Sunday, April 26, 2015

PAS Promosi Hukum Hudud Pada PRK Rompin, Permatang Pauh


Diterbitkan: Ahad, 26 April 2015 6:38 PM

PASIR MAS: Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin di Pahang dan Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang akan menjadi medan bagi PAS untuk memberi penjelasan dan kefahaman kepada orang ramai tentang hukum hudud.
Timbalan Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata sehingga kini hasrat PAS untuk mempromosi undang-undang Islam itu ketika berkempen dalam dua PRK berkenaan tidak mendapat tentangan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
"Dalam dua pilihan raya kecil ini, di samping menyentuh isu CBP (Cukai Barang dan Perkhidmatan), kami mahu mempromosi hukum syarak itu. InsyaAllah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2015 Peringkat Negeri Kelantan di Pengkalan Ibrahim Pencen, Rantau Panjang di sini, Ahad.
Portal berita sebelum ini melaporkan kenyataan Setiausaha Agung PKR Mohd Rafizi Ramli yang berpendapat cadangan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan adalah tidak relevan untuk dibangkitkan di Permatang Pauh.
Cadangan PAS melaksanakan hudud menjadi antara punca keretakan gabungan pakatan pembangkang berikutan ditentang kuat oleh DAP dan PKR.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi bagi PRK Parlimen Rompin pada 5 Mei manakala PRK Parlimen Permatang Pauh pada 7 Mei.-- Bernama

PKR Tak Layan Karenah PAS Pulau Pinang


Diterbitkan: Ahad, 26 April 2015 7:57 PM

BUKIT MERTAJAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) enggan melayan Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang yang bertegas untuk terus memboikot kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh.

Pengarah Pilihan Raya PKR, Datuk Saifuddin Nasution berkata, parti itu tidak perlu menghiraukan pendirian akar umbi sekutunya ekoran kepimpinan tertinggi PAS sudah berikrar untuk terlibat mempertahankan kerusi tersebut.

“Kita 'deal' dengan PAS sebagai organisasi, takkan nak deal dengan PAS cawangan? Takkan nak deal dengan Pak Leh bin Saad ketua cawangan…tak habis kerja lah. Itu cara kira deal dalam politik,” katanya pada Ahad.

Beliau mengulas mengenai tindakan nekad Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang untuk memboikot kempen PRK Permatang Pauh selepas permohonan maaf mereka berhubung dakwaan menghina Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak dilayan.

Ketuanya, Mohd Yusni Mat Piah mengarahkan supaya membekukan jentera dan aset mereka daripada terlibat dalam semua gerak kerja PRK Permatang Pauh.

Mengulas lanjut Saifuddin berkata, jaminan PAS Pusat termasuk arahan supaya jenteranya menyokong dan membantu memenangkan Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam PRK ini adalah memadai.

“Tindakan PAS Pusat melantik Mohamad Sabu dan Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa terlibat secara langsung dalam membantu PKR bukti kerjasama dalam pakatan.

"Jadi sebagai organisasi parti, kita ada proses dalam membuat urusan dengan parti sahabat. Itulah amalan kita,” katanya.

PRK Permatang Pauh: Pemuda PAS Nekad Boikot Kempen PKR


Diterbitkan: Ahad, 26 April 2015 5:20 PM
Yusni Mat Piah

BUKIT MERTAJAM: Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang nekad untuk mengingkari arahan kepimpinan peringkat Pusat supaya membantu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh.
Tegas dengan pendirian mereka sebelum ini dalam mempertahankan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sayap parti itu kini mengarahkan jenteranya di semua peringkat supaya memboikot kempen PKR.
Sehubungan itu ketuanya, Mohd Yusni Mat Piah membekukan jentera dan aset mereka daripada terlibat dalam semua gerak kerja PRK Permatang Pauh.
"DPPNPP dengan ini menetapkan pendirian bahawa semua jentera dan petugas Pemuda PAS negeri direhatkan dari semua gerak kerja sepanjang PRK Permatang Pauh.
"Semua bilik gerakan pemuda tidak akan dibuka sama sekali. Mana-mana premis di bawah seliaan Pemuda juga tidak dibenarkan digunakan sepanjang PRK Permatang Pauh ini,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Selain itu, Mohd Yusni turut mengarahkan supaya semua unit atau badan di bawah Pemuda PAS Pulau Pinang  direhatkan serta merta.
“Kumpulan Alternatif Riding Club (ARC) bagi aktiviti konvoi anak-anak muda atau seumpamanya, petugas keselamatan Jabatan Amal Negeri dan semua guru PASTI juga akan direhatkan dari bertugas dalam PRK ini.
"Kami juga tidak akan terlibat dengan mana-mana jemputan untuk menyertai pentas ceramah sepanjang kempen untuk PRK Permatang Pauh,” katanya.
Menurut Mohd Yusni, pendirian tegas Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang itu dibuat ekoran kecewa dengan sikap berdiam diri Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang berhubung tuntutan maaf mereka.
"Tempoh yang diberikan kepada AMK Pulau Pinang sehingga hari penamaan calon (Sabtu) untuk menyatakan permohonan maaf telah tamat.
"DPPNPP kecewa atas sikap berdiam diri AMK Pulau Pinang dan juga helah politik PKR dan beberapa pimpinan tertentu PAS dalam mengurus desakan akar umbi PAS di Permatang Pauh,” katanya.
Sebelum ini, Pemuda PAS Pulau Pinang menuntut AMK Pulau Pinang memohon maaf berhubung kenyataan menghina kepada Presiden PAS berkaitan isu hudud.

Pengerusi Google terima bayaran AS$109 juta walaupun saham firma merudum




SAN FRANCISCO – Enjin carian internet, Google membayar Pengerusi Eksekutifnya, Eric Schmidt (gambar) hampir AS$109 juta (RM389.63 juta) tahun lalu semasa saham firma ber­kenaan merudum.
Sebahagian besar bayaran itu melibatkan saham bernilai AS$100 juta (RM357.46 juta).


Ia pakej saham terbesar yang diterima Schmidt sejak 2011 apabila Google Inc. memberikannya saham bernilai AS$94 juta (RM336.01 juta) semasa beliau melepaskan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Google kepada pe­ngasas bersama firma itu, Larry Page.
Beberapa dokumen yang difailkan kepada pihak berkuasa kelmarin mendedahkan bahawa Page mengehadkan gajinya kepada AS$1 (RM3.57) pada 2014 seperti yang telah dilakukannya sejak beberapa tahun lalu.
Selain saham, Schmidt turut menerima gaji berjumlah AS$1.25 juta (RM4.46 juta), bonus mencecah AS$6 juta (RM21.44 juta) dan beberapa imbuhan lain yang bernilai hampir AS$1 juta (RM3.57 juta).
Dalam pada itu, majalah Forbes menganggarkan Schmidt sudah mempunyai kekayaan sebanyak AS$9 bilion (RM32.17 bi­lion). – AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0425&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3YNkPFez5 
Hakcipta terpelihara