Thursday, April 3, 2014

Jet pengarah Lord of The Rings cari MH370



GAMBAR menunjukkan bentuk jet Gulfstream G650.


PERTH - Sebuah jet peribadi milik pengarah filem Lord of The Rings, Sir Peter Jackson turut terlibat dalam misi mencari sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang di selatan Lautan Hindi pada 8 Mac lalu.
Seorang jurucakap Jackson semalam mengesahkan bahawa pesawat jenis Gulfstream G650 itu telah disewa oleh pihak berkuasa Australia dan beroperasi di luar Perth.
Pesawat itu berharga AS$80 juta (RM261 juta).
Kata jurucakap itu, jet berkenaan mampu terbang jauh dan sesuai beroperasi di kawasan pencarian pesawat MH370 yang terletak di satu kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi.

JACKSON


Jelas jurucakap itu lagi, jet berkenaan memang diiklankan untuk disewa.
Pusat Koordinasi Agensi Bersama (JACC) yang menyelaras operasi mencari pesawat MH370 itu sebelum ini memberitahu sebuah jet awam digunakan sebagai satu pusat komunikasi antara pesawat tentera yang menyertai misi berkenaan.
Jet G650 mampu terbang lebih laju berbanding mana-mana pesawat yang digunakan oleh Tentera Udara Diraja New Zealand.
Ia mempunyai kelajuan maksimum kira-kira 1,140 kilometer sejam hampir menyamai kelajuan bunyi iaitu 1,234 kilometer sejam.
Keistimewaan jet G650 buatan syarikat Gulfstream Aerospace dari Amerika Syarikat itu adalah ia mempunyai jarak penerbangan sejauh 12,960 kilometer yang membolehkannya terbang tanpa henti dari Wellington, New Zealand ke Los Angeles, Amerika Syarikat (AS).
Pesawat MH370 yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing, China hilang pada 8 Mac lalu sebelum dipercayai terhempas di selatan Lautan Hindi.

GAMBAR yang disiarkan Pasukan Pertahanan Australia semalam menunjukkan seorang kru berada di atas bot dekat kapal HMAS Success bagi mencari serpihan pesawat MH370.


Usaha mencari kini tertumpu di kawasan seluas 254,000 kilometer persegi di Lautan Hindi yang mengambil masa penerbangan kira-kira dua jam setengah dari sini.
Operasi mencari sehingga kini gagal menemui sebarang serpihan pesawat.
Beberapa objek yang dikesan di Lautan Hindi disahkan sebagai sampah serta peralatan menangkap ikan.
Pesawat itu dipandu juruterbang, Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, dan pembantunya, Fariq Abdul Hamid, 27.
Pesawat itu membawa 227 penumpang dan 12 kru.
Seramai 153 penumpang dalam pesawat itu ialah warga China.
Sebanyak 38 warga Malaysia menaiki pesawat itu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0403&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2xmZsOOEB 
Hakcipta terpelihara 

Brunei mula laksanakan hukum hudud


Sultan Hassanal Bolkiah
BANDAR SERI BEGAWAN 2 April - Brunei muncul negara Asia Timur pertama melaksanakan hukum hudud bermula semalam, yang menyaksikan semua rakyatnya termasuk masyarakat bulan Islam turut tertakluk di bawah undang-undang tersebut.
Pemerintahnya, Sultan Hassanal Bolkiah menyelia sendiri peralihan itu yang antaranya memperuntukkan hukuman berasaskan undang-undang Islam terhadap pelbagai kesalahan seperti mencuri, merogol, berzina, meliwat, minum minuman keras dan terlibat dalam kegiatan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Brunei sebelum ini telah pun melaksanakan undang-undang syariah, namun hanya terhad kepada masalah melibatkan perkahwinan, wasiat dan keluarga Islam.
Bermula semalam, perundangan Islam itu diperluaskan lagi melibatkan hukuman seperti direjam sampai mati kerana kesalahan berzina dan sebatan sekiranya melakukan pengguguran bayi.
Badan bebas, Global Voices Online yang beribu pejabat di Amsterdam, Belanda sebelum ini melaporkan, Sultan Hassanal Bolkiah pernah memberi amaran bahawa individu yang menentang pelaksanaan hukum hudud boleh didakwa.
Akhbar berbahasa Inggeris India, Deccan Chronicle pula melaporkan, keputusan Brunei untuk melaksanakan hukuman hudud dan memperkenalkan semula hukuman mati, menerima banyak kritikan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan hak asasi manusia yang menyifatkannya bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.
Selain itu, perkara tersebut turut menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat bukan Islam Brunei, yang turut tertakluk dalam beberapa ketetapan kod berkenaan.
Penasihat Undang-Undang Antarabangsa Asia Tenggara, Suruhanjaya Undang-Undang Antarabangsa (ICJ) Emerlynne Gil dalam sepucuk suratnya kepada Sultan Hassanal Bolkiah berkata, jika peraturan baharu itu dilaksanakan, pencabulan hak asasi manusia yang serius bakal berlaku.
"Brunei tidak mengamalkan hukuman mati sebelum ini dan keputusan melaksanakannya begitu mengejutkan," ujar Gil.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140403/lu_01/Brunei-mula-laksanakan-hukum-hudud#ixzz2xlzmTWzc
© Utusan Melayu (M) Bhd