Saturday, August 27, 2011

Kedutaan Nepal sedia bantu jejaki Noshahira

KUALA LUMPUR: Kedutaan Nepal sedia membantu menjejaki gadis Malaysia yang dilaporkan lari mengikut teman lelaki warga Nepal ke Kathmandu, jika laporan mengenainya dibuat di kedutaan berkenaan Isnin ini. 
"Jika ada sesiapa datang ke kedutaan Isnin ini untuk memberi butiran mengenai lelaki itu seperti nombor pasportnya, kami akan berbincang dengan pihak berkuasa di Kathmandu," kata Duta Nepal ke Malaysia, Dr Rishi Raj Adhikari kepada pemberita pada majlis mempromosi Tahun Melawat Nepal 2011 di sini hari ini.

Laporan Bernama menyebut Noshahira Mohd Rasul, 21, dari Taman Kenangan, Sungai Karangan di Padang Serai, Kedah, dipercayai keluar rumah sejak 22 Ogos.
Menurut maklumat polis Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Norshahira dan lelaki Nepal itu yang dikenali sebagai Imthias Khan, 24, menaiki pesawat dari Pulau Pinang, transit di Bangkok dan terus ke Kathmandu pada 23 Ogos. 

Dr Adhikari juga mengingatkan warga Nepal yang bekerja di Malaysia agar tidak menjalin hubungan romantik dengan penduduk tempatan bagi mengelak kesulitan di masa depan. 

"Kepada semua warga Nepal, tolong jangan berkahwin atau melakukan perkara buruk kerana anda masih terikat dengan kontrak," katanya. 

Turut hadir pada majlis promosi pelancongan itu, lelaki kedua terendah di dunia yang berasal dari Nepal iaitu Khagendra Thapa Magar, 19. 
Beliau bersama barisan artis Nepal akan mengadakan penampilan khas di Johor Baharu esok, Pulau Pinang (30 Ogos), Kuala Lumpur (31 Ogos) dan Pelabuhan Klang (1 September). 

Dr Adhikari berharap promosi pelancongan besar-besaran itu dapat menarik rakyat Malaysia untuk melancong ke Nepal, yang terletak di Banjaran Himalaya. - BERNAMA 

Mengenali Wahabi



Antara cara-cara mudah mengenali mereka samada berfahaman Wahabi ataupun tidak ataupun terkena sedikit tempias dari fahaman Wahabi adalah:

Dari Sudut AQIDAH:

01. Gemar membahagikan-bahagikan tauhid kepada tiga bahagian iaitu Tauhid Rububiyah, Uluhiyah dan al-Asma Wa al-Sifat lantas menyamakan umat Islam kini dengan musyrikin Mekah.

02. Menyesatkan manhaj Asyairah dan Maturidiyah yang merupakan dua komponen utama dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah.

03. Kritikal terhadap sisitem pengajian Sifat 20.

04. Gemar membahaskan ayat-ayat mutasyabihat dan membahaskan perihal istiwa Allah Taala, tangan Allah Taala, di mana Allah Taala dan lain-lain ayat mutasyabihat lagi lantas memahami ayat-ayat itu dengan zahir ayat dan mencerca mereka yang mantakwil ayat-ayat ini. Akhirnya mereka secara tidak sedar termasuk di dalam golongan Mujassimah dan Musyabbihat.

05. Sering meletakkan isu-isu fiqh dalam bab aqidah, seperti tawasul dan istighatsah lantas mensyirikkan dan mengkafirkan amalan-amalan yang tidak sehaluan dengan mereka. Juga mensyirikkan amalan yang tidak dipersetujui contohnya mambaca salawat syifa dan tafrijiah dan lain-lain.

06. Mudah melafazkan kalimah syirik dan kufur terhadap amalan yang mereka tidak persetujui (Khawarij Moden).

07. Amat kritikal terhadap tasawuf serta tarikat dan mengatakan bahawa tasawuf dan tarikat diambil daripada ajaran falsafah Yunan, agama Buddha dan dan lain-lain.

Dari Sudut FIQH:

01. Kritikal terhadap mazhab-mazhab fiqh dan menganggap sesiapa yang berpegang kepada satu mazhab adalah taksub dan jumud. Mereka akan menyarankan mengikut fiqh campuran atas corak pemahaman mereka dan menamakannya sebagai Fiqh Sunnah.

02. Membahagikan manusia kepada tiga golongan iaitu mujtahid, muttabi dan muqallid dan mencerca golongan muqallid. Bagi mereka hanya menyeru kepada mengikut seorang alim atau imam itu hanyalah dengan dalil walaupun pada hakikatnya mereka tidak memahami dalil tersebut.

03. Gemar membangkitkan isu-isu furuk yang sudah lama diperbahaskan oleh para ulama terdahulu seperti isu tahlil, talqin, qunut subuh, zikir berjamaah, zikir dengan bilangan tertentu, lafaz niat solat, ziarah makam para nabi dan ulama, sambutan maulidur rasul dan lain-lain.

04. Perkataan bidaah sentiasa diulang-ulang pada perbuatan yang mereka tidak setuju. Bidaah di dalam agama bagi mereka hanyalah sesat dan akan menjerumuskan pembuatnya ke dalam neraka. Kata-kata Imam Syatibi pada pembahagian bidaah akan mereka ulang-ulangi. Menurut fahaman mereka pembahagian ulama lain pada bidaah hanyalah bidaah dari sudut bahasa.

05. Wahabi secara umumnya mengaitkan amalan-amalan tertentu kononnya sebagai rekaan dengan hawa nafsu atau kejahilan para ulama terdahulu manakala Wahabi di Malaysia cuba mengaitkan amalan yang mereka tidak persetujui hanyalah rekaan para ulama Nusantara.

06. Hanya berpegang kepada suatu pendapat dalam hukum hakam fiqh jika mempunyai dalil yang zahir dan amat gemar meminta dalil dari al-Quran dan al-Hadis seolah-olah mereka dapat membuat perbandingan sendiri kuat lemahnya sesuatu pendapat berdasarka dalil yang dijumpai.

Dari Sudut MANHAJ:

01. Berlebih-lebihan pada mengkritik mereka yang tidak sehaluan dengan mereka baik ulama terdahulu mahupun sekarang.

02. Menganggap bahawa hanya mereka sahajalah yang benar dan merekalah sahajalah pembawa manhaj salaf yang sebenar.

03. Bersikap keras kepala dan enggan menerima kebenaran walaupun dibentangkan beribu-ribu hujjah. Bagi golongan Wahabi dalil mereka yang menentang mereka semuanya lemah atau telah dijawab.

04. Amat gemar berdebat walau di kalangan masyarakat awam.

05. Terlalu fanatik kepada fahaman dan tokoh-tokoh yang mereka diiktiraf mereka seperti Muhammad Abdul Wahab, Abdul Aziz bin Baz, Nasir al-Albani, Muhammad Soleh al-Utsaimin, Soleh Fauzan dan lain-lain.

06. Mudah mengatakan bahawa ulama terdahulu sebagai silap ataupun sesat dan lain-lain.

07. Mendakwa mereka mengikut manhaj salafi pada urusan aqidah dan fiqh walaupun hakikatnya mereka amat jauh sekali dan tidak memahaminya.

08. Cuba untuk menyatukan semua pihak atas fahaman mereka lantas menyebabkan perpecahan umat.

09. Sebahagian mereka juga bersikap lemah lembut pada kuffar dan berkeras pada umat Islam.

10. Menyesatkan dan memfasiqkan sesiapa yang bercanggah dengan mereka serta melebelkan dengan pelbagai gelaran.

11. Seolah-olah menyamatarafkan hadis dhoif dengan hadis maudhuk lantas mendakwa mereka hanya mengikut hadis yang sahih selain kritikal terhadap penerimaan riwayat dan taasub dengan penerimaan atau penolakan Nasir al-Albani semata-mata.

12. Membuat khianat ilmiah samada pada penulisan atau pada pantahqiqan kitab-kitab lama terutamanya.

Semoga penulisan ini menjawab pelbagai persoalan mengenai fahaman Wahabi ini dan ia boleh membawa manfaat kepada umat Islam sejagat.


Artikel ini mungkin "PANAS" dimohon semua dapat merungkai dengan secara Ilmiah.

"SHARE" untuk mencari jawapan sebaik mungkin, "LIKE" untuk menyokong artikel ini.

Kupasan haruslah didalam bentuk ilmiah.

TANDA-TANDA SEBELUM SAKARATULMAUT



Orang yang bijak adalah orang yang sentiasa mengingati mati.

• Tanda 100 hari sebelum sakaratulmaut.

Ini adalah tanda pertama dari Allah SWT kepada hambaNya dan hanya akan disedari oleh mereka yang dikehendakiNya. Walaubagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini, sama ada mereka sedar atau tidak sahaja.

Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar. Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan-akan menggigil. Contohnya seperti jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar.

Tanda ini rasanya lazat dan bagi mereka yang sedar dan berdetik di hati bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran tanda ini.

Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian, tanda ini akan lenyap begitu sahaja tanpa sebarang munafaat. Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini maka ini adalah peluang terbaik untuk memanfaatkan masa yang ada untuk mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.

• Tanda 40 hari sebelum hari mati.

Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah SWT. Maka malaikat maut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita, antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa.

Akan terjadi malaikat maut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika.

Adapun malaikat maut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.

• Tanda 7 hari.

Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba-tiba ianya berselera untuk makan.

• Tanda 3 hari.

Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu diantara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti. Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit, hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu dimana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.

• Tanda 1 hari.

Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan harinya.

• Tanda akhir.

Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikat maut untuk menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula.

Wallahua’lam..


"Demi MASA! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali 
(1) orang-orang yang beriman, (2) dan yang beramal soleh 
(3) dan yang berpesan2 pada kebenaran (4) dan yang berpesan2 pada kesabaran". 
~Surah Al-'Asr.

Pembunuhan Syaikh Al Awlaki dan putranya oleh salibis AS digugat pihak keluarga



Kerabat dari tiga warga AS yang dilaporkan tewas dalam serangan pesawat tak berawak salibis AS di Yaman telah menggugat pejabat senior di Departemen Pertahanan AS dan CIA.

Menurut gugatan yang diajukan pada hari Rabu (18/7/2012), pembunuhan ulama kelahiran AS, Syaikh Anwar Al-Awlaki, anaknya Abdulrahman al-Awlaki (16), dan warga negara AS naturalisasi, Samir Khan, adalah inkonstitusional, menurut laporan Reuters.

Sebelumnya media melaporkan,serangan pesawat tak berawak CIA membunuh Syaikh al-Awlaki dan Khan di Yaman pada bulan September 2011. Pada bulan Oktober 2011, serangan pesawat tak berawak di Yaman menyebabkan putra Syaikh al-Awlaki dan enam orang lainnya tewas.

Dalam gugatan di Pengadilan Distrik AS untuk Distrik Columbia, kerabat menuduh Menteri Pertahanan Leon Panetta, Direktur CIA David Petraeus, dan dua komandan militer menyetujui dan mengarahkan penyerangan.

Mereka mengatakan bahwa tiga pembunuhan yang dilakukan oleh CIA melanggar jaminan hukum AS, termasuk hak atas proses hukum.

"Ada sesuatu yang sangat salah ketika seorang anak 16 tahun dapat dibunuh oleh pemerintahnya sendiri tanpa pertanggungjawaban atau penjelasan," kata Pardiss Kebriaei, seorang pengacara di Center for Constitutional Rights, yang mewakili keluarga, bersama dengan American Civil Liberties Union.

Para pejabat di Departemen Pertahanan AS dan CIA yang dituduh dalam gugatan, menolak berkomentar.

Gugatan ini diperkirakan akan membuka bab baru dalam perdebatan hukum atas penggunaan drone terhadap tersangka terorisme.

Militer AS telah menggunakan pesawat tak berawak ini di beberapa negeri Muslim, termasuk Yaman, Somalia, Afghanistan, dan Pakistan.

Washington mengklaim bahwa serangan udara militan target, tetapi sumber-sumber lokal mengatakan warga sipil telah menjadi korban utama dari serangan. PBB menyebut serangan pesawat tak berawak AS sebagai "pembunuhan bertarget yang mencemoohkan hukum

Gereja: Cari dalang sebenar



SHAH ALAM – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor menggesa Kerajaan Negeri mencari pihak yang bertanggungjawab merancang pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terhadap sebuah gereja, 3 Ogos lalu.

Ketua AMK Negeri Selangor, Irwan Ismail berkata, pihaknya menyatakan sokongan penuh terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam isu ini.

Menurutnya, AMK Selangor mahu Kerajaan Negeri memperkasakan institusi agama Islam di negeri ini termasuk usaha menambah baik pengagihan bantuan zakat.

“Penyiasatan dan pendedahan dalang di sebalik isu ini perlu diumumkan dengan segera bagi mengelakkan timbulnya persepsi negatif di kalangan rakyat.

“AMK juga menolak sekeras-kerasnya pihaknya yang cuba menangguk di air keruh demi kepentingan agenda politik sempit,” katanya kepada media, semalam.

Beliau sebelum itu menghantar memorandum kepada Pejabat Menteri Besar menerusi Setiausaha Politik Menteri Besar Faekah Husin.

Rabu lalu, penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu DUMC selepas mendapat maklumat bahawa terdapat orang Islam turut menghadiri majlis di gereja berkenaan.

Ketika pemeriksaan dilakukan, kelihatan seseorang sedang berucap diselitkan perkataan al-Quran dan terdapat bukti kegiatan cubaan memurtadkan umat Islam.

Kebakaran paling tinggi



TAIPING – Sepanjang bulan Ramadan ini, Balai Bomba dan Penyelamat Taiping telah menerima sebanyak 37 panggilan kecemasan melibatkan pelbagai kes bermula 1 hingga 22 Ogos lalu. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Penolong Kanan Penguasa Bomba Hasna Rashid berkata, bagaimanapun panggilan kecemasan melibatkan kebakaran adalah yang tertinggi, iaitu sebanyak 22 kes. 

Menurutnya, lain-lain kes yang diterima adalah melibatkan bencana alam (4), operasi mencari dan menyelamat (1), kemalangan (3) dan khidmat-khidmat khas sebanyak 7 kes. 

“Sepanjang Ramadan, kita banyak menerima panggilan untuk khidmat khas iaitu tujuh panggilan, kes bencana alam sebanyak empat panggilan, tiga panggilan melibatkan kemalangan dan satu panggilan melibatkan operasi mencari dan menyelamat. 

“Panggilan berhubung kes kebakaran banyak melibatkan kebakaran bangunan kediaman, dapur masak, lalang dan lain-lain kebakaran.” katanya kepada Sinar Harian. 

Sehubungan itu beliau menasihatkan agar orang ramai lebih peka dengan keadaan ini serta mengambil langkah berhati-hati dalam kesibukan membuat persiapan hari raya dan balik kampung. 

Beliau menasihatkan orang ramai agar memastikan semua suis elektrik ditutup, serta berada dalam keadaan selamat sebelum meninggalkan rumah masing-masing. 

“Dari sudut keselamatan kebakaran, kaum ibu dinasihatkan agar memastikan gas ditutup selepas memasak dan jangan sesekali meninggalkan dapur dengan api yang masih terpasang atau menyala,” katanya. 

Katanya, orang ramai juga perlu memastikan semua suis atau plag dicabut sebelum meninggalkan rumah masing-masing, bagi mengelak kejadian tidak diingini. 

Belaiu juga tidak lupa menasihatkan pengguna jalan raya agar merancang perjalanan masing-masing untuk mengelak kesesakan dan mengurangkan risiko berlaku kemalangan. 

“Pengguna lebuh raya dinasihatkan agar mengikut jadual yang disediakan pihak pengurusan lebuhraya utara-selatan dan berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) bila letih dan mengantuk, serta merancang perjalanan agar selamat sampai ke destinasi.

Tuntut minta maaf atau mahkamah



KUANTAN – Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh telah menghantar surat peguam permohonan maaf kepada dua individu yang didakwa menjatuhkan air muka dan kredibiliti beliau sebagai wakil rakyat.

Dua individu tersebut adalah wartawan TV3, Karam Singh Walia dan Presiden Ahli Majlis MCA, Datuk Ti Lian Ker kerana telah membuat tuduhan kepadanya mengatakan dia berbohong memperkatakan isu Lynas.

Menurutnya, melalui siaran di Buletin Utama pada 28,29,30 Jun dan 24 Ogos lalu, Karam Singh Walia telah mendakwa beliau mengatakan bahawa pakar-pakar Melayu dan pakar di Malaysia tidak boleh dipercayai.

“Saya merasakan diri saya telah diperkecil kerana membawa kepada ketidakpercayaan rakyat terutama penduduk di Kuantan mengenai pegangan saya dan beberapa NGO lain yang tidak setuju kilang ini dibina.

“Saya menghormati pendapat yang mereka lontarkan, tetapi mereka tidak boleh memperlekehkan pendapat saya kerana apa yang saya cakap mempunyai fakta tersendiri. Mereka juga menuduh saya penipu dan ini membuatkan maruah saya sebagai Ahli Parlimen turut tercalar,” katanya.

Selain itu, pendapat beliau mengenai kilang tersebut yang akan mengundang bahaya kepada rakyat tidak boleh disangkal begitu sahaja kerana selain daripada hujahnya sendiri, ia turut disokong oleh pakar-pakar yang lain juga.

Sehubungan itu, melalui peguamnya juga, dua individu tersebut harus membuat kenyataan memohon maaf.dalam tempoh tujuh hari

Menurutnya,, mereka harus membuat jaminan bertulis bahawa tidak membuat dakwaan seumpama itu lagi kepadanya.

Katanya, mereka harus membayar sejumlah wang sebagai ganti rugi yang menyebabkan kredibiliti dan reputasinya terjejas akibat tuduhan tersebut.

Menangisi murtad dan zakat

Minggu lepas saya dan beberapa orang sahabat pergi menemui salah seorang dari 12 individu yang dikaitkan dengan isu murtad baru-baru ini. Dia seorang janda yang mempunyai tiga orang anak. Usianya masih muda. Latar pendidikannya saya rasa ‘amat sederhana’. Saya tidak pergi untuk mempersalahkannya kerana pergi ke gereja dan terjebak dalam usaha kristiansasi. Saya pergi untuk membolehkan dia merasakan bahawa masih ramai yang ingin mengambil berat tentangnya. Lebih penting lagi, saya pergi untuk mengetahui apakah yang membawa dia sehingga terpaksa meminta simpati dan bantuan hidup dari pihak gereja. Sedih Saya sedih mendengar ceritanya. Menurutnya, dirinya seorang janda yang ditinggalkan suami. Terpaksa menanggung hidup tiga orang anak. Dalam kesempitan hidup yang amat, diminta keluar dari rumah sewa dan tenat mencari sesuap nasi untuk diri dan anak-anak dia pergi merintih di pejabat zakat. Dia tidak dilayan. Bahkan pegawai bertugas dengan tegas memberitahunya peruntukan sudah habis. Rayuannya tidak diendahkan. Dia keluar berusaha lagi. Dia berjaya mendapatkan surat sokongan ahli politik. Kembali ke pejabat zakat membawa surat tersebut, terus sahaja dia mendapat peruntukan zakat. Peruntukan yang kononnya sudah habis sebelum itu, kembali ada untuknya. Dengan berbekalkan wang zakat itu dia berusaha survive. Dia juga pergi ke bahagian kebajikan masyarakat, juga tidak dilayan. Dia bekerja untuk meneruskan hidupnya yang sempit. Di tempat kerja, melihatkan keadaannya yang susah dan miskin maka ada rakan sekerja yang beragama kristian mencadangkan untuk dia pergi ke suatu tempat yang mudah dan mesra dalam memberikan bantuan. Di situlah bermula hubungan dia dengan pihak gereja. Apa tidaknya, dia susah, kehidupan terhimpit dan anak-anak yang masih kecil memerlukan makanan dan perlindungan. Pihak gereja membantu keperluan hidupnya. Diberikan wang serta menziarahi keluarganya. Mereka tidak menjadikan dia peminta sedekah, tetapi mereka menggunakan pendekatan ‘mesra dan sayang’. Hatinya terpaut dengan kehalusan budi. Walaupun saki baki akidahnya membantah untuk dia menukar agama, tetapi dia tidak dapat menafikan perasaan sayang dan terhutang budi kepada pihak gereja yang berjasa menyelamatkannya.Bagaimana mungkin untuk dia merasai kehebatan Islam di saat penganut yang seagama dengannya tidak memperdulikannya. Bahkan enggan membantunya. Bagaimana pula dia dapat melihat kesilapan pihak gereja secara lahiriahnya sedangkan ternyata merekalah menolongnya? Orang mungkin berfalsafah dan berceramah secara retorik, namun jiwa insani terpengaruhi dengan apa yang dia rasai. Sakit demam anak-anaknya pihak gereja yang mengambil berat. Makan-minum mereka, pihak gereja yang membiayai. Bahkan keperluan rumah juga diberikan satu persatu. Tangkap Menurutnya, dia tidak menukar akidahnya, tetapi dia terus ke gereja membawa anak-anaknya. Anak-anaknya diterapkan ajaran Kristian oleh pihak gereja. Diajar nyanyian keagamaan dan nilai-nilai budi tertentu. Baginya, dilakukan semua itu untuk hidup. Rupanya ramai lagi yang senasib dengannya berada di bawah bantuan pihak gereja. Sebahagian mereka memang menukar agama kerana kecewa dengan sikap masyarakat Islam dan terpengaruh dengan budi pihak gereja. Menurutnya juga, tiada paksaan dari pihak gereja. Cumanya, pendekatan mereka amat mempengaruhi. Akhirnya, apabila pihak berkuasa agama mengetahui dia ke gereja, dia ditangkap untuk kali pertama dan beritanya disiarkan dalam akhbar. Menurutnya, sebaik sahaja ditangkap dan beritanya tersiar di media barulah pejabat zakat tergesa-gesa datang ke rumahnya. Begitu juga pihak kebajikan masyarakat. Dia memberitahu kepada pihak zakat bahawa dia ingin membuka taska. Mereka menyuruh dia mendapatkan rumah yang sesuai dan mereka akan bantu. Dia pun mendapatkan sebuah rumah yang mereka setujui yang agak besar dan sudah pasti sewanya agak tinggi. Malangnya, selepas dia menyewa rumah tersebut, selama tujuh bulan pihak zakat tidak menghulurkan bantuan kepadanya. Terkapai-kapai ketika itu. Pihak gereja jugalah yang datang dan melangsaikan kesempitannya untuk menjelaskan sewa rumah tersebut. Sehinggalah apabila timbul isu, pegawai zakat menghubungi dan meminta agar dia memaklumkan kepada pihak yang bertanya bahawa pegawai zakat memang ada datang. Ya, selepas itu memanglah pihak zakat memberikan satu jumlah bantuan yang agak besar kepadanya dengan ‘tukaran’ yang tidak dapat saya maklumkan di sini. Semasa pihak berkuasa agama membuat penyiasatan ke atas gereja berkenaan, dia berada dalam gereja berkenaan bersama dengan sejumlah orang Islam yang lain yang senasib dengannya. Walaupun, kali kedua media menyiarkan dia termasuk dalam senarai murtad dalam peristiwa itu, hakikatnya dia tidak murtad, cumanya ada di situ bersama dengan mereka yang senasib dengannya. Namun, menurutnya memang ada yang murtad. Alhamdulillah dia masih kekal dengan keislamannya. Semuanya itu kerana desakan hidup. Terus-terang dia sebut ‘semua untuk wang kerana saya ingin membesarkan anak-anak saya’. Semasa saya menziarahinya –tanpa notis awal- dia baru sahaja selesai menunaikan solat terawih. Menurut dia memang ramai lagi yang terpengaruh dengan usaha kristianisasi yang dilakukan. Mereka yang banyak terlibat terdiri dari kalangan ibu tunggal yang miskin, saudara baru muslim yang tidak dipedulikan, wanita yang mengandung tanpa suami, pesakit aids dan juga muslim dari Sabah dan Sarawak yang dalam kesusahan. Apa yang hendak dipelikkan, begitulah tabiat agama yang merasakan mereka berkhidmat untuk Tuhan. Apa yang hendak pelik jika gereja mengajar ajaran Kristian kerana itu memang kerja gereja. Tak mungkin gereja hendak berdakwah kepada Islam. Namun yang pelik apabila ada negeri yang puluhan individu yang mempunyai Ph.D dan masters dalam pengajian Islam yang disahkan oleh kerajaan tetapi tidak dibenarkan mengajar Islam di masjid dan menyampaikan Islam kepada orang Islam. Salah Siapa? Jika kita ingin melepaskan diri, mudah sahaja, kita letakkan kesalahan ini kesemua di pihak gereja. Kita tuduh merekalah punca segalanya. Kemudian kita buat demonstrasi, kita bakar semangat orang awam untuk bangun menentang gereja yang melakukan aktiviti bantuan dan ‘dakwah’. Adapun kita yang tidak membantu dan berdakwah ini, tidak perlulah disalahkan. Begitukah kita? Supaya orang dapat melupakan kesilapan kita, kita letakkan segala dosa ke atas orang lain semata. Cubalah bayangkan jika ada sebuah rumah yang didiami oleh satu keluarga yang besar dan kaya tiba-tiba salah seorang ahli rumah itu lari ke rumah jiran atas atasan tidak diberikan perhatian dan mendapat perlindungan serta makanan. Sementara si jiran sebelah pula menghulurkan bantuan dengan pelbagai tawaran. Apakah suatu penyelesaian yang tuntas dengan hanya kita mencadangkan agar dibakar rumah jiran, atau ditangkap si jiran atau dihukum si jiran kerana mempengaruhi ahli keluarga kita. Dalam masa yang sama kita, kita tidak persoalkan tanggungjawab kekeluargaan yang kita abaikan selama ini. Zakat Saya tidak menafikan usaha-usaha baik pengurusan zakat yang telah pun berjaya dilakukan. Kita tahu, zakat kita banyak. Jika dihimpun seluruh negara, mungkin mencecah lebih satu billion. Itu setiap tahun. Bangunan-bangunan zakat cantik dan indah. Iklan-iklan mengutip zakat juga canggih dan mahal. Gaji-gaji yang terlibat mengurusnya jangan ditanya lagi. Cara membayar zakat juga dipermudahkan dengan pelbagai kaedah dan teknologi. Tiba-tiba si miskin kita terpaksa merintih simpati dari gereja? Sesetengah pegawai zakat bersifat begitu meterialistik. Berwajah manis jika hadir di depannya pembayar zakat, tapi berwajah suram jika yang hadir itu pemohon zakat. Tiada semangat dakwah dan ukhuwwah Islamiyyah. Pemohonan menjadi sulit dan sukar. Apatahlagi jika mak cik tua yang uzur disuruh mengisi borang. Maka, pemohon zakat bagaikan peminta sedekah. Sebab itu barangkali ramai fakir yang tidak sanggup ke pejabat zakat. Jika program ‘Bersamamu’ boleh menemui si fakir saban minggu, kenapa pula pihak zakat gagal mengesan mereka. Jika usaha mengutip zakat begitu hebat, alangkah baik dihebatkan juga usaha mencari mereka yang layak menerima zakat. Mencari orang miskin itu penting, bukan menunggu mereka datang. Bukan semua yang miskin sanggup atau dapat datang kepada pihak zakat. Menurut al-Quran, yang miskin tidak meminta itu lebih patut diutamakan. Firman Allah (maksudnya): “(Pemberian sedekah itu) adalah untuk golongan fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); orang yang jahil menyangka mereka kaya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) tanda-tanda mereka, mereka tidak meminta daripada orang ramai secara mendesak-desak, dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang baik maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya”.( Surah al-Baqarah ayat 273) Berilah zakat kepada mereka, kerana itu memang hak mereka. Jangan jadikan mereka pengemis di pejabat zakat. Berilah dengan kasih dan perancangan agar mereka keluar dari daerah kemiskinan. Kata Saidina ‘Umar r.a.: “Apabila engkau memberi zakat, kayakanlah mereka”. Kata Ibn Hazm (meninggal 456H): “Apa yang kami tahu tiada sahabah yang berbeza dalam hal ini” (Ibn Hazm, Al-Muhalla 4/280, Beirut: Dar al-Kutub al-‘ilmiyyah). Bahkan zakat boleh diberikan kepada bukan muslim yang miskin atas peruntukan fakir dan untuk dakwah atas peruntukan muallaf. Lihatlah perbahasan fekah yang lebih luas. Jika zakat berfungsi, bukan muslim akan tertarik dengan Islam. Jika ia tidak berfungsi, yang sudah Islam pun ingin keluar dari Islam! Dipetik daripada blog Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Naoto Kan letak jawatan PM



TOKYO 26 Ogos - Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan hari ini mengumumkan perletakan jawatannya sebagai presiden Parti Demokratik Jepun (DPJ), lapor media Jepun, secara langsungnya menamatkan jawatannya sebagai pemimpin Jepun.
"Saya meletak jawatan (parti) presiden berkuat kuasa hari ini," kata Kan kepada pegawai kanan parti, Jiji.
Langkah yang telah lama dijangka itu membuka jalan kepada pilihan raya perdana menteri keenam untuk penggal lima tahun sambil Jepun mencari jalan pulih dari bencana gempa bumi dan tsunami 11 Mac lalu serta krisis nuklear yang masih berlaku.
Pilihan raya bagi presiden parti yang baru yang kemudian akan menjadi perdana menteri dijangka berlangsung Isnin depan.
Parlimen kemudian akan mengundi jawatan Perdana Menteri itu pada hari Selasa minggu hadapan.
Selepas Kan terselamat daripada undi tidak percaya pada bulan Jun lalu, beliau berjanji akan meletakkan jawatan dengan syarat tiga rang undang-undang diluluskan iaitu belanjawan kedua, belanjawan bagi membiayai rang undang-undang baru dan penggubalan undang-undang mempromosikan penggunaan tenaga yang boleh diperbaharui.
Seramai sembilan orang calon mahu merebut jawatan Kan termasuk bekas Menteri Luar Negara, Seiji Mehara yang digemari ramai. - AFP

18 maut dalam serangan berani mati di Nigeria



27/08/2011 2:33am

ABUJA 27 Ogos – Sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh manakala lapan yang lain cedera dalam satu serangan pengebom berani mati di bangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di ibu negara Nigeria, di sini semalam, kata seorang pegawai polis.
Pesuruhjaya Polis, Mike Zuokumor berkata, sebuah kereta Honda yang dinaiki pengebom berani mati meletupkan kereta sekali gus menyebabkan dia terputus tiga.
"Saya tidak pasti berapa ramai orang yang masih berada dalam bangunan tersebut dan operasi menyelamat masih dijalankan.
"Setakat ini, kami mendapati 18 orang terbunuh dan lapan cedera," katanya.
Tambahnya, pasukan penyelamat masih bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan. - AFP

Mangsa culik di Jolo hidup dalam tekanan



KUALA LUMPUR 26 Ogos - Rakyat Malaysia yang kini diculik di kepulauan Jolo, Filipina, Mohd. Nazaruddin Saidin dipercayai berdepan dengan kesukaran hidup kerana dipercayai hanya menjamah nasi berlaukkan garam sebagai menu tetap setiap hari.
Sumber polis berkata, walaupun penculik meminta wang tebusan bernilai jutaan ringgit, mangsa tetap diberi tekanan lebih-lebih lagi dia terpaksa berpindah-randah bagi mengelakkan dikesan oleh pihak ketiga.
Kata sumber berkenaan, Nazaruddin terpaksa dialihkan setiap masa agar pihak ketiga itu tidak menemui kumpulan penculik seterusnya 'mengambi alih' penculikan itu.
"Sindiket penculikan di sana boleh diibarat sebagai satu industri dan kumpulan penculik begitu menjaga mangsa agar kegiatan mereka itu memperoleh hasil dengan pembayaran wang tebusan.
"Oleh itu, mereka harus berpindah-randah setiap masa dan ia tentu sekali memberi kesan kepada mangsa culik. Nazaruddin mungkin diberi makan nasi berlaukkan garam dan tidur di atas tanah sahaja," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Nazaruddin ke kepulauan terbabit awal Mei lalu untuk menambah pendapatan keluarga dengan berniaga cicak tokek. Namun, langkahnya ternyata silap apabila dia akhirnya menjadi mangsa sindiket penculikan yang dipercayai anggota Abu Sayyaf.
Bagaimanapun, kepulangan ahli perniagaan kecilan itu ternyata ditunggu-tunggu ahli keluarganya terutama enam anaknya menjelang sambutan Aidilfitri ini.
Mengulas lanjut sumber memberitahu, Nazaruddin ternyata bernasib baik kerana penculiknya beragama Islam.
"Mereka mungkin akan mengacah-acah membunuh rakyat Eropah tetapi tidak akan sesekali mengapa-apakan mangsa yang seagama dengan mereka," jelas sumber itu.
Ditanya tentang nilai wang tebusan Nazaruddin semasa pula, sumber polis itu tidak menolak, jumlahnya telah meningkat memandangkan tempoh penculikan telah berlarutan beberapa bulan.
"Selagi mereka tidak dapat wang serta berpindah-randah, kos akan meningkat kerana pengawal yang menjaga Nazaruddin juga perlu diberikan upah.
"Malah, walaupun hanya memberi makan nasi berlaukkan garam, itu juga kos yang akan dimasukkan dalam wang tebusan itu nanti," katanya.utusan

M Shahdan meninggal selepas bersahur

KUALA LUMPUR: Pelakon veteran, Adan Meon atau dikenali M Shahdan meninggal dunia akibat sesak nafas di rumahnya di Kampung Padang Balang, Gombak di sini, kira-kira jam 6 pagi semalam.
M Shahdan, 76, menghembuskan nafas terakhir selepas bersahur. Dia yang uzur dan mengidap kencing manis terlanggar tunggul kayu dua hari lalu sebelum terlantar di rumah. Produser, Skop Production Sdn Bhd, Datuk Yusof Haslam, berkata kehilangan rakan karibnya itu dirasai selepas mereka bersahabat sejak kegemilangan Merdeka Studio pada 1973.

“Sepatutnya, dia datang ke majlis kesyukuran Skop di Finas baru-baru ini untuk terima bonus Aidilfitri, tetapi dia tidak dapat hadir kerana uzur. “Sepanjang mengenalinya, dia seorang yang gigih bekerja sejak zaman Cathay Keris Film pada 1960-an hingga ke akhir hayat. Dia seorang yang suka bekerja belakang tabir dan seronok berlakon.

“Dia juga membintangi 20 drama terbitan Skop antaranya, Harimau Rimba, Remang-Remang Kotaraya, Gerak Khas dan filem, Pasrah. Sejak tujuh tahun lalu, dia bertambah uzur dan hanya berniaga nasi lemak dan mi bandung Muar,” katanya.

Arwah berasal dari Muar, Johor, pernah membintangi pelbagai filem Melayu termasuk Hati Batu (1973) terbitan Cathay Keris Film, Cinta dan Lagu (1976) bersama Merdeka Film Productions dan Bila Hati Telah Retak (1983). Dia juga pernah bekerja belakang tabir sebagai ‘runner’ dan pengurus produksi. Jenazah dikebumikan selepas solat Jumaat di Tanah Perkuburan Islam Gombak.hmetro

6 sukarelawan terbunuh

NARATHIWAT: Lima anggota sukarelawan keselamatan yang dalam perjalanan ke satu lokasi serangan di sini terbunuh apabila sebutir bom yang dipasang di tepi jalan meletup.
Pegawai berkenaan yang menerima laporan mengenai seorang lelaki ditembak mati di sebuah ladang getah di Narathiwat, menjadi sasaran satu daripada dua bom yang dipasang di tepi jalan menuju ke kawasan itu.

“Pegawai kami ke ladang getah berkenaan tetapi berlaku letupan di tengah jalan,” kata Lt Kolonel Prakard Eiadklai, Ketua Polis Daerah Rue Soh.

Seorang lelaki cedera dalam kejadian itu. Bom kedua dimatikan sebelum pihak berkuasa berjaya menjejaki mayat mangsa tembakan itu.

Dalam satu letupan berasingan di Yala, lima pekerja pemungut sampah cedera, dua daripada mereka parah apabila sebutir bom yang disembunyikan dalam plastik sampah meletup.

Kira-kira 4,800 orang terbunuh sejak penduduk Islam selatan Thai melancarkan gerakan menuntut kemerdekaan pada awal 2004, menurut Deep South Watch, kumpulan yang mengawas pertelingkahan bersenjata di tiga wilayah paling selatan Thai.


Pertubuhan itu yang mencatatkan 73 serangan sejak awal Ogos berkata, sudah menjadi lumrah keganasan meningkat ketika bulan puasa yang akan berakhir Isnin depan.

Kumpulan hak asasi berkata, militan selatan Thai memberontak kerana menentang penindasan yang sudah sekian lama berlarutan terhadap penduduk Melayu beragama Islam oleh pihak berkuasa di negara yang majoriti penduduknya beragama Buddha, termasuk penganiayaan oleh anggota tentera.hmetro

Terpaksa berlakon

KUALA LUMPUR: “Orang nampak saya bahagia bersama suami, tetapi derita di hati siapa yang tahu kerana hakikatnya saya ibu tunggal yang sudah bercerai kira-kira dua tahun setengah,” luah seorang wanita dikenali sebagai Aminah.
Aminah, 54, mempunyai tiga anak hasil perkahwinan pertama bersama arwah suami dan seorang anak menerusi rumah tangga yang didirikan bersama bekas suami kira-kira 12 tahun lalu.

“Saya menyembunyikan identiti sebagai ibu tunggal kerana saya tidak mahu anak-anak tertekan dan dipandang serong masyarakat,” katanya kepada Harian Metro.

Aminah menyara kehidupannya dengan wang pencen arwah suami RM250 sebulan yang pernah bekerja sebagai posmen dan tidak mempunyai pendapatan tetap lain kerana tidak mampu bekerja kerana disyaki menghidap barah otak.

Katanya, dua anaknya berusia 19 dan 23 tahun tidak mempunyai pekerjaan tetap kerana keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mereka kurang cemerlang manakala seorang lagi masih meneruskan persekolahan dalam tingkatan satu.

“Saya buntu kerana wang sara hidup tidak mencukupi walaupun bekas suami masih memberi sedikit wang nafkah bergantung kepada kemampuan setiap bulan sekitar RM300 hingga RM500,” katanya.


Menurut Aminah, ibunya di kampung masih bergantung kepadanya bagi melangsaikan sewa rumah iaitu RM100 setiap bulan tidak termasuk wang makan minum serta bayaran sewa rumahnya iaitu RM124 sebulan.

Aminah berkata, dia tidak mahu kembali kepada bekas suaminya kerana lelaki itu kaki pukul dan kaki perempuan kerana hatinya seolah-olah sudah ‘kering’ walaupun itu adalah antara jalan penyelesaian kepada kebuntuannya. “Bekas suami curang dan wanita yang mendampinginya bersilih ganti sehingga membabitkan hubungan sulit di rumah kami sendiri ketika ketiadaan saya, malah saya dan anak menjadi mangsa barannya sehingga dipukul dan ditengking,” katanya. Katanya, dia pernah rujuk dua kali dan perangai suaminya itu tetap tidak berubah dan dakwanya dia tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Kata Aminah, bekas suaminya masih ke rumah untuk menjenguk anak dan mereka ‘berlakon’ di hadapan masyarakat sekeliling seolah-olah masih suami isteri.

“Saya tidak mahu burukkan bekas suami kerana semua orang anggap kami pasangan bahagia dan setakat ini belum ada jiran yang menghidu mengenai pertengkaran kami sebelum ini. “Saya berharap ada pihak yang boleh tampil membantu saya terutama bantuan kepada anak saya menyambung pelajaran,” katanya.

Pada masa sama, dia juga berharap agar pihak kerajaan menaikkan kadar pencen yang diterimanya kerana baginya jumlah yang diperoleh sekarang tidak mencukupi bukan saja untuk dia sekeluarga, tetapi juga rakannya yang mengalami nasib serupa.

“Ada beberapa orang rakan saya turut mengalami kesempitan hidup akibat wang pencen yang terlalu sedikit jumlahnya,” katanya.

2 diberi amaran

SHAH ALAM: Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak dan seorang wartawan Utusan Melayu diberi amaran keras oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam supaya tidak menyiarkan apa-apa komen berhubung perbicaraan kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain yang masih berjalan.
Hakim Datuk Akhtar Tahir menetapkan sedemikian selepas mendengar penjelasan berhubung penyiaran satu artikel bertajuk ‘Manjeet selalu burukkan kerajaan’ dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 17 Ogos lalu daripada Aziz dan wartawan, Raja Syahir Abu Bakar. Akhtar berkata, tindakan akhbar itu menyiarkan artikel berkenaan tidak wajar memandangkan pihaknya belum lagi membuat apa-apa keputusan dalam kes berkenaan termasuk beberapa permohonan pihak pembelaan yang mahu mengenakan tindakan menghina mahkamah terhadap pihak pendakwaan. Selain itu, katanya, wartawan berkenaan juga tidak pernah menghadiri perbicaraan dan kandungan artikel itu juga mengandungi fakta tidak tepat.

“Mahkamah memanggil kamu berdua untuk menegaskan apa-apa komen (berhubung kes ini) tidak boleh diterbitkan. Kamu boleh berbincang di kedai kopi, tetapi tidak boleh terbitkan (komen). “Apa yang berlaku dalam mahkamah termasuk keterangan saksi, itu kamu boleh laporkan,” katanya. Akhtar juga menegur kandungan artikel itu yang memberi gambaran proses perbicaraan di mahkamah boleh digunakan medan politik. “Hari ini, saya cuma beri amaran supaya perkara ini tidak berulang. Saya harap media ambil perhatian. Saya tidak akan mengambil tindakan tegas hari ini” katanya. Menurutnya, sebarang serangan terhadap pasukan pembelaan juga secara langsung adalah serangan terhadap mahkamah. Sebelum ini, mahkamah pada 19 Ogos lalu memerintahkan wartawan Utusan Malaysia bersama editornya hadir memberi penjelasan berhubung penyiaran artikel didakwa ‘menyerang’ peribadi Manjeet Singh Dhillon, peguam bagi tertuduh pertama N Pathmanabhan. Manjeet sebelum itu, membangkitkan penerbitan artikel dalam akhbar Utusan Malaysia yang didakwa subjudis terhadap perbicaraan kes itu yang masih berjalan.

Sambil menunjukkan salinan fotokopi artikel itu, beliau berkata selain Utusan Malaysia, artikel itu turut disiarkan berita TV3.

Beliau berkata, artikel berkenaan tidak mempunyai asas kerana mendakwa ada campur tangan politik dalam perbicaraan itu dan mendakwa pihak pembelaan dalam kes bunuh Sosilawati alat kepada pemimpin pembangkang.

Dalam artikel berkenaan, Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishan diminta memberi ulasan berhubung tindakan Manjeet yang didakwa beberapa kali meminta mahkamah mengenakan tindakan menghina mahkamah ke atas pihak pendakwaan dalam kes itu. Perbicaraan bersambung 12 September depan.hmetro

Tidak ikut standard

KUALA LUMPUR: Seorang pakar DNA mendakwa di Mahkamah Tinggi di sini, semalam, bahawa kaedah digunakan ahli kimia dalam mendapatkan ekstrak air mani dari dubur bekas pembantu peribadi, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat bekas majikannya tidak mengikut prosedur yang betul.
Saksi keempat pembelaan, Dr Brian Leslie McDonald berkata, ini adalah kerana ujian analisis yang dilakukan ahli kimia, Dr Seah Lay Hong itu tidak mengenal pasti terlebih dulu bahan di analisis sebagai sperma atau tidak, sebaliknya hanya membuatnya berdasarkan andaian.

Dr McDonald berkata demikian ketika memberi keterangan di dalam prosiding pembelaan, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa meliwat Mohd Saiful Bukhari, 26.

Beliau berpendapat, ahli kimia itu sepatutnya menggunapakai amalan standard iaitu membuat slaid calitan terlebih dulu sebaliknya terus menjalankan proses pengasingan air mani itu.

“Dr Seah tidak mengenal pasti sama ada air mani itu adalah sel tulen dan bukan dari bahan lain. Air mani adalah lebih berat dan diibaratkan seperti bola manakala sel lain adalah ringan dan dianggap seperti belon.

“Oleh itu ujian pengasingan mengikut prosedur perlu dilakukan. Calitan air mani di atas slaid perlu dibuat dan ahli kimia perlu melihat di bawah mikroskop bagi memastikan sel yang ada adalah air mani,” katanya.


Menjawab soalan peguam Ramkarpal Singh, Dr McDonald berkata keputusan yang diperoleh Dr Seah adalah spekulasi dan ahli kimia itu tidak dapat memberi kesimpulan serta bukti bagi menyokong penemuannya itu. Sementara itu, dalam prosiding di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah itu, pegawai penyiasat Superintendan Jude Balacious Pereira dipanggil semula untuk tujuan penandaan terhadap laporan perubatan Mohd Saiful Bukhari yang dirampas daripada Pusat Rawatan Islam (Pusrawi).

Prosiding bersambung pada 19 hingga 23 September ini.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh menyebabkan Anwar dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jka sabit kesalahan.

Tajudin saman portal berita

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Eksekutif Penerbangan Malaysia (MAS), Tan Sri Tajudin Ramli mengemukakan saman RM200 juta terhadap laman portal, The Malaysian Insider dan dua yang lain atas dakwaan memfitnah beliau dalam satu artikel yang disiarkan pada 31 Mei lalu.
Dalam writ saman yang difailkan pada 18 Ogos lalu, Tajudin selaku plaintif memfailkan saman itu melalui Tetuan Lim Kian Leong & Co. Beliau menamakan The Malaysian Insider Sdn Bhd, sebagai defendan pertama, pemiliknya, Jahabar Sadiq dan wartawan, Shazwan Mustafa Kamal masing-masing sebagai defendan kedua dan ketiga.

Tajudin mendakwa portal berita itu menerbitkan kata-kata fitnah dalam sebuah artikel selain turut mendakwa bahawa portal terbabit mengulang beberapa kata-kata fitnah menerusi artikel lain walaupun sudah dipohon menerusi surat supaya tidak berbuat demikian dan pengulangan itu menunjukkan portal terbabit berniat jahat.

Tajudin berkata, The Malaysian Insider membalas suratnya dengan penegasan bahawa kata-kata di dalam artikel itu bukan fitnah dan ia mempunyai pelbagai sumber maklumat.

Dalam saman itu, beliau menuntut ganti rugi am untuk kecederaan dan kehilangan reputasi tidak kurang RM200 juta, ganti rugi keterlaluan dan faedah serta kos. Tarikh 19 September ditetapkan untuk pengurusan kes itu di hadapan Hakim Harminder Singh Dhaliwal.

PM Jepun umum peletakan jawatan


Foto
KAN (kanan) menghadiri mesyuarat agung DPJ di Bangunan Parlimen Jepun di Tokyo, semalam.

Foto
Seiji Maehara



Pengganti Kan pikul tugas berat pulih imej

TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan semalam mengumumkan peletakan jawatan sebagai Presiden Parti Demokrat Jepun, lapor media Jepun berkuatkuasa serta-merta mengakhiri tempoh pemerintahan beliau sebagai pemimpin Jepun.
“Saya meletak jawatan sebagai presiden (parti) berkuatkuasa hari ini,” katanya kepada pegawai kanan parti itu, yang dipetik akhbar Jiji.
Langkah berkenaan memberikan laluan kepada pilihan raya untuk memilih Perdana Menteri keenam negara itu dalam masa lima tahun berikutan Jepun berhadapan dengan pemulihan dari gempa bumi 11 Mac lalu , tsunami dan juga krisis nuklear berterusan.

Satu pilihan raya kepimpinan bagi presiden baru parti yang kemudian akan menjadi Perdana Menteri dijangka pada Isnin ini.
Parlimen akan mengundi untuk pemimpin sebagai Perdana Menteri pada Selasa minggu depan.

“Saya akan meninggalkan jawatan perdana menteri sebaik saja seorang pemimpin baru diputuskan,” kata Kan. Kan dijadualkan mengadakan satu sidang media Jumaat depan.
Selepas selamat daripada undi tidak percaya pada Jun, Kan berkata beliau akan meletak jawatan dengan syarat tiga rang undang-undang utama akan diluluskan, iaitu bajet kedua, rang undang-undang kewangan, dan peraturan yang menggalakkan penggunaan tenaga baru.

Dua rang undang-undang akhir diluluskan Jumaat lalu, memberi laluan kepadanya untuk meletak jawatan.

Sekurang-kurangnya sembilan calon akan menggantikan Kan, termasuk calon pilihan, bekas Menteri Luar, Seiji Maehara. Menteri Kewangan Yoshihiko Noda juga akan memfailkan pencalonan apabila kempen bermula Sabtu depan.

Sesiapa saja yang menang berhadapan tugas berat untuk memastikan pemulihan semula Jepun selepas perang, menyelesaikan krisis nuklear terburuk dunia sejak Chernobyl 25 tahun lalu dan melindungi ekonomi negara itu dari kejatuhan yen.

Mereka juga perlu menyatukan parlimen yang berpecah dan memulihkan keyakinan pasaran Jepun boleh mengatasi perundangan yang lemah bagi memulihkan hutang dunia.

Selepas mengambil alih tugas perdana menteri Jun tahun lalu, Kan berusia 64 tahun berhadapan dengan sokongan rendah, masalah kuasa dalam DPJ dan perpecahan parlimen di mana Parti Demokratik Liberal pembangkang menghalang pelbagai rang undang-undang.

Bencana alam Jepun pada Jun lalu yang mengakibatkan 20,000 terbunuh atau hilang, memusnahkan seluruh bandar dan mencetuskan kemalangan nuklear Fukushima menguji kepimpinan dan mengundang dakwaan bahawa beliau gagal untuk bertindak balas terhadap bencana itu. – AFP