hal yang boleh memberi keuntungan kepada masyarakat Cina. 

Bunyinya macam mencabar, lebih-lebih lagi apabila beliau menambah, UMNO tidak boleh menyalahkan MCA walaupun parti itu mempunyai pandangan berbeza daripada pendirian BN kerana tuntutan yang disuarakan beliau adalah gambaran kepada keinginan masyarakat Cina. 

Ini bukan soal UMNO, ini soal BN. Duduk sekelambu dalam keluarga BN yang besar, Soi Lek sepatutnya mengambil kira perasaan teman-teman tidurnya. Tidak boleh melepas cakap ikut suka, lebih-lebih lagi dengan menyatakan pendirian bersekongkol dengan DAP yang memang diketahui berseteru sepanjang hayat dengan BN. 

Suara-suara sumbang lagi tidak romantik seperti itu tentu sekali boleh menghangatkan kelambu, dan menggegar katil BN, sehingga malam-malam yang sepatutnya indah menjadi tidak mesra. Silap-silap gaya akan ada yang keluar kelambu! 

Tetapi, untuk berlaku adil, tindakan Soi Lek itu bukan mengejutkan sangat. Orang No.1 parti terbesar Cina itu nampaknya tidak ada banyak pilihan. Pada ketika MCA – juga parti-parti Cina lain dalam BN – merudum selepas tsunami 2008, MCA hendak menonjolkan sebagai pejuang masyarakat Cina. 

Maka tidak menghairankan sekiranya MCA akhir-akhir ini lebih berani dan lantang menyuarakan isu-isu yang dahulunya dijeritkan oleh DAP, termasuk hak istimewa Melayu, ekuiti 30 peratus bumiputera, agihan biasiswa, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan lain-lain. 

Tentu sekali MCA, khasnya Soi Lek, dalam usaha untuk memenangi perasaan dan undi masyarakat Cina, bebas untuk menjerit dan memekik sama seperti DAP, walaupun itu akan menyinggung perasaan rakan-rakan setidurnya. Beliau nampaknya tidak kisah lagi dengan siapa dia tidur. 

Cuma satu perkara yang perlu Soi Lek ingat ialah jeritan dan pekikannya tidak semestinya menguntungkan MCA. Hakikatnya ialah masyarakat Cina tidak ada keyakinan lagi terhadap parti itu. Ini telah dibuktikan pada Pilihan Raya Umum 2008, dan pada beberapa pilihan raya kecil, termasuk paling baru di Kuala Selangor dan Sibu. 

Pada dua pilihan raya kecil terakhir itu apa sahaja yang tidak dijanjikan dan diberikan oleh BN untuk pengundi Cina. Peruntukan berjuta-juta untuk kemudahan asas, peruntukan serta merta kepada SJKC, pendek kata apa sahaja. 

Terbukti ‘gula-gula’ pilihan raya itu hanya menyukakan hati masyarakat Cina, tetapi tidak memenangi undi Cina. Pada kedua pilihan raya kecil itu jelas undi Cina berpindah ke parti lain. 

Dengan menyuarakan isu-isu yang menurutnya ‘boleh memberi keuntungan kepada masyarakat Cina’, Soi Lek boleh mendabik dada sebagai wira masyarakat yang diwakili partinya. Tetapi, apa erti wira sekiranya parti kalah dalam perjuangan? Kekalahan MCA adalah kekalahan BN. 

Dalam keadaan MCA yang semakin tidak relevan, lebih baik ‘Tuan Presiden’ jangan lepas cakap sangat. Duduk dalam kelambu dan kekalkan semangat persefahaman dalam BN. Mudah-mudahan dalam pilihan raya akan datang calon-calon MCA boleh mendapat sokongan di kawasan majoriti Melayu. 



* SEMINGGU dua ini kita membaca, juga melihat gambar-gambar, mengenai berita sedih dari negara China yang teruk dilanda bencana alam. Hujan lebat di Zhouqu yang terletak di barat laut wilayah Gansu menyebabkan banjir lumpur teruk bulan ini, menenggelamkan sebahagian besar bandar miskin dan terpencil serta menyebabkan lebih 1,200 maut. 

Ribut yang melanda berhampiran Longnan dan di wilayah Sichuan ke selatan juga menyebabkan ramai terkorban. Lebih daripada 1,000 orang maut dalam kejadian banjir di bahagian tengah, selatan dan timur laut negara itu. 

Terkini, Rabu lalu, sekurang-kurangnya 67 orang dilaporkan hilang setelah banjir lumpur melanda sebuah bandar terpencil di barat daya China yang berhampiran dengan Myanmar. 

Di bahagian-bahagian lain dunia pun, perubahan cuaca telah mengakibatkan bencana yang merosakkan harta benda dan mengorbankan nyawa. Maka kita patut bersyukur bahawa di tempat kita keadaan dan kehidupan berjalan seperti biasa – aman, nyaman dan mewah. Sebenarnya terlalu mewah sehingga kita membazirkan makanan ketika berbuka puasa! 



* AKHIR kalam, seperti yang dilaporkan media, jumlah bayaran zakat 2009 bagi Kumpulan Felda dan KPF ialah berjumlah RM25.82 juta iaitu bertambah RM5.94 juta berbanding RM19.88 juta pada 2008. 

Zakat Kumpulan Felda bagi 2009 adalah sebanyak RM14.92 juta iaitu bertambah RM2.15 juta manakala KPF pula berjumlah RM10.90 juta, meningkat sebanyak RM3.78 juta. 

Kalau bayar zakat sudah berpuluh-puluh juta, tentulah Felda untung. Jadi tidak timbul isu Felda bankrap seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Monday, August 9, 2010

Soi Lek bidas Guan Eng reka cerita


KOTA KINABALU 8 Ogos - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng diingatkan supaya tidak mereka-reka cerita kononnya pemimpin MCA memperkecilkan cendekiawan Islam dan sumbangan mereka kepada pembangunan tamadun ilmu ketika menyampaikan ceramah pada di Kedah baru-baru ini.
Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek menegaskan, perkara tersebut tidak pernah berlaku tetapi intipati utama ucapan beliau ditokok tambah oleh Ketua Menteri Pulau Pinang itu.
Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat khususnya umat Islam supaya tidak terpengaruh dengan taktik kotor Guan Eng itu.
"Ketika merasmikan Konvensyen MCA Kedah, saya sama sekali tidak menyentuh atau memperkecilkan sumbangan tamadun Islam dan cendekiawan Islam terhadap pembangunan ilmu termasuk dalam sains dan matematik.
"Apa yang saya cakap hanyalah berkisar kepada fakta mengenai nasib 57 negara di dunia yang majoriti penduduknya beragama Islam yang dipetik daripada buku tulisan Syed Akbar Ali bertajuk Malaysia And The Club of Doom," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen MCA Sabah di sini hari ini.
Hadir sama Timbalannya merangkap Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ketua MCA Sabah, Datuk Edward Khoo.
Soi Lek berkata, dengan penjelasan itu, beliau berharap pemimpin DAP dan Pas tidak memutarbelitkan fakta ucapan yang dibuat berdasarkan buku tulisan Syed Akbar Ali itu.
Katanya, intipati daripada buku berkenaan digunakan bagi menyedarkan masyarakat Cina padah yang bakal diterima jika terus menyokong Pas yang diketahui lebih mengutamakan pembangunan agama berbanding sosioekonomi rakyat.
Beliau menambah, antara lain penulis buku itu menyebut, oleh kerana 57 negara berkenaan mengabaikan pembangunan sosioekonomi rakyat, maka mereka hanya menyumbang lima peratus kepada Keluaran Kasar Negara (KDNK) dunia, walaupun memiliki 1.4 bilion penduduk atau 20 peratus populasi dunia.
"Di negara berkenaan tahap pendidikan juga rendah apabila 800 juta penduduk buta huruf dan kebanyakannya wanita, kadar pengangguran juga tinggi dan kemiskinan di mana-mana.
"Itu sahaja yang saya sentuh, bukan menyentuh pencapaian tamadun Islam lalu seperti dikatakan Guan Eng," katanya.
Sementara itu, Soi Lek berkata, beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) negeri untuk mempertimbangkan kerusi tambahan kepada parti itu di negeri ini.
Katanya, MCA Sabah layak menerima kerusi tambahan kerana berjaya menambahkan ahli sehingga 20,000 di semua 25 bahagian di negeri ini.
Beliau berkata, keadaan itu mencerminkan hasrat masyarakat Cina di negeri ini untuk diwakili parti yang berpangkalan di Semenanjung, yang disifatkan mereka memiliki kelebihan menyelesaikan pelbagai masalah berkaitan Kerajaan Pusat.