Showing posts with label anak luar nikah. Show all posts
Showing posts with label anak luar nikah. Show all posts

Tuesday, August 30, 2011

Bayi pelajar sekolah agama masih di ICU

KOTA BHARU: Keadaan bayi lelaki yang dilahirkan seorang pelajar sebuah sekolah agama di Tumpat, baru-baru ini dilaporkan sihat tetapi masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pemerhatian lanjut oleh pihak hospital.
Pegawai Perhubungan Awam Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Zaid Ahmad berkata, bayi lelaki dilahirkan cukup bulan seberat tiga kilogram dalam keadaan stabil.

“Bayi berkenaan stabil namun masih memerlukan pemerhatian lanjut daripada pihak hospital.

“Bayi itu kemungkinan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) secepat mungkin untuk tindakan seterusnya,” katanya, semalam.

Ditanya mengenai keadaan ibu kepada bayi terbabit, Zaid berkata, pelajar berkenaan sudah dibenarkan keluar dari hospital sejak minggu lalu selepas pemeriksaan mendapati dia tidak menghadapi masalah kesihatan.

Mengenai tindakan selanjutnya ke atas ibu muda terbabit yang juga pelajar sebuah sekolah agama, Zaid menegaskan ia terpulang kepada pihak jabatan agama untuk melakukan siasatan.


Difahamkan, minggu lalu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) Tumpat bertindak membuka kertas siasatan kes seorang pelajar perempuan sebuah sekolah agama di Tumpat yang melahirkan seorang bayi di tandas asrama itu.

Pegawai Agama Tumpat, Mohd Naim Ghazali, dilaporkan berkata, pihaknya akan mengambil keterangan daripada pelajar berusia 18 tahun itu.hmetro

Friday, December 10, 2010

'Di sini bukan tempat beli bayi'

KUALA LUMPUR: “Jika rupa paras si ibu cantik, pasti ramai datang ke rumah ini untuk mengambil bayinya sebagai anak angkat,” kata isteri pengasas Rumah Kebajikan Wanita dan Remaja (Kewaja), Ruzitah Baharum, 42.
Beliau berkata, melalui pengalamannya, kebanyakan pasangan suami isteri yang datang ke rumah itu untuk mengambil anak angkat akan memilih dan menempah terlebih dulu anak dalam kandungan selepas melihat rupa paras si ibu.
“Bagaimanapun, kami tidak membenarkan cara itu (tempahan) kerana sini bukan tempat untuk membeli bayi, sebaliknya rumah amal untuk menjaga kebajikan ibu serta bayi yang baru dilahirkan,” katanya ketika ditemui di pusat itu, semalam.

Kewaja memberi perlindungan kepada gadis dan wanita bermasalah, terutama mereka yang menghadapi masalah serius akibat pergaulan terlampau atau terjebak dalam aktiviti tidak bermoral sehingga hamil di luar nikah. Penghuninya akan dilindungi, dibimbing dan dipulih sebelum kembali ke pangkuan keluarga.



Mengenai kes Suzie yang dilaporkan Harian Metro semalam, Ruzitah berkata, setakat ini dia menerima lima khidmat pesanan ringkas (SMS) bertanyakan bayi dikandung gadis berkenaan.

Katanya, Suzie sudah mula menyesuaikan diri dengan pusat itu dan menjalani proses mendalami Islam dan sudah mahu bersolat.

Dua wartawan Harian Metro berjaya memujuk Suzie, 22, supaya tidak menjual bayi dikandungnya kepada satu pasangan bukan Islam, sebaliknya dihantar ke Kewaja.

Pelayan pelanggan (GRO) itu nekad mahu menjual bayinya kerana mendakwa tidak mampu menjaganya sebaik lahir kelak.

Dalam pada itu, Ruzitah berkata, hampir 500 pasangan dalam senarai menunggu untuk mengambil anak angkat dari rumah berkenaan dan jumlah itu meningkat dari semasa ke semasa.

“Kami memberi keutamaan kepada pasangan yang berkahwin lima hingga enam tahun tapi masih tidak mempunyai zuriat,” katanya yang dipanggil mama di kalangan penghuni.

Pihaknya juga, katanya, tidak menggalakkan individu yang belum berkahwin untuk memohon kerana memikirkan nasib kebanyakan bayi terbabit dilahirkan tanpa bapa, jadi biarlah mereka dijaga keluarga yang dapat memberi didikan agama yang sempurna.

Menurutnya, kini terdapat 50 wanita berusia lingkungan 20-an menunggu masa di rumah itu untuk melahirkan anak masing-masing.

“Sebaik bayi dilahirkan di klinik panel terpilih, anak itu bersama ibunya akan dijaga sehingga habis tempoh berpantang. Jika si ibu mahu menjaga sendiri bayinya, kami akan meminta pihak keluarga mengambil mereka.

“Bagi yang tidak mahu menjaga bayinya pula, kami akan mengurus urusan berkaitan pengambilan anak angkat mengikut prosedur yang ditetapkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Ruzitah berkata, pihaknya juga akan menyaring setiap pasangan yang mahu mengambil anak angkat dari rumah itu bagi mengelak kejadian yang tidak diingini pada masa depan.

“Sejak Kewaja ditubuhkan 20 tahun lalu, sudah lebih 3,000 bayi dilahirkan di sini diserahkan kepada keluarga angkat,” katanya.

Monday, August 2, 2010

Anak luar nikah membimbangkan





KUALA TERENGGANU 1 Ogos - Peningkatan jumlah kelahiran anak luar nikah setiap tahun di negeri ini merupakan gejala yang amat membimbangkan kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri, Yahya Khatib Mohamad menegaskan, ia suatu cabaran kepada semua pihak supaya berusaha menanganinya.
Beliau menarik perhatian, berdasarkan rekod yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara sejak 2005 sehingga kini sejumlah 2,314 anak tidak sah taraf dilahirkan di negeri ini.
''Ia meningkat setiap tahun, daripada 230 kes pada 2005 kepada 251 kes pada tahun berikutnya manakala 2007 mencatatkan 352 kelahiran dan 549 kes pada 2008.
"Sebanyak 611 kes dicatatkan pada 2009 dan sehingga separuh pertama tahun ini mencatatkan 321 kes dan tidak mustahil mencecah 700 hingga akhir tahun ini, " katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Jendela Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di sini petang semalam.
Projek ini dianjurkan bersama oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dengan kerjasama dot (.) my Domain Registry iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Beliau berkata, kerajaan telah mengambil beberapa langkah sebelum ini termasuk melancarkan program 'Ingat Sebelum Kena' yang disasarkan kepada remaja perempuan.
''Ia melibatkan pelajar di 130 buah sekolah seluruh negeri bagi menyedarkan mereka supaya tidak mudah terjerumus ke dalam gejala yang menyimpang itu," katanya.
Di samping itu, katanya, kerajaan negeri telahmenggerakkan program 'Saya Anak Terengganu' dan 'Permata Kasih'.
"Kerajaan negeri juga akan menggembleng tenaga bersama pihak Jabatan Pelajaran negeri, pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di bawah program 'Kecemerlangan Hidup'," katanya.
Beliau berkata, ia bagi mencari jalan penyelesaian lebih berkesan bersama pihak sekolah dan ibu bapa serta masyarakat.
Beliau memberitahu, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Jawatankuasa Masjid seluruh negeri akan dilibatkan dalam program 'Kempen Ke Masjid' sempena Ramadan ini sebagai salah satu usaha untuk menyedarkan masyarakat tentang gejala ini.
Yahya mengingatkan perlunya semua pihak bekerjasama dan melihat masalah ini sebagai masalah bersama dan bukannya sekadar menuding kesalahan antara satu sama lain.

Monday, March 29, 2010

SOFI WAHAB: Tukar kerajaan cegah anak luar nikah



Sofi Wahab   
Gejala buang bayi memang sudah lama berlaku. Sudah ratusan malah mungkin ribuan bayi yang tidak berdosa dibuang di merata tempat oleh manusia berhati iblis. Darjat manusia ini lebih teruk dari binatang kerana binatang pun tahu sayang kepada anaknya.
Hari ini (22 Mac) media sekali lagi melaporkan kejadian buang bayi yang berlaku dalam semak berhampiran tempat pembuangan sampah di Jalan Medan Ipoh Satu. Bayi ini masih hidup walaupun basah kuyup ditimpa hujan.
Semalam (21 Mac), media juga melaporkan bahawa terdapat 17,303 orang anak luar nikah didaftarkan pada tahun 2009.
Apa maknanya kedua-dua fakta di atas? Maknanya ialah gejala maksiat zina sudah menjadi perkara biasa di Malaysia. Kalau dikira purata anak luar nikah yang dilahirkan di Malaysia ialah 47 orang sehari, kira-kira dua orang setiap jam.
Saya lebih suka membicarakan punca kepada perkara sebelum kita berfikir tentang cara penyelesaiannya. Mengikut kaedah problem solving, sebelum kita membuat correctieve action atau langkah pembetulan kita mesti mencari punca-punca masalah ini.
Di bawah ini adalah punca-punca kepada gejala zina, buang bayi dan anak luar nikah:-
1) Tiadanya kesedaran agama di kalangan penzina kerana mereka sudah tidak takut kepada Allah sehingga sanggup melakukan dosa besar iaitu perzinaan. Mereka ini mungkin tidak mempunyai asas agama yang kuat.
2) Pergaulan bebas di antara lelaki dan wanita disebabkan ibu bapa tidak melarang mereka, keluar rumah dan bergaul bebas, kawan-kawan dan masyarakat tidak memberi nasihat dan membiarkan maksiat terus berlaku.
3) Persekitaran yang sudah rosak dengan program-program maksiat/pergaulan bebas seperti konsert, kelab malam, dangdut, disko dan sebagainya. Selain itu gejala berdua-duaan ke sana ke mari sudah menjadi tidak salah di sisi masyarakat dan ibu bapa serta undang-undang.
4) Gejala meminum arak dan dadah di kalangan muda-mudi juga sudah menjadi perkara biasa dan bila kepala sudah khayal maka mudah maksiat berlaku.
5) Tiadanya undang-undang yang mampu mencegah perbuatan mungkar yang berlaku sekarang. Undang-undang yang ada sekarang adalah ciptaan manusia yang tidak mampu menggerunkan manusia. Sedangkan Allah sudahpun menurunkan undang-undang-Nya untuk mencegah perbuatan zina dan maksiat ini. Malangnya kerajaan yang ada sekarang terus berdegil tidak mahu melaksanakan hukum Allah ini.
6) Sistem pendidikan yang ada di negara kita sekarang gagal melahirkan pelajar yang beriman dan berakhlak kerana apa yang diutamakan ialah pencapaian akademik semata-mata sehingga mengabaikan kesedaran Islam dan kekuatan Iman di kalangan pelajar-pelajar. Sebab itulah generasi muda hari ini amat rapuh pegangan agamanya sehingga sanggup berzina dan bergaul bebas tanpa rasa berdosa.
7) Program mencegah kemungkaran dibuat sambil lewa sehingga membiarkan tempat-tempat hiburan, rumah pelacuran dan lain-lain dibiarkan beroperasi macam cendawan lepas hujan.
8) Banyak lagi punca-punca lain yang ada tetapi bagi saya fakta di atas adalah antara perkara asas yang menjadi penyebab kepada gejala ini.
Pagi tadi semasa saya mendengar siaran radio Ikim.FM saya mendapati 100% pendengar mahukan undang-undang Islam ditegakkan di Malaysia dan kata mereka itulah sahaja jalan penyelesaian yang mampu menyelesaikan masalah tersebut. Ini kerana menurut mereka hanya undang-undang Allah yang ada keberkatan dan pencegahan dari Allah sedangkan akal manusia tidak mampu untuk berfikir bagi menyelesaikan masalah ini. Ada juga pendengar yang secara tegas menyatakan supaya ditukar kerajaan.
Di bawah ini saya cadangkan beberapa jalan penyelesaian kepada perkara ini.
1) Tukar kerajaan yang ada hari ini kerana dengan menukar kerajaan kepada kerajaan PR, insya Allah undang-undang Islam akan ditegakkan; sistem pendidikan akan diubah dengan menekankan ilmu Islam; program amar makruf dan nahi mungkar akan ditingkatkan; tempat-tempat maksiat ditutup, program-program maksiat dan pergaulan bebas dihentikan dan sebagainya.
2) Ibubapa mestilah menghadkan pergaulan anak-anak dengan tidak membenarkan mereka keluar malam dan tidak membenarkan anak-anak gadis keluar secara bersendirian bila-bila.
3) Dan lain-lain.
BAGI SAYA, SELAGI KERAJAAN BN MEMERINTAH SELAGI ITULAH MEREKA TIDAK AKAN MENEGAKKAN UNDANG-UNDANG ISLAM DAN MEREKA HANYA MEMANDANG ISU INI SEBAGAI REMEH. DARI ITU, RAKYAT MESTI MENUKARKAN KERAJAAN YANG ADA PADA HARI INI IAITU KERAJAAN BN KEPADA KERAJAAN PR.
Sofi Wahab adalah Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka.