Saturday, April 7, 2012

Sri Wani masih sayangi suami


Isteriku lelakiSHAH ALAM - Pengusaha yang mencipta kejutan setelah kes mahkamah mengenai status jantinanya dipaparkan di muka hadapan akhbar semalam, tampil meluah suka dukanya sejak bergelar isteri.

Sri Wani Choo Abdullah, 37, berkata, dia tetap sayang kepada suaminya, Bahrom Sanugi, 61, bekas dekan universiti walaupun dilanda pelbagai dugaan.

“Biarlah apa orang nak kata; Tuhan mengetahui segala-galanya,” katanya dalam nada sedih, tetapi yakin, dalam temu bual eksklusif dengan Sinar Hariansemalam.

Beliau berulang kali menyebut bahawa beliau akan sentiasa berdoa agar perkahwinannya dengan suaminya itu yang mereka bina sejak 19 Ogos 2009, akan terus bahagia.
Memulakan bicara dengan “assalamualaikum” suara Sri Wani kedengaran halus dan lembut di hujung talian.

“Saya sayangkan suami. Sudah hampir dua tahun kami berkahwin; kami sangat bahagia,” katanya.

Sri Wani menjelaskan, beliau tidak menyalahkan suami atas apa yang berlaku, sebaliknya percaya ada orang ketiga dalam hal ini.

Tidak lokek berkongsi detik indah, Sri Wani memberitahu, perkenalan antaranya dan Bahrom bermula pada 2008 di Kuala Lumpur.

Ketika itu, katanya, dia sudah empat tahun berpisah dengan suami pertamanya.

“Saya tidak tahu suami orang besar. Latar belakang suami sebagai seorang ahli akademik membuka hati saya untuk berkahwin sekali lagi.

“Beberapa bulan berkawan, kami akhirnya sepakat untuk berkahwin di Songkhla (Thailand) dan mendaftarkan pernikahan tidak lama selepas itu.

“Saya tertarik dengan keluhurannya untuk mengambil saya sebagai isteri. Dia ikhlas mahu membimbing saya kerana saya ketika itu seorang saudara baru,” katanya lembut.
 
Setiap perkataan yang dituturkan Sri Wani begitu tersusun.

Katanya, MyKadnya membuktikan dia seorang wanita.
Bahrom yang mengesyaki isterinya lelaki, memfailkan permohonan membatalkan perkahwinan di Mahkamah Tinggi Syariah. Beliau membuat aduan di Jabatan Agama Gombak dan diarah untuk berpisah sementara pada 23 November 2010.
Beliau bertindak demikian selepas setahun mengahwini isteri ketiganya, Sri Wani, yang memeluk Islam pada 2001.

Peguam Bahrom, Muhammad Hafiz Ab Rashid berkata, anak guamnya menikahi Sri Wani di Songkhla, Thailand dan mendapatkan sijil nikah di Kedah.
 
Sewaktu ditemui di Kompleks Mahkamah Syariah Kuala Lumpur dua hari lalu, wanita berkulit putih mulus ini kelihatan berketerampilan, sesuai dengan latar belakangnya yang menjalankan perniagaan berasaskan produk kecantikan.

Menyentuh isu tuntutan faraq (membatalkan perkahwinan) yang difailkan suaminya, Sri Wani berkata, dia bersedia memberikan kerjasama kepada mahkamah.

“Buat masa ini, kami diperintahkan untuk berpisah sementara oleh mahkamah. Saya tidak buat salah, jadi saya tidak takut. 

“Mungkin saya ada musuh dalam perniagaan. Ini risiko sebagai usahawan. Kenapa orang lain berniaga maju tetapi kita mundur? Kerana kita penuh dengan hasad dengki dan suka menjatuhkan maruah orang lain?” katanya tenang, tetapi berlapik kerana tidak mahu mengguris perasaan orang lain.

Menyifatkan perkara ini sebagai asam garam kehidupan, Sri Wani tidak menafikan rasa derita itu ada. 

“Saya faham, dugaan sebagai saudara baru kuat. Musuh akan gembira bila tengok kita derita.

“Saya pun tak tahu kenapa orang tidak puas hati dengan saya. Saya sangat derita kerana hal ini buat saya dan suami selisih faham dan rumah tangga kami roboh,” katanya.

Di akhir perbualan, Sri Wani berkata, dia benar-benar berharap masyarakat tidak menghukumnya dengan pelbagai andaian dan pandangan negatif.

“Janganlah cepat membuat keputusan. Selepas kes mahkamah ini selesai, saya akan tampil membuat sidang media. Terima kasih kepada Sinar Harian kerana beri saya peluang untuk membuat kenyataan,” katanya.

'Pegawai tinggi kerajaan sokong Pas'



WAN SAIDATUL FADZILAH WAN NAJEMUDIN
7 April 2012
Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh
KUALA TERENGGANU – Pas mendakwa ada pegawai tinggi kerajaan yang bersedia berkhidmat untuk parti itu dan sanggup menjadi calon sekiranya ditawarkan.
Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata, pengakuan itu dibuat beberapa pegawai kerajaan dalam satu perjumpaan dengan beliau sendiri.

“Senario ini menunjukkan kebangkitan dan jumlahnya bukan sedikit kerana pegawai kerajaan tersebut bukan sahaja di peringkat negeri malah juga pusat,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Beliau berkata, keadaan itu membuktikan rakyat di pelbagai peringkat yakin dengan kemampuan pihak lain selain Barisan Nasional (BN) untuk memerintah negara.

Katanya, dalam masa yang sama mereka mahu memastikan pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) lebih baik berbanding yang ada sekarang, selain itu untuk menghapuskan segala penyelewengan kuasa dan rasuah.

Nik Zawawi yang juga Ketua Penerangan Pas Terengganu berkata, perkembangan itu selari dengan kajian dan analisis politik sama ada daripada pro pembangkang atau pihak luar bahawa PR akan menguasai Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Bagaimanapun, katanya, keadaan itu turut bergantung pada peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepanjang proses mengendalikan pilihan raya.

“Dengan perkembangan positif terhadap Pas, kita yakin boleh menang lebih-lebih lagi kalau SPR boleh berlaku adil,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, rakyat semakin menolak Barisan Nasional (BN) kerana sikap pemimpin parti itu yang berlumba-lumba mencari kekayaan untuk diri sendiri.

Katanya, sikap mementingkan diri sendiri merupakan salah satu sebab rakyat yang masih dibebani dengan kenaikan harga barang kecewa dengan sikap pemimpin BN.

Ahli Perkasa ganggu majlis dirasmi Anwar



ROSLINDA HASHIM 
6 April 2012
pkr perkasa
ALOR SETAR - Majlis perasmian pusat komuniti PKR di Jalan Putra di sini, yang disempurnakan oleh Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim, dicemari insiden provokasi dan perang mulut membabitkan lebih 100 ahli Perkasa.

Ahli-ahli Perkasa yang berarak dari Masjid Zahir tiba di hadapan Plaza Sentosa, bersebelahan dengan pusat itu pada 5.30 petang walaupun Ketua Pembangkang belum kelihatan ketika itu.

Kekecohan tercetus apabila berlaku adegan tolak-menolak antara dua pihak dan kedengaran kata-kata 'Anwar Yahudi', yang disambut dengan laungan reformasi oleh lebih 200 penyokong PKR.

Penyokong-penyokong Perkasa beredar kira-kira 15 minit kemudian sebelum ketibaan anggota FRU. Anwar pula tiba sekitar 6 petang selepas keadaan reda.

'Siri desakan ke atas Azmin mainan politik'



MOHD AZLIM ZAINURY
7 April 2012
Abdul Hadi Awang
MARANG – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan siri tuduhan dan desakan ke atas. Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali termasuk daripada ahli akar umbi baru-baru ini  lebih bersifat mainan politik lawan menjelang pilihan raya umum.

“Keadaan itu bukan sahaja menyasarkan pemimpin parti pembangkang tetapi kepada pemimpin kerajaan dalam usaha menjatuhkan mereka seperti mana yang banyak berlaku sebelum ini apabila pilihan raya semakin hampir,” katanya.
Tiga hari lalu, sekumpulan ahli PKR termasuk mendakwa masih memegang jawatan di peringkat cabang mengugut untuk keluar parti jika Azmin gagal memberikan penjelasan yang memuaskan mengenai dakwaan pemilikan saham oleh beliau dan isterinya yang dikatakan bernilai jutaan ringgit.

Ketua Penerangan PKR Ampang, Mohd Isa Saidi yang mengetuai kumpulan itu berkata, Azmin tidak boleh lagi berdolak-dalik mengenai isu itu sebaliknya perlu memberikan penjelasan yang meyakinkan semua ahli bahawa beliau tidak bersalah.

Sehubungan itu, kata Mohd Isa, jika Azmin masih tidak mahu menjawab isu itu secara telus, adalah lebih baik jika beliau keluar sahaja daripada PKR.
Kelmarin, Bagaimanapun Ketua Cabang Ampang, Zuraida Kamaruddin berkata, Isa tidak layak mengeluarkan kenyataan itu dan tidak memegang jawatan tersebut sebab telah digugurkan atas alasan muflis.
Mengulas lanjut beliau berpendapat Pakatan Rakyat (PR) mampu mempertahankan negeri yang ketika ini dikuasai barisan pembangkang jika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) melalui proses demokrasi yang lebih telus.

“Sekiranya pilihan raya mengikut proses demokrasi sebenarnya, kita boleh bertahan. Tetapi sekarang ini, di Selangor kita dapati penambahan pengundi yang terlalu mendadak, di luar dugaan, di luar kelahiran penduduk,” katanya.

Dengan mengambil contoh pada pilihan raya lalu di Terengganu, katanya, agak mustahil jumlah penduduk di Kemaman meningkat mendadak dengan jumlah 17,000 orang dalam tempoh empat tahun iaitu pada 2004 hingga 2008.

“Kini, pengundi dikesan bertambah di beberapa tempat tumpuan di Selangor, peningkatan jumlah penduduk dikesan meningkat di beberapa kawasan terbabit. Ini satu penipuan. Ia termasuk dengan pemberian kad pengenalan kepada warga asing,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Marang berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas merasmikan Bilik Gerakan PRU13 Dewan Himpunan Penyokong Pas Parlimen Marang di Pekan Wakaf Tapai, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali; Yang Dipertua Pas Marang, Yahaya Ali dan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong Pas.

Selain itu kata Abdul Hadi, pihaknya masih meragui ketelusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana sehingga sekarang masih tidak serius dengan tuntutan supaya undi pos dimansuhkan kerana ia meragukan, tidak telus dan boleh dieksploitasi.

Umno kehabisan modal politik, kata Anwar



ROSLINDA HASHIM
7 April 2012
Umno kehabisan modal politik, kata Anwar
ALOR SETAR - Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Umno sudah kehabisan modal politik sehingga terdesak untuk terus memainkan isu mengaitkan beliau dengan Israel dan tidak boleh menerima "fitnah" itu lagi.

Ketua Pembangkang berkata, walaupun penjelasan mengenai perkara itu sudah banyak kali dibuat, namun parti teras Barisan Nasional (BN) itu masih menuduhnya dengan Zionis.

Beliau yang juga Ketua Umum PKR mendakwa apa yang diperkatakan oleh BN khususnya Umno hanyalah fitnah semata-mata dan menegaskan tidak boleh menerima "fitnah sedemikian."

"Saya tidak boleh terima fitnah seperti itu. Kenyataan saya yang disalah lapor menjerumuskan saya dalam fitnah ini. Ini menunjukkan Umno tidak ada modal politik lain, asyik bangkitkan isu ini sampai sekarang,” katanya ketika merasmikan Ceramah Pelancaran Kempen Bersih 100 Peratus peringkat Kedah di Kompleks Hijau Kuning, malam tadi.

Antara penceramah lain yang turut memeriahkan program ialah Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar dan Sasterawan Negara, A Samad Said yang juga Pengerusi Bersama Bersih 2.0.

Pada sebelah petang semalam, kehadiran Anwar di Pusat Komuniti PKR di Jalan Putra kecoh apabila lebih 100 penyokong Perkasa dan lebih 200 penyokong PKR ‘bertembung’, menyebabkan berlaku provokasi dan perang mulut selama 15 minit.

Himpunan aman membantah kehadiran Anwar yang turut dikaitkan dengan isu Israel itu berarak dari Masjid Zahir ke Plaza Sentosa, bersebelahan dengan Pusat Komuniti PKR. Mereka bersurai selepas kehadiran anggota polis sebelum Anwar tiba untuk meramikan pusat itu.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, kempen Bersih 3.0 Duduk Bantah pada 28 April ini di Dataran Merdeka di ibu negara adalah untuk menunjukkan kuasa rakyat secara teratur.

“Ia landasan untuk rakyat tentukan masa depan mereka. Dulu saya juga sebahagian daripada Umno, tetapi sekarang saya mahu ubah corak pemerintahan negara supaya lebih bersih dalam semua aspek,” katanya.

Menurutnya, kerajaan Pakatan Rakyat (PR) mahu melenyapkan gejala rasuah dan penyelewengan yang didakwa berleluasa dalam kerajaan kerana ia bagaikan ancaman menyebabkan negara bankrap jika tidak dibendung.

“Mereka tuduh kita akan bankrapkan negara jika ambil alih kerajaan. Macam mana boleh bankrap sebab kita banyak hasil tetapi pada masa sama tiada rasuah dan penyelewengan. Takkan jika kita bantu rakyat dengan hasil negara, boleh jatuh bankrap pula,” katanya.

Sri Wani mahu saman RM6 juta



KHALILAH GUSTI HASSAN
7 April 2012
Wani
SHAH ALAM - Sri Wani Choo Abdullah nekad mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang didakwa menjatuhkan maruah dan perniagaannya.
Tanpa mendedahkan siapakah orang yang dimaksudkan, katanya, dia sudah melantik peguam untuk mengambil tindakan saman RM6 juta.

“Buat masa ini, peguam sedang mengumpul maklumat berkaitan hal ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sri Wani, 37, menegaskan, dia mempunyai bukti yang kukuh untuk bertindak berdasarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan video bertujuan merosakkan reputasinya sebagai ahli perniagaan.
 
Suaminya, seorang bekas dekan institusi pengajian tinggi awam tempatan, yang mengesyaki Sri Wani  lelaki, memfailkan permohonan membatalkan perkahwinan di Mahkamah Tinggi Syariah.

Bahrom Sanugi, 61, bertindak demikian selepas setahun mengahwini isteri ketiganya itu,  seorang pengusaha produk kecantikan, yang memeluk Islam pada 2001.

Peguam Bahrom, Muhammad Hafiz Ab Rashid berkata, anak guamnya menikahi Sri Wani pada 19 Ogos 2009 di Songkhla, Thailand dan mendapatkan sijil nikah di Kedah.

Menyedari isterinya seorang lelaki, Bahrom membuat aduan ke Jabatan Agama Gombak dan diarah untuk berpisah sementara pada 23 November 2010.

Hakim Syarie Abdul Walid Abu Hassan menetapkan 23 April ini untuk memberi keputusan sama ada Sri Wani perlu menjalani ujian pengesahan jantina atau tidak.

Sementara itu, Sri Wani, yang berasal dari Bentong, Pahang, memfailkan bantahan terhadap permohonan suaminya dengan mendakwa dia dianiaya.

Dia turut memfailkan injunksi ex parte (sebelah pihak) terhadap dua madunya kerana mendakwa difitnah.

“Saya ada bukti mereka juga hantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dan panggilan kurang sopan,” katanya.

Abdul Walid memerintahkan Sri Wani menyerahkan bukti itu pada 12 April ini.
 
Sri Wani dalam temu bual eksklusif dengan Sinar Harian juga menekankan bahawa dia menyayangi suaminya.
 
“Biarlah apa orang nak kata; Tuhan mengetahui segala-galanya,” katanya dalam nada sedih, tetapi tetap yakin.

Daftar pengundi: 'Saya cakap sebab ada bukti'



ROSLINDA HASHIM
7 April 2012
mahfuz kedah
ALOR SETAR - Datuk Mahfuz Omar mencadangkan penubuhan satu suruhanjaya diraja dan bersedia memberi kerjasama bagi menyiasat dakwaannya mengenai kewujudan pasukan khas yang bertanggungjawab memberi kewarganegaraan kepada warga asing untuk mengundi dalam pilihan raya umum.
Naib Presiden Pas ini berkata, pendedahan yang dibuatnya adalah serius kerana ia mungkin membolehkan golongan itu mengundi dalam pilihan raya kelak.
“Saya sudah usulkan cadangan supaya diwujudkan suruhanjaya diraja ini segera dalam perbahasan belanjawan tahunan di Parlimen baru-baru ini.
"Saya harap ia dipertimbangkan kerana mempunyai asas yang kukuh dalam dakwaan itu,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena ketika ditemui selepas Ceramah Pelancaran Kempen Bersih 100 Peratus peringkat negeri Kedah, di Kompleks Hijau Kuning, malam tadi.
Menurutnya, berdasarkan laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bersetuju dengan cadangan penubuhan suruhanjaya itu untuk menyiasat pemberian kerakyatan warga asing di Sabah.
“Secara tidak langsung, PSC mengakui perkara seperti itu memang berlaku di Sabah, tetapi saya cadangkan untuk semua negeri kerana difahamkan gerakan itu menyeluruh dan berlaku di setiap negeri,” katanya.
Mahfuz sebelum ini mendedahkan wujudnya pasukan khas ini yang diketuai Penasihat Khas Perdana Menteri, Datuk Osman Razak; Setiausaha Majlis Keselamatan Negara, Datuk Tajuddin Wahab dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar.
Bagaimanapun Wan Ahmad dalam ulasannya kepada Sinar Harian kelmarin telah menafikan dakwaan Mahfuz.       
Ketika ditanya mengenai keseriusan beliau mendedahkan nama individu terbabit, Mahfuz berkata, ia bukan cakap kosong tetapi akan disertakan dengan bukti.
“Saya ada bukti sebab itu saya berani cakap. Tetapi saya hanya mahu bekerjasama dengan suruhanjaya diraja untuk siasat perkara ini,” katanya.
Menurutnya, pendedahan ini dibuat kerana bimbang masa depan negara kelak ditentukan oleh warga asing, dan pada masa yang sama menafikan hak rakyat untuk mengundi secara telus.
“Ini suatu ancaman kepada negara dan amat bahaya. Saya tahu saya menanggung risiko besar mendedahkan perkara in dan menyerahkan keselamatan saya kepada ALLAH SWT kerana tidak mahu membiarkan tanah air tergadai,” katanya.
Mahfuz berharap suruhanjaya itu dapat ditubuhkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Bakal pengantin cari bapa



WARTAWAN SINAR HARIAN
7 April 2012
Bakal pengantin cari bapa
MUAR – Seorang wanita merayu orang ramai supaya membantu mengesan bapa kandungnya, Jumaat Hassan, 63, un­tuk menjadi wali pernikahannya yang akan berlangsung pada 5 Mei ini.

Difahamkan Junaidah Jumaat, 30, bakal melangsungkan perkahwinan di Parit Raja, Gersik, Ledang.

Menurutnya, ibu dan bapanya berpisah kira-kira 29 tahun lalu, dan sejak itu dia tidak pernah melihat wajah bapanya.

“Sejak mereka berpisah, saya dibesarkan sepenuhnya oleh ibu, Darmi Ongso, 60, bersama tiga beradik yang lain.

“Setakat ini saya hanya dapat tahu bapa kandung masih hidup tetapi tidak dapat ditemui,” katanya kepada Sinar Harian.

Junaidah berkata, pelbagai usaha telah dilakukan untuk menjejaki bapa termasuk berjumpa dengan saudara mara sebelah bapa tetapi menemui jalan buntu.

"Selepas berpisah dengan ibu, hubungan kami dengan bapa terputus.

“Cuma ibu ada memaklumkan bapa merupakan bekas kakitangan syarikat air di Singapura dan berkahwin lain sebelum berpisah dengan ibu.

“Ketika berusia setahun, saya tinggal di Singapura bersama ibu dan ayah, tetapi apabila ayah berkahwin lain” katanya.

Jelasnya, permasalahan itu juga mendorong ibunya membawa dia dan adik beradik lain pulang ke kampung di Parit Raja, Gersik.

Katanya, dia difahamkan bapanya masih berada di Singapura bersama isteri barunya tetapi tidak tahu lokasi tempat tinggal mereka.

Menurut Junaidah, jika bapanya tidak ditemui, Mahkamah Rendah Syariah Ledang akan membenarkan abang sulungnya, Juraini Jumaat, 35, menjadi wali bagi pernikahannya.

Penduduk berang tiada air



WARTAWAN SINAR HARIAN
7 April 2012
Penduduk berang tiada air
BANDAR TEMERLOH - Masyarakat Orang Asli di Kampung Paya Mendoi, Kuala Krau, dekat sini, mengeluh kerana tidak sanggup lagi berhadapan masalah terputus bekalan air.

Penduduk, Mohamad Putih, 58, berkata, dalam masa seminggu, terdapat dua atau tiga hari mereka mengalami masalah itu.

Menurutnya, penduduk sudah bosan, malah lebih mengecewakan aduan yang dibuat kepada pihak berkaitan seperti melepas batuk di tangga dan kini mereka sudah terputus bekalan air selama tiga hari.

“Sampai bila kami perlu berhadapan masalah ini ­kerana ia menyusahkan kami untuk melakukan kerja harian ­seperti membasuh pakaian dan ­pinggan mangkuk.

“Ada ketika kami terpaksa mengambil air dari sungai berhampiran yang keruh untuk minum. Kalau ada antara penduduk yang mengalami sakit perut siapa yang perlu bertanggungjawab?” katanya kepada Sinar Harian.

Seorang lagi penduduk, Ariffin Yudin, 37, berkata, bagi yang bujang mereka boleh mandi di sungai berhampiran, tetapi kaum ibu yang ada anak pasti sukar kerana bimbangkan keselamatan anak mereka.

Katanya, jika ganguan bekalan air hanya berlaku sehari, ia masih boleh dimaafkan, tetapi ia berlaku selama ­beberapa hari dalam seminggu dan keadaan itu menyusahkan penduduk.

“Setiap kali terputus bekalan air pasti kami akan segera hubungi pihak berkenaan, tetapi malangnya panggilan kami tidak dilayan kerana kami kerap buat aduan.

“Macam mana kami tidak buat aduan kalau masalah ini tidak pernah selesai. Kami perlukan bekalan air bersih setiap hari,” katanya.