Showing posts with label gro. Show all posts
Showing posts with label gro. Show all posts

Saturday, March 19, 2011

RM3,000 upah teman VIP


MALISA ...peneman VIP di meja judi
MALISA ...peneman VIP di meja judi

KUALA LUMPUR: “Saya dianggap pembawa ‘ong’ (tuah) kepada golongan VIP kerana mereka selalu menang apabila membawa saya ketika berjudi di luar negara,” kata penuntut institut pengajian tinggi swasta (IPTS) yang hanya mahu dikenali sebagai Malisa.
Dalam pengakuannya kepada Harian Metro, gadis berusia 20-an itu mendakwa dia memperoleh wang dengan cara mudah dan mampu hidup mewah dengan ‘kerjaya’ sedemikian. Tanpa berselindung, Malisa mengaku dia mula ‘gelap mata’ apabila mendapat upah sehingga mencecah RM3,000 hanya dengan menemani golongan VIP ketika berjudi.

Menceritakan bagaimana dia mula terjebak dengan kegiatan itu, Malisa berkata, dia dipengaruhi rakan sekuliah yang memaklumkannya cara memperoleh wang mudah dengan hanya menjadi ‘pendamping’ dan penyeri di meja judi kepada golongan VIP berkenaan.

Malisa berkata, rakannya itu mendakwa dia tidak perlu menyerahkan tubuh kepada VIP yang ditemani tetapi hanya perlu berdiri di sisi mereka ketika berjudi, kononnya untuk memberi tuah.

“Secara kebetulan, pada waktu itu saya memang mempunyai masalah keluarga dan amat memerlukan wang bagi menampung perbelanjaan projek di universiti untuk menamatkan pengajian.

“Tanpa berfikir panjang, saya bersetuju mengikut rakan berkenaan untuk melakukan ‘kerja’ itu dan pada masa sama bertekad menjaga kehormatan saya dengan tidak melakukan hubungan seks dengan VIP yang saya temankan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurut Malisa, dia kemudian dibawa rakannya ke sebuah negara jiran sebelum ditemukan seorang lelaki bergelar Datuk di sebuah hotel bertaraf lima bintang di sana.

“Kami dilayan seperti puteri kerana segala perbelanjaan, seperti tiket penerbangan, penginapan, makan dan minum dibiaya Datuk itu bersama tiga lagi rakannya.
“Pada waktu malam, kami dibawa ke sebuah kasino di sana dan saya hanya perlu duduk di sisi Datuk berkenaan sambil berharap kehadiran saya benar-benar memberikan tuah kepadanya, selain bertepuk tangan jika menang,” katanya.

Malisa berkata, nasib menyebelahinya pada malam itu apabila Datuk yang ditemaninya menang dalam perjudian dan hasilnya, dia diberi upah sebanyak RM1,500.

“Sejak itu, saya semakin seronok melakukan aktiviti itu dan saya juga sudah mampu melakukannya bersendirian tanpa perlu mengajak rakan kerana sudah dikenali di kalangan VIP,” katanya.

Menurutnya, dalam aktiviti seterusnya sebagai gadis peneman VIP di meja judi, dia mendapat upah lebih lumayan dengan purata antara RM2,000 hingga RM3,000 untuk satu sesi.

Kata Malisa, biarpun sedar kerjayanya itu tidak bermoral dan salah mengikut ajaran Islam, kemewahan diperoleh menyebabkan dia berasa tidak bersalah dengan apa yang dilakukan.

“Terus-terang, pekerjaan ini kini sudah sebati dengan diri saya. Saya anggap apa yang saya lakukan ini sebagai pekerjaan sambilan pada hujung minggu kerana saya masih lagi belajar. Saya juga tak takut dicekup pihak berkuasa kerana aktiviti saya dilakukan di luar negara,” katanya. Malisa berkata, selepas melakukan kegiatan itu selama hampir tiga tahun dia kini mampu memperoleh pendapatan sehingga RM10,000 untuk membolehkan dia membeli barangan seperti beg tangan dan pakaian berjenama, selain mengirimkan wang untuk ibu bapa di kampung. Bagaimanapun, Malisa sedar dia tidak boleh selama-lamanya melakukan kegiatan itu dan tahu wang yang diperolehnya tidak berkat, malah pengajiannya juga semakin merosot. “Duit yang saya peroleh habis sekelip mata, saya tidak ingat apa yang saya beli dan belanjakan untuk apa. Saya harap saya dapat berhenti melakukan pekerjaan ini dalam masa terdekat,” katanya

Saturday, December 11, 2010

Beri dia masa, bukan paksaan

KUALA LUMPUR: “Jangan memaksa dia (Suzie) terus berhenti daripada pekerjaannya sebagai pelayan pelanggan (GRO), sebaliknya beri masa untuk dia berubah,” kata pakar motivasi terkenal, Datuk Dr Fadzilah Kamsah (gambar) ketika mengulas laporan mengenai seorang GRO yang kini sarat mengandung ingin kembali ke pekerjaan asal sebaik bersalin kerana mendakwa hanya itu pekerjaan mampu dilakukan bagi menyara anaknya itu.
Beliau berkata, dalam kes seperti ini, paksaan untuk berubah bukanlah jalan penyelesaian terbaik untuk membantu wanita itu. “Suzie boleh meneruskan pekerjaannya sebagai GRO, tetapi dalam masa sama dia hendaklah tidak reda melakukan kerja itu hingga mendatangkan kebosanan dan tidak seronok untuk bekerja lagi.

“Dengan cara itu, dia boleh berubah sedikit demi sedikit, kemudian mencari pekerjaan halal yang lain, sebaik mendapat pekerjaan lain, dia perlu berhenti terus melakukan kerja lamanya itu. “Suzie perlu menganggap kerja dilakukannya itu kerana sedang berada dalam keadaan darurat dan perlu cepat-cepat menukar pekerjaan. “Sebaliknya, pihak yang membantu pula perlu memberi bimbingan. Sebagai contoh nasihat yang baik dan mengingatkan dirinya mengenai setiap yang hidup pasti akan mati supaya dia tidak terus melakukan dosa,” katanya.

Menurutnya, wanita itu memerlukan kumpulan penyokong yang kuat yang akan terus memberi semangat untuk dia berubah seperti rakan, jiran dan kewaja sendiri.

“Siapa kita untuk menghukum kesilapan dilakukan Suzie. Jika dia bertaubat nasuha, dosanya semua akan kosong dan dia akan jadi seperti bayi yang baru lahir. Itu janji Tuhan kepada kita.

“Oleh itu, masyarakat tidak boleh menuding jari kepadanya, sebaliknya sama-sama memberi dorongan untuk berubah,” katanya.

Beliau turut menasihati pembaca sama ada yang bersimpati atau yang membenci Suzie mendoakan dia berubah dan kembali ke jalan diredai.

“Saya percaya wanita ini mempunyai masalah dalaman yang agak sukar diungkapkan kerana berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul, masyarakat sekeliling harus membantunya keluar dari pekerjaannya ini dengan memberi sokongan dan dekati diri mereka sebagai rakan akrabnya,” katanya.

Thursday, December 9, 2010

Bantu kembali ke pangkal jalan

KUALA LUMPUR: “Ada sedikit perubahan pada Suzie berbanding hari pertama dia di rumah ini, dulu berpakaian seksi, tetapi kini memakai pakaian muslimah,” kata pengasas Kem Kebajikan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahya Mohamed Yusof, 45, mengenai perubahan Suzie.
Beliau berkata, bukan mudah mengubah seseorang yang sudah 17 tahun bergelumang maksiat hingga kini mengandung anak luar nikah, namun pihaknya kini sedaya upaya memulih akidah dan rohani Suzie supaya menjadi wanita solehah.
“Kami cuba membantunya kembali ke pangkal jalan walaupun tugas ini sukar memandangkan pekerjaan Suzie sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, pihaknya memerlukan tempoh masa lama untuk memberi pemahaman mengenai Islam dan adat Melayu kepadanya.


“Suzie datang daripada keluarga yang agak pincang, namun Alhamdulillah di sebalik kerjayanya sebagai seorang pelayan pelanggan (GRO), dia masih mampu mengucap kalimah syahadah dengan lancar dan tahu asas Islam,” katanya.

Menurut Yahya, dalam tempoh tiga minggu Suzie ditempatkan di rumah ini (Kewaja), agak sukar juga pada mulanya untuk mendidik Suzie memandangkan dia wanita yang agak keras kepala dan sukar untuk diajar.

“Namun, ini mungkin ujian Tuhan untuk kami suami isteri kerana sudah lali dengan masalah remaja yang kuat memberontak.

“Mungkin Tuhan masih sayangkan Suzie maka dia dilorongkan ke rumah ini untuk berubah dan tidak mustahil anaknya yang bakal lahir menjadi insan berguna pada agama dan negara,” katanya.

Bayi ditempah RM22,000

INSAF...Suzie menunggu masa untuk bersalin.
INSAF...Suzie menunggu masa untuk bersalin.


KUALA LUMPUR: “Bayi ini sudah ditempah pada harga RM22,000,” kata seorang wanita yang kini menunggu masa untuk melahirkan kandungannya itu kepada dua wartawan Harian Metro yang bertemu dengannya di sebuah restoran di Bukit Bintang, di sini, baru-baru ini.
Dia yang memperkenalkan diri sebagai Suzie, 22, berkata satu pasangan suami isteri bukan Islam menyatakan hasrat membeli bayi berkenaan ketika kandungannya masih berusia lima bulan.
Pertemuan tanpa dirancang itu berlaku ketika penulis menikmati makan malam apabila ternampak Suzie bersama seorang rakan sekerjanya mencari meja untuk menjamu selera di restoran sama.

Melihat keadaan Suzie yang sarat mengandung sembilan bulan itu, penulis menawarkan tempat untuk dia duduk semeja.


Dalam perkenalan singkat itu, wanita yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) terbabit mula menyatakan hasrat untuk menjual bayinya sejurus dilahirkan kelak kepada pasangan suami isteri berkenaan.

“Saya sayangkan bayi ini, tetapi kerana kos sara hidup tinggi di ibu kota, saya terpaksa menjualnya,” katanya ketika pertemuan itu.

Menurutnya, dia nekad mahu menjual bayi dikandungnya itu kerana berasakan tidak mampu menjaganya apabila dilahirkan kelak.

Selain itu, katanya pasangan terbabit mendakwa akan menanggung segala kos bersalin termasuk pembedahan dan perubatan serta mendapatkan sijil beranak sah buat bayi yang bakal dilahirkannya itu.

Mendengar cerita itu, penulis menasihatinya tidak berbuat demikian dan memujuknya ke Rumah Kebajikan Wanita dan Remaja (Kewaja) di Gombak, untuk bersalin dan dijaga sepanjang berpantang.

Tiga minggu selepas pertemuan pada awal November lalu itu, Suzie dibawa ke rumah berkenaan selepas dia bersetuju cadangan penulis.

Sebaik tiba di Rumah Kewaja, Suzie kelihatan keberatan untuk tinggal di pusat itu, tetapi selepas dipujuk pemilik rumah perlindungan berkenaan, dia bersetuju menginap di situ dan menjalani kehidupan baru.

Wanita terbabit mengakui terdetik rancangan untuk menjual bayi dalam kandungannya itu selepas teruja dengan jumlah wang ditawarkan pasangan berkenaan.

Menceritakan lebih lanjut, menurut Suzie, dia didatangi pasangan suami isteri itu ketika melepak di Bukit Bintang dan mereka mendakwa sudah berkahwin, tetapi tidak dikurniakan anak.

“Pasangan itu menghampiri saya kerana perasan perut saya besar. Ketika itu, usia kandungan baru lima bulan.

“Saya bekerja sebagai GRO di sebuah kelab malam terkemuka, namun takdir mengubah hidup saya apabila berjumpa teman lelaki yang mendakwa mahu mengahwini dan mengubah diri saya kepada kehidupan lebih baik,” katanya ketika ditemui semula di rumah perlindungan itu.

Difahamkan, dia memilih jalan hitam dengan bekerja sebagai GRO selepas terpengaruh kehidupan mewah seorang rakan.

Tambahan pula, Suzie mendakwa dia dilahirkan dalam keluarga pincang dan tidak pernah menerima perhatian serta kasih sayang ibu dan bapa menyebabkannya keluar rumah dan memulakan hidup sendirian.

Menceritakan bagaimana dia boleh mengandung anak luar nikah, Suzie berkata semuanya bermula apabila mengenali seorang lelaki berusia 30-an di kelab malam tempatnya bekerja.

Selama dua tahun hubungan Suzie dan lelaki itu tidak ubah seperti pasangan suami isteri sehingga satu hari dia mengetahui lelaki terbabit sudah berkahwin.

“Saya menerima panggilan telefon daripada seorang wanita yang mendakwa isteri teman lelaki saya dan sebaik ditanyakan perkara itu, teman lelaki saya mengaku sudah berkahwin dan mempunyai dua anak.

“Hancur luluh hati ini apabila mengetahui perkara itu, namun kerana sayang kepadanya, saya bersabar sehingga satu hari saya disahkan hamil,” katanya.

Namun, apabila mengetahui perkara ‘gembira’ berkenaan, dia ditinggalkan lelaki terbabit kerana tidak percaya anak yang dikandungnya itu hasil hubungan cinta mereka.

Suzie yang pada mulanya mahu menggugurkan kandungannya ‘menyimpan’ janin terbabit kerana kononnya mahu teman lelaki bertanggungjawab, tetapi lain jadinya, sehinggalah didatangi pasangan berkenaan yang ingin membeli bayi itu.

Dia yang kini tinggal beberapa hari saja untuk bersalin, mengakui insaf dan tekad untuk membela bayinya itu sendiri selepas diberi suntikan semangat dan bimbingan agama sepanjang tempoh ditempatkan di rumah perlindungan berkenaan.

Wednesday, September 29, 2010

27 GRO asing dicekup lagi tak sampai 24 jam



29/09/2010 5:17pm

GEORGETOWN - Walaupun baru diserbu 24 jam lepas, sebuah pusat hiburan di Jalan Burma di sini tidak serik, malah meneruskan perkhidmatan menawarkan aktiviti tidak bermoral mereka seperti biasa.
Jika dalam serbuan Jabatan Imigresen Isnin lepas seramai 24 wanita asing dari China dan Vietnam ditahan, semalam pasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman pula menahan 27 wanita asing.
Dalam serbuan “Ops Noda” yang bermula kira-kira pukul 11.30 malam tadi hingga 2.30 pagi ini, polis menahan 20 wanita China dan tujuh wanita vietnam dipercayai bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) di premis itu. - Bernama

Wednesday, June 9, 2010

Kelantan lubuk GRO



KOTA BHARU – Kemasukan wanita warga asing ke Negeri Cik Siti Wan Kembang untuk menjadi pelayan pelanggan (GRO) semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini. 

Keadaan ini membimbangkan kerana Kelantan menjadi tumpuan dan seolah-olah sebagai lubuk rezeki kepada wanita dari negara sempadan termasuk Indonesia dan Myanmar untuk memperdagangkan tubuh badan mereka. 

Senario ini diperlihatkan secara jelas menerusi jumlah penangkapan GRO yang semakin meningkat pada setiap masa berdasarkan tangkapan oleh Jabatan Imigresen Kelantan dan sampai bila keadaan ini boleh dihentikan? 

Timbalan Penolong Pengarah (Penguat kuasa), Ketua Unit Operasi Imigresen, Amran Abd Aziz berkata, bermula Januari sehingga kini terdapat 76 GRO yang ditahan terdiri daripada pelbagai pendatang. 

“Kita bimbang dengan keadaan ini kerana bermula awal Jun sehingga 8 Jun sudah 31 GRO yang ditahan dan ini satu jumlah besar dalam jangka masa pendek. 

“Pada bulan sebelumnya hanya 19 sahaja yang ditahan dan hari ini kita melihat ia semakin ramai walaupun jabatan sentiasa menjalankan operasi tanpa mengira masa,” katanya semalam. 

Amran berkata, mereka ini juga dipercayai menyediakan khidmat seks kepada pengunjung-pengunjung berdasarkan penemuan kondom di premis ketika serbuan di jalankan dekat beberapa lokasi. 

“Hasil siasatan awal kami mendapati ada di antara tauke premis sanggup membayar RM1,500 untuk dijadikan GRO di lokasi mereka masing-masing. 

“Kami juga mempercayai kemungkinan terdapat penglibatan sindiket yang menggalakkan kegiatan ini terus berlaku, namun bagaimanapun pihak kami terus melakukan pemantauan dan membuat tangkapan untuk memastikan keadaan ini tidak berterusan,” katanya.