Saturday, January 18, 2014

Perarakan bantah tindakan hina PM


SITI NUR MAS ERAH AMRAN
18 Januari 2014

 Perarakan bantah tindakan hina PM
Perarakan bantah tindakan hina PM Ahli NGO dan parti politik berarak mengeliling Bandar Sunway bagi melahirkan rasa tidak puas hati mengenai isu kangkung hari ini.

BUTTERWORTH - Beberapa NGO dan parti politik menggerakkan ahlinya untuk berarak dan berhimpun di hadapan pusat beli-belah Sunway Carnival hari ini bagi membantah tindakan Adun Machang Bubuk, Lee Khai Loon menghina perdana menteri.

Perhimpunan yang diketuai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican itu bermula di Jalan Todak sebelum berarak hampir satu kilometer sambil membawa pelbagai sepanduk ke pusat beli-belah terbabit.

Turut menyertai perarakan ialah Setiausaha Umno Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir; Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Mohd Zaidi Mohd Said dan Ketua Umno Bahagian Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya.

Reezal Merican berkata, perhimpunan yang diadakan adalah untuk menunjukkan bantahan terhadap tindakan pemimpin PKR yang menyumbat kangkung ke dalam karikatur Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Pemimpin diangkat oleh rakyat dan dipilih berteraskan demokrasi bagi mewakili suara kita semua.

"Tindakan dia (Khai Loon) bukan hanya mempersenda malah menyakitkan hati kami semua kerana tidak menghormati pemimpin negara.

"Justeru, satu lagi perhimpunan akan diadakan esok di Alma bagi memastikan suara umat Islam di negeri ini didengari semua pihak," katanya.

Rabu lalu, Khai Loon memuat naik gambar terbabit melalui akaun Twitternya menerusi program flash mob "I Love Kangkung" bagi membantah kenaikan harga barang di tapak pasar malam Alma.

Matahari terbit secara maya


18 Januari 2014
Matahari terbit secara maya
Matahari terbit secara maya Matahari terbit secara maya dipaparkan di sebuah skrin futuristik di Beijing.

SUSULAN kabus tebal yang menyelubungi Bejing sejak beberapa hari lalu, sebuah skrin televisyen komersial besar telah disediakan bagi memberi peluang kepada orang ramai melihat matahari terbit secara maya.

Menurut laporan Daily Mail, penduduk sanggup meninggalkan kediaman dengan memakai topeng muka semata-mata untuk melihat suasana tersebut yang dipaparkan menerusi skrin futuristik gergasi.

Difahamkan, tahap pencemaran udara di negara itu semakin teruk sehingga monitor pencemaran udara mengeluarkan amaran mengarahkan penduduk tidak keluar dari rumah sehingga kualiti udara pulih.

Pihak berkuasa Beijing berkata, jerebu teruk itu turut mengurangkan tahap penglihatan untuk beberapa ratus meter sehingga semalam.

Susulan daripada itu, Datuk Bandar Beijing memutuskan untuk mengurangkan penggunaan arang batu sebanyak 2.6 juta tan, selain memperuntukkan 15 bilion yuan (RM8 bilion) sebagai inisiatif bagi mengatasi masalah pencemaran udara di negara terbabit.

Kerajaan turut mengambil langkah menutup 8,347 syarikat dalam usaha untuk menangani masalah pencemaran itu.

Anggap isu tudung selesai



Cheiw Swee Tuan dan Choi Ye Shan (baju merah) bersalaman dan diperhatikan oleh Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Rahmat Othman (baju biru) dan Penghulu Mukim Johor Lama, Mohd. Nazri Kasmin di Dewan Terbuka Kampung Johor Lama, Kota Tinggi, semalam. - UTUSAN/FARIK SALLEH
KOTA TINGGI 17 Jan. - Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Nan Ya, Phang Ah Ngang, 72, dan Guru Besar, Chiew Swee Tuan hari ini meminta maaf secara terbuka kepada guru Cina mualaf yang diminta membuka tudungnya baru-baru ini.
Permohonan maaf itu dibuat pada Majlis Muhibah dihadiri guru terbabit, Choi Yi Shan, 25, yang masih merahsiakan nama Islamnya di Dewan Terbuka Kampung Johor Lama dekat sini.
Yang turut hadir, Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) Kota Tinggi, Mohamad Fadil Ishak; Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Rahmat Othman dan Penghulu Mukim Johor Lama, Mohd. Nazri Kasmin.
Ah Ngang dalam kenyataannya berkata, beliau dengan seikhlas hati meminta maaf secara peribadi kepada Yi Shan dan masyarakat di Pekan Teluk Sengat serta umat Islam ekoran tindakannya itu.
“Dengan ini saya harap isu ini selesai dan dapatlah kita semua hidup dalam harmoni sesuai dengan slogan 1Malaysia," katanya.
Sementara itu, Swee Tuan pula menyatakan beliau tidak pernah menghalang guru berkenaan dan murid-murid beragama Islam memakai tudung di sekolah tersebut kerana memahami bahawa memakai tudung adalah satu kewajipan yang perlu ditunaikan oleh wanita Muslim.
“Sebagai guru besar saya pasti menghormati agama Islam dan guru serta murid-murid beragama Islam tanpa mengira kaum. Sebagai penjawat awam, saya mematuhi sepenuhnya semua peraturan dalam perintah kerajaan tanpa keraguan dan saya janji akan menguruskan hal sekolah dengan lebih peka dan berhati-hati.
“Segala salah faham dari segi perbualan dan kata-kata yang tidak munasabah yang diperkatakan secara tidak sengaja telah menjadi gangguan emosi bagi mana-mana pihak, saya mohon ampun dan maaf," katanya.
Dalam pada itu, Yi Shan menganggap kes itu telah selesai dan ingin menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap karier sebagai pendidik dan seorang muslimah.
“Saya terima dengan hati terbuka permohonan maaf ini. Harap-harap pihak lain yang ambil berat tentang kes ini dapat meredakan hati dan tidak diperbesarkan lagi sebab ini memang isu sensitif," katanya yang bakal mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihannya bulan depan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140118/dn_04/Anggap-isu-tudung-selesai#ixzz2qhANJn2l
© Utusan Melayu (M) Bhd