Tuesday, December 9, 2014

Serpihan MH17 tiba di Belanda



KONVOI trak membawa serpihan bangkai pesawat MH17 memasuki Belanda, hari ini. - Foto EPA
KUALA LUMPUR : Konvoi lapan trak membawa serpihan pesawat Malaysia Airlines MH17 tiba di pangkalan tentera udara Belanda di Gilze-Rijen, selatan negara itu, hari ini.
Bangkai pesawat berkenaan akan disusun semula oleh penyiasat sebagai sebahagian daripada proses siasatan tragedi 17 Julai itu.
Menurut laman portal Penyiaran Kebangsaan Belanda (NOS), ketibaan trak berkenaan disambut kira-kira 50 waris keluarga mangsa yang menanti di satu ruang khas di pangkalan tentera itu.
Menurut laporan itu, penyiasat kelihatan cuba mencantum ekor dan bahagian dalam kokpit pesawat itu bagi mengetahui dengan lebih lanjut mengenai punca pesawat itu terhempas.
Bahagian pesawat terbabit juga akan dirakam, diimbas serta dikelaskan dalam masa terdekat dan bermula tahun depan, pembinaan semula bangkai itu akan dimulakan.
Menurut laporan itu, tiada sambutan atau istiadat khas seperti ketibaan jenazah sebelum ini dibuat dan saudara terdekat juga tidak berada di lokasi ketika bangkai pesawat di trak berkenaan dibuka.
Terdahulu, konvoi lapan trak itu diiringi anggota polis.
Pada 17 Julai lalu, pesawat Boeing 777 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas selepas dipercayai ditembak jatuh di Donetsk, timur Ukraine.

Tak jadi ditelan anaconda

Los Angeles: Tindakan seorang lelaki Amerika Syarikat (AS) merakamkan aksinya 'ditelan hidup-hidup' seekor ular untuk aksi lagak ngeri televisyen kini ditertawakan selepas pasukan bantuan terpaksa menyelamatkan dia hanya selepas sebahagian kepalanya dibaham.
Dalam rakaman disiar Discovery Channel pada malam kelmarin, Paul Rosolie, 27, dan 10 pembantunya mengesan ular anaconda sepanjang enam meter di Sungai Amazon.
Berpakaian sut hitam dan dilumur dengan darah babi, Rosolie, 27, meredah kawasan itu sambil dirakam kamera dan disaksikan isterinya, Gowri.
Tidak lama kemudian, seekor anaconda betina menerpa Rosolie sebelum melilit lelaki setinggi 1.7 meter itu.
Namun, ketika Rosolie mula berasa tangannya 'mula akan patah' akibat belitan itu, dia mengarahkan rakan, doktor dan pakar veterinar menyelamatkannya.-Agensi
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Disember 2014 @ 6:31 AM


GAMBAR dari atas menunjukkan Rosolie bersama anaconda berkenaan sebelum dia ‘ditelan.’ Gambar kecil, pakaian khas yang digunakannya untuk ditelan ular berkenaan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/14773#sthash.8bgwksh7.dpuf

Kim Jong-Un Nafi Cuba Malukan Anak Perempuan Putera Andrews


Diterbitkan: Isnin, 8 Disember 2014 10:57 AM
Beatrice dan Jong-Un

PEMIMPIN Korea Utara, Kim Jong-Un menafikan pihaknya cuba memalukan anak perempuan, Putera Andrew dari British selepas gadis terbabit mempersendakan pimpinan negara komunis itu dalam filem terbaharunya.
Penafian itu dibuat selepas terdapat penggodam telah mendedahkan gaji Puteri Beatrice yang kini berkerja dengan Sony Pictures.
Dalam pendedahan untuk memalukan Beatrice, penggodam yang didakwa berkerja untuk Korea Utara itu memberitahu gadis berusia 26 tahun berkenaan hanya menerima gaji sebanyak £19,500 setahun.
Penggodam yang menamakan diri mereka sebagai 'Penjaga Keamanan' itu turut mengedarkan alamat dan jumlah gaji dari rekod syarikat gadis tersebut berkerja kepada pengguna internet.
Anak sulung kepada The Duke and Duchess of York’s itu mula bertugas sebagai eksekutif kanan dengan Sony Pictures sejak Januari lalu.

Ahli Parlimen 'Ditangkap' Asyik Bermain Candy Crush Ketika Mesyuarat


Diterbitkan: Isnin, 8 Disember 2014 4:52 PM
Mills mengakui bermain Candy Crush dan berjanji akan cuba mengelak kejadian sama berulang.

SEORANG Ahli Parlimen di Britain dimalukan sendiri apabila 'ditangkap' sedang asyik bermain Candy Crush ketika mesyuarat mengenai isu pesara di negara itu.
Nigel Mills mengakui dia bermain satu atau dua permainan itu sedangkan dia sepatutnya mendengar fakta penting yang dikemukakan pakar dalam pertemuan antara wakil rakyat dan jawantankuasa pencen itu.
Menggunakan iPad yang diperolehnya hasil cukai yang dibayar rakyat, Ahli Parlimen Amber Valley di Derbyshire itu dilihat khusyuk merenung iPad berkenaan dan menggerakkan jarinya pada skrin untuk melengkapkan permainan popular itu.
Pada mesyuarat itu, dia bertanya empat soalan kepada pakar yang hadir termasuk mengenai langkah  untuk memperbaiki pembayaran kepada golongan warga emas sebelum menghabiskan masa sekurang-kurangnya dua jam setengah untuk bermain Candy Crush Saga menggunakan iPad itu, kata seorang saksi.
Mills, 40 dipilih sebagai Ahli Parlimen pada 2010 dengan memperoleh kemenangan dengan majoriti tipis sebanyak 536 undi.
Pada Ahad, dia mengakui tidak fokus ketika menghadiri mesyuarat itu kerana asyik bermain Candy Crush.
Beliau bagaimanapun mempertahankan bahawa dia sentiasa serius dalam menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat.
Andy Silverster yang mewakili pertubuhan berkaitan pembayar cukai berkata: "Pembayar cukai tidak memilih wakil mereka di Parlimen hanya untuk bermain permainan video."
Ketika memberi maklum balas berhubung perkara itu kepada The Sun, Mills berkata: "Ia adalah mesyuarat yang panjang mengenai pembaharuan berkaitan pesara yang penting dan saya memberi perhatian serius mengenai isu ini.
"Bagaimanapun, ada ketikanya saya tidak fokus terhadap apa yang dibincangkan dan bermain satu atau dua permainan itu.
"Memang saya tidak patut berbuat demikian, tetapi jika kamu memeriksa sepanjang mesyuarat itu, saya bertanyakan soalan yang dianggap penting berkaitan isu pesara. Bagaimanapun, selepas ini saya akan cuba untuk tidak mengulangi perbuatan ini."
Mills yang juga seorang akauntan adalah seorang daripada 90 Ahli Parlimen yang menerima iPad percuma untuk membantu mereka menjalankan tugas.

'Public Bank Hanya Senyap Apabila Saya Difitnah' - Pengerusi NFCorp


Diterbitkan: Isnin, 8 Disember 2014 11:46 PM

KUALA LUMPUR: Pengerusi National Feedlot Corporation Sdn.Bhd. (NFCorp), Datuk Seri Dr Mohammad Salleh Ismail hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa Public Bank Berhad hanya berdiam diri apabila beliau difitnah oleh Setiausaha Agung PKR, Mohd Rafizi Ramli, walaupun mereka sedar bahawa dakwaan itu adalah tidak benar.

Mohammad Salleh berkata tiada sebarang pinjaman dibuat dengan Public Bank untuk hartanah KL Eco City, seperti didakwa Rafizi bahawa lapan pinjaman dibuat untuk membiayai pembelian lapan unit pejabat di KL Eco City dengan memanfaatkan deposit pinjaman kerajaan disimpan di bank tersebut.

Beliau berkata Rafizi juga mendakwa bahawa beliau tidak mempunyai keupayaan kewangan untuk layak mendapat lapan pinjaman dan oleh itu, mencadangkan saya memanfaatkan deposit pinjaman kerajaan.

"Rafizi telah mendakwa bahawa saya menghadapi kesukaran untuk membayar ansuran pinjaman untuk setahun dari Mac 2011, (bahawa) saya mungkin akan gagal melunaskan pinjaman dan meletakkan deposit pinjaman kerajaan dalam risiko.

"Saya ingin menyatakan bahawa tidak pernah sebarang pinjaman dibuat dengan Public Bank untuk hartanah KL Eco City. Rafizi telah menggunakan dokumen defendan (Public Bank) untuk menfitnah saya, keluarga saya dan perniagaan saya.

"Public Bank tidak mengeluarkan kenyataan untuk menjelaskan bahawa tiada pinjaminan dibuat daripada mereka untuk lapan unit pejabat KL Eco City, mahupun menjelaskan tiada sebarang pinjaman adalah dalam bahaya. Mereka terus senyap mengenai dakwaan palsu yang direka oleh pembangkang sehingga ke hari ini," katanya semasa pemeriksaan utama oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Mohamad Salleh berkata demikian ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Datuk John Louis O'hara terhadap permohonannya dan syarikat berkaitan dengannya terhadap Publick Bank.

Pada 22 Mei 2012, Mohamad Salleh, , NFCorp, National Meat & Livestock Corporation Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan Real Food Company Sdn Bhd telah memfailkan saman terhadap bank itu.

Beliau menuntut kerugian yang dialami sehingga menjejaskan kredibiliti dan reputasi syarikat itu dalam perniagaan berikutan bank tersebut didakwa telah melanggar Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989 (Bafia).

Beliau menuntut RM60 juta untuk ganti rugi am, RM250 juta sebagai ganti rugi teladan dan RM250 juta sebagai ganti rugi teruk.

 "Kemudahan pinjaman kerajaan untuk operasi perniagaan kami disita oleh pihak berkuasa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001. Pelaburan dan perniagaan saya di Singapura juga terjejas dan musnah apabila kemudahan perbankan lain ditarik balik. Tanpa kemudahan perbankan, operasi makanan dan minuman serta penyewaan kami terpaksa dihentikan.

"Berkaitan dengan keluarga saya, cemuhan orang ramai hasil daripada pendedahan ini menyebabkan isteri saya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dilabel sebagai 'Menteri Lembu". Isteri saya kemudian kehilangan kerja sebagai menteri pada 10 Mac 2012," katanya.

Mohamad Salleh berkata kesemua plaintif diabaikan dan dibiarkan menderita hasil daripada kekurangan tahap keselamatan, perlindungan, tidak bertindak, mitigasi dan keazaman pihak defendan.

Pada prosiding itu, beliau juga memberitahu mahkamah bahawa beliau terkejut apabila lima petugas bank komersial itu mempunyai akses kepada bank akaun sulitnya termasuk kerani bank itu, Johari Mohamad.

Katanya beliau telah membuat penemuan itu selepas siasatan oleh pengarah IT di Public Bank mendedahkan tiga pegawai Bahagian Perkhidmatan Kad dan Sokongan (cawangan Labuan) dan Pengurusan Deposit dan Saluran di ibu pejabat bank itu telah merisik akaunnya.

"Satu lagi adalah dari ibu pejabat iaitu sistem kerangka utama bank yang tidak dapat mengenal pasti. Cawangan-cawangan ini, jabatan dan bahagian tiada kaitan kepada plaintif yang mempunyai akaun mereka di cawangan Jalan Hang Lekiu.

"Kebocoran dan penerbitan telah menimbulkan kemarahan orang awam dan telah mencemaskan pihak berkuasa. Lima hari kemudian, saya didakwa dan dua hari selepas itu, pihak berkuasa merampas aset syarikat-syarikat di bawah AMLA dan diletakkan dengan Public Bank.

"Impak daripada kebocoran maklumat, sidang media, laporan berita, dakwaan dan rampasan aset juga dilaporkan di lebih 110 organisasi media," katanya.

Perbicaraan bersambung 13 Mac tahun depan.

Ahmad Said lapor polis 'Datuk' salah guna namanya


Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menunjukkan salinan laporan polis yang dibuatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu  di sini, hari ini berhubung salah laku dan penipuan yang dilakukan seorang individu berpangkat Datuk terhadap dirinya untuk mendapatkan satu kawasan pembalakan di Kijal.  - Foto Bernama
Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menunjukkan salinan laporan polis yang dibuatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini, hari ini berhubung salah laku dan penipuan yang dilakukan seorang individu berpangkat Datuk terhadap dirinya untuk mendapatkan satu kawasan pembalakan di Kijal. - Foto Bernama
KUALA TERENGGANU - Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said hari ini membuat laporan polis berhubung tindakan seorang lelaki bergelar "Datuk" yang didakwa menggunakan namanya untuk menipu membabitkan RM1.8 juta.
 
Adun Kijal itu memanfaatkan masa rehat persidangan Dun Terengganu untuk membuat laporan itu di Balai Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada jam 10.50 pagi.
    
Ketika ditemui pemberita, Ahmad mendakwa lelaki bergelar "Datuk" berumur 52 tahun itu telah menggunakan namanya ketika beliau masih menjadi Menteri Besar bagi penipuan mendapatkan RM1.8 juta kononnya bagi satu kawasan pembalakan daripada seorang pengurus kilang papan di sini dari Singapura.
    
"Pengurus itu telah menyerahkan wang tersebut kepada "Datuk" itu selepas terpedaya yang kononnya dia (Datuk) rapat dengan saya dengan alasan wang itu untuk diberikan kepada saya serta akan memberi satu kawasan pembalakan," katanya.
    
Menurutnya, beliau tidak mengenali 'Datuk" itu dan meminta polis melakukan siasatan terperinci bagi membawa orang yang menipu itu ke muka pengadilan.
    
Ahmad berkata, tindakan individu tersebut telah mencemarkan nama dan menjatuhkan reputasi beliau sebagai seorang ahli politik.
    
"Kes ini saya sedari apabila seseorang datang berjumpa dan menceritakan pengurus syarikat tersebut marah kerana tidak dapat kawasan balak dijanjikan pada bulan September tahun lalu.
    
"Saya yang ketika itu masih lagi Menteri Besar Terengganu telah berjumpa dengan pengurus terbabit serta meminta dia membuat laporan polis," katanya. - Bernama

Tak boleh guna nama Jong-un


Kim Jong-un
Kim Jong-un
KOREA Utara mengeluarkan arahan kepada rakyat yang berkongsi nama pemimpin Kim Jong-un untuk menukar nama-nama mereka.

Stesen televisyen KBS dan agensi berita Yonhap melaporkan, Korea Utara telah mengenakan larangan sama pada penggunaan ayah Kim, Kim Jong II dan datuknya, Kim II Sung.

Menurut laporan itu lagi, bayi yang baru lahir dilarang sama sekali menggunakan nama pemimpin itu.

"Mereka yang sudah memiliki nama tersebut diarah supaya menukar nama pada sijil kelahiran mereka," kata laporan tersebut.

Tidak diketahui berapa ramai rakyat Korea Utara yang menggunakan nama Kim Jong Un, tetapi Kim adalah nama keluarga yang biasa dan Jong Un adalah nama yang biasa diberikan. - BBC

Suami kedekut tak sempat cerai


Kaherah: Seorang lelaki Mesir rebah lalu mati di sebuah mahkamah di sini ketika perbicaraan tuntutan cerai oleh isterinya.
Hakim menyoal siasat si isteri mengenai alasan dia meminta cerai apabila lelaki itu rebah.
Menurut laporan media tempatan, si suami yang namanya tidak didedahkan dan pemilik beberapa kedai perabot, dikejarkan ke hospital, tetapi menghembuskan nafasnya terakhir ketika berada dalam ambulans.
Dia dikatakan mengalami serangan jantung.
“Apabila dia rebah, si isteri bergegas ke sisinya dan mula menangis sambil berkata, ‘Kami hendak ke mana. Siapa yang akan menanggung kami selepas ini,’ kata sumber mahkamah.
Si isteri sebelum ini mengemukakan tuntutan cerai atas alasan suaminya terlalu kedekut. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Disember 2014 @ 6:53 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/14563#sthash.QvyvpyeC.dpuf

Muhammad Shahril Haikal rayu bantuan rawat kanser hati


MOHD. Ali Salleh dan S. Lina Abdul Rahman melayan Muhammad Shahril
MOHD. Ali Salleh dan S. Lina Abdul Rahman melayan Muhammad Shahril Haikal yang menghidap kanser hati ketika ditemui di Kampung Pulau Mertajam, Penaga, Pulau Pinang, baru-baru ini. – UTUSAN/Sazali Che Din.
KEPALA BATAS 8 Dis. – Sebelum ini, Muhammad Shahril Haikal Mohd. Ali aktif dan sering menghabiskan masa bermain bola sepak dengan abangnya.
Namun kini, kanak-kanak berusia lima tahun itu hanya mampu duduk di rumah selepas dikesan menghidap kanser hati tahap empat.
Semuanya bermula pada Ok­tober tahun lalu apabila dia yang sering demam dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang, namun doktor gagal mengesan punca penyakitnya.
Anak bongsu kepada pasangan Mohd. Ali Salleh, 43, dan S. Lina Abdul Rahman, 43, itu kemudiannya dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum disahkan menghidap kanser hati.
Sejak tarikh itu, HKL mula menjadi rumah kedua kepada Muhammad Shahril Haikal kerana dia terpaksa menjalani rawatan susulan sekali sebulan serta pernah menjalani pembedahan pada Oktober 2013 dan April lalu.
Menurut ibunya, pada mulanya dia tidak menyangka benjolan kecil di perut anaknya itu adalah tanda-tanda awal kanser sebelum disahkan oleh pakar di HKL.
“Sejak disahkan menghidap kanser hati pada tahun lalu, kami terpaksa berulang-alik dari Felda Chini 4, Pekan, Pahang ke HKL untuk Muhammad Shahril Haikal mendapatkan rawatan.
“Keadaan semakin serius pada Oktober tahun ini selepas hari lahirnya yang kelima apabila dia muntah darah dan perutnya mula mengembung,” katanya ketika ditemui di Kampung Pangkalan Sena, Penaga, di sini baru-baru ini.
Jelas S. Lina, kali terakhir Muhammad Shahril Haikal dibawa ke HKL adalah pada 19 November lalu dan dia hanya diberi ubat tahan sakit bagi meredakan kesakitan dialami.
Tambahnya, doktor hanya memaklumkan supaya anaknya itu dibawa semula ke HKL sekiranya dia diserang demam berpanjangan tanpa ada sebarang jaminan untuk sembuh.
Sementara itu, bapanya, Mohd. Ali berkata, setiap kali berulang ke HKL, dia terpaksa membelanjakan hampir RM2,000 termasuk per­belanjaan pengangkutan dan makanan.
“Dengan pendapatan yang tidak seberapa sebagai seorang peneroka, saya tidak mampu membiayai kos pengangkutan dan perbelanjaan setiap kali terpaksa ke Kuala Lumpur.
“Pernah beberapa kali saya terpaksa bawa Muhammad Shahril Haikal ke HKL menggunakan bas kerana tidak cukup duit untuk mengisi minyak kereta,” katanya yang terpaksa berpindah ke rumah ibunya di Penaga untuk menjimatkan kos ulang-alik ke HKL.
Kata Mohd. Ali, kini dia hanya menjalankan kerja-kerja kampung sekitar Penaga kerana Muhammad Shahril Haikal tidak mahu berenggang lama dengannya.
Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan bagi meringankan kehidupan keluarga ini boleh menghubungi Mohd. Ali di talian 017-9556544 atau melalui akaun Maybank bernombor 1562 3505 6674 atas nama S. Lina Abdul Rahman atau Bank Simpanan Nasional (BSN) 0600341000043713 (Mohd. Ali Salleh).
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/muhammad-shahril-haikal-rayu-bantuan-rawat-kanser-hati-1.34332#sthash.FFYHk5lR.dpuf

CEO GLC ditahan SPRM


Kes pecah amanah libatkan nilai suapan RM9 juta

KUALA LUMPUR 8 Dis. - Seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) antara tiga yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berhubung kes pecah amanah membabitkan nilai suapan berjumlah RM9 juta yang dilakukan mereka pada 2012.
Selain CEO berkenaan, turut ditahan ialah seorang pegawai di GLC tersebut serta pemilik sebuah syarikat perkapalan tempatan semasa mereka datang untuk memberi ke­terangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya di sini petang ini.
Ketiga-tiga mereka dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor, esok.
Menurut sumber, kesemua individu berkenaan adalah sebahagian daripada pekerja sektor swasta yang diburu agensi tersebut atas kesalahan pecah amanah.
“Tertuduh pertama dikatakan telah melakukan kesalahan pecah amanah jenayah berkaitan harta milik syarikat GLC tersebut yang berjumlah lebih RM9 juta dengan rakannya yang turut bersubahat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah sumber itu, sejak awal tahun ini sehingga kini, seramai kira-kira 10 individu telah didakwa oleh SPRM di bawah siri pendakwaan membabitkan sektor swasta.
“Kesemua individu terbabit telah didakwa di bawah kesalahan Seksyen 409 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohamad Zin ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/ceo-glc-ditahan-sprm-1.34333#sthash.HyMfDbKo.dpuf

Pasport Alvin, Ali ditarik balik serta-merta


Mustafa IBRAHIM menunjukkan notis yang menyatakan pasport Malaysia
MUSTAFA IBRAHIM menunjukkan notis yang menyatakan pasport Malaysia adalah hak milik kerajaan dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Imigresen, Putrajaya, semalam.
PUTRAJAYA 8 Dis. – Jabatan Imigresen bertindak tegas menarik balik Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) penulis blog seks, Alvin Tan dan aktivis bebas, Ali Abd. Jalil berkuat kuasa serta-merta berdasarkan kesalahanmereka.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Mustafa Ibrahim berkata, surat penarikan balik pasport kedua-dua individu terbabit akan dihantar ke alamat terakhir mereka selain diwartakan dalam akhbar-akhbar tempatan sebagai makluman.
Beliau berkata, sistem Jabatan Imigresen juga telah menyenaraihitamkan kedua-dua individu terbabit dan sekiranya mahu pulang ke negara ini, mereka perlu memohon Sijil Perakuan Cemas terlebih dahulu di Kedutaan Malaysia.
“Kesalahan mereka menghina mahkamah, menghina Islam dan menghina institusi raja telah mengganggu-gugat ketenteraman sekali gus menimbulkan rasa tidak se­nang rakyat Malaysia, jadi keputusan menarik balik pasport kedua-dua individu ini amat tepat.
“Penarikan balik pasport ini sah kerana kerajaan berhak untuk berbuat demikian, sama ada mereka tahu atau tidak mengenai penarikan balik pasport ini, itu adalah masalah mereka. Kita sudah maklumkan melalui surat yang dihantar,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/pasport-alvin-ali-ditarik-balik-serta-merta-1.34338#sthash.1dShrr4X.dpuf