Showing posts with label Kuwait. Show all posts
Showing posts with label Kuwait. Show all posts

Wednesday, October 24, 2012

Kuwait larang perhimpunan lebih 20 orang



Kuwait: Kuwait melarang perhimpunan melebihi 20 orang dan memberikan lebih kuasa kepada polis untuk menyuraikan bantahan, lapor media semalam. Ini selepas ketegangan semakin memuncak dengan pembangkang menjelang pilihan raya 1 Disember depan.

“Rakyat tidak dibenarkan mengadakan perhimpunan lebih 20 orang di jalan raya atau lokasi umum tanpa mendapat permit dari gabenor. Polis diberi kuasa menghalang atau menyuraikan perhimpunan tidak berlesen,” kata Kabinet dalam kenyataan yang disiarkan akhbar.

Kuwait tegang sejak pemerintah mengarahkan perubahan kepada undang-undang pilihan raya dalam langkah yang dikecam pembangkang sebagai usaha melemahkan peluang mereka dalam undian. Pembangkang akan memulaukan pilihan raya dan menggesa bantahan diadakan.
Keluarga al-Sabah dicabar

Kuwait yang kaya minyak dan menjadi negara kebajikan membantu mengelak bantahan yang menumbangkan pemimpin di beberapa negara di rantau itu tetapi keluarga al-Sabah yang memerintah berdepan cabaran kepada kekuasaannya.

Sejak tahun lalu, pembangkang semakin rancak mengadakan bantahan untuk menyuarakan rungutan. - REUTERS

Thursday, October 4, 2012

9 tahun penjara untuk penyerang stesen TV Kuwait



Asharq-e terjemahan Mohamad Yahya,04 Okt 2012
(Sebahagian yang menyertai perhimpunan di depan Parlimen Kuwait yang menuntut supaya parlimen 2009 dimansuhkan)

KUWAIT: Sebuah mahkamah Kuwait telah menghukum dua tahun penjara ke atas sembilan lelaki kerana menyerang sebuah stesen televisyen menjelang pilihan raya parlimen awal tahun ini, beritahu peguam sembilan lelaki tersebut.

Sembilan lelaki tersebut, yang kesemuanya ahli puak yang besar di Kuwait, bertempur dengan polis di luar pejabat stesen televisyen Al Watan Januari lalu, menjelang pilihan raya di negara pengeluar minyak utama di Teluk itu.

Dua lagi lelaki lain didenda, peguam bela Al-Humaidi al-Subaie menulis di akaun Twitter beliau.

"Malangnya mahkamah memenjarakan selama dua tahun sembilan orang yang pertama memecah masuk ke Al Watan (stesen) dan memberikan denda sebanyak $200 kepada orang yang ke-10 dan ke-11," tulisnya.

Nabeel al-Fadli, ahli parlimen yang dilihat menyokong kerajaan, berada di studio pada masa itu dan kehadiran beliau mencetuskan pergolakan, lapor media tempatan.

Rakyat dari puak-puak Kuwait cenderung untuk menyokong calon-calon pembangkang dalam pilihan raya, manakala kelas atasan dan tokoh korporat biasanya, lebih memihak kepada kerajaan yang dikuasai oleh keluarga pemerintah.

Komen yang dibuat oleh Ahli Parlimen yang dianggap menghina puak-puak Kuwait tertentu telah mencetuskan banyak demonstrasi pada masa lalu.

Protes Kuwait kerap diadakan mengenai isu-isu politik dan puak, dan majoriti protes adalah secara aman.

Kuwait berada dalam kebuntuan politik untuk beberapa bulan selepas mahkamah membubarkan parlimen yang dikuasai pembangkang, yang dilantik  Februari lalu, memberi alasan masalah teknikal.

Sidang Ahli Parlimen sebelumnya yang majoritinya cenderung kepada kerajaan, telah dilantik semula oleh mahkamah, namun gagal untuk bersidang disebabkan pemulauan oleh ramai Ahli Parlimen.
Penganalisis menjangka amir akan membubarkan Parlimen tidak lama lagi dan memanggil untuk diadakan pilihan raya parlimen baru tahun ini atau tahun depan.