Monday, July 28, 2014

Isu MB: Saya sokong kenyataan Presiden - TG Nik Aziz


HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau menyokong kenyataan Presiden PAS bahawa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu dikekalkan sebagai Menteri Besar Selangor.

Beliau juga sependapat dengan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bahawa Abdul Khalid telah melaksanakan tugasnya dengan cemerlang sepanjang sepenggal menerajui pentadbiran negeri itu.

"Barangkali beliau ada salah dan silap tidak dapat dinafikan, namun adakah ia sehingga menyebabkan beliau wajar digugurkan," soalnya dalam satu kenyataan sambil mahu persoalan itu dijawab terlebih dahulu.

Beliau dalam pada itu mahu seluruh ahli PAS meletakkan keutamaan ketaatan kepada apa yang telah dinyatakan oleh Tuan Guru Presiden.

"PAS ini ada nakhodanya iaitu Tuan Guru Presiden.

"Benar, nakhoda barangkali tersalah, tetapi jika anak kapal pula beramai-ramai ingin menjadi nakhoda, barang tentu bahtera tidak akan belayar dengan baik," kata beliau.

Berikut kenyataan penuh Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

PAS : Bahtera Yang Ada Nakhodanya

Saya pada mulanya tidak berhasrat untuk mengulas isu Menteri Besar Selangor memandangkan kita sekarang sedang berada di 10 akhir Ramadhan yang entah sempat atau tidak kita bersua dengan Ramadhan di tahun hadapan. Sewajarnya tempoh terbaik di bulan yang terbaik ini digunakan dengan sepenuh tumpuan untuk kita menggandakan amal ibadat agar dikurniakan ganjaran yang terbaik oleh Allah SWT.

Bagaimanapun, saya ditanya bertubi-tubi terutama oleh pihak media sejak dua hari lepas khususnya apabila keluar kenyataan Datuk Seri Tuan Guru Presiden PAS yang mempertahankan Tan Sri Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar Selangor. Ramadhan yang sepatutnya digunakan untuk masing-masing menumpukan perhatian kepada ibadah menjadi masa untuk kita berpolemik. Seolah-olah kenyataan Tuan Guru Presiden itu tidak memadai, maka saya terus diasak untuk mengeluarkan pula kenyataan.

Saya membaca kenyaaan Tuan Guru Presiden dan sepenuhnya saya menyokong kenyataan beliau. Saya sebagaimana banyak pihak di negara ini turut tertanya-tanya, atas silap dan salah manakah Tan Sri Khalid ingin digugurkan dari jawatan Menteri Besar? Setelah satu penggal beliau memimpin dengan cemerlang sehingga di dalam pilihanraya umum yang lepas, prestasi Pakatan Rakyat di Selangor semakin meningkat dan beliau dikekalkan di atas kerusi Menteri Besar, tiba-tiba hari ini beliau ingin digugurkan. Sudah tentu persoalan yang berlegar ialah, adakah tiba-tiba beliau menjadi mundur dalam prestasi gerak kerjanya?

Barangkali beliau ada salah dan silap tidak dapat dinafikan, namun adakah ia sehingga menyebabkan beliau wajar digugurkan? Saya kira persoalan ini perlu diselesaikan terlebih dahulu di meja rundingan Pakatan Rakyat, barulah kita bercakap soal pengganti. Jika tangga pertama pun masih belum dipijak, janganlah pula tergesa-gesa melangkah ke tangga kedua, bimbang nanti kepala tersadung lantai.

PAS ini ada nakhodanya iaitu Tuan Guru Presiden. Saya penuh yakin beliau mendapat maklumat yang cukup sebelum mengeluarkan kenyataan. Saya sendiri turut mendapat maklumat dari banyak pihak yang sebahagiannya tidak perlu untuk saya jelaskan di sini. Cukuplah untuk saya menyatakan bahawa, buat masa ini, ahli PAS hendaklah meletakkan keutamaan ketaatan kepada apa yang telah dinyatakan oleh Tuan Guru Presiden. Benar, nakhoda barangkali tersalah, tetapi jika anak kapal pula beramai-ramai ingin menjadi nakhoda, barang tentu bahtera tidak akan belayar dengan baik.

Pesan saya, selesaikan polemik ini dengan baik. Keruh di hulu selesaikan di hulu, jangan biar ia berhilir. Jangan keruh di hulu diheret panjang. Utamakan perbincangan sesama kita agar rakyat tidak bosan mendengar hiruk pikuk pertengkaran suami isteri. Pada saya, ini hanyalah satu kemelut kecil sahaja bahkan proses ini mematangkan hubungan kita di dalam Pakatan Rakyat.

Wajib diingat, Pakatan Rakyat perlu terus kukuh bertahan dalam medan politik negara. Akar umbi perlu sentiasa segar dengan maklumat agar sikap dan tingkah laku pemimpin difahami dengan jelas. Jika akar rapuh, pohon yang rendang sekalipun tidak akan bertahan lama.

Salam Ramadhan. Teruskan saki baki Ramadhan dengan amal kebajikan.

NIK ABDUL AZIZ NIK MAT
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)

- HARAKAHDAILY 27/7/2014

Jangan buat pelbagai tuduhan terhadap pemimpin


ABD SHUKUR HARUN | .
TIDAK dapat dibayangkan bagaimana dengan tiba-tiba Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru  Abdul Hadi Awang dihina dan dilemparkan pelbagai tuduhan oleh sesetengah ahli parti sendiri berikutan ketegasan beliau mempertahankan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Seingat saya, sepanjang 30 tahun lebih di dalam PAS, belum pernah terjadi hal demikian dan tidak pernahpun membayangkan akan terjadi hal seperti itu, tetapi telahpun terjadi.

Berikutan kenyataan tegasnya menyokong Tan Sri Abdul Khaid Ibrahim itu pelbagai andaian dan tuduhan dibuat terhdap Presiden PAS. Ada yang mengatakan kononnya ini isyarat bahawa PAS akan bersendirian, yakni akan berpisah dengan dari Pakatan Rakyat.

Ada pula yang berteori bahawa perkembangan ini akan membuka peluang PAS untuk menghidupkan kembali apa yang dinamakan ‘Kerajaan Perpaduan’, iaitu kerjasama PAS dengan Umno.

Semua tuduhan dan andaian ini sama sekali tidak berasas, malah ia menggambarkan bacaan dan pemikiran politik pihak yang mereka-cipta ini sangat naïf, suatu andaian yang penuh kecelaruan dan tidak berasas.

Saya dapat memahami kesedihan Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abd Samad terhdap perbuatan sesetngah pihak yang melemparkan pelbagai tuduhan dan prasangka terhadap pemimpin PAS sendiri. Dalam twitternya, beliau sendiri tidak pernah menyangkan hal seperti ini berlaku.

Secara lojik bahawa Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mempunyai hak untuk mengeluarkan pendapat dan tidak ada siapapun yang boleh menghalangnya. Ini sewajarnya difahami oleh semua pihak walaupun sudah ada usaha PKR untuk menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sejak projek Langkah Kajang.

Rundingan selanjutnya oleh pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat pada 10 Ogos ini juga sama sekali tidak boleh menafikan hak Presiden PAS untuk membuat kenyataan menyatakan pendiriannya.

Adapun kenyataan Presiden PAS itu tidak ada sebarang isyarat – secara tersurat atau tersirat – bahawa PAS tidak akan meninggalkan Pakatan Rakyat. Maka sebarang andaian ke arah itu, walau dalam apa cara dan hujahpun, hanyalah memberi peluang kepada musuh Pakatan untuk memecah-belahkan Pakatan. Hendaknya perkara ini mesti dihindarkan.

Sangat aneh untuk melihat lingkaran isu ini di mana secara jelas ialah masalah antara PKR dengan Tan Sri Khalid yang dicetuskan dalam Projek Langkah Kajang, iaitu PKR hendakkan menggantikan MB itu dengan tokoh lain.

Bagaimanapun oleh kerana PAS adalah salah satu komponen dalam Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP, maka masalah ini dihadapkan juga kepadanya. Tetapi secara lojiknya isu ini lebih kepada masalah PKR dengan Tan Sri Khaid.

Oleh itu mengapa PAS dengan tiba-tiba diheret begitu jauh ke dalam dalam isu ini. Sama seperti ‘pihak lain yang karam mengapa orang PAS pula yang lemas’. Analogi seperti ini muncul ketika pelbagai pihak, khususnya sesetengah pendukung PAS sendiri, melemparkan pebagai tuduhan terhadap Presiden PAS berhubung dengan kenyataannya.

Memang benar, PAS berada dalam Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP oleh itu segala masalah Pakatan dikongsi bersama mengatasinya.

Tetapi jangan lupa projek Langkah Kajang yang hendak menukarkan Tan Sri Khalid adalah dicetuskan oleh PKR. Maka itu, sewajarnyalah PKR lebih dulu menyelesaikannya dan PAS sebagai anggota Pakatan telahpun memberikan pandangan.

Sama ada diterima atau ditolak oleh Pakatan sama sekali tidak mengurangkan hak Presiden PAS menyatakan sikap. Dengan itu terimalah hakikat ini serara rasional dengan segala kewarasan.

Presiden PAS dalam kenyataannya secara jelas mempertahankan Khalid supaya kekal sebagai Menteri Besar Selangor kerana tokoh ini tidak pernah khianat dalam menjalankan amanah kepada rakyat.

Menurut Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi, alasan pihak yang mahu menukar Menteri Besar Selangor adalah tidak kukuh dan beliau secara peribadi tidak setuju kerana melihat Khalid tidak terlibat masalah besar.

“Kalau beliau (Abdul Khalid) terlibat dengan skandal, pecah amanah, salah guna duit Selangor, itu ya (sememangnya) kita boleh tukar. Tapi kalau alasan yang lain, itu kita boleh urus tetapi bukanlah dengan cara tukar menteri besar dan biarlah dia habiskan tempoh penggalnya.

“Isunya ialah menunaikan amanah pemimpin. Kita dapati Tan Sri Khalid tidak sampai kepada peringkat khianat terhadap amanah ini, adalah salah sekiranya kita turunkan beliau,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas kuliah Jumaat di rumahnya di Rusila Jumaat lalu.

Oleh itu tidak apa yang boleh menimbulkan kekeliruan yang mencetuskan kontroversi terhadap kenyataannya itu. Ini kerana kenyataannya itu berdasarkan pandangan syarak dan hasil penyelidikannya dari pebagai sumber.

Bagaimanapun, Insya-Allah, kemelut di Selangor ini, tidak akan menjejaskan keutuhan Pakatan Rakyat. Oleh itu jangan terperangkap akan jerangkap samar musuh Pakatan dalam isu ini.

Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya muafakat dalam Pakatan Rakyat akan tetap kekal dalam menghadapi isu sekitar pertukaran Menteri Besar Selangor.

“Saya percaya semangat muafakat dalam Pakatan akan terus dikekalkan dan seterusnya mendukung perubahan dengan menjana pertumbuhan ekonomi mampan yang lebih prihatin akan permasalahan rakyat,” katanya.

Akhirnya semua pihak dalam Pakatan supaya bertenang, sabar, mengekalkan kewarasan fikiran, tidak mereka-cipta pelbagai andaian dan tuduhan mengenai isu ini. Dengan berbuat demikian, dengan izin Allah s.w.t. boleh menyelamatkan Pakatan Rakyat dan pemerintahannya di Selangor.

Selamat menyambut Idul-Fitri, maaf zahir batin kepada para pembaca.

Penduduk Filipina 100 juta orang

 Penduduk Filipina 100 juta orangSeorang jururawat bersama bayi ke-100 juta Filipina yang dilahirkan selepas tengah malam di hospital di Manila, semalam. - Foto AFP

 Manila: Seorang bayi perempuan yang dilahirkan awal pagi semalam secara rasmi menjadikan jumlah penduduk Filipina kepada 100 juta, menunjukkan cabaran menyediakan keperluan kepada lebih ramai rakyat di negara miskin itu.

Bayi berkenaan, Jennalyn Sentino, ialah seorang daripada 100 bayi yang dilahirkan di hospital seluruh negara itu yang menerima petanda simbolik ‘bayi ke 100,000,000.’

“Ini adalah peluang yang perlu kita ambil dan cabaran yang perlu kita hadapi,” kata pengarah eksekutif Suruhanjaya Kependudukan, Juan Antonio Perez.

Walaupun peningkatan jumlah penduduk bermakna tenaga kerja ramai, ia juga bermakna lebih kebergantungan kepada negara yang menyaksikan kira-kira 25 peratus penduduknya hidup dalam kemiskinan, katanya.

Beliau berkata, Filipina perlu mencari jalan memberikan perkhidmatan kepada keluarga paling miskin dan pada masa sama menurunkan purata bilangan bayi yang boleh dilahirkan wanita subur.

Turunkan tahap kesuburan

“Kami mahu menurunkan kadar kesuburan kepada dua anak sepanjang hidup seorang wanita, daripada paras purata tiga orang,” katanya.
Ketika meraikan kelahiran bayi berkenaan dengan kek dan hadiah serta selimut, kerajaan juga memantau setiap seorang 100 kanak-kanak itu dalam masa beberapa tahun akan datang untuk melihat sama ada mereka menerima perkhidmatan kesihatan yang diperlukan, kata Perez. - AFP

Usik cebisan mayat: Jaga sensitiviti keluarga


  • MH17

KUALA LUMPUR - Pengamal media perlu bertanggungjawab ketika membuat liputan tragedi MH17 dan mengelak sebarang perbuatan yang boleh menggores hati anggota keluarga mangsa.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata demikian sebagai mengulas kritikan warga siber terhadap seorang wartawan portal berita Malaysia yang dikatakan mencucuk cebisan dipercayai kulit mangsa tragedi MH17 di lokasi pesawat itu terhempas di timur Ukraine.

"Tak semestinya apabila media jumpa sesuatu di lokasi dikatakan itu adalah bahagian anggota mangsa dan sebagainya...," katanya kepada Bernama selepas mengadakan kunjungan Aidilfitri di Wisma Bernama, hari ini.

Beliau juga berkata, media sepatutnya berkongsi kesukaran yang dialami pasukan penyiasat untuk mencari bukti terutama apabila lokasi kejadian terletak dalam kawasan yang dilanda konflik.

Pesawat MAS Penerbangan MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dipercayai ditembak jatuh pada 17 Julai dan mengorbankan kesemua 298 penumpang serta anak kapal. - Bernama

Barisan bakal perdana menteri Malaysia


TAN SRI ABDULLAH AHMAD
26 Julai 2014


ZAHID, Shafie, Hishammuddin, Khairy, Mukhriz, Anwar, Hadi, Lim Kit Siang dan Ku Li. Satu daripada dua tiga nama di atas besar kemungkinan jadi perdana menteri, paling kurang timbalan perdana menteri, “all being well ,of course”, tegas Speaking. Yang lain berangan  sahaja. Apa pun  jangan cepat putus harapan, selagi bernafas ada harapan! Keghairahan sesetengah amat sukar dimengerti. Beyond belief, really. Tetapi ada kemungkinan juga “a dark horse” akan menjelma, yakni  calon di luar dugaan.

Kewajipan paling berat seorang presiden dan (perdana menteri) mesti pikul, madah Presiden Lyndon Johnson, “is not to do what is right, but to know what is right” - bukan melakukan apa yang baik dan betul tetapi mengetahui sesuatu itu wajar dan saksama dalam tindakannya. Berdasarkan rekod dan pengalaman dan tanggapan rakyat, siapa antara mereka yang nama saya sebutkan tadi layak menggantikan Najib Tun Razak apabila masanya tiba?

Saya tidak senaraikan Muhyiddin Yassin kerana dia sendiri telah berkata berkali-kali - jika kita percaya cakapnya - dia tidak minat jadi PM bahkan berura-ura berhenti sebagai Timbalan PM. Kalaulah ini benar what and who is stopping him? Andainya Muhyiddin teruskan “hasratnya” siapa penggantinya di antara tiga Naib Presiden Umno yang paling qualified; mempunyai kapasiti, abiliti dan potensi yang Malaysia boleh berbangga di luar lurah, desa dan kampung kita?.

Mengikut kolumnis The Star, Joceline Tan, walaupun Najib tersasul, yakni sukar menyebut perkataan “proliferation” dua kali di depan Barack Obama, dia, Najib, petah bercakap dalam bahasa Inggeris dan bahasa Inggerisnya lebih baik daripada Obama. Najib bercakap Queen’s English sementara Obama berbicara dalam loghat American English. Kolumnis itu disokong oleh Alwi Che Ahmad, Adun Kok Lanas, kawan baik Tan yang mendakwa: “I am proud to be a Malay but I am also proud my Prime Minister did not speak English like a Malay (tersirat seperti Muhyiddin, Zahid, Shafie, Dr Mahathir dan bekas bos Alwi sendiri, Badawi?”)

Sepupu Najib pula, Hishammuddin Hussein Onn, seperti PM dianggap bercakap Queen’s English hasil pendidikan di England semasa mereka masih budak. Ramal Tan peranan Hishammuddin dalam peristiwa MH370 “has put him back into the running for the top job”. Yakni kepetahannya dalam bahasa Inggeris telah meletakkan kembali Hishammuddin sebagai seorang bakal perdana menteri. Peristiwa MH370 menunjukkan betapa pentingnya pemimpin kita fasih bahasa Inggeris.

Adakah ini bermakna peluang Zahid dan Shafie tipis jadi PM kerana keduanya menggunakan bahasa Inggeris loghat Melayu dan tidak idiomatik? Saya kira tidak. Benar bahasa Inggeris mustahak tetapi ilmu, akhlak, amanah, senang didekati dan tidak bongkak mesti didahulukan. Apa pun perwakilan dan pemimpin Umno menentukan siapa PM dan siapa TPM. Populariti atau 'likeability' pada akhirnya akan menentukan siapa berjaya. Memang bagus dan ideal kalau PM dan TPM bahkan menteri, timbalan menteri juga setiausaha politik harus boleh bercakap dan menulis dalam bahasa Inggeris dengan sempurna – di tahap yang diterima dalam kampung global. Lihat sahaja tidakkah memalukan kita kalau pemimpin kita bercakap Inggeris seperti Yingluck Shinawatra? Sungguhpun elit Thai ''embarrassed'' mendengar dan melihatnya tetapi Yingluck menang dua kali pilihan raya umum dan memimpin negara itu. Seboleh-bolehnya kita cari dan memilih calon yang bahasa Inggeris dan Melayunya baik tetapi lebih utama, pada saya, moral, kejujuran, abiliti dan senang didekati dan tidak sekali munafik serta bersalin muka tiap waktu.

Umno mesti menang PRU14 terlebih dahulu sebelum bercakap siapa pengganti Najib dan Muhyiddin. Umno sebenarnya kurang pemimpin pelapis ,baik di peringkat Pusat dan negeri. Siapa pemimpin pelapis Kelantan dan Selangor umpamanya? Di Pusat sekurang-kurangnya parti itu ada Khairy Jamaluddin dan Mukhriz Mahathir.

Parti pembangkang pula satu ketika calon PMnya berkisar pada Anwar Ibrahim, Hadi Awang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Lim Kit Siang. Selepas PRU14 ,kalau Pakatan menang mungkin calon mereka anak Lim Kit Siang, Guan Eng, isteri atau anak Anwar Ibrahim - Dr Wan Azizah dan Nurul Izzah atau Hadi hatta Mat Sabu pun.

Tidak boleh dinafikan bakal PM kita, baik dari Umno atau pembangkang, kalau boleh mesti bisa bicara dalam bahasa Inggeris yang  tidak menjadikan kita bahan ejekan dan jenaka. Bukan senang mencari calon yang petah bahasa Inggeris, bahasa Melayu juga berkelayakan, amanah, dedikasi dan yang tidak akan merompak negara kita.

Kalau pendapat Tan dan Alwi diambil kira, jelas Hadi tidak dalam barisan bakal PM tetapi kalau Pas menang, suka-duka, Hadi PM dan nasionalis bahasa akan senang hati kerana saya percaya Hadi akan berucap dalam bahasa ibunda di pentas mana pun, mungkin jarang-jarang sekali dalam bahasa Arab. Isu bahasa Inggeris tidak relevan. Islam mesti didahului. Seronoklah Melayu Islamis dan Melayu Arab.

Tiga tahun bukan masa yang lama. Macam-macam boleh berlaku di luar dan di dalam negara yang akan menukar landskap politik dan peluang parti politik. Dalam politik sebenarnya tiada pantang-larang - those who dare win- mereka yang sanggup ambil risiko menang (selalunya). Kerusi empuk dan royal/ presidential suite di Sri Perdana, Putrajaya dan di mana sahaja PM menginap dan hinggap tidak datang bergolek. Bakal PM mesti berlumba-lumba merebutnya.

Data kotak hitam sahkan MH17 ditembak


  • MH17

MOSCOW – RUSIA. Data yang diperoleh daripada kotak hitam MH17 yang terhempas baru-baru ini menunjukkan kapal terbang itu telah ditembak jatuh sehingga menyebabkan berlakunya letupan besar.

Melalui laporan sebuah portal hari ini, kenyataan tersebut didakwa didedahkan oleh jurucakap Majlis Pertahanan dan Keselamatan Ukraine, Andriv Lysenko.

Bagaimanapun pihak berkuasa Eropah yang turut menganalisa data dan maklumat yang terdapat dalam kotak hitam terbabit masih belum membuat sebarang pendedahan setakat ini.

Pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal termasuk bayi telah disahkan ditembak jatuh pada 17 Julai lalu pada ketinggian 33,000 kaki di udara.

Nahas tersebut telah mengorbankan kesemua nyawa penumpang dan anak kapalnya.

Dalam pada itu, Malaysia kini sedang mengadakan usaha rundingan bagi menggesa Belanda untuk mempercepatkan proses mengecam dan bedah siasat ke atas mangsa bagi memastikan jenazah rakyat Malaysia dapat dibawa pulang secepat mungkin.

Data penerbangan dan perakam suara kokpit pesawat pesawat tersebut direka dan dipasarkan pada pertengahan tahun 1990-an dan ia mungkin akan menyukarkan pasukan penyiasat untuk memperoleh data jelas dan lengkap.

Setiap hari menangis rindu bapa


Putrajaya: “Setiap malam anak bongsu saya menangis kerana terlalu merindui dan menginginkan bapanya. Dia memang sangat berharap suami saya pulang ke rumah,” kata Norazlinda Ayob, 39, iaitu isteri Junaidi Mohd Kassim, seorang daripada anak kapal pesawat penerbangan Malaysia (MAS) MH370.
Menurutnya, anak bongsunya Hani Daleeya berusia lapan tahun akan bertanyakan kepadanya setiap hari perkara yang sama selain meluahkan kerinduan terhadap Junaidi.
“Hampir setiap hari dia menangis mahukan bapanya pulang ke rumah dan saya cuba pelbagai cara dan idea supaya dia tidak lagi menangis serta tidak bertanyakan mengenai Junaidi.

“Pernah dia menangis dan mahu memeluk bapanya.
Foto
NORAZLINDA dan Hani Daleeya masih menanti khabar orang tersayang yang hilang Mac lalu.

Saya minta dia peluk saya dan luahkan segala-galanya mengenai kerinduan terhadap bapanya,” katanya.
Ibu kepada dua anak itu berkata, dia juga cuba sedaya upaya supaya Hani Daleeya tidak terlalu memikirkan bapanya kerana mahu memastikan anak kedua itu sentiasa gembira.

“Dia memang rapat dengan suami saya, malah anak saya yang sulung juga sangat rapat dengan Junaidi.

Setiap kali cuti panjang, mereka akan menghabiskan masa bersama.
“Jadi, seboleh-bolehnya saya cuba sedaya upaya supaya Hani Daleeya menjadikan saya sebagai tempat luahan perasaan apa yang tersurat dan tersirat dalam hatinya,” katanya Ditanya mengenai perkembangan terkini, Norazlinda yang bekerja sebagai perunding kewangan berkata, dia akan terus tabah dan memberi tumpuan untuk membesarkan dua anaknya biarpun belum ada sebarang berita penemuan mengenai MH370.

“Saya akan terus tabah dan tidak mahu menangis kerana jika saya bersedih dan hilang semangat, bagaimana pula dengan anak-anak saya.
“Anak sulung kami, Hareez Danni, 11, dapat memahami situasi yang kami hadapi sekarang ini berbanding Hani Daleeya disebabkan dia masih kecil,” katanya.

Katanya, kedua-dua anaknya adalah faktor yang menyebabkan dia terus tabah dan kuat untuk menghadapi kehidupan mendatang.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/28

Siapa tembak MH17



RUSIA mendedahkan bukti kehadiran jet pejuang Sukhoi 25 milik tentera Ukraine berada berhampiran pesawat MH17 sejurus sebelum pesawat itu ditembak jatuh.
TRAGEDI pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh dengan peluru berpandu di Grabove, timur Ukraine pada 17 Julai lalu mengorbankan kesemua 283 penumpang dan 15 anak kapal pesawat tersebut.
Namun, insiden tersebut terus mencetuskan persoalan tentang siapakah pihak sebenar yang bertanggungjawab atas kematian kesemua penumpang serta anak kapal yang tidak bersalah dan tidak terlibat langsung dalam konflik di Ukraine.
Sehingga kini, tidak ada mana-mana pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap perbuatan keji itu, sebaliknya saling menyalahkan antara satu sama lain. Ukraine dan Amerika Syarikat (AS) percaya perbuatan itu dilakukan oleh kumpulan pemberontak pro-Rusia yang menguasai timur Ukraine manakala kumpulan pemisah itu dan Rusia menyalahkan Ukraine.
Di sebalik dakwaan bahawa kedua-dua pihak tersalah tembak pesawat MH17 itu, apa yang menjadi tanda-tanya ialah kenapa pesawat MAS itu menjadi sasaran sedangkan kira-kira 300 pesawat penumpang melalui laluan sama pada hari serangan berlaku.
Insiden itu juga berlaku 132 hari selepas tragedi kehilangan secara misteri pesawat MAS MH370 bersama 239 penumpang dan anak kapal yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China pada 8 Mac lalu.
Adakah secara kebetulan pesawat MAS menjadi mangsa atau kedua-dua tragedi yang menimpa pesawat MH17 dan MH370 ini mempunyai kaitan dan telah menjadi sasaran pihak tertentu untuk melaksanakan agenda tersirat.
Pancawarna minggu ini melihat beberapa teori konspirasi serta kemungkinan menimpa pesawat MH17 yang berlegar di media-media sosial sejurus tragedi menyayat hati itu mengejutkan seluruh dunia.
Salah pemberontak pro-Rusia
TEORI yang paling mendapat tumpuan media antarabangsa ialah serangan tersebut dilakukan oleh kumpulan pemberontak pro-Rusia dan ada juga yang meminta Rusia bertanggungjawab atas kejadian itu.
Sejurus selepas terjadi insiden tersebut, penasihat kepada Menteri Dalam Negeri Ukraine, Anton Gerashenko dalam akaun Facebooknya mendakwa, pesawat MAS itu terbang pada ketinggian 10,000 meter dan dipercayai ditembak dengan peluru berpandu yang dilancarkan daripada pelancar Buk buatan Rusia.
Rakaman audio yang dikeluarkan oleh perkhidmatan keselamatan Ukraine (SBU) turut mendedahkan perbualan telefon dipercayai melibatkan anggota kumpulan pemberontak dengan pegawai perisikan tentera Rusia yang mengakui mereka tersalah tembak pesawat penumpang yang disangkakan pesawat tentera.
Ukraine menuduh kumpulan pemberontak pro-Rusia sebagai pihak bertanggungjawab menembak pesawat tersebut kerana mendakwa lebih 10 pesawat termasuk helikopter negara itu ditembak jatuh oleh kumpulan pemisah berkenaan sejak awal Jun lalu.
Kesemua pesawat itu yang terbang lebih rendah daripada Boeing 777 telah ditembak jatuh sejak pemberontak menggunakan Sistem Pertahanan Udara Mudah Alih (Manpads). Ini termasuk lima buah Mi-24 Hinds, helikopter Mi-8 (dua buah) serta masing-masing sebuah An-2, An-30 dan pesawat pengangkut Ukraine.
Sementara itu, pegawai perisikan AS menganggarkan Rusia memberi lebih daripada satu pelancar roket kepada pemberontak pro-Rusia sejak beberapa minggu lalu. Setiausaha Negara AS, John Kerry mendakwa, sistem pelancar roket yang diguna oleh pemberontak merupakan pemberian Moscow. "Jelas sekali, sistem terbabit telah dipindahkan dari Rusia ke tangan pemberontak," katanya.
Dalam perkembangan sama, seorang wartawan Associated Press mendakwa melihat pelancar peluru berpandu BUK berada di kawasan dikuasai pemberontak berdekatan dengan lokasi pesawat MH17 ditembak jatuh, beberapa jam sebelum kejadian pada Khamis lalu.
Konspirasi Ukraine dan AMERIKA
KETIKA AS dan Ukraine menuduh Rusia dan kumpulan pemberontak bertanggungjawab atas tragedi itu, Kementerian Pertahanan Rusia mengeluarkan rakaman video menunjukkan kehadiran sebuah jet pejuang Ukraine, Sukhoi 25 (Su-25) dikesan terbang pada jarak antara tiga hingga lima kilometer daripada pesawat MH17 sebelum kejadian tersebut.
Dalam sidang akhbar, seorang ketua pegawai tentera Rusia, Leftenan Jeneral Andrei Kartapolov berkata, Su-25 mempunyai keupayaan untuk memusnahkan target udara pada jarak dekat menggunakan peluru berpandu.
"Jet pejuang itu mampu terbang setinggi 10,000 meter untuk tempoh singkat. Persenjataan Su-25 termasuk misil R60 yang berupaya mengunci dan mengenai sasaran dari 12 kilometer dan pasti mengenai target dari jarak lima kilometer.
"Kami mahu Kiev menjelaskan kenapa jet pejuang terbang pada altitud dan waktu hampir sama dengan pesawat penumpang di laluan dikhaskan untuk pesawat awam," katanya.
Kartapolov juga mendakwa, pesawat MH17 yang pada suatu ketika terkeluar 14 kilometer dari koridor asal cuba untuk kembali ke laluannya tetapi terhempas sebelum sempat menukar haluan.
"Pesawat itu melencong dari laluan mungkin berlaku kerana anak kapal melakukan kesilapan navigasi atau mengikut arahan kawalan trafik udara Ukraine. Ini hanya boleh diketahui menerusi kotak hitam dan alat rakaman komunikasi kawalan trafik udara," ujarnya.
Selain itu, beliau mendakwa, imej daripada satelit Rusia menunjukkan Ukraine menggerakkan pelancar peluru berpandu Buk ke arah kedudukan kumpulan pemberontak pada hari tragedi pesawat MH17 itu berlaku.
Katanya, pada 14 Julai, sistem Buk itu berada lapan kilometer dari barat laut Lugansk dan tiga hari kemudian, ia digerakkan hampir ke kampung Zaroschenskoe, kira-kira 50 kilometer dari Donetsk dan lapan kilometer dari Shakhtersk.
"Kami ada soalan, kenapa senjata ini pergi begitu hampir dengan kawasan yang dikawal oleh pemberontak dan betul-betul sebelum tragedi itu? Pada 18 Julai, kami dapati senjata itu telah dikeluarkan dari kawasan tersebut," ujarnya.
Selain itu, Rusia mengesan peningkatan aktiviti radar Kupol-M1 9s18 oleh Ukraine. Radar itu merupakan sebahagian sistem Buk. Pada 15 Julai, hanya tujuh radar beroperasi tetapi meningkat kepada lapan radar pada 16 Julai dan sembilan radar pada 17 Julai iaitu pada hari pesawat MH17 ditembak jatuh.
Satu lagi pendedahan menarik dibuat oleh Rusia ialah sama ada secara kebetulan atau tidak, satelit AS dikesan melalui tenggara Ukraine pada masa yang sama pesawat MH17 ditembak jatuh.
Kartapolov juga mendakwa gambar yang menunjukkan Buk dipindahkan dari Rusia ke Ukraine adalah palsu. "Gambar itu diambil di bandar Krasnoarmeisk dan ia dibuktikan dengan papan tanda yang kelihatan sebelah jalan berkenaan katanya.
Didalangi Illuminati, CIA
BANYAK juga pihak membuat teori bahawa pertubuhan rahsia, Illuminati memainkan peranan dalam serangan pesawat MH17 bagi mencetuskan Perang Dunia Ketiga, sekali gus mewujudkan Order Dunia Baharu (NWO). Mereka percaya pesawat MH17 dipilih kerana kaitan pesawat itu dengan nombor tujuh.
Apa yang menariknya tentang insiden ini, pesawat MH17 itu merupakan Boeing 777 yang melakukan penerbangan pertamanya pada 17 Julai 1997 dan tragedi tersebut berlaku pada 17 Julai 2014 iaitu pada ulang tahun ke-17 pesawat tersebut. Adakah ia secara kebetulan atau sudah dirancang?
Selain itu, pesawat itu dipercayai ditembak oleh pelancar peluru berpandu Buk yang juga dikenali sebagai SA-17. Selain itu, Julai merupakan bulan ketujuh dalam tahun 2014. Kesemua angka dalam 2014 jika ditambah (2+0+1+4), jumlahnya ialah 17. Bagi pertubuhan-pertubuhan rahsia, nombor tujuh dikaitkan dengan intipati kesempurnaan.
Perancangan Israel untuk mengalihkan tumpuan isu Gaza?
ADAKAH secara kebetulan tragedi yang menimpa pesawat MH17 berlaku ketika Israel menggerakkan tenteranya untuk melakukan serangan melalui darat terhadap Gaza? Persoalan tersebut menyebabkan banyak juga pihak membuat teori bahawa kejadian ini didalangi Israel untuk mengalihkan tumpuan dunia terhadap perbuatan kejam mereka di Gaza.
Memang diakui tragedi MH17 yang mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal pesawat MAS itu telah mengalihkan tumpuan media dan dunia terhadap isu di Gaza yang hangat sebelum itu.
Bagi menguatkan teori ini, beberapa hari sebelum kejadian itu, ada satu komen di dalam sebuah laman blog mendakwa satu false flag atau operasi ketenteraan sulit akan berlaku di Ukraine bagi memberikan imej buruk kepada Rusia, sekali gus mengalihkan tumpuan dunia terhadap pembunuhan besar-besaran penduduk Palestin di Gaza oleh Israel.
Menurut komen tersebut, satu operasi false flag sama ada penggunaan senjata kimia atau yang paling teruk menembak jatuh pesawat penumpang akan berlaku di Ukraine dalam tempoh terdekat bagi mengalihkan tumpuan terhadap isu di Gaza. Ternyata, apa yang dikatakan tersebut menjadi kenyataan.
Sebelum ini, Israel dituduh merancang satu lagi plot seperti 9-11 menggunakan pesawat MH370 yang hilang. Ini kerana Israel dikatakan membeli pesawat terpakai daripada MAS iaitu sebuah Boeing 777 sama seperti pesawat MH370 dan MH17.
Pesawat Boeing itu yang pertama kali melakukan penerbangan pada Julai 1998 diterbangkan ke Israel pada November 2013 dan dilihat berada di sebuah hangar di Tel Aviv. Tindakan Israel membeli pesawat terpakai daripada MAS menimbulkan persoalan apakah motif tersembunyi rejim Zionis itu.
Cubaan membunuh Putin?
Antara teori lain yang popular ialah serangan itu didalangi keluarga Rothschild kerana mahu membunuh Presiden Rusia, Vladimir Putin yang dikatakan menaiki pesawat menggunakan laluan sama semasa pulang dari Brazil sejurus sebelum insiden itu berlaku.
Bagaimanapun, serangan itu tersalah sasaran dan mengenai pesawat MH17 yang disangka pesawat dinaiki Putin kerana laman media sosial juga dipenuhi dengan dakwaan kononnya Presiden AS, Barack Obama mengarahkan Agensi Perisikan Pusat (CIA) melancarkan serangan tersebut bagi membunuh Putin tetapi tersilap sasaran.
Pesawat MH17 & MH370 pesawat sama?
Ada pihak membuat teori yang paling tidak masuk akal ini apabila mendakwa pesawat MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine merupakan pesawat MH370 yang hilang pada 8 Mac lalu. Pihak ini juga mendakwa kononnya mayat-mayat penumpang MH370 yang kelihatan di dalam gambar bukan mayat sebenar tetapi pelakon yang disolek.
Mereka juga mempertikaikan kenapa pasport-pasport penumpang MH17 yang ditunjukkan dalam gambar dan video berada dalam keadaan amat baik sedangkan pesawat tersebut musnah terbakar. Menurut mereka, situasi itu sama dengan insiden 9-11 kerana pasport seorang perampas pesawat yang dikatakan melanggar Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York ditemui dalam keadaan baik ketika seluruh bangunan musnah dalam kejadian itu.
Ini merupakan teori yang paling tidak logik yang dibuat tentang insiden tersebut kerana tidak mungkin kematian sebegitu besar dalam tragedi MH17 boleh direka-reka.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140727/lu_12/Siapa-tembak-MH17#ixzz38jdPRmoS
© Utusan Melayu (M) Bhd