Tuesday, January 31, 2012

Lima beradik OKU tinggal bergelap, tanpa air selama 5 tahun


WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Januari 2012
rumah

SUNGAI SIPUT (U)Lima beradik di Kampung Veerasamy, di sini, terpaksa bergelap dan hidup tanpa bekalan air sejak lima tahun lalu akibat tidak mampu menampung kehidupan sendiri.

Mereka yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) kerana mengalami masalah mental tinggal di kawasan itu sejak sekian lama.

Adun Lintang, Datuk Ahamad Pakeh Adam berkata, keadaan lima beradik itu tidak terurus dan susah untuk mereka menjalankan urusan harian kerana tiada kemuda­han­ elektrik serta air.

Menurutnya, bagi melihat sendiri masalah keluarga itu, beliau membawa Menteri Besar, Datuk Zambry Abd Kadir melawat ke rumah berkenaan, di sini, kelmarin.

“Boleh dikatakan lima beradik berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun ini mengalami masalah dari segi mental.

“Keadaan mereka memang sangat teruk dan terpaksa menumpang di rumah jiran berhampiran untuk mandi atau membuang air,” katanya di sini.

Hadir sama, Ketua Umno Bahagian Sungai Siput, Datuk Mohd Dzulkifli Harun dan pemimpin masyarakat yang lain.

Ahamad berkata, sekiranya hujan, keadaan rumah itu bertambah teruk kerana bumbung rumah sudah banyak bocor dan dimasuki air tetapi mereka tiada tempat lain untuk dituju.

Sementara itu, beliau berkata, biarpun mempunyai masalah tapak, Kerajaan Negeri memberi jaminan untuk membantu keluarga ini termasuk membaik pulih rumah mereka.

“Manakala bekalan air dan elektrik akan disalurkan demi kemudahan lima beradik ini,” katanyaLima beradik OKU tinggal bergelap, tanpa air selama 5 tahun - Perak - Sinar Harian:

'via Blog this'

Bekalan air campur pasir


WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Januari 2012
tangki air+pasir

SELARU – Penduduk Taman Rasa Sayang, di sini, gusar apabila tangki yang menyalurkan air bersih ke kawasan mereka terjejas akibat limpahan tanah dari tebing berhampiran hingga menyebabkan bekalan air yang diterima kotor dan berpasir.

Yang Dipertua Persatuan Taman Rasa Sa­yang, Mohd Rudzi Mat Deris, 49, berkata, hujan lebat beberapa hari lalu menyebabkan tanah liat berpasir memasuki saluran tangki berkenaan.

“Ini berikutan longkang yang dibina sudah tidak berfungsi kerana dipenuhi tanah.

“Bukit ini mengotorkan air tangki kerana tanah memasuki saluran berkenaan hingga menyebabkan air di rumah seperti berpasir,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dua hari lalu, masalah lain pula timbul apabila air mencurah keluar dari tangki berikutan pelampung yang digunakan tidak berfungsi.

“Saya difahamkan beka­lan elektrik yang disalurkan ke tangki ini tidak dihidupkan, menyebabkan pelampung tidak dapat berfungsi dengan baik.

“Air melimpah selama dua hari, sekali gus menyebabkan pembaziran,” katanya.

Sementara itu, katanya, tangki itu membekalkan air kepada 68 penduduk di taman berkenaan.

“Sebelum ini, taman ini belum pernah mengalami gangguan air. Jadi, saya harap pihak berkaitan dapat mengambil tindakan segera sebelum perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Muhd Rudzi berkata, beliau juga berharap pihak berkenaan dapat memasang lampu di kawasan tangki berkenaan.

“Saya sering lihat anak-anak muda melepak di sini pada waktu malam. Walaupun sudah ditegah tetapi mereka masih berdegil,” katanya.Bekalan air campur pasir - Melaka & NS - Sinar Harian:

'via Blog this'

Najib: Kerajaan tiada kaitan dengan angpau putih perkasa


WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Januari 2012
Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR - Pemberian angpau berwarna putih pada satu perhimpunan Tahun Baru Cina anjuran Perkasa pada Ahad lepas, yang dianggap menghina kaum Cina kerana ia biasanya diberikan semasa kematian, tidak ada kaitan dengan kerajaan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata pemimpin Perkasa, sebuah badan bukan kerajaan, adalah Datuk Ibrahim Ali yang merupakan Anggota Parlimen bebas, dan oleh itu, pemberian paket berwarna putih pada majlis itu tidak harus dilihat sebagai sesuatu yang dipersetujui oleh kerajaan.
Menulis dalam Facebook berbahasa Cina beliau, "Ah Jib Gor", Najib berkata : "Saya berpendapat bahawa jika kita benar-benar faham budaya dan pantang larang kaum Cina, kontroversi seperti ini boleh dielakkan.
"Kita semua tahu perkataan angpau ertinya envelop merah, yang warnanya mestilah merah dan bukan warna lain. Insiden ini boleh dijadikan satu pengajaran sosial."
Semalam Naib Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong meminta Perkasa memohon maaf kepada masyarakat Cina berhubung kejadian itu manakala Setiausaha Agung Pemuda MCA Chai Kim Sen menyifatkan tindakan Perkasa itu sebagai tidak
menghormati adat budaya kaum Cina.
Timbalan Presiden Perkasa Datuk Abdul Rahman Bakar telah menjelaskan bahawa angpau berwarna merah memang digunakan pada majlis itu tetapi disebabkan ia telah kehabisan, envelop putih terpaksa digunakan. - BERNAMANajib: Kerajaan tiada kaitan dengan angpau putih perkasa - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Jemaah terkejut kepala babi di pintu utama masjid


NORAFIZA JAAFAR
31 Januari 2012
MASJID

RAWANG – Rutin harian jemaah Masjid Nurul Iman untuk menunaikan solat subuh terganggu selepas dikejutkan dengan penemuan kepala babi panggang, yang diletakkan betul-betul di hadapan tangga pintu utama masjid.

Menurut Siak Masjid, Nadzlan Ambak, dia yang tiba jam 5.15 pagi untuk membuat persiapan solat terkejut apabila kepala babi diletakkan elok di pintu masjid seperti barang perhiasan untuk tontonan tetamu.

Nadzlan yang telah berkhidmat lebih 20 tahun disitu berkata, insiden ini adalah pertama kali berlaku di masjid itu.

Dia yang tinggal dalam kawasan masjid berkata, pada malam kejadian iaitu selepas selesai solat isyak, dia telah mengunci pintu pagar masjid seperti kebiasaan.

“Individu tidak bertanggungjawab itu masuk ke kawasan masjid jam 2 ke 3 pagi dengan memanjat pintu pagar tanpa tidak disedari oleh sesiapa. Sebelum ini memang kerap berlakunya kecurian tetapi meletakkan kepala babi adalah yang pertama dan mencabar sensitiviti orang Islam," katanya.

Bagaimanapun, tiada sebarang kecurian dilaporkan dan pencerobih juga tidak masuk dalam ruangan solat sebaliknya hanya meletakkan kepala babi di hadapan pintu utama masjid.

Sementara itu, Setiausaha Masjid, Sulaiman Abu Samah berkata, dia tiba ke tempat kejadian selepas dimaklumkan siak dan terus membuat laporan polis.

Polis tiba di tempat kejadian 6.40 pagi.

“Kelewatan polis datang menyebabkan penemuan itu tergempar selepas kesemua jemaah menyaksikan insiden itu.

“Bagaimanapun, kita tidak menuduh mana-mana pihak, namun berharap mereka yang tidak berpuas hati dengan pihak pengurusan masjid atau mana-mana isu supaya tampil untuk berbincang," katanya lagi.

Katanya, tindakan tersebut bukan hanya menggugat sensitiviti umat Islam tetapi turut menimbulkan provokasi masyarakat setempat yang boleh memburukkan keharmonian yang terjalin.

Sebagai langkah pengawasan dan mengelakkan kejadian berulang, katanya, pihak masjid akan menggiatkan aspek pengawasan dan keselamtan termasuk cadangan pemasangan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Hadir sama melawat tapak ialah Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun), Soong Beng Khoon.

Beng Khoon berkata, insiden tersebut pertama kali berlaku di Rawang dan meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan menyerahkan kepada polis untuk membuat siasatan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Selayang, William Leong berkata, pihaknya meminta polis menyiasat pihak tidak bertanggungjawab dan mengenakan tindakan tegas kerana sejak kebelakangan kerap berlaku insiden membabitkan mencabar kesucian tempat ibadah.

“Tiada sebarang tangkapan sebelum ini dilaporkan berkenaan pembakaran gereja atau kes baling kepala babi di Selangor menyebabkan pihak tidak bertanggungjawab semakin berani dan bertindak keterlaluan.

“Kita juga minta individu tidak bertanggungjawab untuk menghentikan provokasi membabitkan rumah ibadah dan tidak mencampuradukkan politik dengan sensitiviti kaum serta agama.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rawang, Gan Pei Nei berkata, "saya selaku Adun Rawang mengutuk keras tindakan pihak yang sengaja membuat provokasi membabitkan isu agama dan mencabar tampil membuat perbincangan rasa tidak puas hati secara terbuka."

“Masjid yang telah 30 tahun ini tidak menghadapi sebarang masalah sebelum ini kerana memegang prinsip memahami dan menghormati antara satu sama lain dan tindakan membuat provokasi itu mencabar institusi sedia ada," katanya.Jemaah terkejut kepala babi di pintu utama masjid - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Ana Raffali pilih Naim, nikah 25 Februari


NINA FARZUIN MD SHAROM
31 Januari 2012
ana-rafalli

SHAH ALAM – Desas desus mengenai penyanyiTolong Ingatkan Aku, Ana Raffali bakal menamatkan zaman bujang dalam tempoh terdekat, akhirnya terungkai sudah.

Dalam sebuah sidang media khas petang ini, Ana atau nama sebenarnya, Ana Nur Hidayah Mohd Raffali mengumumkan bahawa majlis pernikahan akan berlangsung di Masjid Al-Hidayah Taman Melawati, Kuala Lumpur pada 25 Februari ini.

Menurut Ana, jejaka yang berjaya mencuri hatinya merupakan teman baiknya sendiri dikenali pada 2005 iaitu Ahmad Aznaim Abdullah atau Naim, 30.

“Naim ialah seorang jurugambar dan kami berkenalan melalui sepupu saya. Secara kebetulan, saya memang minat bidang fotografi.

“Disebabkan minat yang sama, kami semakin serasi. Namun, ketika itu Naim tidak mengetahui bahawa saya mempunyai bakat dalam bidang nyanyian dan penciptaan lagu,” katanya yang turut ditemani Naim dalam sidang media itu.

Turut hadir ialah ibu Ana, Halijah Rashid, bapa Naim, Abdullah Mat dan ibunya Adilah Abd Mutalib.

Ana berkata, sikap Naim yang penyabar membuatkan dia tertarik dengan jejaka pilihannya itu dan secara tidak langsung membuka hatinya untuk lebih serius dalam hubungan tersebut pada 2008.Ana Raffali pilih Naim, nikah 25 Februari - Hiburan - Sinar Harian:

'via Blog this'

NFC: Shamsubahrin dakwa dipaksa rasuah polis

Harakahdaily,30 Jan 2012

PETALING JAYA 30 Jan: PKR hari ini mendedahkan bahawa terdapat arahan daripada pengerusi National Feedlot Corporation (NFCorp) Datuk Mohamad Salleh Ismail kepada ahli perniagaan, Datuk Shamsubahrin agar merasuah polis.

Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah mendedahkan perkara tersebut berdasarkan laporan polis yang dibuat Shamsubahrin pada 27 Januari lalu di Pondok Polis Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Shamsubahrin dalam laporan itu memberitahu beliau menerima sistem khidmat pesanan ringkas (sms) dari Salleh, yang juga suami kepada Datuk Seri Shahrizat Jalil, supaya merasuh anggota polis bagi menutup skandal syarikat berkenaan.

Sivarasa ketika mendedahkan laporan polis itu berkata, Shamsubahrin dilantik oleh NFC sebagai Perunding dan Penasihat Korporat pada 24 dan 28 November tahun lalu untuk membersihkan masalah dalam NFC.

“Datuk Salleh juga memberi arahan untuk saya berhubung dengan polis berkenaan kes-kes siasatan terhadap NFC dan saya telah diarahkan untuk memperjelaskan dan menerangkan proses perniagaan NFC kepada polis.

“Walaubagaimanapun, saya dalam pelantikan tersebut telah menerima pesanan dan tekanan daripada Datuk Salleh meminta saya menutup kes NFC itu dengan polis melalui pesanan sms menekan saya supaya nembayar rasuah kepada pihak polis untuk menutup kes NFC tersebut,” Laporan polis berkenaan dipetik.

Shamsubahrin, yang dituduh menipu pengerusi eksekutif NFC Mohamed Salleh, kini ditahan di lokap Sungai Buloh.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, N Surendran berkata, bukti yang dikemukakan dalam laporan itu bagaimanapun kini berada di tangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Maklumat ini kita dapat daripada telefon beliau, sebelum ini pihak SPRM telah mengambil kesemua telefon beliau sebelum mengembalikannya tetapi terdapat satu lagi masih berada di tangan SPRM yang ada bukti penting ini.

“Walaupun ada di tangan pihak berkuasa tapi ia sudah ada dalam simpanan kita," katanya.NFC: Shamsubahrin dakwa dipaksa rasuah polis:

'via Blog this'

Hadi akan kekal berpengaruh jika pun tidak tanding


G MANIMARAN
30 Januari 2012
Abdul Hadi Awang

SHAH ALAM - Penganalisis dan pemerhati melihat Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan terus kekal sebagai pemimpin berpengaruh dalam Pas walaupun tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan seterusnya kemungkinan melepaskan jawatan presiden parti Islam itu kelak.

Abdul Hadi mengekalkan jawatannya pada pemilihan Jun lalu tanpa cabaran. Beliau mengetuai Pas sejak 2002.

Mengulas perkembangan dalam Pas, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, beliau melihat Abdul Hadi akan kekal berpengaruh dalam partinya sebagaimana diperlihatkan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tidak dipilih oleh perwakilan.
"Presiden Pas (Abdul Hadi) ada pengaruh di kalangan akar umbi, akan kekal sebagai pemimpin berpengaruh berdasarkan latar belakang pendidikan agama.

"Nik Aziz tidak pegang jawatan, yang dipilih ketika muktamar," katanya sambil menjelaskan, Pas mempunyai kelainan berbanding parti-parti lain sebab wujud komponen Majlis Syura Ulama.

Mohd Asri, Felow Pusat Pengajian Islam Oxford mengulas perkembangan dalam Pas ekoran keputusan Abdul Hadi yang tidak berhasrat untuk bertanding lagi dalam pilihan raya umum.

Kini, Abdul Hadi merupakan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Jawatankuasa kerja Pas pusat yang bermesyuarat 12 Februari ini akan membincangjkan tawaran Abdul Hadi tidak mahu bertanding lagi.

Seorang penganalisis politik, Prof Dr Abdul Aziz Bari pula menyifatkan keputusan Abdul Hadi sebagai satu langkah positif yang harus diperlihatkan oleh ahli-ahli politik.

"Saya melihat ia langkah positif, memberi laluan kepada barisan muda, khususnya di peringkat negeri (Terengganu)," kata bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) ini yang disebut-sebut akan bertanding dalam PRU13.

Abdu Aziz melihatkan keputusan Abdul Hadi akan memberi kesan dalam usaha parti itu menyusun kedudukan untuk kembali memimpin kerajaan negeri Terengganu.

Pas memerintah Terengganu antara 1999 dan 2004.

Penganalisis juga melihat keputusan Abdul Hadi akan memberi laluan kepada kemunculan calon-calon muda untuk mengetuai barisan cabaran di peringkat negeri pantai timur itu.

"Mungkin ini satu langkah yang mengkukuhkan Pas di Terengganu, keputusan Abdul Hadi akan memberi kesan ke atas caturan calon yang akan dipilih oleh Pas di Terengganu," katanya lagi.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian melihat tawaran Abdul Hadi akan membawa persepsi bahawa Pas semakin kekurangan pemimpin kalangan ulama, antara isu yang ditimbulkan selepas pemilihan parti itu Jun lalu.

"Salah satu kesan, implikasi yang saya lihat adalah berkenaan dengan suara-suara golongan ulama dalam Pas. Pihak yang menyerang Pas, macam Umno akan menggunakan isu ini, ketika ada yang mengatakan suara yang memperjuangkan kepentingan Melayu dalam Pakatan Rakyat masih kurang," katanya yang turut menambah bahawa beliau tidak pasti sama tawaran Abdul Hadi juga akan membawa kesan dari segi kedudukan atau status pemimpin-pemimpin veteran dalam PR.Hadi akan kekal berpengaruh jika pun tidak tanding - Politik - Sinar Harian:

'via Blog this'

Suhakam: Jangan salah guna kuasa, hormati Orang Asli


WARTAWAN SINAR HARIAN
31 Januari 2012
Hasmy Agam

SHAH ALAM - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berpandangan tegas bahawa agensi-agensi penguat kuasa tidak sepatutnya menyalahgunakan kuasa dan, antara lain, harus menghormati hak kumpulan yang terpinggir terutamanya masyarakat Orang Asli dan Pribumi.

Dengan merujuk kepada kejadian penahanan dan penangkapan 13 Orang Asli di Gua Musang, Kelantan oleh pihak polis Sabtu lalu, Pengerusi Suhakam Tan Sri Hasmy Agam berkata, jelas bahawa suku kaum Temiar telah mengadakan bantahan secara aman terhadap aktiviti-aktiviti syarikat pembalakan yang telah menceroboh ke atas tanah mereka.

"Malangnya lagi pihak polis telah didakwa menggunakan kekerasan dalam rombakan sekatan oleh masyarakat Orang Asli dan dalam proses tersebut telah menunjukkan sikap kurang sensitif, kurang mengambil berat dan kurang pemahaman tentang nasib rakyat yang terpinggir," katanya.

Tambah beliau, juga difahamkan bahawa aktiviti pembalakan masih lagi diteruskan walaupun selepas jaminan diberikan oleh pihak berkuasa negeri untuk menyelesaikan ketidakpuasan suku kaum Temiar ini menjelang pertengahan bulan ini.

"... dengan itu telah mencetuskan bantahan suku kaum Temiar, pihak polis dilaporkan telah merombak penghalang dan membakar struktur bersebelahan yang dibina oleh suku Temiar yang telah hanya menyatakan pendirian mereka dalam perjuangan untuk menuntut kembali hak mereka kepada tanah adat," kata beliau.

Selain itu tambah beliau, ahli keluarga dan rakan-rakan dilaporkan telah dihalang untuk mengiringi mereka ke pusat tahanan dan mereka juga telah dinafikan perwakilan peguam sebelum dibebaskan beberapa jam kemudian.

"Suhakam menggesa kerajaan negeri untuk bertindak segera dalam menyelesaikan nasib masyarakat Orang Asli di Kelantan dan melindungi hak mereka kepada tanah nenek moyang dan hak kepada kehidupan.

"Adalah juga digesa agar semua kerajaan negeri menghormati keputusan mahkamah yang telah memberi hak tanah kepada Orang Asli dan agar dapat mengadakan lebih banyak rundingan terbuka bersama masyarakat ini," katanya.

Hasmy berkata, Suhakam sedang menjalankan Inkuiri Nasioinal buat pertama kalinya mengenai hak tanah masyarakat Orang Asli yang bermatlamat untuk merangka syor-syor kepada kerajaan persekutuan dan negeri untuk mengkaji semula perundangan domestik tanah dan dasar-dasar yang menerapkan pendekatan hak asasi dan untuk merangka strategi dan pelan tindakan dengan tujuan untuk melindungi dan mempromosi hak mereka kepada tanah.

Laporan Bernama menyebut polis menahan 13 Orang Asli, yang dipercayai mengetuai perhimpunan haram 800 penduduk kaum itu di Kampung Parik di sini, kerana mengingkari arahan untuk bersurai.

Perhimpunan itu diadakan sejak awal Sabtu lalu dan menghalang pelbagai kenderaan daripada melalui Jalan Kuala Betis-Pos Tohoi sebagai membantah tanah adat mereka diceroboh dengan aktiviti pembalakan dan pembukaan ladang.

Timbalan Ketua Polis Daerah DSP Aziz Hassan berkata suspek ditahan pada kira-kira 5.20 petang selepas rundingan polis dengan beberapa ketua perhimpunan terbabit gagal, dan mereka berkeras untuk meneruskan perhimpunan itu.

"Mereka membuat tindakan sendiri dengan menghalang kenderaan yang melalui jalan terbabit dan kita khuatir juga perhimpunan berkenaan ada dalang daripada penduduk luar dari kampung itu," katanya.

Beliau berkata peserta perhimpunan itu kemudian bersurai tanpa berlaku sebarang insiden yang tidak diingini.Suhakam: Jangan salah guna kuasa, hormati Orang Asli - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Gerakan mahu Perkasa mohon maaf


RUZY ADILA IDRIS
30 Januari 2012

SHAH ALAM – Presiden Perkasa Ibrahim Ali digesa memohon maaf dan mengakui tidak sensitif kerana tindakan beliau memberikan angpow menggunakan sampul putih pada majlis rumah terbuka sempena sambutan Tahun Baru Cina, semalam.

Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong berkata, tindakan Ibrahim itu juga dilihat sebagai penghalang kepada usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memperjuangkan konsep 1Malaysia.

“Sampul putih hanya digunakan oleh kaum Cina ketika majlis pengebumian sahaja dan tindakan Ibrahim itu telah menyinggung perasaan kaum Cina yang sepatutnya menyambut perayaan kemasyhuran dan kegembiraan.

“Tindakan beliau (Ibrahim) seolah-olah tidak sensitif dan jahil tentang budaya kaum-kaum di negara ini sedangkan beliau telah menjadi Ahli Parlimen sejak sekian lama," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Siew Keong berkata, kalaupun niat Ibrahim untuk mengadakan rumah terbuka itu baik, tetapi tindakannya memberikan sampul putih benar-benar telah menyentuh sensitiviti kaum Cina.Gerakan mahu Perkasa mohon maaf - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Haron Din tanding PRU13, ketuai Pas Perlis


KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
30 Januari 2012
Haron Din

KANGAR - Pas Perlis mengesahkan Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din akan bertanding pada pilihan raya umum ketiga berturut-turut sekali gus mengetuai Pas negeri itu dalam usaha menawan Perlis dari tangan Barisan Nasional (BN).

Pesuruhjaya Pas Perlis, Hashim Jasin berkata, pengesahan itu dibuat bagi menutup desas-desus pelbagai pihak mendakwa Haron Din tidak akan bertanding lagi pada pilihan raya umum (PRU) kali ini disebabkan masalah kesihatan.

Menurutnya, Pas Perlis sudah mengemukakan tawaran bertanding PRU kepada tokoh pengamal perubatan Islam itu sejak setahun lalu dan baru menerima jawapan positif beberapa minggu lalu.

“Haron Din bersedia bertanding buat kali ketiga walaupun dua kali tertewas dalam PRU terdahulu dan Pas bersedia menyerahkan mana-mana kerusi yang dirasakan sesuai untuknya.

“Bagaimanapun, saya yakin beliau akan menawarkan diri untuk bertanding di Parlimen sahaja dan mampu menang pada kali ini berdasarkan sokongan padu ditunjukkan rakyat Perlis,” katanya pada sidang media di Kompleks Pas Perlis semalam.

Hashim berkata, Pas menaruh keyakinan penuh mampu menawan Perlis kali ini berdasarkan trend sokongan padu ditonjolkan rakyat sehingga ramai pihak yang berebut-rebut menyampaikan sumbangan kepada parti bagi persiapan PRU.

Menurutnya, trend itu merupakan sesuatu yang tidak pernah dijangka apabila boleh dikatakan setiap hari ada sahaja yang datang berjumpa dengan pemimpin Pas negeri untuk menyampaikan sumbangan sehingga kadang-kadang mencecah ribuan ringgit.

Hashim turut menyifatkan Pas dan Pakatan Rakyat (PR) kini mendapat jaminan padu rakyat bukan Islam Perlis untuk bersama-sama mereka setelah bosan dengan pentadbiran Kerajaan Negeri sedia ada.Haron Din tanding PRU13, ketuai Pas Perlis - Politik - Sinar Harian:

'via Blog this'