SAN FRANCISCO – Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg (gambar) menyampaikan kata-kata sokongan kepada umat Islam yang khuatir terhadap tindak balas pihak tertentu ekoran kejadian serangan pelampau Islam Paris dan San Bernardino.
Susulan serangan-serangan itu, Zuckerberg menulis di paparan Facebook peribadinya kelmarin yang meyakinkan umat Islam bahawa mereka sentiasa dialu-alukan di Facebook dan menyatakan ‘kami akan berjuang untuk mempertahankan hak-hak anda dan membina persekitaran yang selamat dan aman untuk anda.’
Calon Presiden daripada Parti Republikan, Donald Trump sebelum ini mencadangkan semua umat Islam disekat daripada memasuki Amerika Syarikat .
Pemimpin-pemimpin politik lain bagaimanapun mengecam cadangan Trump itu sebagai satu diskriminasi.
Zuckerberg tidak merujuk secara khusus mana-mana cadangan tetapi pengasas bersama jaringan sosial terbesar dunia itu menyatakan: “Sebagai seorang berketurunan Yahudi, ibu bapa saya mengajar saya agar berdiri teguh menentang semua serangan ke atas mana-mana komuniti”.
Dalam serangan pelampau Islam di Paris pada 13 November lalu, sebanyak 129 orang terbunuh, manakala serangan di San Bernardino, California 2 Disember menyebabkan 14 orang terbunuh. – AP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1211&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3txqnl0ZV
Hakcipta terpelihara